Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Antara dunia jin dan hantu


KEDUA-DUA filem ini dibuka tayangannya pada Hari Raya Aidil Fitri yang baru lepas. Walaupun kedua-dua filem ini ditayangkan sempena perayaan Aidil Fitri, tetapi kedua-dua filem ini tidak membawakan tema aidilfitri. Sebaliknya kedua-dua filem ini membawakan tema fantasi dan seram.

Jin Notti arahan Azhari M. Zain daripada skrip tulisan beliau dan Amir Hafizi adalah kisah fantasi moden tentang jin perempuan yang dihantar ke dunia atas alasan jin ini perlu dijahatkan disebabkan dia sentiasa berkelakuan baik di dunia jin yang merupakan suatu kesalahan dan sesuatu yang asing. Jin yang bernama Notti (lakonan DJ Radio Hot FM, Fara Fauzana) ini berusia lebih seratus tahun (dalam konteks jin usia ini masih muda) tercampak ke dunia manusia lalu cuba meniru perlakuan jahat manusia.

Dalam segmen pertama Notti menjadi Ruby gadis punk yang liar yang berkawan sama dengan Zulu (Sazzy Falak) juga gadis punk yang liar kerana masalah keluarga. Gagal menjadi jahat dalam segmen pertama, Notti sekali lagi dicampak ke dunia manusia di segmen kedua sebagai Yvonne, teman wanita seorang ketua gangster. Gagal dalam latihan di segmen kedua, Notti sekali lagi dicampakkan ke dunia sebagai Sharifah, seorang peguam bela yang perlu membela dan membebaskan Hisham (lakonan Aziz M. Osman) yang dituduh merogol Zulu, yang telah dipertemukan dalam segmen pertama.

Semasa di dunia, Notti yang diiringi oleh penasihatnya Jinbara (Cat Farish) yang sentiasa menasihati dan membisikkannya untuk melakukan kejahatan, sebaliknya Notti telah jatuh hati pula dengan Aziz (Mawi), pembantu ketua gangster (Corrie) seorang lelaki yang sebenarnya baik.

Pada dasarnya Jin Notti mempunyai premis cerita yang menarik, tentang dunia manusia dan jin, dua dunia yang bertentangan peraturan hidupnya. Pertentangan peraturan ini dan kesilapan dalam memahaminya sudah mampu menyediakan premis komedi yang menarik. Malangnya cerita Jin Notti tidak mempunyai olahan plot yang baik ditambah pula dengan kelemahan lakonan dan pengarahan.

Fara Fauzana sebagai Notti atau naughty (nakal), jin wanita yang membawakan variasi watak gadis punk, gangster dan peguam bela tidak dapat memberikan variasi dalam transformasi watak-wataknya dengan berkesan. Malah kelihatan kaku dalam adegan yang menuntut dia memberikan riak dan emosi. Begitu juga Mawi sebagai Aziz hanya mempamerkan keupayaan yang sederhana, tetapi jika dia mendapat arahan yang baik Mawi boleh menyerlah sebagai pelakon.

Walau bagaimanapun Jin Notti mempunyai elemen dan dialog-dialog komedi spontan yang cukup sinis dan berbau kritikan politik yang tajam. Hal ini dapat dilihat terutamanya pada adegan-adegan di mahkamah dalam aksi yang melibatkan peguam bela, pendakwa dan hakim. Sungguhpun adegan di mahkamah jin boleh menjadi metafora keadilan yang menarik tetapi sekali lagi adegan yang seharusnya menarik ini tidak dilengkapkan dengan arahan seni yang baik.

Set mahkamah jin kelihatan cukup sederhana, sedangkan set ini seharusnya memperlihatkan suasana yang hebat dan magikal. Begitu juga gambaran alam jin dan masyarakatnya yang memperlihatkan gaya hidup yang bertentangan dengan masyarakat bumi tidak ditunjukkan sedangkan aspek ini seharusnya digambarkan visualnya.

Elemen efek khas visual dan bunyi seharusnya mampu menjadi tunjang yang memperlihatkan kehebatan filem ini, tetapi sayang kemampuan Imej Janaan Komputer (CGI) yang selalu ada dalam filem-filem terbitan KRU tidak digunakan dengan berkesan dalam filem Jin Notti.

Jika filem Jin Notti bersandarkan kisah fantasi moden, tetapi filem Momok: The Movie (MTM) hanya merupakan rangkaian segmen kisah-kisah hantu yang popular di kalangan masyarakat Melayu tradisi. Pembikinan filem MTM sebenarnya lanjutan daripada kejayaan M.Jamil menghasilkan Momok dalam bentuk VCD hasil daripada sebuah pameran tentang hantu anjuran Muzium Negara yang cukup berjaya pada tahun 2002.

Kisah-kisah hantu tradisi seperti pontianak, pocong, orang bunian atau mitos orang mati yang bangkit bila dilangkah kucing hitam diceritakan oleh Kadir (Abon) kepada Adlin (Faizal) yang baru balik ke kampung itu dari Terengganu semasa mereka bertandang ke gerai mi calong kepunyaan Pak Aziz (Aziz Sattar). Sayangnya kisah-kisah hantu yang diceritakan oleh Kadir atau Pak Aziz kepada Adlin sekadar cerita kosong sahaja tanpa ada kaitan segmen antara satu sama lain, cukup sekadar mengisi masa menunggu mi calong yang hendak disiapkan oleh Pak Aziz untuk Kadir dan Adlin.

MTM nyata tidak memperlihatkan sesuatu yang lebih istimewa daripada versi VCD, sama ada daripada aspek olahan cerita atau pun teknik pembikinan apabila dipindahkan ke bentuk filem, (MTM dibikin menggunakan peralatan video digital definisi tinggi kemudian dipindahkan ke filem).

MTM cuba menggabungkan elemen seram dan lucu yang mana pada adegan tertentu memang berkesan menyeramkan biarpun dihasilkan secara yang sederhana. Tetapi lakonan Abon, Faizal dan Aziz Sattar berjaya memberikan elemen komik yang melucukan dalam filem ini. Sebagaimana kejayaan VCDnya, MTM mungkin sahaja boleh menjadi sleeper hit.

Sayang Jin Notti yang berpotensi untuk menjadi sebuah filem fantasi moden yang menarik tidak dieksploit sepenuhnya, manakala MTM walaupun masih bersandarkan kepada kisah seram tradisi Melayu tetapi seharusnya diberikan pendekatan dan olahan baru yang lebih menarik dan menyegarkan. Walaupun sekadar untuk mengisi hiburan tontonan sambutan hari raya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails