Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Francissca Peter. Show all posts
Showing posts with label Francissca Peter. Show all posts
Sibuk dengan kerja amal - Fran
KALAU 33 tahun dulu Francissca Peter menyanyi kerana mahu mengembangkan bakat dan minatnya dalam bidang nyanyian. Selain itu, dia turut menjadikan pembabitannya dalam bidang seni suara sebagai kerjaya sepenuh masa sejak awal tahun 1980-an sehinggalah ke saat ini.
Selepas tiga dekad menjadi penyanyi Franccisca yang lebih dikenali sebagai Fran kini menyanyi bukan setakat kerana bakat, minat dan kerjaya tetapi lebih daripada itu. Penyanyi berusia 51 tahun itu kini mahu menjadikan bidang yang diceburinya itu sebagai medan buatnya membantu insan-insan yang kurang bernasib baik.
Mungkin ramai yang tidak tahu sejak tahun 2004 Fran telah dilantik sebagai duta bagi sebuah badan bukan kerjaan (NGO), World Vision Malaysia dan terbabit dalam banyak kerja amal bukan sahaja di negara ini tetapi juga hingga ke luar negara.
Menurut penyanyi berasal dari Ipoh, Perak ini dia rasa terpanggil untuk menyertai World Vision Malaysia selepas mendapati mampu menyumbang kepada masyarakat dengan bakat serta popularitinya bersama badan tersebut.
"Sebagai seorang insan, saya rasa terpanggil untuk menyertai NGO itu kerana matlamat mereka adalah bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Misalnya, menolong mangsa-mangsa bencana alam dan golongan kurang upaya. Sebagai penyanyi ini adalah antara yang mampu untuk saya sumbangkan.
"Sebagai duta World Vision Malaysia tugas saya adalah bagi membantu kempen yang NGO itu jalankan. Ia bagi menimbulkan kesedaran orang ramai supaya tampil ke depan membantu apa juga yang mereka boleh sumbangkan. Contohnya, NGO ini mengutip derma dan menyumbangkan keperluan seperti ubat-ubatan kepada golongan itu walau di mana-mana juga.
"Bukan setakat di Malaysia tetapi saya bersama World Vision Malaysia pernah pergi sehingga ke beberapa daerah di China dan India yang terkena bencana alam bagi menyampaikan sendiri bantuan kemanusiaan ke sana," katanya kepada Hits semasa ditemui di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
World Vision Malaysia jelas Fran yang telah ditubuhkan 15 tahun lalu turut memberi pelbagai ruang kepadanya sebagai duta bagi menghidupkan lagi aktiviti-aktiviti dalam NGO tersebut.
Antaranya kata penyanyi bersuara lantang ini, dia baru sahaja merakamkan album berjudul The Love & Hope yang mengandungi 11 lagu. Album yang diterbitkannya sendiri itu bertujuan mengutip derma bagi disumbangkan ke dalam tabung World Vision Malaysia dan disalurkan kepada mereka yang memerlukannya.
"Album itu adalah sebuah album amal dan ia juga 50 peratus bermotifkan komersial. Setakat ini album itu sudahpun berada di pasaran minggu lalu dan pasarannya bukan setakat di Malaysia tetapi sehingga ke luar negara.
"Terdapat banyak lagu dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan juga sebuah lagu dalam bahasa Orang Asli suku kaum Temuan yang berjudul Mana Hutan Kami? Dalam lagu itu, saya berduet dengan tiga penyanyi Orang Asli iaitu Ramlan Koyok, Haing Alin dan Rudy Malam.
"The Love & Hope antaranya dijual melalui secara talian di Internet dan baru-baru ini sebanyak 50 buah CD (cakera padat) album itu telahpun dibeli oleh para peminat di Australia. Sebuah album itu dijual dengan harga RM28 di Semenanjung Malaysia manakala untuk Sabah, Sarawak dan luar negara pula harganya RM33," katanya.
Rindu album baru
Masih Merindu merupakan album solo terakhir yang dirakam pada 2005. Selepas tujuh tahun tanpa album baru yang seratus peratus berkonsepkan pop komersial membuatkan Fran berasa rindu untuk merakamkan album studio yang baru.
Justeru, penyanyi yang pernah berduet dengan pasangan duetnya, Royston Sta Maria pada awal 80-an itu berasakan sudah sampai masanya dia tampil dengan album terbaru.
"Ramai orang yang rakam album single tetapi saya rasa tidak puas. Sebab itu kalau boleh saya mahu merakamkan album penuh. Setakat ini saya sudah mencipta beberapa buah lagu dan lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru saya kelak.
"Album terbaru saya itu akan diterbitkan dengan menggunakan duit saya sendiri dengan bantuan kakak saya, Bibiana Peter yang juga merupakan pengurus saya sejak lebih 10 tahun lalu. Album itu nanti masih mengekalkan pop sebagai konsep muzik utamanya," jelasnya.
Kata anak kedua daripada empat beradik ini, dia memerlukan album baru bukan sahaja bagi memenuhi keperluannya sebagai penyanyi tetapi juga permintaan daripada para peminatnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Album dengan lagu-lagu Melayu adalah keutamaan penyanyi ini kerana dia lebih dikenali ramai dalam persada seni suara tanah air kerana menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa kebangsaan tersebut.
"Selama ini saya banyak menyanyikan lagu-lagu lama termasuklah lagu-lagu duet saya dengan Royston Sta Maria seperti Siapa Dia Sebelum Daku dan Bersama Pertemuan Ini walaupun pasangan duet saya itu sudah lama tidak menyanyi dengan saya.
"Dia (Royston) kini menetap di Perth, Australia. Tetapi kalau ada peminat yang mahu berduet dalam lagu-lagu duet saya itu, biasanya saya akan penuhi permintaan mereka.
"Sebab itu, selain lagu-lagu lama saya juga perlukan lagu-lagu terbaru untuk dipersembahkan pada persembahan-persembahan terbaru yang diadakan nanti," katanya lagi.
Biarpun sudah lama tidak merakamkan album baru tetapi Fran atau nama sebenarnya Luciana Francissca Peter boleh menarik nafas lega kerana berjaya mengadakan konsert solo terbesarnya di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Februari tahun lalu.
Konsert yang diberi nama Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter itu boleh disimpulkan sebagai manifestasi terhadap pembabitannya sebagai penyanyi selama lebih tiga dekad yang lalu.
"Mungkin susah mahu buat selalu konsert yang besar seperti itu. Tetapi pada masa sama saya mahu pastikan akan terus merakamkan album baru selagi suara dan bakat saya masih diperlukan dalam bidang ini," katanya lagi.
Keunggulan Francissca Peter tercalar?

MENABUR bakti mengerah keringat menghiburkan jutaan peminat sejak 33 tahun lalu langsung tidak pernah penat buat Francissca Peter.
Bagi dirinya tidak ada sekelumit perasaan jemu tatkala melihat peminat setianya terhibur dek alunan suara merdunya yang saban hari didambakan.
Malah dalam Konsert 33 Tahun Keunggulan Francissca Peter pada penghujung minggu lalu, hampir seluruh penonton yang hadir ke panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur larut dalam emosi.
Terbuai dengan rangkaian lagu-lagu malar segar penyanyi ini, bagaikan mengembalikan nostalgia lama bersama lagu-lagu yang pernah “membesarkan” jutaan peminat tegarnya.
Menariknya, Francissca atau lebih mesra disapa dengan panggilan Fran ini cukup terkesan apabila melihat kebanyakan peminat yang hadir merupakan golongan muda yang hadir tanpa prejudis.
Sedangkan dia tahu, sewaktu namanya meniti puncak populariti dulu, sebilangan besar yang hadir masih terlalu kecil atau barangkali masih belum ada di dunia ini.
Inilah yang membuatkan Fran sayu. Menitis air mata gembira melihatkan dirinya masih lagi diterima ramai sedangkan dia tahu wajahnya sudah tidak kerap menerima tempias populariti.
Dalam tangis gembira itu, terselit juga cerita yang kurang enak mengenai konsert yang berskala besar itu.
Ramai peminat yang cukup kecewa dengan masalah teknikal yang wujud sehinggakan persembahan pada hari Sabtu yang lalu terpaksa ditunda lebih setengah jam.
Alasan pihak produksi, ada masalah teknikal yang berlaku yang tidak dapat dielakkan.
Namun Pancaindera dapat menghidu pelbagai masalah yang berlaku bukan sahaja berpunca daripada teknikal semata-mata tetapi ada cerita besar lain yang berlaku di belakang tabir.
Ada pihak yang mendakwa pemuzik orkestra yang mengiringi persembahan tiga malam tersebut meminta bayaran mereka dilunaskan sebanyak 70 peratus pada malam persembahan.
Orkestra yang dipimpin oleh Datuk Ramli MS itu juga tidak mahu meneruskan persembahan sehinggalah pihak produksi membayar sejumlah wang seperti mana yang diminta. Benarkah dakwaan tersebut?
Paling terkesan apabila persembahan pada malam terakhir tersebut yang dikatakan sedikit terganggu dengan pelbagai masalah teknikal yang melanda sehingga mengganggu keseluruhan persembahan.
Tidak mahu terus percaya pada cerita yang disampaikan, Pancaindera mencari orang yang bertanggungjawab dalam mengemudi Konsert 33 Tahun Keunggulan Francisca Peter untuk mendapatkan cerita yang sebenar.
Jangan tanya saya - Fran
CUKUP terkejut dengan pelbagai dakwaan tersebut, Fran nyata kecewa dengan apa yang sudah berlaku. Baginya, konsert pada 5 dan 6 Februari itu cukup berjaya dengan sambutan peminat yang hadir pada setiap malam.
“Saya tak tahu apa yang dah berlaku. Sebab masa persembahan itu saya berdiri sebagai penyanyi. Memang persembahan pada hari Sabtu dimulakan agak lewat.
“Alasan mereka ketika itu terdapat masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Jadi saya duduk di belakang pentas dan hanya menunggu masa untuk ke pentas.
“Kalau awak nak tahu apa yang terjadi, rasanya bolehlah tanya pada orang produksi. Mereka lebih tahu hal tersebut daripada saya.
“Hal duit tu pula, saya tak tahu apa-apa. Itu awak kena tanya Ramli MS sendiri,” jawab Frans tanpa berselindung.
Tidak mahu terus terheret dalam kancah kontroversi, Fran seboleh-bolehnya mahu cerita buruk ini dihentikan segera.
Cukup terkesan apabila cerita begini boleh timbul, akui Fran dia cukup sedih dengan pelbagai masalah yang timbul terutama insiden konsert dimulakan sedikit lewat.
“Memang saya risau dan sedih sebab ia dimulakan agak lewat tapi apa yang boleh saya buat. Hidup kita kan pendek, jadi nak tak nak kita kena teruskan hidup,” kata Fran lagi.
Air Mata Fran di Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Linangan air mata kegembiraan mengiringi persembahan penutup penyanyi veteran Francissca Peter (Fran) pada sesi pratonton Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya, di sini, malam Jumaat.
Menurut Fran yang ditemui pada sidang media selepas itu, kepuasannya beraksi di hadapan penonton yang setia memberikan sokongan telah menyentuh perasaannya sehingga gagal mengawal air mata.
Biarpun persembahan penyanyi lagu Sekadar Di Pinggiran itu dicemari beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert berlangsung, Fran tetap beraksi dengan mutu vokal yang hebat dan menghiburkan.
"Walaupun berlaku beberapa kesilapan teknikal sepanjang konsert ini, tepukan dan sokongan berterusan daripada penonton begitu menyentuh emosi saya.
"Peluang yang diberikan oleh Istana Budaya kepada saya sebagai artis bukan Melayu pertama yang beraksi di sini memberikan kepuasan yang luar biasa," katanya.

Dalam konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Fran menyampaikan 33 buah lagu sebagai simbolik kepada 33 tahun penglibatannya dalam bidang nyanyian.
Antara lagu-lagu yang didendangkan termasuklah Kerna Terpaksa, Ku Ke Udara Lagi, Aku Hanya Pendatang, Kau Lilin Cintaku dan banyak lagi.
Tidak hanya tampil berseorangan, penyanyi yang kini berstatus janda itu turut beradu vokal dengan rakan duetnya di era 80an iaitu Royston Sta Maria (Roy) menerusi Bersama Pertemuan Ini, Tak Kenal Maka Tak Cinta dan Siapa Dia Sebelum Aku.
Selain Roy, Fran turut mengundang penyanyi/komposer Imran Ajmain untuk lagu Kehebatan Cinta dan Mirror Mirror On the Wall.
Persembahan Fran diiringi oleh 33 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Datuk Haji Ramli MS.
Konsert istimewa itu dipentaskan untuk dua malam sahaja iaitu pada 5 dan 6 Februari ini bermula 8.45 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pada konsert tersebut juga, Eye Design selaku penganjur akan menjual kompilasi kesemua album Fran dalam bentuk 'box set' pada harga istimewa.
Francissca Peter 33 tahun unggul

MASIH diingati dengan lagu Sekadar Di Pinggiran, nama Francissca Peter, penyanyi bukan Melayu yang sangat intim di hati peminat muzik, khususnya lagu-lagu malar segar era 80-an dan 90-an.
Agak lama khabar pemilik nama sebenar, Luciana Francissca Peter atau dibahasakan Fran itu tidak dijaja di dada media, namun gemersik suaranya tidak pernah pudar.
Kini, kerinduan para peminat terhadap deretan hit seperti Aku Hanya Pendatang, Kerna Terpaksa dan Diri Ku Terbelenggunya bakal terubat apabila Fran akan muncul menjayakan sebuah konsert sulungnya di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari ini.
Diberi judul Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter, konsert khas itu sebagai meraikan penyanyi tersohor yang bertahan sekian lama dalam industri muzik tanah air.
Persembahan ini pasti akan mengingati kembali zaman kegemilangan satu-satunya artis bukan Melayu yang telah berjaya membawa lagu-lagu Melayu ke tahap antarabangsa dan bertahan sehingga kini.
Konsert sulung setelah 33 tahun terlibat dalam dunia nyanyian pastinya memberi keterujaan kepada Fran kerana ia bakal dipersembahkan di sebuah pentas yang menjadi titik kebanggaan anak seni.
"Konsert ini begitu memberi keterujaan kepada saya. Ia amat bererti dan begitu bermakna sepanjang tempoh saya berkecimpung sebagai seorang penyanyi.
"Sebelum ini ramai juga peminat yang bertanyakan bilakah saya akan mengadakan konsert berprestij seperti ini. Jadi, saya mengharapkan peminat dapat memberi sokongan menjayakan persembahan ini, dan yang pasti saya akan memberikan persembahan terbaik pada konsert sulung ini," katanya pada sidang akhbar sempena konsert itu di Fraser Place, Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Menggabungkan semula gandingan Fran bersama Royston Sta Maria dan persembahan istimewa bersama penyanyi jemputan Imran Ajmain. Tugas pengarah muzik pula tersandang di bahu Ramli MS yang akan memimpin 33 pemuzik orkestra dengan menampilkan 33 lagu popular nyanyian Fran sejak kali pertama muncul dengan duet Siapa Dia bersama Royston Sta Maria pada 1982
Imran turut mencipta sebuah lagu untuk single terbaru Fran berjudul Tidak Gementar Lagi yang akan dinyanyikannya secara eksklusif pada konsert itu nanti.
Menyepi daripada publisiti, Fran bagaimanapun masih aktif memenuhi jemputan majlis-majlis korporat serta program televisyen. Sehingga kini, jiwanya masih teguh untuk meneruskan perjuangan seni suara.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik, Fran bebeberapa kali menggondol anugerah berprestij antaranya, Juara Asian Song Festival 1987, Penyanyi Wanita Popular 1987, Anugerah Juara Lagu 1986 (Sekadar Di Pinggiran), tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 1987 (Kerna Terpaksa) dan naib juara Anugerah Juara Lagu 1988 (Diriku Terbelenggu).
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
