Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sibuk dengan kerja amal - Fran

KALAU 33 tahun dulu Francissca Peter menyanyi kerana mahu mengembangkan bakat dan minatnya dalam bidang nyanyian. Selain itu, dia turut menjadikan pembabitannya dalam bidang seni suara sebagai kerjaya sepenuh masa sejak awal tahun 1980-an sehinggalah ke saat ini. Selepas tiga dekad menjadi penyanyi Franccisca yang lebih dikenali sebagai Fran kini menyanyi bukan setakat kerana bakat, minat dan kerjaya tetapi lebih daripada itu. Penyanyi berusia 51 tahun itu kini mahu menjadikan bidang yang diceburinya itu sebagai medan buatnya membantu insan-insan yang kurang bernasib baik. Mungkin ramai yang tidak tahu sejak tahun 2004 Fran telah dilantik sebagai duta bagi sebuah badan bukan kerjaan (NGO), World Vision Malaysia dan terbabit dalam banyak kerja amal bukan sahaja di negara ini tetapi juga hingga ke luar negara. Menurut penyanyi berasal dari Ipoh, Perak ini dia rasa terpanggil untuk menyertai World Vision Malaysia selepas mendapati mampu menyumbang kepada masyarakat dengan bakat serta popularitinya bersama badan tersebut. "Sebagai seorang insan, saya rasa terpanggil untuk menyertai NGO itu kerana matlamat mereka adalah bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Misalnya, menolong mangsa-mangsa bencana alam dan golongan kurang upaya. Sebagai penyanyi ini adalah antara yang mampu untuk saya sumbangkan. "Sebagai duta World Vision Malaysia tugas saya adalah bagi membantu kempen yang NGO itu jalankan. Ia bagi menimbulkan kesedaran orang ramai supaya tampil ke depan membantu apa juga yang mereka boleh sumbangkan. Contohnya, NGO ini mengutip derma dan menyumbangkan keperluan seperti ubat-ubatan kepada golongan itu walau di mana-mana juga. "Bukan setakat di Malaysia tetapi saya bersama World Vision Malaysia pernah pergi sehingga ke beberapa daerah di China dan India yang terkena bencana alam bagi menyampaikan sendiri bantuan kemanusiaan ke sana," katanya kepada Hits semasa ditemui di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini. World Vision Malaysia jelas Fran yang telah ditubuhkan 15 tahun lalu turut memberi pelbagai ruang kepadanya sebagai duta bagi menghidupkan lagi aktiviti-aktiviti dalam NGO tersebut. Antaranya kata penyanyi bersuara lantang ini, dia baru sahaja merakamkan album berjudul The Love & Hope yang mengandungi 11 lagu. Album yang diterbitkannya sendiri itu bertujuan mengutip derma bagi disumbangkan ke dalam tabung World Vision Malaysia dan disalurkan kepada mereka yang memerlukannya. "Album itu adalah sebuah album amal dan ia juga 50 peratus bermotifkan komersial. Setakat ini album itu sudahpun berada di pasaran minggu lalu dan pasarannya bukan setakat di Malaysia tetapi sehingga ke luar negara. "Terdapat banyak lagu dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan juga sebuah lagu dalam bahasa Orang Asli suku kaum Temuan yang berjudul Mana Hutan Kami? Dalam lagu itu, saya berduet dengan tiga penyanyi Orang Asli iaitu Ramlan Koyok, Haing Alin dan Rudy Malam. "The Love & Hope antaranya dijual melalui secara talian di Internet dan baru-baru ini sebanyak 50 buah CD (cakera padat) album itu telahpun dibeli oleh para peminat di Australia. Sebuah album itu dijual dengan harga RM28 di Semenanjung Malaysia manakala untuk Sabah, Sarawak dan luar negara pula harganya RM33," katanya. Rindu album baru Masih Merindu merupakan album solo terakhir yang dirakam pada 2005. Selepas tujuh tahun tanpa album baru yang seratus peratus berkonsepkan pop komersial membuatkan Fran berasa rindu untuk merakamkan album studio yang baru. Justeru, penyanyi yang pernah berduet dengan pasangan duetnya, Royston Sta Maria pada awal 80-an itu berasakan sudah sampai masanya dia tampil dengan album terbaru. "Ramai orang yang rakam album single tetapi saya rasa tidak puas. Sebab itu kalau boleh saya mahu merakamkan album penuh. Setakat ini saya sudah mencipta beberapa buah lagu dan lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru saya kelak. "Album terbaru saya itu akan diterbitkan dengan menggunakan duit saya sendiri dengan bantuan kakak saya, Bibiana Peter yang juga merupakan pengurus saya sejak lebih 10 tahun lalu. Album itu nanti masih mengekalkan pop sebagai konsep muzik utamanya," jelasnya. Kata anak kedua daripada empat beradik ini, dia memerlukan album baru bukan sahaja bagi memenuhi keperluannya sebagai penyanyi tetapi juga permintaan daripada para peminatnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Album dengan lagu-lagu Melayu adalah keutamaan penyanyi ini kerana dia lebih dikenali ramai dalam persada seni suara tanah air kerana menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa kebangsaan tersebut. "Selama ini saya banyak menyanyikan lagu-lagu lama termasuklah lagu-lagu duet saya dengan Royston Sta Maria seperti Siapa Dia Sebelum Daku dan Bersama Pertemuan Ini walaupun pasangan duet saya itu sudah lama tidak menyanyi dengan saya. "Dia (Royston) kini menetap di Perth, Australia. Tetapi kalau ada peminat yang mahu berduet dalam lagu-lagu duet saya itu, biasanya saya akan penuhi permintaan mereka. "Sebab itu, selain lagu-lagu lama saya juga perlukan lagu-lagu terbaru untuk dipersembahkan pada persembahan-persembahan terbaru yang diadakan nanti," katanya lagi. Biarpun sudah lama tidak merakamkan album baru tetapi Fran atau nama sebenarnya Luciana Francissca Peter boleh menarik nafas lega kerana berjaya mengadakan konsert solo terbesarnya di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Februari tahun lalu. Konsert yang diberi nama Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter itu boleh disimpulkan sebagai manifestasi terhadap pembabitannya sebagai penyanyi selama lebih tiga dekad yang lalu. "Mungkin susah mahu buat selalu konsert yang besar seperti itu. Tetapi pada masa sama saya mahu pastikan akan terus merakamkan album baru selagi suara dan bakat saya masih diperlukan dalam bidang ini," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails