Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keunggulan Francissca Peter tercalar?


MENABUR bakti mengerah keringat menghiburkan jutaan peminat sejak 33 tahun lalu langsung tidak pernah penat buat Francissca Peter.

Bagi dirinya tidak ada sekelumit perasaan jemu tatkala melihat peminat setianya terhibur dek alunan suara merdunya yang saban hari didambakan.

Malah dalam Konsert 33 Tahun Keunggulan Francissca Peter pada penghujung minggu lalu, hampir seluruh penonton yang hadir ke panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur larut dalam emosi.

Terbuai dengan rangkaian lagu-lagu malar segar penyanyi ini, bagaikan mengembalikan nostalgia lama bersama lagu-lagu yang pernah “membesarkan” jutaan peminat tegarnya.

Menariknya, Francissca atau lebih mesra disapa dengan panggilan Fran ini cukup terkesan apabila melihat kebanyakan peminat yang hadir merupakan golongan muda yang hadir tanpa prejudis.

Sedangkan dia tahu, sewaktu namanya meniti puncak populariti dulu, sebilangan besar yang hadir masih terlalu kecil atau barangkali masih belum ada di dunia ini.

Inilah yang membuatkan Fran sayu. Menitis air mata gembira melihatkan dirinya masih lagi diterima ramai sedangkan dia tahu wajahnya sudah tidak kerap menerima tempias populariti.

Dalam tangis gembira itu, terselit juga cerita yang kurang enak mengenai konsert yang berskala besar itu.

Ramai peminat yang cukup kecewa dengan masalah teknikal yang wujud sehinggakan persembahan pada hari Sabtu yang lalu terpaksa ditunda lebih setengah jam.

Alasan pihak produksi, ada masalah teknikal yang berlaku yang tidak dapat dielakkan.

Namun Pancaindera dapat menghidu pelbagai masalah yang berlaku bukan sahaja berpunca daripada teknikal semata-mata tetapi ada cerita besar lain yang berlaku di belakang tabir.

Ada pihak yang mendakwa pemuzik orkestra yang mengiringi persembahan tiga malam tersebut meminta bayaran mereka dilunaskan sebanyak 70 peratus pada malam persembahan.

Orkestra yang dipimpin oleh Datuk Ramli MS itu juga tidak mahu meneruskan persembahan sehinggalah pihak produksi membayar sejumlah wang seperti mana yang diminta. Benarkah dakwaan tersebut?

Paling terkesan apabila persembahan pada malam terakhir tersebut yang dikatakan sedikit terganggu dengan pelbagai masalah teknikal yang melanda sehingga mengganggu keseluruhan persembahan.

Tidak mahu terus percaya pada cerita yang disampaikan, Pancaindera mencari orang yang bertanggungjawab dalam mengemudi Konsert 33 Tahun Keunggulan Francisca Peter untuk mendapatkan cerita yang sebenar.

Jangan tanya saya - Fran

CUKUP terkejut dengan pelbagai dakwaan tersebut, Fran nyata kecewa dengan apa yang sudah berlaku. Baginya, konsert pada 5 dan 6 Februari itu cukup berjaya dengan sambutan peminat yang hadir pada setiap malam.

“Saya tak tahu apa yang dah berlaku. Sebab masa persembahan itu saya berdiri sebagai penyanyi. Memang persembahan pada hari Sabtu dimulakan agak lewat.

“Alasan mereka ketika itu terdapat masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Jadi saya duduk di belakang pentas dan hanya menunggu masa untuk ke pentas.

“Kalau awak nak tahu apa yang terjadi, rasanya bolehlah tanya pada orang produksi. Mereka lebih tahu hal tersebut daripada saya.

“Hal duit tu pula, saya tak tahu apa-apa. Itu awak kena tanya Ramli MS sendiri,” jawab Frans tanpa berselindung.

Tidak mahu terus terheret dalam kancah kontroversi, Fran seboleh-bolehnya mahu cerita buruk ini dihentikan segera.

Cukup terkesan apabila cerita begini boleh timbul, akui Fran dia cukup sedih dengan pelbagai masalah yang timbul terutama insiden konsert dimulakan sedikit lewat.

“Memang saya risau dan sedih sebab ia dimulakan agak lewat tapi apa yang boleh saya buat. Hidup kita kan pendek, jadi nak tak nak kita kena teruskan hidup,” kata Fran lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails