Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Gambit Saifullah. Show all posts
Showing posts with label Gambit Saifullah. Show all posts

"Saya Bukan Sombong Tetapi Pemalu" - Gambit

Pelakon dan penerbit Gambit Saifullah menjelaskan tuduhan dia bersikap sombong dan sukar didekati yang dilemparkan kepadanya langsung tidak mencerminkan siapa dirinya yang sebenar. Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 29, berkata, tuduhan tersebut adalah tidak adil buatnya kerana dia bukanlah seorang individu seperti itu. "Label yang diberikan itu saya sudah dengar lama dulu tetapi ramai orang tidak tahu bahawa saya sebenarnya seorang pemalu apabila berhadapan dengan orang yang saya baru jumpa. "Hanya kerana sifat itu saya terus dilabel sombong dan sukar didekati tetapi saya tidak kisah kerana bagi yang mengenali saya secara peribadi mereka tahu siapa saya sebenarnya," katanya. Dalam pada itu, Gambit memberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan dalam masa terdekat selepas mengalami 'meniscal tear' atau koyakkan tisu pada bahagian lutut kaki kanannya akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak. Gambit berkata, kecederaan itu telah dialaminya sejak beberapa bulan lalu namun ia semakin serius sejak akhir-akhir ini.
"Kecederaan pada lutut ini sebenarnya sudah lama akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak sebelum ini namun semenjak akhir-akhir ini ia bertambah teruk dan doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan itu dalam kadar segera. "Jika saya tidak buat pembedahan itu, kecederaan akan bertambah teruk dan ia memberi masalah lain kepada kaki saya," jelasnya. Tambah Gambit, selepas pembedahan dia memerlukan masa sehingga tiga minggu sebelum pulih sepenuhnya selain diminta oleh doktor untuk tidak terlalu aktif dalam bidang sukan. Sementara itu, Gambit berkata, dia kini sibuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn Bhd yang semakin berkembang dalam menerbitkan program televisyen seperti program berbentuk majalah, telefilem dan video korporat. Jelas Gambit, dia kelihatan sepi daripada bidang lakonan bukan kerana tidak mempunyai tawaran sebaliknya sibuk menguruskan syarikatnya itu. "Tawaran berlakon masih ada, Alhamdulillah... cuma saya perlu bijak mengimbangi jadual kerana sibuk dengan pelbagai kerja belakang tabir namun saya tidak pernah melupakan bidang itu," katanya.

Gambit dibenci peminat

DALAM satu kaji selidik di sebuah laman internet mendapati 35 peratus daripada 587 pengundi mendakwa mereka benci menonton lakonan Gambit Saifullah. Semua rasa dan komen ini terhambat keluar selepas mereka menonton program realiti keluaran Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia yang sedang rancak ke udara kini. Gambit dan pasangannya Alif Hadi menjadi pasukan yang paling mahu disingkirkan oleh pesaing yang masih tinggal. Bersikap kompetitif dan menjalankan strategi provokasi jelas membuatkan pasangan ini mendapat perhatian positif paling sikit daripada khalayak. Lebih-lebih lagi Gambit yang dilihat sebagai antagonis dalam Fear Factor ini. Memburukkan keadaan apabila pergaduhan antara Gambit dan Farish turut membuah kebencian dalam hati penonton. Gambit sedar akan hal itu. Dia tahu dia sedang berkarakter antagonis di mata khalayak. Namun dia mengakui bahawa tidak bermasalah dengan mana-mana peserta program tersebut malah persahabatan dengan Farish masih baik. "Jujurnya, saya tidak tahu apa-apa tentang arwah bapa Farish yang meninggal kerana lemas. Setelah selesai baru saya tahu," ujarnya yang dilihat tidak sensitif terhadap peserta Fear Factor. Dalam salah satu cabaran, Gambit menjalankan perang psikologi apabila menyatakan: "Aku harap ada yang akan lemas melakukan aksi ini." Gambit mendakwa, dia bersikap kompetitif kerana berada dalam sebuah game show di mana semua orang ingin menang. "Saya tertanya kenapa audiens tidak boleh faham dengan permainan program ini. Mereka terlalu sensitif dan tidak terbuka. Mereka perlu faham istilah game show," kesalnya yang merasakan bahawa penonton perlu memandang daripada sudut produksi dan permainan program. Pada awalnya, dia mengaku enggan terlibat dalam program realiti ini malah tidak terfikir untuk menjadi antagonis dalam permainan Fear Factor. "Saya tidak terfikir untuk jadi jahat. Saya tahu permainan game show ini kerana saya juga merupakan seorang produser dan ada produksi sendiri. Sesebuah game show memang mempunyai elemen psikologi. Itu strategi dalam permainan," katanya yang mendapat banyak luahan tidak puas hati dan kebencian di laman sosial, Twitter. Ditanya tentang persahabatannya dengan selebriti lain dalam Fear Factor, Gambit mengaku mereka tidak bersengketa. "Saya baik dengan semua orang. Saya tidak tahu kalau mereka terasa tentang psikologi saya tetapi sejauh ini kami baik. Saya dan Farish masih boleh main bola di padang sama-sama. Begitu juga dengan Johan dan Kaka, kami bersahabat," jelas pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini. "Mungkin juga khalayak terbawa-bawa dengan cerita-cerita lama saya yang mengatakan saya poyo dan sombong. Ini lebih menokok tambah rasa benci penonton. Bagus juga untuk permainan Fear Factor. Cara suntingan itu yang menampakkan saya jahat. Tetapi penonton kena bijak mentafsir," senyumnya yang juga mendapat pujian khalayak kerana memberi rencah keseronokan dalam Fear Factor. Lebih memburukkan keadaan apabila laman peminat Facebook milik Gambit diganggu seseorang yang mengakui sebagai dirinya. Pengurus Gambit, Lina Merican mendakwa, ada individu menyamar di laman Facebook sebagai Gambit dengan menggunakan nama dan gambarnya. "Apabila saya letakkan status, dia akan memberi komen dengan carutan dan kata-kata kesat. Walhal itu bukan Gambit. Saya tidak mahu peminat salah sangka dan memberi kesan buruk kepada Gambit," ujar Lina yang sudah membuat aduan kepada ibu pejabat Facebook namun tiada respons. "Ada juga jenis peminat yang gila nak jatuhkan saya. Saya sedar dan perasan apabila ada isu sahaja pasti 'peminat' ini akan masuk ke laman Facebook dan memberi komen. Memperlihatkan seperti saya memaki peminat," keluh Gambit. Ditanya tentang perkembangan terkini Gambit, dia yang masih cintakan bidang lakonan sedang mempersiapkan produksinya, Eightball Productions Sdn. Bhd. dengan sebuah program realiti berjudul Sesat. Kali ini Gambit bertindak sebagai produser, pengarah dan hos. Bakal dijalankan di Bandung selama dua minggu, Sesat yang akan disiarkan di saluran Astro Ria mengajak dan menduga selebriti tempatan tentang kemahiran mereka dalam melancong. Selain itu, Gambit juga sibuk mengikuti kelas vokal untuk muncul dengan single kelak dan memilih rock balada sebagai genre nyanyiannya.

Menyampah! suka hatilah - Gambit

RAMAI yang mengata dia seorang yang angkuh, berlagak dan cakap besar terutama dalam urusan kerjaya anak seni. Berlakon tak seberapa, harapkan rupa dan glamor sahaja tapi hasilnya kosong. Dilanda pula dengan kontroversi murahan dek penerbitan klip video ala-ala lucah penyanyi Prema Yin tahun lalu menyebabkan dirinya terjebak masuk dalam kategori artis bermasalah. Kesannya, dia selalu dipinggirkan kerana dimomokkan dengan aura negatif sebegitu. Adakah Gambit Saifullah menyedari situasi kurang menyenangkan itu? Kenapa tak ada sebarang usaha untuk membersihkan namanya secara kolektif sehingga hari ini? “Sebenarnya, saya bukan tak nak membersihkan nama sendiri. Tapi selagi ada persepsi sebegitu terhadap saya, memang usaha saya itu akan jadi sia-sia. Orang mudah bagi penilaian kepada artis. Mereka mudah terpedaya pada luaran seseorang. Yang baik, ramah, cantik dan ‘kosong’ selalunya jadi perhatian. “Tapi berlainan situasinya kalau ada artis yang pernah terlibat dengan mana-mana kontroversi. Pasti dilabel hitam sampai mati. Masa itu juga artis itu terdedah dengan macam-macam spekulasi rekaan yang dilemparkan. Bukan saya tak pernah suarakan perkara (membersihkan nama) ini, tapi selalunya kata-kata saya itu dipandang sepi. Tak sampai pun kepada golongan sasaran. “Malah apa juga yang saya luahkan selalunya jadi bahan kata orang lain pada kemudian hari. Jadi, buat apa nak bersusah payah. Kalau orang dah menyampah dengan kita, suka hati merekalah," luah Gambit tentang isu melanda dirinya selepas majlis pelancaran program Fear Factor Selebriti Malaysia yang bersiaran di Astro Ria, petang Isnin lalu. Adakah pelakon bernama asal Mohd. Saifullah Rosli ini pernah mempertikaikan tindakan orang sekeliling tentang persoalan tersebut? Katanya: “Itu adalah hak masing-masing. Pendirian saya jelas dan yang salah tetap salah. Kalau orang marah saya sebab terbitkan klip video Prima Yin itu, saya hanya boleh cakap perkara itu terjadi ada sebabnya. Tapi tak payahlah nak cakap benda dah lama. Saya pun ambil iktibar selepas kejadian itu." Pelakon utama filem Karipap Karipap Cinta ini turut menyatakan bahawa kepuasan berkarya adalah sasaran utama dalam industri. Biarpun kedengaran seperti jawapan klise buat artis tapi itu adalah hakikatnya. “Ada pelakon yang berlakon nak bagi audiens suka pada dia. Walaupun berlakon entah apa-apa, tapi sebab audiens suka, jadi dia teruskan kerjaya berlakon itu. Ada juga pelakon yang suka demand lebih-lebih walhal kerja tak seberapa. “Saya bukan macam itu. Saya sanggup tolak banyak tawaran berlakon tahun lepas untuk menghasilkan yang terbaik sebagai penerbit. Sekarang, kerjaya itu adalah sasaran saya. Saya yakin selagi kita serius dalam bidang kerja kita, pasti orang luar akhirnya sedar dengan bakat saya satu hari nanti," katanya penuh yakin. Inilah aku! Bertanyakan tentang perwatakan sebenar anak sulung daripada tujuh beradik ini, menyebabkan Gambit terdiam sebentar. “Sebenarnya, saya adalah saya. Memang orang nampak perwatakan seperti sombong dan sukar didekati. Ada orang cakap saya pelik, tapi perkara itu terjadi apabila pemikiran kita tak selari. Walhal saya hanya manusia biasa. “Sampai bila kita nak dengar cakap orang, sedangkan kita sendiri ada sasaran keinginan diri yang hendak dicapai. Menjadi hipokrit itu biasa buat seorang pelakon, tapi perlu diingat kenalah berpada-pada. Takkan semua benda kita nak jadi macam itu bukan," soalnya penuh makna di hujung perbualan.

Kerja Gambit Lebih Mudah Selepas Lantik PA

PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah mengakui kerjayanya sebagai pelakon dan penerbit program dengan syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn Bhd semakin berkembang selepas memiliki seorang pembantu peribadi (PA) iaitu Azlina Merican. Wanita itu pernah menjadi PA kepada Awal Ashaari, sebelum ini. Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 27, berkata, bekerjasama dengan Azlina yang turut membantu menyumbangkan idea bagi penghasilan program baru memudahkannya untuk menjual program-program yang dirancang ke stesen-stesen televisyen. "Selain menjadi pengurus peribadi, dia (Azlina) juga merupakan sebahagian besar penyumbang idea dalam syarikat produksi saya. "Alhamdulillah, kami akan menghasilkan pelbagai program menarik untuk disalurkan ke stesen televisyen," katanya. Sehingga kini, syarikat itu telah pun menghasilkan program Disebalik Jersey yang telah pun disiarkan di Astro Ria pada Ogos lalu serta The Hoppers & Ahli Muzik pada tahun 2008. Tambah Gambit, dia juga bersyukur kerana Azlina tidak kisah dengan kontroversi yang pernah berlaku terhadapnya sebelum ini malah bersedia untuk melakukan sesuatu bagi membersihkan semula nama Gambit. Sementara itu, selepas kegagalan filem Karipap-karipap Cinta (2011) yang menonjolkan bakat lakonan Gambit, kini pelakon itu bakal muncul dengan filem Hantu Bukit Cina (HBC), terbitan Award Makers Sdn Bhd yang akan ditayangkan pada awal tahun depan. "Tidak sabar rasanya untuk melihat respons penonton terhadap filem ini. Sudah dua tahun ia tertangguh. Moga kemunculan saya kali ini dapat memuaskan hati semua. "Kalau boleh, biarlah orang lupakan segala kontroversi yang pernah berlaku selepas menonton bakar saya dalam HBC," ujarnya. Selain Gambit, pelakon Fouziah Gous, Siti Fazurina Famir dan Kamarool Yusof turut membintangi filem tersebut. Dalam perkembangan lain Gambit bersama 29 peserta lain antaranya Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz dan Azam Pitt akan berangkat ke Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober sehingga 15 November depan bagi menjalani rakaman Fear Factor Selebriti Malaysia.

Akui pernah tersilap - Gambit Saifullah

KONTROVERSI demi kontroversi membelenggu sebaik melangkah ke dunia seni. Bermula dengan sikap dirinya yang dikatakan sombong dan bongkak, dia juga dianggap sebagai seorang artis yang bermulut lepas. Pun begitu puncak segala kontroversi mengenai diri sang pelakon bernama Gambit Saifullah ini tentunya perihal video klip penyanyi Prema Yin, Marilah yang diarahkannya yang dikatakan berunsur lucah sehingga menimbulkan kemarahan khalayak. Sejak tercetusnya isu panas itu kira-kira dua tahun lalu, pelbagai pihak mengecam pelakon tersebut hingga akhirnya nama Gambit itu sendiri lenyap dari dunia seni. Biar sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu, empunya badan sendiri juga seakan-akan menyepikan diri dan kemudian 'hilang' dari arus seni. Tetapi hari ini, dia kembali. Kembali dengan semangat dan tekad baru. "Ya! Saya mahu berubah. Berubah ke arah yang lebih baik, sudah tentu," katanya kepada Hits lewat pertemuan dengan aktor muda itu baru-baru ini. Mungkin semakin matang mengharungi kehidupan sebagai anak seni, Gambit yang kini berusia 27 tahun merendah diri memberitahu dia berharap diterima peminat seada dan selayak dirinya. "Saya hanya mahu menjadi diri saya. Cuma saya tak tahu nak jadi macam mana? Bila saya terlalu berterus terang, orang kata saya lantang. Tapi kalau saya tak suarakan apa yang terbuku, akan memakan diri saya pula. "Saya tidak mahu jadi hipokrit," tegasnya. Mengakui mungkin sikap dirinya itu tidak boleh diterima sesetengah pihak namun dalam masa yang sama Gambit juga berusaha untuk memperbetulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya. "Jujur dan berterus terang. Itu adalah saya. Saya tak ada niat jahat. Bagi saya setiap orang ada tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan," katanya. Sebab itu tegasnya, biar bergelar pelakon, dia tidak mengejar glamor dan kemasyhuran sebaliknya cuba memberikan yang terbaik untuk masyarakat, mahu berbuat sesuatu yang memberi impak kepada khalayak. Biarpun mengakui bahawa kedua-dua aspek itu perlu bagi seorang pelakon namun katanya, dia lebih mengimpikan kepuasan diri. "Kalau diberi pilihan, antara tawaran yang lumayan tetapi melakonkan perkara yang saya tidak suka, saya lebih rela bergaji rendah tetapi watak saya memberikan kepuasan kepada diri dan memberi impak kepada masyarakat," ujarnya. Menjadi lebih baik "Saya mahu orang melihat sisi baik saya. Malang sekali mereka melihat sebaliknya," kata Gambit atau nama sebenarnya Saifullah Rosli. Dia beranggapan mungkin dengan pelbagai isu panas yang mengaitkan dirinya, dia tidak menanganinya dengan berhemah menyebabkan banyak pihak yang salah faham. "Dulu saya mungkin rebel. Cakap direct. Malah saya akui ketika tercetusnya isu klip video itu adalah masa paling drastik dalam hidup saya. Ia kemuncak segala kontroversi yang melanda," katanya. Namun segala-galanya berubah selepas pulang dari mengerjakan umrah kira-kira dua tahun lepas. Katanya, banyak perkara yang diperoleh dalam pengembaraannya ke Tanah Suci itu. Malah dia menganggap ia satu perjalanan yang membuka hatinya kepada banyak perkara berkaitan kehidupan. "Perjalanan itu menyedarkan saya bahawa hidup kita bukan tentang materialistik semata-mata," katanya. Menegaskan bahawa dia seorang lelaki yang berpegang teguh pada prinsip, pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni juga mematangkan diri. Dan pada ketika dia melalui saat-saat sukar dan keliru, ketika itulah juga tawaran berlakon datang mencurah-curah. "Saya kecewa, keliru dan gundah dengan segala kontroversi. Saya fikir, biar saya relaks dulu. Pada masa yang sama, saya pergi mengembara. Dari situ, saya kemudiannya menerbitkan program televisyen. "Saya beruntung dan bersyukur kerana bertemu dengan pasukan kerja yang betul yang membuatkan saya ingin terus berada dalam dunia ini. Mereka membuatkan saya kuat dan bersemangat," katanya. Kini lebih senang menumpukan perhatian kepada bidang penerbitan namun tegas Gambit, dia juga tidak melupakan bidang lakonan yang menjadi minatnya. "Saya mahu orang nampak apa yang saya buat dan dapat membawa masyarakat ke arah yang lebih baik tidak kira dari segi lakonan mahupun penerbitan," katanya lagi.

Gambit hendak bersih nama - Gambit

GAMBIT SAIFULLAH tidak malu mengakui bahawa namanya dikenali melalui cerita yang kurang enak. Bermula daripada cerita sikap keras kepalanya hinggalah kontroversi klip video Prema Yin arahannya bertajuk Menarilah, semua itu memberi imej negatif terhadap Gambit. Ralatnya dia, semua cerita itu tersebar daripada mulut ke mulut. Walhal menurutnya, ada penyampai cerita yang tidak mengenalinya sama sekali. Malah gelaran poyo secara semberono dipalitkan kepada dirinya. Bertemu Gambit, dia berkata, dia seorang yang peramah namun bukan dengan semua orang. Gambit turut menyatakan dia seorang yang gemar bercakap, malah bertegas bahawa dia bukan manusia hipokrit. "Banyak orang yang tidak memahami saya tetapi senang-senang melemparkan tuduhan. Saya harap orang dapat melihat sisi positif saya. "Saya peramah tapi pada masa yang sama memiliki sifat pemalu. Sifat itulah yang dianggap sombong selama ini. Apa yang penting bagi saya ialah sikap jujur, itu yang sentiasa saya pamerkan," hujahnya. Pada satu sisi, dia melihat skil komunikasinya perlu diperbaiki. Malah lebih daripada itu, dia memilih Lina Merican yang merupakan pengurus Awal Ashaari untuk mengendalikan kerjayanya yang sememangnya memerlukan komunikasi berterusan dengan pelbagai pihak. "Perjalanan kerjaya saya bagus cuma saya inginkan sebuah pasukan yang boleh melancarkan lagi pergerakan saya. "Saya juga hendak membersihkan diri daripada segala kata-kata orang terhadap saya. "Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi sekarang lebih menumpukan kepada kerja-kerja produksi," katanya yang muncul dengan program Nusantara Raya Safee Sali yang ditayangkan pada hari raya kedua lalu. Menerajui produksi Eightball Productions, selepas muncul dengan projek terbaharu berbentuk travel log yang mempamerkan sisi lain Safee Sali bersama kelab bola sepak Pelita Jaya dari Indonesia, Gambit merancang untuk menghasilkan lebih banyak program sebegitu. "Saya banyak mengembara, jadi saya mahu fokus terhadap program yang berbentuk kembara. "Selepas ini, produksi saya akan muncul dengan program yang berbentuk sama namun belum ditentukan siapakah selebriti atau tokoh sukan yang terlibat," ujarnya. Sebagai penerbit, kata Gambit, dia ingin produknya berbentuk mentah dan real tetapi ada nilai komersial. "Sebagai seorang hos pula, saya mahu khalayak melihat saya sebagai pengembara dan merasai penjelajahan saya," ujar Gambit jujur. "Tujuan utama saya keluar dengan program sebegini adalah untuk membuahkan inspirasi sebagaimana saya mendapat inspirasi dengan menonton program sebegitu. "Ia juga sebuah pencarian jiwa untuk saya. Penonton juga dapat mengenali diri saya yang sebenar. "Paling penting, saya dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat. Saya juga mencari kepuasan sebagai pelakon, pengacara, produser dan melalui apa yang saya lakukan," luahnya. "Tanggapan umum tidak menjatuhkan saya. Ia pernah membuatkan saya lebih kuat secara negatif. Sekarang saya mahu bangkit," akhiri ceritanya.

Gambit Tiada Niat Cari Duit Melalui Judi

PETALING JAYA: Tindakan pelakon Gambit bermain daun terup di sebuah lokasi hiburan di Australia baru-baru ini adalah bertujuan untuk mengasah minda psikologi melalui permainan itu. Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 27, berkata, permainan daun terup yang disertainya itu hanyalah secara kebetulan bagi memenuhi masa terluang sewaktu bercuti dan bukannya semata-mata atas tujuan berjudi. "Saya menyertai permainan itu sebenarnya secara kebetulan sahaja dan menganggap ia satu permainan psikologi. "Biarlah orang nak buat macam-macam tuduhan terhadap saya kerana saya bermain daun terup bukan kerana mahu mendapatkan duit, tetapi sekadar ingin menguji pengetahuan. "Cakap pun tak guna, kerana orang akan tetap mengkritik. Asalkan saya dan Tuhan tahu niat sebenar, itu sudah cukup," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu. Gambit baru-baru ini telah menulis mesej melalui Twitter miliknya yang mengharapkan tuah dalam permainan daun terup yang disertainya pada 5 Jun lalu. Gara-gara mesej tersebut, pengikut laman sosial milik Gambit turut menghantar kritikan selain menganggap pelakon itu tidak peka tentang halal dan haram menyertai permainan tersebut. Bagaimanapun, pelakon Karipap-Karipap Cinta itu terkilan apabila kebanyakan masyarakat tempatan terlalu cepat membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat dengan membuat tuduhan yang tidak benar selepas membaca entri berkenaan. "Saya seorang yang sangat sayangkan Malaysia, bangsa dan agama, tetapi kenapa kebanyakan masyarakat kita mempunyai mentaliti iaitu terlalu cepat menilai keburukan seseorang individu itu? "Diakui, salah saya juga meletakkan entri yang boleh menimbulkan persoalan kepada semua tetapi dengan menyebarkan maklumat dan membuat spekulasi sendiri, tidakkah ia berbau fitnah? Dan bukankah fitnah itu haram? "Sebelum mengata tentang orang, cerminlah diri sendiri," tegasnya. Sementara itu pendakwah dan pengacara program Semanis Kurma, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, pemahaman seseorang yang ingin menimba pengetahuan daripada permainan daun terup adalah salah mengikut syariat Islam. Menurutnya, seseorang itu tidak sepatutnya menyertai permainan daun terup atau apa-apa juga aktiviti seumpamanya kerana ia boleh mempengaruhi mereka untuk berjudi. "Saya tidak setuju dengan pendapat individu yang terlibat dengan judi semata-mata atas alasan untuk memahami permainan itu. "Daripada segi hukum, ia sudah pun dikira haram kerana di dalam Al-Quran ada menyebut Allah melarang umat Islam menghampiri perkara-perkara yang haram. "Contohnya, Allah berfirman jangan sesekali menghampiri zina iaitu seperti pergaulan bebas atau majlis tari menari. Sama juga dengan isu perjudian. "Banyak lagi cara lain untuk mendapatkan pengetahuan. Matlamat baik tapi caranya itu sebenarnya salah," tegasnya.

Gambit Saifullah Nekad Berehat


PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah nekad membuat keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan gara-gara berasa kecewa dengan cara kerja industri tempatan.

Gambit berkata, selepas filem lakonannya yang terakhir, Karipap-Karipap Cinta pada tahun lalu, dia menolak banyak tawaran yang diterimanya.

"Diakui, banyak tawaran lakonan yang saya tolak sejak kebelakangan ini. Bukannya apa, saya kecewa dengan cara kerja sesetengah produksi yang dilihat seperti kurang berminat untuk berkarya.

"Yelah, apabila kita bersungguh-sungguh dalam kerja, daln orang lain tidak, ia membuatkan hasil kerja akan kurang memuaskan.

"Selain itu, saya juga mula memilih skrip. Cukuplah dengan apa yang saya buat selama ini, kini saya lebih selektif," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimanapun tambah Gambit, ini tidak bermakna dia berhenti terus daripada dunia lakonan dan berharap penerbit-penerbit tidak menganggap dirinya terus hilang dari persada seni tanah air.

Memandangkan pelakon ini berehat seketika, dia sedang sibuk dengan penerbitan rancangan pelancongan bersama penjaga gol bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, ditanya adakah dirinya masih lagi meletakkan harga yang tinggi jika ditawarkan berlakon memandangkan dia sering dikontroversikan dengan masalah harga, Gambit masih lagi dengan pendiriannya yang mempunyai harga yang tersendiri.

"Saya mempunyai prinsip yang tersendiri dan rasanya tidak salah untuk seorang pelakon 'demand'.

"Tetapi biarlah ia berbaloi dengan hasil kerja yang diberikan. Saya faham ada sesetengah artis yang tidak kisah dengan tawaran yang diterima.

"Bagi saya, biarlah seorang pelakon mempunyai standard harga, sesuai dengan kerja yang dilakukan," ujarnya.

Gambit Saifullah: Saya Ada Simpan Rahsia Pihak Media, Tidur Dalam Bas


Hujung minggu lalu, ketika menyertai jelajah Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM 24) ke Johor kami bertuah dapat menaiki bas yang sama dengan aktor Gambit Saifullah.

Dek kerana itu kami berjaya merakamkan gambar Gambit Saifullah yang sedang tidur lena bersama seorang aktress baru yang tidak wajar kami namakan, namun itu bukan isu utama.

Sepanjang perjalanan kami bersama, Gambit Saifullah sebenarnya seorang yang mesra dengan mereka yang ingin mengenali diri beliau — dan boleh tahan kelakar orang’nya.

Dalam bercerita, Gambit Saifullah ada menceritakan kepada kami yang beliau ada menyimpan beberapa rahsia bersama bukti tentang beberapa orang wartawan yang popular.

Salah satu rahsia yang ada katanya adalah tentang seorang wartawan hiburan yang paling popular setiap hujung minggu — rakaman video kenyataan yang boleh menghancurkan karier beliau sendiri. Entah ya entah tidak.

Gambit Menyesal Keluarkan Kata-Kata Kesat


PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah mengakui kata-kata kesat yang dikeluarkan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini adalah tidak profesional dan terlalu mengikut perasaan.

Gambit, 26, berkata, penggunaan perkataan “babi” dan “anjing” itu tidak ditujukan kepada peminat-peminatnya tetapi kepada individu tertentu yang gemar membuat tohmahan dan fitnah kepadanya selama ini.

"Saya mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan tidak sepatutnya perkataan seperti itu digunakan walaupun saya dalam keadaan marah kerana ia meninggalkan kesan mendalam," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Gambit memberi penjelasan terhadap status Facebook yang ditulisnya dengan menggelar pihak tertentu dalam laman sosial miliknya itu sebagai anjing dan babi.

Status Gambit yang menimbulkan rasa marah peminatnya.

Dalam turut menuduh sesetengah rakan mayanya mempunyai pemikiran yang cetek.

Mengakui menyesal menggunakan perkataan tersebut, Gambit berkata, dia menulis status demikian kerana berasa geram dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang cepat menilai dan membuat fitnah sama ada mengenai dirinya.

"Saya tidak tujukan status berkenaan kepada peminat saya tetapi kepada beberapa individu yang telah meninggalkan pelbagai kata-kata yang bukan sahaja mencalarkan perasaan saya tetapi peminat lain yang membaca," ujarnya.

Gambit telah pun memohon maaf secara terbuka di laman Facebook miliknya.

Bakal muncul dengan filem “Karipap-Karipap Cinta” pada 15 September ini, Gambit juga telah memohon maaf secara terbuka di Facebook miliknya terutama kepada mereka yang marah dengan tindakan terbabit.

Ditanya adakah kontroversi tersebut akan menjejaskan promosi dan kutipan filem “Karipap-Karipap Cinta”, Gambit memberitahu dia tidak tahu sama ada ia akan memberi kesan terhadap filem berkenaan atau tidak namun percaya peminat akan memberi sokongan kepada filem tersebut.

"Saya percaya peminat filem Melayu tempatan tidak akan mencampuri kontroversi ini dengan filem tersebut dan saya juga percaya peminat akan terus menyokong filem ini," katanya.

Jawapan Gambit kurang bijak


TAK tahu bagaimana Kak Pora mahu memberikan reaksi apabila membaca kenyataan Gambit Saifullah mengenai klip video kontroversi arahannya. Kalau Kak Pora ketawa nanti ada yang menyelar Kak Pora tidak terbuka dan berjiwa kecil kerana melihat isu itu hanya dari satu perspektif kecil.

Tapi kalau Kak Pora menyokong, mungkin Kak Pora dihentam kerana ada babak dalam klip video, Marilah nyanyian Prema Yin itu bertentangan budaya Timur. Kak Pora sempat melayari klip video yang heboh diperkatakan itu di laman You Tube. Memang tak manis, apatah lagi pengarah serta pelakon klip video itu, Shahz Jaszle sendiri beragama Islam. Apa yang dipaparkan itu sedikit keterlaluan, malah tidak sensitif kerana tergamak membelakangkan budaya tempatan.

Dalam klip itu, Shahz Jazle dan Prema Yin melakukan aksi hampir bercumbu, berpelukan dalam keadaan seperti sedang berahi.

Ada yang menyelar mereka cuba mencari publisiti murahan bagi meraih perhatian masyarakat. Tetapi apabila membaca kenyataan Gambit, baru Kak Pora faham mengapa klip video itu dihasilkan sebegitu rupa.

Mereka ingin membawa klip video itu ke pasaran luar terutama Amerika Syarikat (AS).
Gambit menjelaskan klip video itu dibuat memenuhi standard untuk pasaran antarabangsa.
Tabiklah Gambit kerana berjiwa besar. Tapi alahai, jawapan Gambit ni buat Kak Pora sakit perut ketawa. Sampai ada yang ingat Kak Pora hilang akal sebab ketawa tak berhenti-henti. Tak ada jawapan lebih bernas ke untuk diberi? Takkan mahu ke AS saja perlu buat klip video separuh lucah? Bila pula pihak di sana menetapkan standard seperti itu?
Kalau mungkin Gambit terlupa, Kak Pora nak beritahu sebelum Prema Yin sampai ke AS, penyanyi wanita bertudung, Yuna terlebih dulu mendapat peluang mempromosikan namanya di sana. Yuna sampai sekarang masih kekal bertudung. Tak pula Kak Pora dengar cerita pengurusan Yuna di sana memaksa dia mengorbankan imejnya sebagai wanita Muslim hanya untuk mendapat tempat di AS.

Susan Boyle juga tak punya pakej komersial untuk dijual. Tetapi apabila dia membuka mulut, ramai yang terpegun dan terpukau. Dia jual suara, tak perlu pun buka baju tapi masih ramai yang mahu memberi publisiti terhadap bakatnya.

Tak perlu ghairah mahu menempa nama di pentas antarabangsa hingga sanggup menggadai maruah dan nama baik. Banyak lagi cara lain untuk popular.

Kontroversi akan lenyap ditelan masa. Tetapi bakat yang hebat akan disebut dan dikenang sampai bila-bila. Gambit kena ingat tu.

Seniman Tegur Gambit, Jangan Malukan Negara


PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menasihatkan pengarah klip video kontroversi, Gambit Saifullah supaya tidak membandingkan hasil karyanya dengan filem-filem lain sebaliknya harus bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan.

Presidennya, Harun Salim Bachik berkata, tindakan Gambit menghasilkan klip video lagu Marilah dianggap tidak bermoral selain mencemarkan imej Malaysia jika dipasarkan di luar negara.

"Jangan dia (Gambit) bandingkan filem ...Dalam Botol dan filem lain dengan klip video itu kerana kreativiti yang dia hasilkan tidak memberikan manfaat dalam konteks budaya Malaysia.

"Lagipun, apa yang dipaparkan di dalam drama dan filem mempunyai mesej tertentu yang lebih jelas berbanding klip video kerana ia mempunyai masa yang singkat selain boleh memberi macam-macam tafsiran," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Harun diminta mengulas berhubung penyebaran klip video Marilah nyanyian Prema Yin yang dilakonkan dengan aksi berahi melibatkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle.

Alasan Gambit, aksi yang di arahkannya itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.

Harun berkata, sebagai rakyat Malaysia, Gambit seharusnya menghasilkan klip video yang memaparkan budaya-budaya negara ini untuk diketahui bangsa asing bukannya menampilkan sesuatu yang boleh mencemar nama negara.

"Klip video itu agak keterlaluan. Walaupun ia dihasilkan untuk pasaran luar negara, mereka sepatutnya peka dengan budaya dan agama rasmi negara kita iaitu Islam serta budaya yang kita amalkan.

"Jadi, mereka perlu berhati-hati melakukan klip video itu dan jangan terlalu terikut-ikut dengan budaya barat," jelasnya lagi.

Katanya, banyak lagi unsur lain yang boleh diterapkan untuk menyampaikan kasih sayang dan cinta dalam sesebuah karya.

Bukan sahaja Gambit kata Harun sebaliknya Prema Yin dan Shahz Jazle turut bertanggungjawab dalam kontroversi berkenaan.

'Aksi Keterlaluan, Shahz Jazle Dah Tahu' - Gambit


PETALING JAYA: Pengarah klip video kontroversi, Gambit Saifullah, 26, menjelaskan pelakon Shahz Jaszle sudah mengetahui jalan cerita klip video yang diarahnya sebelum bersetuju untuk melakonkan adegan yang diberikan.

Gambit berkata, sebelum menerima tawaran itu, Shahz sudah dimaklumkan dengan adegan yang bakal dilakonkan termasuk berpelukan dengan penyanyi Prema Yin dalam klip video tersebut.

“Shahz sudah dimaklumkan apakah adegan yang hendak dia lakonkan dalam klip video Prema Yin itu,” katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Gambit diminta mengulas kenyataan Shahz Jazle dalam sebuah portal hiburan kononnya dia terkejut hasil klip video itu yang agak keterlaluan dan mengakui tidak selesa melakonkan adegan berkenaan.

Shahz Jazle menjadi model klip video bagi menjayakan single terbaru Prema Yin berjudul Marilah dengan aksi yang dilihat keterlaluan seolah-olah sedang berahi dalam menonjolkan keintiman hubungan suami isteri.

Ia menjadi lebih hangat apabila Gambit membuat kenyataan klip video itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat selain berpendapat ia tidak berunsur lucah seperti mana yang diperkatakan umum.

Gambit bagaimanapun enggan memberikan komen lanjut berhubung kenyataan yang diberikan oleh Shahz itu sebaliknya menjelaskan pelakon tersebut sedah mengetahui apa yang hendak dilakukannya.

“Saya pun tak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Saya mengaku agak stres,” katanya.

Gambit Perjelas Arah Klip Video Unsur Lucah


PETALING JAYA: Pengarah klip video Marilah, nyanyian Prema Yin iaitu Gambit Saifullah menganggap video klip tersebut tidak berunsur lucah dan keterlaluan seperti mana yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Malah menurutnya, klip video yang menggandingkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle tidak seharusnya dijadikan kontroversi kerana hanya memaparkan adegan yang dianggap 'biasa'.

"Saya tidak rasa ia menjadi kontroversi kerana saya hanya menampilkan adegan pasangan suami isteri yang sudah kehilangan cinta dan mempunyai ego masing-masing.

"Saya rasa ia tidaklah terlalu teruk, mungkin ia menjadi kontroversi disebabkan saya dan Shahz Jaszle terlibat dalam klip video ini," ujarnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Gambit diminta memberi penjelasan berikutan klip video Marilah yang merupakan single terbaru Prema Yin dikatakan memaparkan aksi bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.

Dalam klip terbabit, Shahz Jazle dan Prema Yin dilihat melakukan aksi hampir-hampir bercium, berpeluk serta melakukan adegan seperti sedang berada dalam keadaan berahi.

Mereka juga dikatakan cuba membuat publisiti murahan bagi meraih perhatian masyarakat khususnya peminat industri hiburan tanah air.

Kata Gambit, klip video tersebut dihasilkan mengikut perbincangan daripada pihak produksi dan klien yang mahukan ia mengikut standard klip video artis luar negara.

Menurutnya, niat utama penghasilan klip video itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.

"Memanglah kalau boleh saya ingin ia turut diterima oleh peminat hiburan tanah air. Tapi kalau ia tidak diluluskan, saya tidak ada bantahan kerana hasrat utama menghantarkannya ke Amerika Syarikat," katanya.

Dalam pada itu, Gambit turut mempersoalkan mengapa sesetengah pihak mengatakan karyanya itu keterlaluan dan lucah sedangkan banyak filem tempatan yang menampilkan aksi lebih daripada itu.

"Kenapa orang ingin mempertikaikan klip video ini sedangkan filem ...Dalam Botol yang jelas memaparkan hubungan songsang dan terdapat aksi lebih teruk tetapi ia diluluskan.

"Apa salah saya, bagi saya video klip tersebut tiada adegan cium ataupun meraba," ujarnya.

Bagaimanapun, dia menerima teguran yang dibuat secara positif dan akan cuba yang terbaik untuk masa akan datang.

"Saya tidak kisah apa orang nak cakap tentang klip video tersebut, saya terima teguran mereka dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Prema Yin yang dihubungi kini berada di Amerika Syarikat manakala Shahz Jaszle pula tidak menjawab panggilan untuk mengulas tentang klip video tersebut.

Kenapa Gambit digugurkan?


SYED tak pasti apa sebenarnya yang terjadi kepada pelakon Gambit Saifullah yang digugurkan dalam pementasan muzikal Kenangan Mengusik Jiwa. Padahal pementasan tersebut akan berlangsung kurang dua minggu sahaja lagi.

Risik-punya risik rupa-rupanya pihak produksi merasakan yang Gambit kurang bersedia dan tidak memberikan komitmen kepada keseluruhan produksi seterusnya menyusahkan semua orang.

Malah ketika Syed menyaksikan latihan Kenangan Mengusik Jiwa minggu lalu, kelibat Gambit langsung tak kelihatan sehingga menimbulkan tanda tanya. Ada yang membisikkan sesuatu pada telinga Syed minggu lalu. Kata mereka nama Gambit terpaksa digugurkan atas pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Memang nama Gambit sudah kami gugurkan sebab tidak memberi apa yang kami harapkan dan sudah tentu komitmen menjadi perkara penting dalam pementasan berskala besar seperti ini.

“Kalau ikut cerita yang aku dengar, dia ni langsung tak ada kemajuan. Orang lain dah boleh menari, tapi dia langsung tak ada kemajuan. Bukan pihak produksi tak bagi peluang, tapi dia tetap di tahap itu.

“Ada juga kru yang merungut sebab lihat Gambit tak menunjukkan kemajuan. Dah macam tak serius sahaja sebab tu ramai yang risau. Padahal masa yang tinggal makin suntuk.

“Kejap datang latihan, kejap tak. Sampai satu tahap pengarah bagi 48 jam kepada dia untuk buat yang terbaik. Sudahlah tak datang latihan, panggilan telefon pun tak berjawab. Jadi lebih baik dia tak terlibat sama.” kata sumber ini lagi.

Tak mengapalah, mungkin bukan rezeki Gambit untuk menyertai produksi besar seperti ini. Ramai lagi yang betul-betul berbakat yang boleh ganti tempat dia. Percayalah.

Gambit Sangkal Mahu Bersara Selepas Mengerjakan Umrah


PETALING JAYA: Pelakon kacak Gambit Saifullah menolak tuduhan kononnya dia mahu berundur dalam bidang seni selepas mendapat petunjuk ketika mengerjakan umrah.

Pelakon drama Awan Dania itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada dunia lakonan hanya untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja di belakang tabir.

"Saya terkejut apabila membaca berita mengatakan saya ingin mengundurkan diri sedangkan saya tidak pernah beritahu sesiapa pun hal itu.

"Lagipun saya mengerjakan umrah pada tahun lepas, kenapa hal itu timbul sekarang?

"Saya masih baru dalam dunia lakonan ini dan tidak pernah terfikir lagi untuk berhenti berlakon dalam masa terdekat ini.

"Tentang kerja di belakang tabir memang saya sudah lama buat sejak sebelum bergelar pelakon dengan menerbitkan klip video korporat dan beberapa muzik video di bawah syarikat milik sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Gambit diminta mengulas tentang dakwaan dia ingin mengundurkan diri dan menumpukan perhatian terhadap kerja di belakang tabir seperti dilaporkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar harian tabloid Ahad lalu.

Kata Gambit, penolakan beberapa tawaran berlakon di beberapa drama dan filem bukan bermaksud dia ingin keluar dalam bidang lakonan ini.

"Ya, memang saya agak memilih dalam menerima tawaran berlakon. Saya tidak mahu watak yang agak sama sahaja dan tidak mencabar lakonan saya.

"Tapi perkara itu tidak bermakna saya ingin mengurangkan aktiviti seni dan terus mengundur diri dari dunia seni ini," katanya.

Jelasnya khabar angin tersebut sedikit sebanyak memberi persepsi buruk terhadapnya sebagai artis baru.

"Tahun ini saya banyak dilanda dengan berbagai kontroversi. Saya tahu ramai yang tidak gemar membaca hal-hal seperti ini.

"Saya tidak mahu ada yang mengatakan perkara ini sengaja saya reka untuk menarik perhatian masyarakat," katanya kesal.

Dalam pada itu, tentang perkembangan lakonan, Gambit bakal membintangi sebuah filem dan teater muzikal pada pertengahan tahun ini.

Isteri Aziz M.Osman Tidak Profesional - Gambit


PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah,26, kurang senang apabila dituduh besar kepala termasuk meletakkan harga tinggi iaitu sebanyak RM50,000 untuk membintangi filem Azura 2011 arahan Aziz M. Osman.

Sebaliknya pelakon itu mendakwa isteri pengarah tersebut iaitu Puteri Lily Lokman tidak bersikap profesional kerana gagal memberi sebut harga yang sebenar ketika menawarkan dia watak Zack untuk filem itu.

Kata Gambit, dia terkejut apabila perjanjian harga yang sepatutnya dianggap sulit, telah didedahkan kepada heroin filem tersebut iaitu Neelofa dan menganggap cara Lily bekerja adalah tidak matang.

"Saya tak mahu panjangkan isu ini dan dengan penjelasan yang diberi, saya harap semua pihak faham dengan kedudukan saya yang sebenar.

"Perbincangan dibuat antara Lily dan pengurus saya iaitu Nor pada 16 Januari lalu. Pada mulanya kami telah mencapai persetujuan apabila pihak Lily bersetuju dengan bayaran RM40,000 untuk saya membintangi filem itu.

“Kemudian tidak sampai satu jam selepas persetujuan itu, pihak Lily memaklumkan harga diturunkan kepada RM35,000.

"Lebih memeranjatkan pada keesokan harinya saya menerima panggilan telefon daripada Neelofa yang memujuk saya agar menerima tawaran RM35,000 itu. Saya tertanya-tanya mengapa Lily boleh mendedahkan bayaran berkenaan kepada pelakon lain?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Tambah pelakon itu, dia menerima harga tersebut selepas Aziz menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan persetujuan sama ada dia menerima ataupun menolak tawaran berkenaan.

Kata Gambit lagi, dia lebih kecewa apabila pengurusnya memberitahu, isteri Aziz sekali lagi bertindak tidak matang apabila terus menurunkan harga sebanyak RM5,000 lagi kepada RM30,000.

"Saya rasa diri dipersendakan apabila Lily bermain tarik tali tentang tawaran harga tersebut. Daripada RM40,000 menjadi RM35,000 dan akhirnya dia tawarkan saya RM30,000. Adakan ia satu cara yang profesional?

"Bayangkan, saya terpaksa membatalkan tawaran berlakon filem lain kerana filem Azura 2011 ini di mana ia membabitkan penggambaran di Paris dan London selama 10 hari dan beberapa minggu di sekitar Malaysia.

"Saya tahu Aziz merupakan seorang pengarah filem yang berpengalaman. Tetapi isterinya mungkin terlalu muda untuk menguruskan mengenai tawaran perjanjian harga,” katanya.

Dengan penjelasan yang diberikan ini, Gambit berharap tiada lagi kontroversi remeh yang boleh menjejaskan karier lakonannya kerana dia ingin memberi tumpuan dalam kerjaya seninya.

Azura 2011 merupakan kesinambungan filem Azura arahan Deddy M. Borhan yang diterbitkan pada tahun 1984 lakonan Jamal Abdillah sebagai Zack sementara Ogy Ahmad Daud sebagai Azura.

Akibat masalah yang timbul itu tempat Gambit dikatakan digantikan oleh pelakon baru Shahz Jaszle.

Salahkah Gambit Hidup Mewah?


MENGIMBAU semula susur galur perjalanan lima tahun pelakon Gambit Saifullah, 25, dalam industri seni tanah air, siapa sangka anak muda ini sudah mampu mengumpul aset seperti rumah dan kereta mewah dengan hasil titik peluh sendiri.

Bukan hendak menunjuk, sebaliknya pengarah dan penerbit ini mahu mengubah persepsi masyarakat. Ada yang mendakwa Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli memiliki aset mewah atas bantuan bapanya.

Malah berkali-kali dia menegaskan yang dirinya bukan anak Datuk atau orang kaya seperti didakwa sesetengah pihak.

Jelas pemuda berasal dari Kuala Lumpur ini, segala aset yang dibeli menggunakan wang simpanannya. Dia terjun dalam industri lakonan melalui bidang peragaan dan seterusnya menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Eightball Production Sdn Bhd pada tahun 2008.

Selepas menyepi beberapa ketika daripada industri seni, Gambit membuat kemunculan semula secara aktif pada tahun lalu.

Antara filem terbaru lakonannya yang belum ditayangkan adalah Misteri Jalan Lama, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta. Dia juga pernah muncul dalam filem Cinta, Susuk dan Rasukan Ablasa.

Sementara drama lakonannya termasuklah Awan Dania musim ketiga, Siong, Kau Laksana Bulan, Datang Bulan, Ulat Ulat Cinta dan Realiti.

Puas mengembara

Peluang berkunjung ke luar negara atas tiket bekerja pastinya tidak akan dilepaskan peluang oleh sesiapa sahaja. Gambit yang sudah puas mengembara di luar negara akui tidak kekok untuk melakukan penggambaran di mana-mana sahaja tempat yang ditawarkan.

Ajaklah ke mana-mana pun, dia pasti boleh membawa diri ditambah pula dengan kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol.

Bercerita mengenai penggambaran Awan Dania di Perth, Australia yang diadakan hujung November lalu, Gambit yang memegang watak Akmal Tan Sri Akbar memberitahu sebelum itu dia telah pergi ke Gold Coast, di negara yang sama untuk penggambaran dokumentari terbitan syarikatnya, kembara A Piece of Gambit Flying Pilot, Gold Coast Australia. Dia turut berlakon dan mengarah dokumentari tersebut pada September lalu.

“Pengalaman saya buat penggambaran di mana-mana pun seronok. Cuma cuaca negara orang dan di negara kita agak berlainan,” katanya.

Menyentuh tentang karakter Akmal dalam drama yang sedang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) itu, dia melakonkan watak sebagai seorang usahawan yang kaya dan kacak.

Selain bergelar anak tunggal dalam keluarganya, Akmal juga merupakan seorang kasanova dan bermulut manis serta selalu dikelilingi oleh wanita.

Perancangan masa depan

Setiap langkah diatur dengan penuh bersahaja. Tanpa menerima banyak publisiti meluas dan paparan gosip hangat di media massa, anak sulung dari tujuh beradik ini tidak pernah berputus asa untuk bercita-cita tinggi. Dia menyasarkan untuk bergelar pengarah dan penerbit filem dalam masa lima tahun dari sekarang.

“Saya mahu menghasilkan filem yang mampu mengubah industri perfileman kita. Mungkin filem tersebut ada menyentuh tentang pengembaraan kerana saya suka mengembara. Yang penting, saya akan cuba menghasilkan sesuatu lahir dari hati dan ikhlas.

“Saya lebih gemar kaitkan filem tempatan dengan mentaliti orang kita sendiri. Bukan bermakna perlu mengharapkan filem kita setanding dengan filem Hollywood, tetapi sekurang-kurangnya sesebuah filem itu perlu mempunyai elemen seni dan komersial.

“Jika melihat kebanyakan filem tempatan, banyak elemen komersial yang digunakan berbanding seni. Jadi, penggiat filem kita seharusnya menilai filem sesama sendiri,” katanya yang lebih gemar menjadikan filem Mexico sebagai rujukan.

Tambahnya: “Dulu saya ada persepsi bahawa industri perlu ada seseorang untuk melakukan perubahan tetapi ramai penggiat filem tidak bersetuju sebaliknya memikirkan semua pihak iaitu penerbit, pengarah, pelakon dan penonton perlu bersatu untuk berubah.”

Lantas dia tidak mengetepikan ilmu lakonan dan pembikinan filem itu harus ada dalam diri setiap penggiat filem. Buktinya, dia pernah mengikuti beberapa bengkel termasuk lakonan, latihan suara dan penulisan skrip.

Bagaimanapun, Gambit perhatikan ramai penggiat industri lebih memikirkan wang dan keuntungan. Sebab itu dia kurang bersetuju apabila ada pihak yang menyalahkan dirinya kerana menolak sesetengah tawaran berlakon dan bersikap pemilih.

Mengambil kira pelbagai faktor, graduan Diploma Kejuruteraan Automotif dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal ini bukanlah seorang yang terus bersetuju untuk berlakon sesuatu filem atau drama itu tanpa meneliti skrip dan karakternya.

“Saya memilih skrip dan karakter yang bagus demi kebaikan dalam industri. Itu matlamat saya untuk mencapai apa yang saya boleh lakukan,” katanya.

Setakat ini, dia akui puas berlakon filem Karipap Karipap Cinta yang diarahkan oleh Othman Hafsham. Dia seronok bekerja di bawah pengarah berusia 72 tahun itu yang bukan sahaja berdisiplin malah mudah dibawa berbincang.

Ambil lesen kapal terbang

Pada tahun 2011, Gambit merancang untuk melakukan aktiviti yang lebih mencabar dengan mengambil lesen kapal terbang. Dengan ada lesen itu, Gambil bolen memandu kapal terbang atas urusan kerja dan juga untuk kepuasan diri.

“Saya suka belajar sesuatu yang baru. Sekurang-kurangnya, pemikiran saya tidak tertutup. Walaupun saya berfikiran terbuka tetapi masih mengambil tahu tentang adat kita.

“Saya akan memandu kapal terbang untuk meninjau keindahan sesuatu tempat dari awan sambil melakukan penggambaran untuk projek filem atau dokumentari,” jelasnya yang mengakui masih solo.

Menyelak sedikit kisah cintanya, sehingga sekarang dia belum menemui wanita yang serasi.

Dengan wajah serius Gambit turut menafikan dakwaan dirinya seorang kasanova. Dia tidak mencari wanita sebaliknya lebih mementingkan kerjaya.

Dia bercadang untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun dan inginkan suri hidup yang mempunyai kecantikan dalaman berbanding luaran.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails