Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Jamal Abdillah. Show all posts
Showing posts with label Jamal Abdillah. Show all posts

Jamal Abdillah Pastikan Anak Fokus Pelajaran

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah tidak akan membenarkan anak sulungnya, Osama Yamani, 13, untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian secara sepenuh masa buat masa ini. Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 55, berkata, dia mahu Osama memberikan fokus terhadap pelajaran di sekolah dan hanya membuat persembahan jika mempunyai masa terluang. "Dia mempunyai bakat yang cukup besar sebagai penyanyi tetapi sebagai bapa saya mahu dia memberikan tumpuan kepada pembelajaran di sekolah kerana pendidikan itu sangat penting," katanya kepada mStar Online. Jamal kini sedang mengadakan persembahan di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Konsert Nostalgia bersama penyanyi Indonesia, Eddy Silitonga sehingga 31 Ogos ini. Osama juga turut membuat penampilan istimewa dalam konsert berkenaan untuk berduet dengan bapanya. Dalam pada itu, Jamal berkata, biarpun tidak menggalakkan Osama menyanyi secara sepenuh masa namun sebagai bapa dia berbangga dengan bakat dimiliki anaknya itu dan mahu melihat dia berjaya sebagai seorang penyanyi suatu hari nanti. Jelas Jamal, bagi memastikan anaknya itu mendapat pendedahan yang betul dia menghantar Osama ke sebuah sekolah seni bagi membolehkan remaja itu mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik. "Di sekolah berkenaan pada sebelah pagi dia akan belajar subjek akademik seperti biasa manakala pada waktu petang dia akan belajar mengenai muzik yang turut disediakan di sekolah tersebut. "Sebagai bapa saya tidak kisah mengeluarkan sedikit modal kerana apa yang penting dia mendapat pendidikan formal sebagai persediaan untuknya pada masa hadapan," jelasnya. Sementara itu, Jamal berkata, dia tidak mahu Osama terlalu mengikut cara nyanyiannya dan ingin melihat remaja itu mempunyai identiti sendiri sebagai penyanyi. "Saya bersyukur dan berbangga dianugerahkan anak yang berbakat seperti Osama tetapi dia masih banyak ruang untuk dia memperbaiki diri dari segi teknik nyanyian kerana saya tidak mahu dia mengikut cara saya menyanyi. "Tiada tekanan pun untuknya masa ini kerana dia masih muda dan sebab itu saya mahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran terlebih dahulu," katanya.

Jamal Abdillah letak sempadan

PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah, 54, mengaku dirinya cukup menjaga nilai eksklusif untuk terus kekal popular dan relevan sehingga hari ini. Selain kurang muncul di tempat awam, Jamal juga tidak terlalu ghairah untuk memuat naik sebarang status mahupun gambar dalam akaun laman sosialnya. Bukan buta IT mahupun teknologi tetapi tegas pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu, dia harus meletakkan sempadan antaranya dan peminat, tidak seperti artis sekarang yang dilihat terlalu mudah untuk didekati. Kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu, keghairahan artis untuk terlalu dekat dengan peminat membuatkan nilai eksklusif artis tersebut jatuh. Selain itu, Jamal juga menegur ramai penyanyi muda hari ini tidak ikhlas untuk menjadi penyanyi seperti penyanyi yang lahir pada zamannya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jamal yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha Antarabangsa bersama Datuk Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Kosmo!: Mengapakah Jamal meletakkan sempadan dengan peminat? JAMAL: Saya letak sempadan untuk kekal popular dan sentiasa relevan dengan pasaran walaupun saya sudah berusia. Bukanlah saya sombong dengan peminat tetapi bagi saya sempadan itu perlu apabila kita tinggal di dunia tanpa sempadan, sekarang menerusi telefon pun semuanya boleh dilihat. Maknanya Jamal menolak kewujudan laman sosial? Bukanlah menolak sebab saya sendiri pun ada akaun laman sosial cuma diuruskan oleh orang yang saya percayai. Laman sosial bagus untuk saya mempromosikan persembahan dan peminat mengetahui perkembangan saya. Namun, jika artis buat silap, laman sosial itu akan memakan diri apabila menjadi medan orang ramai mengutuk artis itu. Jika sudah bersedia dengan segala kemungkinan bolehlah tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Bagaimanapun, saya percaya kalau peminat jarang bertemu artis pujaannya, mereka lebih teruja apabila berjumpa atau menonton persembahannya.
Adakah itu rahsia Jamal popular sehingga kini? Ya, kerana sudah lama saya amalkan. Sebagai penyanyi lama, saya harus menjaga nilai eksklusif. Saya jarang keluar rumah jika tiada persembahan, jarang mengambil persembahan yang boleh ditonton secara percuma, jarang muncul dalam program televisyen dan juga jarang memuat naik status atau gambar di laman sosial. Apabila peminat tidak dapat berinteraksi atau menonton persembahan saya di tempat lain secara percuma, mereka tidak ralat membayar untuk menyaksikan persembahan saya. Alhamdulillah, tawaran persembahan pentas tidak pernah putus. Mengapakah Jamal mengatakan penyanyi sekarang tidak ikhlas apabila menyanyi? Disebabkan terlalu banyak program realiti nyanyian sejak kebelakangan ini, ramai penyanyi realiti yang muncul. Ada yang benar-benar bagus tetapi ramai yang menyanyi tidak ikhlas. Apabila muncul di atas pentas mereka menyanyi untuk kamera, juri dan penonton bukannya untuk diri mereka sendiri. Jika menyanyi dengan ikhlas untuk diri sendiri secara tidak langsung cara nyanyian itu akan menyentuh perasaan semua yang mendengar. Apakah nasihat Jamal untuk penyanyi baharu? Jangan buat kerja sambil lewa dan selalu buat kajian sebelum persembahan. Apabila menyanyi tidak kiralah di mana sahaja, menyanyilah dengan ikhlas dan penuh perasaan. Harus diingat kita mungkin akan dipanggil menyanyi oleh salah seorang penonton yang sedang menonton persembahan kita. Jadi, menyanyi dengan bersungguh bukan semata-mata untuk wang sahaja. Khabarnya Jamal sangat sibuk pada bulan April sempena Minggu Setiausaha? Alhamdulillah, saya mempunyai tiga persembahan untuk Minggu Setiausaha dan satu persembahan Hari Ibu. Setiap persembahan saya adalah berbeza. Di Kuala Lumpur, saya akan adakan persembahan Minggu Setiausaha bersama Dee di Dewan Merdeka, PWTC pada 22 April depan. Meja dijual antara RM2,000 sehingga RM5,000 ke atas. Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2614 6701 atau layari laman web www.pwtc.com.my. Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi? Kehidupan saya seperti biasa, masih selesa dengan status duda selama 10 tahun. Sebelum ini gosip yang mengaitkan saya dengan Nas Adila itu tidak betul kerana dia terlalu muda untuk saya. Jika ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya terima tetapi buat masa sekarang biarlah saya sibuk dengan kerja dan anak-anak.

Jamal membisu, Nas Adila sudah sarung cincin

HEBOH seminggu pasal angin menderu yang canang perkhabaran terbaharu mengenai penyanyi hebat, Jamal Abdilllah yang sudah pun bergelar Datuk itu. Hebatlah Jamal, Diva nak tabik spring pula rasanya sebab dalam diam-diam, tiba-tiba nak bertunang. Dalam suasana kecoh itu kawan-kawan Diva yang lain pun mahu dapatkan kenyataan. Tiba-tiba nak jadi cerita, Cik Bisikanria berbisik ke telinga Diva. Katanya, sebaik sahaja baca penjelasan Nas Adila pasal hal Jamal nak merisik itu, dia sudah dapat rasa bahawa desas-desus sebelum ini mengenai Nas dan Jamal ada banyak betulnya. Dengarnya, di sebalik penafian Nas Adila dan Jamal yang membisu tanpa mahu memberikan kenyataan, sudah ada cincin dibeli untuk majlis merisik nanti. Betul atau tidak, tunggu kesahihannya nanti. Diva sendiri nak juga dengar setidak-tidaknya satu perkataan 'Ya' atau 'Tidak' daripada mulut Jamal, harap kawan-kawan Diva yang lain tak terus gigih mencari abang Jamal Kekasih Awal Dan Akhir itu untuk penjelasan lanjut.

Jamal bersumpah tak merisik Nas Adila

TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba Raja Pop tersohor, Datuk Jamal Abdillah, 54, dilanda gosip baharu yang mengatakan dia telah bertunang. Melalui gosip yang tersebar kencang sepanjang minggu lalu, Jamal dikata- kan bakal bertunang dengan seorang penyanyi wanita iaitu Nas Adila. Walaupun, Nas, 27, yang merupakan bekas peserta program Akademi Fantasia musim ketujuh itu sendiri pernah menafikan perkara tersebut, namun disebabkan pendekatan Jamal yang mengambil sikap untuk berdiam, perkara tersebut terus dijadikan spekulasi hangat dalam kalangan orang ramai. Bagaimanapun, beberapa hari lepas, menerusi sebuah akhbar tempatan, Jamal dikatakan memberi kenyataan bahawa dia terpikat dengan kelembutan wanita itu dan Nas pula mengatakan Jamal sebagai lelaki yang matang untuk dijadikan suami. Ingin mendapatkan kesahihan berita yang tersebar kencang ini, Kosmo! semalam telah berjaya mendapatkan kenyataan Jamal berkaitan gosip yang melanda dirinya ini. Kosmo! : Mungkin anda juga telah mengetahui tentang gosip yang mendakwa anda bakal bertunang dengan Nas. Boleh komen sedikit kerana ramai yang ingin dengar sendiri kenyataan daripada pihak anda? JAMAL: Sebenarnya saya dapat banyak pengajaran daripada kejadian ini. Namun, sebelum itu saya ingin menafikan dan bersumpah dengan nama Allah, saya tidak ada apa-apa hubungan dengan dia. Tambahan, tentang bertunang dan merisik semuanya tiada. Saya juga dapat maklum balas daripada peminat-peminat saya dan semua orang, jadi saya nampak kejadian ini telah membuatkan saya membuka mata bahawa betapa sayangnya mereka pada saya. Ini sebenarnya, kasih sayang mereka pada saya, memberi pandangan, nasihat serta sebagainya. Saya bersyukur sebenarnya. Adakah Jamal rasa mungkin kecewa atau marah kerana sewenang- wenangnya orang ramai membuat spekulasi tentang kehidupan peribadi anda? Kita perlu akui hakikat bahawa kita seorang selebriti yang dipuja ramai. Jadi, perkara ini akan mendatangkan impak dan perhatian yang besar daripada masyarakat. Kita perlu terima hakikat ini dan rasa rendah diri. Alhamdulillah syukur, kadangkala apa yang kita buat, orang di sekeliling akan memberi pendapat serta nasihat. Mungkin tentang kelakuan yang tidak enak dan persembahan yang kurang baik, akan diberi pandangan.
Maknanya Jamal tidak marah dengan gosip tersebut? Ya, betul mereka masih ambil berat tentang saya. Saya rasa sangat-sangat bersyukur. Mengapa Jamal rasa, antara ramai wanita, Nas yang dikaitkan dengan anda. Adakah mungkin kerana keakraban serta kemesraan yang timbul antara kalian? Untuk pengetahuan semua, saya ada buat beberapa konsert di Istana Budaya dan Kuala Terengganu dan sebagainya. Saya tidak tahu puncanya, namun mungkin foto-foto yang dimuat naik oleh Nas sendiri di laman sosial ketika kami sedang bekerja, disalah anggap oleh sesetengah pihak. Saya seperti majikannya yang mana saya sering bekerja dan bukan sahaja bersamanya, malah dengan orang lain juga. Maknanya semua perkara ini merupakan salah faham sahaja? Itu yang saya juga tidak tahu punca dari mana yang mengatakan tentang perkara merisik ini tetapi jika kerisik memang saya selalu makan (ketawa). Boleh ceritakan sedikit perkembangan anda kini? Kini rezeki saya membuat persembahan pada majlis tertutup dan tentang album, saya sedang berbincang tentang album terbaharu saya kelak. Saya sedang berbincang dengan seorang komposer terkenal tanah air tentang album yang saya berikan judul Jamal 2014 dan ia mengandungi sebanyak lapan hingga 10 buah lagu. Adakah Jamal akan berkolaborasi dengan Datuk M. Nasir? Saya memang berhajat ingin bekerjasama dengan Datuk M. Nasir untuk menerbitkan album tersebut. Saya akan ikut trend pasaran yang mana akan melancarkan single terlebih dahulu.

Jamal Abdillah Bersedia Jika Ditimpa Musibah

Penyanyi Jamal Abdillah sudah lama membuat persediaan jika masa depannya gelap sekiranya jatuh sakit atau berlaku apa-apa musibah lain sehingga tidak membolehkan dia menyanyi lagi. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, sejak lapan tahun lalu dia telah memulakan pelbagai perniagaan seperti menjual produk kesihatan, kosmetik serta menyertai beberapa pelaburan lain demi kestabilan hidup. "Dalam kerjaya saya, suara merupakan 'produk' utama yang harus dijaga. "Saya juga tahu satu hari nanti saya mungkin tidak dapat menggunakan bakat yang diberikan Allah ini. Dan sejak lapan tahun dulu saya sudah mula mendalami bidang perniagaan. "Alhamdulillah, bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi setakat ini saya memiliki beberapa buah perniagaan termasuklah melabur di bursa saham. Saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan selain untuk simpanan masa depan saya," katanya. Jamal ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan di Dewan Merdeka di sini pada Rabu.
Tambah Jamal, dia juga baharu saja menceburkan diri dalam pelaburan hartanah dan mencadangkan kepada orang ramai agar mengikut jejaknya jika ingin melaburkan wang mereka. Dalam pada itu Jamal turut bersyukur kerana sehingga kini dikurniakan Allah kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit serius. "Syukur Alhamdulillah kerana saya tidak mempunyai penyakit serius seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung walaupun ada keturunan saya mudah mendapat penyakit tersebut. "Sebab itulah saya amat berjaga-jaga dan tidak mahu terlalu berlebih-lebihan jika menikmati makanan. Kerana makanan biasanya menjadi punya segala penyakit," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Jamal bakal mengadakan persembahan konsert di Hotel Permai Kuala Terengganu pada 4 Oktober depan. Sementara itu, mengenai majlis rumah terbuka PWTC, penyanyi Ramli Sarip turut hadir membuat persembahan menghiburkan kira-kira 2000 tetamu yang hadir. Majlis bertemakan santai itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar.

Jamal Abdillah mahu kahwin tahun depan

Penyanyi Jamal Abdillah telah menyatakan keinginannya untuk kembali berumah tangga selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Dipetik dari Malaysian Digest, walaupun pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu, ia tidak pernah mematahkan hasratnya untuk mempunyai sebuah keluarga bahagia. "Seperti orang lain, saya juga berhasrat untuk mencari seorang wanita yang sesuai sebagai peneman hidup pada masa hadapan," jelas Jamal yang sudah menjangkau usia 54 tahun pada tahun ini. Jamal pernah berkahwin dengan Fatimatuzahra Samat pada Disember 2005 dan telah dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani. Bagaimanapun perkahwinan yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 15 Mei 2007. Dalam perkembangan lain, Raja Pop Malaysia ini bakal mengadakan sebuah konsert yang menyaksikan beliau menyanyikan sebanyak 35 buah lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertempat di Istana Budaya bermula 31 Mei sehingga 2 Jun ini.

Jamal Abdillah Tetap Pilih BN

Bintang pop nombor satu negara Jamal Abdillah akan tetap memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei depan kerana yakin dengan kepimpinan parti itu mentadbir negara. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, keyakinan itu timbul selepas melihat kemajuan dan pencapaian negara selepas 56 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. “Walau apa pun terjadi saya tetap sokong kerajaan sekarang. BN dah lama mentadbir negara dan apa yang kita nampak (kemajuan) sekarang ialah hasil kejayaan negara kita perintah,” katanya kepada mStar Online. Tambah Jamal, dia juga amat berpuas hati dengan senarai calon yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertaruhkan muka-muka baru untuk bertanding dalam PRU-13 ini. Jamal yang juga ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka, bahagian Bukit Bintang berkata, jika sesebuah negara itu dilihat cemerlang semasa ditadbir oleh sesebuah parti politik, tidak ada sebab untuk orang ramai menukarnya. “Kita tengoklah keamanan dan kemakmuran negara yang kita lalui hari ini. Kalau negara sudah berjaya dengan pentadbiran sekarang, buat apa kita nak pilih orang lain. Saya akan sokong BN,” katanya. Mengenai PRU kali ini kata Jamal, ia merupakan kali kedua dia membuang undi iaitu bagi Kawasan Parlimen Kelana Jaya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya, Selangor. Ditanya adakah dia sentiasa mengikuti perkembangan politik dalam negara ujar Jamal, tidak ramai tahu selama ini dia banyak mengambil bahagian untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin BN selain mengambil tahu mengenai pihak pembangkang. Bagaimanapun dia secara terus terang tidak bersedia untuk dicalonkan dalam PRU seperti mana dua penyokong pembangkang iaitu penyanyi Aishah (Parlimen Jempol, Negeri Sembilan) dan Dayangku Intan (Parlimen Pengerang, Johor) “Kalau nak suruh saya aktif sehingga nak bertanding tu, saya tidak mahu kerana saya menyedari saya bukanlah individu yang sesuai kerana sebelum jadi ahli politik, kita perlu melakukan transformasi kepada diri sendiri dulu,” ujarnya. Dalam perkembangan lain Jamal akan mengadakan ‘Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan’ pada 30 Mei sehingga 2 Jun depan di Istana Budaya yang akan menghimpunkan lagu-lagu popular P.Ramlee. Tiket- tiket dari RM65 hingga RM455 masih dijual dan boleh didapati dengan melayari www.tiket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600.

Jamal Abdillah Mengaku Tidak Lagi Panas Baran

KUALA LUMPUR: Artis yang terkenal dengan jolokan Raja Pop iaitu Jamal Abdillah menganggap faktor usia yang semakin meningkat merupakan punca utama dia tidak lagi bersikap panas baran seperti dahulu. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, penambahan usia itu menjadikan sikap buruk yang ada dalam dirinya semakin berkurangan dan dia menyedari perkara itu sejak lapan tahun lalu. "Alhamdulillah sekarang ini saya lebih 'sejuk'. Tak seperti dulu yang suka naik angin tanpa sebab. "Saya percaya setiap sikap buruk itu mesti ada punca dan saya berjaya membuangnya sedikit demi sedikit. "Mungkin juga kerana faktor umur yang semakin meningkat, saya menjadi lebih matang dan tahu menilai sebelum bersikap di luar jangkaan," katanya. Tambah Jamal, apabila berada dalam keadaan terkawal seseorang itu akan memiliki fikiran yang waras, tidak sombong selain mampu mengatasi segala sikap buruk yang ada pada diri. Dia juga sedar sikap panas baran itu juga akan merosakkan diri serta hubungannya dengan peminat sekiranya dia tidak berubah. "Seperti yang semua tahu, dulu saya berada di alam “kabur” (di bawah pengaruh dadah) dan ia membuatkan tingkah laku saya juga tidak menentu. "Namun selepas saya sudah bersih, panas baran saya juga semakin lesap dan menjadi normal seperti oranhg biasa," ujarnya. Sementara itu, Jamal bakal muncul dengan sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan bersama penyanyi Jay Jay. Konsert itu akan berlangsung di Lanjut Golden Beach and Golf Resort, Kuala Rompin, Pahang. Tiket konsert yang berharga RM399 hingga RM699 (disertai hidangan makan malam) boleh ditempah dengan menghubungi talian 09-4145113.

Wanita Perlu Mulakan Goda Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui perasaan malu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sering berharap agar wanita yang disukai mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu. "Itulah masalah saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan. "Sebagai manusia normal, saya juga inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat. "Entahlah susah nak cakap. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti," selorohnya. Tambah Jamal, keadaannya yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, tidak seperti di zaman mudanya dahulu. Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang. "Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi fizikalnya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu. "Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan marah," ujarnya. Mengenai perkembangan terbaru, Jamal sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim. Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Dakwah Jamal tanpa komersial

MENGENALI figura unggul bernama Jamal Abdillah ini, memang tiada siapa yang mampu menafikan kehebatan vokal emasnya. Berilah apa sahaja lagu kepada biduan ini, dia tidak pernah gagal menyuntik emosi pelbagai warna dalam membawa melodi kepada peminatnya. Lontaran vokalnya penuh dengan rasa dan jiwa sehingga mampu membuatkan mereka yang mendengarnya terkesan dengan setiap lagu dendangan Jamal. Cukup dikenali dengan lagu pop dan balada cinta yang sudah mencapai status malar segar, barangkali ada peminat yang mahu Jamal mencuba sesuatu yang berbeza pula. Dalam erti kata lain, mereka juga mahu melihat dimensi lain penyanyi kesayangan ini terutama mengalunkan lagu-lagu kerohanian yang mendamaikan serta menyejukkan jiwa. Apatah lagi untuk seorang penghibur hebat sepertinya, mungkin ada yang berpendapat dia mampu menyalurkan mesej positif daripada lagu-lagu genre sedemikian. Namun, bagi Jamal, dia mempunyai sebab tersendiri untuk tidak merakamkan lagu-lagu seperti itu. Jauh sekali untuk mendabik dada mahupun berasa dirinya hebat, Jamal menjelaskan dia tidak mahu suaranya digunakan sebagai dakwah yang hanya sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata. “Ini adalah pendirian serta pandangan saya. Jauh sekali hendak memperlekehkan mahupun mempertikaikan mana-mana pihak. “Saya sendiri berasa kurang selesa jika berbuat demikian seandainya dakwah tersebut atas dasar komersial sahaja. “Bagi saya, kalau mahu melakukannya, biarlah daripada hati yang tulus, ikhlas dan jujur. Saya tidak akan sesekali melakukannya hanya kerana orang lain juga berbuat demikian. “Bukan apa. Saya telah dikenali sebagai penyanyi lagu cinta sejak sekian lama. Jadi kalau saya beralih kepada genre kerohanian atau nasyid, ia pasti kelihatan janggal," kata Jamal sewaktu ditemui S3 pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-53 di Restoran Dareen, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, malam Rabu lalu. Juara Bintang RTM 1979 ini begitu yakin walaupun tanpa merakamkan lagu-lagu nasyid mahupun kerohanian, peminatnya bijak menilai setiap lirik dalam lagu yang disampaikan. Ini kata Jamal, dapat dibuktikan menerusi beberapa buah lagu popularnya seperti Kekasih Awal dan Akhir, Takdir Penentu Segala dan Syukur yang memiliki dakwahnya tersendiri. “Sepanjang 33 tahun menjadi penyanyi, banyak lagu yang saya rakamkan mempunyai mesej positif sama ada tersirat mahupun tersurat. Mungkin ada di antaranya bukan lagu popular dan dimainkan di radio. “Lagu Kekasih Awal dan Akhir misalnya, ia mempunyai makna tersirat yang kalau dikaji ia berkenaan tentang hubungan manusia dan sang pencipta-Nya. “Begitu juga dengan lagu KepadaMu Kekasih yang pernah saya rakamkan satu ketika dulu. Sudah terang lagi bersuluh, lagu tersebut memiliki unsur kerohanian yang membuat kita merenung diri sebagai hamba-Nya," ujar Jamal yang pernah diiktiraf dengan trofi Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 menerusi album 15 Tahun Bersama ini lagi. Dalam memperkatakan tentang lagu-lagunya yang berunsurkan dakwah, Jamal memberikan contoh terbaik lagu Mati Hidup Semula yang diilhamkan sewaktu sedang berbaring di dalam lokap kerana kes penyalahgunaan dadah ketika itu. Sambil berbaring dan merenung ke ruang kecil di dinding, secara tiba-tiba ilham datang kepadanya untuk menulis lirik dan lagu tersebut. Ternyata pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Ali ini cukup terkejut apabila lagu dan lirik pertama ciptaannya itu telah memberi impak luar biasa sewaktu berkumandang di corong radio pada tahun 1986. Jelasnya lagi, dia percaya mesej positif yang hendak disampaikan kepada khalayak ketika itu adalah kerana ia adalah karya yang jujur dan ikhlas daripada hatinya yang tulus. “Maklumlah, apabila kita melakukan sesuatu tanpa kita memikirkan implikasinya, barulah teringat akan keluarga, ibu dan ayah serta alam sekeliling. “Sehinggakan lagu itu juga mendapat respons yang baik daripada rakan artis seperti Lefthanded di mana vokalisnya, Nash memberitahu mereka boleh mendengar itu berulang kali dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. “Jadi, saya percaya kalau sesuatu yang tulus daripada hati dihasilkan, ia mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar selain memberi mesej berguna kepada mereka," jelas pemenang Anugerah Juara Lagu 1997 menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah bersama Datuk M. Nasir ini penuh makna. Sempat berkongsi cerita, kata Jamal, sebelum lahirnya Mati Hidup Semula, dia mempunyai sebuah lagu berjudul Ku Hidu Bunga Berbisa yang menceritakan tentang bunga popi. Kata Jamal lagi, niatnya hanya satu iaitu mahu menyedarkan diri dan masyarakat tentang bahana bunga tersebut seandainya disalah guna yang dapat menghancurkan umat manusia. “Lagu itu masih ada dalam simpanan dan saya tidak berhasrat untuk merakamkannya kerana ia begitu sensitif. Saya mahu biarkan sahaja dan cukuplah dengan Mati Hidup Semula. “Kalau diberi peluang, saya mahu merakamkan semula lagu Mati Hidup Semula dan lagu-lagu popular saya yang lain dengan susunan muzik yang lebih segar, baharu dan padat," ujar bapa kepada dua orang anak lelaki, Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki Yamani, 6, ini penuh bersungguh.

Jamal nafi terima cinta Datin

LIMA tahun hidup menduda tidak menjadi masalah buat Raja Pop, Jamal Abdillah. Kebahagiaan penyanyi berusia 53 tahun itu berpaksikan karier serta dua permata hatinya, Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 6. Itu merupakan alasan dia terus berjalan sambil melewati harinya. Umum mengetahui, Jamal yang sudah melebihi tiga dekad mencatur nasib sebagai anak seni, jarang terpalit gosip cinta. Cuma kebelakangan ini, dia didakwa menjalin hubungan cinta dengan wanita berstatus Datin. Jamal ketika diminta mengulas isu itu secara berseloroh mendakwa dia punya banyak Datin tetapi mereka hanyalah peminatnya. Pada waktu yang sama, dia turut mengaku berkawan rapat dengan sebilangan daripada mereka. Cuma tidaklah terarah hubungan istimewa seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. "Saya lebih selesa hidup solo buat masa ini. Bohong kalau saya kata tiada perasaan hendak bercinta lagi. Kalau ada (teman wanita) sekarang, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa," akui Jamal yang selama ini tidak pernah menyembunyikan cerita peribadinya daripada pengetahuan peminat. Sedar jawapannya itu belum cukup memuaskan hati pihak lain terutama media, Jamal menghuraikan maksud perkahwinan khusus buat dirinya. "Kalau hendak mencari teman wanita dan berkahwin sekarang semata mahu memenuhi keperluan semata-mata, itu makna perkahwinan berlandaskan nafsu. Dalam soal ini, saya belum ada getaran untuk mencintai orang lain sepenuh hati dan mendirikan rumah tangga semula tambahan pula sibuk dengan karier," terang Jamal dalam nada suara cukup matang usai mengharungi tiga episod kehancuran mahligai perkahwinannya. Penyanyi solo legenda ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Basariah Abdul Latiff, Nor Aina Yusuf dan Fatimatuzahra Samad. Jamal berpisah dengan Fatimatuzahra pada Mei 2007. "Saya selalu jumpa anak-anak. Anak sulung dijaga emak tiri saya manakala si bongsu dibesarkan oleh ibunya. Saya lihat kedua-duanya menunjukkan minat terhadap dunia nyanyian. Bayangkan Osama setiap hari buka laman YouTube sebab hendak menyaksikan persembahan saya. "Tahun depan Osama akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebagai bapa sudah pasti saya mahu melihat anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Seboleh-bolehnya hendak memberi Osama lebih banyak kelas intensif selepas ini," ujar Jamal yang bakal menghiburkan kaum ibu sempena Hari Ibu tidak lama lagi. Enam tahun tinggalkan ibu Bergelar putera kepada Zainon Hassan yang menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1991 akibat kencing manis dan darah tinggi, rupa-rupanya ada cerita yang terselindung di sebaliknya. Maka tidak hairanlah apabila wajah ceria Jamal pada awal bicara tadi segera bertukar suram kala berkongsi momen bersama si ibu. "Hargailah ibu bapa anda ketika mereka masih ada di dunia ini. Jangan jadi seperti saya yang kurang meluangkan masa dengan ibu ketika hayatnya masih ada. "Bayangkanlah, saya tidak menjenguk ibu selama enam tahun kerana sibuk memenuhi undangan nyanyian kerana terlalu ghairah mengejar populariti. "Biarpun lebih 10 tahun berlalu, saya akan terus mengingati jasa dan pengorbanan ibu. Saya juga dapati harta dunia tidak mampu menggantikan kasih suci ibu," tuturnya penuh beremosi. Atas alasan itu, pemilik vokal emas ini berikrar untuk memperlihatkan persembahan yang terbaik sempena Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pukul 8 malam pada 6 Mei ini. Selain Jamal, acara yang dianjurkan oleh MSis Events & Services itu turut diserikan dengan penampilan khas Ibnor Riza sebagai penyanyi undangan manakala Ifa Raziah selaku pengacara majlis. Menariknya, sebanyak 15 buah lagu akan didendangkan secara medley yang dipetik daripada album studio pertama Jamal hingga terbaru seperti Nasib Diriku, Cinta Selayang Pandang, Sendiri, Syukur, Cenderawasih, Syurga Di Telapak Kaki Ibu berlatarkan pemuzik iringan di bawah kendalian Belle Fatah. Tiket yang dijual pada harga RM250, RM350 dan RM500. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi talian 019-2957063 atau 019-3844300.

Jamal Abdillah Kesal Pernah Abaikan Ibu Sendiri

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah begitu kesal ketika berada di puncak populariti, beliau pernah mengabaikan ibunya Zainon Hassan. Jamal berkata ia berpunca kerana kesibukannya sebagai artis selain banyak memenuhi undangan pertunjukan pentas. “Arwah ibu meninggal dunia pada 1991 kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi. "Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, jasa dan pengorbanannya tetap abadi di hati ini. "Saya menyeru mereka yang masih memiliki ibu supaya menghargai setiap detik berharga itu kerana harta dunia tidak mampu menggantikan kesucian kasih seorang bernama ibu,” katanya. Tambah Jamal, sebagai anak yang pernah merasai kesedihan akibat kehilangan seorang ibu, apa yang masih berbekas di hatinya itu kini hanya tinggal kenangan. "Saya agak syahdu melihat semula kelalaian saya yang mengabaikan ibu. Bila dia tiada, barulah kekesalan itu hadir," ujarnya. Jamal akan berkongsi kesedihan itu agar dijadikan pedoman oleh semua pihak sempena sambutan Hari Ibu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei depan. Ia akan bermula pukul 8 malam. Persembahan anjuran MSiS Events & Services turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ibnor Riza selaku artis undangan dan Ifa Raziah sebagai pengacara majlis. Pada persembahan itu nanti, Jamal akan mempersembahkan sebanyak 15 lagu termasuk 'medley' dari album pertamanya hingga terbaru diiringi band di bawah pimpinan Belle Fatah. Antara lagu yang akan dinyanyikan oleh Jamal ialah Cinta Selayang Pandang, Kasihnya Ibu dan Tidurlah Permaisuri. Disamping itu Jamal juga akan menyanyikan sebuah lagu duet bersama penyanyi undangan, Ibnor Riza. Selain persembahan hiburan, turut diadakan pertunjukan fesyen oleh butik-butik terkenal seperti Butik Cosry, Butik Altelia Amani dan Gedung Kain Terkemuka Jakel. Dalam pada itu, bagi membantu ibu-ibu yang memerlukan bantuan, pihak penganjur akan mendermakan sebahagian daripada hasil kutipan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor. Untuk tempahan tiket yang berharga RM250, RM350 dan RM500, hubungi Suriyani di talian 019-2957063 atau 019-3844300.Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Nilai Eksklusif Jamal Abdillah Tidak Akan Musnah


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah menaruh keyakinan tinggi nilai eksklusif pada dirinya tidak akan musnah meskipun banyak artis baru muncul pada ketika ini.

Jamal,53, berkata, perbezaan yang ditampilkan dalam setiap persembahan adalah faktor dia berjaya mengekalkan populariti selepas kejayaannya dalam Bintang RTM pada tahun 1979.

“Saya yakin dapat mempertahankan nilai eksklusif diri saya. Saya mengadakan konsep persembahan berbeza dalam setiap acara yang saya lakukan.

"Peminat tidak akan melihat saya membuat persembahan yang sama dalam setiap konsert yang saya lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Pada majlis itu Jamal menyanyikan lebih 20 buah lagu antaranya Aku Penghibur, Perjalananku, Kau Lupa Janji, Sepi Seorang Perindu, Keluhan Perantau dan Gadis Melayu.

Artis Dee (Jangan Ketawa) bertindak sebagai pengacara sementara Isma (AF) sebagai penyanyi jemputan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar dan Pengurus Komunikasi Korporatnya, Datin Fadzilah Said.

Jamal berkata, lagu-lagu lama nyanyiannya tidak akan luput biarpun ketika ini pelbagai karya baru dihasilkan dengan kreativiti yang berbeza.

Malah ujar Jamal, menjadi trend apabila lagu-lagu malar segar sekarang semakin popular dan sering berkumandang di corong radio.

“Sekarang kita tengok banyak lagu lama dipopularkan semula. Itu membuktikan bahawa lagu yang pernah hit suatu ketika dahulu tetapi akan menjadi popular walaupun zaman telah berubah,” ujarnya.

Bagaimanapun dia tetap menyesuaikan diri dengan keadaan muzik pada hari ini untuk memikat hati golongan muda seperti menghasilkan lagu “Maafkan Kamu”, kolaborasinya dengan komposer Malique.

Dalam pada itu Jamal berkata dia tetap bimbang peminat yang kerap menyaksikan persembahannya akan jemu sekiranya dia tidak tampil berbeza untuk menghiburkan mereka.

Kebolehannya bermain beberapa instrumen seperti gitar, piano dan dram akan ditunjukkan untuk persembahannya pada masa akan datang.

“Ramai orang tak tahu saya boleh bermain beberapa alat muzik. Mungkin suatu hari nanti saya akan membuat persembahan dengan menggunakan alatan muzik itu,” katanya.

Bercerita mengenai persembahannya di PWTC itu Jamal agak kurang berpuas hati kerana merasakan corak penyampaiannya gagal untuk diterima oleh peminat.

Kata Jamal dia kecewa jika tidak mampu membuat peminatnya menangis ketika menyampaikan lagu-lagu yang menyentuh jiwa.

“Jika peminat tidak menangis melihat persembahan saya, ia mesti ada yang tidak kena. Itu yang saya takut. Sebab itu kalau saya membuat persembahan, saya mesti mahu ada jiwa dalam diri saya,” ujarnya.

Jamal Tolak Khabar Angin Nikah Waktu Terdekat


KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Jamal Abdillah mengakui tidak terdesak untuk berkahwin lagi dalam masa terdekat selepas hampir lima tahun menduda.

Jamal, 53, berkata pada waktu ini dia berasa selesa menjalani kehidupan secara bersendirian tanpa isteri atau kekasih kerana sentiasa ditemani oleh dua anak lelakinya Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani yang berusia enam tahun.

“Saya belum terfikir untuk mencari teman hidup atau isteri buat masa ini. Alhamdulillah, saya selesa bersendirian di samping dua anak saya,” katanya yang ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya dia kini berkawan dengan seseorang, Jamal menolak khabar angin itu sambil menegaskan dia sibuk menumpukan perhatian pada kerjaya dan dua anaknya sahaja.

“Dakwaan itu tidak betul kerana saya masih sendiri sehingga hari ini. Saya belum bersedia untuk mencari pengganti.

“Saya sibuk dengan pelbagai tanggungjawab dan kerjaya seni dan tiada masa untuk bercinta,” katanya.

Jamal pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali iaitu bersama Basariah Abdul Latiff, Nor Aina Yusuf dan Fatimatuzahra Samad.

Penyanyi berpengalaman hampir 33 tahun dalam seni suara ini bercerai dengan Fatimatuzahra Samad pada 15 Mei 2007 dan dikurniakan anak lelaki Ahmad Zaki Yamani.

Anak sulungnya Osama Yamani pula adalah daripada perkahwinan keduanya.

Terbaru, penyanyi yang sedang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu (menampilkan Malique) ini bakal terlibat dalam majlis makan malam amal Mutiara Kasih anjuran SNZ Event Management dan A&A World Vacation.

Ia bakal berlangsung pada 12 Februari depan pukul 8 malam di JB Expo, The Regency Hotel, Johor Bahru, Johor.

Janji Jamal untuk orang Ipoh


Biarpun satu persatu kontroversi yang melanda Jamal sejak akhir-akhir ini, itu langsung tidak meninggalkan kudis buat lelaki yang cukup terkenal dengan lagu Di Penghujung Rindu ini.

Tidak mahu terus membiarkan dirinya larut dalam apa juga masalah yang melanda, Jamal sebenarnya tahu yang kerjaya seninya perlu didahulukan berbanding dengan hal peribadi.

Dia juga sedar peminat tidak pernah jemu menyokong apa juga produk terbaru dan sudah pasti dengan menghiburkan peminat sahaja cara untuk dia berterima kasih kepada semua.

Untuk itu pada 28 Januari ini, Jamal bakal mengadakan Konsert Jamal Abdillah Raja Pop 2012 bertempat di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak bermula pukul 8.30 malam.

Seperti mana yang sudah diketahui, Jamal merupakan anak jati negeri Perak. kepulangan untuk menghiburkan peminat di sana ibarat sirih pulang ke gagang.

"Saya bersyukur kerana berpeluang untuk menghiburkan orang Perak. Sebelum ini saya belum pernah membuat konsert sebegini besar di sana dan sudah pasti saya cukup teruja menjelang 28 Januari ini.

"Memang ramai peminat saya di sana. Ada yang menyokong kerjaya seni saya tanpa pernah hadir menyaksikan sendiri persembahan secara langsung saya. Jadi saya mahu semua peminat hadir sama kali ini.

"Banyak pengisian baru yang pihak kami lakukan khusus untuk konsert di Ipoh. Selain daripada pemilihan hampir 30 buah lagu-lagu popular saya, peminat juga boleh beramah mesra dengan saya pada keesokan harinya.

"Tapi itu hanya untuk mereka yang membeli tiket VIP yang berharga RM300. Ada acara minum petang yang telah diatur buat peminat yang cukup istimewa ini," kata Jamal Abdillah ketika ditemui baru-baru ini.

Konsert Jamal Abdillah Raja Pop 2012 kali ini dibawakan secara eksklusif oleh Persatuan Budak Bus Stand Ipoh (BSSI) dan Bombay Worldwide sebagai permulaan langkah Jamal untuk tahun ini.

Sebelum ini Jamal pernah mengadakan persembahan konsert One Night Only With Jamal Abdillah pada tahun 2006, Jamal... Kembara Seniman (2009) dan Konsert J2011- Lagenda pada tahun lalu.

Bagi Jamal, dia tidak pernah penat menghiburkan peminat biarpun saban tahun dia pasti akan keluar dengan konsert berskala besar yang cukup mengujakan dirinya.

"Kali ini kami akan menggabungkan elemen konsert saya di di Istana Budaya dan Singapura yang berlangsung tahun lalu. Jadi peminat yang hadir ke Ipoh akan menyaksikan sendiri elemen-elemen ini yang pastinya lebih hebat.

"Kalau ikutkan saya sendiri tidak pernah menaruh harapan untuk buat konsert sebesar ini. Bila orang tawarkan peluang, saya terima dan akan lakukan yang terbaik.

"Saya anggap ini rezeki saya. Tak mungkin Jamal Abdillah akan mensia-siakan rezeki yang sudah ada di depan mata. Setidak-tidaknya saya dapat berbakti sedikit pada negeri kelahiran saya," kata Jamal lagi.

Dalam pada itu, tanggal 7 Januari lalu, penyanyi bersuara lantang ini telah bersama-sama menjayakan pertandingan karaoke Jamal Idolaku di Majlis Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah di Maju Junction.

Apa yang menariknya selain dari pertandingan karaoke, karnival ini juga turut memperkenalkan produk Awet Muda D'JAS keluaran syarikatnya Bintang Channel.

Produk itu sudah berada dipasaran dan dilancarkan secara rasmi bersama dengan album Raja Pop 2 pada Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah.

"Karnival ini adalah idea saya sendiri. Saya mahu berkongsi rasa dan mengumpul semua peminat saya," ungkapnya mengenai karnival yang turut mendapat kerjasama syarikat Warner Music Malaysia dan juga pusat beli-belah Maju Junction itu.

Malah, Jamal turut membuat kemunculan istimewa mendendangkan lagu-lagunya termasuk lagu hitnya bersama Malique Aku Maafkan Kamu.

Album baru Jamal disabotaj


KALAU masuk cerita cetak rompak memang tidak pernah selesai. Jenayah ini sudah mula bertahun dahulu dan berleluasa dengan jalan sendiri.

Baru-baru ini teman Diva mendapat aduan dan rungutan daripada penyanyi popular tanah air, Jamal Abdillah tentang cetak rompak album terbarunya. Hal ini membuatkannya marah dan sedih dengan fenomena yang tidak pernah selesai.

“Album Raja Pop 2 baru sahaja diterbitkan dua minggu malah belum dilancarkan. Tetapi salah seorang teman saya telah ke pasar malam dan mendapati lambakan album ini dalam bentuk cetak rompak. Saya sangat kecewa sebab album ini dibuat atas perbelanjaan sendiri,” ujar Jamal di hujung talian telefon.

“Memang polemik ini sudah lama sejak saya mula-mula jadi penyanyi. Saya berharap agar kerajaan dapat menggubal akta ini dan membuat satu akta yang memberi hukuman serius dan berat kepada pemilik dan pengedar barangan cetak rompak. Mungkin boleh sama seperti pemilik atau pengedar dadah,” cadang Jamal yang berharap menteri dapat mengambil hal ini secara serius dan menyelesaikannya untuk kepentingan artis tempatan.

Suara Jamal RM2juta


DALAM nakal yang manja, dia menggoda. Dengan azimat suara bak buluh perindu, ditambah dengan skrip spontan tuntas dari hati, lalu pentas pun terhidang cerita mesra tanpa sinopsis rekaan.

Sesungguhnya, konsert yang merakam sejarah itu berlalu dengan kelangsungan yang begitu indah.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pihak penganjur mendedahkan, hampir RM2 juta berjaya dikutip dalam konsert amal membabitkan penyanyi Jamal Abdillah di Stadium Tertutup Singapura pada 24 September lalu.

Ini adalah penampilan pertama penyanyi pujaan ramai itu, selepas hampir 30 tahun tidak menjejak kaki di pentas persembahan negara jiran itu.

Lebih 7,000 peminat memenuhi seluruh ruang stadium, ia adalah kapasiti maksimum. Pancaindera bersama tiga media Malaysia lain turut dibawa secara eksklusif oleh Warner Music Malaysia ke Singapura untuk menjadi saksi kehebatan biduan negara bergelar Raja Pop itu.

Dalam emosi yang cukup terkawal, Jamal memulakan ‘sihir’nya dengan lagu Gadis Melayu, lalu mencetus suasana gegak-gempita khalayak.

Dalam gerak yang semakin lincah, dia kemudian memberitahu “Seronok bila tengok ramai yang masih sayang kepada saya. Malam ini, saya akan berikan segala-galanya untuk anda sebagai membalas segala kasih sayang anda kepada diri saya selama ini,” katanya sambil terus menari dan menyanyi tanpa henti selama dua jam.

Selain lagu popularnya seperti Kau Lupa Janji, Perjalananku, Di Sudut Kamar Hati, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Jamal turut mengenang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui medley khas.

Lalu bertebaranlah Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Tunggu Sekejap mewarnai ruang.

Jamal kemudian turut menghidangkan lagu daripada album terbaharunya, Raja Pop 2 yang berada di pasaran awal minggu lalu, antaranya Rayuan Maut, Dirundung Derita, Lagu Rindu dan Secupak Dua Cupak.

Disebalik sifat pemalu, Jamal telah menyingkap tabir diri melalui sekian banyak dialog lucu, dilontar secara spontan, lalu mengundang ketawa tanpa henti khalayak sepanjang persembahannya.

Pun pada ketika dia melontar keluhan lewat lagu cinta yang terkandas, kita seperti mahu turut menangis bersamanya.

Itulah kelebihan yang barangkali tidak dimiliki oleh banyak artis, membawa peminat untuk sama ketawa dan berduka bersama sang biduan.

Tirai malam yang santai tetapi mengasyikkan itu ditutup dengan Seroja dan Ghazal Untuk Rabiah.

Dua artis tempatan, Nana Karia dan Fashiha Kamsani turut berduet dengan Jamal dalam konsert yang dibawa oleh Jamiyah Singapura, satu badan yang ditubuhkan untuk menjalankan khidmat pendidikan dari ‘buaian ke liang lahad’ kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara berkenaan semenjak 79 tahun lalu.

Menurut Pengarah Projek Konsert Akustikasih Jamal Abdillah, Mohammad Hosni Malik, sasaran awal konsert amal itu hanyalah sekitar $500,000 (RM1.2 juta), bagaimanapun apa yang dicapai adalah sesuatu yang diluar dugaan sama sekali.

Takut kena tangkap

Sejujurnya menurut Jamal, dia mengambil masa selama 28 tahun untuk kembali ke Singapura kerana takut kepada bayang-bayang sendiri.

Kisah silam terbabit dengan najis dadah, menjadikan dia begitu risau untuk keluar dari Malaysia.

“Saya takut dengan bayang-bayang sendiri. Ada tawaran buat persembahan di Singapura tetapi saya tak berani sebab takut kena tangkap polis. Macam-macam perasaan bergolak dalam diri bila kita berada dalam dunia khayal.

“Semua show luar negara saya tolak, terutamanya di Singapura. Selepas bebas daripada ‘benda tu’ dalam enam atau tujuh tahun, sekarang ini baru hati saya terbuka semula.

“Saya sangat bersyukur dengan sedikit bakat yang ada, saya boleh berbakti kepada orang lain untuk membuat kerja kebajikan. Semoga Allah merahmati setiap apa yang kita lakukan,” kata Jamal dalam sidang akhbar kemudiannya.

Justeru menurut penyanyi ini, menjadi manusia yang kembali normal adalah satu kekuatan yang mendorong dirinya kepada kerja-kerja amal seperti dilakukan ketika ini.

“Allah memberi peluang kepada saya untuk berubah, ini rahmat dan nikmat yang diberikan oleh-Nya.

“Menjadi orang normal ini, banyak benda yang kita boleh buat. Keinginan untuk bersedekah dan melakukan kerja amal ini sebenarnya banyak didorong oleh arwah ayah saya sendiri yang semenjak muda selalu membantu orang lain.

“Selagi kita boleh membantu insan yang memerlukan, Insya Allah, kita akan bantu,” katanya dalam ikrar untuk terus aktif membuat kerja kebajikan selagi hayat dikandung badan.

Hati Jamal Tersentuh Nyanyi 'Kasihnya Ibu'


KUALA LUMPUR: Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah mengakui tersentuhapabila menyanyikan lagu Kasihnya Ibu kerana lagu tersebut merupakan lagu kegemaran arwah ibunya.

Katanya, dia sering membawakan lagu tersebut pada mana-mana persembahannya.

"Lagu Kasihnya Ibu sangat bermakna bagi saya kerana itu lagu kegemaran arwah ibu saya. Saya sering menyanyikan lagu tersebut ketika ibu sedang memasak di dapur dan dia sangat suka.

"Sebab itulah saya sering membawakan lagu tersebut pada banyak persembahan saya," katanya pada sidang media selepas Majlis Kasihnya Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa.

Tambahnya, dia mahu peminat-peminatnya menghargai ibu mereka yang masih hidup sebelum kehilangan mereka.

Sementara itu, dari segi pemilihan lagu, Jamal memilih lagu yang bersesuaian dengan Hari Ibu iaitu lagu yang mampu meruntun jiwa.

"Saya sengaja pilih lagu yang agak balada dan sedih kerana mahu penonton menangis. Saya mahu mereka tersentuh kerana kebanyakan mereka datang dengan keluarga dan ibu mereka," katanya.

Dalam acara tersebut, Jamal menyanyikan 12 buah lagu termasuk dua laguberduet dengan penonton.

Antara lagu yang didendangkan adalah Takdir Penentu Segala, Kau Lupa Janji, Kasihnya Ibu, Padamu Kekasih, Azura dan lagu baru Penawar Kasih.

Majlis sempena hari ibu yang dianjurkan oleh PWTC ini dihadiri lebih 600 tetamu.

Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan alunan merdu tiupan saksofon daripada pemain saksofon muda, Alif Nasir.

Manakala pengacara majlis yang menggamatkan keadaan pada petang itu ialah Syed Muradzi Syed Shamsul atau dikenali sebagai Dee.

Jamal Abdillah Sarankan Artis Berniaga


KUALA LUMPUR: Raja pop, Jamal Abdilah, 52, menyarankan agar artis-artis tempatan memulakan perniagaan sebagai jaminan masa depan.

Menurut Jamal, kebanyakan artis muda masih lagi tidak memikirkan tentang masa depan sedangkan mereka tahu karier sebagai artis belum tentu boleh menjamin masa depan.

"Memang ada segelintir artis yang bergiat aktif dalam perniagaan. Saya rasa, artis muda juga perlu berbuat demikian.

"Sekurang-kurangnya, apabila sudah tua nanti, mereka tidak perlu bekerja keras seperti di zaman muda memikirkan soal pendapatan hidup," katanya.

Tambah Jamal, menerusi perniagaan juga, para artis juga tidak perlu bersusah payah meminta bantuan kewangan daripada mana-mana badan persatuan apabila usia lanjut nanti seperti yang dilalui oleh beberapa artis veteran tempatan.

Dalam pada itu, Jamal bukan sahaja membabitkan diri pada sebuah perniagaan sahaja bahkan dia memiliki lebih kurang empat jenis perniagaan.

Antara perniagaan yang diceburinya ialah ternakan ikan perhiasan Arowana di Bukit Merah Lake Town, Perak, untuk dieksport ke luar negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Selain itu, Jamal turut menceburi perniagaan di bidang kecantikan D'Jas, pembekalan alat tulis dan yang terbaru, penyanyi itu mula menjadi agen pembekal emas menerusi syarikat Serambi Emas.

Bagaimanapun, jika dipanjangkan umur, Jamal ingin mengurangkan aktiviti seni nyanyiannya pada usia 55 tahun dan ingin memberi fokus pada perniagaannya sahaja.

Ini kerana, dia percaya, di usia itu, tahap kesihatannya pasti tidak memberangsangkan seperti sekarang.

"Selain untuk bekalan diri, perniagaan juga merupakan jaminan masa depan anak-anak saya.

"Bagaimanapun, saya akan mula perlahankan kerjaya seni saya pada usia 55 tahun agar dapat memberi tumpuan dalam perniagaan.

"Alhamdulillah, sepanjang lima tahun saya bekerja keras dalam perniagaan, adalah sedikit hasil yang boleh disimpan. Mungkin ada yang beranggapan, saya agak ketinggalan kerana bila usia dah lanjut baru nak mulakan perniagaan, saya tak kisah," ujarnya.

Jamal kini lebih eksklusif


BUKAN niat Jamal Abdillah ingin mendabik dada meminta bayaran yang tinggi setelah dirinya sering menjadi pilihan penganjur mahupun penerbit. Penyanyi bersuara emas yang tidak pernah putus dengan undangan persembahan Minggu Setiausaha dan sambutan Hari Ibu pada setiap tahun itu mengaku, tidak dapat memenuhi permintaan Aziz M. Osman untuk tampil membawakan watak Zack ketika tua menerusi filem Azura 2011.

Apa yang diharapkan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali adalah sekadar dirinya menjadi eksklusif untuk tatapan mahupun halwa telinga peminatnya.

“Saya kini akan lebih berhati-hati menerima tawaran nyanyian mahupun lakonan. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti filem Azura dahulu. Saya menerima bayaran yang sedikit malah tidak menerima apa-apa walaupun filem itu diulang tayang beberapa kali di kaca TV.

“Memang saya ada menerima tawaran berlakon watak Zack ketika tua dalam filem Azura 2011, tetapi saya tolak kerana bayaran yang diberikan tidak setimpal,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Sambutan Hari Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Menurut pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu, tujuannya berbuat demikian bukan disebabkan demand tetapi sekadar ingin menjaga nilai eksklusif diri.

Bagaimanapun Jamal memberitahu, tidak semua tawaran nyanyian mahupun lakonan akan diletakkan harga yang tinggi. Dia masih memenuhi undangan ke majlis membabitkan kerjasama dengan kerajaan mahupun persembahan amal.

Mengenai persembahan sempena Hari Ibu di PWTC pada 17 Mei nanti, Jamal memberitahu, dia sangat teruja apabila buat tahun kedua diundang sekali lagi membuat persembahan buat ibu-ibu.

Merancang membuat kejutan memilih tetamu bertuah menyanyi karaoke bersamanya di atas pentas pada Hari Ibu nanti, Jamal turut menyediakan cenderahati istimewa untuk teman duetnya yang paling serasi membawakan lagu Sandarkan Pada Kenangan dan Kehebatan Cinta.

“Pada persembahan selama satu jam setengah itu, saya akan menyanyikan 15 buah lagu popular termasuk sebuah lagu ciptaan Fauzi Marzuki, Bonda yang tidak pernah dinyanyikan di mana-mana persembahan saya,” katanya mengenai majlis yang juga dikendalikan oleh pengacara komedi, Dee.

Selain Jamal dan Dee, persembahan pada Hari Ibu itu nanti turut diserikan dengan alunan trompet daripada peniup trompet muda, Alif Nasir.

Bagi yang mahu membuat tempahan boleh hubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702.

Jualan meja dengan harga RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 untuk sepuluh orang sudah mula dijual. Pihak PWTC juga menerima tempahan secara individu.

Menyentuh soal hati pula, Jamal mengaku masih ingin berkahwin dan memerlukan teman hidup tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

“Siapa yang tidak mahu berkahwin lagi setelah hidup sunyi tanpa teman di sisi. Cuma biarlah ia datang sendiri. Lagipun ketiga-tiga perkahwinan saya sebelum ini bekas isteri-isteri saya yang memulakan langkah dahulu,” akuinya jujur.

Setelah menitip tiga pengalaman dalam tiga perkahwinannya sebelum ini, Jamal kini ingin memberi sepenuh perhatian terhadap kedua orang puteranya, Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki Yamani, 5.

Ujarnya, selain anak-anak perhatiannya juga tertumpu pada syarikat miliknya, Trading, Supply and Services.

“Sekarang ini tumpuan saya lebih kepada anak-anak, persembahan nyanyian dan syarikat yang baru hendak berkembang. Memang jadual saya sangat sibuk sehinggakan anak-anak sering bertanya kenapa saya sering pulang lewat ke rumah,” katanya juga yang masih tidak serik berlakon lagi.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini pula, Jamal memberitahu, bakal menghasilkan album baharu berjudul Raja Pop 2 yang bakal dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Katanya, album yang dihasilkan menerusi bajet syarikat miliknya sendiri itu bakal memuatkan lagu-lagu popular sekitar tahun 50-an dan 60-an termasuk dua lagu baharu yang dirakamkan.

“Semua lagu-lagu lama itu akan diberi nafas baharu menerusi susunan semula irama untuk disesuaikan dengan rentak masa kini. Hampir setahun proses pembikinan lagu cuma tinggal satu lagu sahaja yang bakal diringi Orkestra RTM belum dirakamkan,” katanya mengenai album baharunya itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails