Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Nas Adila. Show all posts
Showing posts with label Nas Adila. Show all posts

NAS ADILA BAKAL BERKAHWIN DENGAN ALIFF DISEMBER INI

Jika sebelum ini, Nas Adila pernah digosipkan dengan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, terkini bekas Akademi Fantasia musim ke-7 akhirnya akur dengan jodoh dengan lelaki yang cukup akrab di sisinya iaitu Aliff Razali pun seorang bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-6. Aliff mengotakan kata-katanya seperti temubual yang pernah dilakukannya bersama Allahyarham Mama Juwie tahun lalu untuk mengahwini Nas Adila pada tahun ini. Kenal lebih enam tahun, mereka kemudiannya menjalin percintaan tiga tahun selepas itu. Dalam tempoh percintaan itu, hubungan mereka pernah putus seketika dan kini ia bertaut kembali. Pasangan ini akan bernikah dan bersanding pada 12 Disember hadapan. Mereka bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi tarikh berkenaan dan bersanding pada petang hari sama, di Kompleks Finas. Insya-Allah kedua-duanya merancang untuk berbulan madu di Bali, Indonesia. "Insya-Allah, jodoh kami kuat. Perpisahan seketika sebelum ini buat kami jadi lebih matang dan positif. Ia buat kami berdua jadi kuat untuk mengharungi kehidupan bersama. Persiapan sedang dilakukan saat ini dan perbincangan mengenai konsep perkahwinan akan dilakukan bulan hadapan.
"Ikut hati nak konsep sanding ala dalam taman dan lokasi di Kompleks Finas itu sedikit sebanyak boleh merealisasikan apa yang saya ingini sekalipun tak boleh secara total," ujarnya dipetik sebagi berkata. Difahamkan, dalam majlis nikah nanti Nas Adila akan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Aliff. Pihak Aliff juga akan menyerahkan wang hantaran berjumlah RM25,000. Majlis mereka juga akan mendapat tajaan daripada barisan penaja seperti Ari Weddingcouture (baju sanding), Anas Abdullah (baju nikah), Sri Lagenda Bridal (konsultan majlis perkahwinan), Adika Series, Adeyna, Eryn Cosmetic, Ekin Amri (jurusolek) dan Mazzjeffri dari Romancinta Bridal.

Kisah sakit hati R'liff, Nas dalam single bersama

PERNAH menjalinkan hubungan cinta suatu ketika dahulu, sebelum terputus di tengah jalan, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim keenam dan ketujuh, R’liff Razali dan Nas Adila kini kembali bersama sebagai pasangan kekasih. Secara terbuka mengakui mereka kini kembali menjalinkan hubungan cinta, dua penyanyi muda itu juga turut merancang untuk mengakhiri zaman percintaan dengan ikatan perkahwinan. Mereka merancang untuk bernikah dalam masa satu atau dua tahun akan datang. Berkesempatan bertemu pasangan itu di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur selepas majlis pelancaran single terbaharu mereka yang berjudul Aku Sakit Hati, kedua-duanya tampil merungkai isi hati kepada pihak media secara terbuka. Bagi R’liff, sebetulnya perkara sebegitu tidak perlu untuk disorokkan. Jadi, mereka bersepakat dan mengambil kata putus untuk bercakap jujur kepada orang ramai. “Kami memang sudah ada hubungan yang rapat. Dalam erti kata lain, kami memang bercinta. Kami bercakap perkara benar dan tidak berselindung. “Insya-Allah dalam masa satu atau dua tahun akan datang, kami akan menjalinkan hubungan yang sah pula. Niat untuk bernikah itu ada, tetapi itu semua hanya satu rancangan. Moga niat itu dipermudahkan setelah pelbagai dugaan telah kami tempuh dengan kisah hidup masing-masing sebelum ini,” ujarnya memulakan bicara. R’liff memberitahu, judul single mereka yang dilancarkan itu adalah hasil garapan daripada kisah hidup mereka berdua. Pengalaman pahit dalam episod bercinta dengan bekas kekasih masing-masing membuatkan R’liff terdetik hati mencipta lagu itu. “Memang lagu ini ada kaitan dengan hidup kami. Saya dengan bekas kekasih dan Nas sendiri punya pengalaman sakit hati dengan bekas kekasihnya. Rasa tertekan selepas putus cinta membuatkan saya menggunakan kisah hidup sendiri dan Nas lalu kami luahkan kisah itu dalam lagu. “Bukan bermakna kami mahu mengungkit kisah lalu bersama tetapi jika diikutkan dengan lirik lagu ini, pada penghujungnya tentang kami reda dengan dugaan yang telah dilalui. Konsepnya, buang yang keruh ambil yang jernih. Ini bermakna, hidup perlu diteruskan dan perkara yang lepas perlu dijadikan pengajaran,” ulasnya lanjut. Lagu yang sudah tiga tahun dicipta itu mendapat sentuhan sepenuhnya oleh R’liff dan liriknya pula ditulis sendiri oleh Nas Adila. Mengambil masa yang agak lama untuk memastikan kualiti lagu tersebut dihasilkan menyebabkan baru sekarang lagu itu dilancarkan. Bagi Nas Adila pula, gosip yang pernah mengaitkan dirinya hubungan cinta dengan Raja Pop terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah juga, tidak mahu disimpan sendiri. “Gosip dahulu itu sudah menjadi masa lalu saya. Secara jujur saya dengan dia (Jamal) hanya bekerja. Kami berhubung untuk menjayakan konsert dan persembahan, itu sahaja. Perkara yang lepas biarlah berlalu. Saya kini mahu menjalani kehidupan baharu dengan lebih baik. “Saya juga bersedia untuk berkongsi tentang hubungan cinta saya dengan R’liff. Saya tidak suka untuk sorokkan perkara sebenar. Biarlah berterus-terang. Tidak ada masalah,” ujarnya membuka bicara. Tampil dengan imej terbaharunya, Nas Adila atau nama sebenarnya Nas Adila Mohd. Dan, 28, yang kini telah berhijab berkongsi kisah pintu rezekinya dalam bidang seni semakin terbuka luas berkat keputusannya yang berubah penampilan. “Saya berniat untuk berhijab sudah lama iaitu setahun yang lalu. Namun, saya berhijab sepenuhnya pada bulan Ramadan lepas. Itu semua berkat nasihat dan sokongan daripada ibu saya sendiri. “Mula-mula saya tidak biasa namun lama kelamaan rasa itu hilang kerana setelah berhijab, rezeki saya semakin terbuka luas. Tawaran berlakon dan persembahan sentiasa ada dan sehingga kini tidak pernah putus,” ujarnya ceria. Nas Adila bakal muncul dalam drama bersiri 13 episod siaran RTM berjudul Logging Cik Ecah selain bakal mengisi watak dalam slot Samarinda di TV3 tidak lama lagi.

Nas Adila kini bertudung

BAGAIKAN satu fenomena, semakin ramai nampaknya artis kita kini memilih untuk tampil dengan imej berhijab. Satu suasana baru dalam industri tetapi Hits percaya ini adalah satu titik tolak kepada perubahan yang lebih baik buat artis kita. Walaupun ada yang sibuk bertanya tentang keikhlasan hati masing-masing, bagi Hits itu terlalu mustahil untuk kita tahu memandangkan pendirian hati manusia itu bukan boleh dilihat secara kasar. Asalkan mereka sudah bersedia melakukan sesuatu yang mampu memberi impak yang positif, apa kata kita sokong. Selain Neelofa, Umie Aida, Uqasha Senrose kini seorang lagi artis kita turut memilih untuk tampil dengan imej bertudung. Menjelaskan hatinya benar-benar terbuka pada Ramadan lalu kini Nas Adila selesa dengan imej terbaharunya. Menolak terikut dengan mana-mana artis lain, kata Nas atau nama sebenarnya Nas Adila Mohd. Dan, 28, impian untuk bertudung kini dimudahkan buat dirinya. "Niat itu memang sudah lama, tetapi untuk ke arah itu tidak semudah bulan Ramadan lalu. "Jadi bila sudah ada kelebihan itu saya ambil kesempatan untuk bertudung, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan," katanya. Jauh sekali mahu berada dalam kelompok ‘fenomena’ yang dimaksudkan. Jelas Nas apa yang berlaku ini adalah dengan izin Allah. Katanya lagi ketika mengambil keputusan untuk bertudung, Neelofa adalah satu-satunya artis yang diketahui dirinya sudah berhijrah. "Saya tidak kisah apa orang mahu fikir, apa yang saya buat ini kerana Allah. Jujur saya katakan niat itu sudah lama dan bila sudah dimudahkan jadi saya ambil kesempatan ini. "Bagi saya niat seseorang itu berlainan, namun jika dia ikhlas tentunya perkara baik sebegini akan dapat sokongan," katanya. Menolak mahu mengatakan perubahan ini sebagai tanda sudah dekatnya tarikh hari bahagianya dengan penyanyi Aliff AF6. Kata Nas lebih molek untuk dia beritahu apa yang berlaku adalah atas kehendak dirinya sendiri. "Mahu kata tarikh perkahwinan sudah dekat juga tidak. Saya tidak pernah terfikir soal itu lagi. Malah kami juga belum bincangkan apa-apa soal ini lagi sebenarnya. "Apa yang saya buat ini adalah kehendak diri saya sendiri, Aliff secara jujurnya memang menyokong. Tetapi ini bukan kerana kami mahu berkahwin," katanya. Semakin rancak rezeki, kata Nas dia bersyukur penerimaan peminat dengan imej terbaharunya ini. Katanya walaupun secara zahir dia kini sudah bertudung, namun masih ada berberapa hal yang perlu diperbaikinya.

Nas Adila Mohon Petunjuk Pilih Calon Suami

Penyanyi Nas Adila yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Datuk Jamal Abdillah akhirnya menyerahkan kepada Allah dengan melakukan solat sunat istikharah untuk memohon petunjuk memilih calon suami. "Sebagai seorang perempuan saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga jika bertemu dengan lelaki yang saya rasakan sesuai. "Oleh itu, jika saya berkawan rapat dengan lelaki, sudah tentu saya mengharapkan untuk dia menjadi suami dan bukan hanya sekadar untuk suka-suka," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nas, dia sering melakukan solat istikharah untuk memohon agar diberikan petunjuk sama ada lelaki yang didekatinya itu sesuai atau tidak dijadikan teman hidup. Dalam pada itu, Nas berkata, dia menilai seorang lelaki melalui akhlak yang ditonjolkan dan latar belakang keluarga terlebih dahulu. "Jika saya rapat dengan seseorang lelaki selalunya saya akan buat sembahyang istikharah supaya diberi petunjuk.
Alif (AF6) Sementara itu, Nas mengakui tidak menaruh harapan untuk mengahwini Jamal sebagaimana kecoh diperkatakan sebelum ini. Dia juga menganggap gosip tersebut sebagai lumrah kehidupan seorang artis. "Saya tahu perkara sebenar yang terjadi antara hubungan saya dengan Datuk Jamal, namun biarlah saya berdiam diri sahaja bagi tidak mengeruhkan keadaan," katanya. Dalam pada itu, Nas turut mengakui sedang berkawan rapat dengan penyanyi Alif (AF6). Mereka juga bakal mengeluarkan single duet terbaharu dalam masa terdekat.

Menanti cinta sejati - Nas Adila

"Tentang perkara itu, saya rasa saya tidak mahu beri komen lagi memandangkan semuanya sudah terjawab." Itu kenyataan yang diberikan oleh penyanyi Nas Adila, saat diajukan soalan tentang hubungannya dengan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah. Sebelum ini, gosip mengenai kedua-dua artis ini bertiup kencang apabila ada yang mengatakan Jamal bakal bertunang dengan Nas Adila. Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, Jamal membuat kenyataan bahawa dia terpikat dengan kelembutan wanita berkenaan, namun belum mahu mengesahkan status hubungan tersebut. Nas pula menyambut dengan mengatakan Jamal sebagai lelaki yang matang untuk dijadikan seorang suami. Namun, ketika ditanya perkembangan tentang gosip itu kini, mulut Nas ibarat terkunci, mungkin kerana memikirkan jawapan yang bersesuaian untuk diberikan. "Rasanya tidak perlulah dihebohkan lagi tentang perkara ini. Datuk Jamal sendiri sudah menjawab persoalan ini. Malah, saya sendiri pun tidak pasti bagaimana cerita sebegini boleh keluar," ujarnya. Berborak tentang dirinya dan Jamal, ujar Nas, dia sangat mengagumi Jamal apatah lagi berpeluang berkongsi pentas dalam membuat persembahan. "Keserasian dengan Datuk Jamal sudah ada. Itulah agaknya Datuk jemput saya untuk membuat persembahan bersamanya selama ini. "Rasanya, yang paling terbesar pernah saya lakukan ialah ketika dijemput oleh Datuk untuk menyanyi di Istana Budaya. Itu yang paling saya tidak dapat lupakan," ujarnya teruja. Tambah Nas, mungkin disebabkan sebelum ini mereka banyak berpasangan ketika menyanyi dan dari situ timbul gosip mengatakan dia rapat dengan Jamal. "Sekarang ini memang saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara ini kerana yang penting, saya hanya mahu fokus pada kerjaya sahaja," jelasnya. Ditanya sama ada sudahkah dia bersedia untuk berumah tangga, jelas Nas, dia sudah bersedia untuk bergelar isteri. "Saya memang sudah bersedia untuk berumah tangga ditambah pula bila melihat rakan-rakan lain yang sudah bergelar isteri. "Saya menyerahkan soal jodoh ini kepada takdir. Andai sudah ditetapkan jodoh saya, saya terima dengan hati terbuka," ujarnya. Ditanya mengenai kriteria lelaki yang menjadi idamannya, ujar Nas, dia lebih selesa dijodohkan dengan lelaki beriman, berakhlak dan bertanggungjawab. Selesa bersama bekas kekasih Pada masa sama, ramai yang tidak mengetahui tentang kisah percintaan Nas dan Aliff. Cuma kisah perpisahan mereka sahaja yang menjadi perhatian umum. Namun, status sebagai bekas kekasih itu tidak menghalang untuk kedua-duanya bekerjasama. Malah, ketika sesi pengambaran, pasangan ini nampak tidak kekok. Ditanya mengenai hubungannya bersama Aliff kini, jelas Nas, dia sebenarnya selesa untuk bergelar rakan dengan Aliff dan ia tidak lebih daripada itu. "Saya selesa bekerjasama dengan Aliff. Lagipun saya dah kenal lama dengan dia. Jadi, itu yang memudahkan kerjasama antara dia dan saya," jelasnya. Terbaru, pasangan ini akan bekerjasama menjayakan teater Gelanggang Tok Wali dan juga sedang menyiapkan lagu duet berjudul Aku Sakit Hati. Sudah alang-alang bekerjasama, tidakkah terbuka pintu hatinya untuk menerima Aliff semula sebagai kekasih, jelas Nas, buat masa ini, dia lebih selesa dengan status berkawan sahaja. "Saya putus dengan Ariff pun dah hampir setahun. Sebab kami putus adalah kerana hal yang mungkin terlalu peribadi untuk dikongsikan," ujarnya. Tambah Nas, dia mahu menutup terus tentang kisah percintaan lalu bersama dengan Aliff dan tidak mahu ia timbul semula. "Cerita seperti ini sebenarnya melibatkan ramai pihak termasuk keluarga Aliff. Sebab itu saya tidak mahu memanjangkan perkara yang telah lalu. "Saya selesa dengan hubungan sekarang ini dan rasanya lebih baik kami kekal seperti ini sahaja," jelasnya yang mengenali adik dan kakak Aliff. Lagu duet berjudul Aku Sakit Hati dendangan Nas dan Aliff nampak seperti ada udang di sebalik batu. Masakan tidak, lagu itu dicipta sendiri oleh Aliff dan liriknya oleh Nas sendiri. Namun, nampak seperti kedua-duanya mengambil kesempatan untuk meluahkan tentang isi hati masing-masing dalam lagu. Ketika ditanya kepada Aliff adakah lagu itu berdasarkan kepada kisah cintanya bersama dengan Nas, dia menyangkal dakwaan itu. "Memang lagu itu adalah berdasarkan kepada pengalaman kami tetapi mungkin pengalaman yang berbeza antara saya dan dia. "Kami kenal dah lima tahun dan awal tahun lalu kami berpisah. Mungkin ada sedikit kisah antara saya dan dia terkandung dalam lagu itu. Tetapi mungkin juga ada kisah lain dalam lagu itu," katanya. Jelas Aliff, dia kini lebih selesa untuk menjadi pemerhati sahaja dalam hidup Nas dan ia tidak lebih daripada itu. "Hubungan dengan Nas masih lagi rapat. Malah, kehidupan saya kini lebih positif walaupun kami sudah bergelar rakan. "Saya mengambil semua yang berlaku dalam hubungan kami sebelum ini sebagai satu hikmah. Mungkin sudah tiada jodoh dan kita sebagai manusia tidak boleh menolak ketentuan tuhan," ujarnya. Menyambung bicara mengenai kariernya kini, jelas Aliff, dia kini bekerja di Alliance University di bahagian korporat secara sepenuh masa. Bagi Aliff, dia bersyukur kerana walaupun bekerja sepenuh masa di universiti itu, tetapi majikannya sedikit pun tidak menghalang dia daripada terus terlibat dalam dunia seni. "Saya masih lagi bergelar pelakon dan penyanyi. Alhamdulillah, majikan pun beri saya peluang untuk meneruskan minat saya," jelasnya yang masih solo.

Jamal membisu, Nas Adila sudah sarung cincin

HEBOH seminggu pasal angin menderu yang canang perkhabaran terbaharu mengenai penyanyi hebat, Jamal Abdilllah yang sudah pun bergelar Datuk itu. Hebatlah Jamal, Diva nak tabik spring pula rasanya sebab dalam diam-diam, tiba-tiba nak bertunang. Dalam suasana kecoh itu kawan-kawan Diva yang lain pun mahu dapatkan kenyataan. Tiba-tiba nak jadi cerita, Cik Bisikanria berbisik ke telinga Diva. Katanya, sebaik sahaja baca penjelasan Nas Adila pasal hal Jamal nak merisik itu, dia sudah dapat rasa bahawa desas-desus sebelum ini mengenai Nas dan Jamal ada banyak betulnya. Dengarnya, di sebalik penafian Nas Adila dan Jamal yang membisu tanpa mahu memberikan kenyataan, sudah ada cincin dibeli untuk majlis merisik nanti. Betul atau tidak, tunggu kesahihannya nanti. Diva sendiri nak juga dengar setidak-tidaknya satu perkataan 'Ya' atau 'Tidak' daripada mulut Jamal, harap kawan-kawan Diva yang lain tak terus gigih mencari abang Jamal Kekasih Awal Dan Akhir itu untuk penjelasan lanjut.

'Biar Jamal Jelaskan Mengenai Hasrat Merisik' - Nas Adila

Penyanyi Nas Adila menyerahkan kepada Datuk Jamal Abdillah bagi menjelaskan kepada umum tentang status sebenar hubungan mereka serta desas-desus kononnya dia bakal dirisik. Nas, 27, berkata, adalah tidak manis baginya untuk bercakap mengenai perkara itu kerana dia bimbang akan dipandang serong oleh sesetengah pihak. "Sebagai seorang perempuan rasanya tidak manis untuk saya bercakap mengenai hal-hal berkaitan dengan perkara seperti merisik atau pun perkahwinan dan saya minta maaf kerana tidak boleh memberi apa-apa komen. "Biarlah Jamal yang memberitahu kepada pihak media," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu. Nas mengulas mengenai laporan akhbar yang mendedahkan Jamal berhasrat untuk memperisterikannya dan rombongan merisik bakal berlangsung dalam waktu terdekat ini.
Dalam perkembangan sama, Nas tidak menafikan hubungan mereka semakin rapat sejak penyanyi terkenal itu mengundangnya bersama-sama menjayakan 'Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan’ di Istana Budaya pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu. Jelas Nas, sejak itu dia sering di undang untuk mengadakan persembahan bersama Jamal selain selesa berkawan dengan lelaki berusia 54 tahun itu. "Saya akui hubungan kami rapat kerana Jamal sering mengundang saya sebagai rakan duetnya pada persembahan pentas dan selesa dapat bekerjasama dengan beliau," katanya. Dalam pada itu, Nas berkata, laporan yang mengatakan dia memutuskan hubungan dengan penyanyi Aliff (AF) adalah tidak benar kerana keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama. Jelas Nas, hubungan mereka masih baik selain menganggap mereka sudah tiada jodoh. Sementara itu, Jamal menerusi pembantu peribadinya meminta sedikit masa untuk menjelaskan mengenai khabar angin mengenai majlis merisik yang akan diadakan itu.

Nas Adila Tetap Usaha Biarpun Hampir Gagal Jadi Artis

Penyanyi Nas Adila tidak pernah berputus asa untuk mencipta nama sebagai penyanyi terkenal biarpun popularitinya tidak sehebat artis wanita lain. Nas, 27, berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi mendapat perhatian peminat, dia menganggap perkara itu sebagai satu cabaran buatnya sebelum mengecap kejayaan. "Saya pernah kena tipu dan bermacam-macam lagi sepanjang jadi artis sebagai usaha untuk bakat sebagai penyanyi diberi perhatian oleh peminat namun gagal. "Tetapi itu bukan bererti saya perlu mengalah kerana ia sebenarnya membuatkan diri saya lebih kuat," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nas berkata, walaupun tidak popular namun dia bersyukur undangan nyanyian sentiasa ada malah adakalanya terpaksa menolak kerana jadual yang padat. "Mungkin wajah saya tidak selalu muncul di televisyen jadi orang tidak perasan. Tetapi Alhamdulillah undangan nyanyian masih ada," katanya yang baru sahaja selesai membuat persembahan bersama Jamal Abdillah di beberapa buah negeri. Sementara itu, Nas berkata tumpuannya juga terletak kepada studio tariannya yang diusahakan sejak akhir tahun lalu dan bersyukur ia mendapat sambutan baik. Dalam perkembangan lain, Nas kini sedang sibuk dengan pementasan teater Hantu Ke Tapah yang akan dipentaskan di Pulau Langkawi, Kedah pada Jun depan. Selain Nas, teater tersebut turut dilakonkan oleh Ezad Lazim, Aliff (AF), Ani Mayuni dan Fairus Selamat.

Nas Adila tidak sia-siakan bakat

DUNIA tariannya bermula sejak dari kecil lagi, mewarisi bakat ini dari ibunya. Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, ini merupakan antara minat yang tidak mahu disia-siakan. Walaupun pada mulanya tarian hanya kekal sebagai penggerak buat setiap persembahan nyanyian, kini Nas memilih untuk membawa kebolehannya ini ke peringkat yang lebih tinggi. Merupakan pemilik studio tarian, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor. Nas memberitahu selain bertindak sebagai sumber kewangannya, perniagaan itu juga diibaratkan sebagai penyambung nyawa buat kerjaya seninya. “Saya memang suka menari, malah sejak dari kecil lagi saya sudah mendapat pendedahan daripada ibu saya yang juga merupakan bekas penari Yayasan Warisan Johor. “Baru beberapa bulan beroperasi saya dapat lihat sendiri sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Bercakap soal cawangan saya fikir masih terlalu awal untuk saya fikirkan,"katanya. Menurut Nas, selain bergantung kepada minat, sebelum membuka perniagaan ini dia juga mengambil masa mempelajari teknik tarian yang betul dengan memasuki beberapa kelas tarian. “Sebelum benar-benar yakin untuk meneruskan perniagaan ini, saya sebenarnya ada memasuki beberapa kelas tarian. “Hampir setengah tahun juga saya membuat persiapan sebelum bersedia membuka perniagaan ini. Bukan apa memandangkan modal yang dilaburkan bukan sedikit, saya mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya berjaya," katanya. Pernah menceburkan diri dalam perniagaan cuci kereta sebelum ini, menurut Nas, dia terpaksa melupakan perniagaan pertamanya itu kerana faktor masa dan minat. Mendedahkan modal untuk perniagaan terbarunya ini mencecah RM100,000, bagi Nas apa yang penting buat dirinya kini dia mahu studio tarian miliknya ini kekal menjadi aset buat masa depannya. “Mengapa saya memilih untuk membuka studio latihan tarian? Saya rasakan perniagaan ini merupakan pilihan yang paling dekat dengan jiwa saya. “Selain itu juga saya merupakan duta untuk produk perlangsingan D’Apple Fiber dan melalui aktiviti yang ditawarkan studio ini, saya sebenarnya membantu mereka untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik melalui senaman yang betul," kata Nas yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim tujuh. Demi masa depan Percaya dunia hiburan menempatkan peluang yang agak terhad buat pendatang baru sepertinya, bagi Nas, hanya melalui strategi yang betul dia mampu memastikan namanya kekal berada dalam pasaran. Malah tujuan utama dia membuka perniagaan ini juga adalah untuk membantu karier seninya. “Mungkin ramai yang tidak tahu aktiviti seni saya masih lagi berjalan seperti biasa, selain tawaran menyanyi saya juga sibuk memenuhi undangan berlakon. “Selain studio tarian, saya juga menyediakan kelas vokal serta perniagaan pengurusan acara," katanya. Tidak mahu dilihat sebagai artis tangkap muat, menurut Nas, dengan keadaan dunia hiburan kini, dia yakin bakat seni tidak seharusnya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Memilih untuk mencuba setiap peluang yang tiba pelantun lagu I Love U ini percaya ini merupakan langkah yang paling tepat untuk kariernya. “Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara itu kalau saya tidak mampu. “Saya suka menyanyi, menari dan berlakon, melihat peluang yang ada saya cuba mengubah minat saya ini kepada perniagaan. Walaupun begitu harus saya akui ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya yang masih muda ini, namun berkat sokongan keluarga saya yakin dengan diri saya sendiri," katanya. Melalui jadual harian yang agak sibuk menurut Nas, jika dia terpaksa berada di luar daerah, perniagaannya itu akan diuruskan oleh empat pekerjanya. Bagaimanapun menatang perniagaannya ini ibarat “anak sulung", bagi Nas walau sesibuk manapun dia akan pastikan sempat untuk melihat perkembangan perniagaannya itu setiap hari. “Kalau saya tidak sempat datang pada waktu siang, saya akan pastikan saya datang pada waktu malam. “Bukan tidak percaya dengan kebolehan pekerja saya, namun ini merupakan perniagaan saya, jatuh bangun perniagaan ini bergantung kepada kesungguhan saya," katanya.

Dunia baru Nas Adila


Dengan semangat dan kesungguhan, Nas Adila yang sebelum ini pernah muncul dengan dua album sekitar awal tahun 2000, tekad berkongsi modal bersama pengurusnya, Redz untuk membuka Pusat Kecantikan Kereta Green Clean Car Wash.

Jika dahulu anak kelahiran Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru, Johor ini sering menghiburkan peminat di pentas persembahan, kini masanya banyak dihabiskan di Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, membelai 'kotak besi' yang dihantar untuk 'dimandikan'.

"Sekarang ini, di sinilah tempat Nas menghabiskan masa sekiranya tiada undangan menyanyi atau persembahan.

"Tetapi jika ada undangan atau kerja luar, Nas akan pastikan akan ada masa untuk menjenguk Green Clean ini setiap hari," ujar pemilik nama sebenar, Nas Adila Mohd. Dan ketika ditemui S3 di premis perniagaannya itu, baru-baru ini.

Tambah penyanyi yang akan tampil dengan lagu terbaru, I Love U itu, dia juga akan turun padang mencuci kereta yang dihantar pelanggan bersama-sama dengan pekerjanya.

Bagi pelantun lagu Bidadari Cinta, sejak memulakan perniagaan tiga bulan lalu, dia tidak betah dengan hanya memerhatikan pekerjanya menjalankan rutin mencuci kereta.

"Nas jadi tidak senang sekiranya hanya duduk dan memerhatikan sahaja apa yang mereka buat. Jadi, apabila kerja di bahagian pengurusan telah siap dan ada kereta yang hendak dicuci, tangan Nas jadi 'gatal' untuk bermain dengan sabun.

"Bagi Nas, mencuci kereta bersama pekerja memberikan lebih kepuasan, selain dapat merapatkan jurang di antara Nas dengan pekerja.

"Lagi pun, Nas rasa sekiranya Nas turut sama melakukan kerja-kerja mencuci kereta, itu akan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.

" Maklumlah, mata wanita ini lebih tajam. Ditambah dengan sikap cerewet, pasti habuk yang secalit pun dapat dikesan," tambahnya yang turut meminati bidang tarian.

Jelas gadis berusia 25 tahun itu lagi, premis perniagaannya pernah menerima 25 kenderaan sehari dan itulah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Green Clean Car Wash beroperasi.

Itu membuatkan Nas dan pekerja tidak menang tangan untuk mencuci kesemua kenderaan yang ada.

"Alhamdulillah, rezeki setakat ini baik. Lagipun, kami dapat tender dari syarikat kenderaan, Toyota di mana setiap kereta baru yang dijual, akan dicuci terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pelanggan.

"Selain itu, ahli kelab Proton Saga (Prossboc) juga sering menghantar kereta mereka di sini untuk dicuci.

"Soal penat... tak usah cakaplah tetapi di sebalik kepenatan itu, timbul keseronokan apabila pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang kami berikan," ujar Nas Adila.

Premis berkenaan juga dijadikan tempat latihan menari pada sebelah malam iaitu selepas operasi cucian kereta tamat pada pukul 10 malam.

"Apabila sudah tiada kereta yang masuk pada sebelah malam, Nas akan mulakan sesi latihan menari. Mungkin selepas ini, Nas ingin meletakkan cermin pula untuk memudahkan Nas membuat laithan," ujarnya mengakhiri bicara tengah hari itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails