Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Kamal Adli. Show all posts
Showing posts with label Kamal Adli. Show all posts
Kamal Adli Tolak Sesi Fotografi Bersama Emma Maembong
Pelakon Kamal Adli menolak untuk digandingkan dengan aktres Emma Maembong dalam mana-mana sesi fotografi akhbar ataupun majalah selepas gara-gara gosip percintaan mereka berdua.
Kamal, 29, berkata, pendiriannya itu dibuat bagi mengelakkan hubungan mereka terus disalahtafsirkan oleh semua pihak.
"Ada yang minta untuk menggandingkan kami dalam sesi fotografi tetapi rasanya lebih baik kami tidak berbuat demikian.
"Ini kerana nanti akan timbul pelbagai cerita kurang enak seperti mana berlaku sebelum ini," katanya kepada mStar Online.
Kamal ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu.
Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116).
Kamal dan Emma memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang yang akan disiarkan pada 29 Julai depan.
Dalam pada itu, Kamal menegaskan hubungannya dengan Emma sekadar teman biasa dan masih terlalu awal untuk bercakap soal cinta.
Bagaimanapun, Kamal tidak menafikan Emma adalah wanita paling rapat dengannya ketika ini dan dia selesa bersahabat dengannya.
"Kami masing-masing ada pengalaman pahit dalam percintaan sebelum ini dan lebih baik kami bersahabat sahaja buat masa sekarang.
"Tidak ada apa yang ingin kami sorokkan pun dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Allah," jelasnya.
Sementara itu, Emma yang turut ditemui pada majlis sama senada dengan Kamal namun memberitahu tidak tertekan apabila sering dikaitkan dengan pemuda tersebut.
"Benar kami rapat tetapi sebagai sahabat dan saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menjadi diri sendiri," jelasnya.
Kamal Adli Tepis Gosip Bawa Emma Maembong Jumpa Keluarga
Pelakon Kamal Adli terus bertegas tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan aktres Emma Maembong seperti mana tersebarnya gosip mereka sejak kebelakangan ini.
Kamal, 29, berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercakap soal percintaan kerana Emma sendiri sedang menyelesaikan kemelut dengan Zizan Razak selain dia enggan menambahkan masalah sedia ada.
"Hubungan saya dengan Emma hanya sekadar kawan biasa dan kami tidak bercinta seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini.
"Dengan situasi Emma sekarang ini bukan masa sesuai untuk bercakap soal itu tambahan pula saya tidak mahu menambahkan lagi masalah yang sedang dihadapinya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Rabu.
Terdahulu, Kamal dikatakan telah membawa Emma berjumpa dengan keluarganya dan mereka dikatakan sudah menjalinkan hubungan cinta selepas wanita itu mengesahkan hubungannya dengan Zizan putus.
Dalam pada itu, jelas Kamal, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan dia tidak pernah membawa Emma berjumpa keluarganya.
Jelas Kamal, dia sendiri tidak pasti bagaimana cerita berkenaan boleh tersebar dan tidak faham mengapa dia menjadi sasaran gosip biarpun pernah menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Emma.
"Cerita saya bawa balik Emma jumpa keluarga sama sekali tidak benar dan saya sendiri tidak tahu bagaimana khabar angin itu boleh timbul.
"Rasanya cukuplah cerita mengatakan kami mempunyai hubungan kerana ia tidak benar," jelasnya.
Sementara itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan Emma berhubung perkara itu gagal selepas wanita berkenaan tidak menjawab panggilan dibuat.
Kamal Adli Terkilan Liyana Jasmay Temukan Intan Ladyana Kekasih Baharu
Pelakon Kamal Adli terkejut selepas mendapat tahu aktres Intan Ladyana sudah menemui pengganti selepas tiga bulan hubungan cinta mereka putus iaitu pada akhir Ramadan lalu.
Kamal, 28, berkata, dia mendapat tahu perkara itu apabila pengikut di Instagram Intan meletakkan tanda 'tagged' gambar pelakon itu dengan seorang lelaki di akaun laman sosial miliknya.
"Saya masih dalam proses memulihkan perasaan daripada terus merindui Intan tetapi saya benar-benar terkejut apabila seorang peminat telah "tagged" gambar Intan bersama teman-teman termasuk seorang lelaki ketika percutian mereka di Venice.
"Saya tidak menyangka dalam masa terdekat ini dia sudah boleh meneruskan hidupnya dengan orang lain," katanya kepada mStar Online.
Kamal ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri #Antidot di Sri Pentas, Bandar Utama di sini pada Selasa.
Terdahulu mStar Online pada Isnin menyiarkan pengakuan teman baik Intan iaitu Liyana Jasmay yang mendedahkan telah memperkenalkan Intan dengan seorang pemuda iaitu teman kepada suaminya.
Namun Liyana menafikan dia menjadi punca keretakan hubungan Intan dan Kamal kerana pertemuan wanita itu dengan individu berkenaan berlaku selepas pasangan tersebut putus cinta.
Dalam pada itu, Kamal mendedahkan sebelum mendapat tahu Intan sudah menemui pengganti, dia masih menghantar mesej kepadanya hampir setiap hari kerana mahu memujuk biarpun tidak pernah dibalas.
Bagaimanapun kata Kamal, dia berhenti daripada terus menghantar mesej selepas menyedari kedudukannya selain mahu menghormati privasi kehidupan Intan.
"Saya cuba perbetulkan keadaan tetapi semakin lama kami semakin jauh... jadi sudah tiba masanya saya perlu lupakan dia. Bukan mudah kerana sepanjang enam tahun kami bercinta saya bahagia bersama dia. Mungkin sudah tertulis dia bukan jodoh saya," jelasnya.
Sementara itu, Kamal memberitahu dia terkejut apabila mendapat tahu intan mengenali lelaki berkenaan melalui rakan baiknya sendiri iaitu Liyana Jasmay.
Jelas Kamal, biarpun terasa hati dengan tindakan Liyana itu namun dia yakin niat aktres itu baik untuk melihat Intan gembira dan bahagia.
"Terus terang saya terkejut kerana Liyana rakan baik saya dan ada bermain dalam fikiran saya mengapa dia sanggup buat begitu ketika saya sedang berusaha memenangi hati Intan.
"Tetapi saya tidak salahkan Liyana kerana saya tahu dia berniat baik dan sebab itu saya tidak mahu berusaha lagi kerana enggan merosakkan kebahagiaan Intan sekarang," katanya.
Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai #Antidot, Kamal memberitahu dia teruja menjayakan drama bersiri itu yang menampilkan jalan cerita berbeza mengenai serangan virus sehingga menimbulkan kekecohan dalam masyarakat.
Malah kata Kamal, bekerja di bawah arahan Kabir Bhatia juga memberinya banyak input tentang selok belok produksi dan gaya pengarahan yang baik.
"Drama bersiri ini sangat menarik dan Kabir bersama penulis skrip berjaya menampilkan sebuah karya yang berbeza daripada drama aksi sedia ada.
"Pengalaman yang saya dapat kutip daripada #Antidot juga cukup banyak tambahan pula Kabir seorang pengarah berkaliber," katanya.
Tambah Kamal, selain #Antidot dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Pergilah Airmata untuk siaran RTM sebanyak 28 episod.
Selain Kamal drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Nad Zainal, Nabil Huda dan Shahriza Mahmud.
Ia bakal bersiaran menerusi slot Aksi (TV3) bermula 9 Disember ini pada setiap hari Selasa pada pukul 10 malam.
Cinta Kamal Adli & Intan Ladyana Hancur Akhirnya
Hubungan pasangan pelakon Intan Ladyana dan Kamal Adli yang dibina sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah apabila kedua-dua mereka putus cinta.
Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.
"Saya dan Kamal sudah tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa. Keputusan ini sudah lama kami fikirkan, tetapi sekarang baru dapat dibuat.
"Kalau boleh jangan tanya saya punca perpisahan kami ini, biarlah ia menjadi cerita peribadi kami. Saya anggap ini semua tiada jodoh untuk kami bersama," jelasnya ketika ditemui semasa sidang akhbar Anugerah Lawak Warna di Hotel Istana di sini, pada Isnin.
Intan berkata, biarpun hubungan tersebut sudah berakhir, ia tidak menghalang untuk mereka berhubung sebagai rakan biasa.
Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu menjelaskan, dia tidak keberatan sekiranya digandingkan bersama-sama dalam lakonan dan akan bertindak secara profesional.
"Kalau diikutkan saya kini berasa lega setelah berterus terang mengenai hubungan kami. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada kerjaya dalam bidang lakonan," ujarnya.
Sementara itu, Kamal, 28, yang dihubungi mStar Online terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Intan itu.
Malah aktor itu enggan memberi komen mengenai perkara tersebut dan meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada mereka berdua.
"Saya tak mahu komen panjang. Biarkan keadaan sejuk dahulu.
"Dan berikan saya dan Intan ruang dan masa sebelum saya mengeluarkan sebarang kenyataan. Harap anda faham,” pintanya.
Kamal Adli Kecewa Sikap Buruk Fizz Fairuz
Sikap pelakon Fizz Fairuz yang dilihat acuh tak acuh untuk berganding bahu dalam kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) menerusi Liga Lawak Superstar (LLS) menimbulkan rasa kecewa seorang ahli kumpulannya, Kamal Adli.
Kamal berkata, selepas dimaklumkan pihak TV3 mengenai penarikan diri Fizz itu, dia bertambah terasa hati apabila mendapati tindakan Fizz itu disebabkan dia mahu ke United Kingdom bersama syarikat mutiara, Rafflesia.
"Apabila pihak TV3 mengesahkan Fizz terpaksa menarik diri kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, kami akur.
"Cuma saya terkejut dan terkilan apabila melihat di Instagram miliknya, dia bersama tiga artis lain iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Iqram Dinzly menyertai rombongan ke Cardiff yang dibawakan oleh Rafflesia,” katanya kepada mStar Online pada Rabu.
Fizz dan kesemua pelakon berkenaan dibawa menyaksikan perlawanan Liga Inggeris antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) di United Kingdom (UK) pada 24 November lalu.
Mesej Fizz Fairuz ini mendakwa dia disingkirkan dalam Liga Lawak Superstar tetapi TV3 memaklumkan dia sebenarnya menarik diri. Mana
Fizz turut menyindir Syafiq Kyle kononnya pelakon remaja itu tidak layak bersama Apa Kasih Tok.
Selain Kamal dan Fizz, Apa Kasih Tok turut disertai oleh Didie Alias. Bagaimanapun tempat Fizz telah digantikan oleh pelakon Syafiq Kyle.
Menurut Kamal, disebabkan komitmennya dalam rancangan LLS, dia turut menolak tawaran untuk ke Cardiff tetapi berasa terkejut kenapa Fizz mengambil alih tempatnya sedangkan mereka bersama terlibat dalam rancangan lawak berkenaan.
“Sebenarnya saya pun dijemput oleh Rafflesia untuk ke UK tetapi saya terpaksa tolak kerana komitmen dalam LLS. Saya tak sangka pula tempat saya itu Fizz yang ambil,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata, dia keliru apabila Fizz menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan telah disingkir dalam rancangan itu tetapi pihak TV3 pula memaklumkan pelakon itu yang memohon untuk menarik diri.
Bagaimanapun Kamal tidak mahu terlalu memikirkan hal berkenaan sebaliknya ingin mencari keserasian bersama ahli baharu iaitu Syafiq.
"Dia SMS saya meminta agar saya tenang dan berharap kumpulan kami berjaya sehingga ke peringkat akhir. Saya sebenarnya enggan masuk campur tentang urusan ini kerana ia lebih membabitkan antara Fizz dan pihak TV3. Saya pun tidak tahu situasi sebenar diri Fizz,” katanya.
Dalam pada itu Syafiq Kyle yang dihubungi memberitahu pemilihannya menggantikan Fizz dibuat oleh pihak TV3 serta dipersetujui oleh Kamal dan juga Didie.
Kata Syafiq, walaupun kemunculannya dalam rancangan itu dilihat agak kaku tetapi dia akan menggunakan pengalamannya bersama kumpulan Spy Kampung yang telah terkeluar untuk memantapkan lagi AKT.
“Saya akan berusaha untuk memastikan kumpulan AKT ini akan berjaya sehingga ke peringkat akhir,” katanya.
Dalam pada itu ditanya mengenai sendirian Fizz dalam Twitter yang mengatakan Syafiq tidak layak menyertai grup berkenaan, pelakon remaja itu bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.
“Saya ada baca Twitter itu tetapi biarlah... TV3 yang panggil saya. Jadi, saya terima saja,” katanya.
Kamal Adli, Intan Ladyana Sudah Sedia Kahwin
Pelakon Kamal Adli sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan aktres Intan Ladyana kerana merasakan kedudukannya lebih stabil untuk membina keluarga.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, berkata, setakat ini dia sudah pun memiliki aset seperti rumah sendiri dan kereta namun ingin melunaskan satu lagi hasrat iaitu membuka gelanggang futsal sebelum membuat keputusan menyunting kekasihnya itu.
"Saya dah bersedia untuk kahwin dan kami (dengan Intan) ada berbincang mengenai perkahwinan.
"Alhamdulillah saya sudah memiliki rumah dan kereta untuk keselesaan Intan nanti. Cuma tinggal satu perkara sahaja lagi iaitu saya mahu membuka tempat bermain futsal sebelum kami mendirikan rumah tangga," katanya kepada mStar Online.
Tambah Kamal, dia merancang akan membuka gelanggang futsal tersebut di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada akhir tahun ini atau awal tahun 2014 bersama seorang rakan kongsinya.
Dalam pada itu, dia juga gembira apabila pihak media semakin kurang bertanyakan mengenai kisah cintanya.
"Saya seronok sangat apabila kami dah tak lagi dikaitkan dalam mana-mana berita mahupun gosip. Yalah... lagipun semua orang dah tahu mengenai perhubungan ini.
"Orang mesti kata 'dia orang tunggu masa nak kahwin saja'... Itu yang mereka dah tak banyak cakap fasal kami. Tetapi macam mana pun kami tetap tidak boleh lari daripada persoalan, 'bila nak kahwin?'," selorohnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya, Kamal baharu saja selesai penggambaran drama Terukir Di Bintang bersama pelakon Tasha Shilla dan Wan Ilyas bagi tayang slot Samarinda TV3 tidak lama lagi serta drama Bulan Tiada Madu bagi siaran TV9.
Selain itu, Kamal turut menyertai sebuah pertandingan program Liga Lawak Superstar terbitan Vision Works Sdn. Bhd untuk siaran TV3 pada Oktober ini.
"Saya bersyukur juga sejak tawaran kerja tidak pernah putus dan Alhamdulillah saya masih lagi berada di landasan yang betul dalam ingin menjadi pelakon yang baik." ujarnya.
Apa salah saya? - Kamal Adli
* Disingkirkan atau memang Kamal sendiri yang mahu mengundur diri daripada program Hip TV itu?
Bila masa pula saya undur diri? Kalau boleh saya masih mahu menjadi pengacara program itu. Saya tak tahu menahu mengenai penyingkiran sehinggalah diberitahu pihak stesen tv.
Sekarang program itu dikendalikan oleh Hunny Madu dan Aidit Marcelo.
* Kecewa dengan tindakan pihak stesen TV terhadap Kamal?
Kecewa juga sebab saya seronok mengendalikan program itu. Setakat yang saya tahu, ramai yang memberi respons yang baik sepanjang saya dan Miera menjadi hos program. Namun paling mengecewakan, kontrak saya ditamatkan tanpa saya tahu apa penjelasannya. Tak tahu apa sebab.
* Ada yang mendakwa sebab Kamal tak bagus atau dalam kata lain tak sesuai jadi pengacara Hip TV sebab tak happening?
Tak pastilah. Rasanya saya dah buat yang terbaik dan sehabis happening. Kalau betul saya tak bagus, kenapa sepanjang saya dan Miera jadi hos, tak ada pula kami terima sebarang teguran? Kalau tak bagus tegurlah dan saya akan berusaha baiki apa yang kurang. Ini tidak, setiap kali saya tanya, mereka akan cakap okey, tak ada masalah, bagus.
* Bila Kamal diberitahu mengenai penamatan kontrak?
Semasa terlibat dalam rakaman episod terakhir program bulan lepas.
* Bila isu macam ini timbul, sebagai pengacara program ketika itu, apa perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Kamal selepas mendapat tahu disingkirkan daripada program yang dah sebati dengan jiwa?
Terus-terang saya katakan, saya jadi bengang sekejap. Terkedu. Iyalah, saya tak tahu apa salah saya tahu-tahu saja diberitahu selepas ini tak payah lagi jadi hos program sebab ada orang lain yang ganti. Kalau nak kata saya tak buat tanggungjawab dengan baik sekali pun, beritahulah. Ini terpinga-pinga saya dibuatnya. Namun dalam masa yang sama, saya faham mungkin pihak stesen mahu buat pembaharuan dan salah satu caranya adalah dengan menggantikan hos yang baru.
* Umpama habis madu sepah dibuang, adakah selepas ini Kamal enggan lagi menerima tawaran jadi pengacara?
Eh! Tak adalah. Mungkin rezeki saya tak ada dengan mereka. Tapi jika ada tawaran untuk program lain, saya akan ambil. Itu semua peluang. Takkanlah sebab satu perkara, saya berterusan nak kecewa dan merajuk tak mahu jadi hos lagi. Kita tengoklah rezeki datang, saya ambil. Insya-Allah.
* Selain berlakon, Kamal memang mencintai bidang pengacaraankah?
Bagi saya berlakon itu adalah fokus utama. Menjadi hos pula menyenangkan hati saya. Seronok sebab kerjaya ini menarik. Untuk program info hiburan seperti Hip TV membenarkan saya menjadi diri sendiri. Boleh buat gila-gila! Tapi nak buat macam mana, dah tak ada rezeki.
* Ada tawaran lain dalam bidang pengacaraan selepas kontrak dengan Hip TV tamat?
Setakat ini belum ada. Tapi semasa saya sibuk mengendalikan program Hip TV ada beberapa tawaran yang datang. Namun saya tolak sebab memikirkan saya ada komitmen dengan Hip TV.
Kamal Adli Terkejut TV9 Tamatkan Kontrak Mengacara Tanpa Sebab
Pelakon Kamal Adli melahirkan rasa terkejut kerana tidak diberikan sebarang sebab oleh pihak penerbitan Hip TV (siaran TV9) yang mahu menyingkirkannya sebagai pengacara rancangan tersebut.
Kamal, 26, berkata, dia hanya mengetahui kontraknya tidak disambung semasa hadir untuk mengendalikan rancangan itu pada 17 Jun lalu tanpa sebarang notis awal.
"Kecewa juga apabila kontrak tidak disambung kerana saya memang selesa dan gembira mengendalikan program berkenaan.
"Penamatan kontrak hanya diberitahu pada episod terakhir program tersebut dan pihak penerbit juga tidak memberi sebarang penjelasan tentang penyingkiran saya," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, dia enggan memperbesarkan hal tersebut dan menganggap rezekinya tidak lagi bersama TV9 bagi mengendalikan rancangan hiburan itu.
Malah katanya, sepanjang mengendalikan program berkenaan bersama pelakon Miera Leyana dia menimba pelbagai pengalaman berharga sebagai pengacara.
"Mungkin ini dikatakan bukan rezeki dan saya berterima kasih kerana diberi peluang dan kepercayaan selama setahun ini untuk mengacarakan program tersebut," jelasnya.
Tambah Kamal, dia akan terus mencuba nasib dalam bidang pengacaraan dan semangatnya tidak akan terhenti hanya kerana kontraknya tidak disambung pihak saluran televisyen.
"Mungkin selepas ini saya akan mendapat tawaran untuk mengacarakan program lain pula selain dapat memberikan fokus kepada bidang lakonan," katanya.
Sementara itu, penerbit bersama Hip TV iaitu Engku Azmin Engku Zaini berkata, penyingkiran Kamal bukan kerana pelakon itu mempunyai masalah disiplin atau pun persembahannya tidak memuaskan tetapi pihak pengurusan ingin memberi kelainan kepada rancangan itu.
Jelas Engku Azmin, pertukaran pengacara adalah perkara biasa dan pihaknya gembira dengan pencapaian Kamal sepanjang mengendalikan program itu.
"Dia bukan tidak bagus atau mempunyai masalah disiplin tetapi ia adalah keputusan pihak pengurusan yang ingin memberikan pembaharuan kepada program itu," jelasnya.
Tambah Engku Azmin, pihak TV9 juga mungkin sedang merancang untuk menggunakan khidmat Kamal bagi program lain yang sesuai dengan personalitinya yang bersahaja dan lasak.
"Pada pandangan saya, Kamal seorang pengacara yang sesuai untuk program yang lebih lasak dan maskulin kerana kelebihannya ada di situ.
"Insya-Allah mungkin pihak pengurusan sedang merancang sesuatu yang lebih sesuai untuknya," kata beliau.
Hip TV yang bersiaran setiap hari Ahad pada pukul 9.30 malam kini menampilkan Aidit Marcello dan Hunny Madu sebagai pengacara.
Kamal Adli Akui Takut Untuk Kahwin
Pelakon Kamal Adli mengakui masih belum bersedia dan takut untuk melangkah ke alam perkahwinan bersama kekasihnya iaitu aktres Intan Ladyana.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, bagaimanapun berkata, itu bukan bererti dia tidak serius dalam hubungan tersebut sebaliknya mengakui masih banyak perkara perlu dilaksanakan sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
"Saya belum mendapat 'seru' lagi untuk berkahwin dan sementara itu saya sedang melengkapkan diri untuk ke arah tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Terbaharu Gaya Metropolitan Alfio Raldo di Hotel Royale Chulan di sini, Khamis.
Kamal dan Intan turut dijemput untuk menjayakan pertunjukan fesyen dengan mengayakan koleksi jam tangan terbaharu jenama itu.
Dalam perkembangan sama, Kamal berkata dia takut untuk berkahwin selepas melihat beberapa kenalan artis yang gagal mempertahankan rumah tangga mereka.
Oleh sebab itu kata Kamal, dia mahu mempersiapkan diri dengan ilmu berumah tangga selain menyediakan kelengkapan untuk bakal isterinya supaya tidak timbul masalah selepas berkahwin.
"Saya tidak mahu berkahwin hanya kerana ingin puaskan hati orang lain tetapi hanya bila saya dan Intan benar-benar bersedia yang akhirnya akan menghancurkan kami.
"Banyak perkara yang sedang saya fahami dan pelajari sekarang ini dalam mempersiapkan diri. Insya-Allah tiba jodoh pasti kami akan bersatu," jelasnya.
Sementara itu, Intan atau nama sebenarnya Nurladyana Mohamat Yahya, 31, berkata, sebagai seorang perempuan dia meletakkan soal tersebut kepada pihak lelaki untuk membuat keputusan dan tidak mempunyai masalah dengan pendirian teman lelakinya itu.
"Soal ini saya tidak boleh nak kata lebih-lebih kerana tidak manis namun hubungan kami berjalan dengan baik dan kami saling mempercayai," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamal memberitahu dia kini sibuk menjalani penggambaran beberapa buah drama untuk siaran pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Kamal Adli Belum Layak Dipanggil Pelakon Komedi
Kamal Adli & Intan Ladyana Letih Asyik Ditanya Fasal Kahwin
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah jemu dan tidak larat lagi untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan mengahwini kekasihnya aktres Intan Ladyana.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, soalan mengenai perancangan berkahwin yang berulang-kali diajukan kepadanya dan Intan menyebabkan mereka berasa ‘letih’ untuk memberikan penjelasan.
“Soalan ini (kahwin) sudah banyak kali dan tidak henti-henti ditanya baik kepada saya atau pun Intan. Sebagaimana saya, dia juga sudah tidak larat untuk jawab soalan ini.
“Tak guna nak sorok kalau memang kami nak berkahwin. Masalahnya, kami belum bersedia dan tiada perancangan lagi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Rabu.
Kamal berkata, keutamaan mereka pada waktu ini adalah mengembangkan kerjaya masing-masing memandangkan keluarga kedua belah pihak tidak mendesak agar mereka segera disatukan.
“Saya baru sahaja bergerak sendiri selepas keluar daripada pengurusan MIG. Biarlah saya bina kerjaya semula buat masa ini.
“Begitu juga dengan Intan. Dia juga mahu mengukuhkan kerjayanya. Lagi pun, keluarga memahami dan tidak mendesak agar kami segera berkahwin,” jelasnya.
Sementara itu Intan berkata, soal berumahtangga adalah menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk menentukannya.
Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahya, 30, berkata, sebagai wanita adalah tidak manis sekiranya dia yang banyak bercakap mengenai perancangan itu.
“Saya serahkan kepada Kamal. Biarlah dia yang bercakap mengenai hal itu. Saya tak mahu komen apa-apa kerana tak manis kalau pihak perempuan yang bercerita soal itu (kahwin),” katanya.
Jelasnya lagi, walaupun sudah empat tahun menjalinkan cinta namun kata Intan bukan mudah untuknya bergelar isteri orang disebabkan komitmen yang bakal diberi.
Ujarnya, komitmen kerja juga antara penyebab mereka tidak terlalu serius untuk memikirkan hal demikian.
“Kalau kita dah kahwin, nak kena jaga makan minum suami dan uruskan rumah tangga dengan baik. Ia bukan mudah kalau kita tidak bersedia,” jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mencintaimu untuk siaran RTM.
Kamal Adli Mahu Kukuhkan Bakat Melalui Teater
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berhasrat untuk mengasah bidang lakonan menerusi pentas teater selain berhasrat memberi fokus pada bidang itu pada masa akan datang.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, sudah tiba masanya untuk dia mencari kepuasan lakonan dan menganggap bidang teater adalah yang terbaik untuknya.
"Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini melimpah dengan kerja-kerja lakonan drama serta filem. Ia sedikit sebanyak dapat menaikkan nama saya selepas menyepikan diri gara-gara peningkatan berat badan.
"Bagaimanapun, tahun depan, saya ingin mencari peluang untuk berlakon teater pula.
"Selepas menjayakan teater Gerimis Mengundang pada tahun lalu, saya mula jatuh cinta dengan bidang itu, ia memerlukan komitmen yang sepenuhnya dan pada masa sama memberikan kepuasan yang maksima selepas selesai pementasan," katanya.
Tambah kekasih kepada Intan Ladyana ini, dia juga ingin bersama dengan pelakon-pelakon teater lain dalam membantu mengangkat kembali industri teater negara yang semakin dipandang sepi.
Sementara itu, Kamal turut mengikut jejak langkah selebriti lain dengan memulakan perniagaan menjual pelbagai jenis biskut dan kek termasuklah biskut coklat, kek keju dan “pavlova”.
Perniagaan yang masih lagi belum diletakkan labelnya itu dijalankan bersama keluarga Kamal menerusi syarikat miliknya iaitu “Kamal Adli Creation”.
"Sebenarnya kakak saya dah lama mengambil tempahan biskut dan kek. Kemudian, apabila melihat respons daripada pembeli yang sangat menggalakkan, kami ingin melakukan perniagaan ini secara serius.
"Masih lagi terlalu awal untuk dibincangkan tetapi tempahan boleh dibuat menerusi Facebook atau hubungi kakak saya menerusi talian 013-6090369," ujarnya.
Kata Kamal, dia juga sedang merancang untuk membuat sebuah blog khas bagi memudahkan lagi pembeli untuk membuat tempahan.
Kamal Adli Hanya Terlewat, Sangkal Tidak Berdisplin
PETALING JAYA: Pelakon kacak Kamal Adli menolak dakwaan kononnya dia mengalami masalah disiplin sehingga menjejaskan sesuatu penggambaran filem atau drama yang dilakonkannya.
Kamal, 26, berkata, dia berasa hairan apabila isu itu dibangkitkan bagi merosakkan reputasinya sebagai pelakon namun bersyukur masih mendapat sokongan daripada ramai pihak.
"Jika betul saya tidak berdisiplin sudah lama kerjaya lakonan saya terkubur tetapi Alhamdulillahlah penerbit dan pengarah masih memberikan kepercayaan untuk saya berlakon dalam produksi mereka," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun Kamal mengakui ada kalanya dia terlambat ke lokasi penggambaran dan ia bukan disengajakan.
"Saya bukanlah sempurna dan mengakui ada kalanya saya terlambat ke lokasi kerana terikat dengan jadual lain dan paling lambat pun, lebih kurang sejam," katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata, dia tidak berkecil hati dengan tuduhan itu kerana menganggap ia adalah bukti masyarakat sayang dan prihatin terhadap dirinya.
"Saya lebih bimbang jika orang langsung tidak berminat untuk menegur atau mempedulikan tentang diri saya. Lebih baik ada yang menasihati supaya saya tidak lupa diri," jelasnya.
Sementara itu, Kamal melahirkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri terbaru berjudul Runtun Qalbu arahan Khalid Nadzri.
Menurut Kamal, watak dalam drama yang turut menggandingkannya dengan pelakon Fasha Sandha itu cukup berat dan memerlukan perhatian yang cukup mendalam.
"Watak yang saya pegang penuh dengan tekanan dan bukan mudah untuk memberi reaksi itu supaya penonton percaya dengan apa yang kita cuba sampaikan.
"Saya banyak berlatih di hadapan cermin untuk memastikan mimik muka tertekan dapat digambarkan dengan jelas," ujarnya.
Drama bersiri 13 episod itu bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini.
Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.
Memang Kamal Adli 'Anak Emas' Ahmad Idham
KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli tidak pernah berkecil hati dengan gelaran anak emas kepada pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang diperkatakan oleh pihak yang kurang senang dengannya.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, memberitahu dia akur dengan gelaran itu kerana mengakui kebanyakan filem yang dilakonkannya adalah di bawah arahan Idham.
"Saya tahu ada segelintir pihak yang mengatakan saya ini anak emas abang Idham, tidak mengapa, saya tak kecil hati pun.
"Memang diakui, setakat ini saya selesa bekerjasama dengannya dan kerana dia juga nama saya semakin dikenali. Kebetulan pula, dia yang menawarkan saya bekerja dan saya ambil peluang yang datang," katanya.
Bagaimanapun tambah kekasih pelakon Intan Ladyana ini, dia agak kecewa apabila jarang menerima tawaran berlakon daripada pengarah-pengarah lain.
"Kalau nak tahu, saya begitu teringin mencuba berlakon di bawah pengarah lain, tetapi setakat ini tiada tawaran yang diberikan.
"Kadangkala, saya berasa sedikit kecewa dan bertanya sendiri apakah sebab-sebab saya tidak ditawarkan bekerja selain abang Idham? Adakah kerana bakat lakonan atau mungkin kerana masih merasakan yang tubuh badan saya besar seperti sebelum ini?
"Bagaimanapun, jangan salah anggap pula, saya bukan nak membelakangkan abang Idham kerana dia antara orang yang banyak membantu dalam kerjaya saya, cuma saya ingin bekerja dengan orang yang belum pernah saya kerjasama," tuturnya.
Sementara itu, Kamal kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Gangster Celop terbitan Skop Productions dan Excellent Pictures.
Selain Kamal, filem yang menelan belanja sebanyak RM1.7 juta itu turut dibarisi pelakon Syamsul Yusof, Hanis Zalikha, Azad Jazmin dan Reen Rahim.
Letih Dengar Sindiran, Kamal Adli Akhirnya Kuruskan Badan
PETALING JAYA: Pelakon kacak Kamal Adli gembira dan berpuas hati apabila dia memperolehi semula berat badan idealnya setelah tujuh bulan disindir oleh orang sekeliling ekoran perubahan mendadak fizikalnya itu.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata dia berjaya mencapai berat badan ideal iaitu 75 kilogram berbanding 81 kilogram sebelum ini, selepas mengamalkan diet intensif termasuk senaman dan mengawal pemakanan bagi sepanjang tempoh itu.
“Saya sudah tidak larat dengar sindiran dan reaksi orang sekeliling dengan perubahan fizikal saya. Sepanjang tempoh tujuh bulan, saya aktif bersukan seperti bermain bola sepak dan futsal sebanyak tiga hingga lima kali seminggu.
“Yang paling saya tekankan adalah aspek pemakanan. Saya langsung tidak jamah nasi dan perbanyakkan pengambilan sayuran dan buah. Kalau hendak tahu, walaupun saya sudah mula ambil nasi semula tapi jumlahnya sangat terkawal,” katanya.
Kamal berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran orang sekelililing, dia sentiasa fokus kepada rutin dietnya. Sejak perubahan itu, dia berasa berkeyakinan semula dan lebih cergas berbanding sebelum ini.
“Saya rasa sihat dan penuh bertenaga seperti ketika saya menyertai pertandingan Hero Remaja, empat tahun lalu. Alhamdulillah, selepas tujuh bulan mengamalkan diet, ia mula menampakkan hasil.
“Saya gembira dan berpuas hati kerana usaha saya untuk mencapai matlamat ini berjaya,” katanya kepada mStar Online.
Mengenai perkembangan terkini, hero filem Gerimis Mengundang ini berkata, dia membuat keputusan untuk berehat daripada komitmen lakonan pada sepanjang bulan ini bagi memberikan laluan untuk promosi filem tersebut.
“Saya berehat daripada lakonan buat masa ini. Saya mahu berikan tumpuan kepada jadual promosi filem Gerimis Mengundang. Maklumlah, filem ini turut dipasarkan di Indonesia, Singapura dan Brunei, jadi saya akan kerap berulang-alik di negara-negara itu.
“Saya sangat teruja dengan filem kali ini. Sebagai hasrat penerbitnya untuk melihat filem kita menembusi pasaran Indonesia, saya juga menyimpan impian yang sama. Saya mahu sangat tengok filem kita mencetuskan fenomena di sana,” katanya.
Dalam filem arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu, Kamal menggalas watak juruterbang helikopter, Kapten Zamani yang menjalin hubungan dengan gadis dari Indonesia, Mikha lakonan Olivia Jensen.
Filem itu diinspirasikan daripada lagu dengan judul yang sama ciptaan Saari Amri dan nyanyian Zamani (Slam).
Gerimis Mengundang terbitan Erama Creative Sdn Bhd kini ditayangkan serentak di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Kamal nafi terima ugutan
SPEKULASI penangguhan tayangan perdana filem Gerimis Mengundang dari tarikh asal iaitu 21 Mei kepada 28 Mei ekoran pertindihan tarikh dengan tayangan perdana filem Aku Ada Kau Ada??? menimbulkan tanda tanya.
Ada dakwaan yang mengatakan penundaan tayangan perdana filem arahan Ahmad Idham itu disebabkan oleh tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), David Teo yang dikatakan mengganggu hak pengedaran Excellent Pictures yang diterajui Ahmad Idham sendiri.
Selain itu, muncul juga dakwaan bahawa pelakon utama filem Gerimis Mengundang iaitu Kamal Adli telah menerima mesej amaran berbaur ugutan saman daripada David Teo untuk hadir ke tayangan perdana filem Aku Ada Kau Ada??? ketika dia berada di Jakarta, Indonesia untuk tujuan promosi filemnya.
Kosmo! berkesempatan menemu bual kedua-dua individu yang terbabit iaitu Ahmad Idham dan Kamal Adli berhubung isu tersebut selepas sidang akhbar tayangan perdana filem Gerimis Mengundang di Sunway Pyramid, Bandar Sunway baru-baru ini.
Kosmo!: Filem Gerimis Mengundang dikatakan berdepan krisis pengedaran yang dikatakan telah diserahkan kepada MIG sebelum ini, adakah dakwaan ini benar?
AHMAD IDHAM (AI): Filem ini masih di bawah edaran syarikat saya sendiri iaitu Excellent Pictures yang diterbitkan oleh E-rama Creative Sdn. Bhd., lagipun perbincangan antara E-rama dan MIG sebelum ini pun hanya untuk penyiaran Gerimis Mengundang di saluran Astro First bukannya pengedaran filem.
Bagaimana anda selaku pengarah filem Gerimis Mengundang melihat situasi yang sedang berlaku yang dikatakan produksi anda disabotaj dan ada pihak yang cuba potong jalan?
Memang pada mulanya agak terkejut apabila diberitahu mengenai penundaan tarikh tayangan perdana filem ini oleh pihak E-rama pada saat-saat akhir. Hal saya disabotaj atau potong jalan sebenarnya masih diteliti sebelum kenyataan lanjut boleh dibuat.
Jadi, benarkah wujud unsur sabotaj terhadap filem itu dan apa tindakan anda selanjutnya?
Bunyi seakan-akan saya disabotaj dan kalau pihak Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) tidak menghubungi saya selepas pulang daripada mengerjakan umrah minggu lepas, saya tidak tahu menahu akan hal ini. Buat masa sekarang, saya diam saja dan tiada apa yang merugikan saya pun sebab saya cuma mengarah.
Memandangkan pratonton filem Gerimis Mengundang sepatutnya dijalankan pada tarikh yang sama dengan filem Aku Ada Kau Ada??? kemudian ditunda ke tarikh yang baharu iaitu kelmarin (28 Mei 2012), adakah ia menjejaskan promosi filem anda?
Tidak sama sekali. Masing-masing ada perancangan sendiri dan saya rasa dengan memberi laluan kepada tayangan filem Aku Ada Kau Ada???, itu adalah langkah terbaik untuk tidak mengeruhkan keadaan.
Kamal Adli Kagum Intan Ladyana Sanggup Menanti Dilamar
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli, 25, sangat kagum dan menghargai pengorbanan kekasihnya iaitu Intan Ladyana, 29, yang sanggup menunggu untuk dilamar sebagai isteri.
Kamal berkata, dia faham dengan situasi Intan yang sedang menanti untuk dipinang apatah lagi ketika keluarga dan saudara-mara mula berkata-kata mengenai perhubungan mereka, namun dia belum bersedia dalam soal kewangan.
"Saya hormat pada Intan dan hargai pengorbanannya kerana sabar menunggu saya yang masih lagi membina karier untuk lebih kukuh.
"Malah dia juga tidak kisah dengan persoalan orang di sekeliling yang bertanyakan tentang bilakah tarikh perkahwinan kami," katanya.
Bagaimanapun tambah Kamal, dia akan menamatkan zaman bujangnya sebelum berusia 30 tahun dan akan mengukuhkan sumber kewangannya sebelum bergelar suami.
"Kita nak jaga anak orang, jadi kalau boleh biarlah kita ada aset sedikit seperti rumah terutamanya, demi keselesaan bakal isteri.
"Saya juga mahu meyakinkan keluarga Intan yang saya boleh menjaganya," ujar Kamal.
Walaupun pelbagai gosip cinta yang melanda dirinya dengan pelakon-pelakon wanita lain, Kamal bersyukur kerana Intan bukanlah seorang yang mudah melenting kerana dia memahami tidak semua gosip itu benar.
"Memang kita tidak boleh nak elak daripada cakap-cakap orang, tetapi Alhamdulillah, kami saling mengenali antara satu sama lain dan faham dengan situasi yang berlaku," ujarnya.
Kamal akui diri tertekan
APA sudah jadi dengan pelakon drama Apa Celop, Kamal Adli? Khabarnya aktor kacak itu kini sudah tidak terurus dirinya sehingga wajahnya pula ditumbuhi jambang disebabkan tekanan.
Perubahan ketara pada wajah Kamal itu jelas kelihatan ketika dia menghadiri sidang akhbar kedua teater Gerimis Mengundang di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kelmarin.
Kamal hadir mengenakan pakaian seragam juruterbang bersempena watak bernama Zamani yang bakal direalisasikannya menerusi teater Gerimis Mengundang yang menggandingkan dirinya dengan pelakon popular Indonesia, Mikha Tambayong.
Timbul persoalan di sebalik wajahnya yang kelihatan agak tidak bermaya dengan matanya yang sembab dan jambang yang tidak dicukur.
Kosmo! segera mendekati kekasih aktres Intan Ladyana itu untuk mengetahui hal sebenar.
Kosmo!: Kenapa Kamal kelihatan tidak bermaya dan tidak terurus sehingga berjambang pula?
KAMAL: Saya berjambang sebab terlalu stres. Bukan sahaja disebabkan latihan yang tidak mencukupi tetapi juga pening untuk membawakan watak Zamani iaitu seorang juruterbang dalam teater Gerimis Mengundang.
Kenapa anda mengatakan latihan tidak mencukupi dan boleh terangkan kenapa watak Zamani itu terlalu berat untuk anda?
Bayangkan Mikha Tambayong datang ke Malaysia pada 8 Mac lalu dan 27 Mac ini teater Gerimis Mengundang sudah dipentaskan. Kami cuma ada masa selama 19 hari sahaja untuk latihan dan membina keserasian sebagai pasangan kekasih.
Kami bukan sahaja perlu berlakon tetapi kena menyanyi dan menari diiringi 20 buah lagu. Memang pening kepala memikirkan macam mana nak bawa watak Zamani. Sebabnya, dalam teater ini Zamani merupakan seorang juruterbang yang mempunyai sikap playboy. Pada mulanya memang saya ‘lost’ (hilang punca) sebab tak tahu macam mana nak bawa watak playboy. Ini kerana pada kebiasaannya saya diberikan watak komedi dan pemuda kaya. Namun, akhirnya saya berjaya impak daripada latihan berterusan yang dilakukan.
Kebiasaannya umum melihat anda berlakon tetapi bukan menyanyi dan menari. Anda yakin dapat menyanyi dan menari dengan baik di pentas teater nanti?
Ramai yang tidak tahu dari zaman sekolah dulu saya memang dancer (penari). Asas itu dah ada cuma kena catch up (menguasai) semula gerak tari. Namun, untuk teater Gerimis Mengundang saya bukan sahaja perlu menari tetapi juga perlu melakukan aksi mengangkat penari pengiring saya.
Mujur ada koreografer yang memberi tunjuk ajar. Saya juga perlu menyanyikan 10 buah lagu secara langsung. Bahagian itu (menyanyi) yang paling merisaukan saya. Sebabnya, ada babak yang memerlukan saya menangis. Saya risau ia akan mempengaruhi suara saya ketika menyanyi nanti.
Bagaimana kalau suara anda bermasalah sewaktu pementasan nanti?
Pihak penerbitan teater ini sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sebelum pementasan sebenar, kami ada membuat rakaman lagu. Jika suara saya bermasalah nanti terpaksalah guna suara yang dirakam.
Bagaimana keserasian anda dengan Mikha Tambayong?
Ketika mula-mula berjumpa, dia sangat pendiam. Sehinggakan saya terfikir macam mana mahu berlakon sama-sama jika tiada keserasian antara kami.
Jadi, saya yang tegur dia terlebih dahulu untuk berbual-bual dan bermesra dengannya bagi mendapatkan keserasian. Kini, kami sudah mendapat keserasian dan yakin mampu menjayakan pementasan teater Gerimis Mengundang dengan baik.
Khabarnya teater Gerimis Mengundang merupakan sebuah cerita yang berkisar tentang air mata (kesedihan). Kamal yakin dapat menarik ramai penonton terutamanya golongan remaja menonton teater ini?
Ramai orang beranggapan teater Gerimis Mengundang adalah cerita sedih semata-mata. Tetapi ia sebenarnya bukan begitu. Pada permulaan teater ia sangat menyeronokkan dengan pengisian lagu-lagu yang rancak. Cuma pada akhir cerita sahaja ia bakal mengundang kesedihan penonton.
Akui Kecil Hati, Kamal Adli Enggan Salahkan MIG
KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli menjelaskan dia tidak pernah menyesal mengikat kontrak dengan Metrowealth International Group (MIG) yang dimiliki David Teo walaupun kurang mendapat projek di bawah syarikat itu.
Kamal berkata, dia tidak perlu menyesal kerana keputusan untuk bersama MIG sebelum ini adalah kehendaknya dan bukan dipaksa oleh sesiapa.
"Saya tidak pernah menyesal bersama MIG walaupun kadang-kadang berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikan saya tanpa sebarang projek baru.
"Bagaimanapun saya perlu memahami bahawa mereka bukan menguruskan saya seorang tetapi hampir 100 artis lain yang bernaung di bawah MIG," ujarnya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Kamal berkata, atas dasar itu juga dia tidak mahu duduk diam tanpa berbuat apa-apa sebaliknya turut mencari peluang lain tanpa terlalu mengharapkan syarikat pengurusannya.
Kamal berkata, dia perlu melakukan sesuatu untuk membantu dirinya sendiri demi memastikan bakat lakonannya tidak disia-siakan begitu sahaja.
"Keutamaan diberikan kepada projek-projek daripada MIG tetapi jika tidak dipanggil (berlakon) takkan nak duduk diam saja, saya sendiri perlu bangkit untuk mencari peluang," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai namanya yang semakin melonjak naik di Indonesia, Kamal berkata, dia bertuah kerana semakin diterima oleh peminat dan ia adalah baik untuk kariernya di negara itu.
Kamal memberitahu, media di negara itu cukup fanatik dengannya tambahan pula dia digosipkan sedang hangat bercinta dengan pelakon gandingannya dalam filem Gerimis Mengundang iaitu Olivia Jensen Lubis.
"Kebetulan filem itu akan ditayangkan di Indonesia dan kecoh kononnya saya sedang bercinta dengan Olivia. Bagaimanapun saya menganggap ia sebagai satu promosi untuk saya dan filem itu nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran berlakon di Indonesia walaupun ada beberapa projek sudah ditawarkan kepadanya.
Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk mengembangkan sayap ke sana selain belum puas berlakon dengan produksi tempatan.
"Tawaran itu memang ada tetapi antara syarat yang perlu saya penuhi adalah perlu menguasai Bahasa Indonesia dengan baik yang mana saya rasa mengambil masa untuk melakukannya.
"Selain itu, saya masih belum bersedia dalam pelbagai aspek, daripada menimbulkan masalah kepada mereka lebih baik tolak secara baik," ujarnya.
Pun begitu, Kamal berkata dia tidak menolak kemungkinan akan ke sana untuk mengembangkan sayapnya sebagai seorang pelakon.
Dalam perkembangan lain, Kamal akan muncul dengan teater muzikal Gerimis Mengundang di samping pelakon Indonesia yang popular menerusi sinetron Nada Cinta iaitu Mikha Tambayong bermula 27 Mac sehingga 8 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pencuri Pecah Masuk Rumah Keluarga Kamal Adli
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli mengesyaki pencuri yang memecah masuk rumah keluarganya di Bangi dekat sini kira-kira pukul 5 pagi Jumaat dilakukan oleh individu yang dikenali keluarga mereka.
Katanya, kejadian kali kedua itu merupakan sesuatu yang menghairankan kerana pencuri tersebut mengetahui barang-barang yang diletakkan di tempat tertentu.
"Saya masih lagi dalam keadaan pelik dan hairan kerana pencuri tersebut memasuki rumah saya melalui pintu depan dan mengambil barang-barang komunikasi dan elektronik seperti beberapa telefon bimbit, kamera, Ipad 2, Galaksi tab dan wang tunai.
"Padahal Ipad 2 yang baru dibeli oleh adik saya itu diletakkan di tempat tertentu, saya mengesyaki pencuri tersebut orang yang pernah masuk rumah saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Kamal anggaran kerugian yang dialami bernilai lebih RM10,000.
Tambahnya, lebih menghairankan apabila tiada seorang pun daripada ahli keluarganya menyedari kejadian tersebut walaupun abangnya baru sahaja pulang ke rumah kira-kira 4 pagi.
"Pencuri itu masuk melalui bahagian depan rumah dengan memecahkan pengunci dan pintu sebelum menyelongkar semua barang-barang yang ada di tingkat bawah rumah mereka.
"Saya pelik kenapa tiada yang sedar kejadian itu kerana abang saya pulang ke rumah pukul 4 pagi dan mereka baru sahaja tidur. Lagi pula kesemua adik beradik saya ada di rumah ketika itu," jelasnya yang ketika itu berada di rumahnya di Ampang.
Tambah Kamal, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bangi sejurus menyedari kejadian tersebut.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
