Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Intan Ladyana. Show all posts
Showing posts with label Intan Ladyana. Show all posts

Intan Ladyana Nafi Sudah Ada Kekasih Baru

Pelakon Intan Ladyana menegaskan lelaki di sampingnya dalam beberapa foto yang disebarkan di dalam blog bukan kekasihnya seperti yang didakwa beberapa pihak. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berasa terkejut apabila dia diandaikan sudah mempunyai kekasih baharu hanya berdasarkan foto yang diambil bersama rakan-rakannya itu. "Hahaha.. Mana adalah. Suka hati saja cakap macam itu. Lelaki itu kawan biasa saya, bukan kekasih. "Saya belum ada teman istimewa lagi. Pelik, lagipun gambar itu biasa sahaja dimana saya bersama rakan-rakan. Bukannya berdua dengan dia," katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi Whatsapp pada Isnin. Intan kini sedang menjalani penggambaran Gugurl Propa di Switzerland. Ia akan disiarkan menerusi siaran Hypptv pada 1 Disember ini.
Pada Ahad lalu, foto Intan bersama rakan-rakannya yang dimuat naik di Instagram milik pelakon itu telah disebarkan di beberapa blog. Foto tersebut menjadi tanda tanya beberapa pihak apabila Intan dilihat sering bergambar bersebelahan dengan seorang lelaki yang dikatakan kekasihnya itu. Penyanyi Yuna turut berada dalam foto berkenaan. Sementara itu, Intan berharap foto-foto yang disebarkan itu tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan ia hanyalah foto biasa. Ditanya adakah Intan masih belum terbuka hati untuk menjalinkan hubungan cinta, katanya, dia lebih selesa menikmati kehidupan solo buat sementara waktu ini. "Belum lagi buat masa ini, tunggu dululah," ujarnya yang baru saja selesai penggambran filem Adik Abang bersama pelakon Farid Kamil, Adiba Yunus dan Fadlan Hazim. Terdahulu, Intan pernah menjalinkan hubungan cinta dengan aktor Kamal Adli selama enam tahun. Namun aktres itu mendedahkan mereka telah pun putus pada pada akhir Ramadan lalu.

Intan Ladyana Bertegas Enggan Jumpa Kamal Bincang Hubungan

Pelakon Intan Ladyana menegaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli untuk memberi peluang bagi berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah tidak apa-apa kaitan lagi. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, sebelum memutuskan untuk berpisah, dia telah pun berbincang tentang perkara itu dan sudah menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan berkenaan perlu diputuskan. "Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus. "Nak ikutkan... saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai," katanya kepada mStar Online. Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.
Kata kamal, sehingga kini dia masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi sebarang hubungan dan masih mengharapkan agar Intan dapat bersemuka dengannya untuk berbincang tentang hubungan berkenaan. Intan pada 25 Ogos lalu mendedahkan hubungan cinta bersama Kamal sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah. Keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu. Sementara itu, Intan berkata, dia tidak akan mendedahkan sebab-sebab memutuskan hubungannya dengan aktor tersebut kerana ia terlalu peribadi. "Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun. "Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus," ujarnya.

Bohonglah Kamal Tak Tahu Kami Putus' - Intan Ladyana

Pelakon Intan Ladyana menganggap dakwaan kononya Kamal Adli, 29, terkejut dan tidak tahu tentang status hubungan mereka putus ketika Intan mengumumkan perkara itu adalah tidak benar. Intan, 32, berkata, keputusan tersebut dilakukan setelah mereka berbincang dan memutuskan perkara tersebut terpaksa dilakukan sebagai jalan terbaik terhadap hubungan yang dibina hampir enam tahun itu. "Bohonglah kalau dia kata tidak tahu dan terkejut dengan kenyataan saya bahawa hubungan kami sudah putus itu. Ini kerana tidak mungkin saya buat keputusan ini sendiri atau sengaja berlalu pergi begitu sahaja tanpa berbincang dahulu. "Saya dah malas nak besar-besarkan cerita ini lagi dan saya harap kami masing-masing boleh mulakan hidup baru," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Intan berkata demikian apabila Kamal dipercayai terkejut dengan berita yang diumumkan Intan itu. Malah Kamal dikatakan meminta sedikit masa untuk berbincang tentang perkara tersebut dengan Intan terlebih dahulu sebelum dia mengeluarkan kenyataan.
Menurut Intan, dia tidak lagi berhubung dengan Kamal sejak pendedahan itu dibuat dalam satu majlis pada 25 Ogos lalu. "Buat apa saya jumpa dia untuk berbincang sebab hubungan kami memang sudah berakhir dan tiada apa nak dibincangkan lagi," ujarnya. Sementara itu, ketika ditanya tentang gambar mereka berdua yang dimuat naik oleh Kamal beberapa hari lalu melalui akaun Instagram miliknya, Intan berkata dia tidak mengambil tahu tentang perkara tersebut. Dia juga sudah tidak mengikuti laman Instagram Kamal dan begitu juga sebaliknya. "Saya tidak tahu dia muat naik gambar apa kerana saya sudah tidak follow laman sosial dia, dan dia juga tidak follow saya. "Bagi saya itu hak dia untuk memuat naik apa juga gambar yang diinginkan," ujarnya. Intan turut berharap peminat yang masih berharap hubungan mereka kembali agar terus menyokong kerjaya masing-masing secara individu. Kamal pada Khamis lalu memuat naik gambar percutian mereka tanpa sebarang kapsyen. Sehingga Isnin, gambar tersebut mendapat sebanyak 5,982 likes dan 191 komen yang kebanyakannya berharap kedua-dua artis ini kembali bersatu. Sementara itu, Kamal yang sebelum ini tidak bersedia memberikan sebarang komen tentang status hubungan mereka ini tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat.

Cinta Kamal Adli & Intan Ladyana Hancur Akhirnya

Hubungan pasangan pelakon Intan Ladyana dan Kamal Adli yang dibina sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah apabila kedua-dua mereka putus cinta. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu. "Saya dan Kamal sudah tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa. Keputusan ini sudah lama kami fikirkan, tetapi sekarang baru dapat dibuat. "Kalau boleh jangan tanya saya punca perpisahan kami ini, biarlah ia menjadi cerita peribadi kami. Saya anggap ini semua tiada jodoh untuk kami bersama," jelasnya ketika ditemui semasa sidang akhbar Anugerah Lawak Warna di Hotel Istana di sini, pada Isnin. Intan berkata, biarpun hubungan tersebut sudah berakhir, ia tidak menghalang untuk mereka berhubung sebagai rakan biasa. Pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit itu menjelaskan, dia tidak keberatan sekiranya digandingkan bersama-sama dalam lakonan dan akan bertindak secara profesional. "Kalau diikutkan saya kini berasa lega setelah berterus terang mengenai hubungan kami. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada kerjaya dalam bidang lakonan," ujarnya. Sementara itu, Kamal, 28, yang dihubungi mStar Online terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Intan itu. Malah aktor itu enggan memberi komen mengenai perkara tersebut dan meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada mereka berdua. "Saya tak mahu komen panjang. Biarkan keadaan sejuk dahulu. "Dan berikan saya dan Intan ruang dan masa sebelum saya mengeluarkan sebarang kenyataan. Harap anda faham,” pintanya.

Kamal Adli, Intan Ladyana Sudah Sedia Kahwin

Pelakon Kamal Adli sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan aktres Intan Ladyana kerana merasakan kedudukannya lebih stabil untuk membina keluarga. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, berkata, setakat ini dia sudah pun memiliki aset seperti rumah sendiri dan kereta namun ingin melunaskan satu lagi hasrat iaitu membuka gelanggang futsal sebelum membuat keputusan menyunting kekasihnya itu. "Saya dah bersedia untuk kahwin dan kami (dengan Intan) ada berbincang mengenai perkahwinan. "Alhamdulillah saya sudah memiliki rumah dan kereta untuk keselesaan Intan nanti. Cuma tinggal satu perkara sahaja lagi iaitu saya mahu membuka tempat bermain futsal sebelum kami mendirikan rumah tangga," katanya kepada mStar Online. Tambah Kamal, dia merancang akan membuka gelanggang futsal tersebut di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada akhir tahun ini atau awal tahun 2014 bersama seorang rakan kongsinya. Dalam pada itu, dia juga gembira apabila pihak media semakin kurang bertanyakan mengenai kisah cintanya. "Saya seronok sangat apabila kami dah tak lagi dikaitkan dalam mana-mana berita mahupun gosip. Yalah... lagipun semua orang dah tahu mengenai perhubungan ini. "Orang mesti kata 'dia orang tunggu masa nak kahwin saja'... Itu yang mereka dah tak banyak cakap fasal kami. Tetapi macam mana pun kami tetap tidak boleh lari daripada persoalan, 'bila nak kahwin?'," selorohnya. Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya, Kamal baharu saja selesai penggambaran drama Terukir Di Bintang bersama pelakon Tasha Shilla dan Wan Ilyas bagi tayang slot Samarinda TV3 tidak lama lagi serta drama Bulan Tiada Madu bagi siaran TV9. Selain itu, Kamal turut menyertai sebuah pertandingan program Liga Lawak Superstar terbitan Vision Works Sdn. Bhd untuk siaran TV3 pada Oktober ini. "Saya bersyukur juga sejak tawaran kerja tidak pernah putus dan Alhamdulillah saya masih lagi berada di landasan yang betul dalam ingin menjadi pelakon yang baik." ujarnya.

'Kami Tak Akan Kahwin Lari' - Intan Ladyana

Kisah percintaan pasangan selebriti Kamal Adli dan Intan Ladyana memang satu kisah yang hangat dan sering menjadi bualan ramai. Mungkin ramai juga yang sudah bosan dengan kisah mereka. Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamal mengakui dia sudah tidak larat menjawab isu kahwin kerana pasangan ini lebih suka mengumumkannya jika benar perkara itu akan terjadi. "Hubungan saya bersama Intan masih bagus dan kami masih sayang menyayangi. Okay saja dan tiada apa-apa masalah pun. Saya tak curang, dia pun tak curang. Buat masa sekarang, saya tidak fikir tentang untuk masuk meminang dia. Niat memang hendak berkahwin, tapi saya sedang membina nama saya. "Saya dengan Intan pun sudah tiga tahun. Bunyi macam dah lama tapi kalau ikutkan masa kami berjumpa macam baru setahun saja. Apa yang boleh saya katakan, saya berterima kasih pada dia sebab faham dan saya hormati dia kerana sanggup menunggu saya. Seperkara lagi saya tidak akan memilih jalan dengan kahwin lari bersama Intan", katanya Kamal yang turut menyatakan akan berkongsi tarikh hari bahagia mereka itu dengan umum, bila sudah tiba masanya nanti.

Intan bukan 'anak emas'

RASANYA ramai yang tahu artis-artis di bawah naungan syarikat produksi milik David Teo iaitu MIG Production tidak digalakkan untuk menjalinkan hubungan cinta. Terutamanya dengan individu yang turut berada di bawah naungan produksi tersebut. Tetapi lain ceritanya buat pelakon Intan Ladyana dan kekasihnya, Kamal Adli apabila percintaan mereka tidak mendapat tentangan daripada pihak pengurusan. Menyedari hakikat ini, Intan berkata hubungannya dengan Kamal boleh dikatakan seperti mendapat keizinan kerana mereka sudah bersama sebagai kekasih, sebelum Kamal Adli menyertai syarikat produksi terbabit. "Kami sudah menjalin hubungan sebelum Kamal menyertai syarikat itu lagi dan apabila dia mendapat tawaran tersebut, perkara ini ada dibincangkan. "Setelah dibawa berbincang, kami seperti mendapat keizinan untuk meneruskan hubungan tanpa sebarang tentangan oleh syarikat tersebut," katanya yang ditemui sewaktu majlis sidang akhbar Seindah Ramadan TV3 2013, baru-baru ini. Tambah Intan lagi, dia tidak menganggap mendapat pengecualian tersebut kerana dia merupakan 'anak emas' syarikat produksi itu tetapi sebaliknya ia menunjukkan sikap tolak ansur antara dirinya dan syarikat pengurusan. Kebelakangan ini juga kita sering mendengar keluhan beberapa artis di bawah naungan syarikat terbabit yang memilih untuk keluar daripada pengurusan tersebut, tetapi perkara sedemikian tidak berlaku kepada Intan. "Saya sedar ramai juga rakan-rakan artis yang memilih untuk keluar, tetapi setelah bersama untuk tiga tahun lebih, saya akui tidak mempunyai sebarang masalah sedemikian. "Tidak dinafikan sesekali timbul juga perselisihan, tetapi ia merupakan perkara kecil yang dapat diselesaikan apabila dibawa berbincang," katanya. Tambah Intan lagi, hubungan cintanya bersama dengan Kamal adalah suatu yang serius. Mereka juga mempunyai hala tuju untuk menamatkannya dengan perkahwinan. Tetapi bukan dalam waktu terdekat ini. Antara artis-artis yang pernah meninggalkan pengurusan MIG Production sebelum ini termasuklah Maya Karin, Azad Jazmin dan Aeril Zafrel.

Intan Ladyana nafi hina polis

BELUM sempat filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai ditayangkan di pawagam pada 18 April depan, media dikejutkan dengan perlambangan imej dan perwatakan anggota polis yang dilakonkan oleh Intan Ladyana bersama tiga pelakon lain dalam filem itu. Menerusi filem pertama arahan Opie Zami itu, Intan melakonkan watak Koperal Lisa yang sering mengharapkan bantuan polis lelaki dan suka mengenakan pelembap bibir setiap masa. Hal itu sedikit sebanyak memperlihatkan kredibiliti pasukan polis yang tidak menjalankan tugas dengan berhemah sekali gus dilihat seolah-olah memperlekehkan badan beruniform terbabit. Menjawab tuduhan yang diajukan media, kata Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 31, beberapa orang anggota polis ditempatkan bersama sepanjang penggambaran dilakukan demi mengawal tatacara pelakon. "Saya melakonkan watak seorang anggota polis wanita pada landasan yang betul, kalau orang nak kutuk saya tidak kisah. Pengarah mahukan watak seorang polis wanita yang kelakar dan adakalanya nampak hilang arah kerana itu sebenarnya yang disukai oleh penonton. "Lagipun, sepanjang penggambaran beberapa orang anggota polis turut sama berada di lokasi untuk menjaga dan mengawal tertib percakapan dan perlakuan apabila memakai uniform berkenaan," ujarnya yang mengharapkan penonton menilai lakonannya dari sudut humor. Selain Intan, watak anggota polis berbeza pangkat turut dijayakan oleh tiga orang pelakon lelaki lain termasuk pelawak Sathiya. Menerangkan lebih lanjut karakter polis yang diperlihatkan dalam Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, pengarahnya, Opie Zami memberitahu dia mencorakkan watak-watak tersebut seperti drama kepolisan yang disiarkan di kaca televisyen sebelum ini. "Anggota polis dalam filem ini sekadar watak saja, begitulah polis yang sering disiarkan di pawagam atau televisyen sebelum ini. Saya cuma potretkan semula menerusi filem saya ini," jelas Opie. Kecoh! Hantu Raya Tok Chai bagaimanapun berdepan dengan beberapa kesulitan dan masalah dalaman yang enggan didedahkan lebih lanjut oleh Opie. "Setiap penggambaran akan ada masalah dan disebabkan itu ada beberapa babak yang kelihatan panjang dan membosankan kerana terdapat babak yang mahu dibuat sebaliknya gagal. Harap penonton faham situasi kami. "Begitu juga masalah dengan skrip, apabila saya menerima skrip filem ini pada awalnya saya tidak bersetuju hampir keseluruhan jalan cerita melainkan 'Tok Chai' saja. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengubah jalan cerita yang difikirkan lebih sesuai. "Bagaimanapun, penulis skrip memohon agar namanya tidak dikreditkan sekiranya skrip filem ini diubah," ujarnya. Kecoh! Hantu Raya Tok Chai berkisar tentang kejadian selepas kematian seorang lelaki tua di sebuah kampung yang didakwa membela Hantu Raya. Sepanjang proses pengkebumian, penduduk kampung berdepan dengan pelbagai kesulitan apabila sering diganggu Hantu Raya yang tidak bertuan. Filem itu turut dibintangi oleh Saiful Apek, arwah Kuswadinata, Sobri Anuar (Maharaja Lawak), Azrul Raja Lawak, Amir Raja Lawak.

Intan Ladyana Memilih Watak Untuk Nampak Mencabar

Pelakon Intan Ladyana, 30, mengakui lebih memilih terhadap tawaran-tawaran watak yang diberikan kepadanya dalam sesebuah drama atau filem. Kata pelakon yang sudah sembilan tahun bergelar anak seni ini, dia mahu penonton melihat perkembangan bakat lakonannya melalui pelbagai karakter yang dibawa. "Saya pilih watak yang ditawarkan, kalau boleh saya tidak mahu watak yang sama sahaja dan tidak mencabar. "Saya tidak mahu peminat melihat saya dengan watak yang sama, tentu tidak bagus untuk perkembangan kerjaya saya," katanya kepada mStar Online. Tambah Intan, dia lebih gemar membawa watak yang serius berbanding watak komedi yang sering dilakonkannya. "Kalau boleh memang saya mahu watak-watak yang serius terutamanya jika filem seram biarlah seram yang serius berbanding komedi. "Sebagai pelakon sudah tentu kita inginkan watak-watak berat dan mencabar, namun kita juga sedar tidak banyak filem-filem seperti yang kita inginkan itu diterbitkan," katanya. Dalam pada itu, Intan yang terlibat dalam persembahan Teater Muzikal Destini Anak Bangsa pada Januari lalu mengakui mula meminati cabang seni tersebut. "Kepuasan terhadap berlakon teater memang lain berbanding berlakon di drama dan filem, saya akui saya mula rasa minat terhadap persembahan teater. "Kalau boleh saya mahu diberi peluang untuk beraksi di pentas teater lagi," katanya. Dalam pada itu, bercerita tentang filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, Intan yang pertama kali memegang watak sebagai anggota polis mengakui ia memberi satu pengalaman yang berlainan. "Ini merupakan pertama kali saya diberi watak anggota polis dan cabaran utama adalah dari segi pemakaian seragam yang tidak boleh diambil mudah. "Namun Alhamdulillah, sepanjang penggambaran memang ada pegawai polis yang hadir dan beri bimbingan kepada kami semua," katanya. Filem genre komedi seram ini mengisahkan seorang penduduk kampung bernama Tok Chai yang membela makhluk halus iaitu Hantu Raya. Kehidupan orang kampung berubah selepas Hantu Raya milik Tok Chai mengganggu dan mencari tuan baru selepas kematian Tok Chai. Antara barisan artis yang turut membintangi filem ini adalah Saiful Apek, Bokhari, Sathia dan Allahyarham Kuswadinata. Kecoh! Hantu Raya Tok Chai akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 18 April ini.

Kamal Adli & Intan Ladyana Letih Asyik Ditanya Fasal Kahwin

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah jemu dan tidak larat lagi untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan mengahwini kekasihnya aktres Intan Ladyana. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, soalan mengenai perancangan berkahwin yang berulang-kali diajukan kepadanya dan Intan menyebabkan mereka berasa ‘letih’ untuk memberikan penjelasan. “Soalan ini (kahwin) sudah banyak kali dan tidak henti-henti ditanya baik kepada saya atau pun Intan. Sebagaimana saya, dia juga sudah tidak larat untuk jawab soalan ini. “Tak guna nak sorok kalau memang kami nak berkahwin. Masalahnya, kami belum bersedia dan tiada perancangan lagi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Rabu. Kamal berkata, keutamaan mereka pada waktu ini adalah mengembangkan kerjaya masing-masing memandangkan keluarga kedua belah pihak tidak mendesak agar mereka segera disatukan. “Saya baru sahaja bergerak sendiri selepas keluar daripada pengurusan MIG. Biarlah saya bina kerjaya semula buat masa ini.
“Begitu juga dengan Intan. Dia juga mahu mengukuhkan kerjayanya. Lagi pun, keluarga memahami dan tidak mendesak agar kami segera berkahwin,” jelasnya. Sementara itu Intan berkata, soal berumahtangga adalah menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk menentukannya. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahya, 30, berkata, sebagai wanita adalah tidak manis sekiranya dia yang banyak bercakap mengenai perancangan itu. “Saya serahkan kepada Kamal. Biarlah dia yang bercakap mengenai hal itu. Saya tak mahu komen apa-apa kerana tak manis kalau pihak perempuan yang bercerita soal itu (kahwin),” katanya. Jelasnya lagi, walaupun sudah empat tahun menjalinkan cinta namun kata Intan bukan mudah untuknya bergelar isteri orang disebabkan komitmen yang bakal diberi. Ujarnya, komitmen kerja juga antara penyebab mereka tidak terlalu serius untuk memikirkan hal demikian. “Kalau kita dah kahwin, nak kena jaga makan minum suami dan uruskan rumah tangga dengan baik. Ia bukan mudah kalau kita tidak bersedia,” jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mencintaimu untuk siaran RTM.

Serah kepada Kamal

BUKAN sekali dua soalan ini ditanya namun bagi pelakon cantik Intan Ladyana dia lebih senang untuk tidak menjawab soalan bila dia akan berumah tangga tanpa kehadiran sang kekasih Kamal Adli. Menurut Intan dia lebih rela untuk membiarkan langkah besar ini di mulakan oleh Kamal. Bagi diri Intan, lebih manis sekiranya persoalan ini bermula dari pihak lelaki sendiri. "Jangan tanya saya tanya kamal. Dia lelaki, tak manis untuk saya bercakap soal ini sebenarnya," katanya dalam malu-malu. Mengakui pernah berbincang soal berkahwin, menurut Intan buat masa ini dia dan Kamal lebih selesa untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya masing-masing dahulu. "Berbincang itu adalah tapi bukan secara serius lagi. Buat masa ini saya dan Kamal lebih senang untuk memberi tumpuan kepada kerjaya dahulu," katanya yang juga duta kepada produk kecantikan Shurah. Sedang dunia hiburan ini dilanda dengan berita putus cinta beberapa artis lain termasuk Remy Ishak dan Tiz Zaqyah, bagi Intan soal cabaran dalam hubungan adalah suatu perkara pasti. Namun dia percaya semuanya terletak kepada keinginan diri masing-masing. "Cabaran itu memang ada, malah di dalam mana-mana hubungan juga. Tapi saya percaya semuanya bergantung kepada diri masing-masing. Kalau keduanya masih mahu meneruskannya tentu hubungan itu tidak akan terjejas," katanya. Sekian lama berkasih tentunya keluarga menjadi medan rujukan utama kedua pasangan kekasih ini. Menurut Intan dia bersyukur untuk mempunyai keluarga yang faham dengan keadaan hubungan mereka. "Keluarga saya tidak mempunyai masalah, malah mereka faham dengan keadaan kami kini yang masih cuba untuk mengukuhkan kedudukan karier masing-masing," katanya.

Intan Ladyana selesa berambut pendek

RAMBUT mayang mengurainya sudah begitu sinonim dengan penampilan dirinya yang anggun. Khalayak sudah biasa melihat Intan Ladyana berambut panjang, namun aktres cantik itu terpaksa mengorbankan apa yang menjadi aset penampilannya selama ini. Bagi memenuhi keperluan filem lakonannya yang baru sahaja tamat penggambaran, Dampak, Intan terpaksa memotong rambutnya menjadi pendek. Bakal muncul dengan filem Halim Munan yang bakal ditayangkan pada 13 September ini, dia tetap gembira apabila menerima respons baik terhadap imej terkininya itu. “Memang sayang nak potong rambut, tetapi dalam filem Dampak, saya memegang watak Qyra. Dia harus mempunyai kelainan berbanding adik-beradik yang lain, jadi caranya adalah dengan memotong rambut,” jelasnya yang kali terakhir berambut pendek ketika menuntut di tingkatan tiga pada zaman persekolahannya dahulu. Ujar pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu lagi, dia pada awalnya agak gelisah untuk memotong rambutnya itu kerana sudah terlalu lama dengan imej berambut panjang. Selain itu, Intan juga mengakui bimbang dengan imej berambut pendek akan menyebabkan mukanya kelihatan lebih berisi. “Saya takut muka nampak gemuk, tetapi syukur, semua orang cakap nampak elok. Lagipun bagus juga tukar imej macam ini, ada juga kelainan,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pelakon Halim Munan di Restoran Andalus di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelasnya lagi, dengan imej tersebut, dia kini tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap sebelum keluar rumah kerana tidak sukar untuk menjaga rambut pendek. “Kepala juga terasa ringan dan tidak perlu ambil masa lama untuk urus rambut sikit macam ini,” kata kekasih kepada pelakon Kamal Adli itu. Sementara itu, Intan yang pernah tercalon sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bini-Biniku Gangster pada Festival Filem Malaysia ke-24, berharap filem Halim Munan bakal meraih sambutan daripada para peminatnya. Intan melakonkan watak utama sebagai Suriyat iaitu seorang gadis yang menjadi idaman pemuda di kampung, termasuk Fizo Omar yang memegang watak utama Halim Munan. “Walaupun penampilan saya dalam filem ini tidak banyak, tetapi ia merupakan filem yang harus ditonton kerana banyak menggunakan teknik janaan imej perkomputeran (CGI) yang tidak digunakan dalam filem lain setakat ini,” jelasnya yang sudah berlakon dalam lima buah filem sepanjang tahun ini. Dalam perkembangan lain, Intan bakal muncul di layar kaca menerusi drama bersiri Bini-Biniku Perkasa di TV3 yang juga merupakan adaptasi daripada filem Bini-Biniku Gangster. Pelakon yang lebih selesa tidak terpalit dengan kontroversi ini juga berharap karier seninya akan terus berkembang tanpa sebarang kisah kurang manis. “Saya rela tiada cerita langsung di media berbanding heboh dengan cerita kontroversi,” jelasnya. Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri nanti, kata Intan, setiap tahun dia memang mengamalkan kesederhanaan dan tidak membeli baju baharu untuk menyambut Aidilfitri. “Biasanya setiap hari raya, saya dan keluarga akan pulang ke Bangkok, Thailand. Namun, tahun ini kami beraya di Kuala Lumpur sahaja. Kalau beraya di Bangkok, saya tidak perlu pakai baju kurung, jadi sebab sudah biasa tidak beli baju baharu, tahun ini saya pakai baju biasa sahaja,” kata Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan Zurina Wan Esa.

Intan belum sedia kahwin


WAJAH manisnya silih berganti menghiasi panggung tempatan sejak mula tampil menerusi Tipah Tertipu The Movie. Tahun lalu sahaja pemilik nama penuh Intan Nurladyana Mohamad Yahaya itu menambah variasi watak dalam filem lakonannya apabila tampil sebagai seorang wanita misteri dalam Flat 3A serta wanita lasak dalam Bini-Biniku Gengster.

Terkini Intan sekali lagi kembali dengan sambungan filem pecah panggung Adnan Sempit. Membawakan watak sama, Nadia yang merupakan seorang anak orang kaya, Adnan Sempit 2 nyata membuatkan Intan tidak senang duduk.

"Saya akui sekuel ini membuatkan saya berdebar-debar menanti penerimaan penonton. Saya terfikir adakah sejarah Adnan Sempit boleh berulang lagi atau tidak. Tetapi apa yang pasti Adnan Sempit 2 menampilkan kelainan

"Adnan Sempit 2 masih ditayangkan. Janji saya, sambungan ini lebih istimewa," ujar Intan yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Cinta Atas Tar.

SURI RUMAH

Sebenarnya saya sudah tahu mengenai selok-belok sebagai seorang suri rumah. Jadi tidak susah untuk saya belajar menjadi wanita berkeluarga dalam Adnan Sempit 2. Watak Nadia memerlukannya menjadi seorang suri rumah, itu syarat jika dia mahu berkahwin dengan Adnan. Nadia juga kelihatan lebih gedik kerana dia anak manja dan mempunyai buah hati.

THAILAND

Thailand begitu istimewa dalam hati saya kerana ibu saya berasal dari sana. Saya juga masih mempunyai ramai sanak saudara di Thailand. Setiap kali Hari Raya Aidilfitri kami pasti akan beraya di Bangkok selama seminggu biarpun tidak semeriah di sini.

KAHWIN

Buat masa ini saya belum merancang untuk berkahwin. Jadi kalau ada yang menunggu untuk melihat saya mendirikan rumahtangga dalam masa terdekat, ia tidak akan berlaku. Saya dengan Kamal Adli (kekasih) masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Apa yang pasti hubungan kami tiada apa-apa masalah.

TAWARAN LAKONAN

Jika orang lain boleh menerima banyak tawaran berlakon dalam satu-satu masa, berbeza pula dengan saya. Saya cuba mengehadkan untuk berkerja dalam satu filem atau drama dalam satu masa. Saya tidak suka jika jadual saya bertindih dan menyusahkan.

KARAKTER BERBEZA

Saya memang pemilih watak sebab enggan bawa watak yang sama. Sebelum menerima tawaran, saya akan meneliti skrip. Jika cerita menarik dan wataknya berbeza, saya pasti terima. Sebagai contoh watak saya dalam filem Flat 3A, Adnan Sempit 2 dan Bini-Biniku Gangster semuanya berbeza.

Hubungan Intan Ladyana, Kamal Tiada Masalah


AKTRES jelita Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, atau Intan Ladyana menyifatkan khabar angin yang mendakwa hubungan cintanya dengan aktor Kamal Adli berantakan gara-gara aktor itu menjalin hubungan sulit dengan aktres Indonesia, Olivia Jensen sebagai tidak berasas.

Malah, ada juga yang melemparkan tuduhan bahawa perubahan fizikalnya yang semakin kurus dewasa ini adalah berpunca daripada kekecewaan dengan kecurangan kekasihnya itu.

Hakikatnya, pelakon filem Flat 3A ini dengan tenang mengakui hubungannya dengan Intan yang berusia dua tahun itu masih terjalin dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Saya tidak faham kenapa orang mendakwa hubungan saya dan Kamal sedang berhadapan masalah walhal saya sangat bahagia dan ceria dengan kehidupan sekarang.

“Hanya kerana orang nampak saya semakin kurus, orang mula menuduh saya makan hati dengan kecurangan Kamal.

“Padahal, saya memang mengamalkan diet untuk mengekalkan bentuk fizikal kerana sebagai aktres saya perlu sentiasa cantik dengan fizikal yang konsisten,” katanya kepada OopStarz!, baru-baru ini.

Tambah Intan, sebagai kekasih, dia mengetahui pergerakan aktor itu sepanjang penggambaran filem Gerimis Mengundang di Indonesia. Malah, rakan-rakannya dan pengarah filem itu sendiri, Ahmad Idham turut memaklumkan cerita yang sebenar, sekali gus menangkis desas-desus yang tersebar.

“Sebenarnya, memang tiada isu pun yang timbul antara kami. Saya tahu dia tidak buat begitu kerana dia sentiasa berkongsi setiap pergerakannya apabila kami berjauhan.

“Lagipun, beberapa rakan saya yang terlibat dalam filem itu dan pengarahnya Ahmad Idham juga sempat memberitahu saya bahawa cerita-cerita yang timbul itu adalah tidak benar.

“Jadi mengapa saya perlu risau tidak tentu pasal kerana tiada apa yang berlaku dalam hubungan kami,” ulasnya sambil mengakui gosip tersebut tidak menjejaskan dirinya secara peribadi.

Sempat diusik adakah dia cuba menyembunyikan masalah yang sebenar, Intan berkata jika hubungan mereka berantakan seperti diperkatakan, dia tidak akan keberatan untuk berkongsi cerita.

“Saya akan cakap apa yang saya tahu saja. Tidak tahulah pula kalau benar Kamal berlaku curang seperti yang didakwa itu.

"Mungkin lebih baik bertanya pada dia sendiri kerana dalam kes ini, saya adalah pihak ketiga dan saya hanya boleh ulas apa yang wajar bagi pihak saya saja.

“Lagi pun saya jenis yang akan mengaku dan berterus-terang saja jika benar hubungan kami bermasalah. Tidak perlu saya terlalu berahsia kerana lambat-laun orang akan tahu juga,” katanya.

Berkongsi dengan ikan - Intan Ladyana


DI awal kemunculannya, Intan Ladyana kurang yakin terhadap kemampuannya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan aktres-aktres yang terlebih dahulu bertapak dalam industri hiburan tempatan. Keraguan itu masih bersarang walaupun dia sudah terlibat dalam pelbagai filem mahu dan drama bersiri.

Namun usai kemunculannya dalam filem Flat 3A yang menuntut dia bermain dengan pelbagai ekspresi dan emosi, umum sudah nampak sinar yang datang dari dalam dirinya.

Dia sudah mengeluarkan sisi-sisi bakat dirinya. Malah ramai yang memuji kebolehan dia bermain karakter dan perasaan melalui filem arahan Azhari Zain tersebut.

“Alhamdulillah dengan sambutan khalayak terhadap kemunculan saya dalam filem tersebut. Selepas ini saya akan lebih selektif dalam memilih karakter dan filem. Saya juga mahukan kepelbagaian,” ujar Intan Ladyana yang terpaksa menolak menghadiri jemputan rumah terbuka sepanjang Syawal ini gara-gara masalah kesihatan.

Belajar ‘bergaduh’ dan aksi sebagai salah satu langkah melengkapkan variasi kemahiran sebagai aktres, Intan mengaku ada kesukaran sewaktu membawakan watak Rania dalam filem Bini-biniku Gangster yang akan ditayangkan pada 22 September ini.

“Saya membawakan watak isteri kedua kepada Shaheizy Sam yang mempunyai grup gangster sendiri. Sebanyak 90 peratus aksi ngeri saya lakukannya sendiri. Banyak pergerakan yang saya pelajari dan sekarang ini sudah pandai nak bergaduh,” katanya di hujung corong telefon.

Terbaru untuk tontonan khalayak kaca televisyen, Intan yang merupakan kekasih aktor Kamal Adli ini muncul melalui drama bersiri Kekasihku Puyu. Siri drama yang turut menampilkan Zarina Zainudin dan Fazreen tersebut ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4 petang di saluran TV3.

“Lucu kerana walaupun tampil sebagai pelakon utama tetapi saya perlu berkongsi karakter dengan seekor ikan puyu. Waktu siang karakter Bidasari tampil sebagai ikan tetapi menjadi manusia pada waktu malam. Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahan sutradara Zul Arshad,” ujarnya yang berasa kelainan terlibat dalam set penggambaran drama yang berasaskan dongeng.

Intan akan muncul dalam beberapa buah produk untuk tatapan para peminat industri filem tanah air.

“Saya akan muncul dalam filem Halimunan arahan Ashim Rejab, lakonan bersama Fizo Omar dan Khatijah Tan. Saya juga baru selesai penggambaran filem X arahan Olyn Khadri dan akan muncul juga dengan filem Adnan Sempit 2 pada bulan Mac 2012,”ujarnya penuh syukur dengan tawaran yang datang kepada dirinya.

Intan Ladyana Tukar Hadiah Di Aidilfitri


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, (Intan) mengakui sambutan Hari Raya pada tahun ini masih tidak banyak berbeza daripada tahun-tahun yang lalu kerana dia sekeluarga pulang ke kampung ibunya di Bangkok, Thailand dan berkumpul di rumah neneknya.

Walaupun mengakui suasana Lebaran di sana tidak semeriah perayaan di tanah air sendiri, Intan tetap berasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk menyambutnya seisi keluarga.

"Suasana dan sambutan Hari Raya memang tidak semeriah mana di Bangkok jika hendak dibandingkan dengan sambutan di Malaysia tetapi saya sekeluarga sudah terbiasa dengan cara yang sederhana dan ala kadar sejak dulu lagi.

"Kalau hendak tahu, tiada kedai pun yang tutup dan semua perniagaan berjalan macam biasa pada Hari Raya kerana komuniti muslim di sana tidak sebesar mana. Namun kami memang rapat dengan sanak saudara yang lain," katanya.

Tambah Intan, kesederhanaan suasana perayaan itu bagaimanapun dirasakan cukup meriah apabila seluruh keluarga berkumpul di rumah salah seorang saudara selepas Hari Raya pertama untuk melakukan aktiviti bertukar hadiah.

"Saya paling suka dengan aktiviti bertukar hadiah apabila kami berkumpul pada Hari Raya. Setiap keluarga akan membawa hadiah masing-masing untuk ditukar sesama saudara-mara.

"Pada kebiasaannya, kami akan mengadakan acara cabutan bertuah dengan memanggil nama ahli keluarga dan memberikan hadiah yang dikumpulkan di tengah-tengah rumah itu kepada setiap seorang," katanya.

Terbaru, Intan kini sedang terikat dengan penggambaran filem X arahan Pierre Andre selain komitmen dram bersiri Kekasihku Puyu untuk slot Legenda di TV3.

Selain itu, kekasih hati aktor Kamal Adli ini juga bakal muncul dengan tiga buah filem yang menantikan slot tayangan iaitu Bini-Biniku Gangster, Halim Munan dan Adnan Sempit 2.

Seminggu beraya di Bangkok - Intan Ladyana


AIDILFITRI berlainan makna bagi Intan Ladyana, 29, yang menyambutnya di luar negara. Berbeza bagi sesetengah daripada kita yang pulang ke Malaysia semata-mata untuk merayakan Aidilfitri bersama sanak-saudara tercinta di kampung halaman.

Namun begitu, bukan sengaja Intan atau empunya nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya memilih lokasi tersebut untuk menyambut lebaran yang muncul hanya sekali setahun.

Salasilah keturunan yang membuatkan Intan tertawan dengan negara jiran sebelah Malaysia iaitu Thailand. Benar! Keluarga sebelah ibunya memiliki darah daripada penduduk Thailand.

"Itupun sudah jauh daripada beberapa generasi terdahulu, mungkin kerana tempat itu sangat nostalgia bagi keluarga sebelah ibu maka setiap tahun mesti beraya di sana," katanya yang hampir setiap tahun beraya di Bangkok, Thailand.

Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan Zurina Wan Isa, 50-an, sempat berkongsi cerita keunikan beraya di sana.

"Pastinya akan ada sangat ramai saudara-mara yang akan berkumpul untuk meraikan hari raya seperti mana di kampung-kampung kalau di Malaysia.

"Lebih kurang 30 orang kalau tak salah sepupu dan saudara sebelah ibu dan biasanya setiap hari raya pertama kami akan berkongsi-kongsi hadiah," ujarya.

Hadiah yang dimaksudkan tidak semestinya hadiah mewah dan mahal-mahal, cukup sekadar tanda ingatan setelah hampir setahun berpisah dan sibuk dengan urusan masing-masing, kata Intan lagi.

"Konsepnya mudah saja, kami buat seolah-olah cabutan bertuah dan pastinya setiap orang akan mendapat hadiah. Sama juga sebenarnya jika hanya bertukar-tukar hadiah tapi cara ini lebih seronok dan meriah," cerita Intan bersungguh-sungguh.

Tempoh berada di tanah tumpah moyangnya itu bagaimanapun cuma mampu diluangkan kurang daripada seminggu berikutan kesibukan kariernya.

"Biasanya hanya empat atau lima hari Intan akan beraya di Thailand dengan saudara-mara sebelah ibu, dan selebihnya di Kuala Lumpur," tambah Intan.

Tiada ketupat

Kata Intan, tidak terasa bahang dan kemeriahan raya di Thailand tambahan pada hari raya pertama bukanlah cuti umum.

"Maka, majoriti penduduk di sana memakai pakaian yang kebiasaan dipakai sehari-hari seperti orang di Malaysia begitu juga kami sekeluarga.

"Tak ada baju kurung, baju Melayu atau pakaian yang istimewa seperti yang kita pakai apabila Hari Raya Aidilfitri di Malaysia," keluhnya.

Bukan itu saja, juadah lazat yang hanya terhidang di kala pagi lebaran juga tiada yang menarik melainkan makanan ruji masyarakat di sana.

"Lainlah kalau ada antara kami yang sudi bawakan masakan khas hari raya seperti ketupat, rendang, lemang dan sebagainya.

"Jika tidak, raya pertama seolah-olah hari biasa cuma mungkin kami sekeluarga akan makan besar beramai-ramai," getus Intan.

Rutin pagi raya yang lazimnya mengamalkan amalan kunjung mengunjung antara jiran tetangga juga turut berubah di sana.

Oleh kerana seluruh keluarga Intan telah berkumpul bersama maka secara automatiknya tiada siapa yang boleh mereka lawati sepanjang sambutan Syawal.

"Tapi, aktiviti terluang kami diisi dengan program shopping besar-besaran, bukan kerana murah atau tawaran potongan harga sempena perayaan tapi itu sudah menjadi kewajipan bagi kami apabila berkumpul sekali," katanya yang gemarkan fesyen yang pelbagai dari Thailand.

Kamal Adli

Ditanya adakah Intan akan menyambut lebaran tahun ini bersama insan istimewa antaranya aktor kacak, Kamal Adli, lantas jawapan jika ada kelapangan diberi.

"Tengok dulu kalau ada masa, insya-Allah kami akan beraya bersama," ujarnya ringkas.

Hubungan antara Intan dan Kamal yang terjalin lebih dua tahun setengah itu masih utuh dan mementingkan persefahaman saban hari.

"Masing-masing faham dengan tugas, dia pun sibuk dan begitu juga Intan. Kadang-kadang kami langsung tidak sempat berjumpa dan hanya berhubung melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau BBM (Black Berry Messenger) setiap hari," ujar Intan yang percaya akan kesetiaan kekasihnya itu.

Berbalik pada rutin harian Intan sepanjang bulan Ramadan, cerita gadis itu tiada apa yang membezakan bulan penuh keberkatan ini untuk melaksanakan tuntutan harian walau akan sedikit kepenatan.

"Maka apabila bersahur Intan hanya akan banyak meminum air suam berbanding air manis bagi menyediakan badan untuk kekal aktif sepanjang hari.

"Tapi, apabila saat berbuka pastinya Intan akan lupa diri dan ketika itulah semua makanan di depan mata kelihatan sangat sedap," kata Intan yang menggemari ayam percik, putu piring dan tepung pelita di kala bulan Ramadan.

Keterlanjuran Intan - Adey


KALAUPUN masih terlalu jauh untuk menghampiri nilai sebutir intan, barangkali zat kepada unsur paling keras itu sedang ingin dikaitkan dengan pelakon Intan Ladyana. Dimunculkan sebagai gadis rebutan dalam Tipah Tertipu The Movie empat tahun lalu, laluan awal itu membawa pemilik nama hakiki Intan Nurladyana Mohamad Yahaya sehingga sejauh ini. Biarpun bukan di baris hadapan dalam pencalonan acara anugerah seni, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak pernah memberi janji kosong untuk Intan terus berdiri.

Namun, masih ada yang mempersoalkan impak kelibatnya malah mendakwa lakonan Intan masih kaku. Tidak menidakkan kelemahan yang ada, bagaimanapun Intan yakin setiap pelakon berdepan getir yang tekanan yang sama saat sesuatu karakter hendak dilaksanakan. "Jangan mudah untuk menghukum lakonan seseorang itu 'kayu'. Orang kita gemar bersikap pesimistik sedangkan kita ada pilihan untuk mengangkat karya hasil anak tempatan bukan menjatuhkan. "Orang hanya akan menilai secara luaran, tapi bagaimana jika pengkritik itu sendiri yang berada di tempat pelakon berkenaan. Jika isu lakonan 'kayu' itu yang masih mahu diperkatakan, saya tidak faham kenapa," curah Intan.

Sedar kritikan adalah makanan, tambahan pula bagi pelakon yang tiada asas seni secara formal sepertinya, Intan mengakuinya, dalam tempoh empat tahun aktif, dia semakin matang, baik dari segi lakonan mahupun pendirian. Itu antara janji yang dipertaruhkan Intan seiring filem keempatnya bersama MIG Production (MIG), Flat 3A, kini berada di pawagam. Kendatipun bukan daripada genre drama berat, Intan mengakui kelangsungan watak Fikah menuntut penghayatan berganda daripadanya. "Boleh dikatakan, itulah watak paling berat, paling berlainan dan amat mencabar yang pernah saya lakonan.

"Filem itu bercerita tentang keruntuhan moral seperti amalan seks bebas, hamil luar nikah dan pengguguran serta pembuangan bayi. "Saya tak boleh bayangkan betapa saya akan terjerumus dan sanggup melakukan perkara seperti itu, termasuklah memegang lintah, geli-geleman saya dibuatnya. "Saya amat tertekan dan dipaksa menjadi wanita yang trauma serta tertekan, mental dan fizikal semuanya kerana cinta dan salah percaturan," ujarnya memuji kerja pengarahan Azahari Zain untuk filem berkenaan. Jika terdahulu diganding nama-nama popular seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, kali ini, Intan berkongsi flat pula dengan bakat baru, Adey Shafren.

Lebih teruk lagi, dia sengaja menyerahkan diri malahan menyerahkan tubuh untuk diratah dan alat pelepas amarah oleh Adey yang melakonkan watak kekasihnya, Anas. "Saya okey dengan Adey, lagipun ada sesi latihan skrip sebelum penggambaran diadakan. "Kalau Adey merasakan dia pelakon baru yang harus bermula dengan 'kosong', saya pun begitu. Setiap hari adalah proses pembelajaran," cerita si kekasih pelakon Kamal Adli itu bersahaja. Selain Flat 3A, akan datang Intan bakal muncul pula dengan filem bersama Fizo Omar berjudul Halimunan dan Bini-Biniku Gengster, sekali lagi bersama Shaheizy Sam. Adey pertama kali jadi hero

Loghat Sabah masih basah dalam bicara, namun seboleh-bolehnya pendatang baru dalam dunia lakonan, Adey Shafren, 23, menebalkan lidah untuk bercakap dalam gaya orang Kuala Lumpur. Mujurlah, sebelum benar-benar berkeyakinan untuk berdepan umum, jejaka itu terlebih dahulu mencari guru agar kekosongan yang tidak pernah terisi ilmu lakon sedikit bercambah. "Memang saya ada belajar secara tidak formal dengan seorang aktor yang cukup dikenali ramai, tetapi agak keterlaluan jika saya mendabik dada tentang siapakah mentor saya itu. "Biarlah dulu, sekarang buat malu dia sahaja jika lakonan saya tetap kayu dan memualkan," katanya merendah hati.
Masih asing di mata ramai, namun Adey bukan sewenang-wenang muncul sebagai pelakon utama. Kisahnya bermula dengan 20 babak dalam drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang The Series dan bertambah menjadi 52 babak dalam drama Adnan Sempit The Series. "Masa mula-mula berlakon, saya memang 'kayu' habis. Ada yang kata saya berlakon macam orang cacat tapi saya terima ambil itu sebagai cabaran. "Masuk drama kedua, saya tak faham apa yang saya buat, apa yang saya ucapkan dalam dialog. Apabila diberi ruang dalam drama Epilog Syurga Cinta, barulah saya faham bahasa dalaman. "Ketika itu, tubuh saya boleh berinteraksi dengan dialog yang saya luahkan, selama ini, ia melantun tanpa arah," katanya.

Adey menghitung-hitung lagi jumlah babak dalam drama Siti Kelembai sebanyak 125 babak dan diangkat sebagai antara pemain utama dalam drama 12 episod, Kasih Alya bawah produksi JS Pictures bersama Sheila Rusly. Ketika ini, Adey juga seangkatan dengan Nora Danish dan Kamal Adli dalam drama Ana Lulu di TV3. Masuk ke watak Anas, karakter pertama yang meletakkan dirinya sebagai pendokong watak utama, Adey menyimpan ekspresi. Dia menyerahkan kepada penonton sebagai pemilik suara mutlak untuk menilai corak lakonannya. "Saya baru lapan bulan bergelar pelakon. Profil saya masih di perenggan pertama. "Begitu juga dengan lidah 'Sabah' saya ini, saya masih cuba mengikis ia baik-baik tapi ada masanya saya terlepas menjadi budak Sabah, terutamanya bila ada dialog-dialog marah yang memerlukan lebih ekspresi.

"Tambah-tambah lagi, dalam Flat 3A, saya jadi seorang yang panas baran. Bila marah sahaja, sebutan saya akan jadi lebih tebal," ujarnya bernada serius. Tidak mampu menyimpan emosi, Adey berkongsi sedikit pengamatan. Katanya, dia belum mampu untuk memisahkan kecenderungan terikut-ikut gaya lakonan pelakon lain yang sering dirujuk dan diperhatikan. "Saya serahkan hak itu kepada penonton. Nilailah dan kritiklah seadanya. "Watak Anas itu sendiri banyak lapisan, dan setiap lapisan itu harus diberikan perhatian. Dia lebih daripada apa yang ditonjolkan. Saya sangat sukakan pengakhiran cerita dalam Flat 3A. "Apa-apa pun sangat berterima kasih kepada abang ipar saya, Eizlan Yusof yang banyak memperkenalkan saya terhadap bidang ini, begitu juga David Teo. "Di fikiran saya dulu, saya tahu David Teo sahaja penerbit drama dan filem di Malaysia. Betapa naifnya saya," jujurnya Adey dapat dirasai.

Intan Ladyana Ingin Uji Diri Sertai Askar Wataniah


BUKAN satu kepantangan atau meninggalkan kudis pun bagi jelitawan ini untuk bercakap tentang umur.

Cuma, sebolehnya pelakon yang dikenali sebagai Intan Ladyana (Intan) ini lebih selesa tidak mencanangkan usianya kecuali jika ia benar-benar perlu.

Fahamannya cukup mudah. Bukan kerana dia takut dengan angka yang silih-berganti saban tahun itu tetapi kerana bimbang apabila peningkatan usia tidak seiring dengan pencapaian diri.

Dalam pertemuan kami baru-baru ini, pelakon yang mula mencuri perhatian selepas membintangi filem Jangan Pandang Belakang (2007) ini membentangkan hujahnya berhubung soal itu.

Kata Intan, isu umur mungkin kedengaran klise dan dangkal bagi sesetengah pihak tetapi dia percaya pasti ramai yang di luar sana turut berkongsi stigma serupa, khususnya di kalangan kaum hawa.

“Saya boleh bercakap dan berkongsi apa juga perkara tetapi apabila sentuh tentang umur reaksi diri saya akan berubah secara spontan.

“Bukan saya takut atau benci untuk mengakui umur sendiri kerana saya pasti ramai yang sudah mengetahuinya pun.

“Cuma saya berasa kurang selesa jika pertanyaan itu kerap diajukan. Tidaklah sampai menjadi kepantangan saya untuk bercakap tentang umur cuma ia boleh dianggap sebagai sensitif,” katanya.

Melanjutkan perbualan kami, wanita berdarah kacukan Melayu-Siam ini menambah, logik di sebalik perasaan itu dipengaruhi oleh kecenderungannya yang sering membandingkan usia dengan pencapaian hidup sama ada aspek peribadi mahupun kerjaya.

“Faktor utama yang membuatkan saya sensitif untuk bercakap tentang umur adalah kerana saya cenderung untuk membandingkan faktor usia dengan pencapaian semasa.

“Apabila saya memberitahu umur kepada orang, pasti saya akan terfikir tentang diri dan pencapaian hidup. Pada usia sekarang, masih banyak perkara yang belum dicapai baik peribadi ataupun kerjaya,” katanya.

Idealnya, perasaan sensitif yang berbuku di hati dan minda wanita ini berasas dan punya sebab. Bukan kerana gusar dengan istilah ‘tua’ jika orang mengetahui umur sebenarnya tetapi Intan runsing jika ia akan menimbulkan pelbagai perspektif pula.

“Selalunya apabila orang bertanya tentang umur ia pasti disusuli dengan jawapan atau pandangan tertentu. Contohnya, mungkin ada yang terkejut kerana saya tidak kelihatan seperti usia saya atau apa juga persepsi lain.

“Daripada situ, mulalah saya berkecamuk memikirkan tentang kehidupan, kerjaya dan masa depan.

“Sebab itu, kalau boleh saya tidak selesa untuk menghebohkan umur kecuali terpaksa,” katanya yang menganggap umur hanyalah angka yang tidak wajar dijadikan kayu ukuran.

Tak runsing jika kurang popular

Hampir lima tahun melayari arus berliku sebagai anak seni, Intan mengakui dirinya amat bertuah kerana diberikan platform dan kepercayaan untuk mencanai bakat.

Sekalipun jenama dan popularitinya tidak segah mana, sekurang-kurangnya aktres bertubuh kecil ini senang dan selesa dalam zonnya.

“Tidak perlu saya rasa tergugat atau runsing tentang populariti dan glamor. Sekalipun nama saya tidak sebesar mana berbanding bakat-bakat lain, saya bersyukur dan selesa dengan kedudukan hari ini.

“Apa yang lebih mustahak adalah untuk memberikan mutu kerja yang semakin baik dan matang dari semasa ke semasa.

“Biarlah tidak gah pada nama tetapi peminat dan masyarakat nampak dan memperakui impak lakonan saya, itu lebih bermakna,” jelasnya.

Apabila menyingkap isu populariti, Intan mempunyai prinsipnya tersendiri. Dia tidak perlu mengejar publisiti semata-mata untuk melariskan nama.

Perkara itu terbukti benar kerana sejak menceburi bidang seni jarang sekali aktres ini dicemari kontroversi.

“Kontroversi atau cerita negatif tidak akan menjadi kayu ukur untuk seseorang artis itu bertahan lama. Yang menjadi bekalan untuk kekal lama adalah mutu kerja, disiplin dan komitmen.

“Lagipun, saya selalu percaya pada putaran hidup. Kalau hari ini kita di bawah tidak semestinya kita akan kekal di bawah selama-lamanya dan begitulah sebaliknya,” katanya.

Teruja sertai Askar Wataniah

Di sebalik karakternya yang keayuan dan lemah-lembut ini, siapa sangka pelakon yang bakal muncul dengan filem Flat 3A pada 14 Julai ini mempunyai jiwa yang besar dan tegar.

Buktinya, baru-baru ini Intan bersama beberapa selebriti tanah air terpanggil untuk menyahut cabaran dengan menyertai Rejimen Askar Wataniah (RAW) menerusi program ‘Merakyatkan Tentera’ yang terkandung di dalam pelan transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dengan penuh teruja Intan berkata, keputusan untuk menyertai Askar Wataniah dibuat selepas dia mengkaji tahap latihan dan kemampuan dirinya.

“Selepas mendapat penerangan berhubung latihan dan aktiviti yang dilalui sebagai anggota RAW, saya begitu teruja dan terus bersetuju.

“Selain mengutip pengalaman dan menjalani latihan asas, saya juga mahu menyedarkan belia dan masyarakat luar bahawa artis juga boleh menyertai RAW,” katanya.

Intan Ladyana Nafi Bersekedudukan Dengan Kamal Adli


PETALING JAYA: Aktres Intan Ladyana Mohamad Yahaya, 28, menafikan dakwaan tinggal serumah atau bersekedudukan dengan kekasihnya aktor Kamal Adli di sebuah kondominium di Ampang, Selangor.

Kata pelakon yang mesra disapa Intan itu, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana hakikatnya mereka tinggal berasingan.

"Dakwaan yang mengatakan saya tinggal serumah dengan Kamal adalah tidak betul sama sekali. Kamal tinggal bersama keluarganya.

"Memang tidak betul sangatlah kalau ada yang mendakwa kami tinggal bersama macam pasangan suami isteri," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Mengakui Kamal kerap berkunjung ke rumahnya untuk berjumpa atau keluar bersama, Intan bagaimanapun berkata, aktor itu hanya menunggu di bawah dan jarang masuk ke rumah kecuali atas hal-hal tertentu atau kecemasan.

"Saya tidak menafikan Kamal selalu datang tetapi tidaklah sampai masuk ke rumah, apatah lagi untuk tidur bersama pula.

"Kebiasaannya dia akan tunggu di bawah sahaja. Kalau pun keadaan memaksa dia untuk masuk ke rumah, kami tidak akan berdua-duaan. Pasti ada pembantu peribadi saya atau rakan-rakan lain juga," katanya.

Tambah pelakon filem Kembar Siang itu, dakwaan tersebut mungkin timbul kerana jiran-jirannya sering melihat kelibat Kamal berkunjung di kawasan kediamannya.

Tanpa mengetahui cerita yang sebenar, segelintir pihak mudah membuat tanggapan dan andaian masing-masing dengan menyebarkan cerita tersebut.

"Inilah masalahnya apabila orang mudah membuat andaian masing-masing tanpa mengetahui cerita sebenar. Namun, saya tidak kisah sebab perkara itu tidak berlaku," katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Intan baru sahaja menyambung kontrak sebagai pengacara untuk musim baru program Chopp!!! yang bersiaran di TV9.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails