Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Karl Shafek. Show all posts
Showing posts with label Karl Shafek. Show all posts
Karl Shafek, Ajak (Shiro) Kemalangan
Pelakon dan pengacara Karl Shafek terbabit dalam kemalangan jalan raya yang turut membabitkan pelakon Ajak (Shiro) dalam kejadian di
Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Kota Damansara di sini pada petang Khamis.
Karl Shafek atau nama sebenar Khairul Shafek Ibrahim, 34, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu terjadi ketika dia dalam perjalanan ke sebuah majlis di Putrajaya.
"Pada kejadian itu saya dalam perjalanan ke Putrajaya dan tiba-tiba kereta depan berhenti mengejut sehingga saya tidak dapat mengelak.
"Ada tiga kereta termasuk kereta saya yang terlibat dalam kemalangan itu. Mengejutkan kereta pelawak Ajak (Shiro) turut sama terlibat. Dia pula ketika itu dalam perjalanan untuk pergi latihan Anugerah Lawak Warna di Shah Alam.
"Kemalangan tersebut juga menyebabkan lebuhraya tersebut mengalami jem teruk beberapa jam," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Bagaimanapun, Karl berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu dan begitu juga Ajak serta pemandu-pemandu lain.
Tambahnya, kereta jenis Myvi yang dinaiki itu mengalami rosak teruk dan mengambil masa sebulan untuk diperbaiki.
Karl berkata, perkara tersebut menjadi masalah apabila sukar untuk dia bergerak ke lokasi penggambaran.
"Saya tidak mengalami apa-apa kecederaan cuma kereta saya saja yang teruk pada bahagian depan dan enjin.
"Saya difahamkan ambil masa sebulan untuk dibaiki dan sekarang menjadi masalah kepada saya untuk bergerak ke mana-mana, jadual saya bulan ini pula padat dengan penggambaran," ujarnya.
Sementara itu Ajak yang dihubungi berkata, kereta jenis Honda Accord yang dipandunya hanya mengalami kerosakkan kecil apabila bampar bahagian belakang keretanya itu calar.
Katanya, dalam kejadian berkenaan dia tidak menyangka pelakon Karl Shafek turut terlibat dalam kemalangan berkenaan.
"Dalam keadaan jalan sesak, tiba-tiba sebuah kereta jenis Toyota telah melanggar belakang kenderaan saya. Selepas semuanya turun, saya dapati kereta Toyota itu dilanggar oleh kereta dipandu Karl Shafek. Bagaimanapun kami tak ada apa-apa, " katanya.
Karl Shafek Minta Video Siang Ikan Tidak Jadi Isu
Pelakon Karl Shafek berharap tidak ada pihak mensensasikan isu rakaman video ikan hidup disiang yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad lalu.
Karl Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 34, berasa terkejut apabila video tersebut menjadi sensitif kepada segelintir pihak yang menyifatkan rakaman itu menunjukkan seseorang itu kejam kerana menyiang ikan yang masih hidup tanpa memastikan ia mati terlebih dahulu.
"Sebenarnya saya cuma nak tunjuk cara nak masak ikan yang segar sebab itu saya mengeluarkan rakaman video tersebut di Instagram.
"Tak sangka pula ia menjadi sensitif kepada segelintir peminat sedangkan ia merupakan perkara biasa dalam menyiang ikan segar. Ikan itu disiang oleh makcik saya yang menjual ikan patin. Saya hanya merakamkan video.
"Saya harap perkara ini tidak disensasikan kerana ia sekadar video biasa," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin.
Pada Ahad lalu, Karl telah memuatnaik sebuah video individu sedang menyiang ikan patin yang masih hidup.
Video itu mendapat komen daripada para peminat yang mengatakan individu berkenaan sangat kejam kerana menyiang ikan tanpa mengetuk kepala agar ia mati terlebih dahulu sebelum menyiangnya. Ramai yang menganggap Karl Shafek yang menyiang ikan tersebut.
Sementara itu, Karl Shafek berkata, dia seorang yang gemar berkongsi cerita mengenai jenis masakan yang ingin dimasak di Instagram.
"Sebenarnya saya seorang yang suka memasak begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain.
"Maklumlah adik-beradik saya tiga orang dan semuanya lelaki. Kami semua diajar memasak oleh emak. Dan apabila masing-masing dah tahu masak, ketika emak sakit, kamilah yang akan memasak untuk dia," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Masihkah Ada Kasih dan Rindu Awak 200% untuk siaran TV3.
Karl hargai pengalaman
BULAT hati Karl Shafek memilih dunia penyiaran untuk mengembangkan kerjaya tidak pernah bertanda sia-sia. Bahkan, bekas kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS) ini langsung tidak menyesal dengan keputusannya meninggalkan kotak selesa itu kira-kira enam tahun lalu.
Apa tidaknya, dengan usaha yang ditonjolkan selama ini, tuan empunya nama, Khairul Shafek Ibrahim, 34, kini mampu tersenyum dengan pencapaiannya dalam bidang pengacaraan.
Walaupun berjaya mengutip banyak pengalaman berharga sepanjang mengemudi kariernya, tiada siapa sangka anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah dibayar gaji sebanyak RM 1,600 sebulan ketika mula-mula menjinakkan diri dengan dunia penyiaran.
"Saya mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya nekad meninggalkan pekerjaan tetap saya sebagai kru kabin untuk mengejar cita-cita dalam bidang penyiaran.
"Walaupun pada mulanya agak perih menjalani cara hidup yang jauh berbeza dan hanya berbekalkan gaji yang kecil tetapi kerana cinta saya terhadap bidang penyiaran, saya mampu meneruskan hidup sehingga hari ini," ujar Karl.
Hidup mewah
Disebabkan nekadnya itu, Karl tidak mengendahkan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan dia tidak lagi hidup secara mewah selepas kurang mendapat tawaran pengacaraan sejak akhir-akhir ini.
"Alhamdulillah, sejak mula memasuki industri (bidang pengacaraan) rezeki saya tidak pernah putus. Walaupun tawaran yang diterima tidak sebanyak dulu, sekurang-kurangnya, saya masih ditawarkan untuk mengacara atau mengendalikan acara setiap bulan.
"Saya bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, cuma apa yang saya peroleh sepanjang bergelar pengacara cukup untuk saya hidup secara sederhana," ujarnya lagi.
Menegaskan kehidupannya bukanlah berpaksi pada erti kemewahan, Karl lebih mempercayai dengan harga pengalaman yang diperoleh serta kepuasan melakukan kerja-kerja yang diminatinya.
"Bagi saya, pengalaman yang saya kutip selama ini lebih berharga jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit. Lagipun, ia dapat digunakan dalam tempoh masa yang sangat panjang," tambah Karl yang menyifatkan rasa gembira perlu ada pada setiap pekerjaan yang dilakukannya.
Dunia lakonan
Selain rancak bergelar pengacara, Karl juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon. Pernah muncul di kaca televisyen dan layar perak, graduan Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) ini bercadang mahu memberikan lebih tumpuan terhadap bidang lakonan tahun ini.
"Pada tahun ini, saya bercadang mahu memberi fokus yang lebih terhadap bidang lakonan. Bukan tidak mahu bermula dari awal, cuma saya perlu berhati-hati dalam membahagikan masa untuk karier.
"Jadi, pada pendapat saya, selepas kedudukan saya kukuh sebagai pengacara, apa salahnya untuk saya mencuba bidang seni yang lain pula," katanya mengakui masih lagi bertatih dalam bidang tersebut.
Menurut Karl, sewaktu mula-mula beraksi di hadapan kamera, ramai yang memberitahu bahawa intonasi dan gaya percakapannya kedengaran seperti seorang pengacara.
Bagi mengelakkan perkara itu berulang, dia tidak teragak-agak untuk belajar tentang selok-belok dunia lakonan dengan menyertai pementasan teater secara kecil-kecilan.
"Ketika mula-mula berlakon, saya sering ditegur peminat kerana bercakap seperti seorang pengacara. Saya sedar, cara percakapan di dalam drama atau filem adalah lain dan perlu mengikut skrip.
"Justeru, apabila ditawarkan untuk berlakon teater Madu Ku Kalut pada tahun lalu, saya cuba menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin. Alhamdulillah, prestasi saya semakin lama semakin meningkat," katanya.
Dua tawaran
Melanjutkan perbualan bersama jejaka berbintang Aries itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah drama bersiri 40 episod terbitan Suhan Movies berjudul Masihkah Ada Cinta.
Ternyata begitu teruja dapat bekerja dengan syarikat milik Rosyam Nor itu, Karl juga tidak menafikan bahawa dia sungguh gembira kerana berpeluang berlakon bawah pengarah ternama, Amy Maziah.
"Sejujurnya, pihak Suhan Movies telah beberapa kali menawarkan saya untuk berlakon dalam drama terbitan mereka. Namun, disebabkan kekangan masa, saya terpaksa menolak tawaran tersebut.
"Bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk memegang watak Johan dalam drama Masihkah Ada Cinta, saya terus bersetuju. Lagipun, saya sudah lama ingin bekerja dengan pengarahnya," ujar Karl yang begitu meminati nashkah-nashkah yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies sebelum ini.
Drama yang diadaptasi daripada novel yang pernah diterbitkan sekitar tahun 90-an itu bakal menemui penonton di saluran RTM tidak lama lagi.
Di samping itu, Karl baru sahaja memulakan sebuah lagi penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan tahun ini.
"Selain Masihkah Ada Cinta, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Rindu Awak 200 Peratus bersama Ayda Jebat dan Zul Ariffin," ujar Karl.
Ketika ditanya mengenai keputusannya menerima dua tawaran dalam satu masa, Karl memberitahu, dia telah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi Rindu Awak 200 Peratus terlebih dahulu sebelum menerima tawaran tersebut.
"Sebelum menerima tawaran ini, saya ada berbincang dengan mereka tentang drama yang sedang saya lakonkan dengan Suhan Movies. Jika mereka mampu mengikut jadual saya dengan Suhan, maka tidak menjadi masalah untuk saya menerima tawaran tersebut.
"Walaupun saya menerima tawaran berlakon yang berjalan secara serentak, namun saya akan pastikan bahawa saya tidak berkejar dari dua set penggambaran yang berbeza dalam satu masa," ujarnya.
Buka cafe
Jika mahu diberi jolokan, status selebriti serba boleh mungkin tepat menggambarkan figura yang pernah membintangi drama muzikal Hotel Mania ini.
Sudah puas beraksi di hadapan kamera sebagai pengacara dan pelakon, Karl Shafek turut menunjukkan kemahirannya dalam bidang kulinari menerusi program pertandingan masakah MasterChef Selebriti dan MasterChef Celebrity All Stars.
Selepas muncul sebanyak dua kali dalam pertandingan memasak itu, bakat yang ada padanya sering menjadi bualan ramai. Justeru, tidak hairanlah jika kebanyakan daripada peminatnya begitu tertarik mahu mencuba masakan yang dimasak oleh Karl.
"Disebabkan oleh permintaan mereka, saya bercadang mahu membuka restoran atau kafe yang menampilkan menu-menu yang pernah saya masak ketika menyertainya MasterChef.
"Bagaimanapun, itu hanya perancangan awal sahaja. Jika saya ingin memulakan sebuah perniagaan, saya memerlukan modal yang besar. Insya-Allah, dalam masa dua tahun, mungkin cita-cita saya ini akan menjadi kenyataan," ujar Karl.
Karl Shafek Bimbang Terkena Badi Lelaki Lembut
Pelakon dan pengacara Karl Shafek bimbang watak lelaki lembut yang dipegangnya menerusi teater Maduku Kalut sebelum ini akan menjadi badi kepada karier lakonannya.
Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim, 33, berkata, walaupun dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawa peranan berkenaan namun sebagai pelakon baharu dia ingin mewarnakan lakonannya dengan pelbagai watak lain.
"Jujur saya bimbang watak lelaki lembut itu akan menjadi badi dan hanya akan ditawarkan berlakon sebagai 'adik-adik' sahaja selepas ini.
"Sebagai pelakon baharu yang ingin bertapak dalam bidang ini saya tidak boleh tertumpu kepada sesuatu watak sahaja dan ingin mencuba pelbagai watak lain," katanya kepada mStar Online.
Karl baharu sahaja muncul dalam teater Maduku Kalut dan memegang watak lelaki lembut iaitu Amy Amiro yang telah dipentaskan di Lambang Sari Istana Budaya dari 27 hingga 1 Oktober lalu.
Selain Karl, teater arahan Muhammad Azhar Zainal itu turut dibintangi oleh Izzue Islam, Nad Zainal dan Jehan Musa.
Tambah Karl, dia bukan bersikap 'demand' sebaliknya tidak mahu dilabel sebagai pelakon ‘stereotype’ sekiranya sering membawa watak berkenaan.
"Saya juga bukan malu sekiranya sering diberikan watak lelaki lembut tetapi masih banyak sisi lain saya sebagai pelakon yang belum saya tonjolkan kepada penonton," jelasnya.
Sementara itu, Karl mengakui bukan mudah untuk melakonkan watak sebagai lelaki lembut dan telah melakukan pelbagai kajian dan latihan.
"Penonton mungkin berpendapat membawakan watak itu mudah tetapi sebenarnya tidak kerana saya perlu memahami cara mereka bercakap dan lenggok mereka supaya penonton mempercayai lakonan saya.
"Namun saya bersyukur apabila lakonan saya menerusi teater tersebut diterima baik oleh penonton dan banyak juga yang memberikan maklum balas positif kepada saya," ujarnya.
Kembara Karl Syafek
Sememangnya lahir daripada keluarga yang suka melancong, Karl Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim yang berasal dari Pekan, Pahang itu meneruskan minat keluarganya mengembara.
Namun buat masa ini, dia mengakui kekangan dan himpitan kerjaya kadang-kala membataskan diri daripada melakukan perkara yang sentiasa menjadi minatnya itu.
"Kalau dulu saya memang selalu melancong. Keluarga saya sendiri pun sukakan aktiviti sebegini.
"Ketika bersama keluarga saya dahulu, kami sering melancong bersama-sama. Bermula dari Pahang kemudiannya pergi ke Kelantan, Terengganu dan bersambung pula ke negeri lain yang berdekatan.
"Memang saya sukakan aktiviti sebegini. Bukan apa, dalam kita meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan, kita juga sebenarnya dapat mengenali dan mendalami sejarah atau tempat yang kita pergi itu," katanya bersungguh-sungguh.
Bercerita mengenai kesungguhannya untuk merantau ke negara orang, dia mengakui minatnya itu mendorongnya untuk menjadi pramugara sebuah syarikat penerbangan di Malaysia sekitar tahun 2004 sehinggalah 2008.
Karl Shafek Mula Jaga Tindak-Tanduk Selepas Popular
PETALING JAYA: Populariti mendadak yang dikecap pengacara dan pelakon Karl Shafek atau Karl sejak menyertai MasterChef Selebriti Malaysia membuatkan dia lebih berhati-hati di khalayak umum.
Pemilik nama sebenar Khairul Shafe Ibrahim, 32, ini berkata, impak populariti itu adalah baik untuk kerjayanya namun dalam masa yang sama turut membatasi kebebasan yang dinikmatinya sebelum ini.
“Sejak berkecimpung dalam bidang hiburan pada 2008, nama saya tidak popular dan kurang dikenali, sekali gus pergerakan saya lebih bebas ke mana-mana sahaja.
“Perkara itu berubah selepas saya menyertai MasterChef Selebriti Malaysia, di mana saya perlu lebih peka dalam tindak-tanduk dan kata-kata kerana lebih ramai yang memberikan perhatian,” katanya.
Beralih pada sambutan Aidilfitri, pengacara Hip TV (TV9) ini berkata, perayaan pada tahun ini menjadi lebih bermakna kerana dia dan adik-beradiknya dapat berkumpul pada pagi Syawal.
“Kalau tahun lepas, tiga lagi adik-beradik menyambut Hari Raya dengan keluarga mertua mereka tetapi pada kali ini kami berpeluang untuk berkumpul di rumah orang tua di Pekan, Pahang,” katanya.
Mengenai kerjaya, Karl berkata, selepas cuti Hari Raya dia bakal sibuk dengan persiapan pementasan teater berjudul Kawan-Kawan Yang Kita Suka (KKYKS) yang akan dipentaskan bermula 5 hingga 9 September depan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Pembabitan dalam teater KKYKS adalah kali kedua di bawah arahan Fasyali Fadzly selepas 1 Plastik Hitam pada tahun lalu. Saya terlibat dalam teater kerana mahu mengembangkan bakat dan kemahiran.
“Saya yakin teater berskala kecil begini mampu menarik perhatian umum kerana kekuatan dan kelainan cerita yang ditawarkan. Ini jelas dilihat daripada respons penonton pada teater-teater kecil yang lepas,” katanya.
Selain Karl, teater mengenai keikhlasan dan kejujuran dalam persahabatan itu turut membariskan Anas Ridzuan (Mentor 6), Fazleena Hishamuddin dan Ameera Ramly.
Tiket masuk yang berharga RM30 boleh didapati pada hari persembahan.
Maklumat lanjut, layari laman Facebook dengan carian Teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka dan Twitter #KawanKawanYangKitaSuka.
Karl Shafek Dituduh Guna Taktik Kotor Jadi Pengacara
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
