Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Khairul Fahmi. Show all posts
Showing posts with label Khairul Fahmi. Show all posts

RAGAM TERKINI ANAK LEUNIEY & APEK

Rasanya sudah hampir tujuh bulan kita tidak melihat keletah Kayla Elayna, anak sulung Leuniey Natasha dan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat. Terkini, Kayla semakin comel bagaikan anak Jepun layaknya dan juga sudah boleh bangun sendiri. Mungkin beberapa bulan lagi, dia dah boleh tangkap bola pulak. Heh. Jom tengok!

BILA ISTERI APEX HAMIL '6 BULAN'

Gambar menarik Leuniey Natasha, isteri kepada Khairul Fahmi Che mat (Apex) yang lebih kurang mengandung 6 bulan (agak-agaklah). Memang jelas dan nyata perut Leuniey kini sedang membesar dan pastinya beliau sedikit meragam kerana hamil kali pertama. Oleh yang demikian, Apex kenalah banyak bersabar demi isteri tercinta. Tak gitu?

ISTERI APEK KINI BERHIJRAH

Jika baru-baru ini, isteri kepada Khairul Fahmi Che Mat iaitu Leuniey Natasha digosipkan telah mengandung, namun berita terkini sebenarnya lebih menarik. Leuniey telah berhijrah ke arah yang lebih baik iaitu memakai tudung sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Tahniah diucapkan buat Apek kerana berjaya membimbing isterinya. Semoga rumah tangga mereka akan lebih bahagia selepas ini... Insa'Allah.

Khairul Fahmi & Leuniey Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz

TUMPAT: Dengan sekali lafaz, penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 23, atau Apek sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21. Pasangan ini telah dinikahkan oleh Imam Mukim Pasir Pekan, Ustaz Ab Ghani Ab Talib di kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, di sini, kira-kira pukul 10 pagi Jumaat. Apek yang mengenakan persalinan baju Melayu berona putih krim itu berkata, dia bersyukur apabila segala perancangan majlis mereka berjalan dengan lancar dan menganggap perkahwinan itu sebagai tanda berakhirnya kontroversi yang membabitkannya dengan Leuniey. "Alhamdulillah syukur apabila majlis ini berjalan dengan lancar. "Perkahwinan ini juga menandakan pelbagai isu kontroversi yang membabitkan saya dan Leuniey sudah tamat, " katanya kepada mStar Online selepas majlis pernikahan berlangsung. Tambah Apek, sebelum ini, pergerakan dia dan Leuniey untuk bertemu agak terbatas lebih-lebih lagi ketika kontroversi panas membabitkan Leuniey kononnya telah menjadi orang ketiga dalam hubungan cinta Apek yang terdahulu.
"Oleh kerana itu, kami hanya dating di rumah sahaja dan rumah keluarga kami merupakan tempat rahsia kami untuk bertemu," ujarnya. Leuniey telah menerima wang hantaran yang juga dijadikan sebagai mas kahwin sebanyak RM19,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki. Sebelum majlis pernikahan itu, rombongan pihak lelaki tiba dengan diiringi sepasukan polis trafik sepanjang perjalanan mereka ke kediaman keluarga Leuniey. Sementara itu, Apek memberitahu, dia dan isterinya itu belum merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini, namun masih lagi menganggap perkara itu amat penting sebagai permulaan baru melalui alam berumah tangga. Rombongan pihak lelaki yang hadir pada majlis tersebut ialah ibu bapa Apek iaitu Che Mat Hussein 58, dan Bidah Ibrahim, 57, serta lima adik-beradiknya. Turut hadir ibu bapa Leuniey iaitu Nazri Adnan, 44, dan Norlaila Abu Bakar,45, serta empat adik-beradiknya yang lain. Majlis pernikahan itu turut dihadiri Timbalan Mufti negeri Kelantan, Datuk Nik Abd Kadir.

Nik Aziz batal jadi jurunikah Apek & Leuniey

Nampaknya penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan pasangannya, Nur Eluniey Natasha Nazri (Leuniey) terpaksa mencari jurunikah lain apabila Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dapat memenuhi undangan majlis yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana beliau perlu menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri bersama Sultan Kelantan yang berlangsung pada hari yang sama pasangan tersebut dinikahkan. Ujar Ahmad Fadhli, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas telah memohon maaf kerana terpaksa menolak dan tidak dapat menjadi jurunikah kepada pasangan ini kerana mesyuarat tersebut penting. Mengikut jadual, Apek, 23, dan Leuniey, 21, bakal dinikahkan di rumah keluarga pihak perempuan di Pasir Pekan, Tumpat pada jam 10 pagi diikuti tiga majlis resepsi yang akan diadakan selepas itu. Majlis resepsi pihak perempuan dijadualkan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember, manakala di sebelah pihak lelaki pada 5 Januari 2013. Sementara itu, ibu Leuniey, Norlaila Abu Bakar, 40, telah dimaklumkan seminggu yang lalu dan mereka telah mendapatkan khidmat imam masjid Taman SBJ untuk menyempurnakan majlis akad nikah itu nanti.

Jaga nama dan populariti - Khairul Fahmi

CERITA panas, kontroversi dan gosip merupakan sebahagian aspek yang mewarnai kehidupan insan bergelar artis. Sudah menjadi asam garam mereka untuk mengharungi segala bagai desas-desus yang melanda diri. Ada yang pandai mengawal keadaan, tidak kurang pula yang cepat melatah sehingga sesetengah mereka lebih suka bercakap tidak benar mengenai sesuatu isu yang berbangkit. Ini sudah tentu cerita-cerita panas yang melibatkan nama dan populariti masing-masing. Selalu sahaja jika timbul sesuatu isu, ada artis yang lebih senang menjawab, tidak mahu memberi sebarang komen. Ada juga yang mengatakan bahawa cerita yang timbul itu hanyalah gosip semata-mata. Namun bak kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Selain kisah panas yang mungkin mengaibkan, kerap kali kisah-kisah cinta juga menjadi antara topik yang seringkali tidak mahu dibicarakan secara terus terang oleh artis. Kepada yang tidak mahu mengaku, ada sahaja alasan yang diberikan apabila disentuh perihal yang satu itu. Sedangkan kelibat kemesraan mereka sudah dihidu atau dilihat dengan mata tidak kira pihak media atau peminat sendiri. Sudah tentu sebagai artis yang menjadi tumpuan masyarakat, setiap pergerakan mereka menjadi perhatian. Sebagai media, kita memahami bahawa keperluan menghormati ruang peribadi seseorang. Namun artis juga seharusnya pandai untuk memberi jawapan bijak dan lebih telus, yang tidak menimbulkan teka-teki sehingga sesuatu isu itu terus diperkatakan oleh orang ramai. Malah sikap berterus terang lebih dipuji dan dihormati daripada sikap berdolak-dalih yang selalunya berakhir dengan memakan diri sendiri apabila cerita sebenar terbongkar. Kita lihat hari ini ramai artis yang menjalinkan hubungan cinta sesama artis tidak mahu bercerita perkara sebenar. Tetapi pada masa yang sama hadir di majlis-majlis keraian atau memuat naik gambar mesra bersama. Sekadar kawan, dia kawan baik saya, teman tapi mesra - itu sebahagian jawapan 'selamat' yang diberikan artis dalam menafikan menafikan hal percintaan mereka namun apabila putus kasih, segala-galanya terbongkar. Itu yang terjadi kepada pasangan cinta Remy Ishak dan Tiz Zaqyah yang menjadi perhatian ramai kerana bersikap dolak-dalih mengenai hubungan mereka. Pasangan yang dikatakan mula menjalin percintaan sejak berlakon bersama dalam drama Nur Kasih itu bermati-matian menafikan yang mereka bercinta biarpun sudah banyak artikel yang menyiarkan berita tersebut. Jawapan yang diberi oleh mereka, sekadar berkawan. Bagaimanapun pada tahun lepas ketika aktor itu menjalani penggambaran filem 29 Februari, dia akhirnya mengaku bercinta dengan Tiz. Begitu juga apabila media mempersoal tentang hubungan mereka yang dikatakan putus, ekoran ungkapan yang dimuatkan dalam Twitter Remy. Seperti biasa, masih lagi menafikan yang hubungan mereka putus namun akhirnya Remy sekali lagi mengaku tetapi kali ini, dia putus cinta dengan Tiz. Sebelum bercinta dengan Tiz, Remy juga pernah menafikan hubungan cinta yang terjalin dengan Ummi Nazeera yang juga berlakon dalam drama Nur Kasih. Akhirnya kebenaran terbongkar apabila berlaku pertengkaran antara mereka yang membawa kepada perpisahan. Selain itu, pasangan selebriti yang pernah menafikan menjalin hubungan cinta adalah penyampai radio Linda Onn dan aktor Fahrin Ahmad. Mereka sering menghadiri acara hiburan bersama tapi setiap kali ditanya sejauh mana hubungan, jawapan yang diberi sekadar kawan. Apabila masing-masing membawa haluan sendiri barulah mereka mengaku pernah bercinta dan kini tidak lagi bersama. Sebelum ini bagai nak rak pihak media menunggu jawapan namun masing-masing tetap mengatakan hubungan mereka tidak membabitkan perasaan. Sandiwara juga berlaku apabila ada artis dikaitkan mempunyai hubungan dengan golongan ternama. Kerap kali artis akan cuba sedaya upaya menutup kisah cinta mereka itu demi memastikan kelangsungan hubungan serta menjaga hati dan nama baik pihak tertentu. Namun akhirnya bak kata orang dulu-dulu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Bukan sahaja artis, kalangan selebriti sukan juga terjangkit penyakit yang satu ini. Lihat sahaja penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang sebelum ini bermati-matian menafikan menjalin hubungan cinta dengan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey. Apek yang pernah bertunang dan kemudian putus tunang itu juga pernah dikaitkan dengan seorang gadis bernama Dahlia Teck sebelum itu. Malah penjaga gawang popular itu turut menolak dakwaan yang dia rapat atau intim dengan Leuniey namun begitu beberapa minggu selepas penafian itu, tersebar pula cerita yang mengatakan mereka sebenarnya intim dan terbaharu mengesahkan akan mendirikan rumah tangga hujung Disember ini.

Kahwin muda - Khairul Fahmi

DULU nafi, kini bakal bergelar suami isteri. Itu suratan takdir yang ditentukan Yang Maha Kuasa kepada penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Nazri. Siapa sangka, bertentang mata ketika menjadi model wangian SimplySiti beberapa bulan lalu telah menyatukan dua hati anak muda ini. Biar ketika itu kedua-duanya menafikan mengenali antara satu sama lain, ternyata jodoh kedua-duanya amat kuat. Dan hanya dalam tempoh tujuh bulan berkenalan, kini mereka sudah bersedia untuk menempuh alam baru sebagai suami isteri. Yakin dengan keputusannya untuk menyunting Nur Eilunie Natasha yang mesra dipanggil Leuniey, Khairul Fahmi mengakui, dia tidak pernah menyembunyikan percintaannya kepada umum. "Dulu saya nafi mempunyai hubungan sebab memang saya tak kenal dia. Tetapi ketika kami berkawan dan kemudian bercinta, saya tidak sorok malah sentiasa berterus terang," katanya pada sidang akhbar pengumuman perkahwinannya Rabu lalu. Malah Khairul Fahmi yang lebih terkenal dengan panggilan Apex itu turut menyangkal kata-kata pedas kononnya dia berkahwin bagi menutup kisah-kisah kontroversi yang melanda dirinya. Keputusan menyunting suri hatinya, tegas penjaga gol yang digilai ramai itu adalah datang daripada hatinya yang paling dalam; yang paling jujur dan yang paling ikhlas. Leuniey juga ketika dihubungi Hits mengakui bahawa dia tidak menyangka hubungan yang terjalin sejak Mac lalu itu berjalan lancar tanpa halangan. Dan dia amat bersyukur kerana hubungannya dengan Apex direstui oleh kedua-dua belah keluarga. Namun dia menafikan cerita yang bertebaran kononnya sengaja merahsiakan hubungan cinta dengan Apex daripada tumpuan awam kerana masing-masing masih tunangan orang. Tegas Leuniey, mereka sudah kembali solo lama sebelum gosip hubungan cinta kedua-duanya timbul. "Memang sebelum menjadi model untuk wangian itu, saya pernah bertembung dengan Apex di depan rumah saya. Tapi setakat itu sahaja. "Saya pun tak kenal dia (ketika itu)... tak tahu langsung fasal bola sepak dan sebagainya. Tapi saya bertanya kepada pakcik siapa dia. Kerana masa itu dia berurusan dengan pakcik saya untuk jual beli rumah. "Akhir Mac lalu kami sama-sama terlibat dengan iklan SimplySiti. Dia tegur saya, kami berbual dan bertukar nombor BBM (Blackberry Massenger). Dari situ saya kenal dia. "Balik ke Kelantan, pakcik saya pula adakan majlis makan-makan dan menjemput Apex sebagai tanda terima kasih kerana urusan jual beli rumah telah selesai. "Sejak itu kami mula rapat... mula berBBM dan baru mengambil tahu tentang dia dan dia sendiri pun banyak bercerita tentang diri dan kariernya. "Selepas sebulan dua kami sudah rasa selesa, dia pun memberitahu mahu kenal lebih rapat dan akhirnya jatuh cinta. "Kami pun single dan family juga merestuinya," cerita Leuniey yang tidak dapat hadir ke sidang akhbar pengumuman perkahwinannya dengan Khairul Fahmi kerana terikat dengan kursus perkahwinan di Kelantan. Sampai seru Kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan tanpa Apex yang perlu melunaskan tanggungjawab membantu negara pada Piala Suzuki AFF 2012 yang sedang berlangsung ketika ini, Leuniey bersyukur kerana segala-galanya berjalan seperti yang dirancang. Dilamar Oktober lalu, biar tanpa majlis merisik dan bertunang malah tidak juga ditandai dengan sebentuk cincin di jari manis, bakal mempelai ini mengakui hanya berkumpul bersama kedua-dua belah keluarga untuk memberitahu tentang perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga. "Alhamdulillah... semuanya berjalan lancar. Tak sangka jodoh kami sampai awal..." kata Leuniey dalam tawa manjanya. Berbeza usia dua tahun - Leuniey, 21 dan Apex, 23 - kedua-duanya mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab dan komitmen besar mengurus perihal rumah tangga. Sudah sampai seru, begitulah kata kedua-duanya dan paling penting, masing-masing juga amat bersyukur kerana perjalanan cinta mereka berlangsung tanpa banyak masalah. Malah dalam guraunya terhadap keputusan yang diambil untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung Disember ini, kata Khairul Fahmi. "ini desakan hati saya." "Jodoh itu rahsia Allah dan kita tidak tahu bila Dia nak bongkar. Bila rahsia dah dibongkarkan (yang) saya akan tamatkan zaman bujang tahun ini, saya sudah bersedia. "Saya yakin dengan hati dan keputusan saya. Keluarga juga sudah merestui. Bila jodoh sudah sampai. Kita nak mendirikan masjid, tak salah kalau cepat," tambahnya. Khairul Fahmi dan Leuniey bakal diijabkabulkan pada 28 Disember ini selain mengadakan tiga majlis resepsi masing-masing pada 30 Disember di sebelah perempuan; 5 Januari (sebelah lelaki) dan 13 Januari (resepsi di Kuala Lumpur). Leuniey juga memberitahu bahawa dia sudah bersedia bergelar isteri dan mengikut jejak langkah ibunya berkahwin muda. "Mama banyak memberi nasihat. Lagipun masa saya banyak dihabiskan di rumah. Saya bukan jenis suka keluar atau pergi bersuka ria, bercuti dan sebagainya. "Sepanjang masa saya bersama keluarga dan bila dah sampai seru... saya terima," katanya yang tetap akan menguruskan perniagaan butik pengantin selepas mendirikan rumah tangga kelak. Bakal tinggal bersama keluarga Apex yang hanya 30 minit dari rumah keluarganya selepas berkahwin, Leuniey juga mengakui ingin berbulan madu ke Switzerland. Namun perancangan itu hanya akan dibuat selepas bakal suaminya itu selesai menghadapi Piala Liga Super tahun depan. "Sekarang dia sibuk dengan Piala Suzuki AFF. Selepas kami berkahwin pula, dengan Liga Super. Mungkin selepas itu baru kami akan merancang bulan madu," katanya yang tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata. Sibuk tetapi matang Mengahwini seorang bintang bola sepak yang terkenal dan selalu sibuk di padang, itu harga yang terpaksa dibayar oleh Leuniey. Namun tegasnya, perkara itu bukan satu masalah kerana dia amat memahami kerjaya bakal suaminya itu. "Kami ini dah biasa berjauhan. Kadang-kadang dekat dua bulan baru berjumpa. Bukan tak rindu... rindu... Tapi Alhamdulillah saya boleh menahan rasa itu. "Bukan juga tidak cemburu... adat bercinta tapi tidaklah keterlaluan. Hubungan ini terjalin atas kepercayaan. Dan lebih penting, saya memahami kariernya. Ini kerja dia. Dia cari rezeki dan itu periuk nasi dia. "Dia juga faham dengan kerja saya yang adakalanya sibuk menguruskan butik pengantin," katanya yang menganggap Khairul Fahmi kerana seorang yang matang, penyayang, menghormati orang dan sangat memahami. "Dia juga cool orangnya dan lucu. Saya senang bersamanya," tambah Leuniey. Khairul Fahmi sendiri memberitahu kematangan kekasihnya itu menyebabkan hatinya terpikat dengan gadis ini selain seorang yang amat memahami. Malah kedua-duanya mengakui bahawa persefahaman antara mereka terhadap kerjaya dan kehidupan banyak 'mengikat' dan memikat hati antara kedua-duanya. Leuniey juga mengakui dia sudah bersedia mengahwini 'orang popular' seperti Khairul Fahmi sejak pertama kali kenal dan menerima penjaga gol kebangsaan tersebut sebagai teman hidup malah akan sentiasa menyokong cinta hatinya itu. "Saya sematkan dalam hati, kena kuat untuk tempuh cabaran bersama. Insya-Allah... tiada masalah. Lagipun hubungan kami juga berasaskan restu orang tua. "Saya pun dah biasa sangat dengar orang cakap macam-macam... yang bukan-bukan. Tapi bila saya mengenali diri Apex, dia tidak pula seperti yang digembar-gemburkan," kata Leuniey yakin dan amat menyenangi sikap pandai mengambil hati yang dimiliki kekasihnya itu.

Apek Akui Leuniey Wanita Matang Untuk Jadi Calon Isteri

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berkata dia berasa yakin untuk memperisterikan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey kerana kematangan wanita itu. Apek, 23, berkata, tempoh perkenalan singkat antara mereka bukan penghalang kerana wanita berusia 21 tahun itu memahami dirinya. "Memang tempoh perkenalan kami singkat tetapi dia matang dan memahami diri saya dan karier bola sepak saya. "Jadual bola sepak saya padat dan tidak dapat selalu bersama tetapi dia memahami betapa penting karier saya. Itu yang buat saya tertarik," katanya. Apek ditemui pada majlis sidang media pengumuman perkahwinannya di Hotel Royale Bintang, di sini pada Rabu. Apek yang juga penjaga gol skuad Kelantan itu bakal menamatkan zaman bujangnya pada 28 Disember depan.
Upacara akad nikah mereka bakal berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan pada pukul 9 pagi. Ditanya mengenai tarikh dia melamar pengusaha butik pengantin dan andaman itu, Apek berkata, ia diadakan pada Oktober lalu menerusi majlis makan malam di antara kedua belah keluarga. "Saya tidak ingat tarikh tertentu bila saya melamar Leuniey. Ia berlangsung secara santai pada Oktober lalu ketika kedua belah keluarga makan malam. "Tiada majlis pun cuma makan malam di kalangan keluarga sahaja," katanya. Majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember depan dengan konsep Melayu kontemporari. Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013. Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara di sini.

Apek & Leuniey Nikah 28 Disember, Anjur Tiga Majlis Resepsi

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek menamatkan teka teki tarikh perkahwinannya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey apabila memilih 28 Disember depan untuk bergelar suami isteri. Upacara akad nikah Apek, 23, dan Leuniey, 22, bakal berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan pada pukul 9 pagi. Majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember depan dengan konsep Melayu kontemporari. Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013. Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara di sini. Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini. Berita gembira itu diumumkan Apek pada satu majlis sidang media yang diadakan di Hotel Royale Bintang, di sini kira-kira pukul 1 petang, Rabu.

Leuniey Bersedia Ditinggalkan Khairul Fahmi Lepas Kahwin

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek awal-awal lagi menjelaskan tidak mungkin dapat memberi tumpuan kepada bakal isterinya iaitu Leuniey selepas mereka berumah tangga yang di jadual pada Disember depan. Apek, 23, berkata, perkara itu disebabkan kesibukannya sebagai pemain pasukan kebangsaan dan negeri Kelantan yang menuntutnya untuk meluangkan banyak masa di padang. “Apabila berkahwin, mungkin saya tidak dapat memberi sepenuh masa saya kepada Leuniey dan keluarga kerana masa saya diluangkan dalam pasukan yang diwakili,” katanya kepada majalah Nona keluaran terbaharu. Kedua-dua pasangan tersebut menjadi penghias muka hadapan majalah itu bagi keluaran Disember. Tambah Apek, disebabkan faktor tersebut, penting baginya untuk mencari isteri yang benar-benar memahami dan keputusan mengahwini Leuniey adalah satu tindakan yang tepat. Katanya wanita berusia 21 tahun itu seorang yang memahami kariernya sebagai pemain bola sepak selain berfikiran matang. “Saya mencari wanita yang memahami kerjaya saya kerana ruang waktu saya yang terhad. Di mata saya Leuniey adalah wanita yang cukup sempurna,” katanya. Semenara itu Leuniey pula berkata, dia tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana dalam tempoh perkenalan yang dijalinkan, mereka juga jarang bertemu. Bagaimanapun sebagai wanita dia tidak menafikan mempunyai perasaan cemburu dan menjadikan kepercayaan di antara satu sama lain bagi menghilangkan perasaan tersebut. “Saya tidak ada masalah untuk ditinggalkan kerana sekarang pun Fahmi tidak selalu berada di sisi saya. Apa-apa pun hubungan ini bersandarkan kepada kepercayaan terhadap diri masing-masing,” katanya. Dalam perkembangan lain Apek akan mengadakan sidang media pada Rabu ini bagi mengumumkan tarikh sebenar pernikahannya dengan Leuniey yang masih menjadi teka teki. Majlis berkenaan akan diadakan di The Royale Hotel, Damansara dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Apek Serah Persiapan Perkahwinan Kepada Pengurus

KUALA LUMPUR: Penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) terpaksa menyerahkan soal persiapan perkahwinannya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey) Disember depan kepada pengurusnya. Ini semua gara-gara persiapan yang lebih penting yang perlu diberikan keutamaan iaitu Piala AFF Suzuki. Apek, 23, yang kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah memberikan tumpuan kepada persiapan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember ini. "Saya tidak mahu fikir apa-apa (tentang persiapan perkahwinan) buat masa ini. Fokus saya adalah bola (persiapan Piala AFF Suzuki). Perkara lain (perkahwinan) diuruskan pengurus saya. "Tunggu nanti, saya akan umumkan pada sidang media. Selepas Piala AFF baru saya boleh fikir mengenai perkahwinan," katanya secara ringkas kepada mStar Online. Penjaga gol skuad Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail' di sini, baru-baru ini. Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini. Ditanya mengenai hasrat berkahwin pada usia muda, Apek berkata, jodoh adalah ketentuan Allah. "Urusan jodoh adalah rahsia dan ketetapan Allah. Jika sudah ditentukan saya bertemu jodoh pada usia muda takkan saya hendak lawan atau tolak takdir? "Apa pun, saya kena bersedia untuk menjadi suami," katanya yang mengakui mula menyesuaikan diri dengan tekanan kontroversi dan buruan media. Sementara itu, Leuniey pula berkata, sebagai pihak perempuan dia lebih selesa berdiam diri dan menyerahkan soal jawab berhubung majlis perkahwinan itu kepada Apek. "Saya tidak boleh beri apa-apa komen. Kurang manis sebab saya perempuan, biarlah Apek umumkan pada sidang media nanti. "Alhamdulillah persiapan ke arah itu (perkahwinan) berjalan lancar secara ringkas tetapi lengkap," katanya. Mengenai keputusan untuk bersuamikan Apek yang baru dikenalinya, Leuniey berkata, usia dan tempoh perkenalan tidak menjadi isu kerana kematangan seseorang yang lebih utama. "Dia (Apek) matang daripada usianya. Dia faham kesibukan saya sebagai usahawan dan tidak pernah memaksa atau mencari di mana saya berada ketika bekerja. "Pendek kata, kepercayaan antara kami yang memberikan keyakinan untuk saya menerimanya. Lagi pun, dia seorang lelaki yang menghormati ibu bapa dan keluarga saya," katanya. Sebelum ini, akhbar melaporkan bapa Apek iaitu Che Mat Hussain berkata, pasangan itu dijangka melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Disember depan atau Januari 2013.

Doakan yang terbaik untuk kami - Apek

KOTA BHARU 3 Okt. - “Doakan yang terbaik untuk kami." Itu luahan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengenai hubungan cintanya dengan pemilik butik dan model, Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey. Dia yang lebih dikenali dengan Apek berkata, pada masa ini mereka masih belum merancang menamatkan zaman bujang kerana masing-masing mahu menumpukan kepada kerjaya. “Insya-Allah bila sampai masanya nanti saya akan beritahu kepada semua. Jodoh pertemuan di tangan Allah, itu rahsia Allah dan bukan rahsia saya. “Memang benar kami tidak mempunyai apa-apa hubungan ketika gosip mengenai kami berdua sedang hangat diperkatakan awal tahun ini, kami hanya kenal dan berkawan biasa, tidak lebih daripada itu. “Hubungan kami bertambah erat ketika sama-sama terlibat dalam iklan Simply Sity, dari situ kami semakin rapat sehingga wujud hubungan istimewa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, Leuniey yang juga pemilik sebuah butik tidak menafikan hubungannya dengan Khairul Fahmi, namun menjelaskan dia sudah ‘letih’ dengan publisiti yang diterima. Gadis jelita tersebut menjelaskan bahawa apa-apa hubungan yang wujud antara dia dengan Khairul Fahmi sepatutnya menjadi privasinya dan tidak disiarkan media. Pada 6 Februari lalu, Leuniey dalam satu sidang akhbar menafikan mempunyai hubungan dengan penjaga gol nombor satu negara itu. Khairul Fahmi berkata, dia memohon jasa baik semua pihak supaya tidak menggembar-gemburkan hubungannya dengan Leuniey. “Terpulang kepada semua untuk menilai hubungan kami, itu hak masing-masing, saya tidak boleh menutup mulut orang, cuma saya akan mengambil kritikan itu memperbaiki diri dan menguatkan semangat dalam kerjaya serta hubungan ini. “Kami seperti manusia biasa yang mempunyai perasaan dan saya berharap selepas ini fokus media hanya pada kerjaya saya dan bukannya isu peribadi," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121004/hi_06/Doakan-yang-terbaik-untuk-kami---Apek#ixzz28KIxdp6o © Utusan Melayu (M) Bhd

Khairul Fahmi Akui Leuniey Bukan Teman Biasa

Khairul Fahmi Akui Leuniey Bukan Teman Biasa: Penjaga gol Malaysia , Khairul Fahmi Che Mat mengakui hubungannya dengan Leuniey bukan sekadar teman biasa. Menurut Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek, dia memberitahu bahawa hubungannya dengan Leuniey kini berada dalam fasa mengenali antara satu sama lain. Khairul Fahmi berkata sedemikian sebagai respon terhadap usikan salah sebuah laman hiburan terkenal melalui artikel bertajuk Foto Mesra Khairul Fahmi & Leuniey. Bakal Bertunang?’ yang dipaparkan pada hari Jumaat lalu. Melalui laporan akbar Metro, Khairul Fahmi mengatakan gosip mengenai pertunangan itu adalah tidak benar, namun apa yang penting baginya, Leuniey kini bukan sekadar kawan biasa. Dalam pada itu, Leuniey turut berkata, “Saya tahu gambar saya dan Apek dipaparkan di sebuah blog. Saya rasa itu perkara biasa. Ia sekadar gambar. Pada sekitar pertengahan tahun ini, Khairul Fahmi dan Leuniey sudah mula memberikan respon tentang hubungan istimewa mereka dengan berkongsikan foto cincin melalui laman instagram.

Peminat teruja bertemu Apex

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah realiti yang berlaku kepada si penjaga gol idaman 'ceweks' Malaya. Siapa lagi kalau bukan Khairul Fahmi Che Mat atau nama glamor Apex. Baru-baru ini, 40 peminatnya sanggup hadir dari seluruh negara semata-mata mahu bertentang mata dan menemani Apex berbuka puasa dalam majlis tajaan stesen radio Era dan pelancaran Wajah Baru BrylCreem. Dalam majlis tersebut Apex diumumkan sebagai duta terbaru produk penggayaan rambut itu. Turut hadir penyampai radio Era, Ira, Dina, Ray dan Haniff bagi memeriahkan majlis yang diadakan di Hotel One World, Damansara. Bagaimanapun, penangan jejaka Kelate ini lebih beraura dan ramai betul peminat Apex rupanya. Patutlah follower Apex dalam Twitter pun sudah mencecah 120,000. Sebagai personaliti sukan popular, maka tak hairanlah namanya terpilih sebagai duta beberapa produk seperti Mister Potato, Maxis dan Puma. Malah Apex pernah dilantik menjadi model iklan produk SimplySiti. Terbaru, wajahnya keluar dalam iklan komersial minuman isotonik 100 Plus dan kini dilantik pula sebagai wajah baru BrylCreem secara sah. Syabas .com ucapkan buat penjaga gol skuad kebangsaan ini kerana terpilih menjadi wajah kepada produk penjagaan rambut terkenal. - SYAHRIL/SHAHRIL AZMAN ZAIN APA KATA PEMINAT: "SAYA minat Apex sejak dia menyertai pasukan bola sepak kebangsaan. Walaupun saya orang Johor, namun ia tidak menghalang saya meminati penjaga gol pasukan Kelantan Red Warrior sejak dua tahun lepas." AHMAD RASHID AHMAD FAIZAL, 14. "SEJAK kemunculan Khairul Fahmi, nama pasukan Malaysia semakin melonjak dan lebih terkenal. Bagi saya, Apex merupakan penjaga gol paling best dan kacak." NORHAFIZA AZNI, 22. "SAYA minat dengan Khairul Fahmi kerana bukan sahaja penampilannya bergaya tetapi prestasinya juga amat baik ketika beraksi atas padang." MOHD. FARID AHMAD, 24. "SAYA jadikan Khairul Fahmi sebagai idola dalam bidang sukan. Selain itu, saya juga ada mengumpul barangan seperti poster Apex dan selalu mengikuti perkembangannya yang terkini."

'Atlet Negara Perlu Jaga Penampilan' – Khairul Fahmi

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) meminta para atlit negara supaya menjaga penampilan diri walaupun ketika berada di gelanggang perlawanan kerana ia juga mampu meningkatkan imej negara. Apek, 23, berkata, memandang para atlit kini dilihat sebagai selebriti dan juga idola masyarakat, penjagaan diri amat penting kerana ia dapat menonjolkan imej positif ke mata umum seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan atlit luar negara. "Pada pendapat saya, masyarakat sudah mula melihat atlit negara kita terutamanya mereka yang terlibat dalam sukan bola sepak sebagai idola. Jika selebriti sukan ini menjaga penampilan masing-masing, tentu sahajalah akan sedap mata memandang. "Malah, saya percaya penampilan yang menarik juga mampu memberi semangat dan keyakinan untuk seseorang itu beraksi dalam perlawanan," katanya selepas diumumkan menjadi duta produk lelaki jenama Brylcreem di Hotel One World, di sini, Selasa.
Tambah Apek, ikon pemain bola sepak seperti David Beckham juga memberikan inspirasi buatnya dalam penggayaan rambut serta fesyen pakaian. Sementara itu, pemilihan Apek sebagai duta gel rambut Brylcreem benar-benar menggembirakan memandang sejak dahulu lagi, dia sering menggunakan produk itu sebelum beraksi di padang. "Jujur saya katakan, sudah lama saya memakai jenama Brylcreem dan tak sangka pula kini saya menjadi duta kepada produk ini. "Saya teruja kerana diberi peluang seperti ini, lebih-lebih lagi dapat menyertai barisan bintang sukan lain terutamanya David Beckham untuk mewakili Brylcreem di Malaysia," tuturnya. Sementara itu Pengurus Pemasaran Bahagian Rambut Malaysia dan Singapura, Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Ashlee Ng berkata, pemilihan Apek amat sesuai dengan keinginan Brylcreem di mana Apek memiliki gaya dan pesona tersendiri dalam penampilan imejnya. "Dia memiliki keterampilan diri yang hebat ketika beraksi di padang dan mempunyai semangat yang tidak mudah mengaku kalah. "Kerana ciri-ciri itu, pihak kami melihat Apek layak dijadikan ikon. Kami berbangga kerana mempunyai seorang individu berkaliber untuk mewakili produk ini," katanya.

Khairul Fahmi Elak Jadi Artis Walaupun Dapat Tawaran Berlakon


KUALA LUMPUR: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak mahu menyertai bidang hiburan sama ada sebagai pelakon mahupun pengacara walaupun pelbagai tawaran diterimanya.

Apek,23, berkata, dia tidak berminat untuk mendalami bidang tersebut namun tidak kisah seandainya diberi tawaran untuk menjadi model iklan.

"Saya bukannya artis dan tidak mahu jadi artis tetapi cukuplah sebagai seorang selebriti yang dikenali dalam bidang sukan.

"Lagipun ia bukanlah satu bidang yang saya minati melainkan jika saya diminta menjadi model iklan dan terlibat dengan aktiviti peragaan yang mana kerjanya hanya mengambil masa yang tidak terlalu lama," katanya sambil memberitahu pernah ditawarkan berlakon filem.

Tambah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dia tidak mahu gara-gara sibuk dengan kerja-kerja seni, fokusnya terhadap kerjaya sukan pula akan tersasar.

Dalam pada itu, ditanya adakah keengganannya menyertai bidang seni hiburan itu disebabkan dia risau muncul pula pelbagai kontroversi lain seperti yang dilaluinya sebelum ini, Khairul Fahmi mengakui tentang hal itu.

"Saya tak mahu hal peribadi menjadi perhatian yang lebih berbanding kerjaya. Oleh itu biarlah fokus saya terhadap sukan sahaja.

"Dan selebihnya, cara untuk mengelakkan kontroversi ialah saya lebih suka duduk di rumah jika ada masa terluang," ujarnya yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan Liga Super.

Kontroversi Apek mula tercetus selepas beliau yang juga penjaga gol terbaik Asia itu putus tunang dengan seorang penulis blog, Aimie Harmelia, apabila dikatakan cintanya sudah beralih kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Dahlia Teck.

Tidak lama kemudian, muncul pula satu lagi khabar angin mengatakan Apek mempunyai cinta baru dengan seorang pemilik butik bernama Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey). Namun wanita itu tampil menafikan ada hubungannya dengan Apek.

Terbaru, Apek dan Leuniey muncul menjadi model bagi iklan produk SimplySiti iaitu Eau De Parfum (EDP) yang baru sahaja dilancarkan.

“Saya Terfikir Untuk Bersara Awal” – Khairul Fahmi, Penjaga Gol Malaysia


Hidup sebagai selebriti benar-benar memberikan tekanan hebat kepada Khairul Fahmi Che Mat atau mesra dipanggil Apek oleh peminat-peminatnya.

Dihimpit dengan pelbagai kontroversi semenjak putus tunang dengan Elia, kemudian tersebarnya gambar Apek dan Dahlia Teck bercuti bersama di Singapura. Selepas itu, tersebar pula gambar Apek menyambut harijadi Dahlia Teck di Changkat dengan gambar yang mempunyai minuman keras. Tidak habis disitu, baru-baru ini timbul pula beberapa keping gambar mesra Apek dan Shida Harmi di beberapa buah laman hiburan tempatan yang semuanya terjadi sebelum Apek menghadapi perlawanan bolasepak penting.

Dikhabarkan dari sebuah blog tempatan, semua ini adalah konspirasi untuk menjatuhkan Khairul Fahmi yang cemerlang di peringkat antarabangsa dan banyak kali mengharumkan nama negara di mata dunia.

Disebabkan kontroversi yang melanda, Khairul Fahmi telah membuat kenyataan kepada sebuah akhbar online tempatan, HMetro, mengenai situasinya yang pernah terfikir untuk bersara awal dari arena bolasepak walaupun baru berumur 22 tahun.

“Apabila berdepan kontroversi seperti itu, saya terfikir (untuk bersara awal). Saya sedih sebab cerita-cerita peribadi yang tidak elok disebarkan menyebabkan maruah keluarga saya terjejas.

“Saya sayangkan keluarga. Setakat ini keluarga masih memberi kepercayaan dan memberi sokongan, tapi kalau perkara sebegini berterusan susahlah,” ujar Apek ketika ditemui.

Dia yang ditemui di majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 turut menjadi hero apabila berjaya menyelamatkan satu jaringan penalti ketika bertemu Indonesia di Sukan Sea Indonesia dan memberikan pingat emas buat kali kedua berturut-turut untuk Malaysia.

Untuk pengetahuan, Khairul Fahmi Che Mat juga berjaya merangkul Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali kedua selepas membantu Kelantan memenangi Liga Super pada musim lepas.

Penyebaran Terancang Gambar Khairul Fahmi Che Mat: Satu Konspirasi?


Apek dilihat bersama gadis lain: Khairul Fahmi Che Mat, 22, dikatakan dilihat bersama seorang gadis yang bukan tunangnya. Gadis itu dikatakan lebih cantik dan ‘hot’ dari tunangnya, Armie Harmelia atau Elia, 22, dan ini mula menimbulkan spekulasi orang ramai tentang status pertunangan mereka. Pada masa yang sama, Elia telah membuat satu entri di blognya, Jejari Runcing, tentang doa dan harapannya untuk seorang kekasih.

Gambar Dalia Teck tersebar: Gambar gadis yang dikatakan keluar dengan Khairul Fahmi mula tersebar. Beliau dikatakan bernama Dalia Teck (nama skrin twitter dan Facebook) dan merupakan seorang model berusia 18 tahun. Sebaik sahaja ini tersebar, Dalia terus menyahaktifkan akaun Twitter dan Facebooknya. Elia membuat kenyataan di Facebook peribadi yang Khairul Fahmi telah meninggikan suara pada ibunya.

Umum putus tunang: Khairul Fahmi membuat pengumuman yang pertunangannya sudah putus melalui Metro Ahad, selepas perlawanan perlawanan bolasepak dengan Singapura yang berakhir dengan Singapura memenangi perlawanan. Khairul Fahmi menyatakan dia ada hubungan dengan Dalia seperti abang dan adik tetapi Dalia bukan orang ketiga dalam perhubungan mereka. Dia berkata dia memutuskan pertunangan kerana merasakan itu adalah keputusan terbaik. Dia juga menyatakan yang dia hanya berbincang dengan ibu Elia dan tidak menengking seperti yang didakwa.

Elia tidak tahu: Elia menyatakan yang dia tidak tahu Khairul Fahmi ingin memutuskan pertunangan dan mendakwa tidak diberitahu oleh Khairul Fahmi. Beliau juga mendakwa Khairul fahmi mengelak untuk berjumpanya dan berkata dia mempunyai bukti ada orang ketiga dalam perhubungan mereka.

Kenyataan bekas teman lelaki Elia: Seorang lelaki yang mengaku dia adalah bekas teman lelaki Elia telah muncul memberikan komen di Forum Cari yang dia tidak terkejut dengan keputusan Khairul Fahmi dan berkata dia berharap Elia akan berubah ke arah manusia yang lebih baik. Kesahihan cerita lelaki ini, yang dikatakan akan menyambung pelajaran peringkat PhD ke Universiti Princeton, Amerika Syarikat, tidak dapat dipastikan.

Apek dihantar gadis misteri: Khairul Fahmi dilihat dihantar oleh seorang gadis yang mempunyai susuk tubuh seperti Dalia Teck untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

Apek minta maaf: Khairul Fahmi meminta maaf kepada orang ramai melalui Murai, berkata dia tidak dapat menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku dan menafikan dia adalah seorang ‘kaki perempuan’. Dia berkata keluarganya akan memulangkan cincin pertunangan kepada Elia secara rasmi dalam masa terdekat. Dia juga mendakwa sudah memberitahu Elia akan keputusan untuk memutuskan pertunangan tetapi Elia tidak memberi reaksi.

Gambar Khairul Fahmi dan Dalia diSingapura disebarkan oleh individu tertentu ke OhBulan! Ini menimbulkan pelbagai reaksi dari orang ramai.

Refleksi gadis di kaca mata hitam Apek: Seorang bernama Nureen menghantar e-mel memberitahu kepada BeautifulNara yang dia merupakan seorang pekerja Palace Of The Golden Horses. Dia turut mendakwa nama Khairul Fahmi tersenarai dalam senarai penginap hotel pada 17 Julai 2011, selepas perlawanan dengan pasukan Arsenal dan sebelum perlawanan menentang Liverpool. Beliau turut menghantar satu gambar di mana terdapat refleksi seorang gadis mengambil gambar di bilik hotel pada kaca mata Khairul Fahmi.

Kemunculan Shida Harmi: Seorang gadis bernama Shida Harmi dikatakan mendedahkan dia mempunyai hubungan dengan Khairul Fahmi sebelum ini. Sebaik saja berita ini tersebar, Shida Harmi (yang juga aktif membuat kenyataan tentang Khairul Fahmi sebelum ini melalui Twitter) telah menyahaktifkan akaun Twitternya. Gambar Khairul Fahmi berkaca mata hitam ini dikatakan sesetengah pihak berasal dari telefon bimbitnya.

Pertolongan Tengku Mahkota Pahang: Khairul Fahmi dikatakan sedang berada di Slovakia dan Harian Metro hari ini melaporkan yang Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk membantu Khairul Fahmi meyelesaikan masalah beliau tentang putus tunang ini sekiranya Khairul Fahmi berjumpanya.

Pengakuan Dalia tentang hubungan dengan Khairul Fahmi Che Mat. Dalia mengesahkan yang mereka sedang bercinta dengan persetujuan Khairul Fahmi.

Isu ini sejuk seketika, bagaimanapun isu ini hangat kembali apabila gambar-gambar Khairul Fahmi Che Mat dengan kekasihnya Dalia sedang menyambut hari lahir di sebuah restoran Itali di Bukit Bintang dihantar oleh individu tertentu ke BeautifulNara. Disebabkan terdapat gambar arak di meja, Kharul Fahmi menerima pelbagai kritikan, walau pun begitu dia menafikan dia telah minum arak. Nur Dalia yang dihubungi oleh pihak kami juga mendakwa dia tidak minum, sebaliknya hanya menyambut hari lahir di sana. Seorang saksi juga telah muncul memberitahu kami dia ada di restoran itu sewaktu sambutan hari lahir Dalia dan mengakui Khairul Fahmi tidak minum arak. Beri perhatian yang gambar-gambar ini dihantar pada masa Khairul Fahmi sedang membuat persiapan dan menumpukan konsentrasi pada Sukan SEA. Penghantar gambar meminta untuk dirahsiakan, dan carian kami mendapati tiada keputusan carian di Google melalui e-mel tersebut. Kami menyimpulkan yang e-mel ini memang direka untuk menghantar gambar-gambar tersebut dengan tujuan tertentu. Pasukan Malaysia, walau bagaimanapun berjaya meraih Pingat emas Sukan SEA, dan Khairul Fahmi adalah antara penyumbang kejayaan tersebut.

Khairul Fahmi Che Mat dikatakan telah menghubungi bekas tunangnya untuk meminta bantuan berkenaan penyebaran gambar sambutan hari lahir Dalia, tetapi ini dinafikan oleh Khairul Fahmi yang mendakwa dia hanya menghubungi ibu bapa dan kekasihnya sebelum ke Indonesia. Menyifatkan gosip baru itu sebagai tuduhan tak berasas, Khairul Fahmi turut membuat kenyataan tentang pihak yang hendak membuatnya jatuh dan tidak gembira, tetapi dia juga berkata dia tak akan mempedulikan semua itu. Dia turut meminta orang ramai agar berhenti memperkatakan tentang kisah peribadinya kerana fokus yang lebih penting ialah tugasnya sebagai pemain kebangsaan yang berusaha membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011

Menjelang perlawanan penentuan kelayakan Pra-Olimpik, gambar-gambar mesra Khairul Fahmi dengan Shida Harmi telah disebarkan ke Rotikaya. Carian melalui Google menunjukkan e-mel tersebut juga tiada keputusan carian, memberi kesimpulan ia memang direka untuk menyebarkan gambar tersebut. Khairul Fahmi dan Shida Harmi bagaimanapun telah tampil mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini, menyatakan mereka hanya bergambar dan bukti cakupan skrin SMS tentang mereka pernah ‘tidur bersama’ telah dipalsukan. Shida Harmi juga telah mengeluarkan kenyataan di Harian Metro hari ini dan berkata dia akan berkahwin dua minggu lagi dan akan mengambil tindakan undang-undang untuk mengelakkan perkara ini berlarutan.

Persoalan yang berbangkit di sini ialah:-

1) Penyebaran gambar yang memang dikumpul oleh seseorang individu/individu-individu dengan tujuan yang sama.

2) Penyebaran yang dilakukan sebelum perlawanan-perlawanan bola sepak yang penting.

3) Terdapat individu-individu yang sememangnya menyimpan gambar-gambar dan menunggu masa yang sesuai untuk diedarkan, dan disebabkan ia disebarkan sebelum perlawanan-perlawanan penting, kami menyimpulkan ia disebarkan untuk mengganggu konsentrasi Khairul Fahmi.

Pada Khairul Fahmi, kami nasihatkan, berhati-hati dan muhasabah diri. Sememangnya ada insan di luar sana yang ingin melihat anda jatuh, dan masih belum terlewat untuk berubah ke arah lebih baik. Walaupun anda bukan artis, tetapi anda tetap seorang selebriti, dan kisah peribadi anda akan menjadi perhatian orang ramai. Semoga anda akan menjadi insan dan ahli sukan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tunjuklah Kalau Betul Ada Bukti” – Khairul Fahmi Respon Isu Skandal Shida Harmi


Selepas nama Dahlia Teck menjadi sebutan ramai, hari ini, peminat bola tempatan sekali lagi digegarkan dengan cerita panas mengenai penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat berkenaan skandal seorang wanita yang dikenali sebagai Shida Harmi. Identiti wanita ini yang merupakan watak baru dalam kehidupan peribadi Khairul Fahmi atau nama samaran Apek ini diertikan sebagai salah satu cubaan pihak di luar sana yang ingin menjatuhkan reputasi serta fokusnya di atas padang kelak. Ini turut diperakui oleh Khairul Fahmi ketika ditemubual oleh OHBULAN!, lewat tengah hari tadi.

“Saya memang mengenali Shida Harmi. Dia bukannya skandal seperti yang diperkatakan oleh orang lain, sebaliknya dia hanya kawan biasa. Saya mengenali Shida sekitar awal tahun ini, kalau tak silap bulan March. Ketika itu, saya masih belum bertunang lagi. Gambar itu pula diambil semasa kami karaoke,” jelas Khairul Fahmi memulakan wawancara.

“Saya tak pasti macam mana gambar ini boleh sampai ke pihak media. Tapi, saya tak rasa Shida sengaja buat macam ni, nak syak sesiapa pun tak boleh. Saya perlu hubungi dia terlebih dahulu sebab nak siasat dengan lebih jelas. Berkenaan nama-nama yang disebut dalam Blackberry Messenger (BBM), jujurnya saya tak kenal akan nama Nadzim. Bagaimanapun, Erin adalah nama kakak kepada Elia, bekas tunang saya dulu,” ujar pemain pasukan Harimau Muda ini yang berjaya mengalahkan Indonesia di Sukan Sea, Isnin lepas.

Khairul Fahmi juga mencabar pihak yang menyebarkan kandungan mesej berbaur ugutan (screenshot di atas) ini agar tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kukuh.

“Andai kata dakwaan tersebut adalah betul, sila tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kukuh,” tegas Khairul Fahmi.

Pemain muda ini turut kesal dengan sikap sesetengah orang yang cuba menjatuhkan nama serta reputasinya yang kini sedang memuncak. Bagaimanapun, dia menjanjikan persembahan yang terbaik agar semangat Harimau Muda sentiasa tersemat di kalangan peminat bola sepak tanah air.

“Saya kesal apabila diri ini kerap dikaitkan dengan pelbagai kontroversi yang tidak henti-henti. Sesetengah orang di luar sana tidak henti-henti mencari kesalahan saya. Kalau cerita seperti ini keluar, memang tak menang tangan saya nak jawab panggilan telefon. Apa pun, saya perlu fokus kepada perlawanan akan datang. Game makin dekat ni!” kata Khairul Fahmi yang ingin menumpukan perhatian di atas padang demi maruah negara.

Dedah Aksi Mesra Bersama Khairul Fahmi, Apakah Motif Shida Harmi?


Awal malam tadi, kami menerima satu e-mail dari satu alamat yang di’ragui mengandungi gambar gambar yang bakal anda lihat selepas ini.

Jika anda masih ingat, sekitar Ogos 2011 yang lalu ketika Malaysia sedang hangat kisah tunang Khairul Fahmi Che Mat & Elia, ada satu watak sampingan bernama Shida Harmi.

Kami amat pasti penghantar e-mail yang kami (dan beberapa rakan media lain) terima ini merupakan kenalan rapat atau mungkin Shida Harmi sendiri.

Dan, kami sedikit ragu dengan motif sebenar pendedahan ini ketika Khairul Fahmi kembali ke puncak sanjungan peminat selepas kejayaan demi kejayaan yang tidak sedikit pun terganggu dek gossip.

Set gambar yang kami terima turut mengandungi dua screenshot Blackberry Messenger (BBM) yang kami percaya perbualan antara Khairul Fahmi & Shida Harmi sendiri sekitar Ogos 2011 yang lalu.






[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails