Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Marsha Milan Londoh. Show all posts
Showing posts with label Marsha Milan Londoh. Show all posts
Ramai Sangka Marsha Bakal Kahwin Hujung Tahun
Penyanyi Marsha Milan Londoh berkata ramai yang menganggap dia bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini memandangkan dia pernah meluahkan hasrat untuk menamatkan zaman bujang pada usianya 30 tahun.
Marsha, 30, bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu sekadar sasaran namun sehingga kini, dia mahupun pasangannya masih belum memutuskan untuk mempunyai sebarang komitmen.
"Saya rasa orang ramai keliru kerana sebelum ini saya pernah meluahkan hasrat mahu berkahwin pada usia 30 tahun. Dan tinggal beberapa bulan saja lagi, maka ada yang beranggapan saya bakal kahwin hujung bulan ini.
"Tetapi setakat ini saya dan pasangan belum berbincang untuk ke arah itu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Marsha diminta mengulas mengenai ura-ura dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Disember ini.
Bagaimanapun tambah Marsha, dia tiada halangan untuk berkahwin pada bila-bila masa sekiranya dia dan kekasih bersedia untuk mendirikan rumah tangga nanti.
"Bila tiba masa 'perangai gila' kami muncul, bila-bila masa saja kami akan kahwin," selorohnya.
Dalam pada itu, Marsha juga dapat merasakan berita pertunangan Stacy dengan Akim Ahmad pada Sabtu lalu sedikit sebanyak memberi tempias dia yang juga selebriti kelahiran Sabah bakal mengikut jejak pasangan berkenaan.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Marsha sibuk mempromosikan filem lakonannya Jwanita yang kini masih lagi ditayangkan di pawagam.
"Sekarang ini memang saya sibuk mempromosikan Jwanita. Saya bersyukur filem ini mendapat respons yang sangat baik.
"Pada masa sama saya juga sedang mempromosikan lagu Kutinggalkan Cinta dan ia sudah mula dimainkan di radio-radio tempatan," ujarnya.
Selain itu, Marsha juga turut memberi tumpuan pada perniagaannya iaitu Marsha Milans.
Stacy Dapatkan Nasihat Marsha Sebelum Peluk Islam
Pelakon Marsha Milan Londoh mendedahkan penyanyi Stacy pernah berjumpanya untuk meminta pandangan berhubung hasrat dia untuk memeluk Islam baru-baru ini.
Marsha, 30, berkata, ketika itu dia menasihatkan Stacy agar berfikir secara mendalam selain berpegang teguh kepada keputusan yang dibuatnya.
"Saya mengetahui hasrat Stacy untuk memeluk agama Islam sebelum ini lagi dan saya nasihatkan dia berfikir secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan.
"Nasihat saya itu bukan hanya sekadar sebagai seorang teman artis tetapi telah menganggap Stacy sebagai adik sendiri," katanya kepada mStar Online.
Marsha ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jwanita yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) Nu Sentral di sini pada malam Selasa lalu.
Selain Marsha filem arahan Osman Ali itu turut dibintangi oleh Maya Karin, Bron Palarae, Cristina Suzanne dan Datin Seri Umie Aida. Ia bakal berada di pawagam pada 24 September ini.
Dalam pada itu, Marsha berkata, dia gembira apabila mengetahui Stacy sudah pun memeluk Islam dan berharap wanita itu akan menemui ketenangan dalam hidupnya.
Malah Marsha turut meminta agar semua pihak memberi ruang kepada Stacy untuk lebih mendalami agama Islam dan tidak segera menjatuhkan hukuman.
"Apabila mengetahui dia sudah pun bergelar seorang Muslimah saya gembira kerana Stacy berjaya mencari dirinya dalam keadaan aman dan tenang", jelasnya.
Terdahulu, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam memeluk Islam di Pejabat Agama Islam, Johor Baru, Johor pada 24 Ogos lalu.
Selain ibu dan bapanya, semasa lafaz syahadah dilakukan Stacy, dia turut ditemani ibu-bapa kepada kekasihnya iaitu Akim Ahmad.
Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai peranannya dalam Jwanita, Marsha berkata, lakonannya dalam filem itu adalah paling mencabar setakat ini.
Jelas Marsha, hampir kesemua lagak ngeri melibatkannya dilakukan sendiri biarpun disediakan stunt man di lokasi penggambaran.
"Saya ingin mencabar diri saya melakukan sesuatu yang baharu dan biarpun mengalami lebam-lebam di seluruh badan tetapi saya puas.
"Watak Nona sangat mencabar kerana banyak babak dirasuk yang memerlukan pelakon lagak ngeri tetapi saya mengambil keputusan untuk lakukan sendiri.
"Ia memberikan kepuasan berbeza kepada saya ditambah dengan bimbingan daripada pengarah," ujarnya.
Marsha Geram, Sedih Individu Dera Haiwan
Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh meluahkan rasa geram terhadap segelintir individu yang tidak berhati perut mendera haiwan jalanan seperti kucing dan anjing.
Marsha, 30, berkata, individu yang bertindak sedemikian selayaknya dihukum oleh pihak berkuasa agar perkara sedemikian tidak berulang lagi.
"Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak pula berita-berita mengenai binatang jalanan didera. Peliknya, yang menjadi peliharaan pun menjadi mangsa dera.
"Terbaru, saya mendapat tahu terdapat seekor anjing disiram air panas oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Bagi saya, mereka sangat melampau. Saya harap golongan yang tidak berperikemanusiaan ini menerima hukuman yang setimpal," ujanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Marsha berkata, dia juga seorang yag mudah mengalirkan air mata apabila mendengar berita kematian kucing atau anjing.
"Kalau nak tahu, air mata saya mudah berguguran jika mendapat khabar berita mengenai kematian dua jenis binatang peliharaan itu.
"Mungkin kerana saya terlalu meyayangi mereka membuatkan hati mudah tersentuh apabila mendengar berita kematian kucing," tuturnya.
Marsha Ada Cara Elak Jadi 'Jerat' Suami Orang
Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui menyiasat status teman lelakinya terlebih dahulu sebelum menerimanya sebagai kekasih.
Marsha, 30, berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu terjerat dalam percintaan dengan suami orang yang pada akhirnya akan memakan dirinya kembali.
"Saya tidak berhasrat untuk merosakkan hubungan sesiapa dan sebab itu saya siasat terlebih dahulu status sebenar teman lelaki sebelum menerimanya.
"Pada saya ia amat penting kerana saya mahu mengelakkan sebarang masalah lain timbul di kemudian hari selain tidak mahu menyakiti hati wanita lain," katanya kepada mStar Online.
Bercakap lanjut mengenai hubungannya dengan lelaki berkenaan, Marsha berkata, mereka sudah mengenali hati budi masing-masing selama dua tahun malah telah berjumpa dengan keluarga masing-masing.
Dedah Marsha, lelaki berkenaan beragama Islam namun dia masih belum bersedia untuk bercakap soal perkahwinan buat masa ini.
"Syukur hubungan kami mendapat restu keluarga tetapi pada masa sama masih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil keputusan berkahwin.
"Bagaimanapun saya selesa berkawan dengannya kerana bukan senang untuk berjumpa seseorang yang memahami saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Marsha berkata, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia juga kini sedang memberi fokus kepada bidang perniagaan iaitu Marsha Milans.
Jelasnya, jenama berkenaan memfokuskan kepada aksesori wanita dan buat permulaan dia memperkenalkan koleksi 'headbands' yang menggunakan corak batik.
"Saya fikir masih tidak ramai yang tampil dengan koleksi aksesori dan saya pula memang gemar memakai headbands jadi saya ambil peluang ini untuk mengetengahkan idea tersebut.
"Menariknya fabrik yang saya gunakan adalah daripada batik yang sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri.
"Selepas sambutan hari raya mungkin saya akan buat pelancaran secara kecil-kecilan untuk memperkenalkan Marsha Milans kepada peminat," jelasnya.
Kongsi kisah putus cinta dalam lagu - Marsha
MARSHA Milan Londoh tidak pernah merasakan setiap perincian kisah peribadinya sebagai penghalang untuk dia berfikiran optimis.
Sedar dunia artis menuntut banyak sisi kesabaran, Marsha bagaikan sudah kalis dikecam atau dikritik.
"Saya sedar sensitiviti umum. Apabila ada yang dirasakan tidak kena pasti perkara itu diperkatakan. Sebagai pelakon, saya kena terima pandangan umum dengan rasional," katanya menyentuh isu adegan ranjang bersama pelakon berkaliber, Wan Hanafi Su dalam filem Laga yang hangat dibualkan baru-baru ini.
Isu itu timbul apabila syarikat penerbit iaitu Business Leader Film Production (M) Sdn. Bhd. melalui treler Laga, menampilkan Marsha dalam keadaan yang mengghairahkan dengan hanya berkemban.
Filem yang menjalani pengambaran sekitar Taiping, Perak itu menampilkan Marsha sebagai pelakon utama dan turut disertai oleh Nasir Bilal Khan, Eman Manan dan beberapa nama besar yang lain.
Membiarkan isu itu reda sementelah filem berkisar laga ayam itu masih belum ditetapkan tarikh tayangan, selebriti dari Sabah itu yakin pihak pengarah dan penerbit mempunyai alasan tertentu untuk memasukkan adegan asmara ke dalam filem berkenaan.
"Lama-lama isu itu akan reda sendiri, tunggu filem keluar barulah penilaian sebenar boleh dibuat. Sekarang fokus saya kepada single terbaharu, Jujur Bilang Cinta yang sudah lancarkan. Saya mahu dilihat sebagai penyanyi yang serius walaupun banyak terlibat dengan produksi drama dan filem. Menyanyi tetap keutamaan dalam karier seni saya," katanya yang bakal masuk studio untuk rakaman Propaganza dan drama bersama Michael Ang, Ku Kejar Bintang dalam masa terdekat.
8 Tahun Jadi Artis Buat Marsha Milan Lebih Matang
Marsha mahu jumpa Fathia
Populariti tiket jadi pelakon - Marsha
DI Malaysia ini, sesiapa saja boleh jadi pelakon. Budak kecil umur lima tahun pun boleh. Sebabnya bidang ini tak ada kriteria kelayakan asalkan cantik. Jadi, tak payah juga beriya-iya masuk akademi seni lakonan untuk menjadi pelakon. Sebabnya yang jadi pelakon kebanyakannya ikut jalan pintas berbekalkan wajah dan populariti.
Apa yang penting, tawaran berlakon itu kencang. Dalam satu masa, boleh ada dua atau tiga peluang berlakon. Soal watak tak payah nak pening-peningkan kepala. Nanti sampai set penggambaran barulah fikir. Lagi pun, kan ada pengarah. Tugas fikirkan watak macam mana itu biarlah pengarah fikir. Kalau dia pengarah yang bagus, dia tak ambil segala "kayu" itu berlakon.
Pengarah kononnya adalah tempat pelakon menuntut ilmu berlakon dengan baik. Padahal memilih orang tak boleh berlakon bukan kriteria pengarah yang baik.
Maknanya semakin banyak pelakon itu berlakon, semakin hebat populariti seseorang pelakon. Pengalaman berlakon bertahun-tahun jarang jadi penyumbang sebab mereka pakai hentam saja. Berlakonlah sepuluh tahun sekalipun, tak ada peningkatan.
Itulah fenomena hari ini di mana individu yang tak ada kena mengena dalam bidang lakonan boleh jadi pelakon. Kalau orang itu glamor dalam bidang lain senanglah nak jadi pelakon. Jangan hairanlah kalau pemain bola sepak diambil jadi pelakon selepas tukang masak jadi pelakon.
Atas alasan itu juga, bilangan pelakon tak ada asas lakonan di Malaysia ini bertambah dan semakin bercambah dari hari ke hari macam cendawan tumbuh selepas hujan.
Realitinya, kita tak perlukan mana-mana selebriti seperti di atas itu jadi pelakon sepenuh masa. Itu dah masuk kes tangkap muat dan boleh mendajal pelakon sedia ada.
Kita juga tak boleh senang-senang bagi orang yang tak ada latar belakang seni berlakon. Kalau setakat artis jemputan buat penampilan istimewa tak apalah, ini siap bagi watak utama. Itu belum lagi masuk bab bagi anugerah pada pelakon bidan terjun itu. Memang haru-birulah.
Sebab itu, semua orang kena sedar bahawa gabungan selebriti dengan pelakon itu dibuat untuk kukuhkan strategi pemasaran semata-mata. Biar tinggi rating jadi bahan cerita orang ramai dan kebanggaan peminat selebriti itu.
Walhal tindakan sebegitu semakin menjahanamkan industri filem apabila mengangkat "tin kosong" di kalangan barisan pelakon terhebat sedia ada.
Itu belum lagi pelakon filem yang masih "kayu" heboh pula jadi pelakon teater. Apa mereka tahu tentang teater. Pengarah filem dan drama pun jadi pengarah teater. Aktivis teater yang ada pula jadi penonton, itu pun kalau mereka sanggup menonton.
Marsha jawab isu peribadi
LALUAN anak seni yang ditempuhi wanita jelita ini sejak lapan tahun lalu sentiasa bergelombang. Draf aliran seninya sering bergerak kencang, tak pernah sekali pun mendatar tenang. Pun begitu, tak pernah sekali pun dia mengelak berdepan dugaan mendatang.
Anak kelahiran Michigan, Amerika Syarikat ini juga sedar pandangan masyarakat tempatan terhadap dirinya. Tambahan andai ada yang 'sakit mata' melihat penampilan luaran wanita ini yang dikatakan lebih banyak kulit daripada kain baju.
Terbaru, wanita menginjak usia 27 tahun pada 6 Disember ini juga berdepan pandangan serong segelintir pihak melabel dia seorang yang gedik sewaktu mengacara program hiburan Propaganza bersama rakan hos, Reza Mohamed.
Gelagat pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh yang over itu juga membuatkan ramai orang meluat. Ada juga yang rasa geli melihat tingkah laku Marsha yang dikatakan dibuat-buat dan tak asli sepanjang program itu berlangsung.
"Dalam dunia ini, semua orang boleh cakap tentang apa saja. Tak kira sama ada mereka suka atau tak. Kesimpulannya, tak payah kita nak terlalu ambil tahu apa yang orang cakap tentang kita. Apatah lagi cerita negatif.
"Maaflah kalau ada yang tak suka saya menggedik semasa mengacara Propaganza. Sebab memang saya buat-buat pun. Benda itu kena buat sebab nak bikin keseluruhan program hidup dan tak bosan rakaman.
"Jujurnya, saya sendiri tak sangka boleh mengacara Propaganza. Bila pihak produksi minta saya pergi audition, saya pergi dan dapat. Saya tak tolak job, malah buat sehabis baik. Tak sangka pula ada yang tak suka cara penyampaian saya itu," dedah Marsha berhubung isu gedik yang diperkatakan di ruangan gosip akhbar sebelum ini.
Adakah Marsha kesal dengan perkara itu dan mahu membersihkan nama? Pelakon yang membintangi drama televisyen Internet buatan Malaysia yang pertama berjudul Kerana Karina ini tersenyum manja.
"Tak payahlah. Buat apa nak susah-susah. Adatlah jadi orang seni, kena kutuk, caci, maki dengan penonton. Sebab apa yang diluahkan itu adalah tindak balas buat artis sebenarnya. Apa pun, saya senang hati dengan respons yang ada
"Asam garam jadi anak seni kenalah terima dengan senang hati. Buat apa kita nak marah-marah pada semua orang. Sebaliknya artis itu sendiri kena ambil pengajaran dari setiap kejadian yang melanda dirinya itu untuk maju ke hadapan.
"Saya sendiri tak sangka boleh jadi hos Propaganza untuk musim kedua. Semua itu rezeki. Dan saya kena buat betul-betul, tak boleh main-main," kata Marsha penuh positif.
Mengajukan persoalan tentang cabang seni yang paling diminatinya setelah terlibat dalam bidang pengacaraan atau lakonan, Marsha mengakui lebih mengutamakan nyanyian kerana lebih dekat dengan jiwanya.
"Terus terang, saya tolak kalau ada tawaran jadi pengacara program serius. Saya sedar kemampuan diri. Tak naklah malukan diri kalau benda itu di luar bidang kita. Begitu juga dengan dunia lakonan. Tak kiralah berlakon drama atau filem. Ia macam bahan eksperimen. Saya nak cabar diri, tak nak duduk di zon selamat.
"Tapi bidang nyanyian adalah darah daging saya. Saya kena teruskan perjuangan sehingga ke titisan darah terakhir. Jadi lepas ini, kena lebih serius dan bagi tumpuan 100 peratus" kata penyanyi lagu tema Tentang Cinta untuk drama Sirrun di TV9.
Selain lagu tersebut, Marsha juga merakam lagu tema untuk drama Dalam Hati Ada Taman, Selalu Untukmu ciptaan bersama Ajai, Biar (drama Kum-Kum) dan Kepastian Cinta. Single Jujur Bilang Cinta bakal dirakam di Indonesia tidak lama lagi sebelum mengumpulkan semua lagu berkenaan dalam satu album.
Gagah tanpa lelakiCERITA tentang kisah cinta anak ketiga dari empat beradik ini menjadi paparan di setiap akhbar sepanjang minggu ini. Marsha juga dengan terbuka bercerita tentang lelaki yang sedang mencuri hatinya itu.
Katanya, dia baru mengenal hati budi lelaki berpangkal M itu menerusi rakan-rakannya sejak bulan lalu. Pun begitu Marsha enggan mengulas lanjut tentang identiti lelaki berkenaan kerana menganggap usia perkenalan itu masih terlalu awal.
Tambahan pula selepas melalui tempoh pembersihan jiwa lantaran kecewa putus cinta dengan bekas kekasih kira-kira lapan bulan lalu. Pada pertengahan September tahun lalu, Marsha pernah menggegarkan dunia hiburan apabila dikatakan menelan pil sehingga 30 biji sekali gus sehingga mendapat rawatan di sebuah hospital di ibu kota.
"Saya menyepi sekejap sebab nak lupakan kisah cinta lalu. Jujurnya memang susah sebab hati saya ni halus, mudah tersentuh dengan kebaikan budi orang. Tapi bila dah lama-lama, saya fikir buat apa nak ingat kisah lama, jadi saya kena bangkit semula.
"Saya nak jadi gagah tanpa lelaki. Setiap hari saya cakap pada diri saya yang 'aku pun boleh berdikari tanpa lelaki'. Saya kutip semula semangat yang hilang, sibukkan diri dengan penggambaran atau apa saja job. Semua itu saya buat untuk lupakan kenangan lalu.
"Apa pun, saya akur fitrah manusia yang lelaki dan perempuan saling memerlukan. Kita tak tahu dengan siapa jodoh kita pada masa akan datang. Jadi lebih baik pasrah selain berusaha untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri sendiri.
"Memanglah saya pernah berangan nak kahwin umur 25 tahun, tapi sekarang kena ubah kepada 30 tahun pula," kata pelakon filem Pak Pong, Dr. K Kahwin 5, Juwanita dan Qada ini penuh makna.
Adakah Marsha seorang yang memilih, wanita ini pantas menggelengkan kepala sebelum mengakhiri perbualan: "Tak, saya tak memilih. Sebab tak pernah dapat kriteria lelaki yang saya mahukan bila berkasih. Jadi, lebih baik reda saja".
Mencari cinta sejati - Marsha
PERNAH terpalit kontroversi didakwa menelan pil sampai 30 biji sehingga dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tahun lepas tetapi dinafikan empunya badan, sebaliknya Marsha Milan Londoh menegaskan kejadian pengsan itu kerana dirinya tidak cukup rehat.
Disebabkan perkara itu, dia telah terjatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan akibatnya dia mengalami kecederaan pada bahagian dahi, mata dan bibirnya.
Terdahulu, Marsha, 26, juga pernah dituduh hamil dan menggugurkan kandungan serta dihambat cerita putus cinta dengan teman seangkatan program Akademi Fantasia, Kefli.
Bagi gadis kelahiran Amerika Syarikat dan membesar di Tamparuli, Sabah ini, dia menganggap semua itu asam garam apabila masuk dalam industri hiburan dan tidak mungkin dia melakukan perkara yang tidak masuk akal hingga menjejaskan kesihatan dan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.
Kisah Marsha juga tidak berhenti di situ sahaja. Terkini dia dikatakan telah putus cinta buat kali ketiga sejak tahun 2005 menjadi artis.
Pernah dikaitkan dengan artis lelaki popular tanah air seperti Hans Isaac, Andy dari kumpulan Estranged dan Yusry KRU, Marsha sebenarnya kini mengakui dia sudah enam bulan putus cinta dengan jejaka yang dirahsiakan identitinya.
"Memang baru enam bulan putus cinta, tetapi saya tidak mahu fikir perkara lepas. Sekarang saya ada mengenali seseorang tetapi masih awal lagi kerana kami baru sangat berkenalan," ujarnya ketika ditemui di sebuah majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Marsha, lelaki itu yang dinamakan sebagai M merupakan seorang lelaki biasa dan dikenalinya melalui seorang kawan.
"Apa yang pasti dia memang berbangsa Melayu, mungkin sudah cita rasa saya orang Melayu. Lingkungan kawan saya memang semuanya Melayu, membuatkan saya lebih senang berkawan dengan satu bangsa sahaja," katanya yang masih terasa luka putus cinta dengan kekasihnya.
Secara jujurnya Marsha menjelaskan, dia tidak pernah didekati oleh lelaki sebangsa dengannya atau pun lelaki yang bukan beragama Islam. Itu yang membuatkan dia sering rapat dengan jejaka Melayu.
Menceritakan detik perkenalan dia yang masih belum berusia sebulan, Marsha berkata, dia bertemu M ketika bersama rakan-rakannya yang lain dan mereka bertukar nombor pin pesanan telefon Blackberry.
"Selepas itu kami berkenalan, tetapi masih terlalu awal lagi nak bercerita tentang M sebab saya pun masih tidak kenal dia. Doakan saya bertemu dengan lelaki yang benar-benar ikhlas ya," katanya yang meletakkan sasaran umur 30 tahun untuk berumah tangga.
Walaupun sudah tersasar meletakkan umur 25 tahun untuk berumah tangga sebelum ini, Marsha menganggap perkara itu tidak menjadi masalah baginya kerana dia percaya tuhan sudah ada rancangan sendiri untuk dirinya.
"Saya percaya Tuhan sedang uji dan atur yang terbaik bagi saya dan pasti saya bertemu cinta sejati nanti," katanya percaya setiap putus cinta yang berlaku kepadanya ada hikmat di sebaliknya.
Ditanya persoalan sama ada dia jenis wanita yang tidak boleh hidup tanpa lelaki disebabkan setiap kali putus cinta pasti akan bertemu cinta baharu, Marsha tidak menafikan perkara itu.
Dia berkata: "Saya jenis wanita yang manja, kadangkala kita hendak rasa disayangi, saya hendak rasa dalam keadaan berbunga-bunga dan perkara itu memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja."
Tambahnya, jika bertemu lelaki yang sejati suatu hari nanti, dia tidak mahu menunggu masa yang lama untuk mengenali hati budi kerana ingin cepat-cepat berumah tangga.
"Bukannya gatal atau apa, sebaliknya lebih baik begitu daripada bercinta lama-lama," katanya yang pernah bertahan dengan cinta hanya empat bulan sahaja dan paling lama empat tahun.
Sabah
Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Marsha berkata, sejak Aidilfitri lalu, dia hanya berehat kerana tiada tawaran yang diterima tetapi akan memulakan pengambaran sebuah drama pada 15 September ini.
"Lagi pun saya susah hendak beri komitmen kerja di sini sebab banyak sangat terima tawaran menyanyi di Sabah, hampir setiap minggu saya ke Sabah sebab banyak undangan di sana berbanding di Semenanjung," ujarnya.
Jelasnya, undangan menyanyi di Semenanjung amat terhad untuknya berbanding di negeri kelahiran sendiri, tetapi dia banyak menerima tawaran berlakon di sini.
Erma Fatima
Bermula 15 September ini, Marsha akan memulakan penggambaran sebuah drama 13 episod bersama pengarah terkenal Erma Fatima bertajuk Bukan Untukmu bersama Aqasha dan pelakon utamanya yang masih tidak diketahui.
Teruja dan agak gementar kerana pertama kali berlakon di bawah arahan Erma, Marsha mempunyai perasaan begitu kerana sebelum ini terdapat banyak cakap-cakap orang bahawa Erma merupakan seorang pengarah yang garang.
"Saya banyak kali tolak tawaran Erma kerana bertindih dengan jadual. Tapi kali ini saya terima kerana tidak terikat dengan mana-mana produksi, takut juga sebab ramai cakap dia garang," ujarnya.
Sungguhpun begitu, Marsha berharap perkara yang dicakapkan oleh beberapa pihak sebelum itu tidak berlaku kepadanya.
"Mungkin dengan orang lain dia garang, tetapi dengan saya dia akan okey sahaja, mana tahu," ujarnya untuk menyedapkan diri sendiri.
Dalam drama itu dia memegang watak antagonis apabila kekasihnya sudah jatuh hati dengan wanita lain.
"Kalau diberi pilihan sama ada watak baik atau jahat, saya ambil watak jahat kerana saya suka dengan watak sebegini," ujarnya yang juga pelakon utama drama Kum Kum The Series.
Randy Pangalila
Hakikatnya, selain berlakon, Marsha pada awalnya adalah seorang penyanyi sebelum berubah mencuba bidang lakonan.
Mendedahkan dia masih aktif dalam bidang nyanyian dan telah muncul dengan lagu bersama komposer Ajai, Tentang Cinta serta yang terbaharu Selalu Milikmu bersama pelakon Indonesia, Randy Pangalila.
"Lagu itu adalah lagu runut drama Dalam Hati Ada Taman," ujarnya bakal muncul sebagai hos program Propaganza musim kedua nanti.
Disebabkan telah banyak kali putus cinta, perkara itu memberi inspirasi untuk dirinya menulis sendiri sebuah lirik lagu mengenai kisah kecundang dalam percintaan.
"Saya tulis lagu berjudul Jujur Bilang Cinta yang berirama balada. Itu kisah saya sendiri tetapi lagu ini tunggu dulu sehingga lagu Selalu Milikmu selesai promosi di radio," ujarnya.
Marsha sekadar suka-suka
JIKA sebut namanya sekarang, pasti ramai peminat terus teringat kepada rancangan gosip Propaganza yang hangat ke udara setiap Ahad, jam 12 tengah hari di Astro Ria.
Bergandingan dengan Reza AF, lagak Anak Tamparuli, Sabah ini cukup selamba, lucu malah ada juga yang menganggapnya sebagai ‘gedik’ tatkala mengacarakan rancangan itu.
Biar apapun kata orang terhadap gaya penyampaiannya itu, Marsha Milan Londoh, 26, tidak pernah mengambil pusing, sebaliknya terus memfokuskan untuk memberikan yang terbaik kepada dunia baru itu.
Sebelum ini ramai tertarik dengan alunan vokal Marsha. Kemudian ramai memuji lakonannya dalam drama seram Kum Kum diikuti filem komedi romantis Cun! arahan Osman Ali. Namun sejak ada Propaganza, nama Marsha terus mendapat perhatian dan ia nyata memperlihatkan satu lagi bakat dalam diri beliau.
Apa yang jelas, Marsha mengakui pembabitannya secara ‘bidan terjun’ dalam bidang pengacaraan TV sebagai rezeki serta pengalaman baru.
“Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mencuba bidang pengacaraan khususnya untuk Propaganza. Saya sebenarnya tak sangka niat asal iaitu hanya suka-suka menghadiri uji bakat akhirnya membuatkan saya terjebak dengan program gosip.
“Saya mencuba uji bakat itu kerana atas pujukan kawan-kawan. Tak pernah terfikir langsung saya akan diberikan ‘job’ berkenaan dan ketika diuji bakat pun saya tidak serius. Saya rasa saya ‘gila-gila’ tapi rupanya itu yang mereka suka.
“Beberapa hari selepas itu, saya terus mendapat panggilan menyatakan saya berjaya mendapat ‘job’ itu. Memang terkejutlah kerana saya tidak mengharapkan apa-apa. Malah saya masih cakap pada mereka bahawa saya tak mungkin akan menjadi hos yang bagus dan belum benar-benar bersedia.
“Bagaimanapun, pandangan kru produksi pula lain. Mereka menyatakan saya sangat sesuai untuk program berkenaan. Lama juga saya berfikir dan atas nasihat kawan serta tidak mahu mengecewakan permintaan mereka, saya pun terima. Mujurlah saya digandingkan dengan rakan baik, Reza maka terciptalah keserasian antara kami sebab dah kenal lama.
“Setakat ini, saya mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang cakap saya ‘gedik’, bingit dan tak sesuai. Tak kisahlah, saya pun sudah terima ‘job’ ini dan akan teruskan. Alang-alang mandi, biar sampai basah. Apa-apapun, saya berbalik kepada niat asal iaitu mahu menghiburkan penonton.
“Tidak kurang yang memuji dan itu sesuatu yang saya suka. Saya faham, bukan senang untuk memuaskan hati semua orang, tapi apalah guna menjadi orang lain semata-mata mahu buat orang suka kepada kita bukan?” katanya.
Namun Marsha tidak menafikan, sejak mengacarakan Propaganza, pelbagai tawaran mengacara mula mendatanginya dan kebanyakannya adalah untuk acara korporat.
Akuinya, untuk mengacarakan majlis yang besar, ia bukan senang.
Menjadikan Aznil Nawawi, Sharifah Shahira dan Jozan sebagai insan rujukan untuk memantapkan tugas baru itu, Marsha bagaimanapun masih bergelut untuk menyembunyikan loghat Sabah tatkala berada di depan kamera.
“Loghat saya masih lagi tebal dan itulah antara cabaran terbesar dalam mengacarakan Propaganza. Selain itu, cabaran lain, rancangan ini ke udara secara langsung dan sekali jalan saja. Berbanding lakonan, sekurang-kurangnya saya masih boleh memperbaiki pertuturan kerana babak boleh diulang-ulang.
“Saya harus juga berterima kasih kerana digandingkan dengan Reza. Dia pun sudah lama dalam bidang ini dan apa-apa kekurangan mudah saja bagi saya untuk merujuk kepadanya,” jelasnya.
Masih berkira-kira sama ada ingin meneruskan atau tidak pada musim akan datang, Marsha tidak ada apa-apa perancangan setakat ini dan mahu hanya tunggu dan lihat.
Dalam pada itu, dia masih lagi mengimpikan agar kerjaya nyanyiannya juga menemui saat kemuncaknya. Niat asalnya terbabit dalam industri menjadi penyanyi nampaknya semakin samar apabila bakatnya dipandang sepi. Biarpun secara kasarnya, Marsha juga antara penyanyi wanita yang berpotensi, industri muzik seolah-olah belum mengiktirafnya.
“Memang saya kecewa namun apa boleh buat. Saya kena sabar dan terus berharap saja kerana apa yang pasti, saya tidak akan berputus asa. Syukur saja, tawaran menyanyi masih lagi banyak dan sekurang-kurangnya ia membuktikan nyanyian saya masih diterima. Saya pun dalam proses untuk muncul dengan single terbaru.
“Kali ini, saya sangat menaruh harapan agar single berjudul Kepastian Cinta ciptaan Ajai mampu membuka mata orang. Cukup bermakna dan ada kaitan dengan kehidupan saya, diharap lagu ini juga akan menaikkan semula ‘jenama’ Marsha sebagai seorang penyanyi. Berentak balada, kemungkinan single ini akan dilancarkan pada Julai atau Ogos nanti,” katanya lagi.
Lebih banyak kelihatan dalam lakonan pada ketika ini, Marsha tidak menolak perasaan gementar menantikan filem pertama dia menjadi watak utama, Qada yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.
Diarahkan Michael Ang, Marsha pada mulanya ingatkan Qada adalah sebuah telemovie, namun rupa-rupanya ia sebuah filem. Istimewanya, lagu tema filem itu berjudul Tentang Cinta adalah de�ndangannya.
Trivia Marsha
Filem terbaru yang ditonton...Safe
Perkara yang membuatkan Marsha rasa tenang...Muzik atau lagu santai yang memberikan inspirasi.
Kalau tidak jadi artis...Mungkin guru atau pramugari!
Insan yang paling ingin ditemui...Oprah Winfrey
Lagu kegemaran sepanjang masa...Still With You
Marsha Tidak Kisah Dituduh 'Gedik'
PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh tidak berkecil hati terhadap segelintir pihak yang menuduh dirinya "gedik".
Menurut wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mahu memikirkan hal itu sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada dunia seni yang diceburi sejak tujuh tahun lalu itu.
“Kalau hendak diambil kira setiap apa yang orang katakan pada kita, memang pening jadinya. Saya sedar ramai orang yang memandang remeh akan kewujudan saya dalam industri.
“Mereka anggap saya hanya tahu buat gedik selain kewujudan saya dilihat seperti tidak memberikan sumbangan tetapi saya tidak berkecil hati dan enggan memikirkan perkara itu,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.
Pengacara program Propaganza di Astro Ria itu berkata, atas kesedaran tersebut dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kerjanya agar dapat meyakinkan khalayak terhadap kebolehannya dalam bidang seni.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengikis persepsi orang jika kita sudah diberikan sesuatu jolokan. Sama juga kesnya dengan saya di mana orang akan tetap labelkan saya seorang yang gedik walau apa pun saya lakukan.
“Namun, saya berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dan bukan sekadar berperangai gedik dan menggoda semata-mata,” jelasnya.
Ditanya mengenai kehidupannya selepas kontroversi tuduhan dia menelan pil dipercayai bertujuan untuk membunuh diri sebelum ini, Marsha berkata dia mahu melupakan kisah hitam itu.
“Saya semakin bersemangat selepas lapan bulan kes itu berlalu. Saya akui kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan dan trauma tetapi kini saya sudah stabil.
“Saya berharap agar 2012 akan menjadi tahun yang baik dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Lagipun, pada tahun ini saya mahu mengeluarkan beberapa buah lagu dan kerjaya lakonan juga kian berkembang,” tuturnya mengakhiri perbualan.
Marsha Kecewa Dengan Bidang Nyanyian
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh berasa kecewa kerana bidang nyanyian yang paling diminatinya itu kurang menyerlahkan bakat beliau berbanding karier lakonannya.
Marsha berkata, sejak keluar daripada program realiti yang disertainya iaitu Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), banyak tawaran berlakon yang diterimanya berbanding karier nyanyian.
"Sebenarnya saya sudah putus asa dan seperti tiada harapan lagi untuk saya meneruskan karier di bidang nyanyian walaupun pada mulanya muzik adalah keutamaan.
"Pada tahun lalu, album pertama saya yang berjudul “Yang Pertama” kurang mendapat sambutan. Dan memandangkan saya sering menerima tawaran berlakon, saya ambil peluang itu sebagai mengisi masa kosong," katanya.
Tambah Marsha yang baru sahaja selesai berlakon filem Dr. K Kahwin Lima terbitan KRU Studios, buat masa ini dia akan meneruskan karier lakonannya dan akan menyanyi berdasarkan tawaran yang diberi oleh penerbit drama atau filem untuk membawakan lagu runut bunyi (OST).
Dalam pada itu, Marsha kini turut menceburi bidang baru iaitu sebagai pengacara menerusi program gosip hiburan, “Propaganza”, bersama Reza (AF).
Kata Marsha, dia menganggap “Propaganza” memberikan satu kelainan dan cabaran buatnya di mana perlu mengendalikan program itu secara langsung, dia juga perlu menjaga tingkah laku agar dirinya tidak diperkatakan dalam program tersebut.
"Bayangkan, sudahlah kita kendalikan program itu, tiba-tiba nama kita pula yang menjadi bahan gosip.
"Oleh itu saya perlu menjaga tingkah laku dan tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh mengundang kontroversi. Ia salah satu cara untuk mengelak untuk tidak digosipkan," ujarnya.
Sementara itu, Marsha bakal berduet bersama penyanyi DJ Dave untuk beberapa lagu pada konsert Journey Through Song, Ingin Bersama DJ Dave yang akan berlangsung pada Jun depan.
Marsha Londoh Bersama Kekasih Baru, Tengku Bakar
Kami simpan kisah eksklusif ini selama 48 jam untuk tatapan anda di’awal pagi Isnin ketika anda semua berada di’pejabat menikmati hari yang baru bermula.
Jumaat lalu, ketika kami mencari secawan kopi untuk melepaskan lelah di’sebuah pusat membeli belah sekitar Kuala Lumpur, kami terserempak dengan Marsha Milan Londoh.
Selebriti ini tidak keseorangan dan nampak agak terkejut dengan kehadiran kami yang menegur pasangan ini yang sedang asyik berbual dengan seorang lagi selebriti yang kami ingin anda kenalpasti sendiri.
Marsha Londoh pada awal’nya berkata yang lelaki berbaju biru ini hanya sekadar kawan kemudian mengakui beliau merupakan teman lelaki beliau — bernama Tengku Bakar.
Marsha akui putus cinta
KEHADIRANYA ke dalam dunia hiburan tanah air sering diekori pelbagai kontroversi panas yang tidak pernah ada kesudahan. Itulah Marsha Milan Londoh, atau kini kian dikenali sebagai artis paling kontroversi Malaysia.
Walaupun sering dihujani pelbagai tuduhan liar wanita cantik ini tidak pernah melatah untuk merajuk dari terus berada di dalam dunia glamor ini.
Terbaharu dia dikatakan cuba membunuh diri dengan menelan 30 biji pil selepas kehadiran cinta berusia dua tahunnya musnah sebelum mencapai kebahagiaan.
Bagaimanapun Marsha mendakwa tuduhan tidak berasas itu bukanlah perkara sebenar yang berlaku. Masalah kesihatan yang membelenggu dirinya sejak tiga tahun lepas merupakan punca utama mengapa dia tiba-tiba rebah di kawasan kediamannya.
"Saya tidak pernah dan tidak akan membuat perkara sebodoh itu, apa sebenarnya yang berlaku adalah disebabkan penyakit tekanan darah rendah saya yang tiba-tiba menyerang saya sewaktu mahu keluar mencari makanan.
"Pelik bagaimana berita saya menelan 30 biji pil sekaligus tersebar luas di kalangan rakan media, ini kerana pada masa ia berlaku hanya rakan-rakan terdekat serta ahli keluarga saya sahaja yang berada bersama saya," katanya.
Walaupun hampir seminggu berada di hospital, Marsha memberitahu bahawa keadaan dirinya sudah kembali pulih dua hari selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM).
"Saya sudah mula sedarkan diri beberapa jam selepas pitam, namun doktor terpaksa menahan saya lebih lama di hospital bagi mengurangkan saya berinteraksi kerana dikhuatiri bakal menjejaskan tahap kesihatan saya semula.
"Sehingga ke hari ini saya masih lagi perlu berjumpa doktor bagi meneruskan rawatan susulan. Bagaimanapun rawatan susulan yang dimaksudkan bukanlah rawatan tekanan perasaan tetapi rawatan kesihatan biasa selepas kejadian yang menyebabkan saya pitam tempoh hari," katanya.
Mengakui dia putus cinta beberapa minggu sebelum kejadian tersebut, namun Marsha menyangkal sama sekali bahawa dia berada dalam keadaan yang amat kecewa akibat kegagalan kisah cintanya itu
"Saya akui saya tidak mungkin hidup tanpa cinta, namun ingin saya tegaskan di sini kisah cinta saya tidak pernah menjadikan saya seorang yang tidak waras.
"Kami pernah putus beberapa kali dan perpisahan kali ini merupakan noktah buat hubungan kami," katanya.
'Saya bagaikan mati hidup semula' - Marsha
BERTEMPAT di sebelah mata kirinya, masih ada kesan lebam yang kelihatan. Malah pada betis di sebelah kirinya juga, garisan parut sepanjang tiga inci masih kasar berkudis.
“Inilah kesannya selepas saya jatuh tangga tu, sebelum pengsan. Belum betul-betul baik, tetapi saya bersyukur kerana sudah boleh memulakan aktiviti seni,” katanya, dalam bahasa yang kekal manja.
Meskipun dia kelihatan sedikit kurang bersemangat, seolah-olah sedang mencari diri yang hilang, Marsha menjawab apa saja soalan diajukan.
Daripada sebiasa-biasa soalan, sehinggalah kepada persoalan cubaan untuk membunuh diri yang dikaitkan dengannya dua minggu lalu.
“Mengarutlah. Bunuh diri? Saya tak pernah terfikir sampai ke tahap itu. Orang memang sengaja membuat cerita, sekarang saya sedang menanggung segala fitnah dan cerita buruk mereka, apakah ini adil?” tanyanya kepada saya.
Sengaja saya suruh Marsha bercerita, apa sebenarnya yang berlaku sehingga membuatkan dia tiba-tiba dikejarkan ke unit rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 7 September lalu.
Benarkah segala cerita tentang 30 biji pil tenang diri yang ditelan gara-gara putus cinta?
“Saya mempunyai keluarga yang menyayangi. Ada kawan-kawan baik yang selalu bersama, kerjaya yang baik. Kehidupan saya sangat bahagia, kenapa perlu saya menamatkan kehidupan dengan cara membunuh diri? Telan pil sampai 30 biji, saya tidak bodoh.
“Sesuatu yang tidak masuk akal langsung. Saya berasa cerita ini sesuatu yang sangat zalim terhadap diri saya.
“Cerita bunuh diri ini adalah cerita yang membuatkan saya semakin sakit dan kesakitan itu tidak boleh diceritakan kepada sesiapa juga,” katanya, lanjut dalam mata yang hampir bergenang.
Jika dalam sidang akhbar Rabu lalu, Marsha dikatakan lebih banyak mengelak untuk menjawab, kepada Pancaindera dia berusaha sebaik mungkin memberi penjelasan.
Memang saya sakit
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku? Kalau tidak ada isu menelan pil sehingga 30 biji, kenapa perlu dimasukkan ke hospital dengan begitu cara?
Begini jawab Marsha.
“Saya tidak malu mengaku, saya memang selalu sakit-sakit tetapi tak perlu hendak beritahu orang lain sebab ini masalah peribadi saya.
“Saya mempunyai masalah asma dan sinus yang agak teruk. Doktor kata saya ada sinus bronchaitis dan selalu kena makan ubat.
“Kebetulan pula, masa tu saya demam panas dan ambil ubat sesuka hati. Bila sudah tidur, sakit tu jadi okey tetapi bila bangun semula, sakit datang lagi dan saya makan ubat lagi.
“Kemudian dalam keadaan pening-pening lalat itu, saya memandu juga untuk ke kedai. Balik dari kedai, kereta saya terlanggar pembahagi jalan.
“Kemudian bila sampai di kawasan rumah, pening semakin teruk dan saya terjatuh di tangga, sebab itu kaki saya berdarah kerana terkena bucu tangga.
“Selepas itu saya terus pengsan, tak sedarkan diri dan ada orang membawa saya ke hospital,” katanya yang menjalani rawatan lima hari di pusat kesihatan berkenaan.
Mengenai persoalan putus cinta dengan seorang lelaki Melayu yang dikaitkan sebagai cubaan membunuh diri, Marsha memberitahu ia hanya tanggapan orang.
Itu juga bukan punca, meskipun dia tidak menolak cerita baru putus cinta.
“Memang saya putus cinta dan sekarang dalam keadaan untuk stabilkan semula perasaan diri.
“Tetapi saya dan teman lelaki itu sudah agak lama terputus hubungan, bukan sehari dua ini. Lagipun percintaan kami tak lama, jadi bila putus cinta tu, tidak seteruk mana, sampai nak bunuh diri kerana kecewa.
“Justeru saya berharap sangat hentikanlah segala tohmahan itu. Mereka yang menulis di Internet misalnya dengan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan saya. Jangan menzalimi saya sebegini,” katanya, mengharap.
Peluang kedua
Memang selepas melalui insiden pengsan dan dirawat di hospital itu, banyak perubahan telah berlaku terhadap cara kehidupan Marsha.
Apa yang lebih penting, dia berasakan saat ini adalah peluang kedua untuk dirinya hidup di muka bumi ini dengan cara yang lebih matang.
Belajar mengenal dan menyayangi diri sendiri, itu juga sangat penting dalam perjalanan kehidupan sebagai insan.
“Tidak dinafikan, saya seperti mati hidup semula. Bernafasnya saya di dunia hari ini adalah ibarat seperti meraih peluang kedua.
“Ya, saya katakan saya perlu meraikan kehidupan hari ini dengan lebih baik. Kita dapat peluang untuk terus hidup dalam industri dan pengajarannya banyak sekali.
“Antaranya, menjadi lebih berdisiplin, sayangkan diri dan jaga kesihatan dengan cara makan ubat yang teratur, bukan sesuka hati apabila kita sakit. Itu pengajaran buat diri saya,” katanya lagi yang bakal bernaung dibawah pengurusan milik penyanyi Dafi, Laugh Out Loud Entertainment Sdn. Bhd bermula Oktober depan.
Ia adalah pemacu semangat baru Marsha untuk menjana lebih banyak rezeki dalam dunia seni, selepas melalui episod kelam yang mahu dihapuskan dari memori buat selama-lamanya ini.
“Saya harap cerita Marsha cuba bunuh diri ini dihentikan kerana saya mahu meneruskan kerjaya dengan lebih tenang selepas ini,” pintanya diakhir pertemuan.
Bukan cuba bunuh diri - Marsha
SEMENJAK bergelar anak seni, memang tidak keterlaluan kalau dikatakan kisah kontroversi ternyata lebih banyak menghiasi ruang lingkup kehidupan Marsha Milan Londoh berbanding kisah perjalanan kerjayanya.
Jika sebelum ini timbul cerita panas yang mengatakan penyanyi yang lahir daripada program realiti televisyen Akademi Fantasia ini sudah mendirikan rumah tangga, baru-bari ini timbul pula cerita sensasi yang mengatakan dia telah menelan sebanyak 30 biji pil sehingga dimasukkan ke hospital.
Cerita tersebut mula timbul apabila Marsha telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah dia didapati pengsan di parkir kereta di kawasan kondominium kediamannya pada 7 September yang lalu.
Apabila kejadian tersebut berlaku ternyata telah timbul pelbagai tanggapan memandangkan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan olehnya atau ahli keluarga terdekat. Sehingga ada yang mengatakan bahawa penyanyi berkenaan telah cuba membunuh diri.
Bagaimanapun, selepas dua minggu kejadian tersebut berlaku, kelmarin artis berkenaan telah tampil untuk menjelaskan perkara yang sebenar dalam satu majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Alibi Music Sdn. Bhd.
Kelihatan sihat dan cukup bersemangat, Marsha tidak lagi bersembunyi, sebaliknya telah berkongsi perasaan dan menjawab semua spekulasi yang tersebar sebelum ini.
Kosmo!: Boleh jelaskan tentang apa yang telah berlaku ke atas diri anda?
Marsha: Pada hari kejadian itu iaitu 7 September, saya memang berada dalam keadaan yang kurang sihat. Ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli sarapan, saya mengalami kemalangan kecil apabila telah terlanggar pembahagi jalan. Namun saya masih dapat terus memandu sehinggalah tiba di kediaman saya.
Kemudian ketika berada di kawasan parkir, tiba-tiba saya pengsan dan apabila sedar saya telah berada di hospital. Saya telah dimaklumkan bahawa saya telah ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan dan terus dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan kondominium sekitar pukul 11 pagi.
Namun ada yang mengatakan anda telah menelan sehingga 30 biji pil. Adakah ia benar?
Saya sendiri sangat hairan bagaimana cerita tersebut boleh timbul. Memang saya akui pada malam sebelum kejadian, saya ada mengambil ubat untuk mengatasi masalah tekanan darah rendah yang saya hadapi.
Bagaimanapun saya menafikan sekeras-kerasnya yang saya telah menelan sehingga 30 biji pil sehingga dikatakan cuba untuk membunuh diri. Saya masih lagi waras dan kalau benar saya menelan pil sebanyak itu, sudah tentu saya sudah mati sekarang ini.
Mengapa anda mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat kenyataan?
Pertama sekali saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Selepas kejadian, saya memerlukan masa yang lebih untuk berehat dan memang mencari masa yang sesuai untuk bertemu dan memberi kenyataan kepada pihak media.
Memandangkan pihak Alibi Music ada menganjurkan rumah terbuka kelmarin, maka saya merasakan itu adalah masa yang sesuai untuk saya bertemu dengan media menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.
Ketika wartawan datang ke hospital untuk menziarahi anda, difahamkan ayah anda telah mengarahkan pengawal keselamatan untuk menghalang wartawan daripada bertemu dengan anda. Boleh anda komen sedikit?
Tentang perkara itu juga saya ingin memohon maaf banyak-banyak kerana ia berada di luar kawalan saya dah ahli keluarga yang lain. Pada saya, mereka sekadar menjalankan tugas untuk menjaga privasi pesakit lain dan bukanlah di atas arahan ayah saya untuk menghalang wartawan menziarahi saya.
Malah, ayah saya juga tidak dapat bertemu dengan pihak media kerana dia belum biasa untuk membuat kenyataan kepada wartawan. Sejujurnya, sepanjang saya bergelar artis memang ahli keluarga tidak pernah masuk campur dalam sebarang perjalanan karier seni saya.
Ada pihak tertentu yang membuat tanggapan anda juga mengalami tekanan kerana putus cinta dengan bekas kekasih?
Memang benar hubungan saya dengan kekasih sudah pun berakhir, tetapi hubungan saya dan dia putus beberapa minggu sebelum kejadian saya ditemui pengsan tempoh hari. Namun, ia bukanlah punca sehingga saya mengalami tekanan kerana saya masih dapat terima hakikat yang hubungan kami berakhir.
Apakah yang menyebabkan hubungan anda berdua putus?
Kami mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan percintaan setelah tiada lagi keserasian antara kami. Lagipun sepanjang dua tahun kami bercinta, sudah beberapa kali hubungan kami putus, namun bersambung kembali. Cuma kali ini memang kami mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi.
Malah, saya juga menafikan yang kami tidak dapat meneruskan hubungan ini disebabkan oleh halangan ahli keluarga yang memang berpegang kepada ajaran Kristian.
Sebenarnya keluarga saya tidak pernah menghalang hubungan kami dan bekas kekasih juga pernah menemui mereka sebelum ini.
Adakah bekas kekasih ada melawat anda di hospital?
Hubungan saya dan bekas kekasih masih lagi baik sehingga kini dan dia ada melawat saya di hospital.
Jadi sekarang ini anda tiada teman istimewa?
Buat masa ini saya boleh katakan yang sekarang ini saya masih lagi solo. Cuma ketika ini saya memang agak rapat dengan seseorang dan apa yang boleh saya katakan kami masih lagi di peringkat berkawan.
Adakah lelaki tersebut sama seperti bekas kekasih, seorang jejaka Melayu dan beragama Islam?
Saya akui dia seorang jejaka Melayu dan beragama Islam dan saya sudah lama mengenalinya sejak beberapa tahun yang lalu. Sehingga sekarang kami masih lagi berkawan seperti biasa dan masih lagi mengenali hati budi masing-masing.
Adakah anda masih tidak serik untuk bercinta dengan lelaki yang tidak sama kaum dan agama dengan anda?
Pada saya semuanya terserah pada jodoh dan saya memang mempunyai ramai kawan lelaki yang berketurunan Melayu. Lagipun keluarga juga tidak pernah menghalang untuk saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Cuma buat masa ini saya masih belum lagi terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan mahu lebih fokus kepada karier terlebih dahulu.
'Saya Tak Akan Bunuh Diri Kerana Cinta' - Marsha
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, 28, tidak pernah terfikir untuk melakukan perbuatan bodoh iaitu membunuh diri hanya kerana putus cinta dengan menelan 30 biji pil seperti yang didakwa.
Marsha berkata, dia tidak menafikan percintaan dia dengan seorang lelaki berbangsa Melayu sebelum ini sering menghadapi masalah, tetapi hal tersebut dapat diselesaikan dengan baik.
"Hubungan cinta saya yang berusia dua tahun itu memang ada pasang surutnya. Tetapi di sini saya ingin jelaskan hubungan kami sudah putus beberapa minggu sebelum kejadian.
"Walau bagaimanapun, peristiwa itu bukan menjadi pendorong untuk saya melakukan perkara yang bodoh. Malah bekas teman lelaki saya itu telah melawat saya di hospital. Ia menunjukkan kami tiada masalah," katanya pada majlis rumah terbuka anjuran syarikat rakaman Alibi Music, di Menara KLK, di sini, Rabu.
Pada 7 September lalu, Marsha dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini selepas dipercayai menelan 30 biji pil akibat putus cinta.
Bagaimanapun, Marsha menjelaskan dia ke PPUM setelah ditemui rebah di kawasan kondominium yang didiaminya di Jalan Klang Lama dekat sini akibat trauma selepas terlibat dengan satu kemalangan jalan raya. Sementara itu, ditanya adakah dia serik untuk bercinta lagi selepas melalui pelbagai dugaan dalam percintaan, Marsha berkata dia tidak pernah serik untuk menerima lelaki dalam hidupnya.
Dia turut mengakui pada ketika ini telah mengenali seorang lelaki tetapi belum sampai ke tahap untuk bercinta.
Marsha Beransur Pulih, Tolak Tuduhan Bunuh Diri
PETALING JAYA: Kesihatan penyanyi Marsha Milan Londoh, 26 yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu beransur pulih, namun masih berada di bawah pengawasan pihak hospital.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ruang Kedua ini juga akan berehat dari segala aktiviti seni buat sementara waktu sehingga dia pulih sepenuhnya.
"Setelah menerima beberapa rawatan daripada pihak hospital, Marsha menunjukkan tanda-tanda positif dan semakin pulih. Beliau sudah boleh makan dan bertutur seperti biasa. Walau bagaimanapun Marsha masih di bawah pengawasan pihak hospital.
"Segala aktiviti seninya akan dihentikan buat seketika dan dia akan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya dan juga mendapat kebenaran doktor," kata satu kenyataan yang dihantar oleh pihak pengurusan Marsha Londoh Entertainment kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Kenyataan tersebut turut menafikan spekulasi yang mendakwa penyanyi tersebut bertindak membunuh diri dengan menelan pil akibat mengalami tekanan perasaan kerana putus cinta.
Kata kenyataan itu, Marsha telah dikejarkan ke PPUM oleh pihak pengurusan kediamannya di Taman Desa dekat sini pada pukul 11 pagi hari kejadian setelah ditemui pengsan berdekatan tempat letak kereta di kediamannya.
Setelah dimasukkan ke wad kecemasan, Marsha diberi rawatan rapi dan dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya stabil.
“Pada hari kejadian Marsha berada dalam keadaan tidak sihat dan demam, oleh yang demikian Marsha telah mengambil ubat bagi meredakan sakitnya.
“Setelah itu, Marsha keluar rumah sendirian. Dalam perjalanan pulang, Marsha terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya melanggar pembahagi jalan.
Akibat trauma dan kesan ubat yang diambil, Marsha hilang kawalan dan telah jatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan telah mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan bibir,” kata kenyataan itu lagi.
Pihak pengurusan penyanyi ini turut berharap agar kenyataan yang dikeluarkan ini dapat memberi gambaran jelas keadaan yang berlaku pada Marsha tanpa membuat sebarang spekulasi yang memburukkan lagi keadaan.
Penyanyi itu dibenarkan keluar hospital dua hari selepas kejadian.
Dia turut dilaporkan akan membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan masalah yang timbul.
'Ya, nampak macam lucah' - Marsha
arsha mohon maaf isu gambar aksi keterlaluan dirinya pada muka depan sebuah majalah
SEJURUS reda kontroversi kononnya berkahwin secara rahsia di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ternyata hanya gimik mengarut, bintang jelita Akademi Fantasia 3 (AF3), Marsha Milan Londoh atau Marsha, 25, mencetuskan kontroversi terbaru apabila dia tampil bergaya seksi melampau menerusi muka depan sebuah majalah gaya hidup dan hiburan, sekali gus beliau menerima kecaman hebat daripada orang ramai sehingga menjadi perdebatan dalam laman sesawang atau blog hiburan.
Sekalipun Marsha sudah acap kali dilabel gemar memberikan pose ‘berani mati’ sebelum ini, namun kemunculan beberapa foto panasnya menerusi majalah berkenaan dianggap keterlaluan sehingga ada tuduhan menyamakan aksi seksi pelakon dan penyanyi itu persis bintang pornografi!
Sekalipun Marsha bukan beragama Islam dan tidak menjadi kesalahan kepadanya memberikan aksi seumpama itu, namun kebanyakan peminatnya membabitkan orang Melayu beragama Islam termasuk kanak-kanak, justeru kerelaannya memberikan pose ghairah melampau seperti itu dianggap tidak menghormati nilai budaya Timur dan kesopanan, selain mengenepikan faktor sensitiviti yang selama ini harus dipelihara agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Selain itu, ruangan pojok Gayah Gebu terbitan Metro Ahad 24 Julai lalu turut memaparkan perihal seorang artis yang muncul dengan pose panas menerusi majalah berkenaan. Mengambil judul ‘Gaya seksi bagai artis Hollywood’ mendakwa seorang artis wanita bintang AF3 beraksi berani dengan beberapa adegan mengghairahkan di sebuah majalah.
Antara lain artikel berkenaan mendedahkan artis wanita bintang AF3 berpakaian mencolok mata tampil dengan beberapa pose panas melampau di sebuah majalah. Gaya artis itu berposing mengalahkan bintang dari Barat, sekali gus menyamakan aksi itu persis Maria Ozawa iaitu bintang terkenal pornografi yang mencipta nama di Jepun dan Amerika Syarikat!
Sekalipun artikel berkenaan tidak menyebut sebarang nama, ramai meneka tepat, artis wanita bintang AF3 itu ialah Marsha.
Rabu lalu, penulis berjaya menghubungi Marsha untuk memperoleh komen daripadanya.
“Saya sudah membaca artikel berkenaan, saya mengaku, ia ditujukan kepada saya. Sebenarnya saya malu apabila aksi saya dalam majalah berkenaan disamakan dengan Maria Ozawa...,” kata Marsha pada awal perbualan tanpa berselindung.
Jelasnya, ketika fotografi diadakan, dia berpeluang melihat semua gambar yang dirakam dan baginya tak ada apa-apapun yang melampau, biasa saja. Namun, apabila foto berkenaan melalui proses ‘cropping’ dan disiarkan, Marsha mendakwa gambar berkenaan kelihatan amat lucah!
“Ada lagi baju yang lebih seksi, tapi hanya baju itu saja yang elok dan saya selesa mengenakannya. Apabila saya lihat gambar itu di skrin komputer, gambar yang dirakam itu diambil dari sudut long shot, tapi apabila foto berkenaan dicrop dan dilihat secara close-up, saya terkejut apabila ia kelihatan begitu lucah! Alamak, apa hal! Salah saya juga apabila tidak bertanya terlebih dulu, gambar mana yang nak disiarkan.
“Kini, apabila majalah berkenaan berada di pasaran, orang melihat gambar itu, saya menjadi mangsa kritikan dan kutukan. Mereka mendakwa, aksi seksi itu keterlaluan, sekali gus saya dikatakan tidak menjaga sensitiviti orang Melayu-Islam yang rata-ratanya adalah peminat saya.
“Disebabkan itu, dalam kesempatan ini, saya memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung apabila melihat pose yang dianggap keterlaluan itu.
“Saya sedar, apabila menjadi artis, sekalipun kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, ada saja pihak yang membenci, tapi apabila berlakunya perkara seumpama ini, memberi lebih peluang kepada mereka untuk lebih membenci kita. Saya tak mampu berbuat apa-apa lagi, melainkan permohonan maaf yang saya harap boleh memberi ruang kepada saya memperbaiki kesilapan,” katanya dalam nada kesal.
Katanya lagi, sebagai manusia, dirinya sering melakukan kesilapan. Marsha mengaku, dirinya tidak sempurna dan melakukan banyak perkara yang tidak disenangi tanpa sedar.
Apabila berasakan dirinya bukan beragama Islam, Marsha bebas berbuat apa saja apabila memikirkan perkara itu tidak menjadi satu kesalahan baginya, justeru adakah kerana faktor itu, dia tanpa berfikir panjang rela dan berani memberikan aksi ghairah seumpama itu?
Jelasnya, dia tidak pernah berfikir ke arah itu kerana apa saja pakaian yang digayakan perlu selesa, jadi asal saja pakaian yang dikenakan tidak kelihatan dirinya bogel, dia tidak keberatan menggayakannya.
“Sekalipun saya Kristian, tidak bermakna saya sewenang-wenangnya boleh berbuat apa saja, tak pernah terfikir begitupun. Lagipun, saya berkawan dengan ramai orang Islam. Terus-terang, apabila menjayakan fotografi berkenaan, saya tak sangka hasilnya boleh jadi seperti hari ini. Apa yang berlaku adalah di luar kawalan saya.
“Bagi saya, semua agama, termasuk Islam mahupun Kristian, mempunyai moraliti. Jadi, tidak bermakna, apabila saya beragama Kristian, hanya terbayang perkara yang negatif semata-mata. Semua agama mendidik supaya melakukan perkara yang baik. Tapi, apabila pose saya berikan kepada majalah berkenaan dianggap keterlaluan, itu yang sebenarnya mengundang ketidakselesaan kepada orang ramai,” katanya penuh kesal.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
