Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nadia Mustafa. Show all posts
Showing posts with label Nadia Mustafa. Show all posts
Ganti Rugi RM50,000, Mahkamah Tolak Rayuan Nadia Mustafar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak rayuan pelakon Nadia Mustafar berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pelakon Lisdawati diberi ganti rugi RM50,000 dalam kes saman fitnahnya terhadap Nadia.
Dalam keputusannya, Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menegaskan bahawa keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah betul selepas mendengar keterangan saksi semasa perbicaraan.
"Beliau menggunakan undang-undang yang betul kepada fakta yang dibentangkan di hadapannya. Tiada sebab bagi mahkamah ini campur tangan dalam keputusan (Mahkamah Sesyen) itu," kata hakim.
Beliau turut memerintahkan Nadia, atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, membayar kos perundangan RM3,000 kepada Lisdawati.
Lisdawati, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, dan Nadia tidak hadir di mahkamah pada Selasa.
Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lisdawati, manakala Nadia diwakili Siti Julaini Mohd Shahar.
Pada 31 Oktober tahun lepas, Lisdawati diberi ganti rugi RM50,000 oleh Hakim Mahkamah Tinggi selepas beliau memenangi kes saman fitnah terhadap Nadia.
Dalam saman yang difailkan pada 21 April, 2010, Lisdawati mendakwa Nadia dengan niat jahat memberi wawancara yang mengandungi perkataan berbaur fitnah kepada wartawan Hanif Abdul Ghani (Allahyarham) dari majalah Media Hiburan.
Lisdawati mendakwa wawancara itu dibuat pada Januari 2005 dan artikel mengenainya disiarkan oleh majalah itu dalam edisi 8 - 14 Januari 2005.
Beliau mendakwa perkataan dalam artikel itu bertujuan membawa maksud bahawa beliau meminjam wang daripada Nadia dan gagal membayar balik hutang itu.
Nadia, dalam pernyataan tuntutannya bertarikh 18 Mei, 2010, mendakwa artikel itu tidak berbaur fitnah, sebaliknya bertujuan meminta orang yang berhutang supaya menjelaskan hutangnya. - BERNAMA
Raya Nadia
KALAU sebut mengenai hari raya, setiap daripada kita pasti terbayang akan kemeriahan menyambutnya di kampung halaman.
Dalam masa yang sama, di minda juga mulalah terbayang wajah-wajah keluarga yang sudah lama tidak ketemu lantas menerbitkan rasa rindu di hati.
Bagi pelakon Siti Naziyah Sheikh Mustafar, atau lebih dikenali sebagai Nadia Mustafar, lebaran kali ini disambut dalam suasana yang serba sederhana.
Ini kerana baginya, kemeriahan untuk menyambut hari raya sedikit hambar tahun ini terutama apabila mengenangkan ibu mertuanya yang telah pergi mengadap Ilahi awal tahun lalu.
Menurut Nadia, hubungan antara dia dan ibu mertuanya cukup akrab.
Walaupun cuma menantu, ibu mertuanya melayan Nadia bagai anak kandungnya sendiri.
Kongsi Nadia, selama tujuh tahun berkahwin dengan suaminya, Hazil Izham Ismail, 38, dia tidak pernah lupa untuk menjenguk ibu mertuanya di Seremban, Negeri Sembilan apatah lagi, arwah adalah seorang ibu tunggal.
"Boleh dikatakan, dia melayan saya lebih daripada anak sendiri. Dia memang sayangkan saya. Bayangkan, anak-anak dia sendiri pun dia tak panggil sayang, tapi itulah panggilan manja untuk saya.
"Bagi saya, arwah memang baik. Sifat penyayangnya menyerlahkan lagi naluri keibuannya.
"Sebab itulah saya sedih bila mengenangkan raya kali ini disambut tanpa dia. Biasanya saya akan pulang ke Seremban dengan suami dan anak-anak.
"Tapi kali ini, keadaan berbeza. Jadi kami sambut raya di Kuala Lumpur saja. Ini adalah tahun pertama kami sekeluarga menyambut lebaran di rumah sendiri," katanya.
Menurut pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 ini lagi, dia juga sedih apabila melihat suaminya yang seakan tidak teruja untuk berhari raya.
"Bila sebut pasal raya saja, dia mesti tak berapa minat. Sebagai isteri, saya faham, dia sebenarnya sedih bila terkenang ibunya sudah pergi.
"Seperti saya, dia juga macam tak ada hati nak balik kampungnya di Seremban sebab dah tak ada siapa di sana," katanya.
Kasihankan suamiMenurut Nadia lagi, raya kali ini juga hambar kerana tidak dimeriahkan dengan kepulangan adik-adik iparnya yang berada di luar negara.
Maka, kata Nadia, itu juga menjadi sebab mengapa suaminya tidak begitu teruja untuk menyambut raya tahun ini.
"Suami cuma tiga beradik. Dia yang sulung. Adiknya seorang bekerja di Yaman dan yang seorang lagi di Ukraine.
"Jadi tak berapa nak meriahlah bila adik-beradik tak balik raya. Tapi tak mengapalah, sebab ibu dan bapa saya dari Singapura, beraya di sini bersama kami.
"Sekurang-kurangnya, mereka masih ada jadi dapatlah beraya bersama orang tua," katanya lagi.
Semua untuk anak-anakLazimnya, sebagai ibu, setiap kali sebut mengenai hari raya, yang bermain di fikirannya adalah kelengkapan untuk anak-anak.
Berapa helai baju yang hendak dibeli, kasut raya, songkok raya dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, untuk diri sendiri, pasti dikemudiankan.
Seperti ibu bapa yang lain, Nadia juga mengalami 'dilema' yang sama.
"Bila dah dewasa dan dah jadi ibu dan ayah ni, rasanya kita dah tak fikir benda lain dah. Mesti dahulukan anak-anak.
"Iyalah, kita dah puas merasai pengalaman teruja beraya tu masa kecil-kecil. Sekarang ni bagilah anak-anak pula rasa pakai baju cantik-cantik," katanya yang tak kisah membeli barangan tanpa jenama.
Dikurniakan tiga cahaya mata yang comel-comel, Nadia bertuah kerana anak-anaknya, Mia Qaisara, 5, Qaliff Izham, 4, dan Qaiem Quzey, 1, tidak banyak kerenah.
"Cuma, biasalah, budak-budak sekarang, makin besar, sudah pandai ada cita rasa sendiri dalam bab pakaian. Saya ikutkan saja. Asalkan mereka gembira," katanya.
Nadia Mustafar Disamun RM20,000
PETALING JAYA: Pelakon Nadia Mustafar kerugian RM20,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta Pasar Pudu, Kuala Lumpur, Isnin.
Akhbar tabloid Harian Metro pada Selasa melaporkan, dalam kejadian pukul 1 petang itu, Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, berada bersama anak keduanya di dalam kereta Toyota Camry sebelum seorang lelaki yang masih memakai topi keledar membuka pintu dan membawa lari beg tangan pelakon berkenaan yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan.
Nadia yang ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berkata, dia yang terkejut dengan tindakan dua lelaki itu pantas keluar dari kereta dan menjerit meminta tolong.
Namun, beberapa orang awam di situ gagal mengejar dua lelaki terbabit yang memecut laju motosikal mereka.
“Saya baru tiba di tempat letak kereta pasar itu apabila tiba-tiba dua lelaki berhenti di sebelah pintu kiri saya sebelum seorang daripada mereka membuka pintu dan melarikan beg tangan saya.
“Di dalam beg itu ada tiga beg kecil masing-masing berisi wang perniagaan RM18,000 manakala dua lagi wang perbelanjaan diri dan dokumen peribadi,” katanya.
Menurutnya, dia terkilan dengan kejadian itu kerana wang berkenaan hasil pendapatan 13 hari membuka gerai jualan di Pusat Kraf Negara.
“Wang itu hasil pendapatan berniaga yang sebahagiannya saya mahu bayar gaji enam pekerja,” katanya.
“Hanya Saya Dan Lisdawati Yang Tahu Hal Sebenar, Saya Tetap Failkan Rayuan” – Nadia Mustafa
Semalam OHBULAN! ada melaporkan keputusan kes saman fitnah Lisdawati terhadap Nadia Mustafa berakhir dengan kekalahan Nadia yang diperintahkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Lisdawati.
Menurut portal hiburan, Gua, Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa ketika diminta mengulas kekalahannya, menerima keputusan mahkamah tersebut dengan hati yang terbuka malah tidak akan mempertikaikannya.
Walaubagaimanapun, selepas perbincangan dan mendapat nasihat peguam, Nadia membuat keputusan untuk memfailkan rayuan dalam masa terdekat kerana merasakan dia masih punya hak untuk berbuat sedemikian.
“Walaupun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada saya, saya tidak perlu rasa takut ataupun malu kerana saya percaya saya tidak melakukan kesalahan. Hanya saya dan dia (Lisdawati) sahaja yang tahu kedudukan sebenar,” jelas Nadia.
Tambah Nadia lagi, dia bersyukur mahkamah hanya mengarahkan dia membayar sejumlah RM50,000 bukan RM250,000 seperti yang dituntut Lisdawati sebelum ini. Selain itu juga, Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan Nadia membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman semalam hingga tarikh kes tersebut selesai dan perlu melunaskan kos mengikut skala.
Kronologi kes saman fitnah yang difailkan oleh Lisdawati ini bermula selepas Lisdawati mendakwa dirinya tidak pernah meminjam wang daripada Nadia sebaliknya hanya meminjam sejumlah wang daripada teman lelaki Nadia pada masa itu, Mohd Roslan Omar.
Lisdawati turut menyifatkan kenyataan Nadia lewat temubual dengan majalah Media Hiburan yang disiarkan di dalam edisi 8 Januari – 14 Januari 2005 berunsur jahat dan fitnah yang sengaja menjatuhkannya.
Nadia Mustafar Bersih Nama Selepas Kes Saman Fitnah Lisdawati

KUALA LUMPUR: Sekian lama mendiamkan diri, pelakon Nadia Mustafar, 35, tampil memberikan penjelasan untuk membersihkan namanya atas segala tuduhan berhubung kes saman fitnah dengan pelakon Lisdawati sebelum ini.
Dia akui lega apabila kes tersebut telah selesai pada 27 Jun lalu setelah Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali meminta Lisdawati menarik semula saman itu ekoran beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes itu.
"Sebelum ini saya rasa lebih baik berdiam diri tetapi setelah kes ini selesai, peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar nasihatkan saya untuk membersihkan nama jika saya rasa berada di pihak yang benar.
"Saya akui sebelum ini saya kurang ilmu undang-undang tetapi selepas melalui kes ini, banyak perkara yang saya pelajari dan lega kerana semuanya telah berakhir," katanya dalam satu sidang media di Redbox, Pavilion, di sini, Isnin.

Jelas Nadia yang turut menafikan muflis seperti yang didakwa, biarpun telah memenangi kes tersebut tidak bermakna dia mahu mendabik dada sebaliknya berharap tiada lagi kes melibatkan mahkamah.
Malah pelakon filem Senario Asam Garam dan Jangan Tegur ini juga sanggup menerima maaf daripada Lisdawati sekiranya wanita itu menghulurkan salam perdamaian.
“Saya tiada masalah jika dia mahu berdamai semula dan tentang hutang dia dengan saya boleh dibawa berbincang kerana saya tidak terlalu menagih hutang itu.
“Tetapi jika dia ingin memfail semula kes ini ke Mahkamah Tinggi, saya hanya mampu membela diri,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.
Kehadirannya di situ turut ditemani oleh anak-anaknya iaitu Mia Qaisara, 3, Qaliff Izham, 2, Qaiem Quzey Izham, 5 bulan, dan suaminya Hazil Izham Ismail, 37.
Sepanjang berhadapan dengan kes tersebut, Nadia akui tidak tertekan dan hanya menjalankan kerjanya seperti biasa.
“Saya masih menerima tawaran berlakon dan menjalankan perniagaan kedai makan di Central Market pada awal tahun ini.
“Baru-baru ini, saya baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama Suria Di Cordoba yang turut dilakonkan oleh Lisdawati tetapi kami tidak bertemu dalam babak yang sama,” katanya.
Tambahnya: “Bagaimanapun, kami berjumpa dalam satu majlis selepas selesai penggambaran drama tersebut pada dua minggu lalu dan bersalam-salaman sebagai tanda hormat antara satu sama lain.”
Dalam akhbar sebelum ini melaporkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.
Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya.
Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.
Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos.
Nadia Mustafar Dapat Anak Lelaki

PETALING JAYA: Pelakon Nadia Mustafar, 34, selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.2 kilogram pada pukul 11.41 pagi, Ahad lalu di Hospital Pantai, Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut Nadia, proses kelahiran anak kedua yang diberi nama Qaiem Quzey Izham itu lebih mudah berbanding anak pertamanya, Qaliff Hazil Izham, 18 bulan.
"Alhamdulillah, dia dilahirkan dengan selamat dan kami cuma duduk sehari di hospital.
"Proses melahirkan pun tidak susah sangat dan saya mengalami kontraksi selama dua jam sahaja, berbanding dengan anak kedua, saya terpaksa menahan sakit selama sembilan jam.
"Bagaimanapun, selepas kandungan Qaeim berusia tujuh bulan, rasa sakit sudah mula. Mungkin sebab itu proses kelahirannya agak mudah. Saya syukur semuanya berjalan dengan lancar," katanya yang dihubungi mStar Online, Selasa.
Tambah Nadia, dia merancang untuk menambah anak selepas satu atau dua tahun lagi kerana impian dia dan suaminya, Hazil Izham Ismail untuk memperoleh empat orang anak.
"Sekarang ini memanglah saya tak mahu mengandung lagi sebab baru lepas rasa sakit bersalin. Tapi lepas ini tak tahulah macam mana.
"Apa-apa pun, saya perlu jarakkan umur Qaeim dahulu sebelum mengandung lagi agar Qaeim dijaga dengan baik," kata Nadia yang sedang berpantang di rumahnya, di Taman Desa, Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Selain dua anak itu, Nadia turut mempunyai seorang anak angkat bernama Mia Qaisara Hazil Izham yang berumur tiga tahun.
Nadia Mustafa sakit?

SYED pasti ramai yang tak tahu cerita tentang Nadia Mustafar yang sedang mengandung anak kedua ni. Wah, dalam diam-diam rupanya pelakon yang cukup popular dengan filem Zombi Kampung Pisang ni dah mengandung lapan bulan.
Kalau ikut ceritanya, sama ada hujung bulan ni atau awal Februari depan, dia akan melahirkan anak keduanya itu.
Tapi apa yang tak sedap didengar, ada kisah tak berapa nak sedap berlaku pada pelakon yang cukup hebat ni. Dia rupa-rupanya ada menghadapi masalah kesihatan yang melibatkan organ peranakan. Rahim Nadia tak berada pada kedudukan yang betul mengikut cerita yang disampaikan.
Bila Syed telefon Nadia baru-baru ini, dia memang mengakui masalah tersebut. Katanya, rahimnya senget sedikit sehingga menjejaskan kesihatan diri.
"Memang betul saya ada masalah tu. Tak tahu macam mana boleh terjadi tapi memang menderita bila sakit tu datang.
"Bila kedudukan rahim tak betul, sakitnya tu cukup menangkap dari pinggang sampai ke kaki. Sampai saya tak boleh berjalan dan hanya berbaring dalam rumah sahaja.
"Kandungan pula dah masuk lapan bulan dan doktor kata bayi dalam perut memang besar. Itu memang menambahkan lagi sakit yang saya tanggung.
"Alhamdulillah, bila dah berehat panjang, sakit pun beransur pulih. Tapi sekarang belakang betis sampai hujung jari kaki pula menangkap sampai saya lemah satu badan. Semua ini memang ujian. Saya reda terima apa sahaja asalkan kandungan saya selamat.
"Cuma dalam situasi begini, saya masih beruntung sebab masih ada keluarga yang sudi menjaga saya sepanjang berbaring kat rumah hampir sebulan dulu. Banyak benda yang tak boleh saya buat sebab penyakit yang datang," kata ibu kepada Sara (anak angkat) dan Qalif ini.
Sabarlah Nadia. Syed harap semuanya akan selamat bila Nadia bersalin nanti. Tengah ada masa ni baik berehat betul-betul. Jangan difikirkan sangat pasal hal yang lain. Rasanya itu lebih baik.
Nadia Mustafa Dikuarantin Kerana Anak-Anaknya Terkena H1N1

KUALA LUMPUR: Pelakon drama popular, Nadia Mustaffa buat masa ini terpaksa mengkuarantinkan diri di rumah bersama suami kerana anak-anak kecilnya dijangkiti virus H1N1.
Dia berkata, tindakan berjaga-jaga itu diambil selepas anak perempuan, Qaisara Hazil Izham, 2, dan anak lelaki, Qaliss Hazil Izham, 1, dikenal pasti dijangkiti virus berbahaya itu pada Ahad lalu.
Bagaimanapun kata Nadia, anak-anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital Pantai Cheras pada Khamis lalu.
"Mereka dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu dan empat hari kemudian, mereka dibenarkan keluar dari hospital. Tidak lagi dikenakan drip dan mereka dah boleh minum susu.
"Walaupun dah empat hari, saya tidak boleh keluar dari rumah," katanya kepada mStar Online di sini, semalam.
Nadia yang sedang mengambil cuti sakit berasa hairan bagaimana dua anaknya boleh dijangkiti virus H1N1 itu kerana mereka tidak dibawa keluar dari rumah selama dua minggu sebelum itu.
Katanya, sanak-saudara pernah datang melawat tetapi mereka tidak dikesan membawa virus tersebut selepas pemeriksaan kesihatan dibuat.
"Pada Ahad lalu, Qaisara mengalami demam panas secara mendadak. Suhu badannya mencecah 40 darjah celsius. Dalam tempoh lima jam kemudian, adiknya Qalis pun kena mengalami simptom yang sama iaitu demam panas secara mendadak, batuk dan selesema.
"Saya cepat-cepat membawa mereka ke hospital kerana mengesyaki dijangkiti virus H1N1. Bila periksa di hospital, doktor mengesahkan anak-anak saya dijangkiti H1N1," ujarnya yang turut berlakon dalam sketsa dan komedi terbaru, Terbelahak.
Nadia berkata, pemeriksaan doktor bagaimanapun mendapati dia dan suaminya pula tidak dijangkiti virus yang boleh mendatangkan maut kepada pesakit.
Dalam pemeriksaan perubatan terbaru yang dilakukan, aktres jelita itu berkata, dia berkeadaan baik dan hanya mengalami selesema.
Tambah Nadia, dia memakan vaksin serta Vitamin C serta minum banyak air untuk memastikan badannya mempunyai antibodi yang kuat.
Nadia mengakui cuti sakitnya itu telah mengganggu penggambarannya dalam satu telefilem.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
