Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Nikki. Show all posts
Showing posts with label Nikki. Show all posts

Pengalaman Jadi Ibu Ubah Hidup Nikki


KUALA LUMPUR: Penyanyi Nikki Palikat, 25, (Nikki) mengakui pengalaman bergelar ibu sejak tujuh bulan lalu telah banyak mengubah perspektif hidupnya.

Kata bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama ini, selepas melahirkan anak lelaki hasil perkahwinannya dengan komposer Audi Mok iaitu Liam Mok pada 27 Oktober tahun lalu, dia lebih senang untuk menyepikan diri seketika demi memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu.

"Saya memang tidak aktif selepas melahirkan Liam pada Oktober lalu. Hampir tujuh bulan juga saya menolak banyak tawaran nyanyian kerana ingin menumpukan perhatian kepada Liam.

"Bukannya apa, selain memberikannya susu badan, saya juga tidak percaya pada orang lain untuk menjaga Liam. Kini Liam sudah tujuh bulan dan mula berdiri, barulah saya berani untuk aktif menyanyi semula," katanya.

Tambahnya, pengalaman menjadi ibu juga telah mengajarnya untuk berkompromi terhadap banyak perkara termasuklah soal masa dan kesabaran dalam menguruskan anak.

"Kalau dulu saya akan bangun tidur pada pukul 10 atau 11 pagi tetapi sejak ada Liam saya perlu bangun seawal 7 pagi kerana dikejutkan oleh tangisannya yang mahukan susu.

"Kebanyakan masa saya juga perlu diluangkan untuk Liam berbanding untuk diri sendiri, di mana sekarang saya tidak boleh lagi berdandan depan cermin lama-lama macam dulu.

"Banyak perkara yang perlu saya kompromi tetapi saya gembira dan bahagia dengan kelahiran Liam yang secara tidak langsung lebih mendisiplinkan saya," katanya yang menyusukan anaknya untuk menurunkan berat badan.

Nikki dan Audi berkahwin di Gereja St. Francis Xavier, di sini pada 27 Jun 2009.

Beralih ke kerjaya nyanyian, Nikki berkata, dia kini sudah bersedia untuk kembali aktif selepas menemui seorang pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga anaknya itu.

Sebagai permulaan, penyanyi lagu Caramu ini tampil dengan projek lagu duet berjudul Antara Kita dengan penyanyi Filipina, Jed Madela.

"Saya ingin kembali aktif dalam nyanyian tetapi ia bukan perkara mudah. Banyak perkara perlu diteliti iaitu pemilihan lagu dan genre yang bersesuaian agar ia segar dan bersesuaian dengan selera semasa.

"Mungkin selepas promosi lagu duet ini, saya akan mula mencari material baru untuk lagu single atau pun album mini," katanya.

Lagu duet tersebut dimuatkan dalam album terbaru Jed iaitu Between Us yang kini boleh didapati di cawangan Rock Corner.

Nikki Lahirkan Bayi Lelaki


PETALING JAYA: Penyanyi Nikki Palikat (gambar) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Liam Mok pada pukul 7.08 malam, 27 Oktober lalu di Hospital Pantai, Bangsar.

Bayi seberat 3.31 kilogram itu dilahirkan terlebih awal kerana isteri kepada komposer Audi Mok itu dijangka bersalin pada 4 November.

Nampaknya hasrat Nikki untuk mendapat bayi yang dilahirkan pada bulan yang sama dengan tarikh lahirnya dan Audi iaitu pada 1 November dan 23 November tidak kesampaian.

Nikki dan Audi berkahwin pada 27 Jun 2009.

Nikki ketagih mangga muda


Tetap bersemangat jayakan Shout! walaupun mengandung sulung

KANDUNGAN yang semakin membesar bagai tidak membatasi rutin aktiviti seni Nikki Palikat, malah semangatnya tidak sedikit menurun biarpun perutnya semakin membesar.

Nikki yang sedang hamil lima bulan, hasil perkahwinan dengan komposer popular, Audi Mok dilihat begitu bertenaga ketika ditemui pada sesi latihan pementasan broadway, Shout! The Mod Musical, baru-baru ini. Kata Nikki, Shout! yang akan dipentaskan di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), Kuala Lumpur dari 15 hingga 21 Julai ini adalah kemunculan terakhirnya sebelum berundur seketika.

Selepas itu, wanita dari Tambunan, Sabah, berusia 25 tahun ini memilih untuk berehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kandungannya.

“Saya lepaskan semua aktiviti seni perlahan-lahan. Tawaran persembahan masih diterima, cuma Nikki terpaksa membataskan aktiviti.

Ditambah perut yang semakin besar, Nikki bimbang nanti akan menyukarkan pergerakan pula. Tetapi sepanjang lima bulan ini, Nikki memang aktif malah lebih bertenaga berbanding sebelum hamil dulu.
“Nikki sendiri tidak mahu terlalu memanjakan diri. Selagi bertenaga, mengapa tidak Nikki penuhi tawaran yang datang? Harap semangat yang Nikki bawa ini akan menurun kepada bayi nanti,” kata Nikki teruja menanti kelahiran anak lelaki yang dijangka awal November depan.

Kata Nikki yang bernikah dengan Audi pada 27 Jun 2009, tiga bulan pertama kehamilan memberikan cabaran yang cukup menduga.

Dia berdepan alahan yang teruk tetapi pada masa sama, tawaran persembahan sudah banyak dipersetujui. Mahu atau tidak, Nikki kuatkan juga semangat untuk meneruskan persembahan kerana enggan mengecewakan penganjur.

“Bayangkan Nikki sudah bersemangat untuk memulakan nyanyian tetapi ketika itulah Nikki mahu muntah dan sebagainya. Memburukkan lagi keadaan jika persembahan diadakan di lokasi tertutup. Nikki langsung tidak boleh terhidu makanan, jika tidak akan loya. Tiga bulan pertama memang Nikki terpaksa menolak makanan. Tetapi selesai melepasi trimester pertama, Nikki begitu berselera menikmati apa saja hidangan.

“Paling tidak tahan jika diberikan mangga muda. Ia cukup menyelerakan,” kata Nikki yang memilih untuk melahirkan anak pertamanya itu di ibu kota.

Penyanyi yang pernah muncul dengan dua album, Maharani dan Hawa bersyukur kerana suaminya sendiri menggalakkan dia supaya kekal aktif. Bagaimanapun, kata Nikki, sejak kandungannya mencecah lima bulan dia mula merasai sedikit kelainan barangkali kerana berat badannya semakin meningkat.

“Audi sendiri banyak membuat kajian dan membaca mengenai wanita hamil. Jadi dia selesa jika Nikki aktif asalkan aktiviti itu tidak membebankan serta membahayakan kandungan. Lepas berpantang nanti pun Nikki tidak bercadang untuk berehat lama. Apa yang Nikki dengar, Shout! akan memulakan siri jelajah akhir tahun ini.

“Jika perancangan itu menjadi kenyataan, kiranya Nikki kembali tepat pada masanya nanti. Nikki berdoa sangat proses pemulihan akan berjalan lancar kerana Nikki memang jenis tidak betah berehat lama di rumah,” katanya.

Disebabkan hamil juga Nikki menangguhkan perancangan untuk menghasilkan album ketiganya tahun ini. Nikki bimbang tidak berkesempatan melakukan promosi menyeluruh sedangkan seluruh tenaga sudah dicurahkan untuk pembikinan produksi itu.

“Apabila difikirkan balik, lebih baik Nikki bersabar dan menunggu supaya semua urusan selesai. Tidak guna juga bergegas membuat itu dan ini, sudahnya nanti Nikki tidak mendapat kepuasan yang dicari,” katanya.

Paksa diri untuk belajar

PROGRAM Shout! yang diterbitkan Broadway Entertainment serta dijayakan Ning Baizura, Tria Aziz, Tisha Zarina dan Shanel Shanty turut memberikan cabaran baru kepada Nikki. Bukan sekadar membawanya melangkah ke dunia lakonan, Nikki juga dituntut untuk belajar membaca nota muzik dalam pementasan yang diadaptasi daripada muzikal yang pernah menjadi fenonema sekitar 1960-an.

“Tekanan dirasai terutama apabila membabitkan nyanyian berharmoni. Mahu atau tidak, Nikki paksa diri untuk memahami nota muzik kerana sedikit kesilapan akan merosakkan keseluruhan lagu,” katanya mengenai muzikal arahan Michael Xavier Voon itu.

Kembali bergandingan dengan mentornya, Ning Baizura, Nikki yang memainkan watak sebagai The Yellow Girl begitu teruja untuk mencubanya.

“Nikki diminta menyertai uji bakat. Sangka Nikki ia adalah satu siri televisyen, jadi mengapa tidak mencuba nasib. Tidak sangka sebenarnya ia lebih daripada itu.

“Seronok kerana dapat kembali bekerjasama dengan kak Ning. Teater meruntuhkan jurang antara semua pelakon kerana setiap kami memiliki tanggungjawab untuk memastikan ia mencatat kejayaan.

“Jadi masalah persaingan atau mahu menandingi sesiapa wujud kerana setiap pelakon adalah sama,” kata Nikki yang memperoleh tawaran itu selepas dicadangkan oleh bekas mentornya.

Shout! adalah karya Broadway, New York yang diilhamkan daripada gaya hidup majalah pop Shout! yang terkenal. Ia mengembalikan nostalgia dunia fesyen dan pop pada era 1960-an dan 1970-an.

Muzikal yang menggabungkan lagu, drama dan fesyen bagi mewujudkan suasana sebenar zaman itu diterbitkan Broadway Academy (M) Sdn Bhd yang memperoleh lesen dari New York untuk mementaskan Shout! di sini.

Nikki - Saya Rasa Lebih Cantik Selepas Berkahwin


Nikki rasa begitu bahagia setelah berkahwin dengan Audi Mok

KEMANISAN rumahtangga yang baru dikecapi penyanyi Nikki Palikat semakin dirasai oleh penyanyi kelahiran Sabah itu dan kebahagiaan yang dimilikinya hari ini terjawab di raut wajahnya.

"Saya takut hendak beri jawapan yang klise. Tapi realitinya, saya bahagia apabila bangun pagi dan melihat wajah orang kesayangan saya di sisi.

"Mungkin enam bulan terlalu awal untuk berkata semua ini tapi kebahagiaan itu semakin saya rasakan kerana saya cukup bertuah menjadi isteri Audi Mok. Dia suami yang sungguh sporting," jelas Nikki yang terkenal dengan lagu 'Caramu' itu ketika ditemui di SuriaFM baru-baru ini.

Kata Nikki, "Saya rasa lebih cantik selepas berkahwin. Saya rasa lebih dihargai sebagai wanita...."

Bagi Nikki, saat-saat bahagia di samping Audi seperti tidak puas di laluinya kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing. Tambahan pula, Audi adalah komposer yang selalu menjadi buruan penyanyi untuk mendapatkan ciptaan lagu terbarunya.

"Kami memahami kerjaya masing-masing. Tapi suami saya lebih 'low profile' dan tidak seperti saya yang cakap banyak. Audi pendiam dan banyak tumpukan masa kepada kerjanya. Tapi dia cukup perihatin tentang makan minum saya.

"Apa saja yang membuat saya gembira, dia akan lebih gembira," kata Nikki yang berusia 23 tahun itu.

Bagi Nikki, kebahagiaan yang dikecapinya hari ini berkat doa kedua orang tuanya.

Nikki semakin seksi selepas berkahwin

Jika dulu, bapanya, Nicholas Palikat adalah penyanyi RTM Sabah dalam tahun 70-an satu ketika dulu. Dan kini, Nikki pula dapat seorang suami yang sealiran dan satu kepala dengannya.

"He is my best friend. Kalau ada masa terluang Nikki suka main permainan komputer atau pergi ke gym.

"Nikki bersusah payah pergi ke gym untuk mendapat badan yang lebih menarik," katanya sambil ketawa kecil.

"Kehidupan selepas berkahwin ini memang seronok sebab sentiasa ada kawan baik di rumah," kata Nikki yang menganggap Audi teman karibnya.

Kata Nikki, dia mempunyai satu hobi yang baru sejak berkahwin.

"Shopping...saya boleh bershopping sampai penat. Ianya satu hobi baru saya. Suami saya hanya mendengar saja apa yang saya beli dan di mana saya beli barang-barang itu," kata Nikki.

Ditanya tentang album baru, Nikki menaruh harapan agar dapat menerbitkan album baru pada masa terdekat.

"Setelah album kedua Hawa tidak begitu mendapat sambutan, Nikki rasa sedih juga sebab Nikki sudah curahkan segala-galanya.

"Tapi Nikki tak akan berputus asa dan akan cuba lagi. Nikki merasakan yang para pendengar muzik perlu mempelbagaikan cita rasa. Barulah penggiat seni akan lebih berani buat eksperimen dalam muzik yang dihasilkan dan tak statik dalam genre atau muzik yang sama.

Ditanya tentang anak, Nikki kata dia perlu tiga tahun untuk menyiapkan diri secara mental.

"Terlalu awal. Saya ingin menikmati alam rumahtangga bersama suami dulu. Mungkin selepas 3 tahun, saya akan bersedia...," jelas Nikki sambil tergelak manja.

Kehidupan Nikki selepas berumah tangga


SAYA sudah mengenali suami sejak tiga tahun lalu. Sepanjang perkenalan itu, dia sudahpun menunjukkan perwatakannya yang sebenar.

''Kini, selepas berumah tangga, tiada kejutan yang saya alami mengenai dirinya melainkan masih belum dapat menyesuaikan diri apabila orang lain panggil saya 'puan'.''

Itu jelas pemilik diri bernama Nicolette Louisa Palikat atau Nikki saat menceritakan perjalanan hidupnya selepas bergelar isteri kepada komposer terkenal, Audi Mok.

Nikki dan Audi disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Gereja St. Francis Xavier, Petaling Jaya, tanggal 27 Jun lalu.

Menurut Nikki, selepas berkahwin, kariernya sebagai penyanyi masih tidak berubah lantaran kedua-dua mereka sudah memahami selok-belok kehidupan dunia hiburan.

Namun, apa yang berubah tentang Nikki adalah keperibadiannya yang kini tidak boleh lagi berkelakuan seperti masih berstatus bujang lagi.

''Apabila orang panggil saya 'puan', kadang-kadang saya rasa pelik dan seperti tidak percaya sudah berkahwin.

''Bapa mertua pun selalu tegur kerana saya sering tersasul memanggilnya uncle. Tetapi, perlahan-lahan, saya sudah mampu membiasakan diri dan sudah tidak tersasul lagi.

''Mengenai Audi pula, walau sudah lama mengenalinya, saya dan dia perlu juga menyesuaikan situasi semasa setelah memegang status berumah tangga,'' katanya ketika ditemui Hits pada majlis rumah terbuka Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nikki dan Audi atau nama sebenarnya Audi Mok Chuang Yew sepakat untuk mendirikan rumah tangga apabila Audi melamarnya di Bangkok pada 1 November tahun lalu.

Perhubungan mereka seterusnya diperkuatkan lagi dengan ikatan pertunangan yang berlangsung pada 28 Disember di rumah keluarga Nikki di Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis perkahwinan dua insan seni ini pada 27 Jun lepas berlangsung cukup meriah dengan dihadiri keluarga terdekat serta rakan-rakan artis lain.

Mengulas lanjut, Nikki yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006 berkata, meski sibuk dengan pelbagai aktiviti hiburan, tanggungjawab selaku isteri tidak pernah diabaikannya.

Menguruskan rumah tangga termasuk memasak merupakan perkara yang tidak menjadi masalah untuk Nikki melaksanakannya.

Bagaimanapun, Nikki menjelaskan bahawa Audi setakat ini secara perlahan sedang membiasakan tekaknya untuk menikmati masakan yang dimasak olehnya.

''Audi suka masakan bergoreng dan berperisa. Saya pula kalau bab memasak, semuanya masakan yang direbus. Masakan saya lebih untuk kesihatan.

''Secara tidak langsung, tabiat makan Audi pun sudah berubah. Dia sudah mula makan sayur,'' ujarnya.

Perselisihan faham, gaduh dan merajuk

Ditanya mengenai soal perselisihan faham atau pergaduhan yang berlaku sepanjang beberapa bulan menjadi isteri kepada Audi, Nikki berkata, perkara itu adalah lumrah.

''Walau bergaduh, kami tidaklah bergaduh seperti zaman sebelum berkahwin. Kalau dahulu, kami banyak bergaduh dan saya sering merajuk.

''Kadang-kadang, saya sering marahkannya. Tetapi, akhirnya saya dan Audi perlu ingat bahawa kami sudah berkahwin.

''Sebelum kahwin, kalau merajuk, bolehlah saya pergi tempat lain tetapi kini, kena balik rumah juga,'' kata Nikki sambil ketawa besar.

Bulan madu

Sementara itu, Nikki tatkala diajak bercerita mengenai bulan madu memberitahu dia dan Audi telah pun bercuti ke Bali, Indonesia pada 2 Julai lalu.

Selama lima hari berada di sana, kedua-dua mereka merancang untuk berbulan madu sekali lagi pada tahun depan dan lokasinya kali ini adalah di Jordan.

''Semasa di Bali, kami seperti tidak berbulan madu sebab terlalu letih dengan persiapan perkahwinan dan kerja.

''Memang kami sudah merancang untuk berbulan madu sekali lagi dan pastinya akan dilakukan pada tahun depan.

''Hujung tahun ini tidak boleh sebab majlis resepsi di pihak saya akan diadakan di Inanam, Sabah. Majlis itu akan berkonsepkan tradisional masyarakat Kadazandusun,'' katanya yang tidak sabar hendak melihat suaminya mengenakan pakaian tradisional Kadazandusun.

Terbang ke Jakarta

Dalam pada itu, Nikki saat diajukan persoalan terhadap berita mengenai lagu-lagunya yang bakal dibawa menembusi pasaran Indonesia berkata, semuanya akan menjadi kenyataan sebaik proses pemilihan lagu yang bersesuaian untuk di bawa ke sana selesai.

Ujarnya, setakat ini, dia sudah menjalani proses rakaman semula membabitkan dua buah lagu iaitu Oh! My dan Cantik yang telah dialih liriknya kepada bahasa Indonesia.

''Proses rakaman dijalankan pada bulan lepas. Banyak juga perkataan yang terpaksa ditukar dalam bahasa Indonesia,'' tambahnya.

Oh! My dan Cantik merupakan lagu yang termuat dalam album kedua Nikki berjudul Hawa.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails