
SAYA sudah mengenali suami sejak tiga tahun lalu. Sepanjang perkenalan itu, dia sudahpun menunjukkan perwatakannya yang sebenar.
''Kini, selepas berumah tangga, tiada kejutan yang saya alami mengenai dirinya melainkan masih belum dapat menyesuaikan diri apabila orang lain panggil saya 'puan'.''
Itu jelas pemilik diri bernama Nicolette Louisa Palikat atau Nikki saat menceritakan perjalanan hidupnya selepas bergelar isteri kepada komposer terkenal, Audi Mok.
Nikki dan Audi disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Gereja St. Francis Xavier, Petaling Jaya, tanggal 27 Jun lalu.
Menurut Nikki, selepas berkahwin, kariernya sebagai penyanyi masih tidak berubah lantaran kedua-dua mereka sudah memahami selok-belok kehidupan dunia hiburan.
Namun, apa yang berubah tentang Nikki adalah keperibadiannya yang kini tidak boleh lagi berkelakuan seperti masih berstatus bujang lagi.
''Apabila orang panggil saya 'puan', kadang-kadang saya rasa pelik dan seperti tidak percaya sudah berkahwin.
''Bapa mertua pun selalu tegur kerana saya sering tersasul memanggilnya uncle. Tetapi, perlahan-lahan, saya sudah mampu membiasakan diri dan sudah tidak tersasul lagi.
''Mengenai Audi pula, walau sudah lama mengenalinya, saya dan dia perlu juga menyesuaikan situasi semasa setelah memegang status berumah tangga,'' katanya ketika ditemui Hits pada majlis rumah terbuka Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nikki dan Audi atau nama sebenarnya Audi Mok Chuang Yew sepakat untuk mendirikan rumah tangga apabila Audi melamarnya di Bangkok pada 1 November tahun lalu.
Perhubungan mereka seterusnya diperkuatkan lagi dengan ikatan pertunangan yang berlangsung pada 28 Disember di rumah keluarga Nikki di Kota Kinabalu, Sabah.
Majlis perkahwinan dua insan seni ini pada 27 Jun lepas berlangsung cukup meriah dengan dihadiri keluarga terdekat serta rakan-rakan artis lain.
Mengulas lanjut, Nikki yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006 berkata, meski sibuk dengan pelbagai aktiviti hiburan, tanggungjawab selaku isteri tidak pernah diabaikannya.
Menguruskan rumah tangga termasuk memasak merupakan perkara yang tidak menjadi masalah untuk Nikki melaksanakannya.
Bagaimanapun, Nikki menjelaskan bahawa Audi setakat ini secara perlahan sedang membiasakan tekaknya untuk menikmati masakan yang dimasak olehnya.
''Audi suka masakan bergoreng dan berperisa. Saya pula kalau bab memasak, semuanya masakan yang direbus. Masakan saya lebih untuk kesihatan.
''Secara tidak langsung, tabiat makan Audi pun sudah berubah. Dia sudah mula makan sayur,'' ujarnya.
Perselisihan faham, gaduh dan merajuk
Ditanya mengenai soal perselisihan faham atau pergaduhan yang berlaku sepanjang beberapa bulan menjadi isteri kepada Audi, Nikki berkata, perkara itu adalah lumrah.
''Walau bergaduh, kami tidaklah bergaduh seperti zaman sebelum berkahwin. Kalau dahulu, kami banyak bergaduh dan saya sering merajuk.
''Kadang-kadang, saya sering marahkannya. Tetapi, akhirnya saya dan Audi perlu ingat bahawa kami sudah berkahwin.
''Sebelum kahwin, kalau merajuk, bolehlah saya pergi tempat lain tetapi kini, kena balik rumah juga,'' kata Nikki sambil ketawa besar.
Bulan madu
Sementara itu, Nikki tatkala diajak bercerita mengenai bulan madu memberitahu dia dan Audi telah pun bercuti ke Bali, Indonesia pada 2 Julai lalu.
Selama lima hari berada di sana, kedua-dua mereka merancang untuk berbulan madu sekali lagi pada tahun depan dan lokasinya kali ini adalah di Jordan.
''Semasa di Bali, kami seperti tidak berbulan madu sebab terlalu letih dengan persiapan perkahwinan dan kerja.
''Memang kami sudah merancang untuk berbulan madu sekali lagi dan pastinya akan dilakukan pada tahun depan.
''Hujung tahun ini tidak boleh sebab majlis resepsi di pihak saya akan diadakan di Inanam, Sabah. Majlis itu akan berkonsepkan tradisional masyarakat Kadazandusun,'' katanya yang tidak sabar hendak melihat suaminya mengenakan pakaian tradisional Kadazandusun.
Terbang ke Jakarta
Dalam pada itu, Nikki saat diajukan persoalan terhadap berita mengenai lagu-lagunya yang bakal dibawa menembusi pasaran Indonesia berkata, semuanya akan menjadi kenyataan sebaik proses pemilihan lagu yang bersesuaian untuk di bawa ke sana selesai.
Ujarnya, setakat ini, dia sudah menjalani proses rakaman semula membabitkan dua buah lagu iaitu Oh! My dan Cantik yang telah dialih liriknya kepada bahasa Indonesia.
''Proses rakaman dijalankan pada bulan lepas. Banyak juga perkataan yang terpaksa ditukar dalam bahasa Indonesia,'' tambahnya.
Oh! My dan Cantik merupakan lagu yang termuat dalam album kedua Nikki berjudul Hawa.
