Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Ramona Zam Zam. Show all posts
Showing posts with label Ramona Zam Zam. Show all posts
Ramona pelik dijadikan isu
NAMA pelakon Ramona ZamZam, tiba-tiba menjadi bahan bualan ramai selepas aktres yang popular menerusi drama Cinta Jangan Pergi itu dikaitkan dengan berita pembatalan majlis pernikahan pasangan pelakon, Dazrin Kamarudin dan tunangnya, Amyra Rosli kelmarin.
Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 24, dikatakan menjadi punca majlis pernikahan pasangan yang sepatutnya berlangsung esok, 8 Ogos dibatalkan impak gambarnya bersama Dazrin dimuat naik ke akaun Instagram Julai lalu.
Meskipun dikecam hebat oleh para peminat, Ramona ternyata tidak cepat melatah apabila dilanda pelbagai spekulasi yang melibatkannya dan Dazrin.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Ramona mengakui dia berasa penat dan enggan dikaitkan dengan perkara ini lagi. Dalam pada itu, dia juga melahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu tentang pembatalan majlis perkahwinan Dazrin dan Amyra. Ikuti temu bual selanjutnya.
Kosmo!: Adakah Ramona sedar tentang spekulasi mengenai anda yang timbul berhubung dengan pembatalan majlis pernikahan Dazrin dan Amyra?
RAMONA: Ya, saya sedar tentang perkara ini. Bagaimanapun, saya meminta agar mereka di luar sana berhenti mengaitkan saya dengan pembatalan majlis pernikahan tersebut. Dazrin dan Amyra sendiri sudah membuka mulut bahawa saya tiada kena-mengena dalam perkara ini. Justeru, saya berharap sangat agar ia dapat dihentikan.
Benarkah pembatalan majlis itu berkait rapat dengan gambar yang anda muat naik ke dalam akaun Instagram bulan lalu?
Sejujurnya, saya berasa sungguh pelik mengapa gambar tersebut boleh dijadikan isu. Kami langsung tidak memaparkan aksi bermesra. Ketika itu, saya dan Dazrin sedang berehat daripada sesi penggambaran drama Bingkai Kaca sambil menghisap shisha. Namun, rakan saya ada memberi amaran sebaik sahaja gambar itu dimuat naik.
Apakah amaran tersebut?
Selepas pulang daripada lokasi penggambaran, saya keluar makan bersama teman rapat. Salah seorang daripada mereka memberi amaran supaya saya lebih berhati-hati. Katanya, apa sahaja boleh berlaku kerana Dazrin dan Amyra bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa yang terdekat.
Adakah anda terkejut apabila amaran rakan anda itu benar-benar berlaku?
Sebenarnya, saya tidaklah terlalu terkejut. Semenjak rakan saya berkata begitu, saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Namun, apa yang mengejutkan adalah pembatalan majlis pernikahan itu. Saya tidak boleh bayangkan perasaan mereka terpaksa membatalkan majlis setelah bertungkus-lumus membuat persiapan.
Adakah benar hubungan anda dan Dazrin rapat?
Saya sudah mengenali Dazrin sebelum dia mengenali Amyra. Hubungan kami hanyalah sekadar kawan biasa sahaja. Jadi isu saya menjadi penyebab kepada perkara ini adalah tidak relevan sama sekali.
Sepanjang kontroversi ini, adakah anda tertekan setelah banyak pihak menuding jari terhadap anda?
Saya agak tertekan. Namun, saya lebih tertekan apabila membaca komen-komen peminat di Instagram yang mengeluarkan kata-kata kesat menyalahkan saya. Sebab itu saya mohon agar saya tidak dikaitkan lagi dalam perkara ini.
Jika diberi peluang untuk bekerja bersama, adakah anda akan menerima tawaran tersebut?
Saya tidak mempunyai sebarang masalah. Antara saya, Dazrin dan Amyra baik-baik sahaja. Mereka pun tidak menyalahkan sesiapa. Saya bersikap terbuka dan profesional.
"Saya Tidak Bersalah" - Ramona Zamzam
Pelakon Ramona Zamzam menjelaskan hubungannya dengan pelakon Dazrin Kamaruddin renggang selepas kontroversi gambar mesra mereka yang dimuat naik di laman Instagram dicerca peminat.
Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 24, berkata, disebabkan perkara itu, dia langsung tidak berhubung dan bertegur sapa dengan Dazrin kerana begitu marah dengan cercaan itu.
"Saya terkejut mendengar berita tentang Dazrin dan tunangnya Amyra Rosli membatalkan perkahwinan mereka dan saya sudah menjangkakan akan menjadi mangsa dituduh sebagai pihak ketiga kerana saya orang terakhir yang digosipkan dengan dia.
"Saya tidak takut berhadapan dengan media kerana saya tidak bersalah dalam hal ini, selepas gambar kami menjadi isu saya sangat marah dan tidak berhubung langsung dengan Dazrin hingga hari ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Ramona berkata demikian ketika diminta mengulas apabila namanya dikaitkan sebagai punca pembatalan majlis perkahwinan pelakon Dazrin dan Amyra Rosli yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini.
Pada dua minggu lalu, gambar Ramona dengan Dazrin di lokasi penggambaran telefilem Bingkai Kaca, menjadi kontroversi apabila Ramona dikatakan mengganggu hubungan pasangan berkenaan.
Tambah Ramona, dia tidak pernah beniat untuk mengganggu hubungan tersebut malah sudah mengenali Dazrin sejak beberapa tahun sebelum dia mengikat tali pertunangan dengan Amyra lagi.
Jelasnya, gambar tersebut juga bukanlah aksi yang keterlaluan sebaliknya gambar ketika di lokasi penggambaran yang mana ketika itu Dazrin datang membawa shisha.
"Saya dan Dazrin sudah kenal lama sejak saya masuk dalam industri lagi malah kami sering kali digandingkan untuk berlakon bersama sebagai pasangan kekasih.
"Kalau benar-benar saya ingin menganggu hubungan mereka ia pasti sudah lama berlaku, apa yang saya marah apabila peminat Amyra menghentam saya di Instagram dengan pelbagai kata-kata kesat sehingga saya terpaksa padamkan gambar tersebut agar ia tidak berpanjangan," katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada dia ada berhubung dengan Amyra selepas kejadian itu, Ramona berkata, dia tidak mengenali wanita itu secara dekat dan mereka tidak pernah berhubung.
Jelasnya, biarpun sering dihentam oleh segelintir peminat Amyra di laman sosial, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan wanita itu.
"Lepas gambar tu keluar Amyra senyap sahaja, dia tidak pula hubungi saya untuk minta penjelasan jika dia tidak puas hati tentang gambar berkenaan," katanya.
Ramona sanggup bersumpah
POPULARITI segera yang dikecapi Ramona Zamzam usai tayangan terakhir drama bersiri Cinta Jannah yang telah mencapai rating penonton 4.2 dua minggu lalu tidak bermakna pelakon muda itu harus menghela nafas lega. Terbaharu, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 23, dilayangkan gosip liar menyatakan dia sering keluar masuk rumah seorang usahawan bergelar Datuk di pinggir ibu kota.
Lebih menjelikkan Ramona dituduh menjadi perempuan simpanan usahawan tersebut serta sering berkunjung ke banglo mewah itu bukan atas dasar perniagaan semata-mata.
Ikuti luahan hati pelakon cantik kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Kosmo!: Sebelum ini pernah keluar cerita yang kurang enak mengenai Ramona yang dikatakan bercuti ke Pulau Pinang bersama seorang lelaki bergelar Datuk menaiki pesawat peribadi, kali ini keluar lagi cerita mengaitkan anda dengan lelaki kaya yang lain pula. Apakah komen Ramona?
RAMONA: Ya, memang benar sebelum ini saya pernah dikaitkan dengan spekulasi tersebut tapi saya menegaskan bahawa saya bercuti bersama isteri seorang usahawan berpangkat Datuk dan ditemani adik serta ibu saya. Gosip kali ini sangat mengganggu emosi saya, seharian saya menangis apabila diberitahu mengenai cerita yang mengaibkan ini. Sesungguhnya, saya bersumpah cerita yang dikeluarkan itu tidak benar sama sekali!
Atas dasar apakah sampai Ramona sanggup bersumpah menafikan cerita itu?
Demi Allah saya tidak pernah mengunjungi mana-mana rumah Datuk dan saya mengaku saya seorang kaki lepak kalau saya tiada penggambaran. Ramai yang mengetahui perangai saya dan saya pun tak pandai propa (kelentong). Saya tidak kacau orang, kalau orang tidak suka saya itu bukan masalah saya tapi jangan sampai mengaibkan saya sebegini. Saya tidak tahu daripada mana cerita ini boleh timbul dan sepanjang karier saya ini tuduhan paling melampau pernah saya terima. Saya tahu saya tidak popular tapi kenapa perlu nak jatuhkan saya?
Saya tidak mengharapkan perhatian orang, kalau orang tidak perasan kehadiran saya dalam industri ini lebih bagus. Saya pun lagi selesa. Tak perlu untuk saya gila populariti.
Ramona juga dikatakan akan menjalankan bisnes dengan Datuk terbabit. Komen anda?
Memang betul saya merancang untuk memulakan perniagaan bersama kawan baik saya, Naomi Yap memandangkan saya juga lulusan Pengurusan Perniagaan. Tapi tiada seorang pun Datuk yang akan terbabit dengan urusan perniagaan saya melainkan kawan saya itu.
Mungkin ada tindakan Ramona berkunjung ke rumah individu lain berpangkat Datuk sehingga mengundang fitnah?
Saya akui saya selalu berkunjung ke rumah Naomi untuk mengambil atau menghantarnya pulang tapi baik keluarga saya atau keluarga dia masing-masing tiada berpangkat Datuk.
Selain Naomi, saya mempunyai seorang bapa saudara bergelar Datuk yang kediamannya terletak di Batu Caves, Selangor. Mungkin dia individu yang dimaksudkan cuma setiap kali saya berkunjung ke rumahnya saya akan datang bersama-sama keluarga saya. Kali terakhir ke rumahnya pun beberapa minggu lalu sempena rumah terbuka Aidilfitri.
Jadi, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini?
Saya tidak salahkan wartawan yang menulis kerana sudah pasti penulis juga mendapat informasi daripada individu di luar sana yang cemburu dan mahu melihat saya jatuh. Saya mahukan penjelasan dan bukti bahawa saya melakukan perbuatan itu bersama Datuk yang dimaksudkan.
Apakah tindakan Ramona selepas ini untuk membersihkan reputasi diri anda?
Saya seorang wanita yang akan berjuang untuk mempertahankan hak saya dan perbetulkan tohmahan negatif yang dilemparkan. Saya akan mencari siapa individu yang menyebarkan berita fitnah itu dan saya cabar untuk kemukakan bukti di depan mata saya. Jangan sampai saya bawa kes ini menjadi kes saman-menyaman. Saya tahu saya benar dan tiada seorang pun Datuk dalam hidup saya. Jangan cabar saya kerana saya boleh berdendam dengan orang.
Adakah Ramona akan lebih berhati-hati selepas ini?
Saya sangat takut sekarang kerana mungkin akan timbul spekulasi lanjutan apabila orang mendapat tahu saya akan bercuti di Eropah selama sebulan. Ingin saya tegaskan bahawa percutian ini bersama keluarga saya yang ramai menetap di sekitar Eropah dan atas titik peluh saya sendiri, tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Saya akan melawat Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Itali sepanjang tempoh itu.
Ramona tak mahu bermusuh
Saya dan dia tahu - Ramona Zamzam
Ramona fasih tiga bahasa
KETIKA dia muncul mengacara majlis berbuka puasa anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Bangsar, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, banyak mata terpesona dengan wanita yang satu ini.
Kurung merah yang dikenakan mencuri tumpuan hadirin, kala digandingkan bersama pelawak tidak asing lagi, Roslan Shah.
Apabila Ramona ZamZam cuba berinteraksi dengan beberapa tetamu berbangsa Cina dalam bahasa Mandarin, ada yang mendekat.
Selepas itu, semakin ramai yang mengelilingi Ramona, untuk memastikan apakah benar dia fasih bahasa itu, atau sekadar tahu satu atau dua ayat semata-mata?
Ternyata, si manis ini memang sangat mahir dalam Bahasa Mandarin kerana mampu menuturkan dengan baik sekali di hadapan tetamu-tetamu lain yang kelihatan agak teruja dengan kepetahannya.
Si emak, yang dari tadi memerhati keadaan anaknya yang mula disoal dengan macam-macam perkara, mula memberitahu penulis.
"Memang saya hantar dia ke sekolah Cina semenjak umur empat tahun lagi. Sekarang, saya rasa sangat berpuas hati sebab dia menguasai Bahasa Mandarin dengan sangat baik.
"Banyak kelebihan sebenarnya bila anak-anak belajar Mandarin, termasuklah menjadi seorang yang lebih fokus kepada masa depan mereka," katanya.
Perlu diketahui juga, Ramona bukan sekadar tahu bertutur, sebaliknya pandai menulis dan membaca dalam bahasa kedua dituturkan paling banyak di dunia itu.
Sementara berpeluang, teruslah mencari empunya diri secara lebih dekat lagi.
Menurut Ramona, "Memahami bahasa ketiga sangat 'best'. Saya memang tak sabar hendak menggunakannya dalam alam pekerjaan suatu masa nanti.
"Memandangkan dalam dunia akting ia tidak banyak digunakan, sebab itu saya berhasrat untuk lebih banyak menggunakannya dalam dunia pekerjaan suatu masa nanti," kata pelajar tahun akhir Segi Collage dalam bidang Pengurusan Perniagaan ini.
Siapa Ramona?
Mula dikenali sejak muncul dalam pertandingan Dewi Remaja, Ramona sebenarnya satu angkatan dengan nama-nama seperti Anzalna, Neeloofa dan Izara Aisyah.
Sebenarnya sebelum ketiga-tiga nama tadi melonjak popular, Ramona sudah pun terlebih awal disambar oleh penerbit filem, malah pada usia 12 tahun sudah terlibat dengan komersial.
Mungkin ramai yang sudah lupa, Ramona pernah muncul dalam filem terbitan Rosyam Noor, Castello lebih lima tahun lalu.
Sebagai rakan kepada Liyana Jasmay dalam filem gangster itu, ia mendedahkan dunia lakonan secara lebih meluas kepada pelakon berusia 22 tahun ini.
Selepas Castello dia muncul dalam filem Dua Hati Satu Jiwa diikuti dengan Sepah The Movie dan terbaru Penunggu.
"Selepas Castello, memang banyak drama yang saya terlibat. Bagaimanapun saya tidak nafikan daripada segi publisiti kerjaya agak berkurangan.
"Mungkin kerana tumpuan saya kepada kerja semata-mata, jadi kurang tumpuan kepada usaha promosi diri. Pada saya, saya sudah cukup bersyukur dengan apa yang ada hari ini, meskipun ramai yang belum lagi betul-betul kenal nama Ramona ZamZam," katanya dengan petah sekali.
Meskipun baru terlibat dalam empat filem, untuk drama sudah agak banyak dilakonkan. Pada 2011 sahaja hampir 15 drama menggunakan khidmat Ramona.
Ketika ini Ramona sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Penunggu arahan Aziz M.Osman.
Penat yang seronok
Menjadikan dunia lakonan sebagai bidang sampingan semata-mata, masa depan Ramona tidak dapat ditelah.
Apa yang penting, dia mahu menghabiskan pembelajaran di peringkat Diploma sekarang dan kemudian menyambungnya ke tahap yang lebih tinggi.
"Seronok memang seronok berlakon. Walaupun agak penat di lokasi, ia juga sebahagian daripada cita-cita saya. Namun begitu, pelajaran lebih peting dan saya tidak akan meninggalkan pelajaran semata-mata kerana lakonan. Tidak sama sekali," janjinya.
Ramona juga tidak bercadang kekal lama di bidang glamor.
"Tengok keadaan jugalah. Kalau dalam dunia lakonan, masa depan dan nama saya tidak bagus sangat saya akan cari pekerjaan lain yang ada kaitan dengan bisnes.
"Setakat ini saya seronok berlakon. Masa depan belum pasti, mungkin saya akan buka bisnes sendiri," katanya.
Perangai buruk Ramona Zam Zam
MINGGU lepas, mulut becok si Gayah Debab berbuih-buih bercerita kat Diva pasal Ramona Zam Zam. Diva tanya satu perkara sahaja; siapa Ramona Zam Zam. Dia wajah jenama air atau duta kosmetik. Kalau artis, apa drama atau filem lakonan dia?
Jenuh jugalah Gayah kerutkan kening nak ingatkan apa lakonan Ramona Zam Zam yang rasa-rasanya tak ada orang nak ingat sangat. Kata Gayah, pelakon itu sekadar tumpang nama program realiti pencarian bakat majalah, selebihnya jual kisah kontroversi yang tak habis-habis keluar dari mulutnya.
Paling baharu, katanya si Ramona ni sudah pandai memilih. Bagus kalau pandai memilih, maknanya ada cita rasa tapi kalau memilih tak ukur badan sendiri, itu namanya saja nak menempah binasa. Dah namanya artis, suam-suam kuku pun artis juga, kalau memilih jurusolek, pereka fesyen ke, itu biasa.
Tambah Gayah, Ramona tahun ni dah pandai pilih regu dalam sesi fotografi. Kalau setahun lepas, peluk dengan tiang karat pun sanggup! Tapi sekarang, jangan sesuka hati nak gandingkan dia, kalau bukan dengan calang-calang orang.
Dah dua tahun dalam industri, mungkin dia rasa dia dah cukup hebat. Jadi, untuk gandingan dalam fotografi pun kena dengan nama besar sahaja, setakat pelakon tambahan dia tolak mentah-mentah okey.
Eh, kalau macam tu, Diva pun boleh buat syarat sebab sudah berdekad jadi penulis. Jadi, kalau setakat artis baharu setahun jagung nak minta ruangan perkenalkan diri dengan Diva, maaflah, carilah wartawan baharu ya! Jemari matang ini tidak betah menulis cerita artis baharu nak naik, muaklah! Itu jawapan sama yang Diva dengar 10 tahun sudah!
Nasihat untuk Ramona
‘Cukuplah fitnah saya’ - Ramona
ATMOSFERA hiburan tanah air sekali lagi hangat dengan kisah peribadi pelakon baru yang selesa dikenali dengan nama Ramona Zamzam ini.
Satu ketika, dia pernah dituduh suka bersosial selain mengamalkan cinta songsang termasuk suka bertukar-tuar teman lelaki.
Reda kontroversi itu, kali ini wanita dengan nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 22, ini tercalit pula dengan gosip liar yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang lelaki berstatus Datuk.
Khabar angin mengenai hal ini sudah pun tersebar meluas termasuk disiarkan dalam akhbar ini.
Lumrah kehidupan artis, apa sahaja yang dilakukan sudah tentulah menjadi perhatian dan sentiasa sahaja ada yang mahu mengambil tahu.
Maka, kerana itu jangan terkejut sebenarnya sudah ramai mata-mata nakal yang cuba meneka-neka nama lelaki yang dimaksudkan.
Mengikut dakwaan, lelaki yang dikenali dengan nama Datuk S itu merupakan seorang individu yang berpengaruh dalam bidang kosmetik dan kecantikan.
Spekulasi kian memburuk apabila Ramona juga dituduh kononnya sering kelihatan berulang-alik ke rumah Datuk S tanpa sebab yang diketahui.
Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Nilapura ini juga dituduh telah pergi bercuti dan menghabiskan masa bersama Datuk berkenaan di sebuah resort di Pulau Pinang baru-baru ini.
Persoalannya sekarang, semurah itukah diri Ramona?
Ketika pertanyaan diaju, riak wajahnya seakan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang terbeban di hati lantaran dirinya difitnah sebegitu rupa.
“Saya ingatkan dah habislah orang nak mengata tentang diri saya. Rupanya ada lagi,” ringkas tutur anak sulung daripada dua beradik ini usai sesi penggambaran dijalankan.
Pancaindera juga mahu gosip ini diuraikan dengan penjelasan yang telus terutama dalam membongkar siapakah sebenarnya Datuk S yang dikaitkan dengan Ramona.
“Terus-terang saya sendiri tidak tahu siapa Datuk S yang dikatakan itu. Sumpah! Saya tidak kenal dan tidak tahu.
“Saya pun terkejut macam mana boleh timbul isu saya keluar dengan Datuk S dan sebagainya. Padahal saya ni tak ada hubungan istimewa dengan sesiapa pun.
“Tak kiralah dengan lelaki bujangkah, yang dah kahwinkah, ada gelaran Datuk atau Tan Sri sekali pun, memang tak ada. Apa yang dihebohkan itu adalah satu tuduhan palsu!” katanya tegas.
Penafian berulang-ulang kali dibuat. Namun satu perkara yang benar mengenai gosip yang ditimbulkan adalah mengenai percutiannya di Pulau Pinang tempoh hari.
Dalam tenang, Ramona menjelaskan bahawa kunjungannya tempoh hari ke Pulau Pinang sememangnya atas tujuan bercuti.
Namun kebenarannya adalah, kunjungannya ke situ bukanlah bersama Datuk S sebagaimana yang didakwa.
“Sebetulnya, saya ke sana atas ajakan seorang Datin. Biarlah saya rahsiakan siapa Datin tersebut.
“Tetapi dia bukan ajak saya seorang, kerana tiga finalis satu pertandingan gadis jelita sebuah majalah juga turut serta.
“Paling utama, ibu dan adik turut menemani saya. Jadi tak ada istilah saya ke sana bersama lelaki atau Datuk S seperti yang didakwa tu. Main jet ski? Oh itu sudah lebih, ” katanya.
Kongsi pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini lagi, dia menerima pelawaan percutian itu semasa menghadiri sebuah majlis pelancaran produk kecantikan awal tahun ini.
“Tak akan orang ajak kita nak tolak pula? Lagipun Datin tu sangat baik orangnya. Pelawaan itu bukan datang daripada orang yang saya tak kenal.
“Tak sangka pula ada orang sengaja nak reka cerita ni sampai jadi isu. Lagi satu, saya tak duduk resort. Percutian itu adalah di sebuah kapal mewah. Jadi jangan main tuduh-tuduh,” katanya.
Diva sangatkah?
Selain isu Datuk S, Ramona juga turut dihimpit dengan isu dimana dia didakwa berlagak diva.
Isunya bukan sekadar itu. Ramona juga dikatakan meminta bayaran untuk sesi fotografi sebuah majalah selain tidak mengaku dia lahir daripada sebuah majalah kanak-kanak satu ketika dahulu.
Pantas menepis segala tohmahan itu, kata Ramona, dia tidak pernah dididik untuk bersikap sombong dengan orang apatah lagi untuk berbohong sedemikian rupa.
“Tak pernah sekali pun saya minta duit untuk fotografi dengan media dan tak pernah sekali pun saya berbohong menafikan tentang asal saya.
“Jujurnya saya sedih bila orang cakap saya begitu. Padahal saya kenal siapa diri saya. Mereka yang kenal saya akan tahu saya macam mana orangnya.
“Apa hasilnya kalau saya berlagak diva? Kalau sekali pun tak ada benda nak gosip, janganlah sampai menuduh saya begitu.
“Walhal saya tahu, kalau saya bersikap diva, jawabnya tak lamalah saya dalam industri,” katanya.
Mahu jaga peribadi
Meskipun sudah tampil memberi penjelasan, wanita ini tahu, dirinya tidak mungkin akan terlepas dengan sebarang kontroversi lain yang mungkin akan mendatang selepas ini.
Maka, kerana itu dia mengaku sudah bersiap sedia dari segi mental untuk menepis apa sahaja dugaan selepas ini.
Kata Ramona, dia tidak takut untuk berdepan dengan kontroversi yang datang selagi dia berada di pihak yang benar.
“Macam saya katakan tadi, saya tahu siapa saya. Malah keluarga terutama ibu selalu mengikut saya ke mana sahaja.
“Jangan ingat saya artis, maka orang boleh tabur fitnah macam-macam pada saya
“Selagi boleh, saya juga berjanji dalam apa pun yang dilakukan, saya akan jaga peribadi dan mengelak daripada hal yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa saya.
“Biarlah orang nak kata dan tuduh saya macam-macam sebab di akhirnya, saya tahu keluarga sentiasa berada di belakang saya,” ujarnya.
Ramona Zam Zam berangan diva
MANUSIA memang cepat berubah. Baru-baru ini Diva dengar cerita yang pelakon dan model Ramona Zam Zam tidak mengaku bahawa dia sebenarnya lahir daripada sebuah majalah kanak-kanak. Maklumlah masa tu pun dia remaja dan bukan sesiapa.
Tapi bila sudah menjadi tiga finalis teratas dalam pencarian Dewi Remaja, khabarnya Ramona sudah mula lupa daratan.
Lebih-lebih lagi bila sudah jadi artis. Paling hancur, Diva dengar Ramona juga ada bertanya soal bayaran kepada wartawan majalah yang berhasrat menjemput dia ke satu sesi fotografi.
Khabarnya, oleh kerana tiada bayaran, dia tak ambil peluang fotografi tersebut. Amboi hebatnya Ramona ni.
Masalahnya ada sesiapa boleh tolong beritahu Diva tak, mana satu Ramona ni dan berapa banyak produk dia sudah terbabit?
Ramona kunci mulut
RAMBUT panjang ikal mayang disua ke belakang telinganya. Sambil membetulkan kedudukan, dia tersenyum tanda bersedia untuk ditujah dengan segala pertanyaan berkaitan dirinya sama ada buruk atau baik.
Terserlah sisi positif Ramona Zamzam yang komited dengan karier walau tahu dirinya juga tidak terlepas daripada kata cemuhan sesetengah pihak yang sengaja mencari isu tentang dirinya.
Tetapi biasalah, orang baru dalam industri hiburan. Kalau tak 'terkena', macam mana nak rasa rencah asam garam kehidupan.
Apatah lagi sebagai seorang artis yang mempunyai pakej menarik sepertinya. Ramona juga punya rekod kontroversi biarpun kelibatnya dalam industri baru tiga tahun.
Dia dituduh suka membawa mulut, kekwat atau berlagak, suka bersosial, pendek kata telah bermacam-macam tuduhan dilemparkan. Itu belum lagi masuk bab dia dituduh mengamalkan budaya songsang gara-gara gambar mesranya bersama seorang teman sejenis dalam satu majlis.
Reda isu lesbian, pelakon drama bersiri Nilapura ini kemudian dihentam pula dengan tuduhan suka bertukar-tukar pasangan teman lelaki.
Semua itu timbul selepas tersebarnya foto-foto yang memaparkan dia bergambar bersama beberapa lelaki berlainan di laman blog dan forum di Internet.
Kalau perempuan bergambar begini tentu sekali lekas dicemuh dengan pelbagai panggilan. Maka jangan peliklah apabila Ramona dilabel sebagai playgirl.
Namun, umpama kalis dengan peluru, finalis Dewi Remaja 2010 ini tidak termakan dengan cemuhan orang. Malah, apabila diminta memberi komen berhubung isu-isu negatif mengenai dirinya, Ramona tenang memberi jawapan.
"Bukan saya tak tahu yang banyak orang bercakap tentang saya. Saya begitu, saya begini, sampailah orang cakap yang saya ni playgirl.
"Semua sebab gambar-gambar tu? Itu semua bukan teman lelaki sayalah! Ada antara mereka ialah kawan, keluarga dan sepupu saya.
"Paling penting, itu semua gambar-gambar lama dan ibu bapa saya tahu saya bergambar bersama siapa dan mereka kenal.
"Tak akan kerana berlainan lelaki, maka orang cepat tuduh saya ni suka tukar-tukar pasangan?" demikianlah dakwanya menepis tuduhan.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga mendakwa dia bingung memikirkan mengapa isu ini ditimbulkan.
Bertambah bingung apabila memikirkan ada pihak yang gigih mengumpul gambar-gambar begitu yang kononnya untuk dijadikan bahan bukti.
"Mereka buat kronologi satu-persatu dengan susunan gambar saya dengan lelaki sekian-sekian. Apa tu? Terus terang, saya kasihan dengan pihak terbabit yang beria-ia cari bahan untuk jatuhkan saya.
"Mereka tak ada kehidupan sendirikah? Tak ada kerjakah? Saya harap mereka dapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
"Nak buat macam mana, saya terpaksa cakap macam ni sebab mereka ini tak punya kehidupan sendiri sampai terpaksa menyibuk tentang orang lain.
"Laman-laman blog? jangan haraplah saya nak tengok atau baca. Baik yang tulis dan beri komen-komen negatif tu, mereka tak betul-betul kenali saya.
"Sebab itulah mereka tulis macam-macam isu. Doa sahajalah yang terbaik buat orang-orang macam tu ya," katanya.
Kunci mulutNampaknya, topik cinta bukanlah pembangkit selera buat wanita berusia 21 tahun ini. Klise sungguh bunyinya apabila Ramona memberi alasan bahawa dia mahu fokus sepenuhnya pada bidang karier.
Walhal bukan orang tidak tahu, dia dan pelakon berwajah kacukan Sahee Shamsuddin punya hubungan istimewa.
Dalam mahu mengelak, Ramona bagaimanapun akur memberitahu bahawa dia dan Sahee masih berhubungan dan rapat seperti biasa.
"Kami masih lagi rapat. Lagipun keluarga masing-masing sudah lama saling mengenali. Kalau ikutkan saya tak nak cakap soal cinta. Biarlah orang nak cakap saya ni berlagak eksklusif atau apa sekali pun.
"Hakikatnya saya tak suka. Saya kurang gemar bila orang kenal saya kerana cerita cinta bukan saya sebagai seorang pelakon," katanya.
Mahu berkeras menutup mulut, kata Ramona, dia lebih selesa begitu kerana tidak mahu menjadi seperti sesetengah artis baru yang teruja dengan kisah cinta mereka.
"Ada artis baru yang suka cakap mengenai kisah cinta mereka. Kalau boleh saya tak mahu macam tu. Tak perlulah cakap fasal cinta ya!" pintanya lagi.
Bukan minta lebihSatu keistimewaan pelakon yang turut dikenali menerusi drama Begitukah Cinta ini ialah, dia fasih berbahasa Cina. Namun, tak ramai yang tahu mengenai keistimewaannya itu apalagi dalam bidang seni dan sebagi pelakon, dialog yang diucapkan tentu sekali dalam bahasa Melayu.
Bercerita mengenainya, kata Ramona, dia selagi boleh mahu mengembangkan kemahirannya itu dalam bidang lakonan.
Namun dia terpaksa akur kerana tiada produksi filem atau drama yang mempunyai skop berbilang bahasa dalam satu projek drama dan sebagainya.
"Saya boleh menulis, membaca dan fasih bertutur dalam bahasa Cina namun sayangnya saya tak dapat peluang untuk mencurahkan kemahiran itu dalam bidang ini.
"Kalau ada pun masa zaman kegemilangan Allahyarham Yasmin Ahmad. Tapi selepas dia pergi, siapa pula yang mahu meneruskan legasi dia? Setakat ini, saya lihat tak ada," katanya.
Menurut Ramona lagi, kebolehan berbahasa Cina juga rupanya turut dimiliki oleh beberapa artis lain. Biasanya, kalau berpeluang bertemu muka dengan aktor Shah Jazle dan aktres Yasmin Hani, mereka akan galak bertutur dalam bahasa Cina tanpa mempedulikan orang sekeliling.
"Kalau jumpa mereka ni, mulalah kami masing-masing cakap Cina. Sampai orang tengok kami dengan pandangan yang pelik.
"Alangkah bagusnya kalau hasrat saya ini mampu direalisasikan. Sekurang-kurangnya saya dan artis lain yang berkebolehan berbahasa asing ni mampu berikan kelainan dalam industri.
"Atau mungkin juga kami boleh pergi lebih jauh daripada jangkauan mata. Siapa tahu bukan? Bukan nak minta lebih. Tapi kalau ada peluang tak ada salahnya cuba beri kelainan, " katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
