Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Rini af7. Show all posts
Showing posts with label Rini af7. Show all posts

Realiti seni Rini

SENYAP-SENYAP gadis bertudung ini diragut jiwanya oleh seorang lelaki hingga mengubah status menjadi tunangan orang.

Gadis peramah berusia 26 tahun ini tidak pernah mengejar media kerana bukan saja tidak mahu meraih perhatian, sebaliknya Rini lebih gusar akan persepsi dan pandangan ‘orang luar’ terhadapnya.


Bayangkan, dia dicaci penonton hanya kerana cermin yang menggambarkan personalitinya di dalam slot Diari AF itu jelas bertentangan dengan realiti sikapnya.


Kononnya Rini peserta yang gemar mencari masalah dan gila perhatian baik. Malah ‘drama’ yang ditayangkan ketika itu menyebabkan penonton setia memulaunya hingga ke hari ini. Mahu atau tidak, cabaran dan cacian itu ditelan sebagai pembakar semangat buat dirinya.


Malah tunang kepada bakal guru berusia 28 tahun, Johanis Nordin ini menganggap apa yang berlaku sebagai pemangkin usahanya dan satu harga yang perlu dibayar selepas meraih nama melalui program realiti itu.


“Saya sedar pandangan orang luar terhadap saya selepas mereka diasak dengan visual dan gambaran kurang manis di Diari AF sebelum ini.


“Benar, saya seakan-akan peserta yang suka cari perhatian, gemar cetuskan pergaduhan dan itu semua hanya satu babak drama yang disunting. Selebihnya disimpan dan kekal dalam arkib AF. Apa yang dipertontonkan adalah tidak benar.


“Takut juga pada awalnya, manalah tahu ada peminat mengamuk jika bersemuka dengan saya. Namun Alhamdulillah, fasa itu hanya sementara dan saya percaya peminat hari ini bijak menilai.


“Memang saya sedih apabila baca dan lihat sendiri sebaik keluar dari akademi dulu, namun bila difikirkan semula tiada guna untuk saya terus bersedih.


“Saya akui yang kurangnya publisiti untuk saya sebaik tamat AF berbanding teman lain hinggakan berita pertunangan saya juga tidak mendapat liputan besar.


“Namun saya memandang itu sebagai satu strategi peribadi supaya tidak terlalu kerap muncul di dada media tanpa satu cerita yang benar-benar menarik bagi memancing pembaca, terutama peminat,” katanya.


Sentiasa sedar akan bumi yang dipijak serta mengakui kekurangan yang penuh membasahi dirinya, Rini kini bersedia mengorak langkah sebagai anak seni meskipun bersendirian.


Rezekinya belum putus, sebaliknya tawaran menjadi penyampai Era FM pula menyusur menggantikan kesempitan undangan nyanyian.


Peluang itu tidak dilepaskan kerana pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara ini menyifatkan ruang di konti Era setidak-tidaknya akan memberinya nafas untuk terus ‘hidup’.


Tegasnya berkali-kali, peluang diberi Era FM adalah sesuatu yang berharga buatnya. Selain berjaya menonjolkan bakat tersembunyi, Rini mengakui berjaya membersihkan persepsi kebanyakan orang terhadap dirinya melalui radio.


Melalui segmennya setiap hujung minggu, Rini berpeluang berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan pendengar yang kebanyakannya peminatnya sendiri.


Namun dalam tawa meniti saat-saat indah sebagai penyampai radio, niatnya bergelar penyanyi semakin malap. Malah single pertamanya yang mendapat sentuhan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad iaitu Mainan Jiwa seakan-akan terkubur kerana terjerat dalam mainan politik jenama.


Mana mungkin lagunya diputarkan di stesen lain kerana nama Rini terikat dengan Era. Mustahil juga gadis bijak berjenaka ini memutarkan lagunya di stesen tempatnya bertugas kerana risau ada yang menganggap tindakan itu tidak profesional. Rini menggaru kepala saat menggambarkan keadaan itu.


“Tawaran di Era datang tepat pada waktunya kerana ketika itu, sekitar Oktober rezeki nyanyian saya tidak sekencang mana. Justeru landasan Era ini sangat saya hargai.


“Enam bulan bersama Era banyak mengajar saya erti komitmen dan pengorbanan sebagai anak seni. Pengalaman dan warna-warni cerita saya setiap hari jelas mematangkan saya.


“Bagaimanapun nawaitu dan arah tujuan saya hanya satu. Saya ingin menjadi penyanyi dan impian itu menebal dalam sanubari saya.


“Saya berusaha mencuba bakat di AF pun hanya kerana ingin menjadi penghibur. Justeru saya perlu fikirkan dulu apa yang penting dan relevan untuk saya lakukan bagi menyatakan impian itu.


“Saya tidak boleh menafikan situasi yang mencengkam saya sebagai penyampai Era, yang mana lagu Mainan Jiwa terkubur begitu saja sebelum ia dapat bermain di bibir pendengar.


“Entah mana silapnya namun saya akui, isu penjenamaan stesen radio menghambat saya hingga rasa bagai dijerat. Hendak ke sana tidak diterima, mahu tolak di stesen sendiri bagai tersasar daripada etika kerja.


“Saya tekad untuk mengundur diri dari Era bagi meletak 100 peratus fokus pada dunia nyanyian. Mungkin prosedur mempromosi lagu itu akan lebih mudah jika saya tidak terikat dengan mana-mana stesen radio lagi,” katanya.


Mendengar ceritanya, Rini boleh diangkat sebagai gadis yang sangat komited dan jujur dengan apa yang diperjuangkannya. Bayangkan, niatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah terpaksa dilupakan selepas merancang untuk berduet bersama saudara kembarnya, Rina kira-kira lima tahun lalu. Namun impian itu terkubur begitu saja apabila terbengkalai.


“Saya bukan jenis cepat mengalah. Saya menganggap cabaran itu sesuatu yang perlu saya cuba untuk kita lihat hasilnya. Jika tidak cuba, bagaimana kita hendak tahu kesannya. Risiko itu yang akan membentuk hala tuju pendirian seseorang.


“Saya tidak sedih apabila gagal menyambung pengajian kerana percaya rezeki itu tertulis awal dan kita sebagai hamba hanya menuruti apa yang sudah termaktub.


“Kini saya bangkit untuk perkenalkan identiti muzik saya selepas hampir setahun senyap daripada pentas nyanyian.

“Saya bersyukur kerana bertemu Indigital Sdn Bhd yang kini menguruskan jadual seni saya. Saya sedia bekerja bersama kumpulan baru ini bagi melancarkan lagu Mainan Jiwa yang mendapat susunan baru,” katanya.


Bercerita soal jodohnya, Rini tidak mahu memikirkannya lagi kerana ingin terbang tinggi dulu dengan semangat barunya. Malah tunangnya yang disatukan pada Disember 2008 sentiasa percaya kemampuan Rini untuk terus berdiri sebagai penyanyi.


Malah Johanis yang masih menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru berpendapat Rini masih muda dan perlu kejar apa yang diinginkan.


“Jika ada jodoh, insya-Allah tidak ke mana,” katanya.

Rini tinggal Era demi nyanyian


BULAT hati Rini meninggalkan dunia penyampaian radio April lalu. Bukan tidak mahu menggendong tuah yang datang bergolek setelah keluar daripada Akademi Fantasia musim ketujuh, namun Zulzafrini Zulkifli mempunyai sebab untuk tidak lagi bergelar deejay radio Era.

Di mata gadis manis bertudung berusia 26 tahun ini ada lebih pancaran apabila bercerita soal nyanyian.

Dia akur dan jujur menyatakan semasa bekerja di stesen radio Era, single bertajuk Mainan Jiwa nyanyiannya tidak dimainkan di radio-radio lain dan dia tidak mahu situasi itu berterusan.

"Saya keluar secara baik daripada Era. Kontrak saya sebagai deejay selesai dan saya ada sebab kenapa tidak menyambungnya semula.

"Era banyak memberi saya pengalaman yang baik dalam hidup juga platform kepada karier saya. Tapi saya mahu serius bergelar penyanyi.

"Saya rasa sedikit merugikan apabila lagu sebaik Mainan Jiwa yang ditulis oleh Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad tidak diperdengarkan secara menyeluruh kepada umum.

"Kini setelah meninggalkan status deejay Era, saya mahu dilihat sebagai penyanyi," ujarnya serius dalam kelajuan dia berbicara dan tidak hairanlah kenapa dia pernah bergelar deejay.

Keyakinan itu ditambah lagi dengan dorongan orang-orang kuat di belakangnya.

Kakitangan produksi Indigital yang merangka perjalanan Rini untuk bergelar penyanyi membuatkan adrenalinnya lebih memuncak.

Dia diberikan informasi dan asas dunia hiburan yang sebenar.

Bagi Rini ini bukan lagi masa untuk bermain-main dengan waktu, dia harus terus melangkah membuka kekudanya agar tidak kekok di gelanggang nyanyian.

"Ini sebenarnya memang minat saya yang utama. Saya tidak mahu dilihat sebagai penyanyi tangkap muat.

"Sekarang selain mempromosikan lagu Mainan Jiwa ini di setiap stesen radio dan media, saya turut mengumpulkan material untuk album saya," ujarnya.

Melihatkan hasil kutipan nada sambung peribadi (Ring Back Tone) melalui single itu, ia turut mendorong Rini supaya serius menyanyi.

"Bukan kerana duit semata-mata tetapi saya dapat lihat sendiri sebenarnya lagu saya dapat diterima umum," ujarnya puas hati.

Kembar kepada Zulzafrina ini mempunyai segunung harapan. Dia mahu jambatan perkenalan status baru itu melekat di hati umum.

Tinggallah kenangan bermalam di konti deejay, kini dia mahu tangannya pantas memegang mikrofon dan menyalurkan vokalnya ke pendengaran khalayak.

Realitinya, dia memang mahu bergelar penyanyi.

Berkat doa-Rini


Bagaimanapun Rini tidak berjaya meneruskan perjuangannya sehingga ke peringkat akhir apabila tersingkir pada konsert minggu ketiga.

Tidak mahu terus berteka-teka siapa empunya wajah ayu dengan sepasang bibir mongel ini, dia adalah adik kembar Rini yang diberi nama Zuzafrina Zulkifli, 25.

Kembar seiras ini berkongsi minat sama-sama suka berniaga dan berbakat dalam bidang seni suara.

Justeru, kedua-duanya menyertai uji bakat AF7 dan jika tiada syarat yang mengatakan adik-beradik tidak boleh bertanding dalam pertandingan sama nescaya mereka mencipta sejarah pasangan kembar pertama menyertai program realiti.

Memandangkan personaliti Rini lebih agresif daripada Rina bersesuaian konsep AF, maka Rini berjaya meneruskan cabaran dalam AF7.

Sudah tentu Rina agak kecewa dengan keputusan itu, tetapi dalam diam Rina menaruh keyakinan pasti impiannya untuk bergelar penyanyi akan terlaksana juga suatu hari nanti.

Berkat doa yang tidak pernah putus, dia dilamar menjadi artis di bawah label Dreams Music dan kerjaya seninya disusun rapi pihak pengurusan, Cherry Talent & Management Sdn Bhd, milik Ismail Bakar atau Along Bakar.

Menurut Rina, ketika dia menghadiri uji bakat AF7, Along yang sebelum ini bekerja dengan Maestro Talent & Management, ada sama menyaksikan ribuan peserta yang mencuba nasib dan dari situlah mereka berkenalan.

"Selepas gagal ke AF7, perkenalan kami terhenti setakat itu saja. Kebetulan waktu itu saya bekerja di syarikat kewangan sebagai jurujual eksekutif dan pada masa sama berniaga pakaian menerusi online.

"Hendak dijadikan cerita, rakan kongsi Along dalam Cherry iaitu Ruhil tinggal bersama rakan sekerja saya, kak Yaya.

"Setiap hari kak Yaya bercerita kisah saya suka menyanyi pada Ruhil dan kerana kerap sangat mendengar cerita mengenai saya, maka suatu hari kami bertemu. Daripada pertemuan itu ia membuka episod baru dalam hidup saya.

"Selepas berjumpa Ruhil, saya merakamkan lagu nyanyian Yuna (Yang Sebenarnya) dalam kereta dan rakaman itulah saya berikan kepada Along.

"Sudah rezeki saya agaknya, selepas mendengar rakaman itu, Along dan Ruhil menawarkan saya menghasilkan lagu single menerusi label Dreams Music," katanya.

Ketika ini, Rina juga sudah berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada perniagaan pakaian di Uptown Kajang bersama kawan.

Mereka berniaga di sana setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Oleh kerana kelembapan pasaran album sekarang, saya tidak akan menjadikan bidang seni kerjaya tetap.

"Bagaimanapun saya hargai peluang yang diberikan syarikat rakaman dan pengurusan. Waktu sama sama, saya akan terus berniaga.

"Saya juga baru mendapat satu lagi tapak berniaga di bazar Danau Kota. Saya akan mula berniaga di sana 1 November ini setiap Isnin hingga Jumaat kecuali Khamis.

"Selepas keluar AF7, Rini juga berniaga pakaian dengan saya kerana susah hendak meneruskan hidup dengan bergantung sepenuhnya pada nyanyian.

"Rini baru saja menerima tawaran sebagai DJ (kontrak) dengan radio Era. Dia ke udara pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, sebelah petang dan malam," katanya.

Bercerita mengenai lagu singlenya bertajuk Mana Satu, jelas Rina, ia boleh didengar menerusi radio ataupun muat turun. Katanya, selepas gagal ke AF7, ingatkan sudah tiada peluang untuk menjadi penyanyi dan merakamkan lagu.

"Saya suka menyanyi sejak berusia 10 tahun. Jika tidak jadi artis pun saya akan terus menyanyi sampai bila-bila. Bagaimanpun nampaknya selepas diberi sedikit dugaan, kerjaya seni saya semakin berjalan lancar terutama selepas berjumpa Along dan Ruhil.

"Pun begitu sebelum saya disunting menjadi artis Dreams Music, ketika saya dan Rini berusia 19 tahun kami pernah merakamkan lagu duet.

"Waktu itu kami menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman yang agak terkenal juga.

"Ketika itu apabila mendapat tawaran merakamkan lagu, seronok tidak terkira, tetapi kerana tiada pengalaman kami terasa seperti dipermainkan.

"Kami sudah merakamkan sembilan lagu duet yang mengambil masa empat tahun. Album belum siap, kontrak sudah tamat.

"Selepas itu saya tidak tahu semua lagu yang siapkan dirakamkan itu entah ke mana. Hendak menyesal pun tidak berguna.

"Apapun ia pengalaman berharga buat saya. Daripada situ saya banyak belajar dan sekarang saya faham perjalanan untuk menjadi seorang artis," katanya.

Tambah Rina oleh kerana minat sangat menyanyi pada usia 13 tahun, dia belajar vokal dengan bapa saudaranya, Jo Ahmad yang pernah menerbitkan album artis termasuk kumpulan ResQ ketika beliau berkhidmat dengan Mega Records.

"Pak cik Jo banyak memberi semangat kepada saya untuk menjadi penyanyi.

"Terselit juga rasa sedih apabila melihat Rini menyanyi di pentas AF7, tetapi kini kekecewaan itu terubat dengan lahirnya lagu single ini," katanya.

Meskipun selepas ini Rina akan lebih dikenali ramai, dia tetap turun padang menguruskan perniagaanya.

"Kenapa malu hendak berniaga dan tayang muka di bazar kerana saya mencari rezeki yang halal.

"Malah, apabila saya semakin dikenali ramai diharap dapat membantu melariskan perniagaan saya.

"Selain orang ramai datang membeli, peminat juga boleh terus berjumpa saya di tapak berniaga. Insya-Allah saya akan terus mengembangkan lagi perniagaan ini.

"Kebanyakan baju yang dijual berkonsepkan fesyen pakaian wanita Arab yang boleh disuai padan. Baju yang pakai untuk sesi fotografi dan membuat persembahan adalah dari kedai saya sendiri. Secara tidak langsung saya dapat mempromosikan baju yang dijual," katanya.





Profil

Nama: Zuzafrina Zulkifli

Tarikh lahir: 11 Jun 1984

Usia: 25 tahun

Tempat lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur

Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik

Status: Solo

Pendidikan: Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Kerjaya: Usahawan dan menyanyi

Hobi: Menyanyi, bersukan dan memasak

Laman web: www.ceritacintarina.blogspot.com, www.evergorgeous.webs.com dan www.myspace.com/Rina1106

Lagu single: Mana Satu
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails