Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Realiti seni Rini

SENYAP-SENYAP gadis bertudung ini diragut jiwanya oleh seorang lelaki hingga mengubah status menjadi tunangan orang.

Gadis peramah berusia 26 tahun ini tidak pernah mengejar media kerana bukan saja tidak mahu meraih perhatian, sebaliknya Rini lebih gusar akan persepsi dan pandangan ‘orang luar’ terhadapnya.


Bayangkan, dia dicaci penonton hanya kerana cermin yang menggambarkan personalitinya di dalam slot Diari AF itu jelas bertentangan dengan realiti sikapnya.


Kononnya Rini peserta yang gemar mencari masalah dan gila perhatian baik. Malah ‘drama’ yang ditayangkan ketika itu menyebabkan penonton setia memulaunya hingga ke hari ini. Mahu atau tidak, cabaran dan cacian itu ditelan sebagai pembakar semangat buat dirinya.


Malah tunang kepada bakal guru berusia 28 tahun, Johanis Nordin ini menganggap apa yang berlaku sebagai pemangkin usahanya dan satu harga yang perlu dibayar selepas meraih nama melalui program realiti itu.


“Saya sedar pandangan orang luar terhadap saya selepas mereka diasak dengan visual dan gambaran kurang manis di Diari AF sebelum ini.


“Benar, saya seakan-akan peserta yang suka cari perhatian, gemar cetuskan pergaduhan dan itu semua hanya satu babak drama yang disunting. Selebihnya disimpan dan kekal dalam arkib AF. Apa yang dipertontonkan adalah tidak benar.


“Takut juga pada awalnya, manalah tahu ada peminat mengamuk jika bersemuka dengan saya. Namun Alhamdulillah, fasa itu hanya sementara dan saya percaya peminat hari ini bijak menilai.


“Memang saya sedih apabila baca dan lihat sendiri sebaik keluar dari akademi dulu, namun bila difikirkan semula tiada guna untuk saya terus bersedih.


“Saya akui yang kurangnya publisiti untuk saya sebaik tamat AF berbanding teman lain hinggakan berita pertunangan saya juga tidak mendapat liputan besar.


“Namun saya memandang itu sebagai satu strategi peribadi supaya tidak terlalu kerap muncul di dada media tanpa satu cerita yang benar-benar menarik bagi memancing pembaca, terutama peminat,” katanya.


Sentiasa sedar akan bumi yang dipijak serta mengakui kekurangan yang penuh membasahi dirinya, Rini kini bersedia mengorak langkah sebagai anak seni meskipun bersendirian.


Rezekinya belum putus, sebaliknya tawaran menjadi penyampai Era FM pula menyusur menggantikan kesempitan undangan nyanyian.


Peluang itu tidak dilepaskan kerana pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara ini menyifatkan ruang di konti Era setidak-tidaknya akan memberinya nafas untuk terus ‘hidup’.


Tegasnya berkali-kali, peluang diberi Era FM adalah sesuatu yang berharga buatnya. Selain berjaya menonjolkan bakat tersembunyi, Rini mengakui berjaya membersihkan persepsi kebanyakan orang terhadap dirinya melalui radio.


Melalui segmennya setiap hujung minggu, Rini berpeluang berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan pendengar yang kebanyakannya peminatnya sendiri.


Namun dalam tawa meniti saat-saat indah sebagai penyampai radio, niatnya bergelar penyanyi semakin malap. Malah single pertamanya yang mendapat sentuhan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad iaitu Mainan Jiwa seakan-akan terkubur kerana terjerat dalam mainan politik jenama.


Mana mungkin lagunya diputarkan di stesen lain kerana nama Rini terikat dengan Era. Mustahil juga gadis bijak berjenaka ini memutarkan lagunya di stesen tempatnya bertugas kerana risau ada yang menganggap tindakan itu tidak profesional. Rini menggaru kepala saat menggambarkan keadaan itu.


“Tawaran di Era datang tepat pada waktunya kerana ketika itu, sekitar Oktober rezeki nyanyian saya tidak sekencang mana. Justeru landasan Era ini sangat saya hargai.


“Enam bulan bersama Era banyak mengajar saya erti komitmen dan pengorbanan sebagai anak seni. Pengalaman dan warna-warni cerita saya setiap hari jelas mematangkan saya.


“Bagaimanapun nawaitu dan arah tujuan saya hanya satu. Saya ingin menjadi penyanyi dan impian itu menebal dalam sanubari saya.


“Saya berusaha mencuba bakat di AF pun hanya kerana ingin menjadi penghibur. Justeru saya perlu fikirkan dulu apa yang penting dan relevan untuk saya lakukan bagi menyatakan impian itu.


“Saya tidak boleh menafikan situasi yang mencengkam saya sebagai penyampai Era, yang mana lagu Mainan Jiwa terkubur begitu saja sebelum ia dapat bermain di bibir pendengar.


“Entah mana silapnya namun saya akui, isu penjenamaan stesen radio menghambat saya hingga rasa bagai dijerat. Hendak ke sana tidak diterima, mahu tolak di stesen sendiri bagai tersasar daripada etika kerja.


“Saya tekad untuk mengundur diri dari Era bagi meletak 100 peratus fokus pada dunia nyanyian. Mungkin prosedur mempromosi lagu itu akan lebih mudah jika saya tidak terikat dengan mana-mana stesen radio lagi,” katanya.


Mendengar ceritanya, Rini boleh diangkat sebagai gadis yang sangat komited dan jujur dengan apa yang diperjuangkannya. Bayangkan, niatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah terpaksa dilupakan selepas merancang untuk berduet bersama saudara kembarnya, Rina kira-kira lima tahun lalu. Namun impian itu terkubur begitu saja apabila terbengkalai.


“Saya bukan jenis cepat mengalah. Saya menganggap cabaran itu sesuatu yang perlu saya cuba untuk kita lihat hasilnya. Jika tidak cuba, bagaimana kita hendak tahu kesannya. Risiko itu yang akan membentuk hala tuju pendirian seseorang.


“Saya tidak sedih apabila gagal menyambung pengajian kerana percaya rezeki itu tertulis awal dan kita sebagai hamba hanya menuruti apa yang sudah termaktub.


“Kini saya bangkit untuk perkenalkan identiti muzik saya selepas hampir setahun senyap daripada pentas nyanyian.

“Saya bersyukur kerana bertemu Indigital Sdn Bhd yang kini menguruskan jadual seni saya. Saya sedia bekerja bersama kumpulan baru ini bagi melancarkan lagu Mainan Jiwa yang mendapat susunan baru,” katanya.


Bercerita soal jodohnya, Rini tidak mahu memikirkannya lagi kerana ingin terbang tinggi dulu dengan semangat barunya. Malah tunangnya yang disatukan pada Disember 2008 sentiasa percaya kemampuan Rini untuk terus berdiri sebagai penyanyi.


Malah Johanis yang masih menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru berpendapat Rini masih muda dan perlu kejar apa yang diinginkan.


“Jika ada jodoh, insya-Allah tidak ke mana,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails