Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berkat doa-Rini


Bagaimanapun Rini tidak berjaya meneruskan perjuangannya sehingga ke peringkat akhir apabila tersingkir pada konsert minggu ketiga.

Tidak mahu terus berteka-teka siapa empunya wajah ayu dengan sepasang bibir mongel ini, dia adalah adik kembar Rini yang diberi nama Zuzafrina Zulkifli, 25.

Kembar seiras ini berkongsi minat sama-sama suka berniaga dan berbakat dalam bidang seni suara.

Justeru, kedua-duanya menyertai uji bakat AF7 dan jika tiada syarat yang mengatakan adik-beradik tidak boleh bertanding dalam pertandingan sama nescaya mereka mencipta sejarah pasangan kembar pertama menyertai program realiti.

Memandangkan personaliti Rini lebih agresif daripada Rina bersesuaian konsep AF, maka Rini berjaya meneruskan cabaran dalam AF7.

Sudah tentu Rina agak kecewa dengan keputusan itu, tetapi dalam diam Rina menaruh keyakinan pasti impiannya untuk bergelar penyanyi akan terlaksana juga suatu hari nanti.

Berkat doa yang tidak pernah putus, dia dilamar menjadi artis di bawah label Dreams Music dan kerjaya seninya disusun rapi pihak pengurusan, Cherry Talent & Management Sdn Bhd, milik Ismail Bakar atau Along Bakar.

Menurut Rina, ketika dia menghadiri uji bakat AF7, Along yang sebelum ini bekerja dengan Maestro Talent & Management, ada sama menyaksikan ribuan peserta yang mencuba nasib dan dari situlah mereka berkenalan.

"Selepas gagal ke AF7, perkenalan kami terhenti setakat itu saja. Kebetulan waktu itu saya bekerja di syarikat kewangan sebagai jurujual eksekutif dan pada masa sama berniaga pakaian menerusi online.

"Hendak dijadikan cerita, rakan kongsi Along dalam Cherry iaitu Ruhil tinggal bersama rakan sekerja saya, kak Yaya.

"Setiap hari kak Yaya bercerita kisah saya suka menyanyi pada Ruhil dan kerana kerap sangat mendengar cerita mengenai saya, maka suatu hari kami bertemu. Daripada pertemuan itu ia membuka episod baru dalam hidup saya.

"Selepas berjumpa Ruhil, saya merakamkan lagu nyanyian Yuna (Yang Sebenarnya) dalam kereta dan rakaman itulah saya berikan kepada Along.

"Sudah rezeki saya agaknya, selepas mendengar rakaman itu, Along dan Ruhil menawarkan saya menghasilkan lagu single menerusi label Dreams Music," katanya.

Ketika ini, Rina juga sudah berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada perniagaan pakaian di Uptown Kajang bersama kawan.

Mereka berniaga di sana setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Oleh kerana kelembapan pasaran album sekarang, saya tidak akan menjadikan bidang seni kerjaya tetap.

"Bagaimanapun saya hargai peluang yang diberikan syarikat rakaman dan pengurusan. Waktu sama sama, saya akan terus berniaga.

"Saya juga baru mendapat satu lagi tapak berniaga di bazar Danau Kota. Saya akan mula berniaga di sana 1 November ini setiap Isnin hingga Jumaat kecuali Khamis.

"Selepas keluar AF7, Rini juga berniaga pakaian dengan saya kerana susah hendak meneruskan hidup dengan bergantung sepenuhnya pada nyanyian.

"Rini baru saja menerima tawaran sebagai DJ (kontrak) dengan radio Era. Dia ke udara pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, sebelah petang dan malam," katanya.

Bercerita mengenai lagu singlenya bertajuk Mana Satu, jelas Rina, ia boleh didengar menerusi radio ataupun muat turun. Katanya, selepas gagal ke AF7, ingatkan sudah tiada peluang untuk menjadi penyanyi dan merakamkan lagu.

"Saya suka menyanyi sejak berusia 10 tahun. Jika tidak jadi artis pun saya akan terus menyanyi sampai bila-bila. Bagaimanpun nampaknya selepas diberi sedikit dugaan, kerjaya seni saya semakin berjalan lancar terutama selepas berjumpa Along dan Ruhil.

"Pun begitu sebelum saya disunting menjadi artis Dreams Music, ketika saya dan Rini berusia 19 tahun kami pernah merakamkan lagu duet.

"Waktu itu kami menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman yang agak terkenal juga.

"Ketika itu apabila mendapat tawaran merakamkan lagu, seronok tidak terkira, tetapi kerana tiada pengalaman kami terasa seperti dipermainkan.

"Kami sudah merakamkan sembilan lagu duet yang mengambil masa empat tahun. Album belum siap, kontrak sudah tamat.

"Selepas itu saya tidak tahu semua lagu yang siapkan dirakamkan itu entah ke mana. Hendak menyesal pun tidak berguna.

"Apapun ia pengalaman berharga buat saya. Daripada situ saya banyak belajar dan sekarang saya faham perjalanan untuk menjadi seorang artis," katanya.

Tambah Rina oleh kerana minat sangat menyanyi pada usia 13 tahun, dia belajar vokal dengan bapa saudaranya, Jo Ahmad yang pernah menerbitkan album artis termasuk kumpulan ResQ ketika beliau berkhidmat dengan Mega Records.

"Pak cik Jo banyak memberi semangat kepada saya untuk menjadi penyanyi.

"Terselit juga rasa sedih apabila melihat Rini menyanyi di pentas AF7, tetapi kini kekecewaan itu terubat dengan lahirnya lagu single ini," katanya.

Meskipun selepas ini Rina akan lebih dikenali ramai, dia tetap turun padang menguruskan perniagaanya.

"Kenapa malu hendak berniaga dan tayang muka di bazar kerana saya mencari rezeki yang halal.

"Malah, apabila saya semakin dikenali ramai diharap dapat membantu melariskan perniagaan saya.

"Selain orang ramai datang membeli, peminat juga boleh terus berjumpa saya di tapak berniaga. Insya-Allah saya akan terus mengembangkan lagi perniagaan ini.

"Kebanyakan baju yang dijual berkonsepkan fesyen pakaian wanita Arab yang boleh disuai padan. Baju yang pakai untuk sesi fotografi dan membuat persembahan adalah dari kedai saya sendiri. Secara tidak langsung saya dapat mempromosikan baju yang dijual," katanya.





Profil

Nama: Zuzafrina Zulkifli

Tarikh lahir: 11 Jun 1984

Usia: 25 tahun

Tempat lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur

Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik

Status: Solo

Pendidikan: Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Kerjaya: Usahawan dan menyanyi

Hobi: Menyanyi, bersukan dan memasak

Laman web: www.ceritacintarina.blogspot.com, www.evergorgeous.webs.com dan www.myspace.com/Rina1106

Lagu single: Mana Satu
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails