Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Sarah Raisudin. Show all posts
Showing posts with label Sarah Raisudin. Show all posts
Sarah Raisudin Rindukan Arwah Ibu
Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, mengakui memori bersama arwah ibunya Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia ketika usia 56 tahub pada Jun tahun lalu masih lagi segar di ingatan.
Malah Sarah, 31, berkata, ada masa-masa tertentu yang membuatkan dia lupa bahawa ibunya sudah tiada namun masih lagi mahu menghubungi wanita itu seperti yang sering dilakukannya ketika ibunya masih hidup.
"Sebelum ini saya selalu bertanyakan resipi masakan daripada arwah ibu dan pernah sekali saya teringin memakan sesuatu dan telah ke pasar untuk memberli bahan-bahannya. Tiba-tiba saya lupa apa yang patut dibeli dan terdetik mahu menelefon ibu.
"Beberapa minit kemudian baru saya tersedar bahawa ibu dah tiada. Ketika itu juga menangis. Susah nak cakap perasaan itu, walaupun reda dengan pemergiannya, kesannya sangat mendalam," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Sarah berkata, sambutan Aidilfitri pada tahun ini pasti membuatkan perasaannya sebak kerana tahun ini merupakan pertama kali dia tidak menyambut bersama ibu di sisi.
"Bayangkan kalau hari-hari biasa pun saya sedih, apatah lagi apabila nak sambut Raya. Kami selalu mengemas dan memasak sama-sama. Memori itu masih segar di ingatan.
"Dan kali ini arwah ibu sudah tiada untuk melakukan kerja-kerja rumah bersama saya," ujarnya.
Ibu Siti Sarah Meninggal Dunia
: Ibu kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin iaitu Nur Aini Mohamad, 56, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini pada pukul 6.36 pagi Rabu.
Menurut Sarah, 30, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kegagalan buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.
"Arwah ibu dah mula sakit serius sejak Oktober tahun lalu dan sering kali keluar masuk hospital.
“Siapa tak sedih apabila ibu kita dah pergi. Saya hanya kena reda dengan ketentuan takdir," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu di sini.
Nur Aini yang juga isteri kepada pelakon Raisuddin Hamzah sebelum ini pernah bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum bersara akibat penyakit berkenaan.
Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebelum solat Zuhur.
Sarah Raisuddin Bakal Dapat Anak Perempuan Mei Ini
Amah Lari Dari Rumah Buat Siti Sarah Fobia
Sukar bawa watak 'sewel' - Shuib
PENGALAMAN pertama berlakon dalam filem bukan sesuatu yang senang, bahkan pengalaman pertama inilah yang akan menjadi panduan yang paling berguna kepada setiap pelakon.
Bagi Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Mohammad, pengalaman pertamanya dalam dunia lakonan adalah perkara yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Saya kena bawa watak orang sewel, watak ini memang watak yang sangat-sangat sukar bagi saya," jelasnya ketika ditanya mengenai watak Man dalam filem pertamanya Man Sewel Datang KL yang akan mula ditayangkan pada 31 Mei nanti.
Kata Shuib, watak sebagai Man sewel perlu ditangani dan dijiwai sebaik mungkin agar tidak menyentuh mengguris perasaan golongan kurang upaya.
“Ini adalah satu tanggungjawab besar yang terpaksa saya lalui. Saya takut jika saya silap langkah orang akan menganggap saya sengaja memperli golongan sedemikian.
“Untuk langkah selamat, saya kaji terlebih dahulu watak yang diberikan supaya saya tidak terlalu over apabila membawa watak seorang yang sewel," jelasnya.
“Saya begitu tertekan pada hari pertama penggambaran, saya bercerita dan meluahkan perasaan dengan isteri saya Sarah yang turut berlakon dalam filem ini. Banyak nasihat yang Sarah berikan, selepas itu baru saya ada semangat untuk terus melakonkan watak tersebut," tambah Shuib yang menganggap tawaran berlakon dalam filem ini sebagai hadiah perkahwinannya.
“Selain itu, ketika menjalani penggambaran filem ini juga saya dapat tahu yang isteri saya mengandung dan saya amat bersyukur, ini rezeki berganda bagi saya, alhamdulillah," ujarnya.
Tidak berpecah
Setelah Shuib dan Jep keluar daripada kumpulan Sepah dengan menggelarkan diri mereka sebagai Sepahtu, mereka berdua jarang sekali dilihat berdua dalam drama ataupun persembahan pentas.
Sebaliknya, Shuib dan Jepp lebih banyak bergerak secara solo dalam rancangan komedi, drama ataupun filem.
Shuib yang mengaku keadaan itu bagaimanapun menafikan Sepahtu sudah tidak wujud lagi, sebaliknya bakal muncul dengan album Sepahtu tidak lama lagi.
“Sebenarnya kami bebas untuk memilih hala tuju masing-masing. Kami tidak mahu terlalu terikat sebagai Sepahtu yang menuntut kami mesti bersama sentiasa.
“Memang saya akui, telah menerima banyak tawaran berlakon secara solo dan saya tidak menolaknya.
“Bagi saya, tidak semestinya setiap produksi itu mahukan watak Sepahtu sahaja, malah mereka menawarkan watak yang berbeza-beza.
“Malah, pada awal penubuhan Sepahtu ini adalah untuk menghasilkan sebuah album studio yang menggandingkan saya dan Jepp. Cuma album itu masih lagi dalam proses rakaman," tambahnya lagi.
Selain filem Man Sewel Datang KL, Shuib bakal muncul secara solo dalam filem Amir dan Loqman Pergi Ke Laut dan Mail Lambung serta game show, Betol ke Bohong yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal di Astro.
Mengulas lebih lanjut mengenai filem Man Sewel Datang KL, Shuib berkata, dia bersyukur kerana Work Move Production Sdn. Bhd., memberi kepercayaan kepadanya.
“Saya menerima tawaran berlakon filem ini selepas Sepah menjadi juara dalam Maharaja Lawak," jelasnya lagi.
Menariknya, Shuib telah digandingkan dengan isterinya, Siti Sarah Raisuddin dalam filem yang diarahkan oleh pengarah lama, Abdul Rahman Adam.
Selain Shuib dan Siti Sarah, filem komedi tersebut turut dibintangi oleh Julia Ziegler, Razali Hussein, Rafidah Ibrahim dan ramai lagi.
Man Sewel Datang KL mengisahkan mengenai seorang lelaki kampung iaitu Man (Shuib) yang berperangai gila-gila atau lebih tepat digelar 'sewel' menyampaikan keterujaannya apabila pertama kali sampai ke Kuala Lumpur.
Pelbagai konflik dan insiden yang berlaku kepada Shuib sehingga melahirkan pelbagai situasi komedi yang pasti mencuit hati penonton.
Siti Sarah Tak Yakin Menyanyi Selepas Bersalin
PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni, pada Disember tahun lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengakui dia kurang yakin untuk merakamkan lagu baru buat masa ini.
Sarah berkata, dia merasakan vokalnya kurang mantap seperti sebelum ini dan hal itu mungkin terjadi kerana kesan daripada melakukan pembedahan ketika melahirkan Uwais.
"Buat masa ini, saya belum bersedia untuk menyanyi walaupun bakal muncul dengan 'single' lagu terbaru yang masih lagi sedang dalam pembikinan oleh komposer Aidit Alfian.
"Memang saya rasa vokal kurang mantap. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana rasanya ketika merakamkan suara, tak macam dulu. Perut saya seperti berangin saja.
"Walaupun orang kata menjadi perkara normal untuk seorang wanita yang lepas bersalin, salah tanggapan itu kerana vokal yang bagus mampu bertahan sehingga usia 63 tahun jika tahun teknik penjagaannya," katanya.
Tambah Sarah, dia berharap vokalnya kembali mantap sebelum merakamkan lagu tersebut.
Sementara itu, ditanya bagaimana kehidupannya sejak lima bulan bergelar ibu, Sarah cukup bahagia dan seronok menjaga anak kecilnya itu bersama suami, Shuib (Sepah).
"Setiap kali melihat wajah Uwais, saya rasa bersyukur sangat kerana memilikinya. Malah walaupun masih kecil lagi, dia sudah pandai mengambil hati saya dan Shuib.
"Selamatlah, dia tidak banyak ragam apabila saya dan Shuib sibuk bekerja, tetapi apabila dia bersama saya, bukan main lagi dia nakkan perhatian," seloroh pelakon filem Man Sewel Datang KL ini.
Man Sewel Datak KL bakal menemui penonton bermula 31 Mei ini.
Siti Sarah Beri Tempoh Dua Bulan Untuk Tonjolkan Diri
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin memberitahu masih belum bersedia untuk tampil di khalayak selepas melahirkan anak sulungnya, Uwais Alqarni pada 4 Disember lalu.
Sarah berkata, dia yang baru sahaja selesai berpantang sedang berusaha menurunkan berat badannya yang meningkat sehingga 75 kilogram semasa mengandung.
"Saya menjangkakan untuk mengurangkan berat badan sebanyak 30 kilogram dan sehingga kini telah berjaya mengurangkan sebanyak 15 kilogram. Saya sedang berusaha gigih untuk mengurangkan baki tersebut.
"Beri saya dalam masa dua bulan, Insya-Allah selepas ini akan muncul di khalayak," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan dirinya sebagai seorang ibu, Sarah, 28, berkata, pengalaman mempunyai anak sendiri sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Sarah memberitahu dia dan suaminya, Shuaib masih dalam proses belajar menguruskan anak secara perlahan-lahan setiap hari dan menjelaskan pengalaman tersebut mematangkan mereka.
"Membesarkan seorang anak bukan tugas yang mudah kerana kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik mereka menjadi insan yang baik.
"Setiap hari saya belajar sesuatu yang baru apabila mempunyai anak dan saya cukup seronok tambahan pula suami sangat ringan tulang membantu menguruskan anak," ujarnya.
Sementara itu, Sarah berkata, dia terkejut dengan sikap suaminya yang begitu cekap dalam menguruskan Uwais terutamanya jika anak mereka meragam pada waktu malam.
Katanya, Shuaib bukan seorang yang mesra dengan kanak-kanak tetapi selepas Uwais dilahirkan sikap suaminya terus berubah dan tidak kekok mengendalikan anak mereka.
"Dulu kalau nak pegang anak orang bukan main takut kerana tak biasa dengan kanak-kanak tetapi selepas ada anak sendiri semua perkara dia ingin lakukan dan lagaknya seperti sudah biasa dengan karenah budak kecil.
"Sebelum pergi kerja juga, Shuaib akan memastikan semua keperluan anak telah disediakan," ujarnya.
Tambahnya, kehadiran Uwais juga telah mengeratkan hubungan mereka suami isteri dan lebih memahami antara satu sama lain.
"Kami kenal tidak lama sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dan tidak sampai setahun usia perkahwinan kami telah mendapat seorang anak.
"Kehadiran Uwais telah mengeratkan hubungan kami sebagai suami isteri terutamanya soal tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam membesarkan anak," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sarah berkata, dia masih belum dapat menggambarkan perasaannya apabila terpaksa meninggalkan Uwais ketika kembali bekerja nanti.
"Uwais menyusu badan dan mungkin agak sukar untuk meninggalkannya nanti. Sarah masih belum berfikir mengenai perkara berkenaan kerana begitu seronok menghabiskan masa bersama anak dan suami," ujarnya.
Siti Sarah Sah Bergelar Isteri Shuib

KUALA LUMPUR: Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Sarah Raisuddin, 27, kini sah bergelar isteri kepada salah seorang ahli kumpulan Sepah, Shahmira Muhahamad (Shuib), pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, di sini, Sabtu.
Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 5.45 petang oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nizar Mohd Nadzir, yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Pada majlis yang serba ringkas itu, Sarah kelihatan anggun dengan busana rekaan Hatta Dolmat berwarna salmon peach menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 serta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan berbalas tujuh dulang.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.
Ditemui selepas majlis berakhir, Sarah yang kelihatan gembira sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin selama enam bulan itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.
"Alhamdulillah, segala perancangan berjalan dengan lancar. Sepanjang saya mengenali Shuib, dia seorang yang jujur dan telus.
"Kami seperti mempunyai satu hala tuju yang sama,” tutur Sarah.
Sementara itu, Shuib juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Sarah.

“Saya harap hubungan ini berkekalan hingga akhir hayat. Sarah merupakan wanita pertama yang membuka hati saya untuk lebih serius dalam hubungan.
"Dia seorang yang sangat istimewa dan bukan mudah untuk saya dapatkannya. Pernah sekali saya sanggup berhentikan kereta di tepi lebuh raya semata-mata untuk memberitahu saya cintakan dia.
"Kalau nak tahu dia memang susah nak sebut perkataan sayang atau I Luv U. Sepanjang setahun tiga bulan perkenalan, hampir setahun saya terpaksa menunggu untuk dengar perkataan sayang daripada mulutnya," tutur Shuib sambil mengukir senyuman.
Bercerita tentang percutian bulan madu, Sarah dan Shuib ingin bercuti ke negara Ireland, tetapi masih belum tahu tarikh sesuai untuk ke nagara tersebut.
Beralih kepada soal anak, Sarah tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.
Sementara itu, bagi majlis resepsi pula, pasangan itu masih lagi mencari tarikh sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka.
Siti Sarah Mengaku Berdebar Untuk Jadi Isteri

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 26, sudah merasai debaran dalam menghitung hari menjelang tarikh pernikahannya dengan pelawak Shahmira Muhamad atau dikenali sebagai Shuib Sepah, 26 Februari ini.
Penyanyi lagu Kesetiaan ini memberitahu bahawa majlis pernikahan tersebut dibuat secara ringkas dan sederhana memandangkan kesibukan mereka.
“Sukar untuk jelaskan bagaimana perasaan saya ketika ini. Maklumlah ini adalah hari paling besar dan istimewa dalam hidup saya sudah tentu perasaan bercampur baur.
“Kami buat persiapan pada dua bulan lalu dan sekarang sangat sibuk buat persiapan terakhir,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Pasangan ini bakal melangsungkan pernikahannya dalam sebuah majlis yang akan berlangsung di Jeumpa D’Ramo, Jalan Maarof, Bukit Bandaraya, Bangsar dekat sini pada pukul 4 petang.
Bakal mempelai turut menggunakan warna tema kuning kemerah-merahan (peach) dengan mengayakan rekaan baju dari pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat dan solekan daripada Deqsha. Manakala pelamin dan hantaran digubah oleh Ari Wedding Couture.
Dalam majlis yang bakal dihadiri lebih 250 tetamu ini, Sarah bakal menerima lima dulang hantaran dan membalas lima dulang kepada pihak lelaki.
Sementara itu, Sarah memberitahu mereka hanya melangsungkan majlis pernikahan terlebih dahulu dan belum merancang untuk sebarang majlis resepsi.
“Saya dan Shuib sangat sibuk tahun ini dan kami mengambil keputusan untuk buat majlis yang wajib sahaja terlebih dahulu. Bagi majlis resepsi kami tangguhkan dahulu untuk cari masa yang sesuai,” katanya.
Bercerita tentang kerjaya selepas berkahwin, Sarah memberitahu dia bukan sahaja akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi malah turut menceburkan diri dalam bidang lakonan.
“Selepas kahwin nanti saya bertambah sibuk dengan “single” terbaru yang bakal keluar dan mencari material untuk album terbaru.
“Bukan itu sahaja, saya juga bakal menceburkan diri dalam dunia lakonan, sekarang masih dalam proses perbincangan sebuah filem. Alhamdulillah mungkin rezeki mendirikan rumah tangga,” ujarnya.
Sarah pengsan di Hollywood

Dahlah kecik, rupa-rupanya tak tahan lasak Siti Sarah. Dia pengsan sebelum memulakan pertandingan di Hollywood. Agaknya kerana kepenatan dalam pesawat dan juga perut kosong sebab tak sempat nak makan.
Walaupun kepenatan, Sarah tetap bersaing dan masih berjaya membawa pulang medal emas dalam pertandingan itu.
Tahniah kepada Sarah, Bob dan lain-lain, khususnya Astistana yang memenangi anugerah paling tinggi dalam pertandingan World Championship of Performing Arts di Hollywood itu. Mereka menang untuk kategori tarian. Delegasi Malaysia membawa pulang 38 medal emas kali ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
