Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Siti Sarah Beri Tempoh Dua Bulan Untuk Tonjolkan Diri


PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin memberitahu masih belum bersedia untuk tampil di khalayak selepas melahirkan anak sulungnya, Uwais Alqarni pada 4 Disember lalu.

Sarah berkata, dia yang baru sahaja selesai berpantang sedang berusaha menurunkan berat badannya yang meningkat sehingga 75 kilogram semasa mengandung.

"Saya menjangkakan untuk mengurangkan berat badan sebanyak 30 kilogram dan sehingga kini telah berjaya mengurangkan sebanyak 15 kilogram. Saya sedang berusaha gigih untuk mengurangkan baki tersebut.

"Beri saya dalam masa dua bulan, Insya-Allah selepas ini akan muncul di khalayak," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan dirinya sebagai seorang ibu, Sarah, 28, berkata, pengalaman mempunyai anak sendiri sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Sarah memberitahu dia dan suaminya, Shuaib masih dalam proses belajar menguruskan anak secara perlahan-lahan setiap hari dan menjelaskan pengalaman tersebut mematangkan mereka.

"Membesarkan seorang anak bukan tugas yang mudah kerana kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik mereka menjadi insan yang baik.

"Setiap hari saya belajar sesuatu yang baru apabila mempunyai anak dan saya cukup seronok tambahan pula suami sangat ringan tulang membantu menguruskan anak," ujarnya.

Sementara itu, Sarah berkata, dia terkejut dengan sikap suaminya yang begitu cekap dalam menguruskan Uwais terutamanya jika anak mereka meragam pada waktu malam.

Katanya, Shuaib bukan seorang yang mesra dengan kanak-kanak tetapi selepas Uwais dilahirkan sikap suaminya terus berubah dan tidak kekok mengendalikan anak mereka.

"Dulu kalau nak pegang anak orang bukan main takut kerana tak biasa dengan kanak-kanak tetapi selepas ada anak sendiri semua perkara dia ingin lakukan dan lagaknya seperti sudah biasa dengan karenah budak kecil.

"Sebelum pergi kerja juga, Shuaib akan memastikan semua keperluan anak telah disediakan," ujarnya.

Tambahnya, kehadiran Uwais juga telah mengeratkan hubungan mereka suami isteri dan lebih memahami antara satu sama lain.

"Kami kenal tidak lama sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dan tidak sampai setahun usia perkahwinan kami telah mendapat seorang anak.

"Kehadiran Uwais telah mengeratkan hubungan kami sebagai suami isteri terutamanya soal tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam membesarkan anak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah berkata, dia masih belum dapat menggambarkan perasaannya apabila terpaksa meninggalkan Uwais ketika kembali bekerja nanti.

"Uwais menyusu badan dan mungkin agak sukar untuk meninggalkannya nanti. Sarah masih belum berfikir mengenai perkara berkenaan kerana begitu seronok menghabiskan masa bersama anak dan suami," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails