Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sepah. Show all posts
Showing posts with label Sepah. Show all posts

Perpecahan Tidak Jejas Keakraban Sepah Berlakon Filem


Kumpulan pelawak Sepah mengakui faktor perpecahan kumpulan itu langsung tidak menjejaskan tumpuan dan keserasian mereka untuk bekerjasama dalam penggambaran filem terbaru, Sepah The Movie, baru-baru ini.

Salah seorang anggotanya Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) menyifatkan keakraban mereka yang berlaku secara telus dan semula jadi itu seolah menggambarkan mereka masih bersama seperti dulu.

“Filem ini adalah impian kami yang sudah dua tahun ditunggu. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami berpecah bukan kerana bergaduh tetapi untuk membawa haluan kerjaya masing-masing.

“Sebab itu kami masih akrab dan boleh mendapatkan keserasian itu secara spontan dan semula jadi dan ia bukannya dibuat-buat,” katanya.

Shahmira Muhamad (Shuib) pula berkata, kerinduan untuk bekerjasama sejak kali terakhir terlibat dalam set penggambaran kira-kira lapan bulan lalu terubat sepanjang penggambaran filem komedi aksi itu.

“Bayangkan, memang sudah lama kami tidak bekerjasama dan berlakon bersama, kali terakhir pun kira-kira lapan yang lalu.

“Sepanjang berkampung di Johor selama lebih 20 hari, kami dapat mengubat kerinduan masing-masing kerana kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka,” katanya.

Selepas pembubaran kumpulan yang menjuarai pertandingan Maharaja Lawak itu pada Ogos lalu, Jep dan Shuib bergabung menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Sepahtu tanpa Mamat.

Pasangan itu kini sedang dalam persiapan untuk menghasilkan album sulung mereka iaitu Sepahtu Bikin Album.

Manakala Mohd Noor Murad (Mamat) pula meneruskan kerjaya seninya secara solo.

Konflik Sepah, ada rahsia lain?


PERPECAHAN Sepah sebagai sebuah kumpulan. Boleh Jep jelaskan, siapa buang siapa sebenarnya ni?

Tak ada siapa buang siapa. Sebenarnya saya sendiri yang nak keluar.

Habis kenapa boleh timbul cerita yang Jep sebenarnya yang 'tendang' Mamat keluar? Cerita dah jadi tunggang terbalik ni.

Begini, saya atau Shuib tak pernah keluarkan dia daripada Sepah. Mula-mula saya yang tarik diri. Bila saya cakap begitu, tiba-tiba Shuib pula kata dia pun nak tarik diri. Saya terkejut sebab Shuib pun tak pernah cakap apa-apa sebelum itu. Saya buat pun bersebab. Saya juga tak ada hak untuk menentukan perpecahan kumpulan ini.

Alasan Jep keluar?

Semuanya sebab saya fikir kerja. Bagi saya, selepas tiga tahun bersama Sepah, inilah masa terbaik untuk saya membawa haluan sendiri dan serius membina karier. Kalau tak serius, macam mana saya nak cari pendapatan? Apa saya nak makan? Jadi saya kena utamakan diri sendiri.

Jep ni orang yang pentingkan dirilah? Maknanya, Jep cuba cakap, ada di kalangan anggota Sepah yang tak serius berkerja, begitu?

Saya memang kena pentingkan diri sebab inilah satu-satunya mata pencarian saya. Saya dah tak ada kerja lain dah. Jadi saya perlu menjaganya dengan baik. Bagi saya, kalau nak kerja, kerja. Ini tak ada kena-mengena dengan isu yang kata saya dan Mamat bergaduh dan sebagainya.

Atau ada perkara yang Sepah sorokkan daripada pengetahuan media tentang perpecahan ini? Mana tahu bukan?

Tak ada agenda lain. Memang kami fikir soal kerjaya.

Kalau tak boleh bersama sebagai Sepah, kenapa perlu tubuhkan kumpulan Sepahtu pula? Mencurigakanlah.

Kami dah buat Sepahtu dah lama dah. Kami ikat kontrak dengan MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records tapi tempoh kontrak kami tak boleh beritahu. Sepahtu ni ibarat kasut kiri dan kanan. Kedua-duanya saling memerlukan. Namun kami tak pernah halang kalau tawaran secara individu datang. Itu masing-masinglah, tapi kami akan bergerak bersama. Sepahtu ini diwujudkan sebab saya dan Shuib komited dengan kerja. Kami tak mahu kejadian lama berulang.

Bagaimana pula dengan Shuib? Kenapa sekarang mengaku memang nak tarik diri dari Sepah?

Macam Jep, saya juga fikir tentang periuk nasi. Saya tak nak perkara-perkara yang bukan berkaitan kerja mengganggu kerjaya saya. Saya pun terperanjat bila Jep kata nak keluar pada awalnya sebab dia tak beritahu apa-apa pun. Saya tarik diri pun bukan kerana gaduh dengan Mamat. Hubungan kami okey. Tapi tak ada jodoh dengan Sepah, nak buat macam mana.

Macam mana agaknya kamu bertiga akan bekerjasama nanti dalam filem Sepah The Movie? Iyalah hubungan sebagai sahabat tu bagaikan dah retak katanya.

Kami tak ada masalah berlakon bersama. Iyalah, kami pun dah lama kenal, berkawan dari kecil, jadi rasanya kami tak ada masalah.

Mana Satu Betul? Mamat Dakwa Sepah Belum Bubar


PETALING JAYA: Konflik pembubaran kumpulan Sepah yang dianggotai oleh Mamat, Jep dan Shuib bertambah rumit apabila salah seorang anggotanya mendakwa kumpulan tersebut masih lagi wujud.

Mamat berkata, Sepah masih lagi terlibat meneruskan perjuangan termasuklah menerima tawaran berlakon untuk projek-projek terbitan Astro.

"Memang kami sudah tidak bersama lagi tapi Sepah masih wujud. Shuib akan bersama-sama dengan saya apabila membuat persembahan dan aktivitimelibatkan Sepah," kata Mamat.

mStar Online, Rabu melaporkan Jep dan Shuib membuat pengakuan membubarkan Sepah dan menubuhkan kumpulan baru iaitu Sepahtu yang dianggotai mereka berdua.

Mamat bagaimanapun tidak ditawarkan menyertai kumpulan tersebut kerana dipercayai mempunyai masalah disiplin selepas beberapa kali diberi peluang untuk memperbaiki dirinya.

Mamat memberitahu hubungan dia dengan dua rakannya itu tidak mempunyai masalah dan boleh bekerjasama tetapi dia agak terkilan dengan beberapa kenyataan kurang enak yang dilemparkan kepadanya.

"Jika mereka katakan saya bermasalah, saya rasa semua orang ada masalah. Saya tak nakkomen lanjut dan tak kisah dengan apa yang orang nak kata,” jelasnya.

Namun, Mamat membidas kenyataan Jep yang mendakwa dia hanya mahu bekerja dengan orang yang menghargai karya seni sahaja

"Karya datang daripada Tuhan. Jadi jangan katakan karya itu hak milik kita kerana kitasebenarnya tiada apa-apa," ujarnya.

Mamat turut berpesan kepada semua pihak agar tidak menindas antara satu sama lain jikamahu berjaya.

Jep & Shuib (Sepah) Tubuh Sepahtu Tanpa Mamat


KUALA LUMPUR: Selepas membubarkan kumpulan Sepah pada Ogos lalu, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), 26, dan Shahmira Muhamad (Shuib), 27, menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Sepahtu pada September lalu tanpa Mohd Noor Murad (Mamat), 26.

Menurut Jep, mereka nekad memilih haluan untuk bergerak berdua tanpa Mamat atas alasan tertentu setelah beberapa kali memberi peluang kepada lelaki itu.

“Kami tidak mampu bertahan lagi untuk bekerjasama dalam satu kumpulan. Jadi, kami memilih untuk berpecah dan menubuhkan kumpulan baru, Sepahtu selepas ditawarkan oleh MW Entertainment Sdn Bhd milik penyanyi Mawi.

“Kami suka bekerja dengan orang yang menghargai karya seni, jadi sebab itu kami menerima tawaran ini,” katanya sewaktu sidang media ‘Sepahtu Bikin Album’ di Restoran Dapur Penyet, Maju Junction Mall, di sini, Selasa.

Menyentuh tentang nama Sepahtu, Jep berkata mereka terpaksa menggunakan nama baru memandangkan nama Sepah digunakan untuk mereka bertiga.

“Orang mengenali Sepah dianggotai oleh saya, Shuib dan Mamat. Jadi, Mamat menjadi sebahagian daripada Sepah. Jadi, tidak adil jika kami menggunakan nama tersebut.

“Sebab itu kami menggunakan nama baru iaitu Sepahtu yang berbunyi seperti sepatu atau kasut yang mana bergerak sepasang di kiri dan kanan,” ujarnya lagi.

Biarpun telah berpecah, hubungan mereka masih baik dan tidak memusuhi antara satu sama lain. Jep berkata mereka akan melaksanakan projek terakhir untuk Sepah iaitu filem “Sepah The Movie” yang akan menjalani penggambaran pada 17 Oktober ini.

“Disebabkan kami telah menandatangani kontrak untuk berlakon dalam filem itu, jadi kami masih perlu bekerjasama sebagai Sepah. Lagipun, kami tiada masalah untuk berlakon bersama-sama.

“Hubungan kami sebagai kawan masih ok tetapi apabila tiba tentang komitmen, kami tidak boleh bertolak-ansur lagi. Ikutkan tiada sesiapa yang menyingkir sesiapa, sebaliknya kami memang sudah tidak boleh bersama dan terpaksa berpecah,” ujar Jep.

Bagaimanapun, mereka tidak mungkin menerima kehadiran Mamat dalam kumpulan itu lagi andai kata lelaki itu mahu kembali dan mengubah tingkah lakunya.

Beralih kepada album, Sepahtu akan tampil dengan album sulung mereka yang diterbitkan di bawah MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records serta diedarkan dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia.

Penerbitnya Sheikh Qalam berkata album genre pop dan rock dengan beberapa lirik berunsur komedi itu akan dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik terkenal seperti Datuk M Nasir, Azmeer, Sheikh Qalam, Mawi dan Sepahtu sendiri.

Album ini juga dijangka akan menampilkan kolaborasi Sepahtu bersama-sama Mila dan Mawi.

“Lagu-lagu ini masih belum dihasilkan dan dalam perancangan tetapi kemungkinan kita akan menggubah enam hingga lapan buah lagu yang diterbitkan pada November depan.

“Jika tiada aral, para peminat boleh mendapatkan album mereka pada hujung Disember depan.

“Kami lihat, Jep dan Shuib tiada masalah untuk menyanyi kerana mereka pernah merakamkan lagu hari raya manakala Shuib sudah mempunyai single “Cinta Itu Nyawa” yang dinyanyikan secara duet dengan isterinya, penyanyi Siti Sarah,” kata Sheikh Qalam.

Sementara itu, Sheikh Qalam mewakili Mawi yang tidak dapat hadir turut mengesahkan tentang penglibatan Sepahtu yang kini sudah menjadi artis di bawah naungan MW Entertainment.

“Semua aktiviti seni Sepahtu seperti lakonan, persembahan, album dan iklan akan diuruskan oleh MW Entertainment,” ujarnya lagi.

Lebih banyak tawaran solo - Sepah


SEMENJAK dijulang sebagai juara Maharaja Lawak pada bulan Mei lalu, tidak dinafikan kumpulan Sepah yang dianggotai Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep), Shahmira Muhamad (Shuib) dan Mohd. Noor Murad (Mamat), sememangnya layak untuk digelar sebagai pelawak nombor satu tanah air.

Cuma di sebalik kejayaan kumpulan yang berasal dari Kulai, Johor itu muncul juara, turut terdapat cerita yang kurang enak apabila mereka dikhabarkan mahu berpecah sebaik sahaja berakhir rancangan tersebut.

Namun begitu, setelah beberapa bulan ternyata tiada nampak sebarang tanda-tanda kumpulan tersebut bakal berkubur. Sebaliknya mereka dilihat terus bersama, sekali gus cerita perpecahan berkenaan terus berlalu begitu sahaja.

Kemudian pada awal bulan Ramadan yang lalu tiba-tiba cerita perpecahan mereka kembali kedengaran dan kumpulan Sepah dikatakan akan berkubur dan tinggal sejarah selepas Aidilfitri ini.

Ketika ditanya kepada anggota kumpulan tersebut iaitu Mamat dan Shuib, mereka lantas menafikan tentang berita perpecahan tersebut dan menganggap ia sekadar salah tafsiran tentang kenyataan yang dibuat.

Sementara itu, Jep yang turut dihubungi pula memberitahu dia sendiri tidak mahu kumpulan Sepah berkubur, meskipun jauh di lubuk hatinya itu memang pernah tersirat agar mereka bertiga membawa haluan masing-masing.

Namun begitu, ketika tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meraikan sambutan Aidilfitri, semua persoalan terjawab apabila Jep sendiri telah mengesahkan mengenai perpecahan mereka.

"Memang ini adalah satu keputusan yang nekad kerana sudah tiba masanya untuk kami bertiga membawa haluan masing-masing. Perkara ini sudah lama difikirkan iaitu selepas menjuarai Raja Lawak.

"Ketika kumpulan Sepah semakin diterima ramai, masalah mula timbul apabila disiplin yang diterapkan sebelum bergelar juara dahulu semakin terhakis. Namun, kami mendapat peluang kedua untuk memantapkan semula kumpulan sehinggalah bergelar juara Maharaja Lawak pula," jelasnya.

Menurutnya, dia sendiri mengakui keputusan yang dibuat sememangnya agak berat, tetapi tidak ada gunanya untuk mereka terus bersama jika masing-masing tidak dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap kumpulan.

"Sebelum bermulanya saingan akhir Maharaja Lawak dahulu, memang ada terlintas di fikiran saya untuk berpecah. Kemudian apabila dinobatkan sebagai juara kami berusaha untuk membina semula kumpulan ini.

"Bagaimanapun, apa yang diusahakan kami ini kelihatan seolah-olah tidak berhasil dan akhirnya saya merasakan perpecahan ini adalah jalan terbaik untuk kami meneruskan karier masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Shuib pula ketika diminta mengulas mengenai perpecahan kumpulan Sepah memberitahu, dia pada mulanya cukup terkejut memandangkan keputusan yang dibuat adalah ketika umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ujar Shuib, dia sendiri sememangnya sangat menyayangi kumpulan yang telah menaikkan nama mereka di persada seni hiburan tanah air, namun tetap akur dengan keputusan yang telah dibuat.

"Perkara mengenai perpecahan kumpulan Sepah memang sudah lama timbul dan dibincangkan bersama. Cuma baru sekarang perkara ini telah diputuskan dan saya terima dengan hati yang terbuka tentang perkara ini.

"Mungkin sudah tidak ada jodoh lagi untuk kami terus kekal bersama. Apa yang saya harapkan agar kehadiran kami bertiga dalam industri ini akan terus diterima ramai, meskipun bukan di bawah nama Sepah lagi," ujarnya.

Bagi Mamat pula, dia sendiri tidak kisah dan tetap menerima kenyataan terhadap perpecahan kumpulannya itu. Mengakui sedikit kecewa dengan keputusan tersebut, namun dia berharap agar ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Di sebalik perpecahan kumpulannya itu, Mamat meminta orang ramai agar tidak salah sangka dan menganggap mereka bertiga bercakaran sesama sendiri. Meskipun sudah tidak lagi bersama, tetapi mereka masih lagi berkawan.

"Hubungan kami bertiga tetap baik dan masih sama seperti sebelum kami menubuhkan kumpulan Sepah. Tidak bermakna kalau sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing, hubungan persahabatan juga akan turut berkubur.

"Lagipun perpecahan yang berlaku ke atas kami bertiga ini bukanlah disebabkan bergaduh dan berselisih faham. Cuma sekarang ini kami tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya memandangkan lebih kerap mendapat tawaran secara individu," ujarnya.

Menurutnya lagi, dia menyifatkan apa yang telah berlaku ke atas mereka itu adalah ketentuan Allah. Tanpa mahu menyalahkan sesiapa, dia merasakan mungkin perpecahan tersebut adalah jalan terbaik.

Sepah Tidak Berpecah, Cuma Salah Faham


KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Sepah, Shuib mengakui terkilan dengan kontroversi kononnya mereka akan berpecah selepas memenangi pertandingan Maharaja Lawak lalu.

Jelasnya, apa yang dimaksudkan dengan berpecah adalah tiada halangan untuk menerima tawaran secara berseorangan dalam mana-mana persembahan atau lakonan.

“Pertama sekali saya ingin terangkan bahawa kami tidak berpecah, saya rasa ada salah faham dari kenyataan yang dikeluarkan daripada salah seorang anggota Sepah.

“Apa yang cuba mereka sampaikan ialah kami boleh berpecah-pecah jika mendapat tawaran persembahan pentas atau berlakon dan bukan semestinya bertiga,” jelasnya ketika ditemui di rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.

Kata Shuib, disebabkan khabar angin tersebut dia menerima beberapa panggilan daripada peminat tidak dikenali yang meluahkan rasa kecewa mereka.

“Lebih terkilan apabila ramai peminat yang telefon saya untuk meluahkan rasa kecewa mereka kerana telah berhabis duit mengundi kumpulan kami dalam Maharaja Lawak lalu.

“Saya rasa bersalah dengan mereka kerana mereka ingin melihat Sepah terus berada di industri ini secara berkumpulan bukan secara solo.

“Jujurnya, saya akui kami tidak akan kuat jika bergerak sendiri tanpa salah seorang daripada kami,” tuturnya.

Dalam pada itu, Shuib akui ada beberapa tawaran yang tidak dapat dipenuhi ketiga-tiga mereka atas sebab-sebab tertentu.

“Kami sudah berkawan lama dan berjanji tidak akan menyekat rezeki masing-masing.

“Jika salah seorang daripada kami sibuk dan tidak dapat menyertai, kami tetap akan meneruskan persembahan biarpun berdua atau seorang,” katanya.

Astro Berhak Urus Program Kumpulan Sepah


PUTRAJAYA: Stesen televisyen Astro bertanggungjawab dan berhak menguruskan perjalanan kumpulan Sepah yang bernaung di bawah pengurusannya termasuk menetapkan penglibatan mereka dalam sesebuah program untuk saluran-saluran stesen tersebut.

Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata kumpulan tersebut masih berada dibawah pengurusan Astro dan Astro berhak untuk melibatkan mereka pada mana-mana program rangkaian saluran tersebut.

"Saya tidak pasti sama ada mereka tahu atau tidak tetapi kami sudah memberitahu pada salah seorang dari anggota Sepah tentang program tersebut.

"Lagi pula mereka masih dibawah pengurusan Astro, jadi segala aktiviti mereka sudah ditetapkan oleh pihak Astro," katanya ketika ditemui selesai program Lawak Minggu Ini, di Auditorium Sri Cempaka, Perbadanan Putrajaya, di sini, Sabtu.

Nizam mengulas kenyataan kumpulan Sepah yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang penglibatan mereka dalam program tersebut.

Dalam laporan tersebut juga menulis Sepah tidak akan membuat sebarang persembahan dalam Lawak Minggu ini kerana sehingga kini tiada sebarang maklumat rasmi mengenai program tersebut.

Dalam pada itu, Nizam turut memberitahu juara Maharaja Lawak itu tetap akan membuat persembahan secara langsung pada minggu terakhir program tersebut.

"Saya rasa mungkin berlaku salah faham kerana Jeff memang tidak tahu tentang perkara itu sebab dia kini berada di kampung.

"Mereka tetap akan membuat persembahan pada episod minggu ke 13 secara langsung," tuturnya yang enggan mengulas tentang khabar angin perpecahan kumpulan tersebut.

Memang Sepah hebat


BERAKHIRNYA program Maharaja Lawak minggu lalu membuktikan yang industri kita masih belum ketandusan bakat-bakat komedi. Masih ramai pelapis yang hebat tatkala melihatkan barisan peserta akhir malam itu.

Namun harus diakui populariti Jozan memang cukup hebat. Nama Jozan sering dicanang sebagai pemenang tetapi tidak berlaku pada malam itu apabila kumpulan Sepah diangkat sebagai Maharaja Lawak.

Berdasarkan persembahan pada malam itu, memang Sepah layak diangkat sebagai juara. Persembahan yang cukup konsisten daripada mereka bertiga dalam kedua-dua persembahan turut mendapat pujian ramai.

Faktor bertiga juga mungkin menjadi pendorong untuk mereka merencanakan idea yang cukup hebat berbanding dengan peserta lain. Pada saya itu bukan hal yang besar kerana hampir semua peserta akhir telah memberikan yang terbaik pada semua.

Nabil mungkin orang yang paling tertekan. Terpaksa melakukan persembahan sendirian sedangkan orang lain berpasukan. Walau apa yang terjadi kehebatan Nabil sebagai pelawak solo cukup dikagumi. Saya berharap semua pelawak-pelawak kita akan meneruskan kesinambungan pada masa hadapan.

Tak Bersepah,

Pasir Gudang, Johor.

'Bujang Sepah' Kembali


KUALA LUMPUR: Juara program Raja Lawak musim ketiga, kumpulan Sepah kembali dengan drama bersiri Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua yang bakal menemui penonton bermula 3 Januari 2011, setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (Saluran 105).

Drama komedi 26 episod arahan Mohd Danial Hasbullah ini dijayakan oleh barisan pelakon baru dan lama tanah air dan masih diterajui oleh kumpulan Sepah yang terdiri daripada Mohd Nadzri Zainal Abidin (sebagai Jep), Mohd Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Mohamed (Shuib) selaku Bujang Sepah.

Mereka turut dibantu oleh Nonny AF (Zara), Zizie AF (Anita), Ely Sarimah (Mila), Hamid Gurkha (Wak Gurkha), Imuda (Daim Handsome), Sheila Mambo (Puan Sheila) dan Lufya AF (Cikgu Saleha).

Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, "Pada musim lalu, kisah Bujang Sepah Lalalitamplom telah berjaya meraih jumlah penonton yang emberangsangkan di antara drama-drama yang pernah ditayangkan di Astro Prima.

"Sebelum ini juga, kami banyak menerima maklum balas yang positif selepas penayangan tiga telefilem komedi iaitu Bujang Sepah Si Lalalitamplom, Lemang Si Bujang Sepah dan Dodol Si Bujang Sepah.

"Ini membuktikan kisah Bujang Sepah telah berjaya memikat hati dan mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri."

Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua mengisahkan ragam tiga bujang hartawan segera yang ingin mencari jodoh setelah memiliki harta peninggalan ibu mereka.

Namun, satu kejadian yang berlaku telah menyebabkan mereka memutuskan tali persaudaraan sewaktu pembahagian harta.

Jep dan Mamat menjadi lupa diri setelah mewarisi harta tersebut. Mereka ditipu oleh ramai perempuan sehinggakan kesemua harta mereka dikikis.

Hasil perancangan bijak oleh seorang usahawan yang bijaksana iaitu Daim Handsome, Jep dan Mamat menjadi muflis.

Mereka mengambil keputusan untuk mencari Shuib dan bersatu semula.

Sewaktu Shuib dipinggirkan oleh abang-abangnya, dia telah terjumpa sesuatu yang berharga di dalam dokumen harta miliknya.

Rupa-rupanya terdapat sebuah keratan peta yang menceritakan tentang harta milik moyang mereka iaitu Jamal Pak Tongko.

Menurut peta itu, terdapat 12 butir berlian yang tersembunyi di Daerah Nami. Shuib memberitahu kedua abangnya dan mereka bersetuju untuk mencari berlian tersebut.

Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa mereka tempuhi kerana berlian-berlian yang ditinggalkan moyang mereka bukan kesemuanya tertanam di dalam tanah. Malah ada juga berlian yang berada di dalam simpanan individu tertentu.

Sepanjang pengembaraan tersebut, Jep, Mamat dan Shuib juga sering digoda oleh ramai gadis cantik di setiap kampung yang mereka kunjungi.

Kesudahan cerita komedi ini bakal terungkai dalam drama komedi Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua, bermula Januari 2011, setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (Saluran 105).

'Sepah makin terumbang-ambing'


Tiada kontrak rasmi daripada AESB buatkan kerjaya mereka tak menentu

TIGA bulan selepas menjuarai program realiti Raja Lawak musim ketiga, kehadiran tiga anak muda yang bernama Sepah semakin dipandang sepi, malah mereka hanya muncul dalam beberapa program TV dan satu telemovie saja. Itu tidak berbaloi dengan gelaran hebat yang meraih raih.

Tidak seperti juara Raja Lawak sebelum itu, Ahmad Nabil Ahmad, kehadirannya mencetuskan fenomena baru dalam industri hiburan. Belumpun sampai setahun jagung, Nabil berjaya dinobatkan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008).

Malah, Nabil juga mengetepikan nama besar seperti Saiful Apek dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sekali gus membuktikan kehadiran Nabil dalam dunia komedi begitu mendapat tempat di hati peminat.

Sebaliknya pula bagi kumpulan Sepah, walaupun mereka juara tetapi mereka tidak mendapat peluang sebaik Nabil, malah sejak keluar program Raja Lawak, mereka terkontang-kanting mencari dahan bergantung.

Secara jujur, Jep berkata, apa berlaku tidak seperti diimpikan, malah mereka semakin terasa perit bergelar anak seni.

"Selepas keluar Raja Lawak, aktiviti Sepah tidaklah sehebat yang diperkatakan, malah kami hairan apabila ada yang mengatakan Sepah sibuk. Kami tekankan di sini, kami tidak pernah sibuk, selama ini kami hanya terbabit dengan tiga program TV iaitu Kisah Sepah, Lawaking dan Tok Ketua.

"Hanya baru-baru ini kami mendapat peluang beraksi dalam dua telemovie iaitu Bujang Sepah Silalalitamplom dan Lawak Aidilfitri Si Bujang Sepah untuk Aidilfitri nanti, selebihnya kami hanya melepak di rumah. Setiap Sabtu pula kami diberi kepercayaan mengendalikan radio nombor satu negara, Era dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Hanya sesekali kami perlu mengendalikan Riuh Pagi Era menggantikan Aznil Nawawi dan Din Beramboi jika mereka bercuti.

"Jadi, apabila ramai yang mencari kami dan ada pihak yang mengatakan Sepah sibuk, kami jadi pelik. Kami memang terasa apabila perjalanan seni Sepah semakin perlahan, malah kami terumbang ambing mencari dahan bergantung. Cuma yang membuatkan kami masih bernafas apabila bersama Radio Era, mereka banyak membantu kami walaupun mereka tidak menguruskan kami. Kami sangat terhutang budi dengan Radio Era," kata Jep. Selain Jep atau nama sebenarnya, Mohd Nadzri Zainal, 24, Sepah turut dianggotai Shahmira Muhamad (Shuib), 25, dan Mohd Noor Murad (Mamat), 24.

Mamat berkata, selepas Maestro Talent & Management tutup, mereka tidak terikat dengan mana-mana pihak termasuklah Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Malah AESB bukanlah syarikat yang menguruskan aktiviti seni mereka.

Terasa dianaktirikan

"Kami tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian dengan AESB, malah kami tidak diserapkan ke AESB seperti mana difikirkan. Kami sudah meneliti surat perjanjian dengan Maestro dulu, tiada perjanjian yang mengatakan Sepah diserapkan ke AESB.

"Jadi kami menganggapnya kami tidak terikat dengan sesiapa. Kami tidak boleh lagi menunggu, janji hanya tinggal janji. Kami memang kecewa sebenarnya, sejak keluar Raja Lawak, kami seolah-olah dianaktirikan. Bayangkan inilah fotografi pertama Sepah bersama wartawan selepas keluar Raja Lawak. Tiada siapa yang memberi panduan kepada kami, Sepah terkontang kanting dalam meniti perjalanan bergelar anak seni.

"Ramai yang menganggap Sepah mendapat gaji bulanan daripada AESB, hakikatnya tidak. Selama hari ini, semuanya Sepah uruskan sendiri, baik urusan persembahan atau rakaman, tiada siapa yang ambil peduli. AESB juga tidak mendapatkan apa-apa projek, malah kami terpaksa menebalkan muka meminta belas ihsan penganjur atau penerbit.

"Bagaimanapun, AESB pernah menawarkan kontrak kepada kami, semuanya masih lagi dalam pertimbangan. Kami bukan menolak, tetapi bagi kami masa untuk memikirkan baik, buruknya untuk masa depan Sepah," katanya.

Shuib berkata, bagaimanapun, mereka tidak akan melupakan jasa Astro memperkenalkan mereka dalam industri, mungkin belum rezeki Sepah untuk menempa kejayaan sehebat Nabil atau peserta Raja Lawak lain.

'Kesal dulu berhenti kerja'

Dengan nada perlahan, Shuib berkata, mereka pernah terfikir jika sebulan lagi mereka hanya duduk melepak di rumah tanpa melakukan apa-apa kerja, Sepah ingin saja pulang ke kampung halaman dan meneruskan hidup seperti insan biasa seperti dulu.

"Mungkin ramai yang tak percaya, kami pernah terfikir mahu pulang saja ke kampung selepas tiada punca pendapatan. Kereta, rumah dan makan minum semuanya perlukan duit, jika tiada kerja, bagaimana kami nak hidup di kota besar Kuala Lumpur ini? Ini baru tiga bulan, kalau setahun entahlah apa akan jadi dengan Sepah.

"Sesekali terasa juga menyesal berhenti kerja kerana mengejar cita-cita sebagai anak seni, tetapi masa tidak akan berpatah semula. Sakit, pedih dan perit terpaksalah kami telan. Mungkin ini juga ujian Tuhan kepada kami, sekarang barulah kami rasa bagaimana peritnya menjadi anak seni, tidak seindah yang digambarkan.

"Dulu, kami tidak pernah terfikir akan bergelar juara Raja Lawak, impian kami sebenarnya hanya nak masuk TV seminit dua saja, tetapi dengan bakat yang ada, kami dipilih menjadi juara pula. Kuasa Tuhan semuanya. Ingatkan apabila memilih hidup sebagai anak seni, hidup Sepah akan berubah. Dapatlah kami membantu keluarga, tetapi semua tekaan itu meleset sama sekali, malah kami rasa makin susah dan tertekan," katanya yang dulu pernah berkhidmat di syarikat penerbangan AirAsia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails