Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Sepah makin terumbang-ambing'


Tiada kontrak rasmi daripada AESB buatkan kerjaya mereka tak menentu

TIGA bulan selepas menjuarai program realiti Raja Lawak musim ketiga, kehadiran tiga anak muda yang bernama Sepah semakin dipandang sepi, malah mereka hanya muncul dalam beberapa program TV dan satu telemovie saja. Itu tidak berbaloi dengan gelaran hebat yang meraih raih.

Tidak seperti juara Raja Lawak sebelum itu, Ahmad Nabil Ahmad, kehadirannya mencetuskan fenomena baru dalam industri hiburan. Belumpun sampai setahun jagung, Nabil berjaya dinobatkan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008).

Malah, Nabil juga mengetepikan nama besar seperti Saiful Apek dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sekali gus membuktikan kehadiran Nabil dalam dunia komedi begitu mendapat tempat di hati peminat.

Sebaliknya pula bagi kumpulan Sepah, walaupun mereka juara tetapi mereka tidak mendapat peluang sebaik Nabil, malah sejak keluar program Raja Lawak, mereka terkontang-kanting mencari dahan bergantung.

Secara jujur, Jep berkata, apa berlaku tidak seperti diimpikan, malah mereka semakin terasa perit bergelar anak seni.

"Selepas keluar Raja Lawak, aktiviti Sepah tidaklah sehebat yang diperkatakan, malah kami hairan apabila ada yang mengatakan Sepah sibuk. Kami tekankan di sini, kami tidak pernah sibuk, selama ini kami hanya terbabit dengan tiga program TV iaitu Kisah Sepah, Lawaking dan Tok Ketua.

"Hanya baru-baru ini kami mendapat peluang beraksi dalam dua telemovie iaitu Bujang Sepah Silalalitamplom dan Lawak Aidilfitri Si Bujang Sepah untuk Aidilfitri nanti, selebihnya kami hanya melepak di rumah. Setiap Sabtu pula kami diberi kepercayaan mengendalikan radio nombor satu negara, Era dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Hanya sesekali kami perlu mengendalikan Riuh Pagi Era menggantikan Aznil Nawawi dan Din Beramboi jika mereka bercuti.

"Jadi, apabila ramai yang mencari kami dan ada pihak yang mengatakan Sepah sibuk, kami jadi pelik. Kami memang terasa apabila perjalanan seni Sepah semakin perlahan, malah kami terumbang ambing mencari dahan bergantung. Cuma yang membuatkan kami masih bernafas apabila bersama Radio Era, mereka banyak membantu kami walaupun mereka tidak menguruskan kami. Kami sangat terhutang budi dengan Radio Era," kata Jep. Selain Jep atau nama sebenarnya, Mohd Nadzri Zainal, 24, Sepah turut dianggotai Shahmira Muhamad (Shuib), 25, dan Mohd Noor Murad (Mamat), 24.

Mamat berkata, selepas Maestro Talent & Management tutup, mereka tidak terikat dengan mana-mana pihak termasuklah Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Malah AESB bukanlah syarikat yang menguruskan aktiviti seni mereka.

Terasa dianaktirikan

"Kami tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian dengan AESB, malah kami tidak diserapkan ke AESB seperti mana difikirkan. Kami sudah meneliti surat perjanjian dengan Maestro dulu, tiada perjanjian yang mengatakan Sepah diserapkan ke AESB.

"Jadi kami menganggapnya kami tidak terikat dengan sesiapa. Kami tidak boleh lagi menunggu, janji hanya tinggal janji. Kami memang kecewa sebenarnya, sejak keluar Raja Lawak, kami seolah-olah dianaktirikan. Bayangkan inilah fotografi pertama Sepah bersama wartawan selepas keluar Raja Lawak. Tiada siapa yang memberi panduan kepada kami, Sepah terkontang kanting dalam meniti perjalanan bergelar anak seni.

"Ramai yang menganggap Sepah mendapat gaji bulanan daripada AESB, hakikatnya tidak. Selama hari ini, semuanya Sepah uruskan sendiri, baik urusan persembahan atau rakaman, tiada siapa yang ambil peduli. AESB juga tidak mendapatkan apa-apa projek, malah kami terpaksa menebalkan muka meminta belas ihsan penganjur atau penerbit.

"Bagaimanapun, AESB pernah menawarkan kontrak kepada kami, semuanya masih lagi dalam pertimbangan. Kami bukan menolak, tetapi bagi kami masa untuk memikirkan baik, buruknya untuk masa depan Sepah," katanya.

Shuib berkata, bagaimanapun, mereka tidak akan melupakan jasa Astro memperkenalkan mereka dalam industri, mungkin belum rezeki Sepah untuk menempa kejayaan sehebat Nabil atau peserta Raja Lawak lain.

'Kesal dulu berhenti kerja'

Dengan nada perlahan, Shuib berkata, mereka pernah terfikir jika sebulan lagi mereka hanya duduk melepak di rumah tanpa melakukan apa-apa kerja, Sepah ingin saja pulang ke kampung halaman dan meneruskan hidup seperti insan biasa seperti dulu.

"Mungkin ramai yang tak percaya, kami pernah terfikir mahu pulang saja ke kampung selepas tiada punca pendapatan. Kereta, rumah dan makan minum semuanya perlukan duit, jika tiada kerja, bagaimana kami nak hidup di kota besar Kuala Lumpur ini? Ini baru tiga bulan, kalau setahun entahlah apa akan jadi dengan Sepah.

"Sesekali terasa juga menyesal berhenti kerja kerana mengejar cita-cita sebagai anak seni, tetapi masa tidak akan berpatah semula. Sakit, pedih dan perit terpaksalah kami telan. Mungkin ini juga ujian Tuhan kepada kami, sekarang barulah kami rasa bagaimana peritnya menjadi anak seni, tidak seindah yang digambarkan.

"Dulu, kami tidak pernah terfikir akan bergelar juara Raja Lawak, impian kami sebenarnya hanya nak masuk TV seminit dua saja, tetapi dengan bakat yang ada, kami dipilih menjadi juara pula. Kuasa Tuhan semuanya. Ingatkan apabila memilih hidup sebagai anak seni, hidup Sepah akan berubah. Dapatlah kami membantu keluarga, tetapi semua tekaan itu meleset sama sekali, malah kami rasa makin susah dan tertekan," katanya yang dulu pernah berkhidmat di syarikat penerbangan AirAsia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails