Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Sharifah Amani. Show all posts
Showing posts with label Sharifah Amani. Show all posts
Syamsul Yusof & Sharifah Amani 'Berperang' di Twitter
Sejak isu cetak rompak filem arahan beliau, KL Gangster 2, Syamsul Yusof memilih untuk berdiam diri dari memberikan sebarang maklumbalas kepada peminat mahu pun media termasuklah tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem tersebut.
Namun lewat malam tadi, Syamsul Yusof melalui akaun Twitter yang menjadi medan untuknya berkomunikasi dan beliau seakan tidak berpuas hati dengan kenyataan terbaru Sharifah Amani yang juga diluahkan melalui Twitter.
Sementara status anak kepada guru lakon Fatimah Abu Bakar ini seperti tidak berpuas hati dengan layanan pilih kasih oleh pihak tertentu yang memihak kepada KL Gangster 2.
Di atas merupakan salah satu kemaskini Twitter Sharifah Amani terdahulu dan anak seni ini turut menulis yang beliau meluahkan apa yang terbuku kerana sayangkan industri perfileman tempatan dan mahu semua pihak yang terlibat untuk konsisten serta sistematik.
Menjawab kemaskini Syamsul Yusof yang mempersoalkan motif kenyataan Sharifah Amani itu, aktress ini membalas yang ianya bukan bersifat peribadi tetapi lebih kepada terganggu dengan sistem pilih kasih yang berlaku dan tidak berniat mempersoalkan rezeki Syamsul Yusof.
Jangan 'kotorkan' wanita - Sharifah Amani
JIWANYA resah, hatinya gelisah melihat persekitaran industri yang semakin tidak menentu. Ketidaktentuan industri hiburan tempatan secara amnya dilihat sebagai satu perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
Tidak hanya melihatkan jumlah kutipan tiket wayang yang tidak memberangsangkan tetapi yang lebih dikesalkan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid adalah isu watak wanita tidak mengangkat martabat wanita.
"Apa yang kita ada? Banyak drama atau pun filem hanya meletakkan wanita watak sebagai isteri teraniaya, hidup bermadu, kena rogol atau watak-watak pelacur yang hidup terumbang ambing.
"Kebanyakan karya meletakkan wanita yang pada tahap paling rendah. Sampai bila wanita harus diletak sebagai 'penyedap' dalam sesebuah karya?
"Padahal peranan wanita lebih daripada itu. Saya pasti kebanyakan wanita di luar sana pun tak ingin melihat kaum mereka digambarkan sebagai manusia yang lemah," katanya.
Cukup mesra disapa dengan panggilan Nani, dia sedar isu ini sedikit sensitif memandangkan melibatkan beberapa pihak lain yang punya alasan tersendiri mengapa wanita harus digambarkan sedemikian.
"Alasan mereka penonton mahu menonton dan karya begitu mendapat rating tinggi," tambahnya kesal.
Menganggap wanita tidak semestinya digambarkan sebagai wanita yang lemah, Nani masih teringat karya-karya lalu saat dia terlibat dengan produksi Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2009 yang lalu.
"Cuba lihat beberapa tahun kebelakangan ini mana karya yang mengangkat kaum wanita? Boleh dikatakan wanita tetap digambarkan sebaliknya sampai hari ini.
"Sampai bila kita nak terus mengajar penonton yang wanita hanya tempat melepas nafsu? Mungkin suara saya sedikit lantang tapi apa yang saya katakan adalah kebenaran.
"Kalau saya tak perjuangkan nasib wanita siapa lagi? Dan isu yang paling besar adalah sampai bila?" soalnya.
Rentetan daripada isu berkenaan, wanita yang menginjak usia 27 tahun itu enggan lagi terlibat dalam naskhah-naskhah yang merendahkan wanita.
"Saya dengan rela hati menolak untuk terlibat dalam naskah sebegini. Tak ada masalah besar pun untuk menolak asalkan saya tidak menjatuhkan kami, kaum wanita. Kalau orang nak kata saya memilih pun saya tak ada masalah dengan gelaran itu," ujarnya.
Filem tak laku, di mana silapnya?
Menyorot kembali apa yang telah berlaku kepada industri sejak akhir-akhir ini jumlah kutipan filem tempatan di panggung sedikit menakutkan.
Meskipun membariskan nama-nama besar dengan jalan cerita yang baik tetapi penonton enggan ke panggung dan ini tentunya merencatkan sedikit pertumbuhan industri perfileman,
Paling dekat sudah pasti melihatkan filem Psiko Pencuri Hati yang meletakkan Nani sebagai tunjang utama karya arahan Namron itu.
"Orang kita enggan ke panggung dan menonton filem tempatan. Mereka lebih gemar pada filem-filem antarabangsa dan langsung tidak memberikan ruang kepada karya sendiri.
"Sejujurnya saya sangat takut dengan keadaan ini. Ini isu yang semakin meruncing tetapi sampai sekarang belum menunjukkan jalan penyelesaian.
"Golongan urban bagi alasan tak mahu tengok filem tempatan tapi orang biasa pun tak mahu juga ke panggung? Habis macam mana?" katanya.
Tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak, Nani menegaskan semua ini perlu berbalik kepada asas pendidikan di sekolah yang kurang menerapkan semangat untuk mencintai karya tempatan.
Jika keseluruhan rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sudah pasti tidak akan menimbulkan isu yang lebih rumit seperti yang berlaku hari ini.
"Lihat sahaja hasil seni kita seperti makyung, wayang kulit, menora, main puteri dan macam-macam lagi sudah semakin dilupakan oleh generasi hari ini.
"Kalau kita tak ada semangat untuk mengambil tahu akar budaya dan seni sendiri tak mustahil pada masa akan datang tak ada apa yang boleh kita ceritakan pada anak cucu.
"Sebab itu kita perlu usaha yang menyeluruh untuk mengatasi isu ini. Masalah depan mata kita buat tak nampak tapi kita sibuk dengan hal lain yang tak penting," katanya penuh sinis.
Disayangi
Pernah dilabel lantang dan panas baran satu ketika dahulu, Nani menganggap dia berjaya mengawal sikap tersebut sedikit demi sedikit seiring dengan peningkatan usia.
"Saya dah kurangkan banyak sikap tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dulu mungkin saya tak boleh dikutuk dan akan mempertahan diri saya. Tapi sekarang saya lebih rileks.
"Tak ada guna nak melatah dengan isu yang sengaja digembar-gembur orang yang tak puas hati dengan kita. Selagi kita menjawab selagi itu sesuatu isu itu tak akan habis.
"Saya ini jenis yang berterus terang dan jujur. Kalau tak elok pada mata saya pasti saya cakap yang benar. Tak guna nak jadi hipokrit, cakap pusing-pusing.
"Cuma saya bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya seperti keluarga, teman-teman dan rakan-rakan artis yang menjadi guru terbaik buat saya.
"Bila mereka ada sudah cukup untuk membuat saya selesa. Mereka bukan sahaja bagi semangat tetapi bagi inspirasi dan kekuatan pada saya menempuh hari-hari mendatang," katanya.
Namun yang dirisaukan oleh Nani adalah apabila melihat keghairahan peminat menegur di laman sosial seperti Instagram sejak akhir-akhir ini.
"Ada yang terlalu mahukan perhatian sehingga mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini bukan caranya untuk mereka bergaduh sesama sendiri atau tulis bukan-bukan.
"Banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk diterokai daripada terus taksub kepada media sosial seperti itu," tegas Nani.
Jadi pilihan
Larut dalam emosi, Nani sebenarnya masih boleh tersenyum lebar apabila dia terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar jelas Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bersama Roslan Aziz dan Edry Abdul Halim .
Menganggap dirinya berupaya, dia sebenarnya mewakili golongan muda yang tahu apa 'ramuan dan rencah' untuk mencari bintang baru melalui AF2013.
"Saya tidak boleh menilai diri sendiri tapi apa yang boleh saya katakan mungkin mereka melihat saya generasi muda yang cukup dekat dengan peserta AF2013 kali ini.
"Jarak umur yang tak jauh ditambah dengan pengalaman saya sebagai anak seni membuatkan saya tahu peserta mana yang berbakat dan boleh dilahirkan sebagai bintang pada masa hadapan.
"Saya mungkin tak tahu mendalam mengenai muzik tapi saya boleh mencari dan menilai orang lain dengan cara lain. Melihat mereka berjalan, bercakap dan aspek-aspek lain.
"Kalau betul dengan caranya tak mustahil AF2013 melahirkan superstar seperti yang diharapkan semua," jelas pengkritik tetap AF2013 itu.
Pun begitu, Nani cukup gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat yang teruja dengan kemunculannya bersama rancangan tersebut.
"Ramai yang tweet dan hantar mesej menyatakan kegembiraan mereka melihat saya di kaca TV (televisyen). Saya pun tak selalu keluar TV sebab itu saya tahu ramai yang ternanti-nanti.
"Setidak-tidaknya saya tahu masih ada peminat yang sayang dan rindu dengan saya," katanya tertawa.
Bagi Nani, dia tidak pernah meletakkan perspektif buruk mengenai rancangan realiti TV meskipun ramai yang menganggap rancangan seperti itu sudah tidak relevan buat masa ini.
Ujarnya, masih banyak program realiti yang bagus terutama membabitkan program antarabangsa yang boleh dikutip sebagai pelajaran.
Dan kongsi Nani sebelum beredar, selepas hampir sedekad meninggalkan pentas teater, dia akan kembali, kali ini bermonolog untuk karya Namron berjudul Aku Nak Jadi Bintang.
Bermula 29 Oktober hingga 3 November ini, antara artis yang terlibat sama adalah Sofia Jane, Vanidah Imran dan Aqasha. Teater itu bakal dipentaskan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
Sharifah Amani Anggap Bront Palarae Seperti Abang
Aktres Sharifah Amani hanya menganggap pelakon Bront Palarae sebagai seorang abang ekoran hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak sekian lama.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 27, berkata, keserasian dan keakraban mereka dalam bersahabat bagaimanapun telah disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang mengatakan mereka bercinta.
"Kami serasi sebagai kawan dan gosip mengatakan kami bercinta sebelum ini tidak benar kerana hubungan yang wujud di antara kami sudah seperti abang dengan adik.
"Saya begitu menghormatinya yang saya sifatkan sebagai seorang yang cukup 'sporting' dan jujur. Kami mempunyai pelbagai persamaan yang menyebabkan hubungan kawan itu kekal terjalin sehingga ke hari ini," ujarnya kepada mStar Online.
Amani dan Bront bakal muncul dalam filem arahan Nam Ron bertajuk Psiko Pencuri Hati bermula 5 September ini.
Dalam perkembangan sama, Amani berkata, dia tidak berasa kekok apabila terpaksa melakonkan babak romantik bersama Bront dalam filem berkenaan walaupun aktor itu mengakui berasa janggal.
Jelas Amani, sebagai seorang pelakon dia perlu bersikap profesional dan menjayakan watak diberikan walaupun pasangannya itu adalah rakan baiknya sendiri.
"Saya faham kenapa Bront rasa janggal kerana kami sangat rapat sebagai sahabat tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya kerana itu adalah tanggungjawab kami sebagai," katanya.
Sementara itu, Amani berkata, dia sangat bertuah dapat berlakon dibawah arahan Nam Ron kerana sentiasa mengagumi semangat lelaki itu yang tidak pernah berputus asa dalam setiap perkara dilakukannya.
Malah kata Amani, Nam Ron juga adalah seorang pengarah yang sentiasa mengambil pandangan selain memberi kebebasan kepada para pelakon untuk menghidupkan watak diberikan.
"Kami tidak menerima skrip ketika bersetuju untuk berlakon dalam filem ini dan proses itu adalah daripada sumbangan idea dan kreativiti para pelakon.
"Dari situ juga kita dapat mempelajari sesuatu yang baharu dalam menjadikan kita pelakon yang baik," katanya.
Anugerah Bukan Dikejar Amani
Pelakon Sharifah Amani memberitahu tidak pernah mengejar sebarang anugerah atau penghargaan bagi mengiktiraf kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 27, berkata, apa juga peranan yang dibawanya sama ada di dalam filem atau pun drama dibuat dengan penuh minat dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
"Saya berlakon bukan untuk memenangi anugerah kerana jika perkara itu menjadi keutamaan maka pekerjaan yang dilakukan itu tidak ikhlas.
"Saya percaya jika kita jujur dan memberikan yang terbaik dalam melakukan kerja, penghargaan itu akan datang dengan sendiri," katanya kepada mStar Online.
Amani sebelum ini telah diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Selagi Cinta Berzikir pada Anugerah Tribute P. Ramlee yang diadakan pada 8 Jun lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.
Dalam pada itu, Amani berkata, sesuatu kemenangan yang diterimanya merupakan satu bonus selain menjadi peringatan agar dia dapat memberikan sesuatu yang terbaik kepada karya-karya lain selepas ini.
Jelas Amani, mendapat pengiktirafan tidak bererti seseorang artis itu boleh mendabik dada kerana ia tidak akan membawa karier seseorang itu ke tahap yang lebih tinggi.
"Menang atau kalah adalah adat pertandingan dan rezeki namun itu tidak bererti kita boleh bermegah atau berputus asa dengan apa yang kita lakukan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amani sedang sibuk di lokasi dengan filem terbaharunya berjudul Sindiket arahan Bade Azmi yang sedang menjalani penggambaran di Sabah.
"Saya sentiasa seronok dapat bekerjasama dengan Bade kerana beliau adalah seorang yang sangat berkaliber dan fokus terhadap apa yang dilakukannya," kata Amani.
Sharifah Amani Akui Dah Penat 'Direjam'
Sharifah Amani 'gila' Twitter
NAMA Sharifah Amani,27, atau lebih mesra dipanggil Nani mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri filem tanah air.
Filem seperti Sepet, Gubra, Cinta dan Muhsin antara yang memberi kesan kepada pelakon muda berbakat itu sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19.
Sudah lama rasanya peminat tidak mendengar cerita beliau yang agak menyepi dari segi berita dan lakonan di dalam filem mahupun drama-drama di kaca televisyen.
Peluang bertemunya sebagai duta produk Samsung Galaxy Note 2 baru-baru ini sedikit sebanyak menyingkap kehilangan pelakon kecil molek ini tentang kisah kehidupan beliau.
Nani tak hilang, ada di sini, sekarang sedang menyiapkan projek filem pendek sempena hari wanita bertajuk Hawa.
Banyak masa Nani habiskan untuk menulis, mengarah dan berlakon dalam filem pendek yang Nani tulis sendiri. Sebenarnya agak sibuk sekarang ini," katanya.
Bertanya mengenai mentornya, arwah Yasmin Ahmad sudah pasti beliau tidak melupakannya kerana beliau mula berlakon dibawah arahannya.
Banyak sikap kerja dan cara pengarahan yang saya belajar dan kadang kala terikut dengan arwah namun apa yang penting setiap bahan yang dihasilkan berkualiti dan mencapai apa yang dikehendaki.
Sementara itu, Nani tidak dapat menyangkal bahawa kini dia begitu ketagih dengan laman sosial Twitter dan boleh dikatakan setiap hari pasti dia akan membuka Twitter untuk mengetahui hal-hal yang berlaku.
Kadang-kadang Twitter menjadi penghubung saya dengan adik beradik yang lain dan keluarga, walaupun kami sering menggunakan telefon namun Twitter seakan alat pengesan apa yang mereka lakukan," katanya.
Sejak menggunakan Samsung Galaxy Note 2, pelbagai perancangan yang Nani akan laksanakan seperti untuk membuat filem menggunakan gajet ini.
Mungkin Nani agak lambat dalam teknologi namun dengan kecanggihan telefon pintar ini serta bantuan rakan-rakan membolehkan Nani menghasilkan sesuatu untuk peminat semua," katanya.
Amani duta Samsung
ZAMAN sekarang, kalau nak pakai telefon canggih, mesti iPhone 5 atau Samsung.Diva bab gajet ni tak berkira sangat, pakai apa yang ada, janji bukan pakai prepaid. Cakap pasal telefon, sumber Diva yang bukan pakar telefon sudah bercerita pasal model Samsung yang baharu.
"Tak payah cakaplah pasal SIII atau Note 2, gua ada model Samsung yang terbaik punya, Sharifah Amani!" macam berlagak pula konon-kononnya dia hebat sebab sudah tengok model baharu Samsung bernama Amani.
Maksud sumber Diva tadi, bukan nama model baharu Samsung tapi duta baharu. Katanya, dia ada dengar nama Sharifah Amani dipetik sebagai duta Samsung. Hebatlah, lama juga Diva tak dengar cerita pasal Amani.
Memang benda itu tak diumumkan lagi, tapi kalau benar, sikit masa lagi pasti ada majlis pelancaran, tunggulah!
Sharifah Amani Dididik Amalkan Kesederhanaan
PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Amani menyambut Aidilfitri pada tahun ini secara sederhana bersama-sama keluarganya di Bandar Sri Damansara di sini.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 26, berkata, konsep kesederhanaan itu sudah dididik sejak kecil lagi dan terus dipraktikkan sehingga bulan Syawal demi mengeratkan silaturahim bersama keluarga.
"Baju raya saya untuk tahun ini hanya sepasang sahaja. Lagipun saya bukannya seorang yang cerewet dalam pemilihan baju lebih-lebih lagi untuk membuat persiapan raya. Apa yang sesuai, selesa dan sedap mata memandang, saya beli," katanya.
Bagi anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar ini, dia hanya ingin memanfaatkan bulan Syawal dengan memohon maaf terhadap sesiapa sahaja yang dikenalinya dan ia sudah cukup untuk membuatkan Aidilfitrinya meriah.
Sementara itu, Amani kini sedang sibuk dengan pembikinan pasca produksi bagi filem pendek berjudul Kampung Bangsar bagi projek My Hometown Short Films terbitan Red Films.
Ia akan disiarkan menerusi saluran My Hometown (Astro Saluran 318) bermula 31 Ogos hingga 17 September 2012.
Tiba-tiba Amani marah...

ORANG selalu membandingkan karakter Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dengan ibunya, tenaga pengajar Akademi Fantasia, Fatimah Abu Bakar atau kakaknya, penyiar Radio Hot FM, Sharifah Aleya.
Ternyata karakter pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Nani itu jauh berbeza berbanding ibu atau kakaknya, kerana kedua-dua wanita tersebut amat peramah dan mudah didekati.
Sebaliknya, Nani, 25, yang merupakan anak didik Allahyarham pengarah Yasmin Ahmad itu sering dilabel sebagai sombong dan sukar didekati.
Nani yang memegang watak Zalia dalam drama bersiri 13 episod, Cita Atau Cinta? yang disiarkan menerusi slot Aurora setiap Khamis, 8.30 malam di TV9 itu berkata, dia tidak kisah dengan pandangan orang lain.
"Biarlah orang nak kata saya sombong atau bercakap pasal diri saya.
"Saya tidak peduli kerana tidak semua orang suka apa yang kita buat. Saya ada sebab tersendiri kenapa bersikap seperti itu.
"Lagipun saya tahu apa matlamat saya dalam bidang ini. Saya bukan hendak menjaja cerita peribadi.
"Sebab itulah saya mudah naik angin kalau diajukan soalan yang tidak berkaitan dengan kerjaya," akuinya yang ditemui pada lokasi penggambaran drama Cita Atau Cinta? di Kampung Baru, baru-baru ini.
Amani tidak cinta Isma

PANTANG dia kalau soalan-soalan mengenai kisah peribadinya diajukan. Mengenali dirinya, gadis kecil molek ini memang cukup tegas dengan pendiriannya bila tiba soal peribadi.
Pasti sepantas kilat Sharifah Amani akan menepis pertanyaan dengan berkata “Saya tak akan bercakap mengenai hal ini. Maaf sangat.”
Namun, apabila hubungannya dengan pelakon Azma Aizal Yusof atau Isma Yusof mula dihidu pihak media dan peminat, dia bagaikan tidak dapat lari dari dihambat pertanyaan.
Semuanya mahu mendapatkan kepastian sahih daripada mulut aktres yang mesra disapa Nani sendiri.
Semuanya gara-gara tindakan berani pasangan ini meletakkan status In a relationship di laman sosial Facebook masing-masing. Isma pula meletakkan label In a relationship with Sharifah Amani yang membuatkan seolah-olah memang ‘sah’ Amani dan Isma sedang dilamun cinta.
Menguatkan lagi kekecohan orang ramai mengenai ‘cinta’ mereka adalah melalui beberapa keping gambar mesra, saling berdakapan yang tersiar meluas di beberapa buah blog hiburan tempatan.
Bertanyakan hal ini kepada empunya diri, Pancaindera menemukan jawapan yang berbeza daripada Nani.
Dalam nada suara yang agak perlahan dan sedikit emosi, kata Nani, hubungannya dengan pelakon drama bersiri Sindarela itu tidak lebih sekadar kawan.
“Nani dengan dia cuma kawan sahaja. Tidak lebih dari itu. Kenapa hal ini perlu diperbesar-besarkan?” katanya ringkas.
Menurut Nani, dia tidak menyangka orang ramai mudah percaya akan hubungannya dengan pelakon yang dikenali semasa pementasan teater Hamlet pada tahun 2005.
“Lepas Hamlet, kami bersama dalam drama bersiri Emel Emelda dan seterusnya Sindarela. Jadi jelasnya hubungan itu tidak ada yang lebih dari cuma kawan sebab kami dah biasa digandingkan bersama,” katanya.
Malah, mengenai ucapan I Love You yang tertera dalam salah satu status mereka di Facebook, jelas Nani, ia cuma ucapan yang biasa dikatakan olehnya kepada semua orang.
“Orang yang kenal Nani, mereka akan tahu Nani ni macam mana orangnya. Nani cakap I Love You kepada semua orang. Jadi tak ada yang luar biasa,” ujarnya.
Mula melontarkan emosi kurang senang kepada Pancaindera mengenai isu ini, kata Nani dia tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap segelintir pihak yang suka menjaja cerita cintanya.
Luah Nani, ini kerana sejak awal lagi dia sudah meletakkan garis panduan bahawa dia tidak gemar soalan peribadi menjadi topik utama.
Jelas pelakon filem Sepet ini lagi, ia bukan kerana dia bersikap sombong, tetapi dia cuma mahu permintaan kecilnya ini dihormati semua pihak.
“Bayangkan, sudah dua tiga hari ni Nani dikejar pihak media yang mahu mendapatkan pertanyaan mengenai hal ini.
“Nani sedih sebab Nani tak berapa sihat kebelakangan ini dan susah nak bercakap. Tetapi ada segelintir daripada mereka yang tak memahami keadaan Nani.
“Nani harap ini kali terakhir Nani keluarkan kenyataan mengenai hal ini. Cukuplah. Nani cuma tak mahu keluarga terasa dengan sikap Nani,” katanya menutup bicara.
Nani teruja menikmati Tiramisu

KALI pertama, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dipertemukan dengan Pierre Andre menerusi filem Cinta arahan Kabir Bhatia sekitar lima tahun lalu.
Dalam filem yang telah diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 (2007), Sharifah Amani memegang watak Arianna manakala Pierre pula sebagai Taufiq dan gandingan mereka itu telah berjaya mencipta keserasian antara mereka.
Memang tidak keterlaluan dikatakan, reaksi kimia yang tercerna antara mereka terpancar jelas di layar lebar dan mereka berdua juga dilabelkan sebagai pasangan yang cukup serasi.
Malangnya, selepas kejayaan filem Cinta, tiada satu pun filem mahupun drama yang menggandingkan mereka berdua.
Baik Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani itu mahupun Pierre, masing-masing sebenarnya menunggu skrip dan cerita yang sesuai untuk kembali bersama dalam seluloid.
Akhirnya, doa dua orang anak muda ini dimakbulkan apabila Filmscape membuka peluang itu kepada mereka sekali lagi untuk digandingkan bersama dalam drama bersiri, Tiramisu.
Tiramisu yang sudah pun ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 merupakan drama terbitan Filmscape yang sebelum ini cukup berjaya dengan drama bersiri seperti Nur Kasih, Habil Qabil, Kekasihku Seru, Tower 13 dan banyak lagi.
Bertemu dengan Nani pada majlis pelancaran Tiramisu di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini, pelakon berusia 24 tahun itu memang sudah lama mendambakan untuk berlakon dalam sebuah drama romantik komedi.
Ini kerana jelas Nani, sejak kebelakangan ini, watak-watak yang diberikan kepadanya semuanya adalah yang berat sehingga dia sendiri perlu merehatkan seketika mental dan fizikalnya daripada berterusan membawakan watak sedemikian.
"Jadi, apabila saya ditawarkan oleh Fimscape untuk membintangi Tiramisu, ia adalah saat terbaik untuk saya. Lagipun, sudah lama saya tidak membintangi drama bersiri dan inilah masa yang sesuai untuk saya melakukannya.
"Lebih-lebih lagi, apabila mendapat tahu akan dipasangkan dengan Pierre sebagai teraju utama, ia membuatkan saya lebih teruja untuk berlakon dalam Tiramisu," ujar Nani yang kali terakhir membintangi drama bersiri Rona Roni Makaroni yang disiarkan di Astro Ria pada tahun 2009.
Sebelum itu, dia pernah berlakon dalam dua drama bersiri lagi iaitu Sindarela (2008) dan Emil Emilda (2007).
Selain Nani dan Pierre, drama bersiri 28 episod yang diarahkan oleh Faisal Ishak itu turut dibintangi oleh pelakon-pelakon popular lain seperti Zain Abdul Hamid, Tania Hudson, Rahhim Omar, Dira Abu Zahar, Allahyarham Faizal Yusop, Mia Sara, Sheila Mambo dan ramai lagi.
Nani yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Muallaf itu turut memberitahu, barisan pelakon lain yang membintangi drama bersiri itu juga membuatkannya tidak menunggu lama untuk menerima tawaran Filmscape itu.
"Memang menyeronokkan apabila dapat berlakon di samping Dira dan arwah Faizal yang memegang watak sebagai kakak dan abang ipar saya dalam drama ini. Begitu juga dengan Rahhim yang menjadi bapa saya.
"Sepanjang berlakon dalam Tiramisu, ia berlangsung dalam keadaan yang cukup baik dan kami pun tiada masalah di lokasi. Semuanya berjalan lancar seperti mana yang dirancang," katanya yang memegang watak Melur dalam Tiramisu.
Berbicara tentang watak Melur, bagi Nani, ia adalah watak yang mudah untuk dibawakan kerana sebahagian daripada diri Melur ada dalam dirinya. Malah, sebaik sahaja membaca skripnya, dia sudah jatuh cinta dengan watak Melur.
Mengenai Pierre pula, Nani memang sudah lama mendambakan untuk kembali berlakon bersama anak kepada pelakon Khatijah Tan itu kerana keserasian dan dia sendiri berasa selesa apabila berdampingan dengan Pierre.
"Memang menyeronokkan apabila dapat berlakon semula dengan Pierre. Memang sudah lama saya mahu berganding dengannya selepas Cinta tetapi tiada peluang untuk kami bersama.
"Diharapkan dengan kehadiran Tiramisu ini akan mengubat kerinduan peminat yang selama ini menantikan kemunculan saya dan Pierre selepas filem Cinta," katanya yang baru selesaii membintangi sebuah filem Jepun yang masih belum berjudul.
Sementara itu, Faisal yang ditemui pula berkata, dia mempunyai alasan sendiri tentang rasional tiramisu diangkat sebagai subjek dalam drama bersiri terbaru arahannya ini.
Katanya, sebagai salah sebuah kek yang sukar untuk dibuat, dia mahu menggunakan metafora itu bagi menggambarkan perjalanan hidup dan perhubungan antara Dani Mirzan (Pierre) dan Melur (Nani).
"Sepanjang hidup mereka, ada sahaja halangan dan cabaran yang berlaku sehingga menyukarkan untuk Dani dan Melur bersatu. Inilah yang saya cuba gambarkan dalam drama ini sebagaimana sukarnya untuk membuat kek tiramisu sehingga ia menjadi sebuah santapan yang enak.
"Mengenai lakonan Pierre dan Nani, mereka berdua memang tiada masalah dan saya sendiri seronok bekerja dengan mereka. Ini kerana kedua-duanya tahu apa yang perlu dilakukan dan memberi apa yang saya mahukan.
"Begitu juga dengan kesemua pelakon yang sekali gus menjadikan proses penggambaran begitu mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi," kata Faisal yang sebelum ini pernah mengarahkan drama bersiri seperti Penunggu Gunung Raya, Tudung Ekspres, Habil Qabil dan terbaru, Juvana.
Langkah pertama Nani

Pengalaman bintangi 15 filem jadi bekalan bergelar pengarah
DARI petak seorang pelakon, sekuntum bunga yang semakin mekar dalam industri perfileman tanah air ini melangkah ke petak lain yang lebih tinggi martabatnya.
Ya! bunga di taman milik pasangan Syed Zainal Rashid dan Fatimah Abu Bakar ini sudah menggalas tugas baru yang membawa gelaran sutradara. Selepas membintangi 15 filem, baru kini pelakon kecil molek, Sharifah Amani ada keyakinan untuk menjadi pengarah. Peluang yang diberi menerusi projek HerStory Malaysia bersama empat pengarah wanita berbakat besar termasuk Bernice Chauly, Mislina Mustaffa, Crystal Woo dan Mien Iy berjaya membuktikan bahawa Amani yang lebih akrab disapa Nani juga mempunyai sentuhan yang sama dengan gurunya, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Ketika hadir di studio bagi menjalani sesi fotografi bersama Hip, Nani melahirkan perasaan teruja kerana impian untuk duduk di kerusi pengarah menjadi kenyataan.
“Mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah orang yang pernah saya bekerja bersama sebelum ini. Bermula dengan filem Sepet hinggalah Mualaf.
Bayangkan sudah berapa lama kami tidak berjumpa dan filem Sangkar menemukan kembali saya dengan mereka. Disebabkan Sangkar adalah filem pendek dan bajetnya terhad, jadi kami perlu berhati-hati soal perbelanjaan.
“Apabila mereka tahu filem ini dibuat dengan bajet yang amat terhad, mereka tak kisah menawarkan untuk membuat kerja secara percuma. Malu pula rasanya apabila mereka yang saya tahu terlalu mementingkan kualiti dan sangat profesional sanggup melakukan kerja secara percuma dan tidak berkira semata-mata untuk membantu saya. Saya amat hargai apa yang mereka lakukan itu,” cerita Amani yang kelihatan vogue dengan gaun singkat mendedahkan sebelah bahunya.
Berbekalkan pengalaman yang ada, Amani membuktikan dia mampu menjadi penulis skrip, pengarah dan pelakon utama pada masa sama.
"Namun harus saya akui, ia bukanlah perkara yang mudah. Mana hendak berlakon, mana hendak mengarah. Semua nak kena fikir. Dulu, bila saya berlakon dalam filem arahan orang lain, yang saya tahu hanya berikan hasil yang terbaik, selebihnya serahkan pada pengarah. Pandai-pandai merekalah nak perbetulkan apa-apa yang mereka tak puas hati.
"Sekarang, semua perkara kena ambil tahu. Soal skrip, lakonan, solekan, semuanya saya kena peka. Memang mencabar tapi puas hati," luah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-19 ini.
Mengulas maklum balas yang diterima sewaktu filem ini dipertontonkan kepada media baru-baru ini, Amani berkata rata-rata menyatakan, hasil kerjanya itu saling tak tumpah dengan apa yang pernah dilakukan Yasmin Ahmad.
"Memang tidak nafikan perkara itu kerana arwah adalah sifu saya. Pengalaman juga adalah guru saya. Saya mahu menjadi seorang tukang cerita sepertinya," katanya.
Begitulah sinonim Amani dengan arwah Yasmin sehinggakan ramai yang menganggap pemergian pengarah terkenal itu Ogos tahun lalu turut merentap semangatnya untuk terus bergiat cergas dalam bidang lakonan.
"Siapa kata saya tak minat berlakon? Saya minat, cuma tak ada tawaran. Tapi tak nafikan yang semangat saya pernah hilang sejak ketiadaan Yasmin. Mungkin sejak kebelakangan ini kelibat saya tidak kelihatan dalam mana-mana majlis ataupun cerita saya tidak dilapor media.
"Tidak ada cerita terbaru yang boleh dilaporkan. Macam hari ini, saya rasa saya bersedia untuk bertemu media kerana ada produk baru yang boleh berkongsi dengan mereka dan juga peminat saya," tegas Amani.
Belum bincang soal kahwin
RAMAI yang mengetahui bahawa Amani kini rapat dengan seorang jejaka Inggeris bernama Gavin Stenhouse selepas mengenalinya sewaktu sama-sama menjalani penggambaran filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa. Hubungan itu khabarnya bukan lagi rahsia apabila dia sering membawa lelaki kacak itu dalam beberapa majlis rasmi dan tidak rasmi sebelum ini.
Malah, Amani juga baru saja kembali dari Kota London untuk makan angin sambil ditemani kekasihnya itu. Berkongsi pengalaman berada di negara orang selama tiga bulan, Amani berkata pelbagai pengalaman dikutip.
"Memang seronok kerana selain bercuti, saya dapat belajar pelbagai perkara terutama yang berkaitan dengan seni.Di sana, mereka amat menghargai karya seni. Sempat jugalah Gavin memperkenalkan saya dengan teman-temannya yang mempunyai pendidikan profesional dalam bidang lakonan.
"Ternyata, peluang mereka untuk menempatkan diri dalam industri lakonan amat sukar kerana persaingan terlalu sengit berbanding kita yang sesiapa saja boleh berlakon di bawah pengarah yang ada nama pulak tu.
"Kami juga sempat menyaksikan teater yang diangkat dari naskhah Shakespeare. Gavin suka teater seperti itu dan amat menghargainya sedangkan bagi saya, teater itu amat berat sehinggakan banyak kali juga saya ajak dia balik," kata Amani sambil ketawa.
Disebabkan hubungan merpati dua sejoli ini sudah semakin rapat, Amani turut diajukan pertanyaan apakah mereka sudah merancang untuk ke fasa yang seterusnya.
"Oh! soal itu, kami masih belum berbincang apa-apa pun. Kami lebih selesa seperti ini. Lagipun, masing-masing masih mengejar impian untuk berjaya dalam bidang yang kami ceburi ini," kata Amani.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
