Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Bront Palarae. Show all posts
Showing posts with label Bront Palarae. Show all posts
Sanding Di Hatyai, Bront Enggan Isu Nikah Terus Kecoh
Pelakon Bront Palarae membuat keputusan untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya di Hatyai, Thailand hujung tahun ini kerana tidak mahu isu berkenaan terus menjadi kecoh.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, berkata, dia juga enggan majlis itu nanti menjadi bualan ramai.
"Kalau pernikahan kecil ini pun dah kecoh, apalagi kalau saya buat majlis resepsi di Kuala Lumpur.
"Jadi adalah lebih baik saya adakan majlis di kampung ibu saya, Hatyai pada hujung tahun ini. Jika ada yang masih ingin mencari berita tentang saya, jemput datanglah," katanya kepada mStar Online.
Bront ditemui pada majlis pratonton super telefilem NY Cinta di TGV Cinema, Sunway Piramid di sini pada Khamis.
Pernikahan Bront dengan kenalan lamanya yang berlangsung di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini pada 31 Ogos lalu menjadi kontroversi apabila pelakon itu berhajat menyembunyikan majlis itu.
Bagaimanapun tindakan Bront itu gagal apabila wartawan sebuah akhbar dapat menghidunya tetapi malang sekali pelakon tersebut meminta jurugambar memadam gambar-gambar pernikahan yang dirakamkan.
Majlis pernikahan tersebut hanya dihadiri oleh saudara terdekat pasangan itu. Kedua-dua mempelai telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kawasan Masjid At-Taqwa iaitu Muda Ali dengan mas kahwin sebanyak RM30.
Dalam pada itu Bront berkata dia dan isterinya ketawa membaca laporan mengenai pernikahan mereka yang menjadi sensasi.
"Sejujurnya, apabila membaca pelbagai berita tentang kami, kami tergelak tetapi dalam keadaan yang serius," ujarnya yang enggan mendedahkan identiti isterinya itu.
Dalam pada itu, Bront turut berkongsi rasa gembira selepas seminggu bergelar suami dan mengakui bersedia untuk bergelar bapa.
"Sebelum ini saya dan isteri sudah lama berkawan dan apabila bergelar suami isteri perasaan pelik itu ada. Mungkin rasa tanggungjawab sebagai suami itu dah ada selain perkahwinan ini sekali gus buatkan saya rasa lebih matang.
"Malah saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah pula," tuturnya.
Ustaz Sahkan Jadi Jurunikah Bront Palarea
Teka teki mengenai kesahihan pernikahan Bront Palarae terjawab apabila Penolong Pendaftar Nikah Kawasan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, dekat sini iaitu Ustaz Muda Ali mengesahkan menjadi jurunikah perkahwinan aktor tersebut pada 31 Ogos lalu.
Menurut Muda Ali, dia telah menikahkan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, pada Sabtu lalu di Masjid At-Taqwa selepas solat Asar.
"Benar, saya telah menikahkan Bront Sabtu lalu. Majlis itu diadakan secara sederhana.
"Pada mulanya saya tidak tahu yang saya telah mengahwinkan seorang pelakon memandangkan ketika akad nikah, saya menyebut nama sebenarnya (Bront).
"Tetapi selepas membaca akhbar mengenai berita perkahwinannya, barulah saya tahu dia seorang artis," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Akhbar Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan Bront telah selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada seorang wanita yang merupakan kenalan lamanya dalam satu majlis tertutup di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Majlis pernikahan tersebut hanya dihadiri oleh saudara terdekat pasangan itu.
Kedua-dua mempelai telah dinikahkan oleh Muda Ali dengan mas kahwin sebanyak RM30.
Laporan itu menyebut Bront enggan menghebahkan berita perkahwinannya atas alasan dia perlu menjaga hati ramai pihak.
Dia juga telah mengarahkan jurugambar memadam gambar-gambar yang dirakamkan selain meminta perkahwinan berkenaan tidak dilaporkan dalam akhbar.
Bagaimanapun menerusi portal gua.com pada 3 September lalu, Bront bermain teka-teki mengenai pernikahan tersebut selain mendakwa pada tarikh berkenaan dia berada di sebuah stesen radio.
Malah Bront juga memberitahu jarinya tidak berinai selain meminta portal berkenaan bertanya sendiri daripada sumber yang menyebarkan berita tersebut.
Dalam pada itu, Muda Ali berkata, dia terkejut apabila membaca berita mengenai penafian perkahwinan aktor berkenaan.
Malah jurunikah itu meminta Bront untuk menghebahkan kepada masyarakat mengenai perkahwinan berkenaan agar tidak timbul sebarang fitnah pada masa akan datang.
"Biasanya menjadi perkara wajib dalam Islam untuk menjemput kenalan untuk menghebahkan perkahwinan dan jika tidak, cukup jika menguar-uarkan ikatan yang dijalinkan itu,” tegasnya.
Sementara itu, Penasihat Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Noh Gadut berkata, sekiranya Bront tidak mengaku berkahwin dan berkata masih bujang berserta niat apabila ditanya mengenai statusnya, perkahwinan itu mungkin boleh jatuh talak.
"Sekiranya Bront berniat mahu menyembunyikan status diri, ia boleh membahayakan perkahwinannya kerana ia boleh jatuh talak.
"Tetapi kita pun tidak pasti apakah tujuannya merahsiakan perkahwinan yang sepatutnya menjadi berita baik," katanya.
Tambah Noh Gadut, walaupun Islam mewajibkan umatnya menghebahkan sesebuah perkahwinan bagi mengelak fitnah, namun sesebuah pasangan itu berhak merahsiakan perkahwinan.
"Bront memang ada hak untuk merahsiakan perkahwinannya kerana dia mungkin ada sebab-sebab tertentu.
“Jadi tanyalah aktor itu apa sebabnya. Dan kita pula jangan nak tuduh dan kritik sembarangan terhadap pasangan yang enggan mendedahkan status mereka. "Mungkin mereka mempunyai alasan kukuh yang tidak dapat nak dielakkan," tuturnya.
Sementara itu menerusi Berita Harian pada Jumaat, Bront mengesahkan sudah bernikah dengan seorang wanita yang dikenalinya pada 1999.
Masih enggan mendedahkan identiti isterinya Bront berkata, wanita berkenaan bekerja sebagai penerbit di sebuah agensi pengiklanan di ibu negara.
Dia juga memohon maaf kerana merahsiakan pernikahan itu selain meminta agar isu berkenaan tidak disensasikan.
Isu Kahwin: Khir Rahman Saran Bront Palarae Berterus Terang
Pelakon berwibawa Khir Rahman menyarankan Bront Palarae supaya berterus terang mengenai status dirinya sama ada benar dia kini sudah bergelar suami orang atau tidak.
“Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak.
“Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo! hari ini
Laporan sebuah akhbar tempatan pada Selasa lalu menyebut beliau sudah bernikah pada tanggal 31 Ogos 2013 - sama hari dengan rakyat Malaysia meyambut hari Kemerdekaan.
Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut.
“Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat.
“Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media.
“Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup,” jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada akhbar berkenaan.
Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.
Namun sehari selepas itu, menerusi sebuah portal gua.com.my, ada kenyataan dari beliau yang seolah-olah menafikan hal perkahwinannya. Kata Bront, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja.
“Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit),” kata Bront kepada portal tersebut.
Sharifah Amani Anggap Bront Palarae Seperti Abang
Aktres Sharifah Amani hanya menganggap pelakon Bront Palarae sebagai seorang abang ekoran hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak sekian lama.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 27, berkata, keserasian dan keakraban mereka dalam bersahabat bagaimanapun telah disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang mengatakan mereka bercinta.
"Kami serasi sebagai kawan dan gosip mengatakan kami bercinta sebelum ini tidak benar kerana hubungan yang wujud di antara kami sudah seperti abang dengan adik.
"Saya begitu menghormatinya yang saya sifatkan sebagai seorang yang cukup 'sporting' dan jujur. Kami mempunyai pelbagai persamaan yang menyebabkan hubungan kawan itu kekal terjalin sehingga ke hari ini," ujarnya kepada mStar Online.
Amani dan Bront bakal muncul dalam filem arahan Nam Ron bertajuk Psiko Pencuri Hati bermula 5 September ini.
Dalam perkembangan sama, Amani berkata, dia tidak berasa kekok apabila terpaksa melakonkan babak romantik bersama Bront dalam filem berkenaan walaupun aktor itu mengakui berasa janggal.
Jelas Amani, sebagai seorang pelakon dia perlu bersikap profesional dan menjayakan watak diberikan walaupun pasangannya itu adalah rakan baiknya sendiri.
"Saya faham kenapa Bront rasa janggal kerana kami sangat rapat sebagai sahabat tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya kerana itu adalah tanggungjawab kami sebagai," katanya.
Sementara itu, Amani berkata, dia sangat bertuah dapat berlakon dibawah arahan Nam Ron kerana sentiasa mengagumi semangat lelaki itu yang tidak pernah berputus asa dalam setiap perkara dilakukannya.
Malah kata Amani, Nam Ron juga adalah seorang pengarah yang sentiasa mengambil pandangan selain memberi kebebasan kepada para pelakon untuk menghidupkan watak diberikan.
"Kami tidak menerima skrip ketika bersetuju untuk berlakon dalam filem ini dan proses itu adalah daripada sumbangan idea dan kreativiti para pelakon.
"Dari situ juga kita dapat mempelajari sesuatu yang baharu dalam menjadikan kita pelakon yang baik," katanya.
Pasangan sejoli - Maya Karin dan Palarae
SUDAH beberapa kali Bront Palarae cuba memikat hati Maya Karin, 36, namun belum sekali cintanya diterima oleh aktres itu. Bagaimanapun Bront tidak pernah berputus asa.
Maya dan Bront mula menjadi rapat selepas mereka dipertemukan dalam filem Anak Halal, arahan Osman Ali pada tahun 2007. Kemudian pada tahun 2011, sekali lagi mereka dipertemukan oleh pengarah yang sama dalam filem box office Ombak Rindu.
Menerusi filem yang mendapat kutipan RM10 juta itu, Bront yang berlakon sebagai Mael sekali lagi cuba menagih cinta daripada Maya yang memegang watak Izzah, namun gadis kampung itu lebih terpesona dengan keagungan cinta Hariz, lakonan Aaron Aziz.
Mungkin sudah jodoh, Osman sekali lagi menggandingkan mereka dalam filem arahannya, Jwanita dan kali ini Maya pula menagih cinta daripada Bront. Bagaimana pun untuk filem akan datang, Sejoli, mereka menjadi pasangan.
Terbaru lakonan Maya dan Bront dapat dilihat menerusi filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina (LBS 2 - Katerina) arahan Sharad Sharan yang menemui penonton di pawagam bermula hari ini.
Untuk sekuel LBS itu, Maya melakonkan watak Katerina yang kecewa dengan Akshah dan bersetuju untuk berkahwin dengan Hisham, lakonan Bront asalkan ibu bapanya gembira.
Bagi Maya, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, merupakan salah seorang artis lelaki yang rapat dengannya dan mereka bebas untuk berbual apa sahaja selain urusan kerja.
Selain Bront, seorang lagi rakan artis lelaki yang sering menjadi peneman Maya adalah heronya dalam filem Cun, Remy Ishak. Namun, akhir-akhirnya Maya akui dia jarang dapat keluar bersama Remy kerana pelakon itu terikat dengan jadual kerja filem dan drama.
"Saya tidak ramai kawan artis, kalau rapat pun dengan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya dalam filem. Macam Farid tu, dia dah marah dengan saya sebab tidak hadir pada majlis pernikahannya.
"Selain rakan-rakan artis, saya juga mempunyai kelompok kawan-kawan baik di luar bidang ini. Kami selalu juga pergi melancong, itu pun susah nak bersama kerana masing-masing sibuk," ceritanya bila ditanya tentang persahabatan.
Bercerita lanjut tentang minatnya yang suka melancong itu, Maya berkata sewaktu penggambaran LBS di Bhutan, dia dan Farid menghadapi masalah untuk bertutur.
"Bukan kami perlu bertutur bahasa sana tapi tidak boleh bercakap sebab sejuk sampai menggigil. Apa pun saya suka berada di sana kerana pemandangannya yang indah.
"Disebabkan jatuh cinta dengan keindahan Bhutan, selepas selesai penggambaran, saya tambah lagi cuti selama empat hari. Hanya saya sahaja yang balik lambat, orang lain tidak sabar untuk terbang balik ke Malaysia, " katanya sambil ketawa.
Rupa-rupanya pengalaman di Bhutan, memberi inspirasi kepada Maya untuk mengembara ke Nepal yang dilakukannya bersama bapanya, Oktober lalu.
Menurut Maya, sejak usia 15 tahun, dia sudah menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Bhutan dan Kathmandu, Nepal kerana negara tersebut mempunyai keunikan tersendiri.
"Saya kagum melihat pemerintah Bhutan, walaupun negaranya tidaklah sekaya negara lain tapi tetap mengutamakan kebersihan alam sekitar.
"Sewaktu saya membeli buah di sana, saya lihat beg plastik yang diberi entah yang ke berapa kali sudah dipakai guna.
"Di sana mereka menggunakan beg yang dibuat khas sebab mereka tahu plastik susah untuk diluputkan. Seperti Bhutan, Nepal juga mempunyai keindahan tersendiri," jelasnya.
Lain-lain negara yang menjadi impian Maya untuk dijelajahi adalah Mesir dan Brazil. Ternyata aktres ini lebih senang melancong secara backpack daripada tidur di hotel mewah.
Kata Maya, dia tidak mahu terlalu membebankan diri dengan soal kerja dan sebab itu jugalah dia jarang berlakon drama.
"Sebagai pelakon, saya boleh berlakon filem atau drama kerana kedua-duanya memberi pendapatan kepada saya. Tapi saya tidak mahu kerana saya ada prinsip sendiri.
"Bukan saya menolak berlakon drama, kalau saya dapat skrip yang memikat hati pasti tidak menolak. Apa pun setakat ini tumpuan saya lebih kepada filem. Untuk filem pun saya memilih kerana saya tidak mahu dibebankan dengan kerja sebab saya pun nak menikmati kehidupan ini," katanya.
Mendengar jawapan Maya itu, pasti ada yang menganggap dia tidak ada masalah kewangan jadi bolehlah memilih kerja berbanding pelakon lain.
Seperti orang lain, Maya yang dilihat hidup dalam kemewahan itu tidak lupa untuk membuat perancangan dalam kehidupan bagi memastikan masa depannya terjamin.
"Saya pun ada keinginan untuk hidup mewah tapi saya selalu ukur baju di badan sendiri. Kalau orang berkereta mewah, saya pun mahu tapi saya akan tanya pada diri sendiri, 'mampukah aku untuk memiliki kereta sebegitu'. Saya tidak akan membeli sesuatu yang bakal membebankan saya di masa hadapan.
"Dalam apa jua hal, saya mesti ada perancangan B kerana kita tidak tahu apa akan berlaku. Sebagai persediaan, pendapatan hasil daripada lakonan saya simpan atau melabur untuk hartanah. Saya tidak akan keluarkan wang simpanan itu semata-mata untuk bergaya," jelasnya lagi.
Anggap diri bukan selebriti - Bront
Ada Keserasian Antara Cristina Suzanne & Bront Palarae
“Bront Palarae” Muncul Dari Satu Insiden

BUKAN orang baru, Bront Palarae sebenarnya sudah lapan tahun berada dalam dunia seni tempatan. Tetapi dalam tempoh itu, namanya tidaklah begitu memuncak berbanding segelintir artis-artis lelaki lain.
Bagaimanapun dalam tempoh mencari tapak dalam dunia lakonan tempatan, tahun 2010 benar-benar memberi nafas baru terhadap perjalanan kerjaya seninya apabila Bront dapat melonjakkan namanya dengan sekelip mata.
Semuanya bermula selepas kejayaan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Belukar pada Festival Filem Malaysia (FFM23) dan Anugerah Skrin 2010 (ASK2010).
Pelakon ini seperti memiliki aura yang tersendiri apabila berdepan dengan umum. Namun, apa istimewanya Bront Palarae? Kehebatannya berlakon, memiliki nama yang pelik atau mungkin kerana rupa parasnya?
Mingguan mStar mendekati lelaki yang mempunyai satu karisma yang unik untuk dikongsi.
Lebih-lebih lagi dengan memiliki nama yang janggal didengar, ramai mempersoalkan bagaimana pelakon berusia 33 tahun ini memperoleh nama tersebut. Pelik bukan?
“Saya tahu, orang selalu tanya nama itu datang dari mana, kerana nak ikutkan nama sebenar saya adalah Nasrul Suhaimin Saifuddin.
“Tapi sebenarnya, Palarae adalah nama keluarga saya. Nama itu sering digunakan kami. Nama Bront pula diberikan oleh kawan-kawan sekolah. Sejarah nama itu tercipta apabila emak saya memanggil saya dengan satu gelaran. Saya kena rahsiakan gelaran itu... malu...
“Kawan-kawan sekolah pula tersalah dengar. Mereka seakan-akan mendengar emak saya menyebut “Bront”. Jadi gara-gara “insiden” itulah terus terlekat nama Bront sehingga hari ini.
“Tapi saya juga ada panggilan lain di rumah dan nama itu agak manja. Bagaimanapun saya enggan beritahu apakah nama itu. Saya enggan mendedahkan terlalu banyak perkara tentang diri dan kehidupan saya.
“Lagipun pelakon Hollywood, Johnny Depp juga disukai orang ramai, tetapi mereka tidak tahu mengenainya secara lebih terperinci. Saya selesa cara begitu,” katanya tersenyum.
Tambah Bront, dia lebih suka peminat mengenalinya menerusi kerja-kerja seninya dan bukannya kisah peribadi.
Terlibat dengan filem indie

Menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai satu permulaan, Bront yang berdarah Melayu-Pakistan sebelah ibu dan Siam-Cina sebelah bapa, merasakan kehidupannya sebagai seorang pelakon masih lagi berjalan seperti biasa.
“Apa yang saya dapat hari ini adalah satu bonus buat saya untuk memajukan diri. Bagaimanapun, untuk berjaya, saya tidak boleh melakukannya seorang diri.
“Tanpa kerjasama seluruh tenaga produksi, impak sesebuah karya filem kepada penonton pastinya kurang,” tegasnya yang bakal menerbitkan sebuah filem berjudul, Tiga Rasa di bawah syarikat penerbitannya, Otto Films.
Bagaimanapun, kata Bront, terdapat sedikit perubahan yang dirasakan apabila orang di sekelilingnya mula memberi perhatian lebih ketika di set penggambaran.
“Walaupun begitu, tawaran filem yang diterima masih lagi sama dan bayaran lakonan juga tidak meningkat. Sekarang ini saya kembali kepada projek-projek indie di mana salah satu filem yang akan saya sertai adalah filem Jalan Pintas, arahan Namron.
“Bagi saya, tak salah jika menyokong mana-mana filem indie yang memerlukan saya berlakon dan skripnya menarik bagi sudut pandangan saya. Pelakon James Farey juga masih berlakon dalam filem-filem indie walaupun memiliki nama yang besar,” tuturnya.
Apa yang diinginkan Bront bukanlah nilai komersial yang terdapat pada sesebuah filem sebaliknya dia gemar menerima watak yang mendatangkan risiko dan cabaran buat dirinya.
“Selain skrip yang bagus, saya gemar menerima watak yang pelik dan tidak sama seperti karakter saya yang sebenar.
“Selepas Belukar, anda akan terkejut melihat watak saya sebagai Pinto dalam filem Bara Jiwa, arahan Osman Ali yang ternyata berbeza dan pelik,” katanya.
Dalam pada itu, Bront baru saja tamat penggambaran filem terbitan sebuah produksi Hong Kong iaitu Quatro Hong Kong 2 di negara itu.
Menariknya, filem tersebut membabitkan empat pengarah berbeza iaitu dari Thailand, Filipina, Hong Kong dan Malaysia.
Tiada inspirasi

Setiap pelakon pastinya mempunyai idola atau inspirasi masing-masing dalam menjayakan watak yang diberikan.
Lain pula bagi Bront, tiada inspirasi dalam kamus hidupnya. Baginya, dia hanya memainkan watak mengikut skrip dan melakonkan watak tersebut sebaik yang mungkin.
“Mungkin saya tertarik dan kagum dengan beberapa pelakon kerana cara pemilihan kerja yang mereka buat seperti Christian Bale, Johnny Depp dan Shawn Hann. Kiranya mereka yang membuat keputusan dalam setiap tawaran kerja yang diberi.
“Bagi saya ‘jangan bermain dengan peraturan orang, tetapi mainlah dengan peraturan sendiri’. Justeru itu, saya tiada inspirasi sebagai rujukan dalam bidang lakonan.
“Saya berlakon mengikut apa yang ditulis dalam skrip. Sebab itu saya memerlukan skrip yang bagus,” tegasnya.
Kata-kata itu mungkin dianggap agak keras yang menampakkan sisi tegas Bront dalam karier seninya.
Namun, kata Bront, ia adalah prinsip hidup yang digunakannya sepanjang lapan tahun dalam industri seni.
Selain itu, selepas apa yang dimiliki hari ini, Bront masih lagi ingin menaiki tangga kejayaan dengan menjadi seorang pelakon yang benar-benar berbakat dan mampu membawa pelbagai watak.
Mengakui dia agak sukar mencapai impian yang diinginkan, bagi pandangan Bront, perjalanan karier seorang pelakon merupakan satu misteri di mana rezeki dan tuah boleh datang secara mengejut.
“Susah bila kita bercakap mengenai tuah dan kejayaan. Bagi saya, hidup ini penuh dengan misteri.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah berusaha sehingga kejayaan itu tiba dan bekerja keras lagi untuk menjadi yang terbaik,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
