Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Langkah pertama Nani


Pengalaman bintangi 15 filem jadi bekalan bergelar pengarah

DARI petak seorang pelakon, sekuntum bunga yang semakin mekar dalam industri perfileman tanah air ini melangkah ke petak lain yang lebih tinggi martabatnya.

Ya! bunga di taman milik pasangan Syed Zainal Rashid dan Fatimah Abu Bakar ini sudah menggalas tugas baru yang membawa gelaran sutradara. Selepas membintangi 15 filem, baru kini pelakon kecil molek, Sharifah Amani ada keyakinan untuk menjadi pengarah. Peluang yang diberi menerusi projek HerStory Malaysia bersama empat pengarah wanita berbakat besar termasuk Bernice Chauly, Mislina Mustaffa, Crystal Woo dan Mien Iy berjaya membuktikan bahawa Amani yang lebih akrab disapa Nani juga mempunyai sentuhan yang sama dengan gurunya, Allahyarham Yasmin Ahmad.

Ketika hadir di studio bagi menjalani sesi fotografi bersama Hip, Nani melahirkan perasaan teruja kerana impian untuk duduk di kerusi pengarah menjadi kenyataan.

“Mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini adalah orang yang pernah saya bekerja bersama sebelum ini. Bermula dengan filem Sepet hinggalah Mualaf.

Bayangkan sudah berapa lama kami tidak berjumpa dan filem Sangkar menemukan kembali saya dengan mereka. Disebabkan Sangkar adalah filem pendek dan bajetnya terhad, jadi kami perlu berhati-hati soal perbelanjaan.
“Apabila mereka tahu filem ini dibuat dengan bajet yang amat terhad, mereka tak kisah menawarkan untuk membuat kerja secara percuma. Malu pula rasanya apabila mereka yang saya tahu terlalu mementingkan kualiti dan sangat profesional sanggup melakukan kerja secara percuma dan tidak berkira semata-mata untuk membantu saya. Saya amat hargai apa yang mereka lakukan itu,” cerita Amani yang kelihatan vogue dengan gaun singkat mendedahkan sebelah bahunya.

Berbekalkan pengalaman yang ada, Amani membuktikan dia mampu menjadi penulis skrip, pengarah dan pelakon utama pada masa sama.

"Namun harus saya akui, ia bukanlah perkara yang mudah. Mana hendak berlakon, mana hendak mengarah. Semua nak kena fikir. Dulu, bila saya berlakon dalam filem arahan orang lain, yang saya tahu hanya berikan hasil yang terbaik, selebihnya serahkan pada pengarah. Pandai-pandai merekalah nak perbetulkan apa-apa yang mereka tak puas hati.

"Sekarang, semua perkara kena ambil tahu. Soal skrip, lakonan, solekan, semuanya saya kena peka. Memang mencabar tapi puas hati," luah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-18 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-19 ini.

Mengulas maklum balas yang diterima sewaktu filem ini dipertontonkan kepada media baru-baru ini, Amani berkata rata-rata menyatakan, hasil kerjanya itu saling tak tumpah dengan apa yang pernah dilakukan Yasmin Ahmad.

"Memang tidak nafikan perkara itu kerana arwah adalah sifu saya. Pengalaman juga adalah guru saya. Saya mahu menjadi seorang tukang cerita sepertinya," katanya.

Begitulah sinonim Amani dengan arwah Yasmin sehinggakan ramai yang menganggap pemergian pengarah terkenal itu Ogos tahun lalu turut merentap semangatnya untuk terus bergiat cergas dalam bidang lakonan.

"Siapa kata saya tak minat berlakon? Saya minat, cuma tak ada tawaran. Tapi tak nafikan yang semangat saya pernah hilang sejak ketiadaan Yasmin. Mungkin sejak kebelakangan ini kelibat saya tidak kelihatan dalam mana-mana majlis ataupun cerita saya tidak dilapor media.

"Tidak ada cerita terbaru yang boleh dilaporkan. Macam hari ini, saya rasa saya bersedia untuk bertemu media kerana ada produk baru yang boleh berkongsi dengan mereka dan juga peminat saya," tegas Amani.

Belum bincang soal kahwin

RAMAI yang mengetahui bahawa Amani kini rapat dengan seorang jejaka Inggeris bernama Gavin Stenhouse selepas mengenalinya sewaktu sama-sama menjalani penggambaran filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa. Hubungan itu khabarnya bukan lagi rahsia apabila dia sering membawa lelaki kacak itu dalam beberapa majlis rasmi dan tidak rasmi sebelum ini.

Malah, Amani juga baru saja kembali dari Kota London untuk makan angin sambil ditemani kekasihnya itu. Berkongsi pengalaman berada di negara orang selama tiga bulan, Amani berkata pelbagai pengalaman dikutip.

"Memang seronok kerana selain bercuti, saya dapat belajar pelbagai perkara terutama yang berkaitan dengan seni.Di sana, mereka amat menghargai karya seni. Sempat jugalah Gavin memperkenalkan saya dengan teman-temannya yang mempunyai pendidikan profesional dalam bidang lakonan.

"Ternyata, peluang mereka untuk menempatkan diri dalam industri lakonan amat sukar kerana persaingan terlalu sengit berbanding kita yang sesiapa saja boleh berlakon di bawah pengarah yang ada nama pulak tu.

"Kami juga sempat menyaksikan teater yang diangkat dari naskhah Shakespeare. Gavin suka teater seperti itu dan amat menghargainya sedangkan bagi saya, teater itu amat berat sehinggakan banyak kali juga saya ajak dia balik," kata Amani sambil ketawa.

Disebabkan hubungan merpati dua sejoli ini sudah semakin rapat, Amani turut diajukan pertanyaan apakah mereka sudah merancang untuk ke fasa yang seterusnya.
"Oh! soal itu, kami masih belum berbincang apa-apa pun. Kami lebih selesa seperti ini. Lagipun, masing-masing masih mengejar impian untuk berjaya dalam bidang yang kami ceburi ini," kata Amani.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails