Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sharifah Sofea. Show all posts
Showing posts with label Sharifah Sofea. Show all posts

Tahniah Sharifah Sofia Hamil cahaya mata kedua

Sharifah Sofia pelakon berdarah Inggeris dan Melayu yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan telah berkongsi satu berita gembira di mana beliau kini sedang hamil anak ke dua hasil perkahwinan bersama Syed Ismail. Sharifah Sofia dan Syed Ismail telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2009. Beliau juga sebelum ini telah menimang seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Sharifah Ariana. Sofia juga sempat untuk memuatnaik gambar scan terkini bayinya di lama sosial Twitter miliknya. Kami mengucapkan tahniah kepada pasangan Sharifah Sofia dan Syed Ismail akan ketibaan cahaya mata mereka yang kedua tidak lama lagi dan semoga dengan kehadirannya dapat mengutuhkan lagi rumah tangga mereka dan semoga terus berbahagia sehingga ke hujung nyawa.

Sharifah Sofea pun bertudung

Akhir-akhir ini banyak artis wanita nekad memilih imej bertudung, penampilan lebih muslimah, sopan santun menjaga tingkah. Ia satu perkembangan yang baik dan memperlihatkan yang artis muda kita punya pendirian yang bijaksana. Hits mendapat tahu, seorang lagi pelakon yang berhijrah dengan bertudung ialah Sharifah Sofea. Hmmm, memang mengejutkan sebab sebelum ini Sharifah Sofea adalah antara artis anak kacukan Inggeris yang boleh tahan juga daring dalam berpakaian. Dulu pun pernah ada isu gambar dia memegang dan berpeluk sakan dengan anjing peliharaan jiran sebelah rumahnya. Tetapi itu dululah, sekarang dia sudah memilih untuk bertudung, itu menunjukkan perkembangan ke arah positif sangat. Hal bertudung itu dikongsi Sofea dalam Twitternya juga. Sofea memberitahu dia dalam usaha untuk memadamkan gambar-gambar aksi tanpa tudung dalam beberapa laman sosialnya sebelum ini. Kami harap ia dilakukan dengan ikhlas dan datang daripada hati. Sebenarnya bila artis wanita mula menitik beratkan soal menutup aurat, ia menunjukkan industri hiburan kita semakin terbuka menerima kehadiran mereka. Bertudung ke tidak, tak jadi hal selagi bakat masih hebat. Cuma apa yang kami tak berapa gemar bila sebahagian artis kita yang baru berhijrah macam hendak menunjuk-nunjuk sangat kepandaian dan kehebatan mereka. Baru seminggu bertudung litup sudah boleh tarbiah dan cakap sesuka hati kepada orang lain sebagai tidak elok, berdosa dan sebagainya. Sibuk nak kritik orang tu tak betul, orang ni salah, sedang diri sendiri belajar ilmu agama belum habis lagi. Belum lagi yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk agenda politik dan peribadi mereka, sangat kasihan. Ilmu baru secupak, lagak mengalahkan ulamak besar, itu tak kena, ini tak kena. Mula lah kata orang tu berdosa, orang ni berdosa, diri sendiri saja yang betul. Kepada artis yang baru berhijrah tu, baguslah, bukan kami tak sokong. Tapi kami jadi menyampah pula, bila tengok mereka melebih-lebih, lebih sudu pula dari kuah. Memanglah, kalau sampai boleh menilai siapa akan masuk syurga, siapa ke neraka, bukan ke itu kes berat? Bertudung, bertudung juga tetapi amalan dan ajaran yang lain perlu dititik beratkan juga. Yang penting, bersihkan hati terlebih dahulu, pastikan matlamat dan landasan betul. Tapi kami tak kata kat Sofea tau. Kami tahu, Sofea ni orang yang macam mana dan percaya dia tak sesuka hati menilai orang lain buruk, walaupun selepas dia bertudung litup.

Sharifah Sofea dahulukan anak


SETIAP pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, sememangnya tiada apa lagi yang lebih bermakna selain memperolehi anak kerana ia adalah anugerah terbesar yang dikurniakan oleh Allah.

Begitu juga yang dirasakan oleh pelakon Sharifah Sofea Syed Hussein. Hanya setelah mendirikan rumah tangga selama hampir dua tahun, akhirnya dia dan suami dikurniakan cahaya mata sulung pada 4 April lalu.

Ditemui pada majlis pelancaran pengenalan produk terbaharu lampin pakai buang jenama Huggies Ultra baru-baru ini, Sofea meluahkan kehadiran Ariana sebagai ahli baru dalam keluarga seperti telah melengkapkan hidupnya.

“Wanita mana yang tidak teruja apabila mendapat cahaya mata, apatah lagi dikurniakan anak pertama. Sehingga kini, saya sendiri seperti tidak percaya sudah mempunyai seorang anak.

“Selain suami, hanya Ariana permata hati saya sekarang ini. Walaupun hanya dapat melihat senyumannya dalam tempoh yang singkat, itu adalah satu kepuasan buat diri saya dan seperti tidak mahu berenggang dengannya walaupun sesaat,” ujarnya yang baru sahaja tamat berpantang.

Mengenai pengalaman pertamanya melahirkan anak, Sofea memberitahu dia sangat bersyukur dapat melahirkan Ariana secara normal dan tidak menggunakan epidural, walaupun berada di dalam bilik bersalin selama lima jam.

Apa yang lebih menarik, jelasnya, sementara menunggu hendak bersalin, dia masih sempat mengemaskini status Twitternya. Malah, dia juga gembira kerana ramai ahli keluarga termasuk suami berada di sisi sehingga dia selamat melahirkan anaknya.

“Dua tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap, namun kesabaran saya dan suami akhirnya dibalas dengan kehadiran Ariana. Lagipun saya sendiri sudah lama bersedia untuk bergelar seorang ibu,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya aktiviti sepanjang tempoh mengandung, pelakon yang pernah membintangi beberapa buah filem seperti Orang Minyak dan Gong itu memberitahu masanya lebih banyak dihabiskan di rumah.

Ujar pelakon kelahiran Liverpool, England itu, kali terakhir dia tampil adalah menerusi teater Natrah ketika usia kandungannya mencecah lima bulan pada November tahun lalu dan selepas itu dia tidak lagi mendapat sebarang tawaran berlakon.

“Selepas melahirkan anak, memang ada keinginan untuk berlakon semula, tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini. Kalau boleh saya mahu memberi tumpuan terlebih dahulu untuk membesarkan anak saya.

“Namun saya akan tetap mempertimbangkan sekiranya mendapat tawaran yang menarik daripada mana-mana pihak, asalkan mereka dapat memberi sedikit kelonggaran kepada saya seperti membawa Ariana ke lokasi,” ujarnya.

Rezeki anak

Ketika ditanya adakah dia tidak kisah sekiranya Ariana mahu mengikut jejak langkahnya menjadi pelakon nanti, Sofea sendiri tidak menghalang sekiranya minat anaknya itu nanti terarah kepada bidang seni.

Jelas kakak kepada bekas penjaga gol bola sepak negara, Syed Adney itu lagi, meskipun usia anaknya itu baru sahaja mencecah dua bulan, sudah ada pihak yang menawarkan anaknya itu berlakon.

“Walaupun untuk satu babak sahaja, tetapi saya terpaksa menolak kerana merasakan masanya belum sesuai kerana usianya yang masih terlalu kecil lagi. Begitu juga dengan suami yang begitu keberatan untuk memberikan kebenaran,” jelasnya.

Bagaimanapun, Sofea turut meluahkan rasa gembira kerana baru-baru ini dia dan dan anaknya telah dilantik untuk menjadi duta kepada produk terbaru lampin pakai buang jenama Huggies bersama beberapa orang selebriti seperti Steve Yap, Amber Chia dan Nazrudin Habibur Rahman.

Malah, pelakon berkenaan menganggap ia adalah rezeki anaknya itu memandangkan sepanjang dia bergelar seorang pelakon selama ini, dia belum pernah dipilih untuk menjadi mana-mana duta produk.

“Saya sendiri terkejut ketika dihubungi mengenainya dan saya tidak berfikir panjang ketika membuat keputusan untuk menerima kerana tawaran yang diberikan agak menarik.

“Lagipun sebelum itu saya sudah cuba menggunakan produk tersebut untuk Ariana dan saya sangat berpuas hati,” ujarnya.

Sofia mengaku suka anjing


ARTIS kacukan Inggeris, Arab dan Melayu, Sharifah Sofia Syed Hussein terdiam seketika saat diajukan soalan mengenai gambar mesranya sedang bermain-main dengan dua ekor anjing.

Puas juga bersoal jawab sendiri, barangkali memikirkan bilakah masa dia pernah bergambar dengan anjing-anjing itu. Beberapa minit kemudian, akhirnya wanita yang mesra dipanggil Sofia ini mengaku -Ya, saya mengaku. Memang pernah. Itu gambar-gambar saya.

Seingat wanita berusia 25 tahun ini, gambar tersebut dirakam tahun sudah. Tidak pula diingat bila tarikh dan bulan yang tepat. Cuma, masih dalam kotak fikirannya dia pernah bermain dengan anjing milik rakannya di Shah Alam, Selangor.

Lalu kata Sofia, dia hairan mengapa gambar itu dipersoalkan? Bagi dirinya, memegang anjing bukan satu masalah yang besar selagi dia tahu apa yang perlu dilakukan selepas menyentuh makhluk berkenaan. Caranya? Senang saja, bersamak. Semudah itu.

Ada nada tidak puas hati dan kecewa dalam perbualan bersama Pancaindera baru-baru ini. Rasa itu diluahkan secara terperinci satu demi satu.

Boleh bagitahu, anjing-anjing itu milik Sofia ke?

Dua ekor anjing itu bukan kepunyaan saya. Pemiliknya adalah seorang rakan. Dia pun orang Melayu juga. Kedua-dua anak anjing itu baka German Shepherd. Kebetulan hari tu, kawan Sofia ni membawa dua ekor anjingnya berjalan-jalan dan singgah di hadapan rumah. Jadi, Sofia gunakan peluang itu untuk bermain dengan mereka.

Memang jenis tak takut anjinglah ni?

Tidak. Sofia memang suka anjing. Bukan sahaja anjing, malah kucing, burung, tikus hiasan (hamster), burung, arnab, ikan. Binatang macam tuntung dan ikan pun Sofia suka juga.

Yalah, kalau haiwan itu semua orang tidak kisah. Tetapi sekarang ni bermesra dengan anjing. Terfikir juga, orang Islam macam Sofia ini boleh sentuh anjing macam kucing?

Sekali lagi, Sofia tekankan yang Sofia sukakan anjing. Jangan ditanya mengapa Sofia suka anjing. Kalau nak tahu, Sofia pernah bela anjing di rumah satu masa dulu. Anjing itu adalah anjing liar yang datang rumah Tetapi tidak lama kemudian terpaksa halau keluar anjing tu sebab ramai saudara dan sahabat handai tak mahu datang ke rumah selepas Sofia membelanya. Diaorang takut agaknya.

Sejujurnya, kenapa Sofia suka anjing?

Anjing berperanan sebagai penjaga dan pengawal rumah. Penghuni rumah rasa selamat sekira membelanya. Binatang ini juga ada perasaan. Dia tahu kalau ada orang lain pasang niat jahat pada kita. Bukankah anjing juga pengawal pada zaman Rasulullah? Kenapa perlu takut?

Hanya kerana itu?

Ya. Tapi Sofia rasa sekarang ini masa yang tidak sesuai untuk membela anjing. Banyak yang perlu difikirkan. Antaranya kos untuk membela anjing ini. Kena pastikan makanan dan tempat tinggal terjaga. Kalau tidak sempurna, berdosa pula kita.

Sofia tahu hukum selepas memegang anjing?

Sudah pasti tahu. Kena samak. Janganlah pandang rendah dengan ilmu agama Sofia. Sofia tahu batas-batas dalam agama. Air liur anjing itu haram. Kita tidak boleh memegang anjing dalam keadaan basah. Kalau ada perkara yang Sofia tidak tahu, pasti Sofia bertanya orang yang lebih tahu. Sofia bukan insan sempurna. Ada kecacatan dan kekurangan. Sofia pun tak pasti kenapa baru sekarang orang bising pasal gambar tu? Perkara itu sudah berlaku setahun sudah. Mengapa tidak ditimbulkan ketika itu juga. Sebenarnya, Sofia sangat terbuka dengan soal ini, tak kisah. Asalkan kita tahu batasannya.

Maksud Sofia?

Sofia tahu mungkin ada orang yang kurang senang dengan perlakuan Sofia memegang anjing itu. Tapi janganlah pandang sebelah mata berkaitan isu itu. Tidak wajar terus menghukum seseorang atas apa sahaja perlakuan. Mana satu yang teruk? Orang yang bermain dengan anjing atau orang yang memperlekehkan individu yang bermain anjing? Sofia juga tidak kisah kalau masyarakat masih berterusan mahu bercakap tentang isu ini. Terpulanglah kepada mereka.

Peminat kecewa Sofia bergambar dengan anjing


KUALA LUMPUR - Gambar pelakon drama terkenal, Sharifah Sofia Syed Hussein yang lebih dikenali sebagai Sofia bersama dua ekor anjing di laman sosial Internet baru-baru ini menimbulkan rasa kurang senang peminat-peminatnya.

Gambar yang dimuat turun oleh Sofia sendiri dalam laman blog miliknya sejak Mei tahun lalu mendapat pelbagai reaksi negatif daripada khalayak khususnya masyarakat Islam.

Salah seorang peminatnya, Siti Nazariah Isa, 20, berkata, sebagai selebriti Sofia tidak sepatutnya mendedahkan gambar tersebut untuk tatapan umum kerana ia boleh menimbulkan perasaan marah terhadapnya.

"Saya terkejut melihat gambar tersebut dan pada mulanya tidak percaya dia ialah Sofia. Selepas dilihat betul-betul, saya agak kecewa," katanya di sini semalam.

Kahwin bukan sebab Syed-Sharifah


"Bagi saya, dia cukup sempurna, seorang yang matang, bijak dan mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas" – SHARIFAH SOFIA
SELEPAS lebih dua tahun menganyam cinta akhirnya hubungan antara pelakon jelita Sharifah Sofia Syed Hussein dan lelaki pilihannya yang juga seorang ahli perniagaan Syed Ismail Syed Al-Ali bertitik noktah sebagai pasangan suami isteri yang sah di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Ahad lalu.

Meskipun Sofia mempunyai perangai yang 'gila-gila' namun air mata wanitanya sempat menitis saat bapanya Syed Hussein Syed Alhadad melepaskan segala tanggungjawabnya kepada Ismail.

Kata Sofia, sejak awal pagi sehingga masuk ke dewan pernikahan kira-kira pukul 12 tengah hari perasaan girang menyelubungi dirinya tanpa sedikitpun cemas atau gugup sama seperti Syed Ismail.

Bagaimanapun perasaan itu sedikit berubah apabila Sofia diumumkan sah menjadi isteri kepada Syed Ismail, lelaki yang dicintainya.

"Tiba-tiba pula rasa sebak. Sebelum itu okey sahaja. Tetapi perasaan saya sebenarnya bercampur-campur sedih, gembira, teruja, semua ada.

"Alhamdulillah, majlis pernikahan berjalan seperti mana yang saya idamkan. Ringkas, formal dan pantas," ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik ini lagi.

Menyentuh tentang lelaki pilihannya, Sofia menjelaskan Syed Ismail tidak seperti lelaki yang lain dan dia sungguh istimewa di hati Sofia.

"Dia lain daripada lelaki yang pernah saya kenal, malah dia suka buat saya ketawa. Saya rasa tenang dan senang bersamanya

"Bagi saya, dia cukup sempurna, seorang yang matang, bijak dan mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas," ujar pelakon filem Pisau Cukur ini lagi.

Walaupun suaminya mempunyai pangkal nama Syed yang berketurunan Melayu, Arab, Jordan manakala Sofia pula mempunyai darah campuran Scotland, Arab dan Melayu serta menggunakan panggkal nama Sharifah, itu bukan penyebab utama perkahwinan mereka.

"Saya tidak memilih untuk mendapatkan suami sama keturunan, sudah kebetulan dan ia satu bonus. Keluarga saya juga tidak meletakkan sebarang syarat dalam memilih menantu, mereka berfikiran terbuka.

"Asalkan lelaki itu boleh menjaga dan mendidik saya dengan baik itu sudah memadai buat ibu bapa saya. Apa yang penting kami saling mencintai," luahnya sambil meleretkan senyuman kepada Ismail.

Boleh berlakon tapi ada syarat!

Pasti ramai yang tertanya-tanya adakah pelakon putih gebu ini akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon atau pun menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga?

BEG tangan dan dompet Coach.

Jika ditanya pada Sofia pastilah dia mengatakan akan terus berlakon kerana dunia lakonan sudah sebati dalam dirinya.

Tetapi bagaimana pula reaksi Ismail yang melamar Sofia pada bulan Mac lalu mengenai kerjaya isteri itu memandangkan dia juga pernah dihimpit kontroversi kerana populariti Sofia?

SET mutiara terdiri daripada rantai, loket dan subang.

Jelas Syed Ismail, dia membenarkan isterinya itu terus berlakon tetapi masih ada syarat yang harus dipatuhi Sofia untuk terus bergelar seorang pelakon.

"Saya tidak kisah dia nak berlakon tetapi apabila dia sudah menjadi isteri saya, dia harus meminta kebenaran setiap kali menerima tawaran lakonan," ujar Syed Ismail serius.

Sofia yang setia di sebelah Syed Ismail pula tersenyum mengiyakan apa yang dikatakan suaminya itu. Bagi Sofia erti pernikahan buatnya adalah penyatuan dua insan tanpa sebarang batasan.

"Apabila sudah menjadi suami isteri tanggungjawab saya lebih berat dan kami boleh lakukan semua perkara bersama tanpa sebarang batasan dan sekatan daripada orang lain.

"Kami juga akan saling menyokong dalam meneruskan kehidupan sebagai suami isteri," terang Sofia yang anggun dalam busana serba putih rekaan pereka fesyen, Amir Luqman.

Menyentuh tentang perancangan keluarga, kedua-dua mereka menyerahkan sepenuhnya kepada takdir, andai kata dikurniakan anak buat masa yang terdekat mereka tidak akan menolak.

"Kami akan berpindah ke Shah Alam selepas ini dan tentang bilangan anak itu saya tidak kisah semuanya rezeki daripada Allah. Kalau cepat alhamdulillah," tutur Syed Ismail yang merupakan anak tunggal.

Tambah Syed Ismail, dia merancang untuk membawa isterinya berbulan madu di Kepulauan Maldives dan Colorado, Amerika Syarikat pada Februari tahun hadapan.

Pada majlis yang sama, Sofia turut menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada Ismail selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Selepas majlis akad nikah berlangsung, pasangan itu akan mengadakan resepsi perkahwinan secara tertutup pada Jumaat depan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Sharifah Sofia Diijabkabul


Sharifah Sofia Syed Hussein, 24, menamatkan zaman dara bersama pasangannya, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31, pada jam 12.30 tengahari bersamaan 29 Oktober 2009.



Pasangan tersebut dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 12.30 tengahari semalam dengan mas kahwin RM100 oleh bapa pengantin perempuan Syed Hussein Syed Alhadad.

Sofia menerima wang hantaran berjumlah RM20,000 beserta tujuh dulang hantaran di antaranya beg tangan dan dompet Coach, sejadah dan telekung, perhiasan mutiara, al-Quran, satu persalinan, coklat dan sirih junjung.

Pengantin lelaki pula menerima lima dulang hantaran antaranya telefon bimbit Blackberry dan GPS, kemeja-T, al-Quran, cincin, komputer riba, tali pinggang dan dompet, coklat, jam tangan Marc Ecko dan sirih junjung.

Mangga Online mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan mempelai ini. Semoga kekal bahagia hingga ke anak cucu.

Syed Ismail pilihan Sofia


TIDAK tergambar perasaan yang bergelodak ketika ini apabila dapat disatukan dengan cinta hati selepas dinikahkan sendiri oleh bapanya, Syed Hussein Syed Alhadad di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Rasanya baru semalam sahaja Sharifah Sofia, 24, atau Sofia menyulam cinta dengan kekasih hatinya, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31 dan saat ini pula dia bergelar isteri kepada jejaka itu.

Rasa kesyukuran kepada Ilahi apabila majlis pernikahan yang dirancangnya hampir tujuh bulan itu berjalan dengan lancar.

“Sudah lama saya menantikan saat ini apabila secara rasminya, saya adalah Mrs. Syed Ismail,” kata gadis kelahiran Liverpool, United Kingdom (UK) ini.

Seperti pasangan yang baru berkahwin lain, jelitawan ini mendambakan bulan madu yang indah di Kepulauan Maldives dan New Zealand selepas majlis persandingan yang diadakan secara tertutup di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Sofia juga menyatakan rasa gembiranya apabila bersuamikan lelaki yang berketurunan sama walaupun ia bukan agenda hidupnya. Baginya, ia hanya berlaku secara kebetulan sejak mengenali Syed Ismail yang merupakan rakan baik kakaknya, 11 tahun dahulu.

Ketika itu, dia tidak mempunyai sebarang perasaan dan selepas pertemuan secara tidak disengajakan di ibu kota pada 2007, maka bibit-bibit percintaan tercetus sebelum ahli perniagaan itu melamar Mac lalu.

“Suami saya adalah kacukan Melayu, Arab Jordan manakala Sofia pula peranakan Scotland, Arab dan Melayu. Kami tidak mempunyai ikatan persaudaraan dan persamaan itu hanya terletak pada pangkal nama apabila satu keturunan.

“Sofia juga bukan jenis yang hanya memilih bakal suami berketurunan Syed sahaja. Kalau dapat ia adalah satu bonus buat Sofia. Akhirnya, jodoh Syed menyebelahi Sofia. Paling penting, Sofia suka pada dia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Keluarga Sofia juga tidak menetapkan sebarang syarat untuk bakal menantu mereka asalkan lelaki itu penyayang, menghormati dan boleh menjaga anak perempuan mereka dengan baik. Baginya, kebanyakan keluarga keturunan Syed sekarang sudah berfikiran terbuka dan menerima bakal menantu bukan dari golongan itu.

Ditanya apakah tarikan utama Syed Ismail di matanya, pelakon Pisau Cukur ini memberitahu, kematangan dan kebijaksanaannya seringkali memikat jiwanya. Sofia juga suka mendengar omelan suaminya yang sering kali mencuit hati dan menyebabkan pelakon putih gebu itu sentiasa ketawa.

Baginya, pemain Kelab Ragbi Cobra Selangor itu kaya dengan pelbagai idea dan rancangan masa depan untuk memastikan masa depan mereka berdua terjamin kelak.

“Syed Ismail menyempurnakan kehidupan saya. Dia adalah lelaki paling layak menjadi ayah kepada anak-anak comel yang bakal dilahirkan nanti. Saya bertuah kerana memiliki semua pakej yang ada pada dirinya,” kata Sofia yang merancang untuk mempunyai anak selepas berpindah ke rumah sendiri tidak lama lagi.

Gementar dalam teruja


Pelakon berwajah putih gebu dan bertubuh montok ini nyata tidak berselindung mengenai perasaan gembiranya untuk bergelar isteri. Sekalipun tersipu malu, dengan nada bersemangat dia akui cukup bersedia menggalas tanggungjawab berumahtangga.

Katanya, majlis pernikahannya dengan jejaka pilihan hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31, seorang ahli perniagaan akan berlangsung pada 18 Oktober ini di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Menurutnya, dia sangat gementar tetapi waktu sama gembira mahu menamatkan zaman gadisnya tidak lama lagi.

"Sekarang boleh dikatakan perasaan saya sangat berdebar kerana menghitung hari bersejarah itu. Sekalipun masih muda, saya memang sudah sedia memegang status sebagai isteri.

"Dalam usia sekarang, saya juga bukan hanya mahu bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai tetapi melahirkan cahaya mata sebagai pengikat kasih kami. Malah, saya tidak kisah jika bergelar ibu pada usia muda kerana yakin anak itu adalah rezeki.

"Setakat ini, saya sudah membuat persediaan dan belajar menguruskan rumah tangga. Bahkan, setiap hari saya sudah mula terfikir dan faham apa sepatutnya dilakukan seorang isteri. Apapun, saya berharap rumah tangga dibina nanti akan berkekalan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama komedi Simpang 3, baru-baru ini.

Mengenai majlis pernikahannya nanti, anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, ia diadakan sederhana kerana apa yang penting adalah upacara akad nikah. Majlis persandingan di pihak lelaki berlangsung di Hotel Concorde, seminggu selepas pernikahan itu.

"Sebenarnya, majlis pernikahan saya di Masjid Wilayah nanti hanya dihadiri kenalan dan sanak saudara saja. Jika wakil media ingin menghadirinya, tidak mengapa tetapi untuk majlis persandingan pula akan diadakan secara tertutup.

"Tiada undangan untuk media kerana ia untuk meraikan keluarga dan kenalan yang tidak dapat hadir ketika majlis pernikahan. Saya harap tiada pihak berkecil hati kerana semua ini diurus dan mengikut persetujuan keluarga," katanya.

Katanya, perkenalannya dengan bakal suami jika diikutkan sudah lama ketika berusia 13 tahun kerana Syed Ismail adalah rakan baik kakaknya. Namun, mereka mula rapat sejak dua setengah tahun lalu. Pertemuan semula berlaku pada majlis seorang rakan.

"Pada mulanya saya tidak perasan kehadirannya di majlis itu kerana hubungan kami terputus apabila Syed Ali melanjutkan pengajian ke luar negara. Agak lama juga kami tidak bersua.

"Malah, saya mulanya terpikat dengan rakan Syed Ali yang berasal dari Singapura. Namun, hubungan itu tidak berhasil sebaliknya, Syed Ali lebih tulus dan ikhlas terhadap saya. Dia sering membawa saya berkunjung dan menjamu selera di tempat menarik.

"Sejak itu, saya sedar hubungan kami makin rapat dan serius. Malah, paling membuatkan saya seronok dan tidak sabar apabila dia melamar. Nampaknya, impian saya sebagai isteri akan terlaksana juga. Saya berdoa kami akan hidup bahagia bersama.

"Memandangkan sudah berkenalan, saya yakin dengan dirinya. Jika semua berjalan lancar, kami akan berbulan madu di dua destinasi iaitu kepulauan Maldives dan New Zealand," katanya.

Sharifah Sofea juga mengakui Syed Ismail semakin memahami kariernya sebagai artis. Katanya, dulu dia (Syed Ismail) sangat cemburu orangnya.

"Sesiapa saja yang menegur dan menghampiri saya, dia akan marah. Tetapi, sekarang dia pula akan membantu peminat yang ingin bergambar dengan saya," katanya.

Dalam majlis pernikahan nanti, pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan pihak perempuan manaakal wang hantaran pula, Sharifah Sofia mengatakan jumlah tepat masih dalam perancangan tetapi tidak kurang daripada RM20,000. Gadis kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia menyerahkan semua itu kepada orang tuanya.

Walaupun bergelar isteri, pemegang Diploma Seni Persembahan dari Sunway University College ini bercadang melanjutkan pelajaran nanti.

Dengarnya... Sharifah Sofea naik pelamin 18 Oktober


TAHNIAH Cik Normah ucapkan kepada pelakon Sharifah Sofea yang akan melangsungkan pernikahan dengan jejaka kacukan sepertinya juga, Syed Ismail Al Ali pada 18 Oktober ini di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Jejaka berusia 31 tahun berdarah campuran Arab dan Melayu itu bekerja sebagai ahli perniagaan.

Mereka kenal sejak kecil lagi, namun cuma sejak dua tahun setengah yang lalu, hati mula disemai perasaan sayang. Mereka kenal atas kawan, malahan kakaknya turut mengenali Syed Ismail. Majlis persandingan akan diadakan di sebuah hotel terkemuka seminggu selepas tarikh pernikahan.

Cik Normah diberitahu rakan sepejabat yang menemuinya Khamis lalu, kedua-dua majlis (nikah dan sanding) dibuat secara tertutup. Bagaimanapun, pelakon bertubuh montok itu mengalu-alukan kedatangan rakan media pada hari pernikahan sekitar jam 11 pagi. Amboi, nak buat secara tertutup konon. Tapi kenalah ingat anda itu selebriti.

Peminatnya mesti nak tahu mengenai hari bahagianya. Terpulang kepada bos Cik Normah untuk menentukan sama ada majlis itu perlu diberi liputan atau tidak.

Apa-apapun, Cik Normah tak ada masalah dengan Sharifah Sofea dan harap perkahwinan itu nanti akan membahagiakannya hingga ke akhir hayat. Baguslah kahwin cepat, supaya dapat elak maksiat dan dosa. Cik Normah nak ambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat pengantin baru kepada Sharifah Sofea dan bakal suaminya.

Kawan sepejabat Cik Normah beritahu, pasangan ini merancang untuk berbulan madu di Maldives, Switzerland atau New Zealand. Tak silap Cik Normah, Sharifah Sofea akan melaram kebaya klasik rekaan Amir Luqman untuk majlis bersanding nanti.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails