
Pelakon berwajah putih gebu dan bertubuh montok ini nyata tidak berselindung mengenai perasaan gembiranya untuk bergelar isteri. Sekalipun tersipu malu, dengan nada bersemangat dia akui cukup bersedia menggalas tanggungjawab berumahtangga.
Katanya, majlis pernikahannya dengan jejaka pilihan hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31, seorang ahli perniagaan akan berlangsung pada 18 Oktober ini di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Menurutnya, dia sangat gementar tetapi waktu sama gembira mahu menamatkan zaman gadisnya tidak lama lagi.
"Sekarang boleh dikatakan perasaan saya sangat berdebar kerana menghitung hari bersejarah itu. Sekalipun masih muda, saya memang sudah sedia memegang status sebagai isteri.
"Dalam usia sekarang, saya juga bukan hanya mahu bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai tetapi melahirkan cahaya mata sebagai pengikat kasih kami. Malah, saya tidak kisah jika bergelar ibu pada usia muda kerana yakin anak itu adalah rezeki.
"Setakat ini, saya sudah membuat persediaan dan belajar menguruskan rumah tangga. Bahkan, setiap hari saya sudah mula terfikir dan faham apa sepatutnya dilakukan seorang isteri. Apapun, saya berharap rumah tangga dibina nanti akan berkekalan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama komedi Simpang 3, baru-baru ini.
Mengenai majlis pernikahannya nanti, anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, ia diadakan sederhana kerana apa yang penting adalah upacara akad nikah. Majlis persandingan di pihak lelaki berlangsung di Hotel Concorde, seminggu selepas pernikahan itu.
"Sebenarnya, majlis pernikahan saya di Masjid Wilayah nanti hanya dihadiri kenalan dan sanak saudara saja. Jika wakil media ingin menghadirinya, tidak mengapa tetapi untuk majlis persandingan pula akan diadakan secara tertutup.
"Tiada undangan untuk media kerana ia untuk meraikan keluarga dan kenalan yang tidak dapat hadir ketika majlis pernikahan. Saya harap tiada pihak berkecil hati kerana semua ini diurus dan mengikut persetujuan keluarga," katanya.
Katanya, perkenalannya dengan bakal suami jika diikutkan sudah lama ketika berusia 13 tahun kerana Syed Ismail adalah rakan baik kakaknya. Namun, mereka mula rapat sejak dua setengah tahun lalu. Pertemuan semula berlaku pada majlis seorang rakan.
"Pada mulanya saya tidak perasan kehadirannya di majlis itu kerana hubungan kami terputus apabila Syed Ali melanjutkan pengajian ke luar negara. Agak lama juga kami tidak bersua.
"Malah, saya mulanya terpikat dengan rakan Syed Ali yang berasal dari Singapura. Namun, hubungan itu tidak berhasil sebaliknya, Syed Ali lebih tulus dan ikhlas terhadap saya. Dia sering membawa saya berkunjung dan menjamu selera di tempat menarik.
"Sejak itu, saya sedar hubungan kami makin rapat dan serius. Malah, paling membuatkan saya seronok dan tidak sabar apabila dia melamar. Nampaknya, impian saya sebagai isteri akan terlaksana juga. Saya berdoa kami akan hidup bahagia bersama.
"Memandangkan sudah berkenalan, saya yakin dengan dirinya. Jika semua berjalan lancar, kami akan berbulan madu di dua destinasi iaitu kepulauan Maldives dan New Zealand," katanya.
Sharifah Sofea juga mengakui Syed Ismail semakin memahami kariernya sebagai artis. Katanya, dulu dia (Syed Ismail) sangat cemburu orangnya.
"Sesiapa saja yang menegur dan menghampiri saya, dia akan marah. Tetapi, sekarang dia pula akan membantu peminat yang ingin bergambar dengan saya," katanya.
Dalam majlis pernikahan nanti, pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan pihak perempuan manaakal wang hantaran pula, Sharifah Sofia mengatakan jumlah tepat masih dalam perancangan tetapi tidak kurang daripada RM20,000. Gadis kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia menyerahkan semua itu kepada orang tuanya.
Walaupun bergelar isteri, pemegang Diploma Seni Persembahan dari Sunway University College ini bercadang melanjutkan pelajaran nanti.
