Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Syed Ismail pilihan Sofia


TIDAK tergambar perasaan yang bergelodak ketika ini apabila dapat disatukan dengan cinta hati selepas dinikahkan sendiri oleh bapanya, Syed Hussein Syed Alhadad di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Rasanya baru semalam sahaja Sharifah Sofia, 24, atau Sofia menyulam cinta dengan kekasih hatinya, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31 dan saat ini pula dia bergelar isteri kepada jejaka itu.

Rasa kesyukuran kepada Ilahi apabila majlis pernikahan yang dirancangnya hampir tujuh bulan itu berjalan dengan lancar.

“Sudah lama saya menantikan saat ini apabila secara rasminya, saya adalah Mrs. Syed Ismail,” kata gadis kelahiran Liverpool, United Kingdom (UK) ini.

Seperti pasangan yang baru berkahwin lain, jelitawan ini mendambakan bulan madu yang indah di Kepulauan Maldives dan New Zealand selepas majlis persandingan yang diadakan secara tertutup di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Sofia juga menyatakan rasa gembiranya apabila bersuamikan lelaki yang berketurunan sama walaupun ia bukan agenda hidupnya. Baginya, ia hanya berlaku secara kebetulan sejak mengenali Syed Ismail yang merupakan rakan baik kakaknya, 11 tahun dahulu.

Ketika itu, dia tidak mempunyai sebarang perasaan dan selepas pertemuan secara tidak disengajakan di ibu kota pada 2007, maka bibit-bibit percintaan tercetus sebelum ahli perniagaan itu melamar Mac lalu.

“Suami saya adalah kacukan Melayu, Arab Jordan manakala Sofia pula peranakan Scotland, Arab dan Melayu. Kami tidak mempunyai ikatan persaudaraan dan persamaan itu hanya terletak pada pangkal nama apabila satu keturunan.

“Sofia juga bukan jenis yang hanya memilih bakal suami berketurunan Syed sahaja. Kalau dapat ia adalah satu bonus buat Sofia. Akhirnya, jodoh Syed menyebelahi Sofia. Paling penting, Sofia suka pada dia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Keluarga Sofia juga tidak menetapkan sebarang syarat untuk bakal menantu mereka asalkan lelaki itu penyayang, menghormati dan boleh menjaga anak perempuan mereka dengan baik. Baginya, kebanyakan keluarga keturunan Syed sekarang sudah berfikiran terbuka dan menerima bakal menantu bukan dari golongan itu.

Ditanya apakah tarikan utama Syed Ismail di matanya, pelakon Pisau Cukur ini memberitahu, kematangan dan kebijaksanaannya seringkali memikat jiwanya. Sofia juga suka mendengar omelan suaminya yang sering kali mencuit hati dan menyebabkan pelakon putih gebu itu sentiasa ketawa.

Baginya, pemain Kelab Ragbi Cobra Selangor itu kaya dengan pelbagai idea dan rancangan masa depan untuk memastikan masa depan mereka berdua terjamin kelak.

“Syed Ismail menyempurnakan kehidupan saya. Dia adalah lelaki paling layak menjadi ayah kepada anak-anak comel yang bakal dilahirkan nanti. Saya bertuah kerana memiliki semua pakej yang ada pada dirinya,” kata Sofia yang merancang untuk mempunyai anak selepas berpindah ke rumah sendiri tidak lama lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails