Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sheera Iskandar. Show all posts
Showing posts with label Sheera Iskandar. Show all posts

Foto Sheera Suap Makanan Kepada 'Zac Efron' Jadi Isu

Gambar mesra bersama seorang lelaki yang dimuat naik oleh pelakon Sheera Iskandar di Instagram miliknya telah mengundang salah faham di kalangan pengikut-pengikutnya. Sheera, 29, berkata, foto tersebut telah disunting seolah-olah dia sedang menyuap makanan kepada pelakon Hollywood Zac Efron dan tidak sangka pula ramai yang keliru dengan gambar berkenaan kononnya lelaki itu merupakan kekasihnya. "Jujurnya saya tiada niat untuk mengelirukan siapa-siapa. Ketika foto itu diambil, saya menemani adik berjumpa dengan bakal tunangnya itu. "Memandangkan saya sendirian, adik mengambil gambar saya seolah-olah sedang menyuap seseorang. Kemudian saya meletakkan wajah Zac Efron di sebelah. Tak sangka pula ramai yang menganggap lelaki itu kekasih saya. Alangkah seronoknya jika kekasih saya adalah pelakon itu... hahaha," katanya kepada mStar Online. Pada malam Ahad, Sheera telah memuat naik sekeping gambar mesra dengan seorang lelaki di Instagram miliknya.
Foto tersebut menunjukkan Sheera sedang menyuap makanan kepada lelaki itu dan ia mengundang persoalan daripada ramai pengikutnya adakah lelaki itu merupakan kekasih Sheera. Ada juga yang mengucapkan tahniah kerana akhirnya Sheera sudah pun berjumpa dengan pasangannya manakala ada juga yang sedar gambar lelaki tersebut merupakan Zac Efron yang sudah disunting. Sementara itu, Sheera menyifatkan, komen-komen yang diberikan oleh pengikutnya itu sangat lucu kerana tidak sangka ia menjadi tanda tanya kebanyakan pihak. "Aduh... serba salah pula sedangkan niat saya saja-saja nak sunting gambar. Malu pula rasanya," ujar Sheera. Dalam pada itu, ditanya adakah Sheera sudah pun memiliki kekasih hati, dia memberitahu masih belum menemui lelaki yang sesuai. "Setakat ini saya belum jumpa sesiapa lagi. Jodoh belum sampai nak buat macam mana. "Mujurlah ibu saya bukan jenis yang memaksa. Yang penting saya berdoa bukan sekadar cepat dapat jodoh tetapi biarlah lelaki itu merupakan jodoh yang baik dunia akhirat," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Sheera baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Sheikh Gugelya Al Masehi, siaran TV Al Hijrah.

Riak setelah berhijab? - Sheera Iskandar

DITUDUH mula jadi riak ketika mula-mula membuat keputusan untuk bertudung pada awal Ogos lalu, aktres versatil, Sheera Iskandar, 29, sedikit pun tidak melenting dengan kata-kata yang diibaratkan seperti ‘bunyi lalat’ itu. Menanam niat yang baik jauh di sanubarinya, anak kepada dramatis Aznah Hamid itu memberitahu bahawa nawaitu untuk mengenakan tudung ikhlas lahir dari hati, bukan dek kerana fesyen semasa. Baru-baru ini, Sheera hadir bersama tiga pelakon lain iaitu Afique Hussain, Fee Haiqal dan Larra Rahmat ke Studio Utusan bagi mempromosikan telefilem Penakluk Mimpi terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini kesempatan kami berkongsi pengalamannya mengenai dugaan yang perlu dihadapi sementelah tampil dengan imej baharu. Menceritakan detik awal penghijrahan dirinya itu, Sheera berkata semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa ada paksaan sesiapa. Cuma mengakui ia serba sedikit didorong oleh kata-kata nasihat beberapa individu yang berada di sekelilingnya terutama ibunya yang juga telah mengenakan hijab. Elak persepsi negatif DEK perubahan yang dilakukan teraju utama filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof itu, ramai mula tertanya-tanya sebab musabab yang membuatkan Sheera berubah ke arah imej tersebut. Tidak kurang juga ada yang membuat telahan sendiri dengan mengatakan bahawa Sheera telah bertemu pilihan hatinya yang bakal menyuntingnya menjadi suri di hati jejaka terbabit, sekali gus mendorongnya mengenakan hijab sebelum bergelar isteri. Ditebak persoalan sebegitu, Sheera hanya ketawa kecil mendengarkan khabar tidak berasas itu, malah menjelaskan pendiriannya untuk bertudung adalah disebabkan tuntutan agama semata-mata, bukannya ada alasan lain. “Sejujurnya, saya tidak mempunyai sesiapa lagi, masih solo dan selesa begini. Jadi tidak timbul isu saya bertudung disebabkan mahu berkahwin. Biarlah ahli keluarga menjadi pendamping buat masa ini, bukannya kekasih. Saya serahkan soal jodoh ini kepada Allah kerana itu adalah kerja-Nya. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu timbul sebarang persepsi negatif jika membuat pemberitahuan mengenai pemakaian tudung ini. Biarlah peminat atau sesiapa jua mengetahuinya secara normal berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial. Jika mereka nampak gambar-gambar saya yang bertudung, saya rasa mereka sudah cukup cerdik untuk mentafsir sendiri perubahan yang berlaku. “Foto lama yang memaparkan imej sebelum ini sudah pun dikeluarkan daripada laman-laman sosial, hanya untuk simpanan peribadi sahaja. Saya tekad dengan perubahan ini dan berdoa agar ia kekal hingga ke akhir hayat," katanya. Tudung bukan kekangan DIAKUI terdapat beberapa dugaan sejak mengenakan tudung, Sheera percaya semua yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri, di samping terus berdoa agar Allah menguatkan imannya untuk terus berubah ke arah lebih baik. Tidak mahu mengulas lanjut mengenai dugaan yang ditempuhinya, Sheera sebaliknya terus memberitahu bahawa kerjaya lakonannya tetap aktif seperti biasa dan hijab bukanlah kekangan untuknya mendapatkan tawaran berlakon. Sebagai contoh, Penakluk Mimpi adalah produk terbaharu lakonannya dengan mendukung watak utama di sisi aktor baharu, Afique yang lahir daripada program pencarian bakat Jejaka Kacak Bergaya Pancaindera 2010. “Alhamdulillah, walaupun bertudung rezeki saya sebagai pelakon masih terbuka luas. Dalam telefilem ini, saya membawa watak Arina yang bercita-cita besar, tetapi suka melakukan kerja separuh jalan. “Arina suka meletakkan harapan tinggi dalam setiap peluang yang dia lakukan untuk peroleh kejayaan. Pada masa yang sama, disebabkan teruja untuk mendapatkan sesuatu, ia terbawa-bawa dalam mimpinya. “Bagaimanapun, cita-citanya ibarat hangat-hangat tahi ayam. Suka melakukan kerja separuh jalan sehingga memberi impak terhadap orang-orang di sekelilingnya," jelas Sheera berkongsi sedikit mengenai sinopsis Penakluk Mimpi.

Menyesal sorok putus cinta - Sheera

BELAJAR daripada kesilapan lalu, pelakon cantik Sheera Iskandar memberitahu kepada Aida dia tidak mahu lagi bercinta lama-lama. Melihatkan umurnya kini, Sheera tahu adalah satu langkah kurang bijak jika dia terus membuang masa dalam alam percintaan seperti sebelum ini. Enggan memberitahu bila sebenarnya dia sudah sendirian tanpa kekasih, Sheera bagaimanapun memberitahu dia sebenarnya sangat menyesal kerana tidak menjelaskan keadaan dirinya yang sebenar kepada umum sebelum ini. "Memang sebelum ini saya tidak beri tahu saya sudah berpisah dengan teman lelaki sebelum ini. Dari situ saya lihat tiada yang berani mendekati saya. Mungkin mereka sendiri ragu-ragu dengan status saya yang dianggap masih kekasih orang," katanya. Sheera sebelum ini bercinta dengan seorang jejaka yang mahu dikenali sebagai Syan. Banyak yang sudah tahu tentang perasaan intim mereka suatu masa dahulu, tetapi apabila berpisah Sheera buat diam pula. Tak apalah, mungkin masing-masing ada sebab kenapa merahsiakan punca putus cinta itu. Memberitahu dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga, Sheera bagaimanapun tidak mahu melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang terdesak buat dirinya. Percaya kepada ketentuan jodoh, cerita Sheera kepada Aida antara momen yang paling menakutkan kini adalah untuk melihat kesemua rakan-rakanya sudah memulakan fasa baru kehidupan mereka. "Setiap kali berkumpul bersama rakan-rakan, hampir kesemua mereka sudah mempunyai anak, atau sudah berkahwin dan bakal berkahwin. Bagaimanapun saya tidak akan terlalu tergesa-gesa, saya percaya kepada jodoh,"katanya. Aida tanya kan sama ada dia terlalu memilih? Sheera menyangkal. "Memilih itu perlu, tetapi tidaklah sampai satu tahap yang tidak masuk akal," kata anak kepada dramatis Aznah Hamid ini.

Sheera Ajak Golongan Muda Keluar Mengundi

Pelakon Sheera Iskandar menyeru golongan muda yang menjadi pengundi berdaftar untuk keluar mengundi pada 5 Mei ini bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan demi masa depan yang lebih cerah. Sheera, atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar 28, berkata, golongan muda sepertinya turut berperanan dalam menentukan hala tuju negara terutama dalam memilih sebuah kerajaan yang diyakini mengutamakan kebajikan rakyat. "Mungkin ketika masih muda kita fikir politik tidak penting dan anggap benda ini remeh. "Tapi sebenarnya tak, kita nak hidup dalam negara yang maju dan nak terus ke depan. Jadi jangan biarkan orang lain tentukan hidup kita, kita sendiri perlu tentukan," katanya ketika ditemui di Pasar Tani Taman Wira, Mergong di sini, Jumaat. Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kali ini menyaksikan peningkatan pengundi muda yang ramai iaitu berjumlah 5.5 juta atau kira-kira 42 peratus daripada 13.3 juta pengundi berdaftar. Sheera antara 11 artis yang mengikuti program Ziarah Syukur bagi membantu Barisan Nasional (BN) berkempen pada PRU-13 ini di Kedah. Alor Setar merupakan lokasi jelajah ke tiga di Kedah selepas kumpulan artis berkenaan mula menemui orang ramai di kawasan Parlimen Padang Terap dan Parlimen Kulim Bandar-Baharu sejak Selasa lalu. Program yang dijayakan Pengerusi Eksekutif Intenkreatif Sdn Bhd, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar itu bakal meneruskan siri jelajah mereka ke kawasan Parlimen Pendang dan Parlimen Jerlun. Mengulas lanjut Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk pulang mengundi di kawasan Parlimen Pasir Mas di Kelantan. "Ini kali pertama saya akan mengundi, jadi Insya-Allah saya akan pulang menunaikan tanggungjawab saya," katanya yang mengetahui mengenai calon PRU-13 di kawasannya iaitu Datuk Ibrahim Ali sebagai calon Bebas dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz daripada PAS.

Sheera Iskandar Tunggu Peluang Lonjakkan Kembali Nama

PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar masih menunggu peluang yang sesuai untuk melonjakkan kembali namanya sebagai pelakon selepas dilihat semakin menyepi daripada industri hiburan tanah air. Sheera, 27, berkata, persaingan yang semakin sengit telah membuatkan dia lebih berhati-hati untuk memilih watak dan paling penting tidak dilihat sering membawakan watak sama. "Industri lakonan semakin rancak dengan wajah-wajah baru dan saya sebagai seorang pelakon yang boleh dikatakan lama perlu bijak mencari dan memilih peluang supaya kita boleh kekal lama dalam industri. "Saya juga masih menunggu watak sesuai yang boleh melonjakkan kembali nama saya dikalangan penonton," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun anak kepada pelakon Aznah Hamid itu menyangkal tanggapan dia sudah tidak berlakon kerana masih menerima banyak tawaran daripada pihak penerbit. "Mungkin saya sudah lama tidak muncul di dalam akhbar atau majalah dan itu menyebabkan orang berfikir sedemikian tetapi hakikatnya saya sibuk dengan penggambaran," katanya. Dalam pada itu, Sheera merancang untuk memulakan perniagaan bersama ibunya sebagai salah satu persediaan buat dirinya dan keluarga. Menurut Sheera dia masih belum merancang apakah jenis perniagaan yang bakal dijalankan tetapi tidak menolak kemungkinan akan membuka sebuah rumah produksi miliknya sendiri. "Bukan mudah untuk menjalankan sebuah perniagaan kerana perlu meneliti banyak aspek dan Insya Allah jika cukup ilmu dan pengalaman saya memang teringin untuk membuka sebuah rumah produksi. "Tambahan pula ia memang berkaitan dengan bidang yang saya ceburi," ujarnya.

Sheera Iskandar Sudah Sedia Dirikan Rumah Tangga

PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dan mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Syan sudah lima tahun bercinta dan sudah tiba masanya mereka melangkah setapak lagi dalam perhubungan mereka. "Hampir lima tahun saya dan Syan bercinta, saya cukup selesa bersamanya dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan sesuatu yang indah. "Umur saya sekarang 27 tahun dan Syan 28 tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menamatkan zaman bujang dan melangkah ke alam perkahwinan," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Sheera memberitahu kekasihnya itu belum melamarnya sebagai isteri tetapi mereka ada berbincang mengenai perkahwinan impian mereka. Tambah Sheera Syan bukan seorang yang romantik namun senang dengan cara kekasihnya itu yang sering berada di sisinya ketika dia memerlukan. "Memang dia tidak romantik tetapi dia sering menunjukkan rasa kasih dan sayang dengan cara berbeza. Itu menyenangkan saya. "Walaupun dia belum melamar saya tetapi kami sering berbual mengenai perkahwinan dan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan, Insya Allah," katanya. Tambah Sheera, dia bagaimanapun tidak mahu menekan soal perkahwinan terhadap kekasihnya itu kerana dia baru sahaja menamatkan pengajian dan membina kerjaya sebagai kontraktor. Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kerjaya seninya, Sheera memberitahu sepanjang Syawal dia akan berehat sebelum kembali ke beberapa lokasi penggambaran drama.

Sheera Iskandar Tiada Sebab Mahu Jumpa A.Aida


KUALA LUMPUR: Pelakon Sheera Iskandar menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berjumpa dengan penerbit drama, A.Aida bagi membincangkan mengenai kontroversi yang masih belum selesai di antara mereka berdua.

Sheera yang ditemui mStar Online pada Rabu berkata, kekecohan yang berlaku di antara mereka sebelum ini bukan berpunca daripadanya dan dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk berdiam diri.

"Daripada awal bukan saya yang memulakannya oleh sebab itu saya rasa tidak ada keperluan untuk saya bertemu atau berbincang mengenai perkara yang tercetus di antara kami berdua.

"Lagipun saya telah menyelesaikan semua tanggungjawab saya dengannya malah pihak Astro yang menyiarkan drama Halimah Jongang tidak mempunyai masalah dengan apa yang dikatakan masalah sebelum ini," ujarnya.

Pun begitu, Sheera memberitahu dia tidak mahu lagi isu itu dibangkitkan kerana ingin menumpukan perhatian kepada kerjayanya.

Sebelum ini, A.Aida mendakwa Sheera melanggar kontrak termasuk mengambil tawaran daripada produksi lain ketika penggambaran Halimah Jongang.

A.Aida turut menyifatkan Sheera sebagai kurang ajar kerana memotong rambut sehingga menyebabkan berlakunya rombakan skrip dalam drama tersebut.

Akibat tindakan Sheera itu, A.Aida berhasrat mengambil tindakan mahkamah ke atasnya

Dalam pada itu, Sheera memberitahu rezekinya dalam bidang lakonan bertambah murah dan memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah filem iaitu Aku Bukan Tomboy dan Datin Ghairah.

Malah katanya, dia juga baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama arahan Rashid Sibir berjudul Terowong.

"Alhamdulillahlah rezeki saya dalam bidang lakonan masih murah di sebalik pelbagai cerita kurang enak mengaitkan diri saya.

"Saya berlakon bukan baru setahun dua tetapi sejak kecil dan saya pasti ramai pengarah dan penerbit yang telah saya bekerja sebelum ini percaya akan kebolehan saya dan bukan menilai saya dengan satu insiden remeh seperti itu," ujarnya.

Mengambil iktibar tentang perkara yang telah berlaku kepadanya, Sheera menganggap kejadian tersebut sebagai pengajaran untuk mematangkannya sebagai seorang pelakon.

Kontroversi 'Halimah Jongang', Sheera Hilang Tawaran Berlakon


SUBANG JAYA: Pelakon Sheera Iskandar mengakui selepas tamat penggambaran drama Halimah Jongang bersama produksi milik A.Aida, dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Menurut Sheera, dia bertambah kesal apabila kontroversi dituduh "melanggar kontrak" A.Aida sebelum ini telah memberi kesan teruk terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.

"Perkara ini memberi kesan yang agak teruk kepada saya terutama dalam industri. Ramai produser yang takut untuk ambil saya berlakon kerana telah dituduh tamak dengan tawaran. Saya tahu ada yang penyampai dan bercakap-cakap tentang perkara itu kepada penerbit-penerbit drama.

"Drama Iparku Diva yang sedang saya lakonkan sekarang itu pun sudah ditandatangani sebelum kontroversi Halimah Jongang berlaku. Kalau tidak, saya tak tahulah apa jadi dengan nasib saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pengacara dan Penyampai untuk Anugerah Bintang Popular, di sini, Khamis.

Tambah Sheera, di kecewa apabila kontroversi tersebut telah menjadikannya mangsa sehingga hampir membunuh kerjayanya sebagai pelakon.

"Saya malu untuk keluar menemui orang ramai terutamanya di tempat awam. Mereka yang tidak faham pasti akan menyalahkan saya seratus peratus. Jika duduk di rumah pula rasa sangat tertekan. Kalau saya terlalu fikirkan perkara itu, badan boleh jadi sakit-sakit.

"Saya juga tak boleh tengok rambut palsu dan topi kerana sentiasa teringatkan watak Halimah Jongang yang hampir membunuh kerjaya saya," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shira dia menganggap kejadian itu sebagai dugaan dalam bidang lakonan dan percaya kepada rezeki daripada Allah.

Ketika ditanya tentang tindakan susulan daripada tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh pemilik A.Aida Production itu, Sheera hanya memberitahu dia memilih untuk berdiam diri.

"Kami tak akan ambil apa-apa tindakan kecuali dia sudah memulakan dahulu. Tapi sehingga kini belum ada apa-apa lagi perancangan.

"Walaupun begitu, kami juga ada meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada peguam tentang perkara ini.

"Mereka menasihatkan agar berdiam dan tunggu apa yang akan mereka lakukan terlebih dahulu. Lagipun kes saman-menyaman ini perlukan kos dan bukan percuma," katanya.

Sheera sedih dituduh tidak profesional


HATI mana yang tidak rasa sedih, kecewa dan tertekan apabila dituduh tidak komited dan profesional terhadap kerjaya.Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 26, berkata, bukan baru sehari dua beliau membabitkan diri dalam bidang lakonan atau sengaja melakukan perkara yang boleh merosakkan periuk nasinya.

Kata anak kepada pelakon Aznah Abdul Hamid itu, apa yang dikecohkan oleh pelakon dan penerbit A.Aida tentang peribadinya adalah tidak benar

sama sekali.

"Saya potong rambut pendek bukannya satu masalah. Dalam drama Halimah Jongang musim baru, dari awal lagi saya pakai rambut palsu.

"Lagipun saya potong rambut selepas tamat penggambaran.

"Saya menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelakon drama tersebut tanpa cacat cela kerana semuanya dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Astro Warna di Restoran D'Saji, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Sheera yang berlakon dalam drama 13 episod berjudul Iparku Diva dan bakal disiarkan di Astro Warna, sehingga ke hari ini, beliau tidak percaya dan terkejut dengan dakwaan A.Aida yang dianggap tidak berasas itu.

A.Aida dalam satu program hiburan televisyen membuat kenyataan yang beliau kecewa dengan sikap Sheera yang dianggap melanggar kontrak drama bersiri Halimah Jongang.

A. Aida berkata, beliau akan mendakwa Sheera dan kemungkinan menghantar surat saman kepada pelakon tersebut.

Namun apabila ditanya mengenai surat saman, Sheera berkata, sehingga ke hari ini, tiada sebarang surat diterima daripada pihak A.Aida.

"Kejutan yang melanda diri saya menyebabkan saya tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.

"Cuma apabila kenyataan daripada A.Aida disiarkan maka ramai yang menelefon bertanyakan tentang hal itu.

"Pastinya situasi itu membuatkan saya rasa tertekan. Saya harap perkara ini tidak dijadikan satu isu kerana bidang lakonan adalah tempat saya cari makan.

"Selama ini pun saya bekerja dengan ramai produser dan tidak pernah timbul masalah pun," jelasnya.

Sheera mendakwa, namanya mula mendapat tempat di hati peminat bukan kerana drama Halimah Jongang disebabkan lakonannya dalam drama terbitan Skop Productions iaitu Sembilu Kasih dan Janji Diana.

Katanya, produser atau pengarah yang mula-mula mencungkil dan mencipta namanya dalam bidang lakonan adalah Datin Rosnani Jamil, Datuk Yusuf Haslam dan Badaruddin Azmi atau Bade.

"Bukan niat saya mahu mendabik dada atau bercakap sombong tetapi orang sudah mula mengenali saya sebelum muncul dalam Halimah Jongang lagi.

"Malah rezeki saya dengan Datuk Yusuf pun tidak pernah putus.

"Kalau saya tidak profesional seperti yang didakwa, kenapa saya boleh bekerja dengan

produksi yang sama untuk lebih daripada satu drama," soalnya yang bakal muncul dengan filem KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy.

Ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh A.Aida, Sheera mengakui emosinya amat terganggu.

Namun Sheera masih bernasib baik kerana di sebalik kekecohan yang berlaku, masih ramai yang menyokong dirinya dan mengetahui cerita sebenar di sebalik kemelut Halimah Jongang.

Seksinya Sheera...


Makin berani nampaknya pelakon Sheera Iskandar sekarang. Yalah sudah semakin matang dah sekarang pastilah mahu buang imej anak manja.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails