Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sherry Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Sherry Ibrahim. Show all posts

Sherry Ibrahim Kecewa Hubungan Dengan Fattah Dilaporkan Sudah Putus

Pelakon Sherry Ibrahim kecewa apabila hubungan cinta dengan aktor Abdul Fattah Amin, 24, dikatakan sudah berakhir seperti yang dilaporkan pada sebuah akhbar mingguan pada Ahad. Sherry, 31, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu perkara itu kerana laporan tersebut tidak benar sedangkan mereka masih lagi menjalinkan hubungan seperti biasa. "Saya tak tahu nak cakap apa apabila membaca berita itu. Rasa kelakar pun ada. 'Its a joke of the day'. "Tetapi saya amat kecewa kerana laporan itu seolah-olah telah menoktahkan perhubungan kami tanpa sebarang kenyataan daripada saya mahupun Fattah," katanya kepada mstar Online. Sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok melaporkan hubungan Sherry dan Fattah sudah pun berakhir. Ini berikutan Sherry telah membuang ke semua gambar dia bersama aktor tersebut di akaun Instagram miliknya selepas 'menghidu sesuatu' mengenai Fattah. Sementara itu, Sherry berkata, ada sebab mengapa dia membuang foto-fotonya bersama Fattah, dan perkara itu tidak bermakna mereka sudah tidak lagi berhubungan cinta. "Saya ada sebab sendiri yang tidak perlu dijelaskan kepada umum. "Kami bukannya pasangan suami isteri, jadi tak mahulah hubungan ini nampak berlebih-lebih. Tambah pula kami perlu menjaga hati keluarga masing-masing. "Yang penting umum tahu bahawa kami menjalinkan hubungan, itu sudah cukup. Dan tak elok rasanya apabila sesebuah perhubungan itu terlalu didedahkan. Apa-apapun kami tidak melatah dengan gosip itu," tegasnya. Sherry dan Fattah mula menjalinkan hubungan ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran drama 130 episod, Cinta Ibadah Jun lalu. Dalam perkembangan lain, Sherry kini sedang menjalani penggambaran Keluarga Karaoke untuk siaran Astro Mustika HD.

Lantaklah kata orang - Sherry Ibrahim

Pelakon, Sherry Ibrahim nampaknya akan menyertai golongan selebriti tempatan antaranya Rosnah Mat Aris, Ella, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Didie Alias. Nama-nama selebriti yang disebut itu sebenarnya adalah golongan yang nekad memilih untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Sherry juga begitu kerana dikatakan sedang bercinta dengan bekas pemenang Hero Remaja 2012, Fattah Amin. Bagi wanita yang berusia 31 tahun itu, dia tidak menolak andainya hubungan cinta mereka kini berakhir ke jenjang pelamin walaupun jarak usia mereka berbeza tujuh tahun. “Kalau dia nak hubungan ini ke peringkat seterusnya, peringkat yang lebih baik, saya rasa apa salahnya. “Lagipun sekarang ini saya cukup selesa bersama dengannya dan saya tidak menolak jika dijodohkan dengan dia. “Cuma saya wanita, jadi tidak manis sekiranya saya bercerita lebih tentang perkara ini. Setakat ini sahajalah yang saya boleh cerita," katanya. Bercerita tentang persepsi sesetengah orang yang cukup skeptikal dengan umur pasangan, bagi Sherry, dia sedikit pun tidak kisah dengan luahan kata-kata orang lain. “Biarlah apa orang nak cakap pasal umur. Jarak umur terlalu jauh ke apa. Saya tahu, perkara seperti ini pasti akan dipersoalkan apatah lagi saya lebih tua daripada dia. “Tapi bagi saya itu tidak penting kerana apa yang lebih utama ialah penerimaan hubungan antara saya dan dia dan keluarga kami. “Jika keluarga kami menerima serta saya dan dia juga selesa dengan hubungan ini, saya rasa jarak umur tidak menjadi masalah," jelasnya lagi. Buat masa ini, jelas Sherry dia sudah bertemu dengan adik Fattah manakala Fattah pula sudah bertemu dengan ibu dan adiknya. Tambah Sherry, dia sendiri tidak berhajat untuk mencari pasangan yang lebih muda dan ia adalah kebetulan semata-mata. “Saya tidak mencari lelaki yang lebih muda. Mungkin sudah ditakdirkan dengan dia selepas cinta saya sebelum ini putus," jelasnya. Sherry sebelum ini pernah bercinta dengan seorang lelaki yang berasal dari Mauritius namun tidak berakhir ke jinjang pelamin. “Sebelum ini hubungan cinta saya terputus dan saya harap hubungan baru ini tiada halangan dan saya sendiri sentiasa mencuba yang terbaik," ujarnya.

Beza 7 Tahun Tidak Halang Cinta Sherry Ibrahim & Fattah Amin

Pelakon Sherry Ibrahim tidak melihat jarak usia sebanyak tujuh tahun dengan teman lelakinya, aktor Abdul Fattah Amin, 24, sebagai satu halangan untuk kedua-duanya meneruskan hubungan. Sherry, 31, berkata, kematangan Fattah membuatkan dia serasi dengan pemuda itu namun mengakui percintaan mereka masih di peringkat awal. "Soal hati dan perasaan bukan boleh diukur dengan usia malah saya sendiri tidak pernah menjangkakan akan mengenali lelaki yang jauh lebih muda. "Saya selesa berkawan dengan Fattah kerana dia seorang yang matang membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya," katanya kepada mStar Online. Sherry ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor Bukit Kiara di sini pada Khamis. Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Anzalna Nasir dan Doris Hor. Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.
Dalam pada itu, Sherry berkata, dia mengenali Fattah sejak Jun lalu ketika bersama-sama menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah. Bagaimanapun kata Sherry, sepanjang berada di lokasi mereka tidak pernah bertegur sapa dan hanya mula rapat pada penghujung penggambaran. "Ini bukan cinta lokasi kerana kami tidak pernah bertegur sapa kecuali ketika latihan dan apabila ada adegan bersama. "Namun kami saling berkenalan ketika penggambaran hampir selesai dan ia semakin rapat sejak itu," katanya. Tambah Sherry lagi, biarpun dia berterus terang tentang hubungan mereka namun dia enggan mengulas lanjut mengenai hubungan itu kerana ia masih baharu. "Sekiranya ada jodoh saya terima tetapi sebagai pihak wanita saya tidak boleh bercakap lanjut mengenai perkara itu memandangkan hubungan kami juga masih baru," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia akan terus terlibat dalam beberapa siri kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri dengan pelbagai program menarik. "Saya berbesar hati dapat menyertai kempen ini yang membawa mesej kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita. "Pelbagai program telah diatur dan saya cukup teruja untuk bersama-sama menjayakan kempen ini," katanya. Sementara itu, Sherry berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Keluarga Karaoke sebanyak 60 episod untuk siaran Astro Mustika HD. Drama itu turut dijayakan oleh Raja Ema, Elyana, Elfaeza Ul-Haq dan Dazrin Kamarudin.

Sherry beralih arah

NAMA Sherry Ibrahim kembali menjadi sebutan peminat industri hiburan tempatan apabila dia terlibat dalam drama bersiri popular Teduhan Kasih selepas beberapa tahun 'melarikan' diri daripada bidang lakonan. Ternyata, rezeki wanita berusia 30 tahun ini masih lagi kuat dalam bidang yang telah diceburinya kira-kira tujuh tahun lalu kerana peminat masih mahu melihat kelibat dan lakonannya di kaca televisyen. Sherry kini turut terlibat dengan proses pembikinan mini album apabila sudah siap merakam tiga buah lagu. Dua daripadanya merupakan duet bersama penyanyi Indonesia iaitu Gusti Arya dan sebuah lagu solo. Menurut Sherry, single solonya berjudul Aku Yang Salah, manakala salah satu duetnya bersama Gusti pula berjudul Semakin Jauh dan dijangka mula dilancarkan penghujung tahun ini. Jelas Sherry, bidang nyanyian adalah minat pertamanya dan bukan sebaliknya iaitu bidang lakonan, kerana dia sudah menceburkan diri dengan dunia nyanyian sewaktu zaman sekolah dahulu. "Sebenarnya, saya amat meminati dunia muzik. Sejak dari zaman sekolah lagi saya sudah banyak terlibat dengan pertandingan nyanyian dan persembahan. "Cuma mungkin pada waktu tersebut rezeki saya lebih kepada bidang lakonan. Jadi, saya simpan dahulu cita-cita dan keinginan saya terhadap bidang nyanyian," katanya. Tambah Sherry, walaupun mungkin ada pihak yang mengatakan usianya sudah meningkat dan sedikit terlewat baginya untuk memulakan karier sebagai penyanyi, itu tidak penting kerana dia tahu apa yang dimahukannya dalam hidup. "Bagi saya, adalah penting kita melakukan sesuatu perkara yang diingini daripada bertindak mengikut kata-kata orang. Ini kerana pada akhirnya nanti, apa yang kita lakukan akan memberi kesan kepada diri kita di masa hadapan. "Mungkin orang ramai masih belum bersedia menerima saya sebagai penyanyi tetapi saya akan buktikan diri sendiri dan berharap peminat sedia untuk melihat sisi berbeza daripada saya," katanya yang turut merakamkan sebuah single solo berirama elektro-pop. Sherry juga baru kini berkesempatan menginjakkan kaki dalam bidang nyanyian kerana peluang berbuat demikian baru sahaja muncul. "Dalam hidup saya, banyak perkara yang terjadi bukan dirancang. Seperti dalam karier lakonan kerana semuanya berlaku secara kebetulan. "Kebetulan juga kini peluang untuk saya bernyanyi ada di depan mata. Tidak salah rasanya sekiranya saya mengambil peluang dan kesempatan yang ada," katanya. Tambah Sherry, dia bakal berkunjung ke studio rakaman milik Gusti di Bali, Indonesia tidak lama lagi untuk merakamkan beberapa buah single lagu yang juga dijangka dapat diperdengar penghujung tahun ini. Tidak mahu jalan serentak Dewasa ini sering kita mendengar perihal seorang penyanyi terjun ke bidang lakonan dan begitu juga sebaliknya, dan jelas mereka, mereka mahu mengejar kedua-dua bidang secara serentak. Tetapi berbeza buat wanita yang memulakan karier lakonan melalui drama Dunia Baru pada 2006 ini, dia tidak mahu menjalankan karier lakonan dan nyanyian secara serentak kerana dia tidak mampu melakukan sedemikian. "Mungkin kebanyakan pihak lain dapat melakukan tugas sebagai penyanyi dan pelakon secara serentak, tetapi tidak bagi saya. "Ini kerana saya sudah terbiasa melakukan satu kerja dalam satu-satu masa dan begitulah juga perihal perancangan saya apabila mula menjejakkan kaki ke dalam industri nyanyian. "Jika saya terikat dengan produksi, saya akan beri fokus sepenuhnya kepada karier lakonan dan apabila sudah tidak terikat barulah saya akan merancang untuk bidang nyanyian," katanya yang anggun mengenakan busana cheongsam berwarna biru. Mengulas tentang kemunculan semulanya, dia menerima tawaran untuk terlibat dengan drama Teduhan Kasih kerana kebetulan pada waktu itu dia tidak melakukan apa-apa selepas tamat tugasnya sebagai pramugari bersama salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia. "Kebetulan pada waktu saya sedang bercuti dan tidak mempunyai apa-apa perancangan jadi apa salahnya saya mengisi masa lapang dengan menerima tawaran lakonan semula. "Alhamdulillah drama tersebut mendapat sambutan hangat daripada peminat sehingga kembali menaikkan nama saya semula dalam industri ini," katanya. Sherry ditemui sewaktu terlibat sebagai seorang model pakaian tradisional masyarakat Cina, iaitu cheongsam dalam sebuah majlis memperagakan fesyen tersebut di pusat beli belah The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sherry Ibrahim Kesal Dituduh Sombong

Pelakon Sherry Ibrahim terkejut apabila dia dikatakan sombong sejak kembali popular di dunia seni hiburan tempatan dan menyifatkan dakwaan tersebut adalah mengarut. Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, berkata, sepanjang bergelar selebriti, dia tidak pernah bersikap demikian sebaliknya mesra dengan sesiapa sahaja yang menegurnya. "Dakwaan itu mengarut. Saya pernah bekerja di sektor perkhidmatan (pramugari) dan rasa-rasanya adakah saya akan 'tarik muka' terhadap seseorang? "Saya terkejut apabila dikatakan sombong sedangkan saya seorang yang mesra dengan sesiapa sahaja. "Dahulu berlaku satu insiden di mana ada individu yang tidak puas hati mengatakan saya sombong. Jika ianya berkaitan, saya tak boleh nak cakap apa," katanya. Tambah Sherry, dia berasa kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya dan berharap penjelasan itu akan menamatkan isu berkenaan. Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, pelakon drama Teduhan Kasih ini bakal membuat kemunculan semula di bidang nyanyian selepas lapan tahun tidak bergerak aktif sebagai penyanyi. Di bawah pengurusan Laugh Out Loud, Sherry akan muncul dengan tiga buah lagu dalam masa terdekat ini di bawah bimbingan komposer Indonesia, Bayu. "Alhamdulillah, mungkin sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif menyanyi. Lagipun bidang ini juga pernah menjadi impian saya, cuma rezeki sahaja belum ada waktu itu. "Tidak lama lagi saya akan muncul dengan dua lagu solo serta sebuah lagi lagu duet bersama Dafi bersama seorang penyanyi Indonesia. "Dan sebagai persediaan, saya akan mengasah vokal saya setiap hari dengan kelas vokal di bawah bimbingan Bayu," tuturnya. Sherry sebelum ini pernah bernaung di bawah KRU Music pada tahun 2005 .

Sherry jadi buruan

HAMPIR dua minggu terlantar sakit akibat demam dan batuk membuatkan dirinya sedar yang nikmat kesihatan tidak ternilai dengan wang ringgit. Selama itu juga dia mengehadkan aktiviti seni semata-mata mahu berehat panjang. “Memang saya tak sangka akan dijangkiti demam dan batuk lebih dua minggu. Padahal selama ini pun seingat saya tak pernah lagi berhadapan dengan situasi yang macam itu. “Dek kerana penyakit itu juga saya berehat panjang daripada segala aktiviti seni. Saya sendiri tak pasti kenapa penyakit tu tak hilang-hilang. Tapi sekarang Alhamdulillah semuanya sudah pulih," cerita Shrerry Ibrahim. Sejak nama kembali memuncak selepas drama Teduhan Kasih lakonannya mengumpulkan jutaan peminat, Sherry juga kini menjadi buruan. Malah impak daripada drama tersebut turut membantu Sherry membina keyakinan diri selepas menghilangkan diri beberapa tahun lalu. “Bila drama tersebut memberikan impak sudah tentu sedikit sebanyak merisaukan saya, seandainya peminat tidak dapat menerima saya membawa watak yang lain. “Ini kerana watak Ifa digambarkan sebagai wanita baik yang selalu mendapat malang. Ifa selalu jadi mangsa keadaan tetapi akhirnya Ifa berjaya mengharungi segala masalah. “Saya bimbang sebab ramai yang mahu saya membawakan watak sebegitu. Padahal kalau nak diikutkan masih banyak lagi variasi watak lain yang belum saya cuba. “Sejujurnya saya pun tidak mahu membawakan watak yang sama berulang-ulang," katanya yang banyak menerima tawaran berlakon drama sejak akhir-akhir ini. Ditanya adakah dia risau jika drama akan datang tidak dapat menandingi Teduhan Kasih, Sherry percaya itu semua bergantung kepada penilaian peminat. “Saya yakin peminat setia tidak akan menolak apa jenis drama sekalipun andai kata naskah seterusnya juga baik," ulas Sherry ringkas. Mengenai sambutan raya pula, Sherry cukup teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama dengan keluarga besarnya di Kuang, Selangor. Walaupun jarak antara Kuala Lumpur dan Kuang tidak jauh, itu tidak bermakna hari raya bekas pramugari itu hambar. “Tahun ini kami sekeluarga akan balik ke kampung sebelah ibu sahaja. Di sana boleh berkumpul ramai-ramai sambil buat macam-macam aktiviti. “Kalau masa kecil-kecil dulu seronok sangat dapat pakai baju baru. Bila pulang ke kampung dan beraya itu memang jadi aktiviti yang menyeronokkan buat saya. Dah besar-besar macam ini saya rindu suasana itu. “Saya gemarkan ketupat palas yang dibuat oleh arwah datuk. Tapi sejak dia dah tak ada memang jarang makan ketupat macam dulu. Nenek pula memang pandai memasak. Kalau nak tahu kek kukus nenek memang sedap. “Masakan itulah yang akan saya tunggu-tunggu setiap tahun selain dapat menikmati makanan lain yang sedap-sedap. Walaupun menyambut raya sudah tak semeriah zaman kanak-kanak tetapi hari raya tetap menjadi hari yang ditunggu-tunggu," katanya. Hanya mengambil cuti raya lebih kurang seminggu, selepas itu Sherry akan kembali sibuk di lokasi kerana terlibat dalam beberapa buah drama.

Belum masa berkahwin Sherry

MEMENCILKAN diri lebih tiga tahun dari dunia seni, kehadiran semula dalam bidang tersebut mengujakan dirinya sekali gus mengubat kerinduan peminat. Sayang sekali saat kehadirannya semakin dirasai, namanya tiba-tiba menjadi bualan gara-gara bekas kekasihnya yang juga kini suami orang, Ashraff Muslim mahu berkahwin lagi. Dek kerana pernah bercinta, nama Sherry Ibrahim terpalit dalam isu yang langsung tiada kena mengena dengan dirinya itu. Sebenarnya dia enggan mengungkit kisah lalu. Kisah percintaan yang sudah tinggal kenangan bersama Ashraff sudah dibuang jauh-jauh saat mereka berpisah. Enggan terus bercerita mengenai masalah orang lain, pinta Sherry agar cerita orang ketiga yang melatari rumah tangga Ashraff tidak ditujukan kepadanya. Usah ditanya tentang apa-apa perkara sementelah lelaki tersebut lebih tahu apa yang berlaku tanpa perlu membabitkan dirinya. Dia sedar tidak mudah untuk memadam segala cerita yang telah berlaku selama ini. Tanpa rasa prejudis Sherry mahu masyarakat tahu bahawa dia bukan orang ketiga seperti dikaitkan sebelum ini. Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah dicanang dan jangan ditambah derita yang yang masih bersisa. “Saya tak ada apa-apa kaitan dengan dia dan jangan terus heret saya lagi. Kadang-kadang tak faham kenapa orang masih nak kait nama saya. Dia dah ada keluarga dan sila hormati keadaan itu. “Ini perkara yang sangat sensitif dan tidak mudah untuk kita ulas. Apa yang berlaku dalam rumah tangganya hanya mereka sahaja yang tahu. Apa-apa pun yang terjadi biarlah mereka urus sendiri tanpa perlu saya masuk campur. “Jangan jadi masyarakat yang suka menghukum. Jangan terlalu judgemental seperti kita tahu semua yang berlaku. Hari ini mungkin masalah pada orang lain tapi pada masa hadapan mungkin kita pula yang kena batang hidung sendiri. “Sebab itu saya tak pernah berminat nak ulas hal peribadi. Waktu putus dahulu pun tak pernah sepatah pun perkataan keluar dari mulut saya tentang hal itu. “Apa yang berlaku hanya kami sahaja yang tahu dan tak pernah saya cerita pada sesiapa pun. Jadi biarkan dia selesaikan segalanya sendiri tanpa perlu kaitkan saya," tegas Sherry pada pertemuan dengan Pancaindera baru-baru ini. Hati terpaut MENGAKUI hatinya kini sudah terpaut pada seorang jejaka kelahiran Mauritus, Sherry tidak menafikan yang cinta mereka sedang mekar. Enggan mendedahkan siapa gerangan lelaki tersebut, dia mengakui mereka dalam fasa berkenalan dengan lebih dekat. Sejak mengembangkan kerjaya sebagai pramugari di negara Timur Tengah tiga tahun yang lalu, hubungan akrab yang terjalin antara mereka semakin rapat walaupun kini terpisah jauh. Tidak menganggap jarak sebagai halangan, segala-galanya diserahkan pada takdir. Pertemuan dengan jejaka tersebut di Doha, Qatar beberapa tahun lalu telah membuka hatinya yang selama ini sedikit tertutup. Walaupun sudah tidak ada rezeki untuk meneruskan kerjaya pramugari di sana, hubungan yang dijalinkan itu masih berlangsung sehingga hari ini. “Saya sedar dalam usia yang begini orang lain sudahpun berkeluarga dan mempunyai anak. Bila fikirkan perkara berkenaan saya sedar dengan proses-proses yang perlu dilalui seperti orang lain. Tapi saya tak boleh paksa diri ke arah itu. “Kalau belum sampai jodoh macam mana saya nak akhiri zaman bujang. Sama juga hal ini antara saya dan lelaki berkenaan masih samar-samar. Hubungan kami belum ada tanda ke arah perkahwinan setakat ini. “Saya mahu semuanya stabil terlebih dahulu. Biar kami sama-sama kukuh dari segi kerjaya mahupun kewangan barulah memikirkan fasa seterusnya. Tambahan pula saya baru sahaja nak menapak kembali, rasanya perkahwinan itu sedikit jauh. “Dalam sesebuah perhubungan saya enggan terus meletakkan harapan tinggi untuk berkahwin. Bila tak dapat apa kita nak, itu yang buat kita putus asa dan jatuh. Sebab itu saya letak fokus untuk mencari duit dahulu sebelum menyelesaikan hal-hal lain. “Apa-apa pun yang terjadi diri sendiri dan keluarga yang perlu diutamakan. Macam sekarang juga, bila saya muncul kembali ke dalam industri saya akan bekerja keras untuk mencapai impian tanpa perlu cari ‘masalah’ untuk menaikkan nama semula," jelas wanita yang berusia 30 tahun ini. \

Sherry Ibrahim Minta Tidak Dikaitkan Dengan Ashraf Muslim

Pelakon Sherry Ibrahim berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan aktor Ashraf Muslim, 32, lebih-lebih lagi kedua-dua mereka tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan sejak putus cinta kira-kira empat tahun lalu. Sherry, 30, berkata, dia juga enggan dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa Ashraf yang juga pengamal perubatan Islam itu akan berkahwin lagi memandangkan urusan itu tiada kaitan dengan dirinya. "Jujurnya, saya tidak membaca gosip-gosip di media dan saya tidak mahu mengambil tahu tentang perkara itu. "Apabila pihak media meminta saya komen tentang isu Ashraf mahu kahwin dua, saya tak boleh nak komen sebab ia tiada kaitan dengan diri saya. "Lagipun itu hal adalah urusan rumah tangga dia yang saya rasa ia tidak elok untuk saya memberi sebarang pandangan," katanya. Sherry ditemui pada pelancaran drama arahannya iaitu Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3 di sini, Rabu. Baru-baru ini, Ashraf dikatakan telah ke mahkamah Syariah untuk mengambil borang permohonan berpoligami. Bagaimanapun Ashraf enggan memberi komen tentang hal tersebut tetapi sebuah akhbar pada Rabu melaporkan seorang wanita bernama Sakinah telah mendedahkan bahawa isteri pelakon tersebut iaitu Noor Dayana Lokman, 26, sudi untuk bermadu. Ashraf telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi.Tambah Sherry, dia berharap tidak dikaitkan lagi dengan aktor itu lebih-lebih lagi dia kini sudah pun memiliki kekasih. Katanya, kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat penerbangan Qatar Airways. "Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu. "Bagaimanapun saya tak boleh nak ceritakan siapa dia. Cukuplah yang orang tahu saya sudah berpunya," tuturnya.

Sherry mendarat di lapangan seni

TUBUH kecil dengan ketinggian 160 sentimeter itu terbiasa memakai persalinan rona merah manggis. Wanita itu juga mengenakan topi kecil di kepala, warna yang sama. Busana yang selalu lekat dengan kostum pekerjaan dirinya di saat itu yang menggalas tanggungjawab pramugari di bawah payung syarikat penerbangan Qatar Airlines. Wanita berusia 29 tahun dengan nama Syarizad Ibrahim atau nama komersialnya Sherry Ibrahim itu pernah bergelar anak seni selama dua tahun setengah bagaimanapun ia terhenti di tengah jalan. Mungkin ada yang terlupa namanya. Untuk jangka waktu tugasan berlatarkan awan, Sherry menyusun langkah kaki dari kerusi ke kerusi, kelas ekonomi dan bisnes melayan kerenah dan mengenal asam garam kehidupan. Di awan biru berulang alik pelbagai negara, dia mengutip perjalanan hidup. Warna sebenar manusia bila duduk jauh dari atas darat. Lebih yakin Digayakan semula dalam busana selebriti, solekan lebih tebal dan baju rekaan pereka terkenal Syaiful Baharim, Sherry mengaku sedikit kekok. "Lama tidak bergambar begini," akuinya ketawa namun masih berbaki lenggok seorang artis. Pernah bertugas terdahulu bersama Malaysia Airlines (MAS) dan kemudian mengutip pengalaman berbeza di Qatar Airlines, dia mengaku banyak belajar makna hidup. "Dunia pramugari mengajar saya menjadi matang, lebih yakin. Jujur, pengalaman tersebut tidak akan saya dapat di mana-mana," senyumnya yang semakin rancak berceloteh, gaya Sherry dulu-dulu. "Saya bertemu orang yang menarik. Belajar daripada sebuah hubungan yang dinamakan persahabatan menjadi akrab sebagai famili. Kepercayaan adalah kunci utama apabila berada jauh daripada keluarga dan tanah air sendiri," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini. Menariknya untuk pengisian diri sendiri, Sherry yang pernah membintangi drama Renjis bersama Elyana ini juga mengenal lebih dalam satu perkara. "Saya belajar untuk menjadi tidak semberono. Rasa dihargai dan yang penting mengerti erti tidak hipokrit lebih dalam," tambahnya berkata jujur dengan harapan ketulusan ini tidak disalah ertikan. Dia bercakap atas dasar pemerhatian dan pengalaman. Penulis bertanyakan destinasi yang paling digemari sementelah pasportnya pasti penuh dengan cop pelbagai negara. "Saya sukakan Amerika Syarikat kerana orangnya tidak bersifat perkauman. Mereka boleh menerima orang Asia. Lihat sahaja penerimaan mereka terhadap kehadiran penyanyi Yuna," ujar si peminat tegar Yuna ini. Paling banyak mengajar katanya adalah apabila dia menjejak kaki ke negara Asia Barat. Kata Sherry, jika tidak memiliki karakter yang kuat, seseorang tidak dapat bertahan lama di negara tersebut. Perlu kuat dan tegas berhadapan dengan orang di sana, tambah Sherry. "Tetapi saya banyak juga belajar tentang fesyen daripada orang Arab. Ada alat solek dan pewangi yang khas untuk kaum Hawa, daripada situ kita sudah nampak kuasa beli mereka dalam bab fesyen," ulas Sherry yang teringin ke Santorini, Greece dan Rio de Janeiro, Brazil. Berlakon semula Menghampiri tarikh 3 April 1983, satu masa di mana usianya bertukar ke kepala angka tiga, Sherry senyum dan puas menyatakan dia berjaya mengejar impian yang pernah disulam. "Saya pernah menyimpan hasrat untuk kembali menjadi aktres sebelum usia masuk ke angka 30 tahun," sambungnya yang sudah habis kontrak bersama syarikat penerbangan sejak tahun lalu. Namun dia mengambil masa enam bulan untuk merehatkan diri. Lebih menghampiri famili dan rakan-rakan yang pernah ditinggalkan ketika di awan biru. Demi tugasan dahulu, waktu senggang bersama yang tersayang perlu dikorbankan. "Lepas habis kontrak, saya tidak putuskan untuk buat apa-apa lagi. Lagi pun ayah dan ibu ketika itu mahu mengerjakan ibadat haji. Rakan artis, Ryzal Jaafar yang akhirnya tolong dapatkan pekerjaan semula dalam dunia lakonan. Saya bersyukur dengan tawaran tersebut memandangkan sekarang sangat ramai pelakon pelapis yang muda-muda," katanya. Hayunan semula dalam jiwa pelakon dimasukkan ke dalam karakter Eriza, wanita muda sofistikated dan lahir dalam legasi orang berada. Dalam drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang kini disiarkan di saluran TV3 pada pukul 7 malam, Sherry kembali menyarung persalinan aktres. "Ini tawaran pertama saya. Drama arahan Amie Maziah di bawah produksi Suhan Movies. Mulanya saya hanya patut berlakon beberapa belas adegan tetapi kemudian dilanjutkan oleh sutradara. Saya bersyukur dengan lanjutan ini dan membuatkan saya lebih bersemangat berlakon," katanya yang berlakon bersama Talha dan Asraf dalam drama adaptasi novel tulisan Fatin Nabila tersebut. "Rasa gemuruh itu datang bila turun padang semula. Tertanya-tanya saya sendiri adakah saya boleh berlakon lagi? Hasil sokongan padu rakan-rakan dan keluarga yang menyatakan saya patut kembali membuatkan saya mengumpul semangat," ujarnya. Untuk Sherry, drama 26 episod ini turut membuka lembaran baharu buatnya. Dia diberikan sebuah karakter yang lebih matang dan 'dalam' permainan jiwa. Seakan-akan tahu bahawa dia mahu menangkis karakter komedi yang pernah sekejap melekat pada dirinya. "Mungkin sebab saya pernah muncul dalam drama Chaparela yang ada sentuhan komedi. Juga muncul dalam watak-watak ceria seperti Dunia Baru dan Renjis, jadi saya lebih terdorong diberikan watak-watak yang hampir sama. Bukan tidak bersyukur tetapi setiap pelakon pasti mahukan kematangan dalam jalur lakonan mereka," senyum pelakon yang juga pernah muncul dalam drama Jelatang, Cinta Untuk Ain, Lara Rindu Mahsuri, Dira dan Nina serta Cik Ah Cik Nin. "Tahun ini adalah tahun fokus dalam dunia seni. Ada beberapa projek seni lagi yang sedang dirangka dan saya harap dapat dilaksanakan," nekadnya yang masuk ke dunia seni pada tahun 2006. Setelah berlangitkan cuaca pengalaman dan bintang pesona sebagai anak kapal, kini Sherry kembali ke landasan lapangan seni. Mungkin kembali hijau rumput yang ditatihnya, namun tidak mustahil bunga-bunga jaya bakal tumbuh meriah selepas dia mendalami kepelbagaian kerenah manusia dan jalur pengalaman dalam dunia sebenar. Hanya perlu diadaptasi dalam dunia rekaan yang dinamakan drama dan filem berpredikatkan tugasan pelakon.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails