Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Siti Fazurina ( Drama Puteri ). Show all posts
Showing posts with label Siti Fazurina ( Drama Puteri ). Show all posts
Siti Fazurina Mahu Jumpa Ibu Untuk Hapuskan Sengketa
Pelakon Siti Fazurina nekad untuk berjumpa ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 61, pada bulan Ramadan ini untuk meminta maaf bagi menjernihkan kembali hubungan keluarga yang keruh kerana kontroversi perkahwinannya.
Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 31, mengakui sebagai anak, dia perlu beralah dan berharap agar perkahwinannya bersama Hykal Zulkifli, 32, pada Mac lalu direstui keluarga.
"Sebelum ini saya banyak kali juga hantar mesej dan bertanya khabar kepada ibu tapi tiada balasan, Insya-Allah saya nekad awal Ramadan ini saya akan balik rumah ibu.
"Buat pertama kali biarlah saya seorang sahaja yang jumpa dahulu, kemudian barulah Hykal." katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen sempena Festival Fesyen Islam (IFF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.
Jelasnya, biar apa juga yang berlaku, dia tetap yakin ibunya dapat menerima lelaki yang dikahwini itu sebagai suaminya.
"Di sini tiada siapa betul atau salah tapi pada saya apa juga yang berlaku di antara anak dan ibu, kita perlu tahu syurga itu di bawah tapak kakinya.
"Saya juga tidak mampu menolak jodoh, walau pun ibu menolak beberapa pinangan sebelum ini, tapi Hykal adalah jodoh yang telah ditetapkan buat saya," ujarnya.
Tambah Fazurina, lebih menggembirakan apabila dia dan suami akan berpindah dari Pulau Pinang dan akan menetap di Sungai Petani, Kedah berdekatan dengan kampung halamannya.
"Alhamdulillah, semuanya seperti sudah diaturkan Allah agar kami dapat tinggal berdekatan. Suami saya akan ditukarkan bekerja ke Sungai Petani dan kami akan berpindah berhampiran dengan rumah ibu dalam masa terdekat ini.
"Namun buat masa ini saya masih tinggal di Pulau Pinang bersama keluarga mertua," katanya.
Dalam pada itu, Fazurina yang kini aktif menjadi pengacara di program Soal Wanita untuk TV Al-Hijrah berkata, ia merupakan salah satu impian ibunya untuk melihat dia menjadi seorang pengacara.
"Saya baru sebulan mengendalikan program tersebut, ketika dapat tawaran itu saya terus beritahu ibu kerana dia suka kalau saya jadi pengacara.
"Dia mahu saya jadi macam Norjuma dan pengacara-pengacara lain, walaupun dia tidak membalas mesej yang saya kirim tapi saya tahu dia gembira," ujarnya.
Fazurina rindukan ibu
Fazurina akui nikahi Hykal kali kedua
Pelakon Siti Fazurina Akhirnya Nikah Kali Kedua
Ibu Dedah Pernikahan Siti Fazurina Tidak Sah Kerana Menipu
PETALING JAYA: Ketika pelakon Trilogi Cinta, Siti Fazurina sedang bergembira meraikan majlis resepsi perkahwinannya pada Sabtu(hari ini), ibu kepada pelakon itu mendedahkan pernikahan anaknya lebih sebulan lalu adalah tidak sah di sisi agama Islam.
Zubaidah Abu Bakar, 61, secara eksklusif memaklumkan kepada mStar Online, pernikahan itu tidak sah kerana Fazurina telah memberi maklumat palsu kepada Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang bagi mendapatkan kebenaran berkahwin.
"Dia memberitahu kepada pejabat agama bahawa dia anak tunggal walhal dia mempunyai dua adik lelaki seibu sebapa yang boleh menjadi wali untuknya.
"Penipuan itu telah menyebabkan pihak mahkamah membenarkan dia bernikah dengan berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina juga telah menukar qariah asalnya iaitu Sungai Petani (Kedah) kepada Ayer Hitam (Pulau Pinang) dan melangsungkan pernikahan dalam tempoh kurang empat bulan bermastautin di situ," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada petang Jumaat.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 31 dan Muhammad Hykal Zulkifli, 32, melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember tahun lalu berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah, 59, tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.
Pasangan itu mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka pada Sabtu (hari ini) di Pearl Island Country Club, Bayan Lepas.
Pada 24 Disember lalu, Siti Fazurina bersama suaminya mengadakan satu sidang media di Pulau Pinang bagi menjelaskan kontroversi yang berlaku.
Dalam majlis penuh drama itu, Siti Fazurina menangis teresak-esak sambil memohon ampun kepada ibunya yang hadir secara mengejut sebelum wanita itu ditarik oleh ahli keluarga lain agar meninggalkan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Zubaidah memberitahu beliau telah merujuk perkara tersebut ke pejabat agama yang sama baru-baru ini dan melantik seorang peguam syarie untuk menyiasat kesahihan pernikahan itu yang tidak mengikut syarak dan perlu dinikahkan semula.
Bagaimanapun katanya, Fazurina gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Gantung, Pulau Pinang seperti diminta pada 6 Februari lalu dan memberikan alasan tidak menerima sebarang notis mengenai arahan itu.
"Apabila peguam yang dilantik menelefonnya sendiri untuk menyuruhnya hadir ke mahkamah kerana dia enggan berbuat demikian, dia menegaskan perkahwinannya sah dengan alasan telah merujuk kepada seorang ustaz di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan alasan-alasan tertentu.
"Dia enggan tampil kerana menuduh keluarga ingin memisahkannya dengan suami walhal kami ingin menikahkannya semula dengan cara yang betul dan sah.
"Saya tidak mahu dia hidup dalam keadaan berzina jika pernikahan itu tidak sah dan sebagai yang mengetahui kebenaran saya tidak mahu bersubahat," katanya.
Sementara itu, Zubaidah berkata, pihak pejabat agama sedang berusaha untuk menemuinya bagi menyelesaikan kes itu.
"Surat tersebut pernah diserahkan kepada bapa saudara yang menjadi saksi pernikahannya termasuklah keluarga mertuanya namun mereka enggan menerima surat tersebut.
"Mungkin pihak pejabat agama akan ke majlis resepsinya untuk menyerahkan surat itu.
"Malah sijil asli pernikahannya masih tidak dikeluarkan kerana masalah berkenaan," katanya yang kecewa dengan sikap ego pasangan itu selain tidak menghormatinya sebagai ibu.
Fazurina hormati pendirian ibu
PERKAHWINAN adalah sesuatu yang sangat indah dan istimewa. Perjanjian di antara dua insan akan termeterai jika restu perhubungan diizinkan.
Namun bagi pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.
Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan ‘kahwin lari’ di Thailand.
Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.
Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.
Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.
‘Drama’ air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.
Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.
Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.
Berikut sedutan temu bual bersama Fazurina selepas tamat ‘drama’ sebabak tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah timbul isu Nina kahwin lari sehingga boleh diketahui umum?
SITI FAZURINA: Isu ini timbul sebaik sahaja selesai majlis akad nikah pada 21 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini (Pulau Pinang). Ada pihak cuba hentam Nina. Saya kesal kerana pihak itu ialah keluarga sendiri.
Adakah keluarga tidak merestui hubungan Nina dengan Hykal?
Hal keluarga adalah peribadi. Apa yang boleh Nina beritahu sebenarnya banyak pihak berkecil hati. Mereka (keluarga) tidak pernah merasai apa yang Nina rasa. Nina tak kahwin lari. Nina berkahwin secara sah dengan berwalikan bapa saudara sebelah arwah bapa.
Adakah Nina membuat keputusan berkahwin dengan Hykal secara terburu-buru?
Kami sudah lama membuat perancangan untuk berkahwin dan sudah beberapa kali ibu saya tidak menerima keputusan saya untuk mengahwini Hykal. Namun kali ini, saya nekad memilih Hykal menjadi pilihan hati. Malah saya juga membuat solat Istiqarah selama tiga hari berturut-turut.
Bagaimanakah sekiranya ada pihak membuat tohman mengatakan Nina telah menderhakai ibu sendiri?
Sebelum bernikah, saya dan Hykal ada berjumpa dengan ustaz dan kami menghadiri kaunseling. Kami diberitahu perkahwinan adalah perkara wajib dan sunnah Rasulullah. Saya menghormati pendirian ibu walaupun dia tidak mahu terlibat dalam pernikahan saya dengan Hykal.
Apakah perubahan yang ingin dikecapi di sebalik kemelut perkahwinan Nina ini?
Ibu dan anak tidak boleh terpisah. Saya harap suatu hari nanti ibu akan menerima Hykal. Kalau dia terima perkahwinan ini, masalah sebegini akan selesai.
Harapan masa depan Nina terhadap hubungan anda suami isteri dan keluarga masing-masing?
Saya inginkan kebahagiaan yang bukan dicari kami berdua tetapi untuk kedua-dua belah keluarga. Harap kebahagiaan dapat dikongsi dengan ibu dan ahli keluarga lain.
Fazurina berharap pintu hati ibu akan terbuka
Aktres yang popular menerusi drama "Dunia Anita", Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir menafikan dakwaan suaminya tidak dikenali pihak keluarganya lantas menyebabkan dia mengambil keputusan untuk kahwin lari.
Dipetik dari sebuah laman hiburan tempatan, aktres berusia 30 tahun ini menegaskan tiada istilah kahwin lari atau keluarga pihak perempuan tidak mengenali suaminya, Hykal Zulkifli kerana keluarga masing-masing tinggal di satu blok kondominium yang sama di Hartamas.
Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa Fazurina telah membelakangi keluarganya dan membuat keputusan untuk berkahwin bersama pilihan hatinya di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang berwalikan bapa saudaranya.
"Memang benar saya telah dinikahkan oleh bapa saudara saya sendiri. Ramai ahli keluarga yang datang, cuma ibu bapa dan adik-beradik saya sahaja yang tiada.
"Isu keluarga saya tidak mengenali satu sama lain dengan suami memang tidak benar kerana kami tinggal di satu blok yang sama, cuma tingkatnya yang berbeza sahaja. Keluarga Haykal di tingkat 16, manakala kami di tingkat 14," kata Fazurina yang menjelaskan keadaan sebenar.
Tambahnya lagi, suaminya itu turut mengenali adiknya, Siti Fazurita Mohd Famir yang pernah menjayakan drama terbitan syarikat produksi miliknya bersama suami iaitu Tripix Studio sebagai pelakon tambahan.
Fazurina turut menyatakan rasa terkilan apabila adiknya membesar-besarkan situasi tersebut sehingga timbul kontroversi kononnya dia berkahwin lari.
"Pihak keluarga Hykal pernah datang merisik, namun ditolak oleh ibu dan saya sendiri tidak mengetahui sebabnya. Saya mengambil keputusan untuk meneruskan pernikahan selepas merujuk dengan ustaz-ustaz untuk bertanyakan tentang situasi ini. Malah saya telah melakukan solat istikharah," jelasnya yang berharap agar pintu hati ibunya akan terbuka menerima Hykal sebagai seorang menantu.
"Walaupun ibu tak bagi, saya tahu satu hari nanti pasti hatinya akan terbuka. Saya percaya hubungan antara ibu dan anak tidak akan terpisah."
Selepas majlis pernikahan yang berlangsung baru-baru ini, Fazurina dan Hykal bakal diraikan dalam satu majlis resepsi yang bakal diadakan pada 9 Februari 2013 di Pulau Pinang.
Keluarga Kesal Pelakon Fazurina Kahwin Lari
PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Haikal, 30-an tanpa pengetahuan keluarganya.
Sumber terdekat keluarganya mendedahkan, Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 30, pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina langsung tidak memaklumkan mengenai perkahwinan tersebut kepada keluarganya malah telah menghilangkan diri selama sebulan tanpa khabar berita.
"Kami sangat terkejut dan kecewa dengan tindakannya yang membelakangkan keluarga terutama ibunya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, pihak keluarga perempuan ada menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang menjadi saksi pernikahan bagi memaklumkan majlis berkenaan.
Malah dalam SMS tersebut, individu itu meminta supaya ibu Fazurina bersabar dan reda dengan perkahwinan yang dilakukan secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga itu.
"Jika benar mereka ingin berkahwin mengapa tidak berjumpa dengan ibunya untuk meminta restu.
"Ibunya sangat kecewa dengan tindakan Fazurina bernikah tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Malah pihak kami tidak mengenali dan berjumpa keluarga pihak lelaki," ujarnya.
Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Fazurina bagi mendapatkan penjelasan gagal kerana dia mungkin masih mahu merahsiakan majlis itu.
Fazurina Terima Kecaman Kerana 'Seha'
PETALING JAYA: Pelakon Fazurina mengakui sering dikecam peminat menerusi laman sosial gara-gara watak 'Seha' yang dipegangnya menerusi drama rantaian Trilogi Cinta 2 yang disiarkan di TV1.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 30, bagaimanapun berkata, dia tidak menyalahkan para peminat memberikan komen berbaur kemarahan terhadap watak itu sebaliknya menganggap ia adalah petanda lakonannya diberi perhatian.
"Sejak musim baru Trilogi Cinta ditayangkan pada September lalu saya mula menerima pelbagai komen yang rata-rata membenci dengan perwatakan 'Seha' yang jahat dan kejam.
"Namun saya tidak tergores hati dengan komen-komen yang diberikan kerana tahu mereka merujuk kepada watak tersebut dan ia petanda lakonan saya telah berjaya memberi kesan kepada penonton," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Trilogi Cinta 2 yang turut membariskan pelakon seperti Rosyam Nor, Fouziah Gous, Rita Rudaini dan Aidil Azizi itu ditayangkan setiap hari Khamis dan Jumaat pukul 10 malam.
Dalam pada itu, Fazurina berkata, dia akan memastikan setiap komen yang diberikan oleh peminat menerusi Twitter akan dibalas sebagai menghargai mereka.
Malah kata Fazurina, menerusi medium sosial itu juga dia dapat berinteraksi secara terus dengan para peminat selain mendekatkan diri dengan mereka.
"Menerusi Twitter kita boleh dapat maklum balas segera daripada peminat mengenai lakonan atau hal-hal lain yang berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pelakon
"Daripada situ juga kita dapat mengambil komen-komen yang positif dan negatif bagi memperbaiki mutu lakonan pada masa hadapan," jelasnya.
Tambah Fazurina, drama rantaian arahan Amie Maziah itu berkemungkinan akan disambung kepada musim ketiga selepas melihat kepada kejayaan dua musim terdahulu.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terkini Fazurina berkata, dia baru sahaja menyiapkan drama terbitan pertama syarikatnya, Tripix Studios berjudul Hana untuk siaran RTM.
Walaupun masih belum mendapat tarikh tayangan namun dia teruja untuk melihat reaksi penonton terhadap drama bersiri itu.
"Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan pihak saya hanya menunggu tarikh tayangan daripada RTM dan saya berharap ia akan mendapat sambutan baik daripada penonton," jelasnya.
Selain itu, Fazurina berkata dia akan kembali ke set penggambaran pada bulan hadapan untuk beberapa tawaran berlakon yang diberikan.
Artis Bertudung Bernasib Baik Kerana Fazurina
PETALING JAYA: Pelakon yang kini bergelar penerbit, Fazurina berhasrat membantu pelakon wanita yang bertudung untuk berlakon di bawah syarikat penerbitannya iaitu Tripix Studios Sdn Bhd.
Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir, 30, berkata, hasrat itu timbul apabila melihat banyak produksi yang enggan mengambil pelakon wanita sekiranya mereka bertudung untuk berlakon dalam produksi mereka.
"Saya sendiri sudah bertudung dan merasai tempias produksi tidak berani untuk mengambil pelakon bertudung seperti saya. Bagaimanapun bukan semua yang berbuat demikian.
"Menerusi syarikat produksi ini, saya boleh membantu artis wanita bertudung lain dari segi tawaran berlakon melalui projek-projek yang sedang saya usahakan, Insya-Allah," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Fazurina, syarikat produksi yang baru ditubuhkan sejak awal tahun lalu turut mendapat kerjasama daripada rakan kongsi iaitu Hykal Zulkifli.
Selain itu, Fazurina berkata, dia juga turut mengambil dua adiknya iaitu Mohamad Fauzy Mohd Famir, 24 dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22 untuk menguruskan produksi berkenaan selain beberapa orang kakitangan lain seperti penulis skrip tetap dan pengurus akaun.
"Syarikat ini adalah perniagaan keluarga dan saya mahu dua adik saya yang baru tamat pengajian di universiti mendapat pendedahan dan membantu saya menjayakan produksi ini," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Tripix Studios, Fazurina menjelaskan dia telah lama memasang hasrat untuk bergelar penerbit dan memiliki syarikat produksi sendiri dan bersyukur impian itu tercapai.
Fazurina berkata, sejak kemunculannya sebagai seorang pelakon kira-kira sembilan tahun lalu, dia telah mengutip pelbagai ilmu daripada pengarah yang pernah bekerjasama dengannya sebagai persediaan.
"Alhamdulillahlah penantian selama sembilan tahun itu boleh dikira berbaloi kerana sepanjang tempoh tersebut banyak perkara yang telah saya belajar mengenai bidang penerbitan drama.
"Kini tiba masanya untuk saya praktikal dan berasa lebih yakin untuk bergerak sendiri dalam merancakkan lagi industri seni di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Fazurina berkata, syarikat produksinya itu bakal muncul dengan projek pertama iaitu sebuah drama bersiri berjudul Hana untuk siaran RTM.
Katanya, drama yang mendapat sentuhan pengarah Zulkifli M. Osman itu bakal membariskan pelakon seperti Syed Ali, Tunku Anis, Yuswaizar, Liza Abdullah, Afida Es yang akan memulakan penggambaran di Alor Setar, Kedah pada hujung bulan ini.
"Saya sangat mengagumi kredibiliti Zulkifli sebagai seorang pengarah dalam merealisasikan skrip yang berat kepada sebuah drama.
"Sudah tentu saya teruja dengan projek pertama ini dan berharap ia akan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Sementara itu, Fazurina memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran musim terbaru drama Trilogi Cinta untuk RTM sebanyak 40 episod yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Selain itu, filem Baik Giler gandingannya bersama Zizan Razak dan Awie bakal menjengah pawagam pada 28 Jun manakala filem Hantu Bukit Cina bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.
Fazurina Tidak Dipaksa Untuk Bertudung
Siti Fazurina pegang tujuan asal

"Saya menyertai dunia lakonan kerana bakat dan minat, bukan tujuan lain misalnya ingin mencari dan mendampingi lelaki kaya serta ternama. Namun, jika Allah SWT pertemukan saya dengan lelaki macam itu, ia adalah kehendak Yang Maha Esa, tetapi untuk mencarinya sendiri tidak sesekali. Saya masih berpijak di bumi nyata dan berpegang kepada tujuan asal memilih untuk menjadi anak seni.
"Habis kerja, balik rumah. Berhibur di pusat hiburan seperti kelab dan sebagainya tidak sesuai dengan jiwa saya. Bagi saya berlakon sama saja dengan kerjaya yang lain. Selesai segala urusan di luar, saya teruskan hidup seperti orang biasa dan tidak pernah menganggap diri ini selebriti.
"Tambahan sekarang selepas ayah meninggal dunia, emak tinggal bersama saya di Kota Damansara. Jadi saya tidak bersendirian mencari rezeki di sini, ada emak di sisi untuk berkongsi cerita suka dan duka.
"Pun begitu, saya suka berkawan tanpa melihat kepada kedudukan atau darjat mereka. Saya layan semua orang sama saja. Saya yakin dengan pilihan kerja ini kerana ajal, maut dan rezeki kita di muka bumi ini Allah yang tentukan. Lantas saya perlu memikul amanah ini sebaik mungkin tanpa menjejaskan nama baik keluarga, bangsa dan agama, " katanya.
Melihat gelagat pelakon baru hari ni, Nina berharap mereka tahu apa tujuan berkecimpung dalam arena seni.
"Bukan sekadar ikutan, mencari glamor atau ingin memancing lelaki kaya. Bekerjalah dengan ikhlas tanpa ada udang di sebalik batu," katanya.
Menyentuh perancang masa depan, tanpa berselindung, Nina menjelaskan hatinya kini sudah dimiliki, tetapi belum bersedia mendedahkan identiti insan bertuah itu.
"Dia orang biasa. Lebih senang begitu dan cukuplah saya seorang aktif dalam dunia seni, tetapi buat masa ini biarlah saya rahsiakan dulu siapa dia. Selagi janji belum terpateri, saya tidak suka menghebohkannya. Kalau hubungan itu tidak menjadi seperti dihajati, saya juga yang malu nanti. Insya-Alllah perkara yang baik itu akan saya kongsi bersama rakan media yang banyak membantu kejayaan dalam dunia seni.
"Melihat rakan baik saya, Seha, Lydia Ibtisam, Diana Rafar dan Zila Bakarin yang sudah berkahwin, saya pun teringin juga hendak berteman. Lagipun pada usia sekarang, sudah sesuai rasanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Dulu, ketika mereka semua masih bujang kami selalu keluar bersama.
"Tetapi selepas masing- masing berumah tangga, saya terpaksa menunggu mereka mengajak saya keluar. Jarang sekali saya yang mengajak mereka keluar kerana tidak mahu mengganggu urusan rumah tangga mereka dan saya pun sibuk dengan penggambaran drama. Namun begitu, hubungan kami masih semesra dulu, apatah lagi apabila sesekali berjumpa banyak perkara yang kami bualkan.
"Apabila melihatkan kebahagiaan rumah tangga mereka, saya juga berdoa rumah tangga saya nanti berbahagia sehingga ke akhir hayat. Jika tiada halangan , mungkin penantian itu akan berakhir dalam masa setahun lagi," katanya dengan wajah berseri.
Dalam perkembangan lain, di samping berlakon, Nina juga sibuk mengacarakan program Sarapan Apa untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang penggambaran dilakukan di Sabah dan Sarawak serta bakal menjelajah seluruh negara Asean.
"Meskipun ada masa tawaran berlakon dan mengacara datang serentak, saya lebih suka menumpukan satu kerja pada satu masa. Kalau tidak, berserabut kepala dan kualiti kerja pun entah ke mana," katanya yang akan terus berlakon meskipun apabila bergelar isteri nanti.
Sebagai jaminan masa depan dia bercadang membuka perniagaan berkaitan dunia penerbitan drama dan filem.
Nina ditemui pada pelancaran tiga drama serentak mengisi tiga slot di TV3, Kelab Jeng Jeng, Cinta Balqis dan Nenek Kebaya yang diadakan di Cathay, Cineleisure, Damansara, kelmarin.
Dia membintangi Kelab Jeng Jeng memegang peranan sebagai Balkish. Barisan pelakon lain, Fadilah Mansor (Milah), Didie Alias (Normah), Norseha (Roza), Zila Bakarin (Liana), Zaryn Min (Liza), Fadhi Dani (Hakimi) dan Sabri Yunus (Hamidon).
Drama komedi bersiri itu bertemakan kekeluargaan dan kemasyarakatan serta turut mengupas pelbagai isu menggabungkan dengan persoalan keluarga, masyarakat, tanggungjawab dan cinta.
Kata Nina, Kelab Jeng Jeng mengajak wanita berdikari dan berikhtiar mencari sumber kewangan sendiri demi mengejar impian. Drama komedi ini memaparkan keinginan wanita yang ingin kelihatan cantik dan bergaya,
Untuk memenuhi segala keinginan itu, mereka memerlukan pakaian, aksesori, beg, kasut dan sebagainya untuk dipadankan pada diri mereka. Bertitik-tolak dari keinginan itu, Balkish, Jamilah, Normah dan Roza menubuhkan kelab yang dinamakan Kelab Jeng Jeng. Ia ditubuhkan sebagai pemangkin dalam usaha untuk mengumpul wang bagi membolehkan mereka membeli-belah di luar negara.
Bagaimanapun, dalam usaha mengumpul wang, mereka berhadapan pelbagai masalah terutama masalah yang datangnya dari suami, anak dan rakan. Lalu berjayakah mereka semua untuk pergi membeli-belah di Shenzen, China. Drama komedi 13 episod itu mula disiarkan hari ini (22 Oktober), jam 11 pagi di TV3.
NAMA PENUH: Siti Fazurina Mohd Famir
PANGGILAN: Nina
USIA: 27 tahun
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1982
ASAL: Sungai Petani, Kedah
TINGGI: 5 kaki 5 inci
BERAT: 52 kg
KELUARGA: Anak kedua dari lima beradik
KERJAYA: Pelakon
KELULUSAN: Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Kolej Shahputra, Kuantan, Pahang
FILEM: Senario XX dan Estet
DRAMA: Puteri, Dunia Anita, Pusara Ku Pelamin Ayah, Ingin Terbang Jauh, Biarlah Rahsia, Cinta Rahsia, Rebab Tidak Bertali dan Kelab Jeng Jeng
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
