
"Saya menyertai dunia lakonan kerana bakat dan minat, bukan tujuan lain misalnya ingin mencari dan mendampingi lelaki kaya serta ternama. Namun, jika Allah SWT pertemukan saya dengan lelaki macam itu, ia adalah kehendak Yang Maha Esa, tetapi untuk mencarinya sendiri tidak sesekali. Saya masih berpijak di bumi nyata dan berpegang kepada tujuan asal memilih untuk menjadi anak seni.
"Habis kerja, balik rumah. Berhibur di pusat hiburan seperti kelab dan sebagainya tidak sesuai dengan jiwa saya. Bagi saya berlakon sama saja dengan kerjaya yang lain. Selesai segala urusan di luar, saya teruskan hidup seperti orang biasa dan tidak pernah menganggap diri ini selebriti.
"Tambahan sekarang selepas ayah meninggal dunia, emak tinggal bersama saya di Kota Damansara. Jadi saya tidak bersendirian mencari rezeki di sini, ada emak di sisi untuk berkongsi cerita suka dan duka.
"Pun begitu, saya suka berkawan tanpa melihat kepada kedudukan atau darjat mereka. Saya layan semua orang sama saja. Saya yakin dengan pilihan kerja ini kerana ajal, maut dan rezeki kita di muka bumi ini Allah yang tentukan. Lantas saya perlu memikul amanah ini sebaik mungkin tanpa menjejaskan nama baik keluarga, bangsa dan agama, " katanya.
Melihat gelagat pelakon baru hari ni, Nina berharap mereka tahu apa tujuan berkecimpung dalam arena seni.
"Bukan sekadar ikutan, mencari glamor atau ingin memancing lelaki kaya. Bekerjalah dengan ikhlas tanpa ada udang di sebalik batu," katanya.
Menyentuh perancang masa depan, tanpa berselindung, Nina menjelaskan hatinya kini sudah dimiliki, tetapi belum bersedia mendedahkan identiti insan bertuah itu.
"Dia orang biasa. Lebih senang begitu dan cukuplah saya seorang aktif dalam dunia seni, tetapi buat masa ini biarlah saya rahsiakan dulu siapa dia. Selagi janji belum terpateri, saya tidak suka menghebohkannya. Kalau hubungan itu tidak menjadi seperti dihajati, saya juga yang malu nanti. Insya-Alllah perkara yang baik itu akan saya kongsi bersama rakan media yang banyak membantu kejayaan dalam dunia seni.
"Melihat rakan baik saya, Seha, Lydia Ibtisam, Diana Rafar dan Zila Bakarin yang sudah berkahwin, saya pun teringin juga hendak berteman. Lagipun pada usia sekarang, sudah sesuai rasanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Dulu, ketika mereka semua masih bujang kami selalu keluar bersama.
"Tetapi selepas masing- masing berumah tangga, saya terpaksa menunggu mereka mengajak saya keluar. Jarang sekali saya yang mengajak mereka keluar kerana tidak mahu mengganggu urusan rumah tangga mereka dan saya pun sibuk dengan penggambaran drama. Namun begitu, hubungan kami masih semesra dulu, apatah lagi apabila sesekali berjumpa banyak perkara yang kami bualkan.
"Apabila melihatkan kebahagiaan rumah tangga mereka, saya juga berdoa rumah tangga saya nanti berbahagia sehingga ke akhir hayat. Jika tiada halangan , mungkin penantian itu akan berakhir dalam masa setahun lagi," katanya dengan wajah berseri.
Dalam perkembangan lain, di samping berlakon, Nina juga sibuk mengacarakan program Sarapan Apa untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang penggambaran dilakukan di Sabah dan Sarawak serta bakal menjelajah seluruh negara Asean.
"Meskipun ada masa tawaran berlakon dan mengacara datang serentak, saya lebih suka menumpukan satu kerja pada satu masa. Kalau tidak, berserabut kepala dan kualiti kerja pun entah ke mana," katanya yang akan terus berlakon meskipun apabila bergelar isteri nanti.
Sebagai jaminan masa depan dia bercadang membuka perniagaan berkaitan dunia penerbitan drama dan filem.
Nina ditemui pada pelancaran tiga drama serentak mengisi tiga slot di TV3, Kelab Jeng Jeng, Cinta Balqis dan Nenek Kebaya yang diadakan di Cathay, Cineleisure, Damansara, kelmarin.
Dia membintangi Kelab Jeng Jeng memegang peranan sebagai Balkish. Barisan pelakon lain, Fadilah Mansor (Milah), Didie Alias (Normah), Norseha (Roza), Zila Bakarin (Liana), Zaryn Min (Liza), Fadhi Dani (Hakimi) dan Sabri Yunus (Hamidon).
Drama komedi bersiri itu bertemakan kekeluargaan dan kemasyarakatan serta turut mengupas pelbagai isu menggabungkan dengan persoalan keluarga, masyarakat, tanggungjawab dan cinta.
Kata Nina, Kelab Jeng Jeng mengajak wanita berdikari dan berikhtiar mencari sumber kewangan sendiri demi mengejar impian. Drama komedi ini memaparkan keinginan wanita yang ingin kelihatan cantik dan bergaya,
Untuk memenuhi segala keinginan itu, mereka memerlukan pakaian, aksesori, beg, kasut dan sebagainya untuk dipadankan pada diri mereka. Bertitik-tolak dari keinginan itu, Balkish, Jamilah, Normah dan Roza menubuhkan kelab yang dinamakan Kelab Jeng Jeng. Ia ditubuhkan sebagai pemangkin dalam usaha untuk mengumpul wang bagi membolehkan mereka membeli-belah di luar negara.
Bagaimanapun, dalam usaha mengumpul wang, mereka berhadapan pelbagai masalah terutama masalah yang datangnya dari suami, anak dan rakan. Lalu berjayakah mereka semua untuk pergi membeli-belah di Shenzen, China. Drama komedi 13 episod itu mula disiarkan hari ini (22 Oktober), jam 11 pagi di TV3.
NAMA PENUH: Siti Fazurina Mohd Famir
PANGGILAN: Nina
USIA: 27 tahun
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1982
ASAL: Sungai Petani, Kedah
TINGGI: 5 kaki 5 inci
BERAT: 52 kg
KELUARGA: Anak kedua dari lima beradik
KERJAYA: Pelakon
KELULUSAN: Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Kolej Shahputra, Kuantan, Pahang
FILEM: Senario XX dan Estet
DRAMA: Puteri, Dunia Anita, Pusara Ku Pelamin Ayah, Ingin Terbang Jauh, Biarlah Rahsia, Cinta Rahsia, Rebab Tidak Bertali dan Kelab Jeng Jeng