Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Wani Wendy Wong Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Wani Wendy Wong Abdullah. Show all posts
Wendy Wong tidak tukar e-mel
KEJADIAN e-mel milik seseorang individu yang diceroboh oleh pihak-pihak tertentu dan kemudiannya digunakan untuk tujuan menipu orang ramai bukan satu perkara yang asing sekarang.
Terbaharu, kejadian tersebut telah menimpa penerbit dan pelakon Wani Wendy Wong Abdullah atau lebih dikenali sebagai Wendy apabila ada pihak yang tidak dikenali telah menggunakan akaun e-melnya untuk meminta sejumlah wang daripada kenalannya.
Wendy yang ditemui ketika sidang akhbar di pejabat Wisma MCA, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia telah mendapat panggilan telefon daripada beberapa orang kenalannya yang mahu menghulurkan bantuan setelah mereka mendapat e-mel daripadanya yang dikatakan sedang terkandas di Sepanyol.
Namun, penerbit program Kisah Benar itu menafikan menghantar e-mel tersebut, sebaliknya dia menegaskan ada individu lain yang melakukannya dengan menggunakan alamat akaun e-mel peribadinya.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Wendy yang turut ditemani Ketua Biro Aduan/Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong pada sidang akhbar tersebut.
Kosmo!: Boleh Wendy ceritakan perkara sebenar yang telah berlaku?
WENDY: Pada 5 Julai lalu saya ada menghantar komputer riba milik saya di sebuah kedai di Mid Valley, Kuala Lumpur untuk dibaiki dan ia siap dalam tempoh dua minggu. Kemudian pada 29 Julai saya mendapat tahu bahawa ada individu lain telah membuka e-mel peribadi saya iaitu wendywong2200@yahoo.com.
Selepas itu saya telah dinasihatkan oleh seorang rakan supaya mengubah segera kata laluan akaun e-mel saya itu, namun tidak berjaya setelah mencubanya selama dua jam.
Bagaimana Wendy dapat tahu akaun e-mel telah diceroboh?
Dua hari selepas itu saya telah dihubungi oleh seorang wartawan yang juga rakan saya dan memberitahu dia mendapat e-mel yang mengatakan saya berada di Sepanyol dan sedang berada dalam masalah setelah kehilangan beg duit dan tiada wang untuk membayar bil hotel.
Sedangkan ketika itu saya masih berada di Malaysia dan tidak berada di luar negara. Selain itu terdapat juga beberapa orang rakan seperti Elaine Kang dan Nancie Foo yang mendapat e-mel yang meminta mereka mengirimkan sejumlah wang kepada saya.
Tidak lama kemudian saya mendapat panggilan daripada ramai rakan-rakan yang lain termasuk di Jakarta dan London, sehinggakan ada yang bersedia mengirimkan wang yang telah diminta.
Apakah tindakan Wendy yang selanjutnya setelah mendapat tahu mengenainya?
Pengirim e-mel itu menyatakan bahawa saya telah terkandas di Sepanyol dan tiada wang untuk membayar bil hotel dan membeli tiket pulang ke Malaysia. Malah saya juga dikatakan telah membuat aduan di pejabat Kedutaan Malaysia di sana, tetapi tidak mendapat layanan yang sewajarnya.
Saya telah berpakat dengan seorang rakan untuk mendapat maklumat lanjut dengan membalas e-mel yang dihantar itu. Kemudian pengirim e-mel itu membalasnya dengan memberikan butiran lanjut dan meminta wang sebanyak 2,850 Euro (RM10,700) dikirimkan ke Madrid, Sepanyol menerusi Western Union.
Wendy sudah membuat laporan kepada pihak polis?
Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur dan akan membuat laporan di pejabat Kedutaan Sepanyol pula agar masalah ini dapat diatasi segera. Pada masa yang sama ingin ditegaskan bahawa e-mel yang dihantar itu bukan daripada saya dan meminta supaya mereka yang mendapat e-mel tersebut agar tidak terpengaruh atau percaya.
Selepas apa yang berlaku, adakah Wendy akan menggunakan akaun e-mel yang sama?
Saya masih lagi akan menggunakan akaun e-mel yang sama memandangkan kini saya sudah berjaya mengubah kata laluannya, namun apa yang agak mengecewakan kesemua e-mel yang saya simpan sudah hilang.
Apa yang saya tahu pengirim e-mel itu telah membuat satu akaun yang baharu dengan menggunakan alamat yang seakan-akan sama iaitu wendywongg2200@yahoo.com dan menggunakannya untuk menghantar e-mel kepada kenalan saya.
Lagipun saya sudah menghantar e-mel peringatan kepada semua kenalan saya supaya mereka mengabaikan sahaja sekiranya mereka mendapat sebarang pesanan yang meminta sejumlah wang dikirimkan kerana saya tidak pernah berbuat demikian.
Penceroboh E-mel Pelakon Wendy Wong Minta Wang RM11,000
PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Wendy Wong terkejut apabila ada pihak menceroboh e-melnya bagi memperdayakan orang ramai untuk menuntut wang berjumlah Euro$2,850 (RM11,000).
Wendy atau nama Islamnya Wani Wendy Wong Abdullah pada Selasa berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ramai kenalan yang mahu menolong selepas mereka menerima e-mel kononnya dia mengalami masalah di Sepanyol.
“Pagi ini (Selasa) saya dihujani berpuluh-puluh panggilan telefon daripada kenalan saya selepas mereka menerima e-mel kononnya saya memerlukan bantuan apabila dompet dan kad kredit saya tercicir di Sepanyol.
“Sebenarnya, itu adalah helah individu yang berjaya menceroboh akaun e-mel saya untuk memperdayakan orang ramai. Saya berada di Malaysia dan tidak ke luar negara seperti yang dicatat dalam e-mel berkenaan,” katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.
mStar Online yang turut menerima e-mel itu yang menggunakan alamat wendywong2200@yahoo.com mendapati, penggodam akaun tersebut telah mengirim pesanan dengan mengatakan Wendy memerlukan wang bagi membayar bil hotel serta tambang untuk pulang ke tanah air.
Wendy dikatakan menghadapi masalah ketika mengikuti satu program di Sepanyol apabila dompet yang mengandungi wang dan kad kreditnya telah tercicir menyebabkan pasportnya ditahan oleh pihak hotel kerana gagal membuat pembayaran.
Malah mesej dalam e-mel palsu itu turut menyatakan pihak kedutaan Malaysia di Sepanyol tidak dapat mengendalikan kes berkenaan dengan efisien sehinggalah dia memerlukan bantuan rakan-rakan bagi meminjamkannya wang.
Bercerita mengenai hal berkenaan Wendy berkata, kira-kira dua minggu lalu dia telah menghantar komputer ribanya ke sebuah pusat servis di Mid Valley dekat sini.
Katanya, pemilik kedai berkenaan memberitahu komputer tersebut harus diformatkan semula yang antara lain akan menyebabkan data yang disimpan musnah.
“Saya bersetuju untuk format semula dan tinggalkan komputer saya itu selama dua minggu. Apabila saya mahu menuntutnya, saya membawa data yang saya simpan menerusi “external hard disc” untuk dimasukkan dalam komputer itu,” katanya.
Menurut Wendy, sebaik pulang ke rumah dan mahu menggunakan komputer berkenaan, dia mendapati akaun e-mel Yahoo miliknya tidak dapat digunakan apabila kata laluan sudah bertukar.
Berikutan itu Wendy akan membuat laporan polis dan berhasrat mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab menggunakan namanya bagi memperdayakan orang lain.
Pelakon ini juga meminta orang ramai dan mana-mana pihak yang mendapat e-mel berkenaan agar tidak terpedaya kerana ia merupakan taktik pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai seorang artis.
“Saya malu jika orang percaya saya mahu meminta wang. Saya harap semua pihak tidak terpedaya selepas penjelasan saya ini,” ujarnya.
Budaya Melayu pikat Wendy peluk Islam
Dia pernah bercinta dengan seorang jejaka Cina selama 11 tahun sebelum memeluk agama Islam tujuh tahun kemudiannya.
Namun, jika belum jodoh ikatan selama itu pun belum mampu menyatukan mereka di bawah gerbang perkahwinan. Selebriti berusia 48 tahun itu akur dengan ketentuan Allah dalam merencanakan perjalanan hidupnya selama ini.
Wendy bukan sahaja tidak menduga akan memeluk Islam suatu masa nanti, malah dia turut dijodohkan dengan seorang jejaka Melayu. Tanggal 23 Januari 2009, dia sah dinikahkan dengan pasangannya, Yacob Chik.
Menurut anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu jodohnya sampai selepas tujuh tahun dia putus cinta dengan kekasih lamanya itu. Semua itu ujar Wendy, di luar jangkauan pemikiran dan perancangannya yang sering tersasar.
Bagaimanapun, jelas Wendy dia tidak menafikan minatnya terhadap gaya hidup orang Melayu yang sederhana dan penuh dengan sopan santun banyak menjentik sudut hatinya.
Lantaran itu, dia yang pernah berlakon dalam filem berjudul Bara pada tahun 1999 bersama Awie dan Nasha Aziz berkata, minat itu sedikit demi sedikit menyebabkannya cuba mendekati agama Islam dan budaya Melayu secara lebih mendalam lagi.
"Sewaktu zaman kanak-kanak dulu, saya bukan sahaja tidak fasih berbahasa Melayu, malah pengetahuan tentang agama Islam juga sangat cetek sehinggalah pada awal tahun 1990-an apabila saya terbabit dalam bidang lakonan drama TV.
"Ketika itu, saya banyak berkawan dengan ramai pelakon Melayu. Antaranya N.D. Lala dan Connie Ahmad. Mereka inilah yang sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada saya tentang agama Islam.
"Penulis lirik, Kak Chah (Habsah Hassan) juga banyak mengajar serta memberi dorongan kepada saya supaya memeluk agama Islam," ungkapnya yang merupakan penerbit dalam syarikat produksi miliknya, Produksi Seni 2020 Sdn. Bhd.
Minat yang mendalam terhadap budaya masyarakat Melayu semakin menebal dalam jiwanya sebelum dia memeluk agama Islam dan sekali gus mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang kini berusia 60 tahun.
Tambah Wendy, sikapnya yang begitu menyanjungi budaya Melayu itu dapat dilihat terutama sewaktu ketibaan Hari Raya Aidilfitri di mana dia tidak mahu ketinggalan menyambutnya dengan rakan-rakan Melayunya.
"Saya tertarik dengan banyak budaya Melayu. Contohnya, budaya anak-anak kecil yang mencium tangan ibu bapa atau orang yang lebih tua daripada mereka.
"Hati saya mudah tersentuh apabila melihat keadaan ini di mana tidak semua budaya ada adap seperti itu. Malah, sebelum memeluk Islam lagi, saya sudah cuba belajar berpuasa walaupun pada mulanya selama setengah hari sahaja.
"Saya juga sudah merayakan Hari Raya Aidilfitri sebelum memeluk Islam. Pada ketika itu, saya biasanya akan beraya dengan memakai baju kurung.
"Setiap kali raya, saya mesti menempah sekurang-kurangnya empat pasang baju kurung. Sekarang ini, saya ada empat almari baju kurung yang saya tempah atau beli sejak dulu sampai sekarang.
"Semua itu sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk memeluk agama Islam," ujarnya yang masih belum dikurniakan cahaya mata daripada perkahwinannya itu.
Anak kelima daripada 10 beradik ini bagaimanapun berkata, dia memeluk Islam bukan semata-mata atas niat untuk berkahwin, sebaliknya ia lahir daripada lubuk hatinya yang mengakui kesyumulan agama itu sendiri.
"Saya memeluk agama Islam atas kerelaan hati dan atas dasar kefahaman saya tentang agama Islam.
"Sebelum ini, sewaktu saya belum bersedia memeluk Islam, ada juga kawan Melayu yang suruh saya terus masuk Islam.
"Saya kata, saya tidak suka lakukannya secara terburu-buru.
"Saya perlukan masa dan apabila sudah sedia maka barulah saya memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu," akuinya.
Pengalaman 'indah' Wendy di Eropah

MENETAP selama tiga bulan di Eropah dalam siri penggambaran program terbarunya, Wendy Wong atau kini dikenali sebagai Wani Wendy Wong Abdullah punyai pelbagai pengalaman untuk tatapan penonton.
Bakal disiarkan di TV2 mulaI 2 Mei ini, program pengembaraan berjudul My Travel Sight benar-benar menguji semangat dan kesabaran Wendy demi memaparkan yang terbaik di kaca televisyen.
Melintasi sempadan beberapa negara Eropah Timur seperti Romania, Sepanyol, Ireland, Austria, Republik Czech, Poland, Russia, Sweden dan Crotia, My Travel Sight membawa penonton menyelami budaya, sejarah dan kesenian negara-negara berkenaan.
Namun, apa yang lebih penting, ia turut menyelitkan pengalaman Wendy sendiri yang berhadapan dengan pelbagai kejadian sepanjang berada di bumi Eropah.
Kehilangan bagasi yang memuatkan pakaiannya, kejadian ditipu untuk mendapatkan visa, tertinggal keretapi dan gigi patah, semuanya dirangkum dalam program yang bersiaran untuk 13 episod itu.
Diterbitkan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn. Bhd., Wendy tidak lupa 'mendidik' penonton dalam menyelesaikan masalah berkenaan terutama andai mereka kehilangan bagasi.
Apa yang perlu dilakukan, seperkara penting bagi Wendy, mengambil sikap bersabar dan tenang mampu membuatkan sesiapa sahaja mudah untuk berhadapan dengan cabaran seperti itu.
"Saya kehilangan bagasi setiba di Austria. Mula-mula memang panik. Bukan sahaja baju, alat mekap saya semua ada di dalamnya.
"Sebetulnya kita punyai ruang untuk mengadu permasalahan itu kepada pihak syarikat penerbangan.
"Sebelum memperoleh semula bagasi, saya terpaksa membeli baju-baju yang murah,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran My Travel Sight di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh, Nancie Foo serta wakil kedutaan negara-negara Eropah Timur yang membantu dalam melancarkan perjalanan penggambaran program tersebut.
My Travel Sight akan bersiaran setiap Ahad, pukul 11.30 pagi dan disediakan dalam bahasa Inggeris selama 30 minit.
Menceritakan beberapa lagi pengalamannya, Wendy tidak lupa akan kisah gigi hadapannya yang patah tatkala penggambaran dilakukan di Austria.
Terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membuat gigi palsu bernilai RM17,000, ia perlu dilakukan segera memandangkan dirinya adalah hos dalam program terbabit.
"Saya pun tidak tahu bagaimana gigi saya boleh patah. Ia berlaku secara tiba-tiba.
"Hendak atau tidak, saya terpaksa menempah gigi palsu kekal di Austria dengan duit perbelanjaan sendiri,'' jelasnya sambil tergelak besar mengenangkan peristiwa itu.
Kejadian ditipu untuk mendapatkan visa juga menjadi antara lipatan kenangan yang sukar dilupakan Wendy.
Duit untuk mendapatkan visa sudah dibayar tetapi tatkala hendak memasuki Bosnia dari Romania, konflik mengenai permohonan visa menjadi satu detik yang cukup memberikannya tekanan.
"Perjalanan dari Romania ke Bosnia cuma memakan masa empat jam sahaja dengan menaiki van.
"Disebabkan masalah tersebut, saya dan tujuh lagi krew terpaksa menaiki keretapi ke Crotia selama lebih 10 jam untuk memasuki Bosnia.
"Bosnia memiliki bangunan bersejarah yang cukup indah dan ia sedikit sebanyak membuatkan kami melupakan segala masalah yang dialami,'' ujarnya.
Empat kerja dalam satu masa
Ditanya mengenai tugasannya sepanjang berada di Eropah Timur, Wendy memberitahu bahawa selain hos, dia turut memegang peranan selaku penulis skrip, pengarah dan penerbit.
Sebagai hos, katanya, semua perlu dilakukan dengan pantas kerana dia tidak mempunyai pengalaman mengembara ke Eropah Timur sebelum ini.
"Banyak penggambaran di lokasi-lokasi menarik yang telah diaturkan oleh pihak kedutaan negara-negara berkenaan dilakukan secara saat-saat akhir.
"Oleh sebab itu, saya tidak punyai masa untuk mengaturkan apa yang sepatutnya dilakukan terutama melibatkan jurukamera.
"Untuk siapkan skrip pun kena pantas dengan maklumat yang didapati secara segera. Nasib baik semua krew sudah biasa bekerja dalam keadaan pantas dan tekanan,'' jelasnya.
Antara lokasi-lokasi menarik yang sempat dirakamkan oleh Wendy adalah Auschwitch Death Camp di Poland; Wolfgang Amadeus Mozart (Vienna, Austria); Moser's Glass Factory (Republik Czech) dan National Theater di Zagreb, Crotia.
Lokasi berkenaan merupakan lokasi yang sebelum ini dilarang oleh pihak bertanggungjawab untuk mana-mana syarikat penerbitan menjalankan penggambaran di kawasan berkenaan.
Tetapi, atas 'campur tangan' pihak kedutaan negara-negara terbabit di Malaysia, semua kerja-kerja produksi dan Wendy berjalan dengan baik.
Kata Wendy, musim pertama My Travel Sight yang disiarkan dua tahunlalu memaparkan mengenai Eropah Barat dan telah mencatat rating yang tinggi. Dari kejayaan itulah mereka menerbitkan untuk musim kedua.
Serasi dengan Nancie
Dalam pada itu, Wendy yang ditanya mengenai keserasiannya bersama Nancie berkata, antaranya dan Nancie sudah memulakan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh sejak 1992 lagi.
Dan, daripada situ sehingga kini, hubungan rapatnya dengan Nancie telah terjalin lama sehingga mereka berdua tahu akan soal peribadi serta emosi masing-masing.
"Kami tidak pernah berhadapan dengan masalah besar. Saya tahu karakter dia dan begitu juga dengan Nancie.
"Dalam syarikat, saya lebih banyak bertanggungjawab dalam soal kewangan manakala Nancie pula menjaga tentang pentadbiran,'' tambahnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
