Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pengalaman 'indah' Wendy di Eropah


MENETAP selama tiga bulan di Eropah dalam siri penggambaran program terbarunya, Wendy Wong atau kini dikenali sebagai Wani Wendy Wong Abdullah punyai pelbagai pengalaman untuk tatapan penonton.

Bakal disiarkan di TV2 mulaI 2 Mei ini, program pengembaraan berjudul My Travel Sight benar-benar menguji semangat dan kesabaran Wendy demi memaparkan yang terbaik di kaca televisyen.

Melintasi sempadan beberapa negara Eropah Timur seperti Romania, Sepanyol, Ireland, Austria, Republik Czech, Poland, Russia, Sweden dan Crotia, My Travel Sight membawa penonton menyelami budaya, sejarah dan kesenian negara-negara berkenaan.

Namun, apa yang lebih penting, ia turut menyelitkan pengalaman Wendy sendiri yang berhadapan dengan pelbagai kejadian sepanjang berada di bumi Eropah.

Kehilangan bagasi yang memuatkan pakaiannya, kejadian ditipu untuk mendapatkan visa, tertinggal keretapi dan gigi patah, semuanya dirangkum dalam program yang bersiaran untuk 13 episod itu.

Diterbitkan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn. Bhd., Wendy tidak lupa 'mendidik' penonton dalam menyelesaikan masalah berkenaan terutama andai mereka kehilangan bagasi.

Apa yang perlu dilakukan, seperkara penting bagi Wendy, mengambil sikap bersabar dan tenang mampu membuatkan sesiapa sahaja mudah untuk berhadapan dengan cabaran seperti itu.

"Saya kehilangan bagasi setiba di Austria. Mula-mula memang panik. Bukan sahaja baju, alat mekap saya semua ada di dalamnya.

"Sebetulnya kita punyai ruang untuk mengadu permasalahan itu kepada pihak syarikat penerbangan.

"Sebelum memperoleh semula bagasi, saya terpaksa membeli baju-baju yang murah,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran My Travel Sight di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh, Nancie Foo serta wakil kedutaan negara-negara Eropah Timur yang membantu dalam melancarkan perjalanan penggambaran program tersebut.

My Travel Sight akan bersiaran setiap Ahad, pukul 11.30 pagi dan disediakan dalam bahasa Inggeris selama 30 minit.

Menceritakan beberapa lagi pengalamannya, Wendy tidak lupa akan kisah gigi hadapannya yang patah tatkala penggambaran dilakukan di Austria.

Terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membuat gigi palsu bernilai RM17,000, ia perlu dilakukan segera memandangkan dirinya adalah hos dalam program terbabit.

"Saya pun tidak tahu bagaimana gigi saya boleh patah. Ia berlaku secara tiba-tiba.

"Hendak atau tidak, saya terpaksa menempah gigi palsu kekal di Austria dengan duit perbelanjaan sendiri,'' jelasnya sambil tergelak besar mengenangkan peristiwa itu.

Kejadian ditipu untuk mendapatkan visa juga menjadi antara lipatan kenangan yang sukar dilupakan Wendy.

Duit untuk mendapatkan visa sudah dibayar tetapi tatkala hendak memasuki Bosnia dari Romania, konflik mengenai permohonan visa menjadi satu detik yang cukup memberikannya tekanan.

"Perjalanan dari Romania ke Bosnia cuma memakan masa empat jam sahaja dengan menaiki van.

"Disebabkan masalah tersebut, saya dan tujuh lagi krew terpaksa menaiki keretapi ke Crotia selama lebih 10 jam untuk memasuki Bosnia.

"Bosnia memiliki bangunan bersejarah yang cukup indah dan ia sedikit sebanyak membuatkan kami melupakan segala masalah yang dialami,'' ujarnya.

Empat kerja dalam satu masa

Ditanya mengenai tugasannya sepanjang berada di Eropah Timur, Wendy memberitahu bahawa selain hos, dia turut memegang peranan selaku penulis skrip, pengarah dan penerbit.

Sebagai hos, katanya, semua perlu dilakukan dengan pantas kerana dia tidak mempunyai pengalaman mengembara ke Eropah Timur sebelum ini.

"Banyak penggambaran di lokasi-lokasi menarik yang telah diaturkan oleh pihak kedutaan negara-negara berkenaan dilakukan secara saat-saat akhir.

"Oleh sebab itu, saya tidak punyai masa untuk mengaturkan apa yang sepatutnya dilakukan terutama melibatkan jurukamera.

"Untuk siapkan skrip pun kena pantas dengan maklumat yang didapati secara segera. Nasib baik semua krew sudah biasa bekerja dalam keadaan pantas dan tekanan,'' jelasnya.

Antara lokasi-lokasi menarik yang sempat dirakamkan oleh Wendy adalah Auschwitch Death Camp di Poland; Wolfgang Amadeus Mozart (Vienna, Austria); Moser's Glass Factory (Republik Czech) dan National Theater di Zagreb, Crotia.

Lokasi berkenaan merupakan lokasi yang sebelum ini dilarang oleh pihak bertanggungjawab untuk mana-mana syarikat penerbitan menjalankan penggambaran di kawasan berkenaan.

Tetapi, atas 'campur tangan' pihak kedutaan negara-negara terbabit di Malaysia, semua kerja-kerja produksi dan Wendy berjalan dengan baik.

Kata Wendy, musim pertama My Travel Sight yang disiarkan dua tahunlalu memaparkan mengenai Eropah Barat dan telah mencatat rating yang tinggi. Dari kejayaan itulah mereka menerbitkan untuk musim kedua.

Serasi dengan Nancie

Dalam pada itu, Wendy yang ditanya mengenai keserasiannya bersama Nancie berkata, antaranya dan Nancie sudah memulakan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh sejak 1992 lagi.

Dan, daripada situ sehingga kini, hubungan rapatnya dengan Nancie telah terjalin lama sehingga mereka berdua tahu akan soal peribadi serta emosi masing-masing.

"Kami tidak pernah berhadapan dengan masalah besar. Saya tahu karakter dia dan begitu juga dengan Nancie.

"Dalam syarikat, saya lebih banyak bertanggungjawab dalam soal kewangan manakala Nancie pula menjaga tentang pentadbiran,'' tambahnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails