Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Wilma Muhammad. Show all posts
Showing posts with label Wilma Muhammad. Show all posts

Ada Sebab Wilma Muhammad Rahsiakan Perkahwinan Baru

KUALA LUMPUR: Pelakon Wilma Muhammad yang berkahwin buat kali kedua pada Jun lalu berkata dia mempunyai sebab untuk merahsiakan perkara itu daripada khalayak umum. Wilma yang kematian suami Mahir Effendi pada awal 2011 berkata, keputusan untuk tidak menghebohkan perkahwinan itu dilakukan demi menghormati privasi suami baru dan ahli keluarganya. "Bukan saya berniat untuk merahsiakan perkahwinan buat kali kedua yang berlangsung pada 16 Jun lalu. "Keputusan itu dilakukan demi menghormati prinsip dan privasi suami baru dan keluarga. Majlis (perkahwinan) pun diadakan secara kecil-kecilan sahaja," katanya. Wilma berkata demikian ketika ditemui mStar Online pada majlis pelancaran Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail di Hotel Royale Chulan di sini, malam Sabtu lalu.
Bekas suami aktres filem Ghazal Untuk Rabiah itu meninggal dunia di kediaman mereka di Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini pada 27 Januari 2011 akibat serangan jantung. Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan lima anak iaitu Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhammad Yusuf, 4, dan Umar Al Faruq, 3. Bercerita mengenai perkahwinan itu, Wilma berkata, dia mengenali ahli perniagaan yang dikenali sebagai 'M', 47, itu pada tahun lalu. "Saya mengenali dia menerusi kawan ketika bekerja sebagai setiausaha di syarikat perlombongan emas pada tahun lalu. "Kebetulan pula bekas ibu mertua juga pernah mengenali suami baru ini kira-kira empat atau lima tahun lalu atas urusan perniagaan. "Dia seorang lelaki yang terbuka dan lebih selesa untuk tidak menonjolkan identiti dirinya," akuinya. Katanya, keputusan untuk berkahwin semula timbul apabila dia memikirkan masa depan anak-anaknya yang bakal membesar tanpa bapa. "Sebenarnya, saya tidak mahu (berkahwin) tetapi selepas memikirkan keadaan masa depan lima anak saya yang akan membesar tanpa seorang ayah, saya terbuka hati untuk berkahwin semula. "Lagi pun, bekas ibu mertua juga selalu pesan agar saya tidak menutup pintu hati jika ada lelaki yang mahu mengahwini saya," luahnya yang tidak menolak jika dikurniakan zuriat dengan suami baru itu.

Wilma mahu tunai haji


BAGI mereka yang pernah mengikuti perkembangan aktres yang seorang ini, pastinya ramai yang sedar akan penampilannya sewaktu zaman kegemilangannya sekitar lewat tahun 90-an.

Berbekalkan wajah yang cukup manis dipandang selain bakat lakonan tersendiri, Wilma Muhammad sememangnya dikenali sebagai salah seorang artis wanita yang terkenal dengan imej seksi.

Namun itu semua cerita lama yang kini sudah menjadi lipatan sejarah buat Wilma. Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga pada 18 November 2000, Wilma mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni tatkala namanya di puncak populariti.

Bukan itu sahaja, Wilma telah mengejutkan peminat dunia hiburan apabila mengubah imejnya dengan bertudung yang menyerlahkan lagi keanggunan Wilma sebagai seorang muslimah.

Kata Wilma, keputusan yang dilakukannya ketika itu merupakan naluri yang hadir dengan sendirinya tanpa adanya paksaan daripada mana-mana pihak waima arwah suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud.

“Saya lakukannya dengan ikhlas. Jauh sekali untuk menjadikan imej bertudung sebagai fesyen. Semuanya lahir daripada hati ikhlas saya.

“Bagi saya, kalau hendak bertudung, ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Benar, arwah suami saya tidak pernah memaksa saya atau mengenakan syarat untuk saya bertudung ketika di awal perkahwinan kami.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini di samping lima orang anak saya walaupun arwah suami saya sudah tiada lagi,” cerita Wilma tenang ketika dihubungi S3, baru-baru ini.

Tanggal 27 Januari ini, anak kelahiran Sabah yang mula dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah di samping Jamal Abdillah pada tahun 1997 ini genap setahun bergelar balu.

Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

Menyambung bicara, di awal pemergian suaminya, Wilma mengakui dia begitu sedih dan tidak mampu untuk mengharungi kehidupan seorang diri.

Namun, berbekalkan semangat daripada keluarga tercinta, perlahan-lahan Wilma bangkit dan mengumpul kekuatan untuk meneruskan hidupnya bersama anak-anak.

“Saya banyak mendekatkan diri saya dengan membaca al-Quran dan buku-buku berkaitan dengan agama. Sebenarnya, selepas berkahwin lagi, saya sudah mengubah cara hidup saya.

“Maklumlah, dulu sewaktu menjadi artis, jadual kita tidak menentu dan sudah pasti amalan kita juga terganggu termasuk solat.

“Jadi, apabila menjadi suri rumah sepenuh masa, saya banyak belajar tentang agama dan belajar mengaji serta berusrah dengan seorang ustazah yang sering datang ke rumah kami.

“Tradisi itu diteruskan sehingga ke hari ini dengan anak-anak saya pula sekurang-kurangnya dalam tiga hari seminggu. Semuanya bergantung kepada kelapangan ustazah tersebut memandangkan kesihatannya juga tidak mengizinkan,” jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam pada tahun 2000.

Terbayang suami

Dalam rancak berbicara, wanita berusia 38 tahun ini sempat meluahkan hasrat untuk menunaikan haji bersama ibu dan adiknya tahun ini.

Keinginannya terus meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada penghujung Ramadan lalu.

Ketika itu, Wilma ke sana bersama rakan-rakannya dan sebaik sahaja melihat Kaabah di depan mata, dia terkesima sehinggakan dia seperti tidak percaya melihat kebesaran Allah SWT di depan mata.

“Hanya Dia sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu sehingga saya sendiri tidak mampu untuk menggambarkan dengan kata-kata.

“Selama lebih seminggu di sana, saya begitu tenang dan gembira sekali. Selain fokus kepada ibadat, saya berkesempatan juga untuk menziarah tempat-tempat menarik.

“Sepanjang di sana juga, dengan kuasa Allah SWT, saya terbayang-bayangkan arwah suami saya dan seperti ternampak kelibat dan terbau bau badannya selama dua kali.

“Ketika itu, rindu saya padanya memang tidak dapat dibendung lagi. Sebaik sahaja ia berlaku, saya sedekah al-Fatihah untuk arwah,” kata penyandang gelaran Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah itu lagi.

Wilma Kembali Berlakon Bukan Sebab Terdesak


PETALING JAYA: Pelakon Wilma Muhammad berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas 11 tahun menyepi bukan kerana desakan hidup selepas kematian suaminya Mahir Effendi kira-kira setahun yang lalu.

Sebaliknya, aktres berusia 39 tahun ini berkata dia menerima tawaran untuk membintangi filem 1945 arahan Imran Ismail kerana skrip yang menarik dan syarat-syarat yang dipersetujui bersama dengan syarikat produksi, AAR Intelligent Sdn Bhd itu.

“Sebenarnya tiada istilah terdesak pun. Saya akui, tawaran berlakon dalam filem itu dapat menambahkan lagi pendapatan selain kerjaya saya sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta.

“Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem itu kerana penerbitnya AAR Intelligent memenuhi syarat-syarat yang saya tetapkan termasuklah untuk saya kekal bertudung dalam filem itu.

“Saya sendiri tertarik dengan watak dan plot filem itu yang berbeza, selain mengenali pengarahnya Imran Ismail sejak dulu lagi,” katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.

Dalam filem bergenre epik peperangan pada era Komunis di Malaya itu, Wilma memegang watak utama iaitu seorang srikandi bernama Tengku Suraya. Ia turut dibintangi Faizal Hussien dan Yang Kassim.

Wilma berkata sekalipun dia mempunyai pekerjaan tetap, bayaran daripada lakonan dapat menjana pendapatan yang lebih besar untuk ekonomi keluarganya.

“Kalau diikutkan, saya sudah menerima beberapa tawaran lakonan apabila saya mula keluar bekerja dan kerap berjumpa dengan ramai orang. Namun saya tolak kerana ingin menumpukan perhatian pada keluarga.

“Kini, apabila saya bergelar ibu tunggal, tidak dinafikan tanggungjawab menjadi semakin berat. Apabila datang tawaran ini, mengapa tidak saya menerimanya kerana pihak produksi bersetuju dengan syarat-syarat yang saya tetapkan.

“Malah, saya juga mendapat restu daripada anak-anak dan keluarga mertua. Syarikat saya bekerja juga fleksibel dan tiada halangan untuk melepaskan saya berlakon,” katanya yang akan mengambil cuti selama dua bulan bermula Februari depan untuk penggambaran filem itu.

Memang berkawan dengan suami orang - Wilma


APABILA Wilma Muhammad mengambil keputusan untuk kembali ke gelanggang lakonan yang pernah meletakkan namanya di puncak kemasyhuran satu ketika dulu, ia telah mengundang pelbagai persoalan.

Bagaikan sudah menjadi resmi untuk mana-mana artis wanita yang berkahwin dan kemudiannya mengundurkan diri dari dunia seni tetapi muncul semula selepas sekian lama akan dihujani dengan soalan-soalan nakal.

Namun, bagi Wilma, dia mempunyai alasan sendiri mengapa dia mahu kembali berlakon selepas hampir 13 tahun meninggalkannya.

Jelas aktres berusia 38 tahun itu, hakikatnya memang bukan mudah untuknya membuat keputusan tersebut lebih-lebih lagi selepas suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud meninggal dunia pada 27 Januari lalu akibat serangan jantung.

"Selepas lama meninggalkan dunia seni, memang bukan mudah untuk kembali semula walaupun saya yang membuat keputusan untuk berbuat demikian selepas mendirikan rumah tangga.

"Tetapi selepas berfikir semasak-masaknya dan ditambah dengan sokongan daripada ibu dan ayah, saya perlu meneruskan kehidupan untuk menyara keluarga terutama anak-anak yang masih kecil," ujar Wilma dalam nada penuh diplomasi sambil melemparkan senyuman manis.

Aktres kelahiran Sabah itu ditemui pada majlis pelancaran filem Taiko, Khon Malay dan 1945 di Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem 1945 yang bakal diarahkan oleh Imran Ismail akan menyaksikan Wilma memegang teraju utama di samping aktor terkenal, Faizal Hussein, Yank Kassim dan Zed Zaidi.

Sekadar menyingkap sejarah, Wilma mendirikan rumah tangga bersama arwah suaminya pada 18 November 2000. Sebaik sahaja bergelar isteri, Wilma meninggalkan dunia seni pada ketika namanya masih lagi di puncak.

Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

Dilema

Menyambung bicara, pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah arahan V. Nagaraj pada tahun 1997 itu memberitahu, dia berada di persimpangan dilema sama ada untuk meneruskan niatnya itu selepas beberapa bulan suaminya meninggal dunia.

Malah, sepanjang bergelar isteri dan ibu, tidak pernah terdetik mahupun terlintas untuknya kembali meneruskan dunia seni walaupun Wilma memberitahu arwah suaminya tidak pernah menghalangnya.

Katanya, selama 33 hari selepas suami meninggal dunia, Wilma begitu sedih sehinggakan dia sendiri jarang keluar rumah dan hanya air mata yang menjadi peneman setianya ketika itu.

Kesedihan Wilma itu terbawa-bawa sehingga ke alam mimpi apabila pada hari ke-40, dia termimpikan arwah yang menyuruhnya mendengar degupan jantungnya sambil memberitahu bahawa suaminya masih hidup.

"Tidak lama selepas itu saya termimpikan dia sekali lagi dan kali ini, dia menyuruh saya untuk meneruskan kehidupan. Amanat utamanya adalah untuk saya menjaga anak-anak dengan baik.

"Keputusan ini saya lakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut gerak hati. Saya juga tidak lupa melakukan solat istikharah agar diberikan petunjuk. Dalam masa yang sama, semakin saya menjauhkan diri, makin dekat pula ia menarik saya untuk meneruskan niat itu.

"Daripada situ, saya tidak berpaling lagi dan meneruskan apa yang telah saya lakukan. Saya sendiri masih belum membuat keputusan untuk terus aktif seperti dulu memandangkan senario ini masih baru buat saya.

"Saya berlakon dalam filem 1945 ini pun kerana memikirkan penerbitnya, Asri Abdul Rahman adalah kawan lama saya. Lagipun skripnya juga menarik perhatian lalu saya bersetuju untuk melakukannya," kata Wilma yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah.

Menerusi filem 1945, Wilma bakal membawakan watak Tengku Soraya Tenku Putih, seorang wanita bangsawan yang menjadi pejuang bangsa dan mahu menghapuskan komunis yang ketika itu sedang menggila di Tanah Melayu.

Kekok

Namun, kata Wilma, sebelum kembali berlakon, dia sendiri sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Dalam masa yang sama juga, dia sendiri melakukan perniagaan kecil-kecilan di rumah selama dia menjadi seorang isteri dan ibu.

Sekadar bertanya kepada Wilma, selama dia tidak aktif, tidak pernahkah timbul perasaan rindu dan keinginan untuk kembali berlakon?

Sambil ketawa kecil, dia tidak menafikan kadang-kala perasaan itu ada tetapi tarikan itu tidak begitu kuat lalu ia berlalu begitu sahaja.

"Saya sendiri yang membuat keputusan untuk tidak mahu lagi aktif dalam dunia seni dan mahu menjadi suri rumah sepenuh masa selain menumpukan perhatian kepada keluarga.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan apa yang saya lalui dan tidak pernah timbul rasa menyesal sedikit pun. Mungkin kerana niat saya yang mahu berubah dan menjadi apa yang kalian lihat hari ini.

"Dalam tempoh itu juga, saya masih lagi berhubungan dengan teman-teman lama seperti Ramziela dan Aleeza Kassim.

"Apa yang penting buat saya adalah untuk tidak sesekali melupakan Yang Maha Esa dalam apa jua keadaan sekali pun. Kekuatan saya hari ini juga datang daripada-Nya," jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam di samping Erra Fazira dan Norman Hakim.

Reaksi

Walaupun sudah kembali aktif dalam dunia seni, tetapi kata Wilma, dia tidak mahu terburu-buru menerima tawaran kerana dia juga perlu meneliti skrip serta watak yang ditawarkan.

Sambil mengakui senario dunia hiburan hari ini sudah banyak berbeza jika hendak dibandingkan dengan zamannya sekitar sedekad yang lalu, membuatkan Wilma sedikit rasa kekok untuk beraksi di hadapan kamera.

"Untuk pengetahuan anda (pihak media) juga, gelodak hati saya juga hanya Allah yang tahu untuk berhadapan dengan anda semua. Maklumlah, sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam aktiviti dan majlis seperti ini," ujar Wilma yang sememangnya cukup manis bertudung ini sambil ketawa kecil.

Di kesempatan itu juga, sempat Wilma berkongsi cerita tentang reaksi anak-anaknya sewaktu menonton filem Ghazal Untuk Rabiah sehinggakan anak-anaknya yang masih kecil menangis menonton adegannya ditikam dalam filem itu.

Kata Wilma, anak-anaknya memang tidak tahu dia merupakan seorang pelakon sehinggalah mereka menonton filem yang menggandingkan Wilma dengan penghibur tersohor, Jamal Abdillah itu.

"Cuma bapa saya tidak membenarkan cucu-cucunya menonton filem Pasrah kerana imej dan perwatakan saya dalam filem itu kurang manis untuk dipertontonkan kepada mereka," jelas pemain watak Natasha dalam filem yang turut mengiktiraf Wilma sebagai salah seorang calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-15 (2001) itu lagi.

Wilma Kembali Selepas 13 Tahun Tinggalkan Lakonan


Wilma Muhammad, 38 merupakan satu nama asing buat generasi masa kini. Namun, nama Wilma pernah berada di kemuncak terutamanya apabila dia memegang watak utama dalam filem Ghazah Untuk Rabiah serta watak pembantu dalam filem Pasrah lakonan Awie & Erra Fazira, sekitar 10 tahun lalu. Satu ketika dahulu, peminat akan mengenali Wilma kerana dia berani menampilkan imej seksi. Kegilaan peminat terhadap Wilma ketika itu boleh disama taraf dengan aktres popular, Fasha Sandha.

Seiring dengan peningkatan umur, Wilma berhasrat untuk berhenti daripada dunia lakonan kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarga. Sebaik sahaja mengikatkan tali perkahwinannya bersama allahyarham Mahir Effendi (Meninggal dunia pada Januari 2011), nama Wilma terus padam daripada ingatan peminat.

13 tahun, Wilma kembali semula mewarnai dunia hiburan tanah air dengan membintangi sebuah filem arahan Imran Haji Ismail berjudul, ’1945′. Berkata Wilma kepada OHBULAN!, perasaannya agak berbelah bagi ketika menerima tawaran lakonan ini, namun dikuatkan juga.

“Satu tempoh yang lama, 13 tahun. Saya sebenarnya teragak-agak untuk kembali semula ke dunia lakonan. Setelah mendapatkan pandangan serta sokongan ahli keluarga, saya teruskan juga. Saya juga melakukan sembahyang istikharah bagi mendapatkan petunjuk, dan alhamdullilah ini adalah jalannya,” ujar Wilma yang ditemui di majlis pelancaran filem Khon Malay, Taiko & 1945 di Platinum Terrase Restaurant, lewat petang semalam.

Ditanya pula sama ada Wilma menyesal meninggal dunia lakonan satu ketika dahulu, dia membalas, “Dulu, kalau boleh memang saya nak tinggalkan dunia lakonan. Pada masa itu, saya rasakan itu adalah keputusan yang paling tepat. Sebaik sahaja saya langsungkan perkahwinan, saya menumpukan perhatian sepenuhnya sebagai seorang suri rumahtangga. Arwah suami saya tak pernah menghalang saya daripada berlakon, sebaliknya keputusan untuk berhenti datang daripada diri sendiri.”

Wilma turut berkata bahawa dia tidak pernah terfikir akan kembali semula ke dunia lakonan setelah sekian lama.

“Kadang-kadang, saya memang tak nafikan ada rasa rindu dengan lakonan. Namun, saya tak pernah terfikir akan kembali semula. Sekarang, apabila saya perlu berjumpa wartawan pun saya rasa berdebar-debar. Dulu, saya banyak rapat dengan wartawan di zaman itu. Kami rapat bagaikan rakan. Sekarang ni, ramai wartawan yang baru & muda, jadi saya rasa agak gementar sedikit.”

Wilma Tepis Tuduhan Ganggu Suami Orang


PETALING JAYA: Pelakon Wilma Muhammad (gambar) belum terbuka hati untuk bercinta atau berkahwin lagi selepas suaminya, juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Mahir Effendi meninggal dunia pada Januari lalu.

Lantaran itu katanya tiada istilah untuk dia bercinta dengan suami orang seperti didakwa dalam ruangan gosip sebuah akhbar pada Ahad lalu.

“Saya terkejut apabila nama saya tiba-tiba dikaitkan bercinta dengan suami orang sedangkan saya belum terfikir ke arah itu buat masa ini.

“Buat pengetahuan semua, saya belum ada perancangan untuk berkahwin kerana belum terbuka hati,” katanya kepada mStar Online, Selasa.

Nama Wilma kembali hangat apabila timbul dakwaan kononnya dia sedang bercinta dengan suami orang sehingga menyebabkan rumah tangga lelaki berkenaan yang juga aktif dengan kegiatan tabligh berantakan.

Bagaimanapun, pelakon filem Ghazal Untuk Rabiah dan Pasrah ini tidak menolak jika ditakdirkan Allah mengenai jodohnya pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain Wilma turut memberitahu ada terdengar tentang hajat seseorang untuk merisiknya selepas dimaklumkan oleh keluarga.

“Keluarga saya ada memberitahu bahawa ada orang yang bertanya sama ada saya bersedia untuk menerima lamaran atau tidak.

“Tetapi terus terang saya masih menyayangi arwah suami dan sekarang ini mahu menumpukan kepada kerja yang baru bermula pada tiga bulan lalu selain mahu menyara lima orang anak yang masih kecil,” katanya yang bekerja di bahagian pemasaran di sebuah syarikat swasta di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini.

Kini dia menyewa di sebuah rumah di Damansara Utama bersama-sama anak-anak yang dijaga oleh ibu mertua dan pembantu rumah.

“Saya perlu teruskan kehidupan dengan kembali bekerja. Namun, saya belum bersedia untuk berlakon walaupun ada menerima beberapa tawaran lakonan untuk watak wanita bertudung.

“Tetapi untuk masa akan datang saya tidak pasti sama ada akan menerima atau tidak,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails