Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Wilma mahu tunai haji


BAGI mereka yang pernah mengikuti perkembangan aktres yang seorang ini, pastinya ramai yang sedar akan penampilannya sewaktu zaman kegemilangannya sekitar lewat tahun 90-an.

Berbekalkan wajah yang cukup manis dipandang selain bakat lakonan tersendiri, Wilma Muhammad sememangnya dikenali sebagai salah seorang artis wanita yang terkenal dengan imej seksi.

Namun itu semua cerita lama yang kini sudah menjadi lipatan sejarah buat Wilma. Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga pada 18 November 2000, Wilma mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni tatkala namanya di puncak populariti.

Bukan itu sahaja, Wilma telah mengejutkan peminat dunia hiburan apabila mengubah imejnya dengan bertudung yang menyerlahkan lagi keanggunan Wilma sebagai seorang muslimah.

Kata Wilma, keputusan yang dilakukannya ketika itu merupakan naluri yang hadir dengan sendirinya tanpa adanya paksaan daripada mana-mana pihak waima arwah suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud.

“Saya lakukannya dengan ikhlas. Jauh sekali untuk menjadikan imej bertudung sebagai fesyen. Semuanya lahir daripada hati ikhlas saya.

“Bagi saya, kalau hendak bertudung, ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Benar, arwah suami saya tidak pernah memaksa saya atau mengenakan syarat untuk saya bertudung ketika di awal perkahwinan kami.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini di samping lima orang anak saya walaupun arwah suami saya sudah tiada lagi,” cerita Wilma tenang ketika dihubungi S3, baru-baru ini.

Tanggal 27 Januari ini, anak kelahiran Sabah yang mula dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah di samping Jamal Abdillah pada tahun 1997 ini genap setahun bergelar balu.

Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

Menyambung bicara, di awal pemergian suaminya, Wilma mengakui dia begitu sedih dan tidak mampu untuk mengharungi kehidupan seorang diri.

Namun, berbekalkan semangat daripada keluarga tercinta, perlahan-lahan Wilma bangkit dan mengumpul kekuatan untuk meneruskan hidupnya bersama anak-anak.

“Saya banyak mendekatkan diri saya dengan membaca al-Quran dan buku-buku berkaitan dengan agama. Sebenarnya, selepas berkahwin lagi, saya sudah mengubah cara hidup saya.

“Maklumlah, dulu sewaktu menjadi artis, jadual kita tidak menentu dan sudah pasti amalan kita juga terganggu termasuk solat.

“Jadi, apabila menjadi suri rumah sepenuh masa, saya banyak belajar tentang agama dan belajar mengaji serta berusrah dengan seorang ustazah yang sering datang ke rumah kami.

“Tradisi itu diteruskan sehingga ke hari ini dengan anak-anak saya pula sekurang-kurangnya dalam tiga hari seminggu. Semuanya bergantung kepada kelapangan ustazah tersebut memandangkan kesihatannya juga tidak mengizinkan,” jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam pada tahun 2000.

Terbayang suami

Dalam rancak berbicara, wanita berusia 38 tahun ini sempat meluahkan hasrat untuk menunaikan haji bersama ibu dan adiknya tahun ini.

Keinginannya terus meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada penghujung Ramadan lalu.

Ketika itu, Wilma ke sana bersama rakan-rakannya dan sebaik sahaja melihat Kaabah di depan mata, dia terkesima sehinggakan dia seperti tidak percaya melihat kebesaran Allah SWT di depan mata.

“Hanya Dia sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu sehingga saya sendiri tidak mampu untuk menggambarkan dengan kata-kata.

“Selama lebih seminggu di sana, saya begitu tenang dan gembira sekali. Selain fokus kepada ibadat, saya berkesempatan juga untuk menziarah tempat-tempat menarik.

“Sepanjang di sana juga, dengan kuasa Allah SWT, saya terbayang-bayangkan arwah suami saya dan seperti ternampak kelibat dan terbau bau badannya selama dua kali.

“Ketika itu, rindu saya padanya memang tidak dapat dibendung lagi. Sebaik sahaja ia berlaku, saya sedekah al-Fatihah untuk arwah,” kata penyandang gelaran Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah itu lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails