Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Memang berkawan dengan suami orang - Wilma


APABILA Wilma Muhammad mengambil keputusan untuk kembali ke gelanggang lakonan yang pernah meletakkan namanya di puncak kemasyhuran satu ketika dulu, ia telah mengundang pelbagai persoalan.

Bagaikan sudah menjadi resmi untuk mana-mana artis wanita yang berkahwin dan kemudiannya mengundurkan diri dari dunia seni tetapi muncul semula selepas sekian lama akan dihujani dengan soalan-soalan nakal.

Namun, bagi Wilma, dia mempunyai alasan sendiri mengapa dia mahu kembali berlakon selepas hampir 13 tahun meninggalkannya.

Jelas aktres berusia 38 tahun itu, hakikatnya memang bukan mudah untuknya membuat keputusan tersebut lebih-lebih lagi selepas suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud meninggal dunia pada 27 Januari lalu akibat serangan jantung.

"Selepas lama meninggalkan dunia seni, memang bukan mudah untuk kembali semula walaupun saya yang membuat keputusan untuk berbuat demikian selepas mendirikan rumah tangga.

"Tetapi selepas berfikir semasak-masaknya dan ditambah dengan sokongan daripada ibu dan ayah, saya perlu meneruskan kehidupan untuk menyara keluarga terutama anak-anak yang masih kecil," ujar Wilma dalam nada penuh diplomasi sambil melemparkan senyuman manis.

Aktres kelahiran Sabah itu ditemui pada majlis pelancaran filem Taiko, Khon Malay dan 1945 di Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem 1945 yang bakal diarahkan oleh Imran Ismail akan menyaksikan Wilma memegang teraju utama di samping aktor terkenal, Faizal Hussein, Yank Kassim dan Zed Zaidi.

Sekadar menyingkap sejarah, Wilma mendirikan rumah tangga bersama arwah suaminya pada 18 November 2000. Sebaik sahaja bergelar isteri, Wilma meninggalkan dunia seni pada ketika namanya masih lagi di puncak.

Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

Dilema

Menyambung bicara, pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah arahan V. Nagaraj pada tahun 1997 itu memberitahu, dia berada di persimpangan dilema sama ada untuk meneruskan niatnya itu selepas beberapa bulan suaminya meninggal dunia.

Malah, sepanjang bergelar isteri dan ibu, tidak pernah terdetik mahupun terlintas untuknya kembali meneruskan dunia seni walaupun Wilma memberitahu arwah suaminya tidak pernah menghalangnya.

Katanya, selama 33 hari selepas suami meninggal dunia, Wilma begitu sedih sehinggakan dia sendiri jarang keluar rumah dan hanya air mata yang menjadi peneman setianya ketika itu.

Kesedihan Wilma itu terbawa-bawa sehingga ke alam mimpi apabila pada hari ke-40, dia termimpikan arwah yang menyuruhnya mendengar degupan jantungnya sambil memberitahu bahawa suaminya masih hidup.

"Tidak lama selepas itu saya termimpikan dia sekali lagi dan kali ini, dia menyuruh saya untuk meneruskan kehidupan. Amanat utamanya adalah untuk saya menjaga anak-anak dengan baik.

"Keputusan ini saya lakukan dengan niat yang ikhlas dan mengikut gerak hati. Saya juga tidak lupa melakukan solat istikharah agar diberikan petunjuk. Dalam masa yang sama, semakin saya menjauhkan diri, makin dekat pula ia menarik saya untuk meneruskan niat itu.

"Daripada situ, saya tidak berpaling lagi dan meneruskan apa yang telah saya lakukan. Saya sendiri masih belum membuat keputusan untuk terus aktif seperti dulu memandangkan senario ini masih baru buat saya.

"Saya berlakon dalam filem 1945 ini pun kerana memikirkan penerbitnya, Asri Abdul Rahman adalah kawan lama saya. Lagipun skripnya juga menarik perhatian lalu saya bersetuju untuk melakukannya," kata Wilma yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah.

Menerusi filem 1945, Wilma bakal membawakan watak Tengku Soraya Tenku Putih, seorang wanita bangsawan yang menjadi pejuang bangsa dan mahu menghapuskan komunis yang ketika itu sedang menggila di Tanah Melayu.

Kekok

Namun, kata Wilma, sebelum kembali berlakon, dia sendiri sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Dalam masa yang sama juga, dia sendiri melakukan perniagaan kecil-kecilan di rumah selama dia menjadi seorang isteri dan ibu.

Sekadar bertanya kepada Wilma, selama dia tidak aktif, tidak pernahkah timbul perasaan rindu dan keinginan untuk kembali berlakon?

Sambil ketawa kecil, dia tidak menafikan kadang-kala perasaan itu ada tetapi tarikan itu tidak begitu kuat lalu ia berlalu begitu sahaja.

"Saya sendiri yang membuat keputusan untuk tidak mahu lagi aktif dalam dunia seni dan mahu menjadi suri rumah sepenuh masa selain menumpukan perhatian kepada keluarga.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan apa yang saya lalui dan tidak pernah timbul rasa menyesal sedikit pun. Mungkin kerana niat saya yang mahu berubah dan menjadi apa yang kalian lihat hari ini.

"Dalam tempoh itu juga, saya masih lagi berhubungan dengan teman-teman lama seperti Ramziela dan Aleeza Kassim.

"Apa yang penting buat saya adalah untuk tidak sesekali melupakan Yang Maha Esa dalam apa jua keadaan sekali pun. Kekuatan saya hari ini juga datang daripada-Nya," jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam di samping Erra Fazira dan Norman Hakim.

Reaksi

Walaupun sudah kembali aktif dalam dunia seni, tetapi kata Wilma, dia tidak mahu terburu-buru menerima tawaran kerana dia juga perlu meneliti skrip serta watak yang ditawarkan.

Sambil mengakui senario dunia hiburan hari ini sudah banyak berbeza jika hendak dibandingkan dengan zamannya sekitar sedekad yang lalu, membuatkan Wilma sedikit rasa kekok untuk beraksi di hadapan kamera.

"Untuk pengetahuan anda (pihak media) juga, gelodak hati saya juga hanya Allah yang tahu untuk berhadapan dengan anda semua. Maklumlah, sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam aktiviti dan majlis seperti ini," ujar Wilma yang sememangnya cukup manis bertudung ini sambil ketawa kecil.

Di kesempatan itu juga, sempat Wilma berkongsi cerita tentang reaksi anak-anaknya sewaktu menonton filem Ghazal Untuk Rabiah sehinggakan anak-anaknya yang masih kecil menangis menonton adegannya ditikam dalam filem itu.

Kata Wilma, anak-anaknya memang tidak tahu dia merupakan seorang pelakon sehinggalah mereka menonton filem yang menggandingkan Wilma dengan penghibur tersohor, Jamal Abdillah itu.

"Cuma bapa saya tidak membenarkan cucu-cucunya menonton filem Pasrah kerana imej dan perwatakan saya dalam filem itu kurang manis untuk dipertontonkan kepada mereka," jelas pemain watak Natasha dalam filem yang turut mengiktiraf Wilma sebagai salah seorang calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-15 (2001) itu lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails