Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Yatt. Show all posts
Showing posts with label Yatt. Show all posts

Tolak watak jahat keterlaluan

PELAKON dan pengacara terkenal, Haryati Hamzah atau lebih dikenali Yatt Hamzah, hijrah yang dilakukan dirinya biarlah datang dari ruang hati yang paling dalam, secara ikhlas dan tulus. Tampil lebih ayu dengan berhijab sejak tahun lalu, Yatt, 33, mengambil keputusan untuk berhijrah setelah terlibat dalam aktiviti usrah yang turut disertai rakan artis, Irma Hasmie yang sedikit sebanyak membuka pintu hatinya untuk bertudung. Namun, perjalanan Yatt yang masih berusaha untuk memperbaiki diri bukanlah semudah disangka. Ini kerana dia juga tidak terlepas daripada menerima pandangan negatif masyarakat apabila niat ikhlasnya tatkala berkongsi pengalaman bertudung disalah anggap segelintir pihak yang melabelkannya sebagai riak. Sebagai seorang anak seni, perjuangan dalam bidang itu mesti diteruskan walaupun sedikit terkesan dengan tohmahan yang dilontarkan kerana Yatt akui langsung tidak terdetik di hatinya untuk bermegah-megah dengan penghijrahannya. Selepas berhijrah, kehidupan yang dilalui Yatt juga adalah berbeza pengisiannya kepada cara hidup Islamik dan tidak melampaui batas yang sentiasa menerima sokongan padu daripada insan terdekat. Ternyata penghijrahan Yatt tidak pernah menutup pintu rezekinya kerana sehingga kini dia masih menerima tawaran lakonan seperti biasa. Cuma dia sendiri yang kadang-kadang terpaksa menolak kerana tidak bersesuaian dengan imej barunya. "Alhamdulillah, semenjak bertudung ini banyak tawaran lakonan yang saya dapat tetapi saya terpaksa menolak dengan cara baik. "Ini kerana, kebanyakan watak memerlukan saya membuka tudung. Walaupun hanya seketika seperti babak di rumah, saya tidak sanggup melakukannya, maka lebih baik saya menolak tawaran itu," katanya ketika ditemui selepas pelancaran produk kecantikan, Felinna Beauty baru-baru ini. Yatt ketika ditemui pada majlis pelancaran itu berasa bangga dan bersyukur kerana dilantik sebagai duta jenama berkenaan dengan mengikat kontrak selama setahun. Peluang demi peluang dibuka kepada wanita bertudung seperti Yatt dan dia akui serta bersyukur kerana pintu rezekinya tetap terbuka di cabang lain. "Walaupun aktiviti lakonan itu mula dikurangkan tetapi saya percaya rezeki sentiasa ada. Rezeki yang Allah beri kepada umatnya amat luas," katanya. Menurut Yatt, sejak penghijrahannya itu, selain tawaran berlakon, dia juga didatangi rezeki-rezeki lain. Ini termasuk kerap menerima undangan sebagai ahli panel di forum-forum agama atau motivator terutama sekali kepada pelajar di IPTA atau IPTS. "Sekarang, ia sudah menjadi periuk nasi saya yang baru, di mana boleh dikatakan saban minggu saya diundang ke majlis-majlis di universiti dan masjid untuk berkongsi pengalaman saya. "Saya bukan ustazah, saya baru hendak bermula. Cuma saya diundang sebagai selebriti yang mempunyai ramai pengikut untuk berkongsi pengalaman. Sebelum dan selepas apa yang perlu kita buang untuk rasa tidak takut untuk berhijrah," katanya. Memang hasrat untuk membabitkan diri kepada aktiviti keagamaan diidamkan sejak bertudung, Yatt tidak menyangka pembabitannya itu telah memberi pengalaman baru yang langsung tidak pernah dijangka olehnya sebelum ini. "Mulanya, saya agak gugup juga apabila perlu bercerita soal agama di forum-forum memandangkan ilmu saya yang tidak seberapa ini. Namun, lama kelamaan saya semakin seronok. "Saya dapat berkongsi pengalaman sendiri bertudung dan seterusnya memberi inspirasi kepada wanita yang memiliki keinginan untuk memakainya," katanya merendah diri. Selain terlibat dalam forum, Yatt juga sudah mendapat tawaran untuk mengacarakan program berbentuk keagamaan di sebuah stesen televisyen. "Terbaru saya mengacarakan sebuah program masakan atau sajian dan ini telah memberi perspektif baru dalam kerjaya pengacaraan saya kerana pertama kali mengendalikan rancangan Islamik," katanya yang terlebih dahulu dikenali sebagai model sebelum bergelar pelakon dan pengacara. Tolak watak jahat TIDAK mahu melanggar prinsip semata-mata mengejar tawaran lakonan, kata Yatt, dia semakin selektif dalam memilih watak agar batasannya sebagai wanita Islam sentiasa dijaga. Berhijrah dengan memakai hijab, Yatt mengakui terpaksa menolak watak jahat keterlaluan yang ditawarkan supaya mengikut kesesuaian imejnya yang berhijab. "Saya memang memilih watak. Tidak semua watak bertudung boleh saya ambil. Ada juga tidak sesuai dengan penghijrahan saya ini. "Biarlah apa orang kata. Saya lakukan semua ini kerana risau jika watak jahat keterlaluan akan memberi impak negatif buat penonton. Namun saya tidak menolak sekiranya watak itu mampu memberi pengajaran kepada penonton," katanya. Mengakui dulu sering mengambil watak-watak jahat yang ditawarkan, Yatt berkata, kini adalah sebaliknya melainkan watak itu tidak keterlaluan. "Saya hanya menerima tawaran berlakon sekiranya diberi watak wanita yang baik atau yang memberi pengajaran kepada penonton," katanya. Walaupun masih berlakon, Yatt akui dia tidak seaktif dulu kerana tawaran berlakon ketika berhijab mempunyai pantang larangnya tersendiri. "Apabila kita tampil sebagai wanita bertudung, asas yang kita perlu tahu dan bentuk lakonan yang kita perlu elakkan ialah sentuhan. "Bukan kita tidak dibenarkan bersentuhan tetapi biarlah ia berpada-pada dengan ajaran Islam dan tidak melampaui batas," katanya. Menjawab persoalan niatnya untuk menolak watak jahat, Yatt tidak kisah kerana baginya industri seni semakin berkembang pesat dan pembabitan orang seni juga adalah daripada golongan yang pelbagai. Tambah Yatt, menyentuh dunia lakonan, penonton kini sudah bijak dengan apa yang diinginkan dan biarlah mereka (penonton) menilai sendiri apa yang ingin disampaikan melalui lakonan itu. "Watak jahat ada peringkat-peringkat. Tidak semua yang penonton lihat dan tengok itu akan mempengaruhi mereka. Mereka bijak dalam menilai. "Jika dilihat penampilan saya kini, mungkin ada juga penonton suka drama Islamik. Tidak semuanya meminati drama yang berunsurkan hiburan semata-mata. Ada lagi di antara mereka yang meminati artis bertudung," katanya penuh keyakinan.

Yatt beri syarat ketat

DALAM sibuk-sibuk buka telinga dengan cerita-cerita panas, Diva sempat ambil tahu pasal semangat artis tempatan yang berjuang dengan cara sendiri bagi membantu untuk meringankan beban penduduk Palestin di Genting Gaza. Diva tengok Irma Hasmie bukan main bersemangat turun padang walaupun sarat mengandung anak pertama, artis-artis lain tak kurang prihatinnya. Pendek kata artis kita memang prihatin dalam isu kemanusiaan dan keadilan sejagat. Dalam sibuk-sibuk para artis meraih derma orang ramai, kelibat Yatt pasti ada di setiap lokasi. Yatt antara selebriti yang lantang bercakap dan beremosi, siap menangis teresak-esak lagi. Jadi, ada beberapa wartawan menghampiri Yatt untuk mendapatkan ulasannya tentang agenda kutipan amal di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini. Bila media dipanggil, sudah tentu ada sesi temuramah dengan artis terlibat. Yatt selalunya menjadi perhatian pada mana-mana acara ketika ini, maklumlah solekannya sahaja boleh buat sesiapa pun tertawan. Peliknya, Yatt macam nak mengelak pula. Siap bagi masa tertentu pula kalau dirinya mahu diajak berbual. Kalau 5 minit hingga 10 minit itu biasa, tapi Yatt cuma ada kelapangan masa selama 3 minit sahaja. Bayangkan, hanya 180 saat untuk ditemuramah, hebatlah, ibarat nak kena guna 'dialog trengkas' pula. Kalau benarlah dia sibuk sangat, cakaplah dalam bahasa yang lebih manis, kan Yatt itu wanita yang semakin manis dan menjadi contoh sejak berhijab. Dengarnya, akibat syarat ketat itu yang diberikan Yatt, ramai wartawan tarik diri.

Yatt Hamzah Lebih Cenderung Kepada Aktiviti Dakwah

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah memberitahu lebih cenderung kepada aktiviti kerohanian dan dakwah selepas mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab. Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, berkata, dia berasa seronok dapat berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai penghijrahannya kepada masyarakat terutama golongan muda supaya lebih dekat dengan agama Islam. "Mengikuti kelas Usrah Fitrah telah banyak mengajar saya pelbagai perkara tentang Islam yang boleh saya kaitkan dengan kehidupan seharian. "Dari situ juga saya dapat berkongsi pengetahuan dengan masyarakat semasa dijemput dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan," katanya kepada mStar Online. Tambah Yatt, dia juga merancang untuk menjelajah ke seluruh Institut Pengajian Tinggi Awan dan Swasta (IPTA/IPTS) bersama-sama ahli lain dalam Usrah Fitrah bagi berkongsi ilmu dan penghijrahan mereka dengan para penuntut universiti pada tahun hadapan. Dalam pada itu, ditanya mengenai bidang lakonan, Yatt berkata, dia masih lagi menerima tawaran berlakon namun meletakkan beberapa syarat bersesuaian dengan imejnya kini. Tambah Yatt, selain soal imejnya bertudung, dia juga lebih cenderung kepada watak yang dapat memberikan ilmu dan pengajaran kepada penonton. "Saya masih lagi minat berlakon tetapi perlu ada batasan kerana peranan atau sesuatu watak itu perlu bersesuaian dengan imej saya yang bertudung dan batas saya sebagai isteri orang," jelasnya. Sementara itu, Yatt memberitahu, dia bersyukur kerana perjalanan hidupnya kini semakin mudah dan rezeki bertambah apabila bukan sahaja dapat berlakon dan memenuhi program kerohanian tetapi menjadi model untuk busana muslimah. "Alhamdulillah, saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Jiwa saya rasa tenang dan hidup rasa lebih lancar. Bila kita ikhlas berhijrah, Allah akan permudahkan jalan yang kita pilih," jelasnya.

Bukan sekadar tukar imej - Yatt

SEORANG demi seorang artis wanita di negara ini memilih untuk bertudung. Situasi yang dikaitkan dengan penghijrahan ke arah lebih positif itu juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri seni tanah air. Pada dasarnya membuat keputusan untuk bertudung litup oleh golongan ini bukan sekadar menukar imej semata-mata, sebaliknya ia sebagai bukti kesungguhan mereka untuk mencari lebih banyak kebaikan dalam kehidupan selain mendalami ilmu agama. Jika dahulu sahutan penghijrahan itu lebih kepada artis yang agak berumur, namun kini artis wanita muda juga tidak terkecuali memartabatkan nilai Muslimah yang sebenar. Apa yang lebih membanggakan artis bertudung itu juga tidak memilih untuk meninggalkan terus bidang seni yang sudah sebati dengan mereka. Mereka masih aktif memenuhi undangan persembahan pentas dan lakonan, sekali gus membuktikan tudung tidak sama sekali membataskan pergerakan kerjaya mereka. Namun, seperti biasa bila sudah banyak yang melakukan penghijrahan, persoalan-demi persoalan mula muncul. Antara soalan yang sering kali di ajukan adakah ini merupakan satu lagi gelombang gimik yang mahu diwujudkan ataupun perubahan ini benar-benar ikhlas? Bukan mahu memeningkan kepala memikirkan tanggapan tidak sihat itu, tetapi jika terus diasak dengan kata hatinya sama, tidak salah sebenarnya untuk kita melihat sendiri sejauh mana perubahan yang dilakukan ini mampu membuktikan sesuatu yang lebih baik. Bertudung dituntut oleh agama, tetapi bagaimana dengan hal-hal lain yang juga dituntut agama? Perubahan bertudung sepatutnya disertakan dengan perubahan dengan cara berfikir bercakap dan hati yang lebih baik. Bagaimanapun sebagai manusia kuasa kita cukup terbatas untuk menjawab niat sebenar seseorang, tetapi jika penghijrahan ini mampu membuka laluan lebih ramai wanita islam di negara ini bertudung, kenapa kita perlu mempertikai perkara ini lagi? Bukan itu sahaja, peningkatan lebih ramai artis wanita kini bertudung turut menjadi modal politik sesetengah pihak. Perkara ini bukan sahaja dilihat menggunakan populariti yang diraih artis wanita tersebut untuk berkempen, tetapi sedikit sebanyak mencalarkan pandangan baik terhadap beberapa artis wanita yang memilih untuk bertudung kini. Sebenarnya golongan artis ini memikul tanggungjawab yang agak berat dengan masyarakat khususnya, imej bertudung bermaksud juga artis ini tidak akan lagi melakukan kesilapan, walhal bagi artis yang terlibat penghijrahan yang dilakukan ini lebih kepada langkah pertama mereka ke arah yang lebih baik. Menghurai kesan penghijrahan ini kepada peminat, kami dapat melihat sendiri cara dakwah golongan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada masyarakat di negara kini yang memberi definasi baru cantik buat wanita islam. Jika 10 tahun lalu situasi ini jarang sekali wujud, namun kini tiada lagi diskriminasi bagi yang bertudung untuk turut sama memeriahkan industri hiburan di negara ini. pengalaman menakutkan Memilih untuk bertudung sejak 5 April lalu, menurut pelakon wanita Yatt Hamzah, itu adalah hidayah yang sudah lama diimpikan. Walaupun pada mulanya agak ragu-ragu dengan pilihan ini, akhirnya dia berbangga dengan keputusan memakai tudung. Menggemparkan peminatnya melalui pengalaman menakutkan sewaktu mula-mula mengenakan tudung, menurut Yatt, tujuan dia berkongsi apa yang berlaku keatas dirinya itu hanya sebagai panduan buat peminatnya. Menurut Yatt pengalaman bagaimana melalui episod mengharukan apabila kepalanya melekat selama setengah jam di atas sejadah dan melihat beberapa seksaan menakutkan memberi peluang buat dirinya menginsafi segala perbuatannya selama ini. Tidak mahu melihat kejadian ini hanya sinonim dengan selebiriti, dia percaya ada juga kaum wanita diluar juga mengalami perkara yang sama. “Saya ada mendapat respon mengenai perkongsian pengalaman saya itu, ada yang mempertikaikan. Bagi saya apa yang penting adalah niat untuk sama-sama menyedarkan tujuan sebenar bertudung. “Saya yakin ada ramai yang mengalami pengalaman sama. Cuma impak yang diberikan selebriti seperti saya lebih besar, sebab itu saya mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan harapan ia dapat menyedarkan orang lain juga," katanya. Tidak mahu mengulas panjang mengenai politik dan artis bertudung, bagi Yatt sebagai orang Islam kita tidak seharusnya meletakkan politik sebagai penghalang untuk terus berdakwah. “Saya rasa hal itu agak terpencil. Bertudung sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan mahu berpolitik. Ini kerana niat merupakan perbezaan utama sebab kita bertudung. “Saya anggap memilih untuk bertudung merupakan langkah pertama dalam proses mendalami ilmu agama, yang mana saya rasa ia proses yang amat panjang," katanya lembut. Bangga bertudung di luar negara Kejayaan yang dicapai Shila Amzah menjuarai festival muzik antarabangsa, Asian Wave di Shanghai, China baru-baru ini membuka mata banyak pihak akan persaingan yang mampu diberikan oleh artis bertudung sepertinya. Setelah dua bulan kini muncul dengan imej bertudung masih ramai yang tertanya sebenarnya apa yang menguatkan semangat gadis ini untuk memakai tudung di usia yang cukup muda? “Ramai sebenarnya yang tidak percaya saya membuat keputusan ini. Mungkin kerana umur saya. “Namun bagi saya bukan umur yang menjadi ukuran tetapi keikhlasan hati untuk bertudung itu harus hadir dengan keizinan Allah," katanya. Seperti remaja lain, Shila tidak pernah meletakkan fitrah itu sebagai satu bebanan buat dirinya. Masih meneruskan kehidupannya seperti dahulu menurut Shila dia bersyukur tiada perubahan rezeki yang berlaku walaupun sudah bertudung kini. “Bercakap soal cabaran, saya tidak rasa saya mengalami apa-apa cabaran yang berat, semuanya berjalan lancar. “Soal bertudung ini merupakan tanggungjawab dan saya percaya rezeki hanya ditentukan oleh Allah selagi kita ikhlas melakukan sesuatu semuanya akan dipermudahkan," jelasnya. Berkongsi pengalaman menjadi peserta bertudung di pertandingan tersebut menurut Shila pada mulanya pihak produksi tersebut menyangka ia merupakan fesyen yang dibawa olehnya. “Dalam keadaan berbeza agama dan budaya seperti itu kita tidak boleh berharap mereka akan faham dengan prinsip yang kita pegang. Dan ada satu ketika mereka menganggap ia merupakan satu fesyen, namun setelah dijelaskan mereka menghormatinya. “Namun saya bersyukur kerana tidak langsung berlaku diskriminasi. Malah mereka percaya bakat merupakan perkara utama yang dinilai dalam pertandingan seperti itu," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121016/hi_01/Bukan-sekadar-tukar-imej#ixzz29Y6dN233 © Utusan Melayu (M) Bhd

Raudhah buka pintu hati


PERWATAKAN dan karakter wanita mulut murai ini berubah sama sekali apabila dia membawakan watak isteri alim dan taat pada suami bernama Raudhah dalam drama berepisod, Ular Emas.

Demi menghayati watak Raudhah, Haryati Hamzah atau Yatt, 30, terpaksa menukarkan percakapannya yang bagaikan kereta api ekpress kepada wanita yang berhemah tinggi.

Apabila pengarah drama itu, Murali Abdullah menghulurkan skrip kepada Yatt, walaupun dia mendapati tawaran itu sangat menarik, tetapi dia tidak yakin sama ada wanita seperti karakter Raudhah itu wujud lagi pada zaman sekarang.

“Saya pernah melakonkan watak perempuan baik, tetapi Raudhah itu terlalu baik orangnya.

“Macam tiada cacat cela langsung dan saya kata pada Abang Murali, mustahil ada lagi orang seperti itu dalam dunia ini. Apatah lagi karakter saya yang sebenar dengan Raudhah bagaikan langit dengan bumi.

“Dek kerana itu pada mulanya saya tidak yakin untuk membawakan watak Raudhah, tetapi Abang Murali percaya saya boleh melakukannya. Abang Murali nampak benda yang saya sendiri tidak nampak ada dalam diri saya.

“Pada permulaan penggambaran, saya belajar dengan Abang Murali cara untuk membawakan watak Raudhah. Sebenarnya saya bimbang membawakan watak Raudhah kerana penonton sering beranggapan watak ‘baik-baik’ selalunya nampak bodoh dan kelihatan lemah. Jadi saya takut sekali penonton juga berfikiran sama terhadap Raudhah.

“Tetapi Abang Murali seorang yang tegas dan minta saya terus menjadi Raudhah dan katanya lagi, dalam setiap diri wanita mesti ada yang bersikap dan berperasaan seperti Raudhah.

“Cuma mereka tidak mahu ‘menunjukkannya’ atau tidak sedar adanya kebaikan dalam diri masing-masiang. Justeru, dia paksa saya ‘keluarkan’ karakter Raudhah yang terperangkap dalam diri saya itu.

“Tegasnya lagi, kalau ada yang berkata Raudhah itu wanita bodoh maknanya dia yang bodoh kerana tidak mahu menjadi sebaik Raudhah. Abang Murali juga marah apabila saya protes, mustahil orang macam Raudhah masih ada. Malah katanya, saya sepatutnya bersyukur kerana dapat watak itu.

“Dia sangat yakin orang macam Raudhah masih ada dalam dunia ini cuma barang?kali kita belum berkesempatan dipertemukan dengannya. Maka katanya, sayalah sebenarnya Raudhah itu,” katanya.

Yatt menambah, dari mula dia berlakon sehingga tamat peng?gambaran selama dua bulan tujuh hari, dia berterima kasih kepada Murali kerana terlalu banyak memberinya tunjuk ajar.

“Selain bantuan Abang Murali, untuk memasukkan roh Raudhah dalam diri, saya banyak membaca bismillah dan bersalawat. Alhamdulillah, selepas itu segalanya jadi senang.

“Dia yakin apabila saya membawakan watak ini, kerjaya seni saya akan lebih berkembang. Luahan pendapatnya itu membuatkan saya terdiam dan tersenyum sendiri. Semakin lama saya mendalami watak Raudhah, saya juga semakin percaya memang sifat Raudhah ada dalam diri setiap wanita.

“Bagaimanapun, kebaikan dan keluhuran budi itu seakan tenggelam kerana kita membenarkan kejahatan menguasai diri kita. Lantaran itu, kena melawan kejahatan itu supaya ia tidak terus bermaharajalela.

“Watak Raudhah sangat mengesankan dan memberi impak kepada saya sekarang untuk menjadi wanita solehah, isteri, ibu dan anak yang baik kepada orang tua saya. Juga mula terikut-ikut cara Raudhah yang apabila hendak melakukan apa saja, mesti dimulakan dengan bismillah. Sangat besar keberkatannya,” katanya.

Sambung Yatt, sepanjang drama itu disiarkan menerusi slot Lagenda TV3, baru-baru ini, setiap hari penonton memberikan komen yang baik.

Malah, ada yang beritahu, mereka sudah terikut-ikut dengan karakter Raudhah dan membaca bismillah dalam melakukan apa saja.

“Alhamdulillah, mesej yang ingin disampaikan Abang Murali sampai juga kepada penonton dan saya sendiri lega mendengarnya. Inilah saja yang saya dapat lakukan untuk mendidik jiwa penonton supaya beramal dengan perkara yang baik.

“Khabarnya ramai lelaki mula mengidam untuk mendapatkan isteri seperti Raudhah dan kepada mereka yang sudah beristeri pula mahukan isteri mereka menjadi wanita solehah dan patuh pada suami,” katanya.

Kesannya kepada kerjaya Yatt sekarang, dapat banyak tawaran berlakon, tetapi dia mahu berehat dulu untuk membesarkan anak sulungnya, Suci Hanania Malika yang baru berusia lapan bulan hasil perkahwinannya dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30.

“Saya sanggup ke lokasi Ular Emas kerana watak yang sangat menarik. Waktu itu saya baru empat bulan melahirkan Nia. Selama dua bulan di lokasi drama itu saya jarang dapat bersama Nia yang ditinggalkan bersama emak (Sufiah Junaini, 53) di Seremban.

“Membawakan watak Raudhah juga meletihkan.

“Selesai saja penggambaran, saya tengok Nia sudah belajar banyak benda dan saya sangat merinduinya ketika dia masih bayi.

“Saya suka pegang dan mendokong bayi yang masih lembik. Pengalaman itu membuatkan saya tidak mahu meninggalkan Nia lama-lama kerana saya akan kehilangan momen yang indah bersamanya.

“Saya mahu melihatnya ?membesar, belajar merangkak dan berjalan. Menjadi ibu ?mengundang keinsafan dan teringatkan tingkah saya terhadap emak. Baru kini saya tahu macam mana kasih sayang seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja untuk buah hatinya itu. Nia juga masih menyusu badan, jadi buat masa ini saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersamanya.

“Insya-Allah saya akan bekerja semula Disember ini. Ada beberapa tawaran yang sedang saya pertimbangkan. Saya juga sedang giat bersenam dengan bermain badminton untuk menurunkan berat badan,” katanya yang bercadang menambah ahli keluarga secepat mungkin.

Namun begitu, hasrat itu terpaksa dipendamkan dulu kerana dia melahirkan Nia menerusi pembedahan.

“Saya dan suami sudah berusia 30 tahun dan tidak boleh terlalu menjarakkan kelahiran, tetapi dengan keadaan saya sekarang, terpaksalah bersabar,” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah
NAMA KOMERSIAL: Yatt Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 April 1980
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30
ANAK: Suci Hanania Malika, lapan bulan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa & Pengajian Media
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon.
ANTARA DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella dan Ritma Kolej, Rendang Raya Mak Tijah, Ular Emas
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul

Yatt: Kecantikan itu bukan sekadar mekap sahaja..


DUNIA kecantikan dengan pelakon Haryati Hamzah atau Yatt bagaikan tidak mampu dipisahkan lebih-lebih lagi dia merupakan seorang model dan pelakon yang mementingkan penampilan agar sedap dipandang.

Jelas Yatt yang kini sedang hamil enam bulan, tiada alasan yang mampu diberikan untuk dia mengabaikan kecantikan.

Jika dia sudah bersalin dan beranak pinak sekalipun, Yatt akan cuba memastikan dirinya berada dalam keadaan cantik, bersih dan kemas.

“Saya bergelar selebriti, jadi saya perlu menjaga kecantikan luaran dan dalaman. Kiranya kecantikan itu bukan sekadar mekap sahaja.

“Jadi, apabila saya tidak sibuk dengan kerja, saya akan belajar cara untuk bersolek dengan menghadiri majlis berkaitan demonstrasi bersolek dan kecantikan atau melalui jurumekap artis seperti Tiar Zainal.

“Ia memudahkan saya kerana jika jurusolek artis tiada, sekurang-kurangnya saya boleh buat sendiri,” katanya ketika menghadiri majlis ‘The Beauty Art Make-up Competition Asean 2009’ anjuran Shu Uemura di Pavillion, Bukit Bintang, pada Rabu lalu.

Yatt dan suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor.

Menurut Yatt yang hadir sebagai tetamu Shu Uemura ditemani rakan baiknya, model TV komersil Azwani Abu Hashim, dia menggunakan produk jenama itu seperti ‘Cleansing Oil’ (pembersih mekap), ‘depsea water’ (penyegar muka) dan ‘eyelash adhesive’ (pelekat bulu mata) sejak dua tahun lalu.

“Saya memang obses dengan bulu mata jadi sebab itu saya memilih pelekat bulu mata Shu Uemura dan pembersih mekap sebab ia akan mencuci mekap saya hingga bersih.

“Saya suka datang ke majlis pertandingan mekap seperti ini kerana sebelum ini selalunya kita lihat hasil selepas mekap tetapi dalam pertandingan ini kita dapat melihat dari awal cara untuk mekap.

“Jadi, saya dapat praktikkan untuk pertunjukkan fesyen nanti,” ujarnya yang mula bersolek tebal sejak memulakan kerjayanya dalam industri seni ini iaitu berusia 24 tahun.

Hamil tidak halang untuk aktif berlakon

Walaupun sedang mengandung enam bulan, Yatt berkata dia masih sibuk berlakon tetapi tidak semua tawaran yang diterima atas nasihat suami, pengurus sebuah pusat rekreasi, Abdul Mutalib Abdul Shukor.

“Suami saya selalu nasihatkan supaya tidak terlalu aktif kerana takut komplikasi tetapi saya tetap aktif dan agresif seperti biasa.

“Buat masa ini saya perlu memilih watak juga bersesuaian dengan keadaan sekarang.

“Sekarang, saya sedang berlakon drama 13 episod ‘Fitrah Wanita’ di samping pelakon Catriona Ross, Sabrina Ali dan Siti Fazurina.

“Saya memegang watak seorang peguam dan ibu kepada dua orang anak. Ini merupakan kali pertama saya berlakon sebagai ibu dan kebetulan produksi mencari pelakon yang sedang mengandung,” katanya yang biasanya melakonkan watak stereotaip seperti remaja yang ‘gila-gila’ dan pelajar.

Yatt dijangka bersalin pada awal Februari depan dan setakat ini dia memikirkan untuk bersalin di Hospital Ampang Puteri.

“Sebagai persediaan, saya banyak membaca buku tentang cara untuk menjaga kandungan dan menjadi seorang ibu. Begitu juga dengan suami saya yang turut membaca buku sebagai persediaan untuk bergelar bapa.

“Selain itu, saya juga banyak bertanya petua dengan orang yang berpengalaman dan orang tua serta membanyakkan mendengar dan membaca ayat suci al-Quran untuk memudahkan waktu bersalin nanti,” akhiri wanita berusia 29 tahun ini.

Yatt dan Talib bernikah pada 29 Mac lalu di Seremban.


[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails