Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan sekadar tukar imej - Yatt

SEORANG demi seorang artis wanita di negara ini memilih untuk bertudung. Situasi yang dikaitkan dengan penghijrahan ke arah lebih positif itu juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri seni tanah air. Pada dasarnya membuat keputusan untuk bertudung litup oleh golongan ini bukan sekadar menukar imej semata-mata, sebaliknya ia sebagai bukti kesungguhan mereka untuk mencari lebih banyak kebaikan dalam kehidupan selain mendalami ilmu agama. Jika dahulu sahutan penghijrahan itu lebih kepada artis yang agak berumur, namun kini artis wanita muda juga tidak terkecuali memartabatkan nilai Muslimah yang sebenar. Apa yang lebih membanggakan artis bertudung itu juga tidak memilih untuk meninggalkan terus bidang seni yang sudah sebati dengan mereka. Mereka masih aktif memenuhi undangan persembahan pentas dan lakonan, sekali gus membuktikan tudung tidak sama sekali membataskan pergerakan kerjaya mereka. Namun, seperti biasa bila sudah banyak yang melakukan penghijrahan, persoalan-demi persoalan mula muncul. Antara soalan yang sering kali di ajukan adakah ini merupakan satu lagi gelombang gimik yang mahu diwujudkan ataupun perubahan ini benar-benar ikhlas? Bukan mahu memeningkan kepala memikirkan tanggapan tidak sihat itu, tetapi jika terus diasak dengan kata hatinya sama, tidak salah sebenarnya untuk kita melihat sendiri sejauh mana perubahan yang dilakukan ini mampu membuktikan sesuatu yang lebih baik. Bertudung dituntut oleh agama, tetapi bagaimana dengan hal-hal lain yang juga dituntut agama? Perubahan bertudung sepatutnya disertakan dengan perubahan dengan cara berfikir bercakap dan hati yang lebih baik. Bagaimanapun sebagai manusia kuasa kita cukup terbatas untuk menjawab niat sebenar seseorang, tetapi jika penghijrahan ini mampu membuka laluan lebih ramai wanita islam di negara ini bertudung, kenapa kita perlu mempertikai perkara ini lagi? Bukan itu sahaja, peningkatan lebih ramai artis wanita kini bertudung turut menjadi modal politik sesetengah pihak. Perkara ini bukan sahaja dilihat menggunakan populariti yang diraih artis wanita tersebut untuk berkempen, tetapi sedikit sebanyak mencalarkan pandangan baik terhadap beberapa artis wanita yang memilih untuk bertudung kini. Sebenarnya golongan artis ini memikul tanggungjawab yang agak berat dengan masyarakat khususnya, imej bertudung bermaksud juga artis ini tidak akan lagi melakukan kesilapan, walhal bagi artis yang terlibat penghijrahan yang dilakukan ini lebih kepada langkah pertama mereka ke arah yang lebih baik. Menghurai kesan penghijrahan ini kepada peminat, kami dapat melihat sendiri cara dakwah golongan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada masyarakat di negara kini yang memberi definasi baru cantik buat wanita islam. Jika 10 tahun lalu situasi ini jarang sekali wujud, namun kini tiada lagi diskriminasi bagi yang bertudung untuk turut sama memeriahkan industri hiburan di negara ini. pengalaman menakutkan Memilih untuk bertudung sejak 5 April lalu, menurut pelakon wanita Yatt Hamzah, itu adalah hidayah yang sudah lama diimpikan. Walaupun pada mulanya agak ragu-ragu dengan pilihan ini, akhirnya dia berbangga dengan keputusan memakai tudung. Menggemparkan peminatnya melalui pengalaman menakutkan sewaktu mula-mula mengenakan tudung, menurut Yatt, tujuan dia berkongsi apa yang berlaku keatas dirinya itu hanya sebagai panduan buat peminatnya. Menurut Yatt pengalaman bagaimana melalui episod mengharukan apabila kepalanya melekat selama setengah jam di atas sejadah dan melihat beberapa seksaan menakutkan memberi peluang buat dirinya menginsafi segala perbuatannya selama ini. Tidak mahu melihat kejadian ini hanya sinonim dengan selebiriti, dia percaya ada juga kaum wanita diluar juga mengalami perkara yang sama. “Saya ada mendapat respon mengenai perkongsian pengalaman saya itu, ada yang mempertikaikan. Bagi saya apa yang penting adalah niat untuk sama-sama menyedarkan tujuan sebenar bertudung. “Saya yakin ada ramai yang mengalami pengalaman sama. Cuma impak yang diberikan selebriti seperti saya lebih besar, sebab itu saya mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan harapan ia dapat menyedarkan orang lain juga," katanya. Tidak mahu mengulas panjang mengenai politik dan artis bertudung, bagi Yatt sebagai orang Islam kita tidak seharusnya meletakkan politik sebagai penghalang untuk terus berdakwah. “Saya rasa hal itu agak terpencil. Bertudung sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan mahu berpolitik. Ini kerana niat merupakan perbezaan utama sebab kita bertudung. “Saya anggap memilih untuk bertudung merupakan langkah pertama dalam proses mendalami ilmu agama, yang mana saya rasa ia proses yang amat panjang," katanya lembut. Bangga bertudung di luar negara Kejayaan yang dicapai Shila Amzah menjuarai festival muzik antarabangsa, Asian Wave di Shanghai, China baru-baru ini membuka mata banyak pihak akan persaingan yang mampu diberikan oleh artis bertudung sepertinya. Setelah dua bulan kini muncul dengan imej bertudung masih ramai yang tertanya sebenarnya apa yang menguatkan semangat gadis ini untuk memakai tudung di usia yang cukup muda? “Ramai sebenarnya yang tidak percaya saya membuat keputusan ini. Mungkin kerana umur saya. “Namun bagi saya bukan umur yang menjadi ukuran tetapi keikhlasan hati untuk bertudung itu harus hadir dengan keizinan Allah," katanya. Seperti remaja lain, Shila tidak pernah meletakkan fitrah itu sebagai satu bebanan buat dirinya. Masih meneruskan kehidupannya seperti dahulu menurut Shila dia bersyukur tiada perubahan rezeki yang berlaku walaupun sudah bertudung kini. “Bercakap soal cabaran, saya tidak rasa saya mengalami apa-apa cabaran yang berat, semuanya berjalan lancar. “Soal bertudung ini merupakan tanggungjawab dan saya percaya rezeki hanya ditentukan oleh Allah selagi kita ikhlas melakukan sesuatu semuanya akan dipermudahkan," jelasnya. Berkongsi pengalaman menjadi peserta bertudung di pertandingan tersebut menurut Shila pada mulanya pihak produksi tersebut menyangka ia merupakan fesyen yang dibawa olehnya. “Dalam keadaan berbeza agama dan budaya seperti itu kita tidak boleh berharap mereka akan faham dengan prinsip yang kita pegang. Dan ada satu ketika mereka menganggap ia merupakan satu fesyen, namun setelah dijelaskan mereka menghormatinya. “Namun saya bersyukur kerana tidak langsung berlaku diskriminasi. Malah mereka percaya bakat merupakan perkara utama yang dinilai dalam pertandingan seperti itu," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121016/hi_01/Bukan-sekadar-tukar-imej#ixzz29Y6dN233 © Utusan Melayu (M) Bhd
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails