Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Raudhah buka pintu hati


PERWATAKAN dan karakter wanita mulut murai ini berubah sama sekali apabila dia membawakan watak isteri alim dan taat pada suami bernama Raudhah dalam drama berepisod, Ular Emas.

Demi menghayati watak Raudhah, Haryati Hamzah atau Yatt, 30, terpaksa menukarkan percakapannya yang bagaikan kereta api ekpress kepada wanita yang berhemah tinggi.

Apabila pengarah drama itu, Murali Abdullah menghulurkan skrip kepada Yatt, walaupun dia mendapati tawaran itu sangat menarik, tetapi dia tidak yakin sama ada wanita seperti karakter Raudhah itu wujud lagi pada zaman sekarang.

“Saya pernah melakonkan watak perempuan baik, tetapi Raudhah itu terlalu baik orangnya.

“Macam tiada cacat cela langsung dan saya kata pada Abang Murali, mustahil ada lagi orang seperti itu dalam dunia ini. Apatah lagi karakter saya yang sebenar dengan Raudhah bagaikan langit dengan bumi.

“Dek kerana itu pada mulanya saya tidak yakin untuk membawakan watak Raudhah, tetapi Abang Murali percaya saya boleh melakukannya. Abang Murali nampak benda yang saya sendiri tidak nampak ada dalam diri saya.

“Pada permulaan penggambaran, saya belajar dengan Abang Murali cara untuk membawakan watak Raudhah. Sebenarnya saya bimbang membawakan watak Raudhah kerana penonton sering beranggapan watak ‘baik-baik’ selalunya nampak bodoh dan kelihatan lemah. Jadi saya takut sekali penonton juga berfikiran sama terhadap Raudhah.

“Tetapi Abang Murali seorang yang tegas dan minta saya terus menjadi Raudhah dan katanya lagi, dalam setiap diri wanita mesti ada yang bersikap dan berperasaan seperti Raudhah.

“Cuma mereka tidak mahu ‘menunjukkannya’ atau tidak sedar adanya kebaikan dalam diri masing-masiang. Justeru, dia paksa saya ‘keluarkan’ karakter Raudhah yang terperangkap dalam diri saya itu.

“Tegasnya lagi, kalau ada yang berkata Raudhah itu wanita bodoh maknanya dia yang bodoh kerana tidak mahu menjadi sebaik Raudhah. Abang Murali juga marah apabila saya protes, mustahil orang macam Raudhah masih ada. Malah katanya, saya sepatutnya bersyukur kerana dapat watak itu.

“Dia sangat yakin orang macam Raudhah masih ada dalam dunia ini cuma barang?kali kita belum berkesempatan dipertemukan dengannya. Maka katanya, sayalah sebenarnya Raudhah itu,” katanya.

Yatt menambah, dari mula dia berlakon sehingga tamat peng?gambaran selama dua bulan tujuh hari, dia berterima kasih kepada Murali kerana terlalu banyak memberinya tunjuk ajar.

“Selain bantuan Abang Murali, untuk memasukkan roh Raudhah dalam diri, saya banyak membaca bismillah dan bersalawat. Alhamdulillah, selepas itu segalanya jadi senang.

“Dia yakin apabila saya membawakan watak ini, kerjaya seni saya akan lebih berkembang. Luahan pendapatnya itu membuatkan saya terdiam dan tersenyum sendiri. Semakin lama saya mendalami watak Raudhah, saya juga semakin percaya memang sifat Raudhah ada dalam diri setiap wanita.

“Bagaimanapun, kebaikan dan keluhuran budi itu seakan tenggelam kerana kita membenarkan kejahatan menguasai diri kita. Lantaran itu, kena melawan kejahatan itu supaya ia tidak terus bermaharajalela.

“Watak Raudhah sangat mengesankan dan memberi impak kepada saya sekarang untuk menjadi wanita solehah, isteri, ibu dan anak yang baik kepada orang tua saya. Juga mula terikut-ikut cara Raudhah yang apabila hendak melakukan apa saja, mesti dimulakan dengan bismillah. Sangat besar keberkatannya,” katanya.

Sambung Yatt, sepanjang drama itu disiarkan menerusi slot Lagenda TV3, baru-baru ini, setiap hari penonton memberikan komen yang baik.

Malah, ada yang beritahu, mereka sudah terikut-ikut dengan karakter Raudhah dan membaca bismillah dalam melakukan apa saja.

“Alhamdulillah, mesej yang ingin disampaikan Abang Murali sampai juga kepada penonton dan saya sendiri lega mendengarnya. Inilah saja yang saya dapat lakukan untuk mendidik jiwa penonton supaya beramal dengan perkara yang baik.

“Khabarnya ramai lelaki mula mengidam untuk mendapatkan isteri seperti Raudhah dan kepada mereka yang sudah beristeri pula mahukan isteri mereka menjadi wanita solehah dan patuh pada suami,” katanya.

Kesannya kepada kerjaya Yatt sekarang, dapat banyak tawaran berlakon, tetapi dia mahu berehat dulu untuk membesarkan anak sulungnya, Suci Hanania Malika yang baru berusia lapan bulan hasil perkahwinannya dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30.

“Saya sanggup ke lokasi Ular Emas kerana watak yang sangat menarik. Waktu itu saya baru empat bulan melahirkan Nia. Selama dua bulan di lokasi drama itu saya jarang dapat bersama Nia yang ditinggalkan bersama emak (Sufiah Junaini, 53) di Seremban.

“Membawakan watak Raudhah juga meletihkan.

“Selesai saja penggambaran, saya tengok Nia sudah belajar banyak benda dan saya sangat merinduinya ketika dia masih bayi.

“Saya suka pegang dan mendokong bayi yang masih lembik. Pengalaman itu membuatkan saya tidak mahu meninggalkan Nia lama-lama kerana saya akan kehilangan momen yang indah bersamanya.

“Saya mahu melihatnya ?membesar, belajar merangkak dan berjalan. Menjadi ibu ?mengundang keinsafan dan teringatkan tingkah saya terhadap emak. Baru kini saya tahu macam mana kasih sayang seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja untuk buah hatinya itu. Nia juga masih menyusu badan, jadi buat masa ini saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersamanya.

“Insya-Allah saya akan bekerja semula Disember ini. Ada beberapa tawaran yang sedang saya pertimbangkan. Saya juga sedang giat bersenam dengan bermain badminton untuk menurunkan berat badan,” katanya yang bercadang menambah ahli keluarga secepat mungkin.

Namun begitu, hasrat itu terpaksa dipendamkan dulu kerana dia melahirkan Nia menerusi pembedahan.

“Saya dan suami sudah berusia 30 tahun dan tidak boleh terlalu menjarakkan kelahiran, tetapi dengan keadaan saya sekarang, terpaksalah bersabar,” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah
NAMA KOMERSIAL: Yatt Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 April 1980
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Abdul Mutalib Abdul Shukor, 30
ANAK: Suci Hanania Malika, lapan bulan
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa & Pengajian Media
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon.
ANTARA DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella dan Ritma Kolej, Rendang Raya Mak Tijah, Ular Emas
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails