Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta Kak Engku menebal


HATI seorang wanita walaupun sering dilukai insan paling disayangi namun perasaan kasih dan cinta teramat sukar dipadam daripada ingatan. Malah satu demi satu kenangan indah menerjah kotak fikiran, membuatkan hati terasa lebih sayu dan pedih.

Bagaimanapun, segala harapan dan impian itu terkulai di tengah jalan apabila bahtera yang mula bergoyang terus hanyut dilambung ombak, terhempas di pantai lantas mahligai yang dibina sembilan tahun lalu musnah juga. Sekadar merancang yang terbaik, tetapi Tuhan lebih tahu untuk setiap ciptaan-Nya.

“Apapun yang berlaku, saya masih sayangkan bekas suami dan apabila saya nekad memfailkan perceraian serta memutuskan untuk bercerai, saya mahu dia memikirkan semula kesilapan diri dan memperbaikinya. Saya bercerai demi kebaikan kami berdua dan mungkin dapat memberi ruang kepada Adzmin untuk berfikir semula.


“Ada ketika apabila sudah berpisah, baru tahu erti rindu dan kasih. Saya tahu Adzmin masih sayangkan saya. Pintu rumah saya masih terbuka untuknya dan dalam tempoh edah tiga bulan ini kami akan terus mencari jalan perdamaian untuk berbaik semula. Mungkin kami akan rujuk balik.

“Bagaimanapun, Adzmin minta ruang untuk berfikir dan dia ada alasan sendiri. Jika kami bersama semula, dia tidak mahu lagi terjadinya perkara (perceraian) ini. Kami bercerai pun secara baik dan atas persetujuan bersama.

“Jika ketika kami masih berada di bawah satu bumbung sukar mencari jalan penyelesaian, dan sekarang selepas berpisah saya berusaha memperbaiki rumah tangga kami dari ‘luar’ pula,” katanya.


Kak Engku meneruskan bicara, Adzmin masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada tiga anak mereka - Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, dan Puteri Mia Maizurah, 4.

“Kami akan terus menjadi sahabat baik dan anak di bawah penjagaan bersama. Semasa ketiadaan saya keluar bekerja, bila-bila masa dia boleh datang menjenguk anak di rumah. Selepas menidurkan anaknya, baru dia balik ke rumahnya. Esoknya selepas saya keluar untuk konti Sinar FM di Bukit Jalil pada jam 5 pagi, Adzmin datang ke rumah.

“Sekarang tugasnya berat sedikit dan terpaksa banyak berkorban demi anak. Kami tidak mahu anak berasa kehilangan dan meskipun sudah 12 hari kami terputus ikatan suami isteri, anak masih tidak tahu. Biarlah mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Guru di sekolah pun saya minta jangan bercerita atau
bertanyakan hal kami berdua kepada mereka.

“Antara mereka bertiga, Luqman sangat rapat dengan bapanya dan lama sedikit tidak melihat kelibat Adzmin, dia akan bertanya dan menelefon bapanya. Suasana itu membuatkan saya sebak dan kerana itu saya beri kebebasan kepada Adzmin untuk datang ke rumah saya.

“Buat saya pula, kerana sudah sembilan tahun kami hidup bersama, sebelum dia balik saya tetap bertanya kepadanya soal makan. Jika tidak bekerja, saya memasak untuk kami sekeluarga dan sukar untuk saya melupakan terus tugas saya sebagai isteri kerana setiap hari itulah rutin saya melayan anak dan suami.

“Namun lambat laun saya kena terima yang kami bukan lagi suami isteri dan perlu menerima kenyataan tanggung-jawab saya kepada Adzmin sudah berakhir.

“Tersangat sedih kerana selama kami berkongsi hidup tumpuan saya pada kerja, suami dan anak. Sekali saya menyayangi seseorang, selama-lamanya ia akan bertakhta di hati, tetapi saya tak tahulah pula perasaan Adzmin pada saya.

“Ke mana pergi pun saya tidak pernah membuka pintu hati kepada lelaki lain kerana sayangkan suami. Biarpun kini membawa haluan sendiri, saya masih menyayangi dan menghormatinya serta berharap Adzmin juga terus menghormati saya,” katanya dalam nada sebak.

Terus berusaha mencari ketenangan diri, kata Kak Engku, mereka akan terus berunding mencari jalan perdamaian. Dalam pada itu, jelasnya, dia harus menerima hakikat me­ngenai perceraian itu dan moga ia lebih mematangkan mereka berdua.

Imbas kembali terjadinya perceraian itu, Kak Engku memberitahu, apabila dia minta cerai, Adzmin berat hati tetapi tetap menuruti permintaannya.

“Dia tidak pujuk saya pun dan saya nekad minta cerai kerana ketidakpuasan hati serta saya hilang kepercayaan kepadanya. Untuk berbaik semula, Adzmin perlu mengembalikan kepercayaan saya kepadanya. Memang sedih tetapi hendak buat macam mana kerana ia atas kehendak saya sendiri, jadi kenalah saya tempuhinya.

“Namun niat saya baik dan ikhlas. Allah SWT tahu apa yang saya buat, di mana saya terpaksa mengambil keputusan sukar itu demi mencari jalan penyelesaian dan perceraian ini bukan penamat hidup saya.

“Kepada mereka yang terbabit dalam keruntuhan rumah tangga saya, saya maafkan dan tidak berdendam. Saya percaya Allah SWT tidak mungkir janji dan pasti ada balasan dalam setiap perbuatan kita, sama ada baik atau jahat. Saya tidak mahu cakap banyak mengenai perkara kerana bimbang ia akan menjadi lebih besar.

“Cuma pesan saya kepada mereka yang ‘terbabit’ itu, segeralah bertaubat dan mereka pun akan berkahwin satu hari nanti dan tahulah nanti macam mana perasaan apabila orang yang kita sayang diambil orang,” katanya.

Kak Engku bersyukur kerana ibu bapanya dan keluarga mentuanya memahami situasi yang mereka lalui sekarang.

“Sebarang keputusan mereka serahkan kepada kami berdua untuk memikirkannya, kami lebih tahu apa yang berlaku. Bagaimanapun, mereka berharap kami berbaik semula. Disebabkan itu juga pada mulanya saya tidak mahu membuat kenyataan yang kami sudah berpisah kerana bimbang benda yang hendak jadi baik itu jadi tidak baik.

“Namun saya faham keadaan diri saya yang dikenali ramai dan tugas wartawan yang mencari berita. Saya tahu ada wartawan datang ke Astro mencari saya Khamis lalu tetapi waktu itu saya tidak bersedia, takut saya bercakap mengikut emosi pula nanti. Hari ini (Jumaat) baru saya bersedia untuk bersemuka dengan wartawan,” katanya.

Kak Engku sempat bergurau, kalau boleh dia memang tidak mahu mengadakan sidang akhbar kerana kalau mereka rujuk semula nanti, kena buat sidang akhbar lagi.
“Berapa banyak sidang akhbar saya kena buat lagi,” katanya sambil tersenyum.
Terus berkongsi cerita, Kak Engku berkata, Adzmin mahu ikut sama jika dia ada kerja di luar kota atau pergi bercuti bersama anak.

“Saya faham perasaannya kerana selama ini jika saya kerja jauh, kami sekeluarga pergi bersama-sama dan pastinya kami merindui sangat manis itu. Saya tak kisah dan anak tidak akan terasa janggal kenapa tiba-tiba bapa mereka tiada bersama.
“Namun kerana kami bukan muhrim lagi, jika menginap di hotel kami akan mengambil bilik berasingan. Semuanya demi anak,” katanya.

Dengan apa yang berlaku, Kak Engku menegaskan dia sekarang kena fikir mengenai dirinya sendiri dan tidak mahu peduli apa orang hendak kata.

“Banyak kerja menunggu saya. Kalau saya tertekan, macam mana dengan peminat Sinar FM. Mereka banyak menyokong kami dan apabila terjadinya perceraian ini, mereka banyak memberi dorongan serta semangat kepada saya.

“Dalam bersedih, sehari selepas perceraian saya, kami di Sinar FM dikejut­kan dengan berita stesen ini berjaya jadi stesen nombor satu dengan jumlah pendengar 4. 2 juta dan segmen pagi saja yang saya kendalikan bersama Khairil Rashid dan Salih Yaacob ada 2.2 juta pendengar.

“Apabila dapat tahu berita perceraian saya, Pak Tam (Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said) suruh saya bercuti menenangkan fikiran, tetapi saya mahu bekerja kerana hati terhibur berceloteh dengan pendengar. Dalam kereta berendam air mata tiada siapa yang tahu. Saya rindukan bekas suami saya,” katanya.

Mereka berkahwin pada 10 Mac 2001 dan tiba-tiba terdengar berita pada 3 Ogos lalu yang Kak Engku dan Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.

Kemudian pada 6 Ogos 2010, Kak Engku mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke mahkamah tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti dihebohkan, sebaliknya bagi mendapat-kan khidmat kaunseling demi menyelesaikan krisis rumah tangga.

Bagaimanapun, akhirnya rumah tangga dibina itu gagal diselamatkan lagi dan pasangan itu bercerai talak satu di mahkamah sama pada 28 September lalu dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan mereka berdua.

Jimmy bersanding dalam taman pula


SELAMAT bersanding lagi Cik Normah ucapkan buat pasangan Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani, yang difahamkan bakal diraikan buat kesekian kali pada majlis resepsi belah keluarga lelaki, 16 Oktober ini.

Selepas majlis penuh meriah diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) awal bulan ini, kali ini mereka akan muncul dalam keraian bertemakan perkahwinan dalam taman di sebuah resort di Batu Gajah, Perak. Majlis dikatakan bermula jam 2 petang.

Difahamkan juga, selepas majlis terbabit, pasangan pengantin baru ini akan turut diraikan dalam sebuah lagi majlis menyambut menantu yang akan diadakan di kampung Jimmy, juga di Perak.

Seorang teman yang turut diundang ke majlis resepsi di Batu Gajah, esok, memberitahu Cik Normah, wajah Jimmy berseri-seri selepas bergelar suami kepada anak pengusaha sebuah jenama produk kecantikan itu. Katanya, memang terpancar kegembiraan pada wajah pengacara Akademi Fantasia musim kelapan yang turut dikenali menerusi program Trek Selebriti ini.

Teman Cik Normah itu juga sempat mengorek rahsia. Katanya, pasangan pengantin baru itu mungkin akan berbulan madu di Itali sedikit masa lagi. Mereka juga dikatakan akan terbang ke Cape Town, Afrika Selatan untuk tujuan sama.

Wah, cemburu pula apabila Cik Normah mendengar destinasi bulan madu pasangan ini. Sudah lama Cik Normah teringin menjejakkan kaki ke kedua-dua lokasi terbabit, tetapi nampaknya Jimmy dan isterinya yang terlebih dulu berpeluang berbuat begitu. Tak apalah, kalau ada rezeki, tak lama lagi giliran Cik Normah dan suami pula.

Jimmy juga dengar khabarnya bukan main rapat lagi dengan kedua-dua mentuanya. Perkahwinan berkenaan boleh diibaratkan sebagai rahmat besar buat anak muda ini kerana dia sendiri sudah kehilangan kedua-dua ibu bapanya. Jadi, kini dia kembali dapat berasakan kasih sayang ibu dan bapa, walaupun sekadar ibu dan bapa mentua.
Tahniah sekali lagi Cik Normah dan teman di Berita Harian ucapkan buat Jimmy dan Nursuhaila. Semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal bahagia selama-lama.

Ditangkap Khalwat, Pengacara "Bang Bang Boom" Sedia Terima Hukuman


PETALING JAYA: Pengacara program Bang Bang Boom!, Ahmad Azahari Mohamad Ali, 27, bersedia menerima hukuman daripada Mahkamah Rendah Syariah Kajang berhubung kes khalwat melibatkan seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah apartmen di Ampang, dua minggu lalu.

Dia yang telah dipanggil untuk disoal siasat pada 4 Oktober lalu dan sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

“Saya mengaku saya berada di tempat kejadian dan ini merupakan satu kesilapan saya.

“Kes tersebut dijangka akan dibicarakan pada tahun hadapan. Saya juga telah memberikan keterangan di mahkamah dan bersedia menerima apa sahaja hukuman dan denda yang dikenakan selepas ini,” katanya ketika sidang media program Bang Bang Boom! musim keenam di Sri Pentas TV3, di sini, Khamis.

Ekoran daripada itu, Azahari turut memohon kepada penonton supaya sentiasa memberikan sokongan kepada program Bang Bang Boom! dan mengetepikan masalah yang di hadapinya itu.

Malah dia juga mampu menghadapi kes tersebut dengan baik tanpa mempengaruhi karier seninya.

“Saya harap penonton dapat membezakan antara soal peribadi saya dan rancangan yang saya kendalikan, Bang Bang Boom!. Saya mahu penonton terus menonton dan memberikan sokongan kepada Bang Bang Boom!.

“Saya akui pertama kali melalui saat seperti ini dan menjadikan ia sebagai satu pengajaran serta lebih berhati-hati lagi selepas ini. Kes ini merupakan yang pertama dan pastinya yang terakhir dalam hidup saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerbit program tersebut, Tengku Mohd Ismail Tengku Ibrahim berkata pihak produksi masih memerlukan khidmat Azahari pada masa akan datang dan tiada tindakan yang diambil walaupun insiden tersebut sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya.

“Saya akui apabila soal kerja, kita tidak akan campurkan hal peribadi dan fokuskan tentang kerja. Lagipun, Azahari tiada masalah dengan kami. Jadi, kami hormati setiap masalah yang berlaku melibatkan peribadinya,” jelasnya.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, pengacara itu mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama sebaliknya hanya membantu mengemas barang di rumah wanita itu yang mahu ke Kota Kinabalu, Sabah.

Irwanshah mahu nikah pada 11.11.11


SELEPAS menghadiri ke majlis pernikahan pelakon Indra Bekti dan Adilla Jelita pada 10 Oktober lalu di Sampoerna Strategic, Sudirman, Jakarta, penyanyi dan pelakon, Irwanshah telah mendapat inspirasi daripada majlis rakannya itu.

Beritahu Irwanshah, dia juga mahu memilih tarikh unik iaitu 11.11.2011 untuk melangsungkan perkahwinannya dengan kekasihnya, Zaskia Sungkar.

"Memilih tarikh yang unik memudahkan kita untuk mengingati hari yang bersejarah. Jadi, majlis pernikahan Indra sememangnya memberikan saya inspirasi baru selain dekorasi yang menarik pada majlis pernikahan saya nanti.

"Jika ada jodoh saya akan menikahi Zaskia. Dia seorang wanita yang begitu memahami saya," katanya sambil menoleh ke arah Zaskia yang menemaninya saat ditemubual laman portal Kapanlagi.

Tambah Irwanshah, dia berharap agar pernikahannya dengan Zaskia nanti dapat bertahan hingga ke akhir hayat.

Apalagi bila Zaskia sememangnya ciri-ciri wanita yang diidamkan oleh jejaka tersebut.

Sementara itu, Zaskia pula berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada bekas kekasih Acha Septriasa itu.

"Setiap pasangan sebenarnya sudah ditugaskan dengan peranan masing-masing. Begitu juga dengan kami yang tahu peranan kami sebagai sepasang kekasih.

"Justeru itu, dari segi zahirnya, kami memang sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga," ujarnya yang meminta para peminat untuk merestui perhubungan mereka.

Shahz Jaszle Nafi Cinta Maria Farida


PETALING JAYA: Pelakon kacak, Shahz Jaszle menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan aktres jelita Maria Farida.

Shahz memberitahu hubungan mereka hanya sekadar rakan artis dan menganggap Maria Farida sebagai artis senior yang dikaguminya.

"Saya dengan kak Maria tidak bercinta, saya kagumi dan hormati dia sebagai rakan atis yang banyak pengalaman. Dia banyak beri tunjuk ajar dalam lakonan saya.

"Tentang gambar itu kami sekadar suka-suka ketika di lokasi penggambaran, kami rapat kerana sering berlakon bersama iaitu dalam drama Asmara dan Bola Cinta baru-baru ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Shahz juga memberitahu gambar tersebut diletakkan di profil BlackBerry Messenger (BBM) miliknya tanpa sebarang niat atau memberitahu tentang sesuatu hubungan istimewa.

"Saya tak sangka ia boleh menjadi isu, saya fikir ini hanya sekadar suka-suka. Tentu dia marah jika dapat tahu berita tidak benar ini. Saya benar-benar tidak ada apa-apa hubungan dengannya selain rakan kerja," katanya.

Dalam pada itu pelakon drama Asmara ini memberitahu dia gembira dengan sambutan penonton terhadap drama tersebut.

"Banyak maklum balas yang baik saya terima dari drama Asmara itu. Alhamdulilah rating juga semakin meningkat. Ramai juga yang tegur saya di luar dengan nama abang Asmara," jelasnya.

Dalam pada itu, Shahz memberitahu terpaksa memotong rambutnya untuk drama terbaru terbitan TV Hijrah. Dia bakal memeggang watak seorang budak nakal yang baru pulang dari luar negara yang akhirnya insaf.

"Watak kali ini sedikit berbeza, saya seorang budak yang nakal baru pulang belajar dari luar negara. Memiliki sebuah keluarga yang kaya raya, namun kejadian demi kejadian dia mula insaf sehingga merubah dirinya menjadi seorang ustaz,

"Untuk drama 12 episod ini saya sudah memotong rambut, memang rasa sangat sayang sebab saya sudah biasa tampil dengan rambut panjang, tapi terpaksa sebab ini adalah kerjaya saya," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Mistik Alam Hitam.

Cerita perit perpisahan Julia Ziegler


UCAPAN selamat tinggal adalah salam akhir yang cukup sukar untuk ditelan. Apa yang boleh dimamah bersama hanyalah momen-momen yang disimpan menjadi santapan jiwa dan akal.

Sayatnya hati di ambang perpisahan itu sudah biasa dilalui oleh gadis bernama Julia Ziegler. Bak air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.

Lahir dengan nama Julia Bob Fauzi Ziegler, nyawa gadis ini pernah ‘berpisah’ seketika daripada badannya.

Khalayak sudah tahu, insiden itu berlaku lantaran putusnya cinta yang membuat pelakon ini hilang pertimbangan.

Dia cuba lari daripada patah hati yang menjeruk rasa, dia ditimpa kecelakaan. Sudahlah berpisah dengan jejaka perkasihan tiga tahun, tubuh badannya pula hampir remuk ‘dibelasah’ kereta yang berselisih penghadang jalan.

Penulis bertanyakan dirinya tentang rasa perpisahan dalam dirinya. Dia mengungkap, rasa terbaru ini lebih memedihkan.

Uniknya perpisahan kali ini ialah dia disergah kesedaran yang bukan picisan dalam minda dan hati kecilnya.

Hasilnya filem Crayon yang dibikin di bawah produksinya, Zioss Film Sdn. Bhd. memberi impak bukan sedikit dalam diri anak kacukan Jerman-Melayu ini.

Bergaul dengan anak-anak yatim di Melaka yang turut menjadi tulang belakang filem yang akan ditayangkan pada 11 November ini, Julia menyelami kesepian yang menerjah hati dan tulang-temulang mereka.

Lebih daripada itu timbul kesyukuran bercabang dalam dirinya yang masih sihat dan berkeluarga lengkap.

Ikhlas

“Pada hari terakhir kami bersama setelah 28 hari, kami habiskan masa di tepi pantai. Itu momen yang saya simpan bersama mereka. Saat berpisah itu sukar kerana kami sudah terbiasa bersama.

“Semua menangis bersama. Inilah kekeluargaan. Jujurnya hati kecil saya tersentuh kerana saya memang inginkan anak tetapi masih belum sedia untuk bersuami.

“Jadi inilah ‘anak-anak’ saya,” ujarnya yang tersenyum manis teringat detik itu.

Crayon ialah sebuah filem hasil tulisan Ainuddin Burhan yang mengangkat perjuangan seorang wanita terhadap kebajikan anak-anak yatim dan Julia bertindak sebagai penerbit yang memberi warna dalam dunia filem tanah air. Calitan krayon Zioss terselit pengertian.

Bukan niat bertindak pandai, namun keikhlasan yang jatuh tepat di hatinya mahu diangkat menjadi satu kesedaran yang dapat menjadi tempias di buluh hati khalayak.

Jujurnya lagi, golongan anak yatim ini hanya diberi perhatian ketika menjelang bulan Ramadan dan Syawal. Dijamu makan itu dan ini. Itu juga belum tentu besertakan niat yang ikhlas.

Ada yang jujur tetapi tidak kurang pula yang berserta nawaitu yang berlainan. Golongan kurang bernasib baik ini seakan-akan digunakan bagi tujuan budaya bulan mulia tersebut.

Bukan menidakkan keikhlasan pihak lain, Julia hanya menerangkan kehendak hatinya untuk memvisualkan suka dan duka kehidupan anak tanpa ibu dan ayah yang sepatutnya menjadi payung hidup mereka.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk berbuat sesuatu. Saya juga menimba pengalaman baru bersama mereka. Hidup ini bukan untuk diri sendiri, tapi untuk orang lain jua.

“Kalau boleh diberikan sesuatu, maka hulurkanlah. Cuba bayangkan betapa gembiranya anak-anak kecil ini ketika dibawa melawat bangunan KLCC dan pergi menonton wayang.

“Saya mahu lakukan itu untuk mereka dan jika ada pihak lain yang mahu turut serta, boleh hubungi saya.

“Kita sama-sama memberi kegembiraan buat mereka,” ujar Julia lalu menerangkan bahawa kutipan filem Crayon kelak akan dihulurkan buat tujuan amal.

Peluang Kedua

Kehadiran Crayon kalau dilihat daripada anak mata Julia dan tutur bibirnya bukan muncul saja-saja. Ia berputik daripada pengalaman yang pernah dilaluinya.

Selagi hidup ini belum habis juangnya, selagi itulah berjalan dugaannya. Meneliti perjalanan pelakon filem Jangan Tegur ini, dia bersyukur diberikan kesempatan bernyawa untuk kali kedua.

Dia tahu dia diberikan pilihan untuk menjadi manusia yang lebih berguna. Pernah satu ketika dia hampir binasa kerana rasa.

“Saya dimasukkan ke dalam karung mayat sewaktu kemalangan tersebut. Bayangkan. Kemalangan tersebut juga membuatkan saya hilang keyakinan dan tertekan.

“Tapi seiring perjalanan masa, semuanya berubah. Hidup ini sukar tetapi perlu dijalani. Kerana itu saya mahu berbakti buat masyarakat.

“Jika diizinkan Tuhan dan segalanya berjalan lancar, produksi saya akan keluar dengan filem untuk orang kurang upaya dan warga emas pula,” ujarnya yang bakal muncul sebagai gadis penjual bunga buta dalam drama bersiri Toyol Nakal.

Sasaran 10.10.10

Penulis tanyakan Julia, sama ada dia punya satu nombor yang penuh bererti dalam hidupnya. Dia menjawab dengan pantas:

“Nombor 21!

“Ulang tahun saya jatuh pada 21 Mei 1984. Saya mengalami kecelakaan pada tanggal 21 November 2006. Nombor tersebut akan terus terpahat dalam jurnal hidup saya sebagai nombor yang penuh pengertian,” luah pelakon siri Tudung Ekspres yang kini masih ditayangkan di saluran Astro Ria.

Dia tersenyum meluahkan sesuatu yang masih perihal nombor.

“Saya sebenarnya pernah bercita-cita untuk berumah tangga pada tarikh 10.10.10. Itu sebelum saya ditimpa kemalangan.

“Tapi melihatkan tarikh itu sudah dekat dan saya belum ada sesiapa yang istimewa, nombor itu hanya tinggal kenangan.

“Saya rasa tarikh tersebut cukup istimewa,” ucapnya. Sasarannya, tahun hadapan kalau diizinkan Ilahi, dia mahu bergelar isteri.

Tetapi sebelum memikul status yang penuh erti itu, dia terlebih dahulu mahu menjelajah dunia. Mahu mendekatkan diri dengan Tuhan sambil mencari ketenangan jiwa.

“Saya memang sedang mengenali seseorang. Cuma saya takut untuk memberikan sayang saya.

“Kerana kalau sudah jatuh cinta, saya sanggup berkorban deminya,” kata Julia sambil tersenyum menggambarkan dirinya yang sedikit lemah dek cinta.

Rahsia pernikahan Bienda


DIA optimis dengan keputusannya. Menyembunyikan tarikh dan lokasi pernikahan daripada pengetahuan umum, Bienda tahu dia akan mendepani beragam spekulasi. Namun, hati penyanyi dan pelakon itu tekad untuk terus merahsiakan hari bahagianya atas alasan tertentu.

Bagi peminat yang belum mengetahui, Bienda atau Nor Razlinda Razli telah selamat disatukan dengan belahan jiwanya, Kamarul Zariman Abd. Rahman atau Boy, 25, dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat baru-baru ini.

Memuntahkan segenap perasaan, anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda itu pasrah jika selepas ini ada sebilangan pihak terus menebar pelbagai andaian termasuk yang kurang manis tentang penyatuan dirinya dan Boy dalam upacara lafaz akad nikah yang disembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Terus terang, saya menyorokkan tarikh dan lokasi majlis pernikahan ini atas permintaan keluarga sendiri dan pihak Boy. Sebelum ini, timbul kekecohan kononnya saya sudah berkahwin secara senyap. Malah, ada lagi gosip menimpa kami sehingga menyebabkan banyak hati terluka.

“Oleh kerana terlalu banyak cerita negatif, keluarga sendiri minta hari pernikahan saya tidak digembar-gembur. Yang penting, saya dan Boy sudah selamat disatukan dalam ijab kabul,” katanya ketika ditemui usai resepsi persandingannya di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang, Selangor Jumaat lalu.

Kalau mengikut gerak hati mudanya, wanita berusia 25 tahun itu tidak mahu mengadakan sebarang majlis persandingan. Semahunya, Bienda ingin merealisasikan sebuah majlis di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan. Namun, pada waktu sama, dia terikat dengan batasan lain sekali gus mahu meraikan teman artis dan pihak media.

“Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat beritahu tarikh dan lokasi pernikahan. Biarlah orang lain ingin buat apa jua spekulasi, hakikatnya, saya tetap hendak merahsiakan hal baik ini. Lagipun, bukan mudah saya mahu memuaskan hati orang lain.

“Sejujurnya, selama ini saya sekadar berdiam diri dan menahan sabar jika ada cerita negatif tentang saya tersebar.

“Cuma, kali ini, saya minta mereka hormat keputusan dilakukan. Jangan paksa saya jadi macam artis lain yang terbuka untuk berkongsi kisah peribadi termasuk pernikahan,” jelasnya yang sudah 13 tahun mempertaruhkan diri dalam laman seni.

Selepas mengadakan resepsi persandingan yang disuntik tema Arab dan Bollywood untuk pihaknya dengan persalinan dari Butik Udaimatunnur dan Arma Abd. Rahman, sebuah lagi majlis meraikan pihak pengantin lelaki akan berlangsung di Melaka pada 17 Oktober ini.

Cinta tiga tahun

Mengimbas bunga cintanya berputik bersama Boy, Bienda dengan pantas menuturkan kata. Jelasnya, bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang menjadi saksi pertemuan dua hati yang kebetulan belum terisi nikmat berpacaran.

“Saya jumpa Boy sewaktu sedang menjalani penggambaran untuk sebuah sitkom di Finas manakala dia pula bertugas sebagai salah seorang tenaga produksi secara sambilan. Kemudian, kami bertegur sapa antara satu sama lain sebagai salam perkenalan dan bertukar nombor telefon.

“Bayangkan, pada masa itu, dia tidak tahu saya merupakan seorang penyanyi. Dia ingatkan saya berlakon saja. Kami lebih banyak berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding membuat panggilan telefon bagi merapatkan hubungan persahabatan.

“Tiga minggu selepas itu, dia mula melamar saya untuk menjadi teman wanitanya dan menyatakan hasrat menyunting saya sebagai isteri. Selepas itu, kami terus bercinta. Sepanjang tempoh tiga tahun lalu sehingga bersepakat menamatkan zaman bujang.

“Untuk sampai pada tahap alam perkahwinan, ianya bukan menjadi perkara senang. Ada dugaan yang kami lalui selama ini. Alhamdulillah, kini semua berjalan seperti dirancang apabila akhirnya kami sah bergelar suami isteri,” luahnya sambil menghela nafas lega.

Bercerita tentang personaliti suami yang bekerja sebagai penerbit di salah sebuah stesen televisyen swasta itu, pelantun lagu Penantian itu melihat Boy sebagai individu bersikap lemah lembut, menghormati orang tua dan bijak mendamaikan jiwa keras Bienda.

Linda Jasmine Borong Barang Hari Jadi Anak Di AS


KOREOGRAFER Linda Jasmine dan suaminya, aktor Que Haidar memilih untuk membeli barang persiapan majlis hari jadi anak mereka, Tengku Ratu Haidar di Amerika Syarikat (AS).

Alang-alang bercuti di sana pada 21 September hingga 4 Oktober lalu, pasangan bahagia ini tidak kisah berbelanja lebih untuk meraikan genap setahun umur Ratu pada 26 Oktober ini.

Majlis bertemakan 'little miss sunshine' itu akan disambut pada 6 November ini. Lokasi belum ditetapkan.

Bertepatan dengan temanya, Linda dan Que memilih gabungan warna putih dan kuning.

"Saya membeli barang untuk Ratu seperti dress berwarna kuning sebanyak tiga pasang, kasut kuning, bunga kuning untuk hiasan kepala.

"Selain itu, saya membeli gula-gula dan riben berwarna kuning untuk majlis berkonsepkan minum petang tersebut," katanya kepada mStar Online.

Biarpun banyak berbelanja untuk Ratu, ole-ole untuk anak sulungnya, Qalif Khan tidak dilupakan. Dia menghadiahkan permainan dan baju untuk anak lelaki berusia 9 tahun itu.

Selain membeli-belah di Portland dan San Francisco, Linda dan Que sempat mengunjungi beberapa lokasi menarik seperti taman bunga ros, penjara Alcatraz, jalan paling bengkang-bengkok di dunia, air terjun Columbia River termasuk Disneyland, Los Angeles.

Untuk melihat banyak gambar menarik ketika kunjungan mereka di Amerika Syarikat, dapatkan akhbar Mingguan mStar yang dijual bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang pada Ahad ini.

Kenyataan Rasmi Perceraian Raja Azura


PETALING JAYA: Selepas beberapa hari melarikan diri daripada pihak media, penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, 38, (gambar) akhirnya mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada 28 September lalu.

Pengesahan itu diumumkan oleh Raja Azura sendiri dalam satu kenyataan rasmi menerusi kiriman emel, Jumaat.

Pengacara popular itu berkahwin dengan anak kepda bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof pada bulan Mac 2001.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7 dan Puteri Mkia Maizurah, 4.

Berikut adalah petikan daripada kenyataan rasmi Raja Azura itu.

"Assalamualaikum wbt dan salah sejahtera.

Maafkan saya kerana sukar untuk dihubungi beberapa hari kebelakangan ini. Mungkin ini telah menyebabkan ramai menganggap saya sengaja mengelakkan diri, terutama daripada rakan-rakan media, tetapi segala tindakan saya bersebab.

Sebagai manusia, saya tentulah ada kelemahan. Saya masih sedih dan belum bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat, apatah lagi berbicara mengenai keadaan saya secara terbuka.

Berikanlah saya masa untuk mengumpul kekuatan diri dan meredakan emosi. Masalah yang saya alami adalah sangat peribadi dan saya amat berharap semua pihak dapat hormati ruang peribadi saya.

Sebagai anak seni yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya maklum akan tuntutan kerja wartawan.

Walaupun dihujani dengan panggilan telefon dan pesanan ringkas, bahkan ada yang tekad sehingga menunggu saya di pejabat, saya tidak marah mahupun kecil hati.

Saya ingin mengesahkan bahawa, kes mahkamah saya telah selesai secara damai dengan persetujuan bersama.

Perceraian antara saya dan Adzmin Tan Sri Osman adalah jalan terakhir setelah peluang berunding yang diambil. Saya akui menemui jalan buntu.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna rumah tangga yang kami bina selama sembilan tahun ini tidak boleh diselamatkan lagi, cuma tiada jalan penyelesaian lain yang ditemui buat masa ini.

Saya yakin masih ada peluang untuk memilih dan menyelamatkan rumah tangga ini, kerana ini adalah perceraian kali pertama dan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Saya masih dalam tempoh edah dan kami boleh rujuk semula. Perceraian bukanlah penamatnya.

Kami masih tidak putus asa mencari pendamaian walaupun tidak lagi bergelar suami isteri.

Saya terima hakikat bahawa perkara yang berlaku ini menjadikan saya semakin dewasa dalam alam rumaht angga.

Perpisahan tidak menjadi penghalang bagi kami untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak.

Perceraian bukan kesalahan dari segi agama ataupun undang-undang, malah dihalalkan dalam Islam serta dibenarkan undang-undang mengikut prosedur yang betul.

Perceraian ini berlaku secara aman dan tidak perlu dibesar-besarkan demi kebaikan bersama antara saya dan Adzmin.

Kami memilih keputusan ini atas dasar memulihkan kerukunan rumah tangga setelah kaedah membaiki diri dari dalam tidak berhasil. Sampai masanya kami mencuba kaedah membaiki dari luar pula.

Seperti yang tertulis dalam Al-Quran, "Tasrihun bi ihsan" yang bermaksud bercerai demi kebaikan.

Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ia mendewasakan saya dalam menempuhi perjalanan hidup menempuhi alam rumah tangga.

Peluang untuk rujuk dan kembali menjadi suami isteri masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamat. Selagi saya masih bernyawa, perjuangan saya belum selesai.

Kami tetap bersahabat baik dari dulu sampai bila-bila, tempoh edah ini memberi peluang kepada kami untuk berfikir secara rasional.

Adzmin masih mengambil berat diri saya dan mengambil tahu akan keperluan saya, seperti nafkah dan lain-lain. Kami tahu silap masing-masing dan kasih sayang kami tidak pernah luntur.

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang memahami dan banyak bersabar dengan situasi ini.

Harapan saya agar semua pihak sama-sama mendoakan kebahagiaan saya dan Adzmin meskipun kami kini berada dalam bahtera yang berbeza.

Mungkin satu hari nanti, siapa tahu, kami akan kembali berkongsi satu bahtera yang sama. Doakanlah kami.

Yang benar, Raja Azura.

Halim Othman Tangguh Kahwin


KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Suria FM, Halim Othman mengakui kesibukan sebagai penyampai radio Suria FM menjadi salah satu punca dia menanguhkan perkahwiannnya pada 2010.

Kata Halim, sejak menyertai Suria FM dia terlalu fokus dan menumpukan segala perhatiannya kepada kerja sehingga terpaksa mengambil keputusan tersebut.

"Setelah bekerja semula saya rasa terlalu teruja dan meletakkan pekerjaan kepada tempat paling utama. Kami terlalu banyak agenda dan perancangan yang diaturkan bagi meningkatkan Suria FM.

"Jadi saya rasa tahun ini tidak sesuai untuk melakukan perkara yang agak besar bagi saya. Insya-Allah ia akan dilakukan pada tahun hadapan," katanya.

Sebelum ini, lelaki berusia 45 tahun ini mengakui sudah bertemu pasangan yang sesuai dan bakal mengikat hubungan mereka secara rasmi pada Jun lalu.

Namun disebabkan kesibukan, dia dan keluarga kekasihnya itu telah mencapai kata sepakat menangguhkannya dan menerima keputusan tersebut.

"Kami sudah berbincang dan menunda kepada satu tarikh yang baru iaitu dalam tahun hadapan.

"Saya mahu majlis tersebut dijalankan dengan keadaan yang tenang dan tidak secara tergesa-gesa dan kelam kabut," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Suria FM dan Red FM.

Tambah Halim, fokus utama terarah kepada tanggungjawabnya membawa Suria FM ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Biarpun ramai yang menganggap dia sudah tidak sehebat dulu, dengan pencapaian terbaru Suria FM secara tidak langsung membuktikan namanya masih berbisa.

"Ketika dibawa masuk, matlamat utama saya untuk bekerja habis habisan untuk capai sasaran ini. Maklumlah ketika itu saya sudah dua tahun berhenti dan tidak menyangka masih ada pengikut dan pendengar setia.

"Pada saya idea membawa rancangan yang digemari merupakan satu cara yang mampu tarik perhatian pendengar selain hanya sekadar celoteh kosong sahaja," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails