Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shaheizy Sam Tunggu Tiga Tahun Untuk Raih Gelaran Paling Popular


GENTING HIGHLANDS: Tiga tahun menunggu, akhirnya impian pelakon Shaheizy Sam untuk meraih gelaran Artis Paling Popular termakbul.

Namun bukan mudah untuk anak bongsu pelakon Khaty Fauziah ini untuk menempa kejayaannya sebelum turut diumumkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, malam Ahad.

Sebalik kejayaan itu, pelakon yang dikenali dengan nama Sam ini berkongsi tentang jerih-perih ibunya yang banyak menjadi pendorong dan tulang belakang kepada kerjayanya.

"Saya mula mengidam untuk mendapat anugerah ini sejak tiga tahun lalu yang dimenangi oleh Mawi, Nabil dan Datuk Siti Nurhaliza.

"Dengan kejayaan ini, saya sangat berterima kasih kepada mak dan peminat yang banyak mengundi saya kerana tanpa mereka, saya tak akan berada di sini.

"Kemenangan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada cita-cita saya untuk berjaya dalam hidup demi bahagiakan mak saya.

"Saya juga mahu berkongsi kejayaan ini dengan ibu kerana sejak kecil lagi saya sudah nampak susah payah dia dalam hidup di tambah pula menjadi ibu tunggal," ujar Sam yang tidak mengetahui jumlah undianyang dilakukan oleh ibunya.

Tambahnya yang berhasrat untuk menghadiahkan set barangan kemasmutiara Rafflesia berharga RM180,000 kepada Khaty : "Ibu sanggup belikan akhbar dan jika tidak sempat, dia akan meminta tolong orang lain membelikannya semata-mata untuk mengundi saya.

"Alhamdulillah, dengan bantuan kawan-kawan, keluarga dan peminat, saya rasa sangat dihargai.

"Saya rasa seperti usaha saya selama ini sedikit sebanyak terbalas. Dulu, apabila melihat pelakon popular, saya rasa beruntung menjadi seperti mereka kerana dikenali ramai.

"Bagaimanapun, semuanya berbalik kepada doa dan keikhlasan kita kerana Tuhan akan sentiasa membantu hambanya.

"Sebolehnya, saya mahu menjadi seorang pelakon yang bukan hanya bergelar seorang pelakon, tetapi yang terbaik. Saya memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik."

Sam turut menyatakan perasaan terkejutnya dan tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan reaksi selepas menerima gelaran 'artis paling popular'.

Pelakon filem Adnan Sempit dan Ngangkung ini juga pada mulanya menyangkakan gelaran itu menjadi milik Zizan (Raja Lawak), FaizalTahir, Yuna, Aizat atau Lisa Surihani.

Dia yang menceburi dunia lakonan sejak di bangku sekolah pada tahun 1994 turut teruja menantikan lapan buah filemnya yang belumditayangkan di pawagam termasuk filem Kongsi pada Mei tahun ini.

Dalam perkembangan lain, adik kepada pelakon Zizie Ezette ini akan berlakon sebuah filem muzikal komedi romantik sebagai seorang pelajar dan menjalani penggambaran di Korea dalam masa terdekat ini.

Kemenangan Sam turut melayakkannya memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000.

Ia termasuk Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 serta hadiah iringan dan trofi.

Hadiah Bintang Paling Popular disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang.

Juliana Ibrahim Muncul Selepas 'Hilang' Tiga Tahun


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Juliana Ibrahim, 31, kembali aktif selepas tiga tahun berehat dari industri seni.

Kali terakhir, dia muncul di televisyen menerusi drama Saka di TV3. Sebelum itu dia pernah mengendalikan program kanak-kanak Chicky Hour (TV3), program penggembaraan Memori (RTM), program realiti So You Think You Can Dance (8TV) dan drama realiti Impian Illyana (TV3).

Sebelum ini, Juliana banyak berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Belanda kerana mengikut suaminya, Pelle Aardewerk, 37, yang berasal dari negara tersebut.

Sekarang, dia sedang melayari hidup bahagia dengan suami dan dua anaknya, Luna Alyssa, 2, dan Alaia Zahira, 1, serta memilih untukmenetap terus di sini.

Pasangan ini berkahwin pada tahun 2007 dan suaminya bekerja sebagai pengurus audit teknologi maklumat.

"Jika dulu saya banyak berehat dan kini saya mahu aktif semula dengan bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Aquila Emas.

"Suami tidak menghalang saya untuk aktif semula dalam industri. Walaupun begitu, tidak bermakna saya akan mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu.

"Saya mungkin terpaksa berkorban beberapa perkara seperti masa bersama keluarga. Jika saya tiada, anak-anak akan dijaga oleh pembantu kami," kata Juliana yang turut menerima tawaran membuat rakaman suara latardan mengacara majlis.

Selain itu, dia yang pernah muncul dalam filem Jarum Halus dan Gubra akan berlakon filem ketiganya pada Jun ini.

Bercerita sedikit tentang program terbarunya, dia dan pelakon ZizanNin sekali lagi bergandingan dalam Ayu & Tampan - Penyiasat Imej.

Program ini bakal disiarkan bermula 4 April, setiap Isnin, pukul 5.30 petang di TV3.

"Saya rasa teruja untuk bergandingan dengan Zizan selepas kami pernah berlakon sama-sama dalam Saka.

"Bagaimanapun, program ini memberikan satu pembaharuan kepada saya kerana pertama kali terlibat dalam program kecantikan.

"Setelah menyertai program ini, saya rasa lebih mengambil berat tentang penjagaan badan kerana sebelum ini saya tidak suka bersenam kerana berat badan saya susah naik," ujarnya lagi.

'Rasa Macam Nak Mati, Tertidur Dalam Tandas' - Zizan Nin


KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Nin meluahkan perasaan apabila merasakan dirinya seperti hendak mati kerana terlalu sibuk dengan jadual penggambaran.

Zizan berkata, kesibukan itu menyebabkan waktu rehatnya terganggu sehingga dia pernah tertidur di dalam tandas akibat terlalu penat.

"Pada hari pertama saya menjalani penggambaran sebuah program kecantikan Ayu & Tampan, saya sudah bangun seawal pukul 3 pagi kerana perlu berada di lokasi pada pukul 5.30 pagi.

“Disebabkan saya tidak sihat, saya tertidur dalam tandas sehinggalah dikejutkan oleh isteri saya,” ujarnya.

Menurut Zizan, selepas dia ke klinik, doktor menasihatinya supaya berehat dengan memberinya cuti sakit tetapi dia terpaksa juga ke lokasi penggambaran kerana perlu meneruskan kerja yang telah dijanjikan

Kata Zizan, sebelum ini dia sibuk dengan penggambaran drama 13 episodMimi Mencari Cinta di samping pelakon Scha Al-Yahya selain berlakon untuk siri televisyen Ayu & Tampan sebagai penyiasat imej.

Siri tersebut merupakan program berbentuk drama dan temu bual melibatkan tiga jenama kecantikan dan kesihatan iaitu Yun Nam Hair Care, London Weight Management dan New York Skin Solutions.

Ia akan disiarkan bermula 4 April ini pukul 5.30 petang di TV3. Selain Zizan, siri berkenaan turut dilakonkan oleh Juliana Ibrahim.

Jelas Zizan, dia perlu mematuhi masa yang ditetapkan semasa penggambaran siri tersebut walaupun tugasnya agak berat.

"Jadual saya sangat sibuk sehingga kadangkala saya hanya boleh tidur dua hingga tiga jam. Walaupun tidak sihat, saya tidak boleh batalkan temu janji untuk menemu bual pakar dan pelanggan untuk program berkenaan kerana ia telah melibatkan jadual mereka.

"Jika tidak, saya akan menimbulkan masalah kepada pihak produksi dan pihak lain yang terlibat kerana kami perlu menyelesaikannya pada masa yang ditetapkan," katanya.

Bercerita tentang pengalaman menemu bual pihak terbabit, Zizan tiada masalah kerana dia pernah mengendalikan program yang hampir sama berjudul Pakar Kecantikan musim ketiga.

"Saya suka bertanya seperti bagaimana mereka mendapatkan rawatan dan kebanyakan pelanggan menjawab berdasarkan pengalaman sendiri. Untuk permulaan dan akhir siri ini, saya dan Juliana perlu berlakon sedikit sebagai wartawan imej sebuah syarikat majalah

"Saya lebih fokuskan kepada persoalan melibatkan masalah kulit dan rambut manakala Juliana lebih kepada masalah berat badan," katanya yang sibuk dengan penggambaran siri tersebut sepanjang Mac dan April ini.

Sempena pelancaran siri 12 episod ini, ketiga-tiga jenama itu memulakan peraduan pencarian 'Cover Model' bagi mereka yang inginkan perubahan imej.

Peraduan ini bermula 31 Mac lalu dan dibuka kepada lelaki dan wanita yang mempunyai masalah rambut, berat badan atau kulit. Mereka harus berumur 18 tahun ke atas.

Yuzwan 'Pilih Kasih' Luah Rasa Sedih, Tiada Tawaran Berlakon


PETALING JAYA: Naib juara Pilih Kasih musim kedua, Yuzwan Yunus gelisah kerana masih belum menerima tawaran berlakon daripada mana-mana penerbit atau pengarah sejak sebulan lalu.

Pelakon itu berkata dia tertanya-tanya kenapakah bakatnya dalam dunia seni tidak dipandang sedangkan rakan-rakannya yang lain dalam program serupa sudah ditawarkan berlakon filem dan juga drama.

“Saya sanggup berpindah dari Kuala Lipis, Pahang dan menetap bersama abang saya di Rawang, Selangor untuk memudahkan saya menjalani apa-apa uji bakat dalam bidang seni tetapi sayang sekali ia tidak seperti yang saya harapkan,” katanya.

Yuzwan memberitahu dia turut bertanyakan kepada Rosyam Nor mengenai apa-apa tawaran berlakon tetapi penerbit drama ini memintanya bersabar.

Biarpun risau dengan keadaannya sekarang, Yuzwan tidak menyesal untuk bergelar pelakon dan masih berusaha untuk menerima tawaran berlakon dengan bantuan kawan-kawannya termasuk Shasha Alkred (Pilih Kasih 2) yang mempunyai ramai kenalan dalam industri.

“Antara finalis Pilih Kasih 2, saya seorang sahaja terkapai-kapai mencari kerja sedangkan yang lain sudah berlakon dan sedang menunggu masa untuk penggambaran.

“Sepanjang sebulan ini, saya hanya menganggur dan mencari-cari kerja. Jika perkara ini berterusan sehingga beberapa bulan lagi, mungkin saya akan mencari kerja separuh masa untuk menampung duit poket,” ujarnya yang baru menerima hadiah selepas memenangi tempat kedua Pilih Kasih 2.

Jelasnya, dia tidak kisah untuk berlakon apa jenis watak sekalipun asalkan dia boleh membawa watak tersebut.

“Saya bersedia untuk membawa watak apa sahaja. Saya sanggup melakonkan watak sedih atau watak jahat. Bagaimanapun saya belum pasti sama ada mampu membawakan watak komedi atau tidak,” katanya.

Ruhil Amani Lahir Anak Kedua


PETALING JAYA: Penyanyi Ruhil Amani Hussein selamat melahirkan bayi keduanya, Raayan Alexander Wilson Jamil Wilson pada 3 Mac lalu.

Bayi lelaki seberat 3.83 kilogram itu dilahirkan di Hospital Pakar Damansara pada pukul 12.59 tengah hari.

Isteri kepada pemain gitar terkenal, Jamil Wilson atau Jamie ini melahirkan bayinya secara pembedahan.

Penyanyi lagu Kawan ini masih aktif menyanyi dan pernah membuat persembahan bersama-sama Ferhad di ibu kota ketika sedang sarat mengandung.

Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan kini sedang melalui proses berpantang.

Pasangan ini berkahwin pada tahun 2003. Hasil perkongsian hidup, mereka turut dikurniakan anak perempuan bernama Ruhil Ariana Wilson Jamil Wilson, 7.

Intan Ladyana Nafi Bersekedudukan Dengan Kamal Adli


PETALING JAYA: Aktres Intan Ladyana Mohamad Yahaya, 28, menafikan dakwaan tinggal serumah atau bersekedudukan dengan kekasihnya aktor Kamal Adli di sebuah kondominium di Ampang, Selangor.

Kata pelakon yang mesra disapa Intan itu, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana hakikatnya mereka tinggal berasingan.

"Dakwaan yang mengatakan saya tinggal serumah dengan Kamal adalah tidak betul sama sekali. Kamal tinggal bersama keluarganya.

"Memang tidak betul sangatlah kalau ada yang mendakwa kami tinggal bersama macam pasangan suami isteri," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Mengakui Kamal kerap berkunjung ke rumahnya untuk berjumpa atau keluar bersama, Intan bagaimanapun berkata, aktor itu hanya menunggu di bawah dan jarang masuk ke rumah kecuali atas hal-hal tertentu atau kecemasan.

"Saya tidak menafikan Kamal selalu datang tetapi tidaklah sampai masuk ke rumah, apatah lagi untuk tidur bersama pula.

"Kebiasaannya dia akan tunggu di bawah sahaja. Kalau pun keadaan memaksa dia untuk masuk ke rumah, kami tidak akan berdua-duaan. Pasti ada pembantu peribadi saya atau rakan-rakan lain juga," katanya.

Tambah pelakon filem Kembar Siang itu, dakwaan tersebut mungkin timbul kerana jiran-jirannya sering melihat kelibat Kamal berkunjung di kawasan kediamannya.

Tanpa mengetahui cerita yang sebenar, segelintir pihak mudah membuat tanggapan dan andaian masing-masing dengan menyebarkan cerita tersebut.

"Inilah masalahnya apabila orang mudah membuat andaian masing-masing tanpa mengetahui cerita sebenar. Namun, saya tidak kisah sebab perkara itu tidak berlaku," katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Intan baru sahaja menyambung kontrak sebagai pengacara untuk musim baru program Chopp!!! yang bersiaran di TV9.

Berita Palsu Kematian Jackie Chan Tersebar di Twitter


NEW DELHI: Bintang filem legenda Hong Kong Jackie Chan, 56, menjadi mangsa terbaru laman sosial Twitter apabila berita mengenai kematiannya ekoran serangan jantung tersebar luas di Internet, Isnin.

Menurut laporan yang dipetik daripada ibnlive.com, khabar angin itu tersebar apabila sebuah artikel palsu yang menggunakan nama CNN telah dimuatnaik oleh seorang penulis blog bergelar Skiphopz.

Susulan artikel berjudul 'Jackie Chan Meninggal Akibat Serangan Jantung' itu, laman Twitter telah dibanjiri limpahan ucapan takziah daripada kalangan peminat.

Laporan itu turut memaparkan ucapan palsu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berhubung kematian Chan yang berbunyi:

"Jackie Chan seorang lelaki berbakat besar dan begitu sinonim dengan imej kemanusiaan. Dia akan terus abadi dalam hati kita semua, seorang lelaki yang memberikan inspirasi kepada pelbagai generasi. Sebelum ini kita telah kehilangan Nate Dogg, kini Jackie Chan pula."

Chan yang masih hidup bagaimanapun dilaporkan bakal muncul dengan filem terbaru iaitu 1911, tahun ini.

Joanna Bessey Dapat Bayi Lelaki


KUALA LUMPUR: Setelah lima tahun berkahwin, pelakon Joanna Bessey, 34, baru menerima kelahiran bayi sulungnya, Aditya berusia sebulan.

Bayi lelaki hasil perkongsian hidupnya dengan Aurel itu dilahirkan pada 28 Februari lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini.

Joanna yang gembira dengan kelahiran Aditya sedang belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai seorang ibu.

“Saya sedang menyesuaikan diri untuk seimbangkan antara masa dengan anak dan kerja. Di sebabkan Aditya masih kecil, saya terpaksa mengurangkan kerja seni kerana bayi masih menyusu badan.

“Kadangkala, saya meminta ibu saya, Zaitun untuk menjaga Aditya apabila saya sibuk dengan kerja. Bagaimanapun saya masih perlu membawa Aditya ke tempat kerja.

“Lagipun, kerja saya bukan di pejabat. Jadi, saya bebas untuk membawa Aditya sambil ditemani oleh ibu,” katanya yang bakal sibuk dengan pengarahan dua buah teater.

Teater tersebut berjudul Love Journey pada April di KL Pac dan Dream Girls pada Julai ini di Istana Budaya.

“Saya lebih banyak melakukan kerja mengarah teater kerana lebih relaks dan membolehkan saya membawa Aditya.

“Nasib baik Aditya tidak banyak kerenah. Agaknya dia sudah biasa dengan suasana dikerumuni ramai orang kerana saya selalu membawa kawan-kawan datang ke rumah.

“Mungkin kerana sewaktu saya mengandungkan Aditya, saya selalu sibuk terlibat dengan persembahan,” ceritanya.

Tambahnya: “Aditya juga menyukai muzik terutama genre jazz. Dia akan menjadi tenang apabila mendengar muzik itu kerana saya selalu mendengar muzik jazz sewaktu hamil.

“Saya tidak menghalang sekiranya dia mahu menyertai bidang seni apabila besar nanti. Mungkin saya akan memberikan galakan kepada Aditya menyertai kelas lakonan kerana saya juga mengajar drama untuk kanak-kanak.

“Saya juga mahu dia belajar kemahiran berkomunikasi dan sosial. Bagaimanapun, saya tidak akan memaksa dia menyertai dunia seni ini.”

Pelakon drama La Dolce Amira itu juga sempat berkongsi pengalamannya berpantang selama 30 hari.

Joanna menggunakan khidmat bidan Melayu untuk rawatan mengurut selepas bersalin dan mengamalkan jamu.

Selain mengurangkan pengambilan makanan, dia juga mengelakkan makanan manis, bercoklat, lada hitam dan halia kerana akan mengundang ketidak selesaan kepada perut bayi.

Rossa Sedih Lihat Bekas Suami Di Lokap


KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Rossa (gambar) berasa sedih apabila melihat keadaan bekas suaminya, Yoyo, yang ditahan di lokap, Gedung Badan Narkotika Nasional (BNN) di Jakarta Timur, ketika membuat lawatan pertamanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta itu, Yoyo yang merupakan pemain dram kumpulan Padi, kelihatan tenang pada pertemuan itu. "Berdasarkan apa yang saya lihat, keadaannya lebih baik berbanding sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya berasa sedih bila melihat dirinya ditahan. Saya percaya dia melaluinya dengan penuh kesabaran dan juga telah menemui hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

"Saya berharap agar dia dapat ke pusat pemulihan dadah secepat mungkin supaya sembuh dan bersih daripada dadah," katanya yang ditemui pada sesi fotografi khas yang diadakan bersama media di Hotel Concorde, di sini, Isnin.

Tambah Rossa, sehingga kini, anaknya, Rizky Langit Ramadhan, 5, masih tidak tahu perihal yang berlaku terhadap bapanya kerana dia terlalu kecil untuk memahami situasi yang telah berlaku.

Yoyo ditangkap pada 27 Februari lalu di Apartemen Sudirman Park, Jakarta, kerana memiliki dadah jenis Shabu

Cakap Lepas: Ada pihak Kurang Senang Dengan Wardina


KUALA LUMPUR: Kelantangan pengacara Wardina Safiyyah, 32, yang sering mengkritik mengenai isu-isu hiburan menyebabkan sesetengah pihak kurang menyenangi dirinya sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai tuduhan.

Wardina berkata, dia mengetahui ada yang memanggil dirinya sebagai artis cakap lepas, sukar untuk bekerjasama dan terlalu mementingkan kesempurnaan.

"Saya tahu pelbagai andaian dan persepsi orang ramai berikan tentang diri saya sebelum ini tetapi lebih elok mereka mengenali diri saya terlebih dulu.

"Anda perlu mengenali seseorang itu sebelum menghakiminya. "Saya juga berharap semua pihak memberikan ruang kepada artis untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan.

"Ini kerana saya perhatikan artis yang berimej bersih sukar untuk mendapat perhatian di media," katanya ketika majlis pelancaran susu tepung Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Hotel Hilton, di sini, Isnin.

Pengacara Malaysia Hari Ini tersebut telah empat tahun dilantik sebagai duta Anmum.

Sebelum ini Wardina mencetuskan kontroversi apabila berkata selebriti di Malaysia tidak layak menjadi ikon. Sementara itu ibu kepada tiga orang anak ini berkata dia lebih selesa untuk tampil dengan imej keibuan.

Bukan itu sahaja, Wardina juga bersedia untuk berkongsi apa-apa perkara melibatkan anak-anak dengan para ibu bapa.

Tumpuan Wardina juga turut diberikan kepada para remaja terutama wanita bagi membantu mereka membendung gejala sosial yang semakin meningkat ketika ini.

"Setiap artis ada kelebihan masing-masing. Daripada orang mengenali saya sebagai artis seksi, lebih baik saya fokuskan kepada perkembangan anak-anak.

"Saya juga berkongsi nasihat dengan pelajar wanita di sebuah kolej di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tentang cara membendung isu buang bayi.

"Alhamdulillah, mereka memberikan respons yang baik dan berjanji untuk mendengar nasihat tersebut,” ujar penuntut jurusan psikologi di sebuah universiti ini.

Wardina bakal menamatkan pengajian ijazah bidang berkenaan pada tahun 2013.

Mereka yang berminat untuk berkongsi masalah atau apa-apa perkara tentang anak-anak dialu-alukan menghantar pendapat atau soalan di laman web Facebook Wardina Safiyyah OfficialPage atau emel wardina.dina@gmail.com.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails