Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Sam ( Adik Zizie Izette ). Show all posts
Showing posts with label Sam ( Adik Zizie Izette ). Show all posts
Shahiezy Sam Tidak Tahu Restoran Miliknya Ditutup
Pelakon Shahiezy Sam tidak mengetahui situasi sebenar restoran miliknya iaitu Best Time Family Cafe & Grill yang dilaporkan telah ditutup sejak beroperasi enam bulan lalu.
Aktor yang mesra disapa Sam, 31, ini berkata, dia telah menyerahkan urusan menguruskan restoran berkenaan kepada dua rakan kongsinya iaitu ibu saudara dan kakaknya, pelakon Zizie Ezzette.
"Sebenarnya terus terang saya tidak mengetahui situasi sebenar restoran tersebut kerana saya tidak menguruskan restoran itu tetapi diuruskan oleh ibu saudara dan kakak saya.
"Saya tidak dapat menjelaskan sama ada ia telah pun ditutup atau pun masih beroperasi buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Tambah Sam, dia masih tidak berkesempatan untuk mengetahui situasi sebenar mengenai perniagaan yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu kerana terlalu sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Bukannya saya lepas tangan tetapi memang terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sehingga tidak sempat untuk bertanya mengenai keadaan restoran berkenaan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sam berkata, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi apabila dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem SAM pada Anugerah Skrin 2013.
"Jika ada rezeki saya terima dan jika bukan pun saya tetap bersyukur kerana sudah dicalonkan dalam kalangan lima terbaik," katanya.
Sementara itu, Sam memberitahu dia bakal menjalani penggambaran filem Adnan Sempit Sawadikap selain bakal muncul dengan filem Mamak Cupcakes pada awal tahun hadapan.
Jalinan cinta Nora-Sam
Sam nafi bercinta dengan Fazura
Shaheizy Sam Mengaku Rapat Dengan Syatilla Melvin
KUALA LUMPUR: Aktor popular Shaheizy Sam berkata sikap memahami yang dimiliki pelakon baru Syatilla Melvin terhadap dirinya merupakan faktor utama mereka menjadi rapat sejak lebih setahun lalu.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 30, berkata, walaupun dia berasa selesa dengan sikap aktres berusia 21 tahun itu, ia masih terlalu awal untuk dia memikirkan secara serius mengenai hubungan tersebut.
“Saya selesa berkawan rapat dengan dia kerana sikapnya yang memahami. Dia tidak pernah bertanya itu dan ini mengenai kerja saya kerana dia faham dan sokong apa yang saya lakukan.
“Namun, saya tidak mahu memikirkan secara serius mengenai persahabatan kami pada waktu ini. Segalanya masih terlalu awal,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2012 itu berkata, dia juga tidak begitu selesa untuk berkongsi kisah peribadinya kepada khalayak.
“Saya tidak suka mendedahkan kisah peribadi. Tiada apa yang menarik pun mengenai hal peribadi saya.
“Sebab itu dari dulu lagi saya selesa menyendiri dan tidak banyak bercerita mengenai urusan peribadi termasuk soal cinta,” luahnya.
Ditanya sejauh mana kesahihan dakwaan kononnya dia sudah menemui keluarga finalis Dewi Remaja 2010 itu, Sam berkata, dia enggan mengulas mengenai perkara itu kerana banyak hati yang perlu dijaga.
“Maaf, saya tidak dapat komen sejauh mana rapatnya hubungan saya dan Syatilla. Cukuplah, saya katakan kami berkawan.
“Banyak hati yang perlu saya jaga, jadi lebih manis jika saya tidak bercakap lebih lanjut,” jelasnya.
Mengenai perkembangan kerjaya, Sam berkata, dia berasa puas kerana dapat berehat selama sembilan bulan daripada kerja selepas berhempas-pulas pada dua tahun lalu untuk mengukuhkan nama.
“Alhamdulillah, saya berasa puas kerana dapat berehat panjang. Malah, saya juga sedang berdiet untuk menurunkan berat badan, maklumlah sebelum ini ramai yang tegur apabila berat naik mendadak.
“Saya tidak kisah jika dianggap tenggelam kerana sekarang saya sudah kembali aktif sebenarnya,” ujarnya yang sedang menjalani penggambaran filem terbaru berjudul Mamak Cupcake.
Aidilfitri Sam & Mummy Khaty
MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi mungkin satu perumpamaan yang tepat untuk kita gambarkan kepada Shaheizy Sam dan ibunya Khaty Fauziah.
Kedua-duanya adalah pelakon hebat di era masing-masing. Celoteh kedua beranak ini mengenai hari raya membuatkan kita tidak kering gusi mendengarnya.
Apalagi bila bercerita tentang pengalamannya bermain mercun dan bunga api yang diharap akan menjadi tauladan kepada semua.
Lalang terbakar angkara mercun
Bercakap mengenai mercun dan bunga api ni, sebenarnya saya memang ada pengalaman yang cukup pahit dan melucukan.
Saya tidak nafikan yang saya ni memang nakal ketika kecil dulu. Masa saya darjah satu ketika itu kami sekeluarga balik beraya di Batu Pahat, saya dan kawan-kawan bermain mercun dan bunga api.
Masa tu cuaca panas, jadi lalang dan rumput kebanyakannya kering. Sisa bunga api yang kami main tu menyebabkan lalang seluas setengah ekar terbakar, apa lagi kami semua lari untuk menyelamatkan diri," jelasnya.
Tambah Sam lagi, walaupun dia dan rakan-rakan selamat tetapi dia tetap dimarahi oleh neneknya.
Mahunya dia tak marah, dia ketuk saya dengan gayung mandi sampai pecah. Sejak itu saya serik nak main mercun kat tempat yang pelik-pelik," katanya.
Jodoh di tangan Tuhan
Seperti yang sedia maklum, kebelakangan ini Sam kerap kali digandingkan dengan seorang lagi rakan artis terkenal, Yana Samsuddin.
Sehingga timbul cerita kononnya mereka berdua sedang hangat bercinta, namun jelas Sam, itu semua gosip sahaja.
Memang saya acap kali berlakon dengan Yana. Tetapi saya dengan dia hanya berkawan baik dan tidak pernah lebih daripada itu," jelasnya.
Ditanya adakah ini raya terakhirnya sebagai orang bujang, kata Sam, mungkin dua atau tiga kali raya lagi baru dia akan menukar statusnya.
Buat masa ini saya malas nak fikir tentang kahwin, kalau dah jodoh memang tak kemana, calon ada ke tidak itu tidak jadi masalah. Kalau dah terdesak sangat kaut je yang mana ada," kata Sam sambil ketawa.
Populariti bukan keutamaan - Sam
NAMA pelakon Shaheizy Sam diakui memang cukup laris terutamanya di layar perak. Kebanyakan filem lakonannya ternyata jarang menghampakan penonton dan kerap mencatat kutipan jualan tiket yang tinggi.
Bagaimanapun, kredibiliti pelakon yang kini muncul dengan filem baharunya, Nongkrong itu dilihat sedikit tercalar apabila tidak lagi dipilih peminat sebagai artis paling popular, khususnya pada Anugerah Bintang Popular 2011 yang lalu. Sebaliknya gelaran tersebut kini menjadi milik aktor kacak dan sasa, Aaron Aziz.
Sehinggakan ada sesetengah pihak menganggap populariti adik kepada pelakon Zizie Ezette ini sudah mula merudum, malah realitinya Sam sememangnya kini perlu bersaing hebat dengan ramai lagi pelakon baharu yang muncul.
Pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Sam memberitahu dia tidak pernah kecewa dengan kekalahan tersebut dan akur apabila gelaran tersebut sudah mula bertukar tangan.
“Secara jujurnya kegagalan saya mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi pada tahun lalu itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.
“Bagi saya, segala pengiktirafan yang diperoleh itu bergantung kepada rezeki masing-masing, bukan disebabkan populariti seseorang pelakon itu sudah jatuh. Tewas tidak bermakna peminat sudah mula melupakan saya,” ujar pelakon berusia 30 tahun itu.
Menurut Sam, sepanjang enam tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, dia memberitahu sokongan peminat merupakan faktor utama sehingga mampu berada pada tahap sekarang.
“Saya percaya peminat-peminat sudah banyak bertungkus-lumus dan harapan mereka juga sangat tinggi untuk memastikan saya dapat mengulangi kejayaan sebelum ini. Jadi, saya tidak mahu mereka terlalu kecewa dan anggap sahaja tiada rezeki saya pada tahun ini,” ujarnya.
Sam bagaimanapun menegaskan kekerapan dirinya muncul di layar perak bukan merupakan faktor dia tidak lagi menjadi pilihan majoriti peminat untuk anugerah artis popular itu.
Katanya lagi, jika ada sebilangan pelakon yang hanya memilih tawaran tertentu untuk berlakon kerana mahu menjaga nilai eksklusif, Sam pula bertindak sebaliknya apabila menerima apa sahaja tawaran yang diberikan.
“Selagi ada pihak yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai pelakon, apa salahnya kalau saya terima. Inilah masa yang paling sesuai untuk saya terima apa sahaja peluang yang datang sebelum saya dilupakan suatu hari nanti.
“Lagipun pelakon di Malaysia tidak sama seperti di Hollywood yang berlakon satu atau dua filem setahun kerana bayaran yang diterima sudah tinggi. Jadi, saya tidak boleh terlalu memilih kerana ini satu-satunya bidang yang saya ceburi untuk mencari rezeki,” ujarnya.
Mengenai langkah persediaan yang dilakukannya untuk jangka masa panjang, Sam memberitahu kini dia sudah mula merancang untuk bergelar seorang penerbit drama menerusi syarikat produksi miliknya, Kat & Kids Production.
Ujarnya, sebagai langkah permulaan dia mahu lebih fokus kepada penghasilan drama dan telefilem sebelum menerbitkan filem dan buat masa ini dia masih lagi berusaha mencari skrip yang bersesuaian.
“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan kakak saya, Zizie Ezette dengan menerbitkan sebuah telefilem berjudul Nyanyian Sakratul Maut menerusi syarikatnya iaitu BZ 2121 Production,” jelas Sama yang juga kerap tampil dalam drama bersiri.
Kaki nombor
Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya berjudul Nongkrong yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia hari ini, Sam memberitahu dia memegang watak sebagai Bada yang merupakan seorang kaki nombor ekor.
Menurutnya, filem berkenaan bukan kesinambungan kepada filem Ngangkung yang pernah mencatatkan kutipan sebanyak RM8.5 juta pada tahun 2010, sebaliknya ia merupakan sebuah filem yang langsung tidak berkaitan serta penceritaan yang berbeza.
“Saya melihat cerita dan konsep filem Nongkrong ini agak sama dengan Ngangkung. Kedua-duanya menceritakan tentang menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan nombor ekor, cuma yang berbeza adalah jalan ceritanya sahaja.
“Jika dalam filem Ngangkung saya memegang watak sebagai seorang bapa yang dipengaruhi oleh rakan untuk bermain nombor ekor, namun dalam Nongkrong saya pula yang mempengaruhi rakan saya untuk melakukan perbuatan tersebut,” jelasnya.
Nongkrong menceritakan tentang tiga orang pemuda, Bada, Aman (Angah Raja Lawak) dan Cumi (Epy Raja Lawak) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan mudah iaitu bermain nombor ekor.
Selain Sam, Angah Raja Lawak dan Epy Raja Lawak sebagai teraju utama, filem tersebut turut menampilkan beberapa orang pelakon lain seperti Mon Ryanti, Fyza Kadir, Liana Rafiai dan Nuremy Ramli.
“Mengenai gandingan saya bersama Angah memang tiada masalah kerana kami sudah kerap berlakon bersama-sama. Dengan Epy saya baru kali pertama bergandingan dengannya, namun dia sememangnya seorang pelakon bagus,” ujarnya.
Makin menyerlah
Sebagai artis di bawah naungan MIG Production (MIG), ternyata Mon Ryanti, Fyza Kadir dan Epy Raja Lawak dilihat semakin menyerlah setelah kerap tampil dalam filem-filem terbitan syarikat tersebut.
Menurut Mon Ryanti atau nama sebenarnya Mon Ryanti Sahudina Lee, sehingga kini dia sudah berlakon sebanyak tujuh buah filem sejak mula bergiat aktif sebagai pelakon pada tahun 2010.
“Saya anggap ini semua adalah rezeki dan pilihan saya untuk memberi fokus dalam bidang lakonan ternyata langkah yang tepat. Lagipun saya berkecimpung dalam bidang lakonan kerana minat yang cukup mendalam.
“Memandangkan sehingga kini saya sudah tampil dengan tujuh buah filem, mungkin selepas ini saya mahu memberi fokus kepada drama pula dan bersedia untuk menerima apa sahaja watak yang diberikan,” ujarnya.
Selain Nongkrong, antara filem-filem lakonan Mon Ryanti seperti Keramat, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS), Aku Terima Nikahnya, Hantu Dalam Botol Kicap, Bro, Nampak Motor Gua? dan Salam Cinta.
Bagi pelakon yang lahir menerusi rancangan Raja Lawak 5, Epy Raja Lawak atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi memberitahu sejak menyertai MIG pada pertengahan tahun lalu, dia sudah berlakon sebanyak tiga buah filem.
“Pada mulanya saya sangat terkejut apabila mendapat tawaran memegang watak utama dalam filem Nongkrong, meskipun saya baru tiga bulan bersama MIG. Namun, saya gembira kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Sam dan Angah.
“Saya akui masih lagi baharu dalam bidang ini dan banyak lagi yang perlu saya pelajari. Apa pun saya tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan dan pastinya ia menjadi batu loncatan buat saya memperbaiki lagi mutu lakonan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pelakon iaitu Norhafiezzah A. Kadir atau Fyza Kadir yang membawakan watak Puteri 2 dalam Nongkrong berkata, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang anak seni.
Ujarnya, pembabitannya dalam bidang lakonan berlaku secara kebetulan apabila bertemu dengan salah seorang penulis skrip MIG, Shahriman Wahab yang telah menyarankannya untuk mencuba nasib menjadi pelakon.
“Sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi seorang pereka fesyen. Namun, dengan keyakinan yang telah diberikan oleh David Teo, saya rasa tidak salah kalau saya cuba terlebih dahulu.
“Apabila mula terbabit dengan filem Nongkrong dan berlakon di samping pelakon hebat seperti Sam, banyak pengalaman diperoleh dan rakan-rakan pelakon yang lain juga banyak membantu saya,” ujarnya yang mengakui dirinya seorang yang agak pemalu.
Menurut pemegang diploma dalam bidang fesyen dari Kolej MIA itu lagi, kini dia mula berasa seronok bergelar pelakon dan akan muncul dalam beberapa buah filem lagi seperti Seram Sejuk, Per3, Satu Lawan Satu dan Kisah Paling Gangster.
“Saya Malu Menonton Filem Sendiri” – Shaheizy Sam
Kunjungan OHBULAN! ke pra-tonton filem Bini-Biniku Gangster arahan Ismail “Bob” Hasim mengejutkan kami yang baru pertama kali menonton wayang bersama Shaheizy Sam.
Sekali pandang wajah aktor kacak yang pernah memenangi anugerah Artis Paling Popular 2010, dia kelihatan seperti seorang yang sempoi, mudah beramah mesra dan sempurna. Namun, temubual antara kami dan Shaheizy Sam menjelaskan segala permainan difikiran kami kerana diawal pra-tonton, Sam dilihat keluar sebentar meninggalkan panggung.
Ketika ditemubual tentang perasaan mengenai filem terbaru lakonan Sam ini, “Saya tak suka tengok filem lakonan saya sendiri, sebab ia akan menjatuhkan semangat saya. Untuk pengetahuan, saya juga tak menonton filem pertama saya iaitu “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam”, kerana saya mementingkan kesempurnaan. Saya malu untuk tengok kesilapan sendiri.”
Sam turut menjelaskan maksud sempurna melalui pandangannya, “Kesempurnaan saya adalah untuk diri sendiri, saya tahu berlakon adalah sesuatu yang subjektif dan mungkin pandangan mata saya sempurna, namun tidak pada orang lain.”
Shaheizy Sam sebelum ini pernah muncul dengan watak seorang lelaki yang percaya dia menghidap Autisme dalam filem “Sekali Lagi”. Seiring dengan pelbagai filem yang dibintangi dan watak-watak yang dilakonkan, Sam mengaku dia telah memecahkan proses lakonan kepada beberapa bahagian agar dia dapat menghayati kesemua lakonannya.
Ditanya mengenai watak yang paling Sam ingin lakonkan, penuh rasa teruja aktor ini menjawab, “Saya inginkan watak luar dari komersial, watak yang mencabar dan lebih mencabar seperti melakonkan the real autisme patient . Dalam filem Bini-Biniku Gangster, saya memegang watak antara seorang suami yang baik dan juga seorang gangster yang cuba menyatukan 2 puak.”
Sam turut memberitahu kami, “Kedudukan orang macam saya tak lama, selepas itu orang akan mula bosan. Sebelum orang bosan, saya akan mencari arah yang baru dan mungkin akan mengarah dan membantu disebalik tabir.
Shaheizy Sam Teruja Sertai Perbarisan Hari Ini
PETALING JAYA: Pelakon popular Shaheizy Sam mengakui teruja menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia yang akan disambut Jumaat di Dataran Merdeka, dekat sini.
Kata Sam, biarpun terpaksa bangun awal pagi untuk sesi latihan, namun perkara tersebut merupakan pengalaman paling berharga buat dirinya.
"Ini merupakan kali pertama saya menyertai perbarisan seperti ini dan ketika ditawarkan memang saya secara sukarela untuk ambil kesempatan menyertainya.
"Kami berlatih sejak dua hari lalu, biarpun terpaksa bangun awal pagi tapi saya ia rasa satu pengalaman yang berbeza," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Selain Sam, seramai 30 orang artis turut menyertai perbarisan tersebut ialah Yana Shamsuddin, Gambit Saifullah, Intan Ladyana, Arrora Salwa, Aizat dah Syamsul Yusof.
Aizat dan Syamsul akan menerima anugerah Tokoh Muda Negara sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-54 bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam bidang seni.
Tambah Sam, antara sebab utama dia menyertai program tersebut adalah bagi menunjukkan rasa sokongan dan cintakan negara.
"Sebagai rakyat Malaysia saya juga ingin menunjukkan rasa bangga saya kepada negara, saya mahu kerajaan tahu bahawa golongan artis turut sentiasa beri sokongan kepada negara," tuturnya.
Jelas Sam, dia akan menyertai perbarisan seni kreatif yang mana melibatkan para artis dan pekerja dalam bidang seni yang lain.
Sementara itu, ditanya tentang program Platun Seni Askar Wataniah yang disertainya sejak Julai lalu, Sam berkata dia masih bersemangat menjalani latihan yang dijadualkan.
"Saya masih mempunyai banyak jam kredit kerana kekangan masa dan sibuk dengan penggambaran, namun Insya-Allah saya akan menjalani latihan itu sedikit-sedikit jika kelapangan," katanya.
Bakat kreatif Shaheizy Sam
TATKALA melihat lakonannya sebagai mat despatch dalam filem Adnan Semp-It, ramai yang ketawa dan tidak kurang juga yang mengalirkan air mata simpati dengan nasib Arman lakonannya menerusi filem Sekali Lagi.
Itulah kelebihan pelakon Shaheizy Sam Abd. Samad, 29, yang mampu membuat penonton ‘terjebak’ dengan aksi lakonannya yang penuh penghayatan itu.
Namun ada satu lagi bakat Shaheizy Sam atau yang mesra dengan panggilan Sam yang tidak diketahui umum.
Baru-baru ini S3 berjaya merakamkan aksi Sam yang tidak pernah didedahkan kepada orang ramai ketika berkunjung ke rumahnya di Bukit Antarabangsa.
Sewaktu menuruni tangga menuju ke rumahnya, penulis dapat melihat dengan jelas betapa tekunnya Sam menggosok kertas pasir ke bingkai kerusi pasang siap.
Sam yang hanya mengenakan kemeja- T dan seluar pendek itu memberitahu penulis, dia telah memulakan kerja-kerja memasang dan mengecat bangku serta meja itu sejak raya pertama lagi.
“Memang tidak merancang pun. Pada hari raya pertama itu, bila terasa bosan Sam mula terfikir kerja apa yang perlu dilakukan.
“Disebabkan sudah lama Sam berhasrat nak buat taman di halaman rumah ini, Sam terus pergi ke Ikea membeli bangku dan meja kayu ini," jelasnya.
Kata Sam, bangku dan meja pasang siap yang dibeli asalnya berwarna gelap dan dia sengaja memilih cat warna putih untuk disesuaikan dengan tema taman putih impiannya.
Jelas Sam, dia jenis yang tidak boleh duduk diam dan mesti melakukan sesuatu pekerjaan sebagai mengisi waktu terluang.
“Bila letih, Sam akan tidur tapi selalunya Sam akan melakukan kerja-kerja yang jarang dilakukan sebelum ini. Entahlah, sejak dulu Sam minat dengan kerja-kerja tangan.
“Kalau nak ikutkan bangku dan meja ini setelah siap dipasang, ia sudah boleh diguna tapi Sam nak kelainan. Kerja-kerja mengecat atau pertukangan begini dapat membebaskan fikiran Sam daripada segala bebanan. Kemudian hati rasa puas tengok hasil kerja yang dibuat," katanya terus terang.
Menurutnya, projek mengecat bangku dan meja taman itu akan siap dalam beberapa hari lagi kerana dia amat teliti dan cerewet dalam melakukan persiapan.
Kata Sam, adalah menjadi tabiatnya, kalau buat kerja-kerja begitu dia tidak mahu diganggu kerana kerja seni memerlukan kedamaian.
Namun sepanjang menyiapkan projek taman putih itu, kerjanya sering terganggu dengan gelagat anak-anak kakaknya, Jozieta Ronalie,36, iaitu Kenny, 7, Aydeen,4, Sean, 3 tahun. Serta anak-anak Samzy Fuzette,35, iaitu Mohd. Azrin Fuzette, 10, Cinta Matanya Fuzette, setahun dan Arjuna enam bulan.
“Gangguan-gangguan yang tidak diingini inilah yang membuatkan kerja-kerja Sam terganggu. Sekejap-sekejap datang nak membantu tapi menganggu. Biarpun begitu, Sam gembira kerana raya kali ini anak saudara dari Alaska, Amerika Syarikat balik beraya sama,” katanya yang dipanggil Papa Adik di kalangan anak saudara.
Kata Sam, dia turut membeli lampu hiasan yang kemudiannya disembur cat putih untuk diletakkan di taman di hadapan halaman rumahnya itu.
Menurutnya, ada juga jiran-jiran yang secara bergurau meminta dia membuat benda yang sama di rumah mereka.
“Ada uncle tu kata, macam kafe aje. Sebenarnya, Sam nak buat taman ini tempat lepak dengan kawan-kawan terutamanya kalau ada perlawanan bola sepak,” katanya.
Dalam pada sibuk dengan kerja-kerja mengecat itu, Sam sempat menunjukkan hasil kerjanya di ruang tamu, bilik tidurnya dan komputer riba miliknya.
“Sam tidak suka mengecat dinding keseluruhan sebab tidak mencabar. Cuba tengok tiga garisan pemisah ini, Sam yang buat.
“Begitu juga dengan komputer ini. Bajet permata-permata yang dilekatkan di komputer ini mencecah RM500. Biarpun mahal, janji Sam puas hati dengan hasil kerja yang menampakkan logo Gucci," katanya.
Katanya, kerja-kerja tangan begitu hanya dilakukan setiap kali dia ada waktu lapang yang jarang-jarang dimiliki.
Menurut pelakon popular itu, dia bukanlah jenis yang suka lepak di luar.
Katanya, mungkin sudah terbiasa sejak zaman sekolah kerana dulu rakan-rakannya suka datang lepak di rumah dan kebetulan maminya, Khaty Fauziah rajin memasak.
Pelakon yang telah membintangi filem antaranya, Evolusi KL Drift 2, Niyang Rapik, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syruga Cinta dan Bohsia-Jangan Pilih Jalan Hitam bakal tampil filem Bini-Bini Ku Gengster pada 22 September ini.
'Adnan Sempit 2' Buat Shahezy Sam Gementar

PETALING JAYA: Pelakon Shaheizy Sam mengakui agak gementar untuk membintangi filem terbarunya Adnan Sempit 2 kerana bimbang dengan harapan orang ramai selepas siri pertama filem itu mendapat kutipan pecah panggung.
Jelas Sam, dia sedar jangkaan dan harapan tinggi daripada penonton terhadap filem ini yang diharap lebih baik daripada filem sebelumnya.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk kembali berlakon dalam filem pertama saya yang mendapat kutipan Box Office.
“Bagaimanapun, saya juga takut untuk berhadapan dengan persepsi serta jangkaan penonton dan pengikut Adnan Sempit yang meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sam turut mengakui selain filem tersebut, gelaran Bintang Paling Popular dan Pelakon Popular yang dimiilikinya menjadi satu tekanan kepadanya untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Saya juga memikul tanggungjawab besar untuk beri yang terbaik kerana ini adalah harapan peminat saya.
“Saya tidak mahu mereka kecewa dengan mutu lakonan yang biasa sahaja dan tiada perubahan, tapi Insya-Allah saya sentiasa berikan yang terbaik,” katanya.
Ketika ditanya tentang bayaran yang diberi selepas menyandang gelaran Bintang Popular, Sam tidak menolak meletakkan harga lebih tinggi berbanding sebelum ini.
"Setiap manusia tidak berada pada satu tempat atau tahap yang sama untuk satu tempoh masa yang lama dan kita seharusnya sentiasa naik dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih baik, begitu juga daripada segi bayaran.
"Namun begitu ia tidaklah sampai melampau. Apa yang boleh saya katakan tentang bayaran adalah, Alhamdulillah,"jelasnya.
Teman Wanita Shaheizy Sam Mesti Ringan Tangan - Ibu

GENTING HIGHLANDS: Ibu kepada pelakon Shaheizy Sam iaitu Khaty Fauziah mengaku anak bongsunya itu belum mempunyai teman wanita.
Bercerita lanjut mengenai jodoh anaknya yang mesra dengan nama Sam, Khaty Fauziah terbuka berkongsi tentang kriteria calon menantu pilihan.
“Sam belum ada teman wanita kerana saya akan tahu mengenai semua anak saya jika mereka mempunyai teman istimewa.
“Kalau boleh, saya nak calon menantu yang bersopan menghormati saya sebagai mertua dan ringan tangan.
“Saya nak wanita yang boleh menjaga Sam seperti mana saya menjaga dia, boleh menjaga makan minumnya kerana Sam masih makan bersuap dan sangat menyukai masakan saya,” kata Khaty yang mesra disapa mummy ini.
Sebalik kemenangan Sam sebagai Artis Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, Ahad, Khaty mengaku tidak putus mengundi anaknya setiap hari.
“Setiap hari, saya membeli akhbar untuk mengundi Sam daripada hari pertama undian ABP2010 bermula dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak RM20 sehari.
“Jika saya lupa atau sibuk dengan kerja dalam sehari, saya akan menghantar SMS dua kali ganda pada esok harinya.
“Saya rasa bersalah kalau tak menyokong dia. Kalau tidak ibunya yang menyokong, siapa lagi yang nak sokong anaknya.
"Saya merupakan peminatnya nombor satu,” ujarnya yang meminati setiap lakonan Sam kerana anaknya sering memberikan lakonan yang berbeza-beza.
Ternyata kesungguhan Khaty untuk melihat anaknya memenangi gelaran tersebut berbaloi kerana gelaran itu dirasakan terlalu tinggi untuk dicapai.
“Sebenarnya, sebagai seorang ibu, memang saya nak dia menang. Tetapi saya tidak merasakan dia mudah untuk menang.
“Saya tidak mahu dia terlalu berharap dan kecewa kelak, jadi apabila di rumah kami tidak pernah berbual tentang isu siapa paling popular sebaliknya berserah kepada Allah,” luahnya.
Kejayaan Sam sebagai Artis Paling Popular melayakkan dia memenangi kereta Nissan Teana 2.0L bernilai RM137,000 dan hadiah iringan lain.
Shaheizy Sam Tunggu Tiga Tahun Untuk Raih Gelaran Paling Popular

GENTING HIGHLANDS: Tiga tahun menunggu, akhirnya impian pelakon Shaheizy Sam untuk meraih gelaran Artis Paling Popular termakbul.
Namun bukan mudah untuk anak bongsu pelakon Khaty Fauziah ini untuk menempa kejayaannya sebelum turut diumumkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, malam Ahad.
Sebalik kejayaan itu, pelakon yang dikenali dengan nama Sam ini berkongsi tentang jerih-perih ibunya yang banyak menjadi pendorong dan tulang belakang kepada kerjayanya.
"Saya mula mengidam untuk mendapat anugerah ini sejak tiga tahun lalu yang dimenangi oleh Mawi, Nabil dan Datuk Siti Nurhaliza.
"Dengan kejayaan ini, saya sangat berterima kasih kepada mak dan peminat yang banyak mengundi saya kerana tanpa mereka, saya tak akan berada di sini.
"Kemenangan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada cita-cita saya untuk berjaya dalam hidup demi bahagiakan mak saya.

"Saya juga mahu berkongsi kejayaan ini dengan ibu kerana sejak kecil lagi saya sudah nampak susah payah dia dalam hidup di tambah pula menjadi ibu tunggal," ujar Sam yang tidak mengetahui jumlah undianyang dilakukan oleh ibunya.
Tambahnya yang berhasrat untuk menghadiahkan set barangan kemasmutiara Rafflesia berharga RM180,000 kepada Khaty : "Ibu sanggup belikan akhbar dan jika tidak sempat, dia akan meminta tolong orang lain membelikannya semata-mata untuk mengundi saya.
"Alhamdulillah, dengan bantuan kawan-kawan, keluarga dan peminat, saya rasa sangat dihargai.
"Saya rasa seperti usaha saya selama ini sedikit sebanyak terbalas. Dulu, apabila melihat pelakon popular, saya rasa beruntung menjadi seperti mereka kerana dikenali ramai.
"Bagaimanapun, semuanya berbalik kepada doa dan keikhlasan kita kerana Tuhan akan sentiasa membantu hambanya.
"Sebolehnya, saya mahu menjadi seorang pelakon yang bukan hanya bergelar seorang pelakon, tetapi yang terbaik. Saya memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik."
Sam turut menyatakan perasaan terkejutnya dan tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan reaksi selepas menerima gelaran 'artis paling popular'.
Pelakon filem Adnan Sempit dan Ngangkung ini juga pada mulanya menyangkakan gelaran itu menjadi milik Zizan (Raja Lawak), FaizalTahir, Yuna, Aizat atau Lisa Surihani.
Dia yang menceburi dunia lakonan sejak di bangku sekolah pada tahun 1994 turut teruja menantikan lapan buah filemnya yang belumditayangkan di pawagam termasuk filem Kongsi pada Mei tahun ini.
Dalam perkembangan lain, adik kepada pelakon Zizie Ezette ini akan berlakon sebuah filem muzikal komedi romantik sebagai seorang pelajar dan menjalani penggambaran di Korea dalam masa terdekat ini.
Kemenangan Sam turut melayakkannya memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000.
Ia termasuk Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 serta hadiah iringan dan trofi.
Hadiah Bintang Paling Popular disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang.
Sam Jelaskan Dirinya Bukan Aktor Yang Ditahan Polis

PETALING JAYA: Susulan laporan sebuah akhbar mengenai seorang aktor ditahan oleh polis ekoran penyalahgunaan dadah, malam Jumaat lalu, pelakon popular Shaheizy Sam turut mendapat tempiasnya apabila timbul desas-desus yang mengaitkan namanya dengan aktor tersebut.
Justeru itu, peluang bertemu dengan pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu, Isnin, memberi ruang kepada mStar Online bagi mendapatkan penjelasan daripada adik kepada aktres Zizie Ezzette itu sendiri.
Sam yang terkejut apabila diajukan soalan itu berkata, ia hanya spekulasi dan dakwaan kosong yang tidak berasas sama sekali.
Akui pelakon filem Ngangkung itu, sebaik saja berita itu disiarkan di akhbar memang dia mendapat panggilan dan pertanyaan yang bertalu-talu daripada banyak pihak untuk mendapatkan kesahihan.
Bagaimanapun, Sam sama sekali tidak melenting atau marah dengan dakwaan tersebut, sebaliknya menyifatkan ia sebagai strategi akhbar terbabit untuk menarik perhatian pembaca.
"Saya memang terkejut apabila ramai yang menghubungi dan bertanyakan saya tentang berita itu tapi tiada apa yang saya perlu bimbang atau cemas sebab ianya tiada kena-mengena dengan saya.
"Malah, berdasarkan info yang disampaikan kepada saya, aktor yang ditahan polis itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan Festival Filem Malaysia ke-23. Jika dilihat pada umur dan beberapa maklumat berkaitan aktor yang ditahan polis itu pun, ia langsung tidak berkaitan dengan saya.
"Mungkin ada kesilapan di mana-mana sehingga orang salah anggap atau hanya strategi akhbar tersebut untuk memancing perhatian, sekaligus membuat spekulasi yang mengaitkan dengan saya pula," katanya.
Apabila diminta mengulas mengenai kes tersebut, Sam berkata, manusia memang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dan menasihatkan aktor tersebut perlu lebih berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya.
"Saya pun bukannya baik sangat. Jadi, tiada hak untuk komen tentang isu-isu serius sebegini. Saya pun pernah melakukan kesilapan sebelum ini cuma apa yang boleh saya katakan kepada aktor itu mahupun sesiapa saja perlulah berhati-hati dalam segala tindakan yang kita lakukan," katanya.
Dalam laporan sebuah akhbar pada Ahad, seorang aktor berusia 30 tahun dan tunangnya yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine telah ditahan oleh pihak polis ketika sedang menunggu bekalan dadah di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MMRR2), Ampang, Selangor, malam Jumaat lalu.
Sam tunjuk 'taring'

DILAHIRKAN dalam keluarga berdarah seni, Shaheizy Sam atau lebih dikenali sebagai Sam, bukanlah nama yang asing dalam dunia lakonan tanah air.
Ibunya, Kathy Fauziah, kakaknya, Zizie Izette merupakan pelakon drama dan filem yang cukup popular.
Begitu juga dengan abangnya, Jeff yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi bersama kumpulan A To Z yang popular pada tahun 1990-an.
Justeru, apabila Sam menampilkan dirinya sebagai pelakon drama televisyen dan kini semakin popular pula di layar perak, ia memang tidak menghairankan para peminat.
Bukan setakat bakat lakonannya yang bersahaja, malah sokongan daripada keluarganya selama ini juga banyak mencetuskan kejayaan buat dirinya.
Selepas lebih lima tahun bergelar pelakon, Sam mula memperlihatkan 'taring' bakatnya menerusi filem Adnan Sempit lakonannya yang berjaya mengaut kutipan tiket RM7.8 juta.
Filem terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada bulan lalu itu mencatat rekod baru dalam industri perfileman tempatan.
Sam mungkin boleh berbangga kerana filem genre aksi komedi arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu merupakan filem Melayu yang mengutip kutipan tiket tertinggi.
Sebagai pelakon utama Adnan Sempit, pelakon muda ini tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya kerana watak Adnan lakonannya dalam filem itu mendapat sambutan luar biasa daripada para penonton.
Namun, gelaran hero filem Melayu baru dengan kutipan tiket RM7.8 juta itu tidak mengalpakan Sam. Sebaliknya, dia mengambil cabaran itu dengan menggalasnya sebaik mungkin sambil merendah diri dengan pencapaian dalam filem tersebut.
"Kejayaan filem ini bukanlah terletak atas bahu saya sahaja, tetapi ia juga atas kehebatan pengarahnya (Ahmad Idham), krew dan sebagainya.
"Kami dalam satu kumpulan. Mungkin, sebagai pelakon watak utama dalam filem ini tumpuan banyak diberikan kepada saya.
"Keluarga saya terutamanya emak saya banyak memberi dorongan dalam bidang lakonan," katanya ketika ditemui selepas majlis doa selamat mula penggambaran Adnan Sempit The Series di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Drama bersiri sebanyak 26 episod itu akan ditayangkan menerusi saluran 132 di Astro Warna sekitar April ini.
Adnan Sempit The Series yang juga diterbitkan oleh MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan kesinambungan daripada jalan cerita filem Adnan Sempit.
Sam sekali lagi diberi kepercayaan melakonkan watak Adnan dalam drama bersiri itu bukan di bawah arahan Ahmad Idham tetapi ia akan diarahkan oleh Ismail Hashim.
Namun, kata peminat pelakon Al Pacino ini, dia tidak akan memandang enteng drama bersiri yang akan dilakonkannya itu.
Ini kerana, kata Sam Adnan Sempit The Series bukan sebarang drama bersiri tetapi dia menggalas jalan cerita yang berasaskan daripada filem Melayu paling box-office setakat ini.
"Bukannya senang mahu memikul peranan itu kerana bagi yang sudah menonton filem Adnan Sempit mereka tentunya menjangkakan jalan cerita yang lebih menarik dan detail dalam drama ini.
"Cabaran berlakon dalam drama bersiri ini juga berbeza. Saya mengambil masa 20 hari menjalani penggambaran filem Adnan Sempit sedangkan penggambaran drama bersiri ini mengambil masa lebih sebulan," tegasnya.
Justeru, dia menganggap dengan menggalas watak hero dalam Adnan Sempit dengan kutipan tiket RM7.8 juta bukanlah mudah.
Pelakon filem Sama Tak Serupa, Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, KL Drift 2, Niyang Rapik dan Ngangkung ini terpaksa membuktikan populariti watak Adnan dapat terus dipopularkannya menerusi drama bersiri tersebut.
Selain semakin menonjol di layar perak, Sam juga tidak menyangka penampilannya dengan watak komedi dalam Adnan Sempit mahupun Adnan Sempit The Series berjaya menarik perhatian para penonton.
"Bukannya senang untuk melakonkan aksi-aksi komedi dalam filem atau drama Adnan Sempit. Ini kerana, sebagai pelakon orang mahu ketawa melihat lakonan saya dalam filem itu.
"Saya risau kalau orang tidak ketawa nanti watak lakonan saya itu nampak bodoh pula. Apa pun saya seronok kerana dapat melakonkan watak itu dengan sedaya upaya saya," jelasnya.
Sementara itu, pengarah Adnan Sempit The Series iaitu Ismail Hashim atau Bob turut tidak menafikan terpaksa menggalas cabaran yang bukan kepalang mengarahkan lanjutan cerita daripada filem yang mencatat kutipan tiket 'pecah panggung' itu.
Menurut Bob, antara cabaran yang perlu dilaluinya ialah agar para penonton saluran Astro Warna tidak kecewa menonton Adnan Sempit The Series sewaktu ia ditayangkan kelak.
Jelasnya, para penonton tentunya menjangkakan suatu kelainan apabila menonton drama bersiri dengan setiap episod mengambil durasi tayangan sekitar 60 minit itu berbanding versi filem Adnan Sempit.
"Para penonton Astro bukan sahaja membayar bil langganan, malah untuk menonton Astro Warna mereka sekali lagi terpaksa membayar yuran langanan yang berbeza. Jadi jangkaan dan harapan para penonton tentunya tinggi.
"Sebab itu, perlu ada banyak elemen yang menarik dalam setiap episod drama bersiri ini. Kami contohnya akan 'meletupkan' sekitar empat buah motosikal tajaan Modenas dalam adegan-adegan lasak yang akan dipaparkan kelak," ujarnya.
Adnan Sempit The Series yang mula menjalani penggambaran pada 27 Februari lalu di sekitar Lembah Klang turut dilakonkan oleh Intan Ladyana yang melakonkan watak Nadia dan Norliana Samsudin (Wawa).
Sebagai pengarah muda di MIG Productions Sdn. Bhd., Bob menaruh keyakinan tinggi jalan cerita dan populariti filem Adnan Sempit dapat membantu menarik para penonton menonton drama bersiri tersebut.
"Daripada sekitar 800,000 penonton yang telah menonton Adnan Sempit, saya harap separuh daripada jumlah itu menonton drama bersiri ini pun okay.
"Saya yakin mampu menarik ramai penonton berdasarkan drama bersiri Jangan Tegur Lagi arahan saya episod akhir yang ditayangkan di TV3 bulan lalu ratingnya mencecah 2.9 juta penonton mengalahkan slot Buletin Utama," katanya lagi penuh optimis.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
