Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

KD tak tahu malu!


NIKAH baru empat minggu, tetapi mengandung dah empat bulan! Memang Diva Pop Indonesia, Krisdayanti (KD) mengejutkan ramai peminat dan masyarakat apabila berani membuat pengakuan dia hamil sebelum nikah. Dia juga dianggap berani apabila memberitahu dunia bahawa dirinya sudah terlanjur. Sudahlah buat dosa dan kesalahan, tetapi dengan bermegah pula untuk beritahu secara terbuka dengan senyuman bahawa dirinya hamil sebelum nikah.

Kak Pora terus hilang hormat pada artis macam KD. Muka cantik dan suara sedap, tapi perangai mengalahkan perempuan ja****. Maaf cakaplah, dari awal lagi, Kak Pora dah mula meluat melihat perlakuan KD tanpa malu mencium mulut Raul Lemos di khalayak walaupun belum bergelar suami isteri. Sudahlah kecoh perihal KD berselingkuh dan membawa jutawan Timor Leste yang kini bergelar suaminya itu masuk ke bilik ketika mereka bercuti di Bali. Sudah terang, lagi bersuluh KD bukanlah perempuan baik, malah tidak layak pun bergelar ibu. Dia contoh artis yang tidak baik dari segi moral dan akhlak. Tahukah dia, kenyataan sebegitu akan memberi kesan buruk kepada anak remaja dan gadis yang selepas ini tentu nak ikut jejaknya kerana berasakan perbuatan mengandung sebelum nikah adalah biasa dan tanda sudah dewasa. Apa ni KD? Ramai mengutuk perbuatan KD, tapi nampaknya apa yang berlaku tidak sedikitpun memberi makna atau keinsafan, walhal KD dikeji dan dikutuk kerana pengkhianatan dilakukan ketika bergelar isteri orang. Inikah diva yang diagung-agungkan? KD sebenarnya tidak layak dijadikan idola, apatah lagi disanjung apatah lagi dia menjadi artis ternama di sebuah negara Islam, iaitu majoritinya rakyatnya beragama Islam. Memetik kenyataan Pemimpin Front Pembela Islam, DKI Jakarta, Habib Selon, perbuatan KD lebih buruk daripada mendedahkan aurat dan pergaulan bebas.

"Dalam Islam ada dua hukum. Pertama, jika hamil empat bulan sebelum bernikah, maka anaknya dipanggil anak zina dan ibu bapanya boleh direjam. Jika kehamilan itu sudah berusia lebih enam bulan, maka anak yang bakal lahir itu dikatakan anak haram,” kata Habib.

Kak Pora mendapat tahu, Raul sering menginap di rumah KD sebelum mereka bergelar suami isteri. Berita kehamilan KD nyata tidak mengejutkan jiran tetangga sekitar kediamannya di Radio Dalam.

“Setahu saya, Raul sering bermalam di situ. Sekiranya dia datang menginap di rumah itu dan KD tidak hamil, tidak akan timbul masalah," ujar seorang jiran yang enggan namanya dikenali.
KD dalam kenyataannya menerusi Tabloid Nova bersyukur dengan rezeki yang Tuhan kurniakan padanya. KD kini sudah hamil 17 minggu.

“Ertinya, sudah empat bulan. Ya, saya tahu, mungkin berita ini agak memeranjatkan. Tapi, kami berdua sama-sama dewasa. Kami sudah lama merancang mengadakan perkahwinan ini. Saya fikir lebih baik perkara itu diketahui ramai daripada kemudian hari. Benda dah terjadi. Kalau apa diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul pula cerita tidak betul. Kononnya, saya melakukan pembuangan anak," katanya.

Sementara itu, bekas isteri Raul Lemos, Atha ketawa mendengar berita itu. Katanya: “Saya bercerai dengan Raul pada Disember lalu. Ertinya masa belum bercerai lagi, KD sudah pun bunting. Saya tidak terkejut, sebelum bernikah lagi, mereka sudah duduk bersama. Kalau ke Timor Leste, tinggal bersama. Jadi, kalau KD bunting, memang logik.”

Entahlah, kalau mengandung anak luar nikah dianggap khabar baik dan tidak memalukan, Kak Pora tak tahu nak cakap apa lagi. Sikap selamba dan keterbukaan mereka seolah-olah hidup tiada pegangan agama! Inilah artis tidak bermoral...

Melodi Dira


BANYAK kritikan dilemparkan sepanjang tiga minggu Dira Abu Zahar mengendalikan program hiburan sensasi, Melodi sebagai hos di samping Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Zizan. Bahkan sebelum melangkah ke set Melodi lagi, pelbagai keraguan terhadap dirinya sudah kedengaran. Nada sinis sering menyapa Dira, seolah memperkecilkan kemampuannya untuk mengambil tanggungjawab berat itu daripada Fara Fauzana.

Wanita yang berasal dari Merlimau, Melaka, ini cekal menerima setiap kritikan yang bertubi-tubi menyerangnya. Langsung tidak terguris, meskipun kebanyakan maklum balas seolah-olah cuba membunuh semangatnya.

Dira akur menerima kenyataan dirinya memiliki banyak kelemahan untuk diperbaiki. Namun pintanya kepada semua, usah terlalu pantas menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dulu memberi ruang kepadanya untuk menggali seluruh kemampuan sebenarnya.

“Saya masih terlalu baru, malah sedang bergelut untuk mendapatkan rentak dan memahami konsep program itu. Berikan saya sedikit masa untuk membuktikan kemampuan saya.

“Saya tidak menyalahkan penonton jika mereka meletakkan harapan terlalu tinggi. Fara mengendalikan Melodi selama enam tahun, pastinya penonton sudah sebati dan serasi dengan caranya mengendalikan program itu. Saya pula baru beberapa minggu diberi peluang, mana mungkin saya dapat terus tampil sempurna dan memberi persembahan setanding Fara,” kata Dira yang sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab berat itu.
Dira, 27, tidak menafikan, pada minggu pertama mengacarakan Melodi dia agak panik kerana program itu bersiaran secara langsung dari Arena Of Stars, Genting Highlands sempena ABPBH 2010.

Perlahan-lahan kata Dira, dia cuba membawa dirinya menyelami tuntutan program itu. Akur masih ada kekurangan dan kekhilafan yang perlu segera diatasi, Dira percaya waktu akan membasuh semua pandangan sinis itu.

“Saya mahu bersama Melodi untuk tempoh waktu yang panjang, jadi saya berharap penonton tidak akan pantas jemu dengan cara saya.

Disebabkan itu, saya cuba membuka diri kepada khalayak untuk mengenali dan mendekati siapa Dira sedikit demi sedikit. Saya boleh terus menjadi pengacara yang bertenaga dan agresif, tetapi bersediakah penonton untuk melihat saya begitu?

“Biarlah saya mendaki perlahan tetapi disenangi daripada pantas dikenali sudahnya dibenci kerana gagal mengawal diri di depan kaca televisyen,” katanya memberi justifikasi mengapa memilih untuk bersederhana pada bulan awal sesi perkenalannya dengan peminat Melodi.

Bekas finalis Artis Baru Wanita Popular, ABPBH 2009 ini berkata, dia sudah menjangka perkara itu apabila memberikan kata persetujuan untuk menjadi peneraju Melodi.

Malah, dia sendiri sudah menyiapkan diri untuk ‘ditembak’ dengan cemuhan dan kata perbandingan kerana semua itu lumrah sebelum penonton bersedia menerima perubahan yang dibawa.

“Tidak semua orang boleh menerima cara saya. Tidak mengapa, saya tak berkecil hati kerana semua itu memerlukan masa. Saya sudah bersedia menerima apa saja risiko.

“Saya sendiri masih dalam proses pembelajaran. Sehingga hari ini, saya masih bergelut untuk memastikan saya selesa dengan konsep Melodi. Alhamdulillah, saya tidak bersendirian kerana selain tenaga produksi, Zizan juga banyak membantu. Dia spontan, selain pengalamannya beraksi secara langsung di pentas memberikan banyak kelebihan apabila berdiri di depan kamera.

“Namun, saya percaya setiap kami mempunyai keistimewaan tersendiri. Kekurangan saya akan dilengkapi Zizan, begitu juga sebaliknya. Apa yang perlu ialah saling membantu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Bekas pengacara Jom Ronda dan Fulus Mania ini juga tidak gusar andainya satu hari nanti dirinya menjadi ‘mangsa serangan’ Melodi.

Persepsi Dira terhadap Melodi tidak pernah berubah kerana di sebalik segala isu sensasi, program itu pada matanya, masih menyalurkan informasi penting kepada khalayak.

Bagi Dira, apa juga provokasi yang diketengahkan Melodi sekadar menguji bagaimana seseorang personaliti atau selebriti mengendalikan emosi dan memanipulasi soalan supaya tidak melatah di depan kamera.

“Ia umpama sebuah permainan, jika bijak kita akan menang dalam permainan itu. Mengapa perlu takut dengan persepsi orang, sedangkan tidak semua hal dan kebenaran mengenai diri kita diketahui sepenuhnya oleh mereka. Saya cuma menjadi diri sendiri. Pernah juga saya bertanya, apakah nanti saya juga akan menjadi rencah untuk disensasikan di Melodi?

“Jika itu berlaku, mungkin saya hanya akan tersenyum. Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu. Saya cuma menjalani hidup ini dengan jujur dan ikhlas, jadi tiada isu besar untuk dibangkitkan,” katanya.

Cari tarikh sesuai naik pelamin

UMUM mengetahui Dira yang juga ibu tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan, Tengku Anggun Deandra Tengku Tengku Shafiz-Rullah, 3, kini bergelar tunangan kepada pengarah fotografi, Mohd Helmi Mohd Yusof.

Kekosongan hatinya selepas setahun rumah tangga yang dibina bersama anggota kumpulan Bau, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid musnah, kini terisi dengan kehadiran Mohd Helmi. Perkenalan singkat selama tiga bulan yang berputik ketika penggambaran filem Untuk Tiga Hari membawa pasangan ini ke satu fasa baru dalam hidup mereka.

Dira yang baru sembuh daripada kemalangan kecil apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di lebuh raya bagaimanapun, agak malu-malu untuk berbicara mengenai isu peribadi. Cuma, senyum panjang mengiringi satu demi satu soalan yang diajukan kepadanya, menterjemahkan ruang bahagia yang sedang menghuni sudut hatinya.

Jelas Dira, mereka masih belum menetapkan tarikh perkahwinan disebabkan kesibukan bakal suaminya yang terikat dengan pelbagai komitmen kerja.

“Kami sedang mencari tarikh yang sesuai, malah berusaha untuk merealisasikan impian kami berdua pada tahun ini juga. Saya tiada masalah kerana jadual kerjaya yang tidak terlalu ketat. Saya juga tidak memaksa Helmi kerana memahami tuntutan kerjanya yang menuntut waktu yang panjang.

“Helmi banyak terbabit dengan produksi filem, manakala setiap penggambaran pula memakan masa yang panjang. Mahu atau tidak, dia perlu mengutamakan kerja tetapi Insya-Allah jika tiada aral kami akan bersatu pada tahun ini,” katanya.

Dira juga berkata, tempoh perkenalan singkat bukan bermakna mereka membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya semua persetujuan itu dicapai selepas berbincang dan berfikir semasak-masaknya.

INFO: Dira
Nama sebenar: Khaidhirah Abu Zahar
Asal: Merlimau, Melaka
Tarikh lahir: 2 Mac 1984
Status: Ibu Tunggal
Anak: Tengku Anggun Deandra
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam
Hobi: Menunggang Motosikal Berkuasa Tinggi
Kerjaya: Pelakon dan Pengacara Rancangan Televisyen: Fulus Mania, Jom Ronda bersama Proton dan Melodi
Drama: Delima, Cinta Tanpa Suara, Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Seratus Harijadi, Tower13, Aki Nabalu, Arjuna, Perempuan, Dua Kali Mencintai Mu dan Crossings
Filem: My Indie Rock Darling
Teater: Kompilasi Vol II (Legasi) dan Tanda.

Yusry, Lisa dating bawa pengapit


KEPOH bukan sebarang kepoh, kepoh Diva kali ini berbunga ceria. Diva ini sifatnya kalau tidak berlaku di depan mata, sukar nak percaya kata-kata luar.

Tapi baru-baru ini Diva dan teman-teman sendiri ternampak kelibat merpati dua sejoli itu makan malam di kawasan Ampang, Selangor.

Bila Diva toleh ke belakang, Diva nampak Yusry dan Lisa sedang berjalan menuju ke meja sambil masing-masing berteman. Lisa ditemani ibunya, manakala sutradara muda itu ditemani seorang kawan.

Pandangan semua orang di kedai makan tersebut seperti magnet terus tertumpu kepada pasangan baru ini. Maklumlah sama cantik sama padan.

Diva curi-curi pandang juga pasangan itu berbual. Nak lihat wajah berseri orang yang khabarnya dilamun bunga-bunga cinta. Diva lihat sipi-sipi, Yusry tersenyum-senyum memandang terus ke wajah Lisa.

Tak tahulah Diva kalau si Lisa tengah bercerita hal kelakar atau memang Yusry jenis lelaki yang sangat mengagumi kecantikan kaum hawa. Tapi pandangan itu sesuatu sangat. Macam ada bunga-bunga sahaja di keliling Yusry.

Diva doakan yang terbaik untuk pasangan ini. Jangan jadi macam sesetengah artis yang cuba cover line dan takut untuk mengaku ada kakasih hati kerana takut saham jatuh.

Soal hati memang tak siapa boleh menipu. Apa-apa pun semoga Lisa dan Yusry berbahagia hendaknya.

Saya memang nak jadi hero! – Along


FARID Kamil, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Aaron Aziz mahupun Iqram Dinzly, nama-nama ini sememangnya sudah cukup sinonim dengan paparan karakter di layar perak sebagai hero Malaya.

Tetapi entah dari mana, tiba-tiba nama Along Eyzendy pula muncul memeriahkan industri perfileman tanah air ketika ini.

Pernah hadir sebagai orang-orang di belakang tabir dan kemudiannya mengembangkan kariernya sebagai pelakon pembantu, pemuda berusia 32 tahun ini langsung melebarkan sayapnya kepada skop yang lebih komersial.

Rezeki memegang watak hero atau pelakon utama sesebuah drama atau filem ternyata membuka mata umum mengenai kehadiran Along dalam industri.

Namun, jika hendak dibandingkan dengan nama-nama bintang lelaki yang disebut di atas, timbul pula andaian yang mengatakan Along masih belum selayak mereka untuk bergelar hero.

Puncanya cuma satu. Along tidak mempunyai rupa paras yang menarik untuk melengkapkan pakej sebagai hero Malaya.

Menjawab pertikaian berhubung isu, kata Along dalam emosi bersahaja, dia tidak berkecil hati jika ada yang mempertikaikan soal rupa paras kerana sedar siapa dirinya.

Menurut pelakon drama Bio-Nik ini, dia sememangnya sudah menjangkakan perkara ini sejak dari awal pembabitan seriusnya dalam bidang lakonan.

Namun, bagi Along, keyakinannya cukup tinggi untuk bersandar pada bakat yang dimiliki meski punya kelemahan dari aspek rupa paras.

“Orang Malaysia ini memang suka tengok hero yang kacak dan gagah. Pada mereka karakter beginilah baru boleh dipanggil hero.

“Sebab itu bila orang kata saya tak layak jadi hero saya tak kecil hati. Sebab saya sedar saya memang tak kacak.

“Tetapi bagi saya itu semua tak penting. Persepsi ini harus ditukar. Kalau boleh biarlah kita menilai seseorang pelakon itu berdasarkan bakat yang ada padanya dan bukan sekadar luaran,” katanya.

Melanjutkan cerita berhubung isu, kata hero filem Karak terbitan KRU Studios ini lagi, demi mengejar hasratnya untuk menjadi pelakon utama, dia juga berusaha menurunkan berat badannya.

Kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini, selain demi kepuasan sendiri, usaha itu juga dibuat bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan terbaik.

“Sebelum ini badan saya agak berisi dan ketika itu berat badan saya mencecah 120 kilogram. Saya mula sedar yang saya tak berapa sihat selepas asyik penat.

“Perkara ini berlaku semasa saya terlibat dalam penggambaran drama CID 3278 sekitar tahun 2008. Drama tersebut memerlukan saya untuk lincah dan tangkas menangani musuh jadi saya banyak berlari.

“Dari situ baru saya tahu yang badan saya sebenarnya belum cukup ‘kuat’ dan ia mungkin disebabkan berat badan saya.

“Sebab itu saya buat keputusan untuk menurunkan berat badan dan Alhamdulillah, saya selesa dengan berat badan saya sekarang yang dah turun sebanyak 45 kilogram.

“Yang penting, saya mahu mengekalkan stamina agar tak lagi sering kepenatan, ” katanya dalam tawa.

Selesa watak komedi

Jika ada yang tidak tahu, sebenarnya, Along bukanlah terlalu asing dalam bidang seni.

Pembabitannya dalam bidang teater sejak tahun 1998 sebenarnya banyak membantu Along untuk menghayati watak yang diberikan dengan baik sekalipun watak itu kecil.

Bagaimanapun akui Along, meski gemar mempelbagaikan watak, dia tidak dapat lari daripada realiti yang mendekatkan dirinya dengan dunia komedi.

Kata Along, dia melihat watak komedi cukup melekat dengan karakternya yang bersahaja.

Malah, cerita Along tanpa segan, sebelum ini dia juga banyak menerima tawaran watak komedi kerana rupa dan fizikalnya yang dikatakan sesuai untuk watak-watak begitu.

“Saya pun tak tahu, ramai di antara kawan-kawan dan pengarah kata saya sesuai watak komedi. Mungkin ketika itu disebabkan fizikal saya.

“Kalau ikutkan memang saya suka bawa watak komedi apatah lagi memang kena dengan jiwa saya. Tetapi bila saya fikir-fikir balik, saya perlu juga kembangkan watak supaya saya sendiri boleh tengok variasi karakter dan sejauh mana kemampuan saya untuk berlakon.

“Bila berat badan saya menurun, ada juga beberapa pengarah yang menegur dan mereka nampak macam kurang bersetuju.

“Nak tahu apa saya jawab? Saya cakap pada mereka semua ini saya lakukan sebab saya mahu jadi hero!” candanya lagi.

Dalam pada itu, kata Along, dia bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan oleh mana-mana pengarah untuk membawakan watak serius dan sebagainya.

Prinsip Along, meski apa pun watak yang ditawarkan, dia harus menjaga kualiti lakonan dan menggalas tugas dan amanah yang diberikan dengan baik.

“Pada saya tak kisahlah pelakon lama atau baru, selagi kita menjaga kualiti lakonan, maka kita akan terus diberi kepercayaan oleh pengarah.

“Lagipun macam saya cakap tadi, saya nak jadi hero macam Farid Kamil, jadi saya perlulah tunjukkan bakat dan kualiti lakonan yang baik.

“Biarlah tak kacak pun, itu semua tak penting,” katanya dengan jujur.

“Saya menderita ketumbuhan rahim” - Diana Danielle


SEBELUM berangkat ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bagi mendalami bidang lakonan di Sekolah Filem & Lakonan Akademi Filem New York awal bulan lepas, Diana Danielle sempat menghabiskan masa untuk berlibur bersama keluarga.

Kesempatan sekitar Februari itu digunakan dengan sebaik mungkin oleh gadis yang mesra disapa D ini dengan memilih China sebagai destinasi percutian.

Bagaimanapun, ada yang membocorkan cerita, kunjungan itu bukanlah sekadar atas tujuan bercuti. Sebaliknya, D dikatakan berkunjung ke China untuk mengubati penyakit yang ditanggungnya dalam diam sejak sekian lama.

Mengesahkan perkara tersebut, D tanpa berselindung membuka mulut untuk bercerita mengenai masalah kesihatan yang dihidapinya sehingga membawanya ke China untuk menjalani rawatan.

Menurut duta Nano White, Public Gold dan Sunsilk ini, sebelum ini, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa penyakit yang dihidapi adalah disebabkan ketumbuhan yang bersarang di bahagian rahimnya.

Ia cuma terbongkar selepas D menyedari penyakitnya berlanjutan sejak dua tahun kebelakangan sehingga kadangkala menyebabkan dia gagal menjalankan aktiviti seni dan belajar dengan baik.

“Biasalah perempuan, kalau datang bulan, sakit senggugut itu adalah satu perkara biasa. Pada awalnya memang itulah yang D fikirkan.

“Tetapi, lama kelamaan, keadaan D semakin teruk. Sampai tak boleh buat apa-apa kerja kalau ‘masa’ itu datang.

“D hanya mampu menangis sebab sakitnya memang tak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Langsung tak dapat bangun.

“Dah macam-macam D cuba untuk legakan kesakitan. Telan panadol dan ubat tahan sakit, tapi memang tak jalan juga. Sampai mama pun hairan.

“Lepas buat pemeriksaan di hospital, D terkejut bila doktor kata sebenarnya sakit tu berpunca daripada ketumbuhan dalam rahim,” katanya.

Turut melahirkan rasa terkejutnya, kata ibu Diana, Norsiah Ramli, doktor itu juga memberitahu bahawa ketumbuhan yang dihidapi anak gadis tunggalnya itu juga sekiranya tidak dibedah, ia akan membesar di dalam rahim sebagai kanser.

“Tentulah mama risau dan tak mahu perkara itu terjadi. Doktor bagi nasihat supaya D dibedah untuk membuang ketumbuhan yang berukuran lebih kurang 7 sentimeter panjang dengan ketebalan 3 sentimeter.

“Mujurlah mama ada kawan yang mencadangkan supaya D dirawat menggunakan kaedah perubatan cina, Chi.

“Sebab itu kami ke China. Bunyinya mungkin agak keterlaluan, tetapi ia antara usaha mama untuk memulihkan D dari penyakitnya,” katanya.

Pesakit terakhir dirawat

Usai sahaja komitmennya menjalani penggambaran filem Bara Jiwa arahan Osman Ali, kata D, dia bergegas bersama ibunya ke China.

Peluang selama seminggu berada di daerah Huangzhou dan Huangshan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Cerita D, kesempatan bertemu dengan Grand Master Xuan Kong yang terkenal dengan kehebatannya dalam perubatan Chi adalah peluang keemasan bagi D.

Apalagi, dia merupakan sifu Shaolin yang terunggul, tertua dan yang paling disegani di negara itu.

“Rawatan Chi memang menakjubkan. Tanpa menggunakan sebarang peralatan, sifu Xuan membantu mengeluarkan ketumbuhan D menggunakan kaedah tenaga dalaman.

“Ketumbuhan itu dibuang melalui darah. Bayangkanlah, macam mana tak terkejut D bila tengok darah yang keluar berwarna hitam dan pekat.

“Lepas menjalani rawatan itu, D mengalami datang bulan yang agak panjang, 19 hari lamanya. Mungkin itu kesan daripada rawatan yang D buat,” katanya.

Bagaimanapun, cerita gadis berusia 20 tahun ini lagi, hatinya tersentak tatkala menerima perkhabaran mengenai kematian sifu Xuan dua hari selepas dia kembali ke tanah air.

“Terkejut D bila dapat tahu dia meninggal di usia 82 tahun. Lebih sedih bila diberitahu, D dan mama merupakan pesakit terakhir yang dirawat oleh dia.

“Meski rasa beruntung sebab sempat merasa rawatan Chi dengannya, namun kami rasa sedih sebab rupa-rupanya itu merupakan kali pertama dan terakhir kami bertemu,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai rawatan Chi, kata gadis ini, kesihatannya semakin baik malah menjadikan dia semakin aktif.

Malah, ujar D, dia juga tidak lagi merungut sakit teruk selain tidak perlu menjalani proses pembedahan dan makan ubatan herba sahaja.

“Alhamdulillah, semuanya sudah baik. Paling penting, kita merawat penyakit sebelum ia melarat,” katanya.

Cinta kami semakin kuat disebabkan 'itu' - Danny


BENARLAH kata orang tua, orang bertunang banyak dugaan. Macam-macam cabaran sepanjang tempoh berdarah manis. Meski pun baru sebulan setengah diikat, dugaan tetap bertamu.

Pelakon Danny XFactor yang baru melangsung pertunangan pada 20 Mac lalu pun turut terkena tempiasnya. Apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar tunangnya, Zaidatul Norfazlin Zakaria. Dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki dengan aksi agak mengghairahkan.

Memeritkan apabila foto berkenaan antara gambar yang terkandung di laman web sosial, Facebook. Pemilik akaun berkenaan menggunakan nama ‘Tunang Danny Xfactor’.

Malah, dia juga menitipkan pesanan ‘Gambar mabuk tunang danny x-factor’ ke Facebook Pancaindera MM.

Lantaran itu, Pancaindera merangka pertemuan bersama Danny di Sungai Pansung, Hulu Langat Selangor pada petang Rabu lalu. Walaupun pada ketika itu Danny sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Ahmad Albob Yang Punya.

‘‘Saya ada prinsip hidup sendiri. Tak kan bercerita atau mengulas tentang masa silam orang lain. Yang lepas itu biarlah lepas. Tak ada benda lagi yang perlu dicerita,’’ reaksi awal Danny tatkala diajukan persoalan tersebut.

Pemilik nama Mohd. Khardanie Anwa berkata, tidak adil buat dirinya untuk menilai luaran seseorang itu berdasarkan apa yang dilihat. Tambahan pula individu yang menjadi subjek utama itu adalah tunangan yang bakal dikahwininya.

‘‘Sebenarnya, saya dah dapat gambar berkenaan lebih awal lagi. Sebelum saya bertunang dengan Leen (panggilan tunang) 20 Mac lalu. Dikirim menerusi pengirim e-mel bukan menggunakan nama sebenar.

‘‘Saya pernah membalas e-mel tersebut dengan menanyakan apa motif dia berbuat demikian. Tetapi pengirim e-mel itu tidak membalasnya,’’ bongkar lelaki berusia 31 tahun ini.

Disebabkan rasa ingin tahu siapa ‘dajal’ di sebalik terbongkarnya perkara tersebut, Danny meminta tunangnya membuat laporan kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun, siri siasatan tersebut hanya berjalan separuh jalan.

Danny tidak meneruskan langkah seterusnya. Ditanya mengapa Danny sengaja mendiamkan diri. Alasannya, dia malas memanjang perkara tersebut bila difikir-fikir kemudian.

‘‘Memang sebagai bakal tunang (ketika itu) saya cukup tercabar. Terutama Leen, dia lebih terasa sakit hati sebab perkara ini membabitkan gambarnya. Jadi saya perlu bertindak rasional.

‘‘Rakaman foto itu sekitar tahun 2009. Saya pula berkenalan dengan Leen pertengahan tahun 2010. Gambar itu diambil sewaktu dia mula-mula kerja pramugari.

‘‘Saya faham apa yang dialami Leen. Saya dah duduk berbincang dengan dia tentang perkara ini. Sebab saya pun pernah jadi pramugara satu ketika dulu,’’ jelasnya yang enggan mengungkit cerita lama.

Pada masa yang sama, Danny mengakui bahawa foto yang ditunjukkan tidak keterlaluan. Cuma kapsyen gambar saja agak kasar. Boleh mengundang spekulasi buruk mengenai peribadi tunangnya itu.

Apatah lagi tamparan buat kedua-dua belah keluarga. Namun begitu, salah faham tidak berlaku selepas perkara itu diperjelaskan satu persatu.

Ditanya berkemungkinan perkara itu dilakukan oleh bekas teman lelaki Leen, Danny segera menafikan. Katanya, dia tahu mereka berdua berkawan baik sehingga ke hari ini.

‘‘Saya tak boleh tuduh siapa penyebar foto itu. Terlalu rumit. Tapi saya tahu satu hari nanti, kebenaran pasti terbongkar. Orang itu pasti datang melutut minta maaf pada saya,’’ katanya lagi.

Jauh dari sudut hatinya, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mengatakan rasa sakit hati sudah lama hilang. Apa yang diharapkan adalah dapat bertemu dengan pengirim itu.

‘‘Selama 11 tahun saya dalam industri. Saya lalui macam-macam ragam manusia. Berkenalan dengan pelbagai wanita. Ada yang membuatkan saya sedih, sakit hati, sayang dan cinta. Tapi semua itu adalah kisah lampau saya.

‘‘Kini saya dah jumpa Leen. Dia adalah masa depan sebab saya bakal mengahwininya. Saya anggap semua itu dugaan. Peringatan kepada saya agar lebih bersedia sebelum menjadi ketua keluarga,’’ jelas pengacara Agro Eksplorasi ini.

Leen di mata Danny

Mengulas tentang keistimewaan Leen yang bakal menjadi isteri Danny selewat-lewatnya September ini, pelakon drama Fara ini menguntum senyum.

Katanya, dia tak pernah berjumpa dengan wanita begitu unik di matanya. Tiada lafaz cinta diungkap pada pertemuan pertama. Ia berlaku tanpa disedari sehingga 1 Januari 2011. Apabila Leen mengirimkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya. Ia terjadi selepas banyak SMS ditujukan tidak berbalas.

‘‘Awal-awal lagi saya beritahu yang saya tak perlukan kekasih. Tapi nak seseorang untuk jadi isteri. Jadi biarkan takdir saja yang menentukan. Tak sangka pula kami jadi serasi.

‘‘Dia cukup memahami kerja saya dan begitu juga dengan saya. Kami saling percaya mempercayai. Pendek kata, saya boleh tidur lena kalau dia bertugas ke luar negara.

‘‘Saya juga tak sangka dalam ramai-ramai wanita yang saya kenal di Malaysia, akhirnya jodoh saya datangnya dari Pasir Mas juga,’’ katanya membius bahagia.

Janganlah busuk hati sangat! - Neelofa


ENTAH apa ‘sihir’ yang digunakan, sampai nama Neelofa Mohd Nor disebut-sebut, diingat-ingat oleh banyak pihak hari ini. Ada yang memuji bakat yang ada dalam dirinya sementara ramai juga yang tertawan dengan seraut wajah mulus yang menjadi igauan kebanyakan lelaki.

Padahal ini merupakan tahun permulaan bagi dirinya. Itulah yang dinamakan takdir. Takdir yang membawa Neelofa terbang ke awan tinggi walaupun belum sampai ke kemuncak segala-galanya.

Tiada sihir atau amalan ‘jampi serapah’, bertemu dukun atau bomoh untuk mencari pelaris, sebaliknya populariti datang dengan sendiri.

Mungkin masih ramai yang sangsi kepada anak muda yang satu ini. Siapakah dia dan apakah penyebab dia harus angkat ke tempat sebegini tinggi?

Tidak pernah terniat untuk membangga-banggakan wanita yang seorang ini hanya kerana kontroversi yang terpalit tatkala mula mendaftar nama sebagai anak seni. Mungkin juga natijah baik yang Neelofa dapat setiap kali terheret dalam kancah kontroversi- menaikkan lagi populariti dirinya.

Ya, bukan sengaja untuk mengungkit apa yang sudah berlaku. Memandangkan semua itu kini sudah boleh dianggap sebagai sejarah, dia akur orang tetap akan mengungkit apa yang telah berlaku sampai bila-bila.

Suka atau tidak dia terpaksa menerima apa sahaja kritikan dan kata-kata kurang senang sesetengah pihak yang cukup iri pada dirinya. Dalam kerendahan hati, dia tidak kisah dengan apa juga tafsiran orang.

Bukan besar kepala ataupun tidak peduli, apa yang paling penting kata pelakon utama filem Azura 2011 ini dia mahu mendiamkan diri dari menjawab apa yang tak perlu dibahaskan.

“Orang selalu memberikan kata-kata kurang elok pada saya. Tuduh itu, tuduh ini sedangkan apa yang dikhabarkan itu langsung tak benar. Saya tak mahu terus terlibat dalam kancah yang mereka ciptakan.

“Lebih baik saya diam dari terus melawan apa sahaja cakap mereka. Lagi banyak saya cakap lagi tak manis. Bila saya tak jawab akhirnya semua orang dan setidak-tidaknya meredakan isu yang tengah panas itu.

“Bila saya diam jangan ingat saya lari. Kalau ada yang bertanya saya akan jawab dengan baik. Rasanya itu jalan yang terbaik buat saya,” jelasnya kepada Pancaindera.

Popular kerana kontroversi

BENAR, tidak pernah sekalipun terdetik dalam hatinya untuk terus mengecap populariti di sebalik cerita-cerita panas yang melanda. Kalau ada yang mengikuti perkembangan gadis yang baru sahaja mencecah usia 22 tahun, pasti tahu segala-galanya.

Dia yang dicungkil bakat melalui sebuah pertandingan pencarian bakat baru tahun lalu cukup panas dengan kejian orang. Dituduh membeli undi untuk menang, bersikap diva dengan kebanyakan peserta yang bertanding sehingga ada yang sanggup menjaja cerita tersebut keluar kepada umum.

Dari riak wajahnya, dia tidak mempedulikan apa juga kata-kata orang. Namun, tidak ada siapa yang dapat meneka apa yang tersirat dalam hati kecilnya itu.

Nama Neelofa terus terpalit apabila dikatakan menjadi punca perpisahan pelakon baru Shahz Jaszle dan Maria Farida. Dituduh menjadi punca perpisahan itu, dilabel sebagai perampas dan pelbagai kata-kata sinis yang cukup mengguris sanubari.

Siapa yang mahu dituduh begitu? Selagi masih waras, artis yang kini mengacarakan rancangan Paparazi milik KRU TV ini masih terasa sakit itu.

Semakin deras langkah kakinya, namanya sekali lagi terjerat apabila menjadi punca kepada penarikan diri Gambit Saifullah pada awal tahun lalu untuk membintangi filem arahan Aziz M Osman itu.

Cukup panas apabila isu bayaran Gambit diketahui umum, nama Neelofa juga ada terheret sama sehingga memaksa Aziz dan Gambit berbalas kenyataan yang dikatakan berpunca daripada dirinya.

Lantas ramai yang mula mengadakan cerita kononnya Neelofa memang bermasalah? Benarkah dakwaan tersebut?

“Bukan soal siapa yang mencipta kontroversi yang perlu diutamakan. Saya pun tidak tahu mengapa terlalu banyak kontroversi yang melanda membabitkan nama saya.

“Bila orang bercakap itu dan ini memang saya diam. Itu mungkin jalan yang terbaik buat saya ketika ini dari terus menagih perhatian masyarakat untuk percaya pada saya.

“Memang saya bersyukur kerana apa yang dah berlaku tak menjejaskan periuk nasi. Terima kasih kepada mereka sebab buat saya lebih kuat. Saya tahu saya tak bersalah dan peminat faham situasi saya.

“Jangan terus jaja cerita tak elok tanpa sebarang bukti. Mana bukti hitam putih yang kata saya buat itu dan ini? Inilah masalahnya bila cerita yang tak betul dijaja. Saya tak peduli semua itu.

“Kalau saya bersalah mungkin saya dah tak aktif dalam bidang seni. Cukuplah saya dan orang terdekat sahaja tahu apa yang dah berlaku sebelum ini.

“Bila keluar sahaja cerita yang kurang elok, memang saya terasa hati. Pedih dengan apa juga tanggapan orang yang berterusan menjatuh hukuman melulu.

“Saya bersyukur sebab kesedihan tu tak lama. Bila saya sibuk dengan penggambaran, akan terhakis sedikit demi sedikit. Inilah sebab saya mampu bertahan.

“Anda kena ingat satu perkara. Persepsi orang kepada kita boleh berubah bila-bila masa sahaja. Hari ini mungkin dia benci pada kita, tapi esok mungkin dia akan jadi peminat nombor satu, ” ujar pelakon drama Kasih Najihah ini.

Sudah dimiliki

“SEMUA orang kata saya menjalinkan hubungan dengan pelakon lelaki itu. Saya nak buat kenyataan yang saya dengan dia tak ada apa-apa hubungan istimewa jauh sekali untuk berkasih,” tegas Neelofa berhubung dakwaan tersebut.

Lalu jika bukan dengan Shahz Jaszle, dengan siapa? Atau sengaja menyorok kebenaran kerana tidak mampu berterus terang?

Akui Neelofa dia sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seseorang, itu saja. Puas dipujuk, dia enggan mendedahkan lelaki yang berjaya menakluk hati.

“Sebelum ini pun sudah ada cerita tentang cinta baru saya. Rasanya ramai dah tahu hati saya dah pun dimiliki seseorang. Jadi tak perlu untuk saya terus menyorok mahupun menipu peminat dengan pelbagai alasan.

“Tolong jangan tanya siapa dan apa-apa soalan tentang lelaki itu. Apa yang boleh saya katakan saya memang rapat dan mahu mengenali dia dengan lebih mendalam,” tegas Neelofa.

Tidak mahu terus memanjangkan cerita tentang hati dan perasaan, Neelofa mengakui bahawa hidupnya kini sudah tidak seperti dahulu. Ruang untuk dirinya semakin menipis sedangkan ada sesetengah perkara yang harus disimpan untuk dirinya.

Soal privasi sudah boleh dibuang jauh-jauh. Bukan kerana apa, setiap yang disorok akan terkeluar juga sehingga memaksa dia mengalah dengan jalan yang dipilih.

“Saya tak pernah menyesal walau terpaksa berkongsi segala-galanya dengan semua orang. Ini memang jalan yang saya mahu dan saya reda dengan takdirnya.

“Sejak mula nak aktif dalam bidang seni, saya sudah tahu asam garam menjadi orang yang dikenali. Mungkin dulu saya hanya tahu sebab memerhati tapi kini saya telah merasainya sendiri.

“Bila sampai pada tahap ini, saya nak orang pandang pada bakat saya. Jangan nilai perkara-perkara lain yang tak sepatutnya diambil kisah sehingga menenggelamkan bakat yang ada dalam diri ini.

“Ini adalah tahun permulaan untuk saya. Bila kita masih baru dalam dunia yang cukup banyak sepak terajang ini, apa yang saya cari hanyalah kepuasan untuk menjadi anak seni.

“Tolong nilai bakat dan jangan sesekali ukur melalui kontroversi!,” kata Neelofa.

Hormati maruah saya - Shahir


KALAU sekadar mahu mengusik, saya tak kisah. Tapi janganlah keterlaluan sangat, saya pun ada maruah. Saya tak suka bila kena fitnah,” reaksi awal Shahir mengulas tentang pertemuannya dengan jelitawan itu sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini dikatakan berjumpa dengan Rozita di Genting Highlands, Pahang sekitar pukul 3 pagi. Pertemuan berlaku usai menghadiri acara majlis anugerah, awal bulan lalu.

Kesannya, dia berdepan dengan persoalan demi persoalan. Tambahan pula sebelum ini banyak cerita kurang manis melibatkan figura awam pernah dicatatkan di kawasan hotel.

‘‘Ahli keluarga saya termasuk nenek terkejut bila dapat tahu tentang pertemuan tersebut. Berulang kali mereka bertanya tentang kebenaran cerita itu. Sedihnya, ada juga pihak yang mula percaya.

‘‘Memang tak ada pun pertemuan antara kami. Saya ke lobi hotel untuk bertemu kelab peminat lain. Cuma kebetulan Rozita ada di situ bersama penerbit yang juga saya kenal. Jadi kami berjalan seiringan.

‘‘Di sinilah terletak salah faham. Saya bukan berduaan dengannya tapi beramai-ramai. Saya ada bukti bergambar. Bersama dengan peminat saya sebelum pulang ke bilik kira-kira pukul 6.30 pagi,’’ hujah Shahir.

Juara rancangan Akademi Fantasia Kelapan ini juga kesal apabila masih ada pihak beria-ia mengesahkan kewujudan hubungan cintanya dengan Rozita.

Gambaran diberikan seolah-olah memang pasti hubungan cinta itu. Meski pun berulang kali mengatakan bahawa sekadar hubungan sesama rakan artis.

Apabila ada khabar mengatakan Rozita mendesak penerbit untuk menggandingkan dirinya dengan Shahir dalam telefilem berjudul Summer Camp. Bakal menjalani penggambaran di Ladang Tebu, Perlis pada awal Mei ini, Shahir mengatakan dia tak menahu berhubung perkara itu.

Apatah lagi ia merupakan gandingan kali pertama Rozita dengan Shahir. Mahu dilihat ada keserasian sewaktu melakonkan watak cikgu.

‘‘Kisah cinta antara saya dengan Rozita ada macam-macam versi. Hakikatnya saya cuma bersahabat baik dengan dia. Saya juga tak kisah dengan gosip antara saya dengan Rozita. Tapi tolonglah, jangan sampai menjatuhkan maruah saya,’’ kesalnya.

Pada masa yang sama, Shahir turut menyatakan pandangan peribadinya terhadap Rozita. Bagi Shahir, wanita yang dikaitkan dengannya itu secara luaran sangat moden. Namun, dalamannya penuh ciri-ciri ketimuran.

Tambahan pula dengan status ibu tunggal dibawa Rozita, menambahkan rasa kagum. Ketabahan membesarkan anak dan bekerja sebagai anak seni.

Pertaruhan pertama

Menyentuh tentang filem pertama lakonannya Karak, nada lelaki berusia 23 tahun ini bertukar ceria. Katanya, itu adalah pengalaman pertama bekerja dengan Yusry KRU yang bertindak sebagai pengarah di layar lebar.

Melakonkan watak Nik, seorang lelaki yang tabah dan taksub dengan perkara mistik. Kegemarannya mengkaji paranormal dan berkongsi hasil pertemuan dengan kawan-kawan. Minat itu kemudian bertukar kepada mimpi buruk sehingga menakutkan kekasihnya Zura (lakonan Shera Aiyob).

‘‘Bayangkan, saya yang ‘kayu’ ini kena berlakon dengan wanita. Bertambahlah ‘kayu’. Tapi saya cuba atasi rasa gemuruh saya itu.

‘‘Disebabkan terlalu penat juga saya tertidur semasa kamera sedang rakam. Sedar-sedar saya dengan suara abang Yusry surah saya berlakon,’’ katanya yang selesai menjalani pengambaran filem seram sekitar Julai tahun lalu.

Zamani semakin parah


SELEPAS Jamal Abdillah dan Salem, Zamani adalah artis lelaki yang mempunyai keunikan vokal tersendiri. Bagaimanapun sebut tentang Zamani macam-macam aduan yang Syed dengar setahun dua kebelakangan ini.

Baru-baru ini timbul cerita kononnya Zamani sudah meninggal, tetapi ia hanya cerita tak berasas. Kes terbaru Syed dengar Zamani telah mungkir janji dengan sengaja untuk merakamkan semula lagu Gerimis Mengundang di Jakarta baru-baru ini.

Sepatutnya Zamani menyanyikan semula lagu popular itu dengan artis popular seberang, Harvey Malaiholo, tetapi tak jadi tanpa sebarang penjelasan.

Walaupun Zamani sudah menyatakan persetujuan untuk merakamkan semula lagu berkenaan dengan pihak Erama Records, dia tak muncul-muncul di lapangan terbang pada hari dia sepatutnya berlepas ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama.

Zamani terus hilang, lesap tanpa sebarang khabar. Pengurus dia, Johan Aziz pun tak dapat hendak kesan ke mana artis itu berada pada hari berkenaan.

Makanya Syed difahamkan, sebab masalah dalaman Zamani telah menyusahkan banyak pihak. Tidak mahu terus menanti, Erama Records buat keputusan ambil penyanyi lain, dan pilihan mereka ialah Dayang Nurfaizah.

Bagi Syed, Zamani memang tolak tuah besar. Peluang sudah datang depan mata, disia-siakan begitu saja. Ditolak macam sampah sarap saja.

Bagaimanapun Penerbit Eksekutif Erama Records, Datuk Affendi Hamdan menganggap itu semua bukan satu masalah besar kepadanya.

“Zamani menolak peluang itu tanpa sepatah kata, kami mendapat pengganti yang hebat juga. Gandingan Dayang dan Harvey sangat hebat dan Gerimis Mengundang akan jadi lagu baru yang digilai ramai seperti suatu masa dahulu,” kata Affandi tentang lagu asal ciptaan Saari Amri itu.

Malah kata Affandi, dia memahami masalah yang dihadapi Zamani dan tidak teragak-agak untuk bekerjasama di masa depan, kalau masih ada rezeki.

Nasib baiklah ada yang memahami, kalau tidak mungkin kes Zamani sudah dibawa ke mahkamah.

Setahu Syed sebelum ini dia ni artis yang mudah beri kerjasama, berbakat besar dan diminati ramai. Tahun lepas pun dia ada juga muncul dalam Konsert Pancaindera dan memang peminat dia cukup ramai, kalah artis lain.

Persoalannya sekarang, kenapa sanggup ‘menghancurkan’ kerjaya dan diri sendiri sampai macam tu sekali? Sampai bila Zamani hendak hidup dalam keadaan ‘tidak keruan’ dan abaikan kerjaya dan diri sendiri? Semoga cepat sedar sebelum terlambat.

Shuib (Sepah) Mahu Jadi Pengarah


KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib (Sepah) memasang impian untuk menjadi seorang pengarah drama atau filem beberapa tahun lagi.

Menurut Shuib, dia mahu mengembangkan sayapnya ke bidang pengarahan apabila mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang lakonan.

“Saya bercadang untuk membuka sebuah produksi untuk menerbitkan drama atau filem suatu hari nanti.

“Buat masa ini saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang lakonan dan belajar banyak perkara lagi,” katanya.

Tambah Shuib, dia yang gemarkan filem bergenre aksi komedi itu memberi tempoh masa selama tiga tahun untuk dirinya mendalami ilmu dalam bidang ini.

Dalam pada itu, ahli kumpulan Sepah ini bakal membintangi filem pertamanya berjudul Man Sewel Datang KL.

Dia yang membawa watak Osman Sewel menganggap ia bukan sesuatu yang mudah seperti yang digambarkan.

“Watak saya sebagai Man Sewel memang agak berat, ianya adalah watak yang paling besar serta paling utama dalam dalam filem tersebut.

“Pada awalnya, saya sendiri tertekan kerana tidak berjaya menjiwai watak Man Sewel, walaupun sudah beberapa kali mencuba,” katanya.

Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini mengisahkan seorang lelaki bernama Osman yang datang ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.

Bagaimanapun, ketika berada di Kuala Lumpur berbagai halangan yang terpaksa ditempuhinya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan pulang kembali ke kampung.

Filem ini dijangka akan ditayangkan pada November ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails