Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Majlis Resepsi Pernikahan Watie (Elite) & Joey 1 Mei Depan
PETALING JAYA: Pelakon Norwati Sadali (Watie Elite) dan suaminya yang juga pelakon, Zulkifli Daud (Joey) bakal mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Mei ini di Bangi, Selangor.
Majlis yang bakal diadakan di kediaman Setiusaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan iaitu Datuk Ruhaidini Abd Kadir itu adalah untuk ahli keluarga terdekat dan rakan media artis itu.
Pada acara itu juga, Watie dan Joey akan menjelaskan kepada pihak media mengenai kekeliruan berkaitan status perkahwinan mereka yang kecoh diperkatakan sebelum ini.
Sebelum ini, Watie dan Joey dilaporkan bernikah secara senyap pada penghujung tahun lalu sebelum membuat pengakuan rasmi kepada pihak media.
Joey, yang merupakan vokalis kumpulan Exists mempunyai seorang anak perempuan, Zidani, 5, hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Noraini Mohamad Nasir.
Mereka telah bercerai pada 8 Ogos tahun lalu.
Begitu juga dengan Watie yang telah mempunyai seorang anak, Ahmad Afif Danial, 5, hasil perkahwinan terdahulu.
Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka dikatakan menjalin hubungan sewaktu bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor.
Jemputan menghadiri majlis tersebut telah dihantar oleh Watie kepada pihak media menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula Selasa.
Farawahida Banyak Belajar Urus Diri Selepas Kontroversi
KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida mengakui banyak belajar menguruskan kerjaya seninya secara sendirian selepas dilanda kontroversi dengan bekas pengurusnya kira-kira dua tahun lalu.
Farawahida berkata, dia lebih yakin selepas dapat belajar pelbagai perkara mengenai selok-belok bidang muzik sedirian yang sebelum ini hanya dipandang ringan.
"Sebelum ini saya hanya saya tahu pergi ke studio, rakamkan lagu dan balik. Selebihnya diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya.
"Insiden tersebut setidak-tidaknya telah mengajar saya banyak perkara terutamanya dalam mengukuhkan karier seni saya sendiri dan belajar membuat keputusan," katanya ketika ditemui mStar online.
Farawahida ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM di Angkasapuri di sini, Isnin.
Tambah penyanyi lagu Tanpamu ini, dia kini lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni tanpa diuruskan sesiapa dan tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan buat masa ini.
"Biarlah saya berdikari buat ketika ini kerana jika ada apa-apa urusan pihak penganjur atau media boleh berhubung saya terus tanpa perlu melalui pihak pengurusan.
Dalam pada itu, Farawahida memberitahu dia teruja apabila filem lakonannya berjudul Baik Giler yang telah menjalani penggambaran pada tahun 2010 akhirnya bakal ditayangkan pada bulan Jun depan.
Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahira, Awie dan Abon.
Farawahida berkata, walaupun ada menerima beberapa tawaran berlakon selepas filem itu tetapi dia mengambil keputusan untuk menolaknya kerana ingin menunggu hasil akhir Baik Giler.
"Saya tidak mahu terlalu yakin dengan bakat lakonan yang ada kerana saya hendak tunggu dulu hasil pertama ini keluar dan tengok bagaimana maklum balas daripada penonton.
"Jika mereka menyukainya saya akan menerima tawaran lain yang diberikan selepas ini," katanya.
Sementara itu, Farawahida yang sedang hangat dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi memberitahu masih lagi mempromosikan lagu tersebut dan sedang merancang untuk muncul dengan buah tangan baru.
Namun dia tidak mahu terburu-buru kerana perlu mencari material dan muzik yang baik supaya dapat diterima oleh peminat.
"Oleh kerana kos itu nanti akan dikeluarkan sendiri oleh saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam memilih lagu kerana banyak faktor yang perlu diambil kira," katanya.
Rohana Jalil Akui Bertekak Dengan Kilafairy
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil sering bertekak dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy kerana kurang senang dengan sikap sambil lewa anaknya itu terhadap bidang seni.
Rohana berkata, Kilafairy yang baru berusia 18 tahun itu masih mentah dan ada masanya dia akan cepat bosan dengan apa yang dilakukannya.
"Dia masuk ke dunia seni tanpa perlu bersusah payah seperti mana zaman saya dulu dan kesenangan yang dimiliki kadang-kadang membuat dia lupa dan mula sambil lewa.
"Saya bertekak dengan dia tu bukanlah bermaksud kami bergaduh tapi lebih kepada nasihat kerana dia pun masih muda dan perlu ada orang tua seperti saya yang tahu selok-belok dunia hiburan.
"Saya sebagai ibu tidak mahu dia hanyut dengan glamor sehingga terlepas peluang atau melakukan sesuatu yang akan dia menyusahkan dia kemudian hari," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM 2012 di Angkasapuri di sini, Isnin.
Dalam pada itu, Rohana berkata, dia sebenarnya mahu Kilafairy memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier nyanyian tetapi minat anaknya itu lebih terhadap dunia lakonan.
Bagaimanapun kata Rohana, Kilafairy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak kerana sering diberi peranan 'gedik' yang kurang sesuai dengan usianya yang masih muda.
"Lakonan adalah minat dia dan sebagai ibu, saya tetap sokong tetapi dia mesti bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan. Setakat ini usaha itu sudah nampak cuma dia perlu tingkatkan lagi," katanya.
Sementara itu, Rohana berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu dan memilih komposer Amylea (AF) untuk mencipta lagu itu nanti.
Kata Rohana, dia menyerahkan kepada komposer muda itu untuk memilih lagu sesuai untuk mereka kerana ingin muncul dengan sesuatu yang baru dan segar bersama anak.
"Saya teruja dengan projek terbaru ini dan ingin muncul dengan sesuatu yang boleh menambat hati peminat Kilafairy dan saya sendiri. Jadi rasanya orang baru seperti Amylea lebih mengetahui apa yang sesuai untuk lagu duet itu nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rohana berkata, dia bakal muncul dalam satu persembahan khas di Hotel UiTM di Shah Alam pada 28 April ini bersama dua rakan baiknya iaitu Nassier Wahab dan Zur Eda pada pukul tiga petang.
Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP
HIBURAN
Selasa April 24, 2012
Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP
Oleh WAHIDUZZAMAN (wahi@thestar.com.my)
Fida Ibrahim
PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) menepis sekeras-kerasnya dakwaan terbaru kononnya dia sudah bernikah secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua seorang usahawan berstatus VIP pada awal bulan ini di Perlis.
Pelakon berusia 26 tahun itu berkata tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana pada waktu tersebut dia sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama.
“Tuduhan saya bernikah secara senyap-senyap adalah tidak betul sama sekali. Ini adalah fitnah kerana pada waktu yang dikatakan saya melangsungkan pernikahan itu, saya berada di lokasi penggambaran.
“Jujurnya, saya pun tidak tahu mengenai perkara sehingga ia kecoh diperkatakan di laman Twitter pada baru-baru ini tetapi ia (pernikahan) memang tidak berlaku,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online.
Terdahulu, pada Disember tahun lalu mStar Online pernah melaporkan pengakuan aktres itu menjalin hubungan dengan VIP tersebut yang sudah dikenalinya hampir dua tahun lalu menerusi jaringan perniagaan.
Difahamkan juga, Fida menyembunyikan hubungan mereka kerana enggan menimbulkan kekecohan memandangkan VIP itu sudah berkahwin.
Ditanya adakah dia cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, bekas kekasih kepada pelawak Mamat (Sepah) ini menganggapnya sebagai salah faham.
“Perkara ini timbul atas dasar salah faham. Mungkin ada orang yang seiras wajah saya melangsungkan pernikahan pada waktu dan lokasi yang dikatakan itu.
“Secara tidak langsung saya pula dikaitkan dengan perkara ini. Jika benar saya bernikah, tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya.
Beralih kepada perkembangan kerjaya, impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila Fida mengesahkan bakal muncul dengan lagu single pertama berjudul Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada tahun 1980-an
“Lagu itu digubah semula dengan susunan baru yang sesuai dengan muzik semasa. Ia dijangka keluar pada hujung April atau selewat-lewatnya awal Mei depan.
“Menariknya, saya akan berduet dengan kumpulan Stellar Band dan diterbitkan oleh Sheikh Qalam,” katanya yang bakal terlibat dalam telefilem Nasib Si Pemandu Limousin.
Akaun Twitter Zahida Rafik 'Panas' Dengan Sindiran
PETALING JAYA: Aktres Zahida Rafik menjadi semakin popular selepas tersebar dakwaan dia menerima sejumlah wang daripada seorang menteri kanan sehingga mengundang pelbagai reaksi panas menerusi laman sembang Twitter milik pelakon itu.
Kebanyakan pengikut Twitternya iaitu di @zahida_rafik menghantar pesanan yang menyindir selain teguran pedas berhubung dakwaan kononnya dia menerima wang kira-kira RM1.5 juta daripada VIP berkenaan.
Salah seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Fared Isa pada dua hari lalu menghantar mesej berbunyi: “Hi jutawan. Anda telah kantoi…Saya tidak pernah dengar nama anda sebelum ini hinggalah berita anda ini tersebar ke seluruh negara.”
Zahida pula membalas dengan berkata; “Sabar!!Teruskan usaha anda! Saya perlu tido sekarang, selamat malam! Esok jangan lupa tweet lagi tau…Sekurang-kurangnya saya seorang jutawan, anda pula?
Seorang lagi pengguna, Mohd Firdaus menghantar pesanan kepada Zahida lima hari lalu berbunyi: “Untung laaa @zahida_rafik hidup senang-senang sahaja hujung minggu dapat RM200,000. Nak duit beritahu sahaja dekat menteri. Saya harap berita ini satu kebenaran.”
Zahida pula membalasnya; “Maaf ye, saya bekerja keras untuk dapatkan duit. Jika kamu tak ada duit, saya boleh derma sedikit. Tidak apa, Allah akan tunjukkan kebenarannya.”
Bagaimanapun trend tersebut berubah apabila pengikut Twitter milik Zahida mula memberi komen yang positif terhadap pelakon itu apabila terdapat mereka yang menyokong dan memberi galakan kepadanya.
Seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Tengku Iskandar menghantar mesej berbunyi; “Harap cepat selesai masalah ini sebelum makin melarat. Faham-faham sahaja la di Malaysia ini, semua hendak jadi hakim.”
Adlynn Jamlus pula menghantar mesej dengan meminta Zahida bersabar iaitu; “Bersabarlah dengan dugaan yang diberi... Insya-Allah ada hikmahnya.
Sehingga malam Isnin, akaun Twitter pelakon Anak Mami The Movie ini mempunyai 7,069 pengikut.
Rabu lalu, pemandu peribadi Zahida, Noor Azman Azemi membuat laporan polis mendakwa aktres berkenaan mendapat wang berjumlah RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Bagaimanapun, Zahida dan menteri berkenaan telah menafikan tuduhan itu dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memfitnah mereka.
Sharifah Zarina Muncul Selepas Lima Tahun Menghilang
PETALING JAYA: Hampir lima tahun menyepi daripada dunia hiburan, penyanyi Sharifah Zarina bertekad untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian pada tahun ini.
Jelas Sharifah Zarina, keputusan itu dibuat kerana selama ini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga termasuk tiga orang anaknya.
"Sebenarnya dari tahun lepas lagi saya sudah mula bergiat aktif tetapi ia tidak berapa rancak kerana ramai pihak masih tidak mengetahui kemunculan semula saya dalam bidang nyanyian.
"Tahun ini saya akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerjaya seni saya kembali terancang dengan pelbagai aktiviti dan lagu baru," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Sharifah Zarina, antara penyebab dia mahu muncul semula dalam bidang seni kerana tidak gusar untuk meninggalkan tiga cahaya matanya yang sudah besar selain mendapat keizinan suami tercinta.
Dalam pada itu, Sharifah Zarina berkata, dia juga telah melantik seorang pengurus bagi memastikan perjalanan kariernya lebih teratur pada masa hadapan.
"Mungkin sebelum ini cubaan saya untuk kembali dalam bidang nyanyian tidak berapa menjadi kerana tiada bantuan pengurus yang boleh merencanakan aktiviti dan publisiti untuk saya.
"Dengan adanya pengurus rasanya perancangan saya akan lebih tersusun selepas ini," katanya.
Dalam perkembangan sama dia sudah pun muncul dengan single terbaru berjudul Memandang Awam ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin.
Ujarnya, lagu berentak balada itu telah pun siap sepenuhnya pada penghujung Februari lalu dan telah pun dihantar ke stesen radio untuk disiarkan.
"Saya teruja dengan lagu ini kerana penghasilannya dilakukan agak lama kerana Ashraf adalah seorang yang begitu teliti dalam menghasilkan sesuatu.
"Beberapa kali penambahbaikan terhadap lagu itu dibuat sehingga dia berpuas hati dan sebagai penyanyi saya juga gembira dengan hasil yang ditunjukkan," katanya.
Bercakap mengenai aktiviti terbarunya, Sharifah Zarina berkata, dia akan berangkat ke Sabah pada Sabtu dan Ahad ini untuk menjayakan program Jelajah Janji Harus Ditepati di Dataran Bandaran Kota Kinabalu.
Fouziah Ghous Nafi Bakal Bertunang
PETALING JAYA: Pelakon popular, Fouziah Ghous menafikan bakal bertunang dengan kekasih yang masih dirahsiakan identitinya itu pada bulan Jun depan.
Fouziah dalam laporan akhbar Kosmo pada Isnin berkata, dia tidak pernah merancang untuk bertunang seperti yang didakwa dalam masa terdekat ini.
"Saya sendiri tidak tahu bila akan bertunang. Orang yang beri kenyataan itu cukup hebat kerana lebih tahu tentang perkara yang saya sendiri belum tahu," katanya.
Pelakon itu berkata, dia terkilan apabila sebuah ruangan gosip mendakwa dia bakal bertunang tanpa menyiasat dahulu kebenaran mengenai perkara itu.
Ujar Fouziah, dia masih belum terfikir untuk berkahwin atau bertunang buat masa ini namun jika perkara itu terjadi dia sendiri akan hebahkan kepada media.
"Jika tidak pasti, sahkan dengan saya dahulu dan bukannya buat andaian bukan-bukan sebegini dan seterusnya mengelirukan semua pihak," katanya.
Wanita Seksi Peluk Ikhwan (Hot FM) Hanya Peminat
PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM, Ikhwan, menjelaskan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa atau sebarang kaitan dengan wanita seksi dalam sebuah foto yang disebarkan di internet.
Ikhwan berkata, foto yang menunjukkan wanita itu memeluk erat dirinya dirakamkan di sebuah kelab malam di Johor Bahru yang dikunjunginya bersama rakan-rakannya baru-baru ini.
"Wanita itu tiada kaitan langsung dengan saya, dia hanya pengunjung biasa yang mahu bergambar dengan saya, mungkin juga dia seorang peminat.
"Bagi saya tidak manis jika permintaannya untuk bergambar ditolak. Malah, saya tidak memeluknya, sebaliknya wanita itu yang memeluk saya ketika bergambar," katanya yang dihubungi mStar Online, disini, Ahad.
Tambah Ikhwan, hal itu tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia bukanlah perlakuan tidak senonoh.
Pada minggu lalu, sekeping foto yang menunjukkan Ikhwan dipeluk seorang wanita seksi terah tersebar di internet sehinggakan ia memberi pelbagai reaksi negatif di kalangan peminat-peminatnya.
Dalam pada itu, Ikhwan turut memberi amaran kepada penyebar foto berkenaan supaya tidak membuat spekulasi tidak benar terhadap foto itu.
"Saya terkilan apabila ada beberapa pihak terutamanya golongan penulis blog cuba melebih-lebihkan isu ini kononnya ingin menunjukkan saya seorang yang begitu sosial.
"Memang benar saya pergi ke kelab tetapi saya tahu menjaga kelakuan diri," tegasnya.
Ikhwan yang juga pengacara rancangan Galaksi di TV9 juga berkata isu tersebut merupakan kontroversi pertama yang pernah berlaku kepadanya sepanjang bergelar selebriti selama enam tahun.
"Terkejut saya apabila isu ini timbul. Mujurlah ia tidak menjejaskan sedikit pun kerjaya saya," katanya.
Sementara itu, Ikhwan sedang berjinak-jinak menceburi bidang muzik dengan mencul menggunakan nama Nawhkhi.
Menurutnya yang menggemari muzik hip hop itu, dia akan muncul dengan sebuah single lagu baru berduet dengan penyanyi berkumpulan Singapura, Dinda menerusi lagu Sudah-Sudah.
"Saya merupakan seorang penggemar muzik dan sekarang ini saya akan mula menjinakkan diri dalam penghasilan lagu untuk diri saya dan penyanyi-penyanyi lain yang ingin menggunakan khidmat saya," tuturnya.
Jamal Abdillah Kesal Pernah Abaikan Ibu Sendiri
PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah begitu kesal ketika berada di puncak populariti, beliau pernah mengabaikan ibunya Zainon Hassan.
Jamal berkata ia berpunca kerana kesibukannya sebagai artis selain banyak memenuhi undangan pertunjukan pentas.
“Arwah ibu meninggal dunia pada 1991 kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi.
"Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, jasa dan pengorbanannya tetap abadi di hati ini.
"Saya menyeru mereka yang masih memiliki ibu supaya menghargai setiap detik berharga itu kerana harta dunia tidak mampu menggantikan kesucian kasih seorang bernama ibu,” katanya.
Tambah Jamal, sebagai anak yang pernah merasai kesedihan akibat kehilangan seorang ibu, apa yang masih berbekas di hatinya itu kini hanya tinggal kenangan.
"Saya agak syahdu melihat semula kelalaian saya yang mengabaikan ibu. Bila dia tiada, barulah kekesalan itu hadir," ujarnya.
Jamal akan berkongsi kesedihan itu agar dijadikan pedoman oleh semua pihak sempena sambutan Hari Ibu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei depan. Ia akan bermula pukul 8 malam.
Persembahan anjuran MSiS Events & Services turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ibnor Riza selaku artis undangan dan Ifa Raziah sebagai pengacara majlis.
Pada persembahan itu nanti, Jamal akan mempersembahkan sebanyak 15 lagu termasuk 'medley' dari album pertamanya hingga terbaru diiringi band di bawah pimpinan Belle Fatah.
Antara lagu yang akan dinyanyikan oleh Jamal ialah Cinta Selayang Pandang, Kasihnya Ibu dan Tidurlah Permaisuri.
Disamping itu Jamal juga akan menyanyikan sebuah lagu duet bersama penyanyi undangan, Ibnor Riza.
Selain persembahan hiburan, turut diadakan pertunjukan fesyen oleh butik-butik terkenal seperti Butik Cosry, Butik Altelia Amani dan Gedung Kain Terkemuka Jakel.
Dalam pada itu, bagi membantu ibu-ibu yang memerlukan bantuan, pihak penganjur akan mendermakan sebahagian daripada hasil kutipan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor.
Untuk tempahan tiket yang berharga RM250, RM350 dan RM500, hubungi Suriyani di talian 019-2957063 atau 019-3844300.Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Shafie Apdal Nafi Beri RM1.5 Juta Kepada Zahida Rafik
PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pada Isnin tampil menafikan dakwaan bahawa beliau memberikan wang berjumlah RM1.5 juta kepada aktres Zahida Mohamed Rafik.
Malah menurut Shafie, laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman Azemi mengaitkan beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantiknya sebagai pemandu peribadi Zahida sejak 2009 adalah tidak benar.
"Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman Azemi yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik.
"Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah tidak benar sama sekali," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Isnin.
Selain itu Shafie yang juga Naib Presiden Umno turut menyifatkan penyebaran laporan polis berkenaan oleh pihak-pihak tertentu sebagai tindakan berniat jahat.
"Kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah berniat jahat dan berunsurpolitik semata-mata," katanya.
Tambah Shafie, beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya berhubung isu berkenaan.
"Saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini," katanya.
Laporan polis itu sebelum ini didedahkan oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin kepada pihak media di Parlimen.
Berdasarkan laporan polis bertarikh 13 Mac tahun ini, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktobertahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.
Zahida bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
