Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shae bimbang terluka lagi

ADA apa sebenarnya dengan Shae? Penyanyi kelahiran negara seberang yang terus mengukir nama dilihat istimewa pada pandangan banyak peminat di Malaysia. Tidak salah kalau dikatakan, lagu berjudul Sayang pada 2012 benar-benar memberikan kesan di negara ini. Anak kecil, orang dewasa malah si pemuda tidak lepas dari turut sama mengingat dan melontar melodinya di bibir dengan mudah. Lagu itu melekat di hati pendengar sehingga ada yang membuat parodi. Lain sungguh penangan lagu dan buktinya lagu hasil ciptaan Posan Tobing itu berjaya meraih jualan 1 juta unit menerusi nada panggilan semula di telefon. Hasil pencapaian itu, Warner Music (M) Sdn. Bhd. berbangga untuk menyampaikan Anugerah Platinum Berkembar X5 kepada penyanyi dengan nama sebenar Sheryl Gething. Dalam usia 20 tahun, Shae berkata, dia tidak menyangka untuk menerima penghargaan seperti itu sehingga meletakkan dirinya pada satu posisi yang tidak pernah diimpikan. “Gembira sungguh apabila saya diterima di Malaysia. Saya memang tidak menyangka akan mencapai tahap ini. Secara peribadi, saya mengaku penerimaan lagu Sayang sangat kurang. “Namun, di Malaysia lagu ini sangat meletup. Popular atau tidak saya di Indonesia, itu adalah jalan yang perlu saya lalui. “Bohong kalau saya tidak pernah menangis kerana tidak diterima di negara sendiri. Tapi saya perlu kuat kerana menyanyi adalah ini minat saya," kata penyanyi asal Riau, Indonesia. Masih terharu dengan penerimaan dirinya di Malaysia, Shae turut mengaku lagu Sayang telah menukar hidupnya menjadi seorang yang baharu. Mengalirkan air mata selesai membuat persembahan ketika majlis penganugerahan itu, Shae berkongsi pahit manis kehidupannya yang menyanyi di kelab malam dan bar. “Sekarang, saya juga masih menyanyi di bar dan kelab malam. Saya bersyukur dengan peluang membuat persembahan di pentas-pentas besar. “Bagaimanapun, saya tidak pernah lupa dari mana saya bermula. Kalau diundang untuk membuat persembahan di bar semula, saya tidak peduli, saya akan terima. Popular di negara luar juga tidak membuatkan saya cepat untuk berlagak atau sombong apabila kembali semula ke negara kami. Asal-usul saya tidak pernah lupa. “Apa yang sering membuatkan saya menangis adalah apabila mengenangkan budi dan jasa mereka yang selama ini telah memberikan saya kepercayaan untuk popular di negara mereka," jelasnya. Keseimbangan kerjaya Sudah diberi penghargaan sebegitu, Shae turut mengaku kejayaan itu akan memberikan tekanan pada dirinya. “Hanya lagu itu membuatkan saya popular. Mesti peminat mahukan lebih daripada saya. Mereka mesti mahu saya mendendangkan lagu lain juga. “Tekanan itu memang sudah saya rasai sekarang. Menjadi orang yang dikenali, sedikit sebanyak memberi tekanan. Tetapi, saya mahu orang tahu bahawa penglibatan saya dalam bidang muzik bukanlah sehingga menyasarkan anugerah tertentu. Itu semua bagi saya bukan pokok pangkalnya. Saya tak mahu peduli hal itu. “Kejayaan lagu Sayang juga sebenarnya saya ukur melalui pengamatan saya di kaki lima. Apabila saya berjalan di kaki lima dan melihat adanya pengamen (penyanyi jalanan) menyanyikan lagu Sayang, itu maknanya lagu itu berjaya sampai ke hati khalayak," ujarnya. Sementara itu, Shae juga berkata, dia harus pandai mencari keseimbangan dalam kerjayanya dan mencari jiwa serta kemahuan sebenar. “Langkah saya perlu disusun satu persatu kerana saya masih muda dan risau tersilap percaturan nanti. Saya juga berlakon. Peluang itu saya guna untuk terus aktif memperjuangkan bakat dalam bidang lakonan mahupun nyanyian. “Sepanjang berlakon filem, orang mula mengenali diri saya. Cukup memberangsangkan komen yang diberikan," katanya yang sudah hadir dalam dua buah filem iaitu Basahhh... (2008) dan terbaharu, 3600 Detik yang baru dilancarkan pada Februari lalu. Dalam pada itu, Shae sebenarnya cerewet jika ditawarkan berlakon filem. “Selepas berjaya dengan dua filem, saya ada mendapat beberapa tawaran tapi tidak sesuai dengan minat saya jadi terpaksa ditolak terlebih dahulu. “Saya ingin sebenarnya teringin untuk membawakan watak hantu dan perempuan psiko," katanya yang pernah terbabit dengan telefilem Cinta Sambal Belacan yang telah ditayangkan di Astro Citra bulan April lalu," katanya lagi. Selepas Sayang, Shae kini mempromosikan single berikutnya yang dipetik daripada album sama berjudul Cintaku Tlah Mati Untukmu dan Tetaplah Tersenyum yang sudah pun mengumpulkan khalayak pendengar sendiri di Indonesia.

Beza 7 Tahun Tidak Halang Cinta Sherry Ibrahim & Fattah Amin

Pelakon Sherry Ibrahim tidak melihat jarak usia sebanyak tujuh tahun dengan teman lelakinya, aktor Abdul Fattah Amin, 24, sebagai satu halangan untuk kedua-duanya meneruskan hubungan. Sherry, 31, berkata, kematangan Fattah membuatkan dia serasi dengan pemuda itu namun mengakui percintaan mereka masih di peringkat awal. "Soal hati dan perasaan bukan boleh diukur dengan usia malah saya sendiri tidak pernah menjangkakan akan mengenali lelaki yang jauh lebih muda. "Saya selesa berkawan dengan Fattah kerana dia seorang yang matang membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya," katanya kepada mStar Online. Sherry ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor Bukit Kiara di sini pada Khamis. Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Anzalna Nasir dan Doris Hor. Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.
Dalam pada itu, Sherry berkata, dia mengenali Fattah sejak Jun lalu ketika bersama-sama menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah. Bagaimanapun kata Sherry, sepanjang berada di lokasi mereka tidak pernah bertegur sapa dan hanya mula rapat pada penghujung penggambaran. "Ini bukan cinta lokasi kerana kami tidak pernah bertegur sapa kecuali ketika latihan dan apabila ada adegan bersama. "Namun kami saling berkenalan ketika penggambaran hampir selesai dan ia semakin rapat sejak itu," katanya. Tambah Sherry lagi, biarpun dia berterus terang tentang hubungan mereka namun dia enggan mengulas lanjut mengenai hubungan itu kerana ia masih baharu. "Sekiranya ada jodoh saya terima tetapi sebagai pihak wanita saya tidak boleh bercakap lanjut mengenai perkara itu memandangkan hubungan kami juga masih baru," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia akan terus terlibat dalam beberapa siri kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri dengan pelbagai program menarik. "Saya berbesar hati dapat menyertai kempen ini yang membawa mesej kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita. "Pelbagai program telah diatur dan saya cukup teruja untuk bersama-sama menjayakan kempen ini," katanya. Sementara itu, Sherry berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Keluarga Karaoke sebanyak 60 episod untuk siaran Astro Mustika HD. Drama itu turut dijayakan oleh Raja Ema, Elyana, Elfaeza Ul-Haq dan Dazrin Kamarudin.

A.Aida Saman Bekas Suami, Abai Nafkah Anak

Penerbit dan pelakon A.Aida kesal dengan tindakan bekas suaminya, Deputi Superintendan (DSP) Suffian Sulaiman yang gagal menunaikan janji untuk membayar nafkah terhadap anak mereka, Muhammad Rahul yang kini berusia enam tahun. A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 43, memberitahu Suffian tidak pernah memberikan sebarang nafkah seperti mana yang diperintahkan mahkamah iaitu berjumlah RM300 sebulan sejak disahkan bercerai pada 2 Mei tahun lalu. Saya sebenarnya tidak kisah pun dia enggan membayar nafkah tersebut tetapi wang berkenaan adalah hak anak saya tambahan pula dia berkemampuan untuk berbuat demikian. Sejak bercerai dia langsung tidak memberikan walaupun satu sen untuk nafkah anak dan perbuatannya itu tidak patut," katanya kepada mStar Online. A.Aida ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Selasa. Terdahulu, A.Aida menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong memfailkan saman Penghutang Penghakiman mengikut Seksyen 176 Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 terhadap Suffian di kaunter mahkamah syariah di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Kes itu akan disebut pada 16 Oktober depan. Dalam pada itu, A.Aida menjelaskan selain tuntutan nafkah tertunggak yang mahu dituntutnya, ia termasuk juga yuran persekolahan Muhammad Rahul di sebuah sekolah Islam antarabangsa yang berjumlah RM1,000 sebulan. Hanya dua perkara sahaja yang saya minta daripada dia dan itu pun semata-mata demi kepentingan anak, itu sahaja," katanya. Sementara itu, A.Aida berkata, pihak peguamnya pernah memaklumkan perkara tersebut kepada Suffian dan lelaki itu menjelaskan ada membuka akaun di atas namanya dan memasukkan wang berjumlah RM100 setiap bulan untuk anak mereka. Bagiamanapun A.Aida mempertikaikan tindakan bekas suaminya itu kerana wang berkenaan sepatutnya diserahkan kepadanya untuk digunakan sebagai perbelanjaan anak mereka.
"Peguam saya sudah minta dia membayar nafkah itu secara baik tetapi dia gagal berbuat demikian sebaliknya membuka akaun di atas namanya sendiri dan mendakwa memasukkan wang berjumlah RM100 setiap bulan untuk Rahul. "Bagaimana saya ingin ambil wang berkenaan jika akaun itu di atas namanya?," soal A. Aida. Dalam perkembangan sama, A.Aida turut mendedahkan sejak bercerai bekas suaminya itu melepaskan tanggungjawab anak mereka kepadanya dan hanya datang menjenguk kanak-kanak itu apabila dirasakan perlu. "Sejak bercerai datang jumpa anak pun ikut sedap dia itu pun tiga ke empat bulan sekali," ujarnya. Pasangan itu sah bercerai talak dua selepas konflik rumah tangga mereka tidak berkesudahan sehingga memaksa A.Aida memohon untuk bercerai secara fasakh sebelum Suffian bersetuju melepaskannya secara baik. Mereka berkahwin pada 20 April 2007 dan Suffian merupakan seorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu. Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida juga pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 17, dan Wan Azevanatassha yang berusia 12 tahun. A.Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa sebelum mengenali Suffian.

Rozita Che Wan Bersedia Anak Berlakon Iklan

Pelakon Rozita Che Wan sedia menerima tawaran mana-mana pihak yang ingin mengambil bayi perempuannya yang dijangka bakal dilahirkan November ini untuk terlibat dalam sebarang aktiviti periklanan. Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan anaknya di bidang seni dari awal lagi kerana menyifatkan ia satu rezeki simpanan masa depan. "Saya dan Zain tidak mempunyai masalah jika ada pihak yang ingin menawarkan anak kami terlibat dalam pengiklanan atau apa-apa yang berkaitan bidang seni. "Kerana itu adalah rezeki buat anak. Tetapi terpulanglah, saya pun tidak boleh nak mengagak adakah bakal anak saya ini sejenis yang mesra kamera atau tidak," katanya. Rozita ditemui pada majlis pelancaran program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain di restoran Marmalade, Bangsar Village 2, di sini pada Selasa. Sementara itu, Rozita berkata,dia teruja menantikan kelahiran anaknya dan sudah pun membuat segala persiapan buat bayi yang bakal lahir itu.
"Saya harap sangat semuanya berjalan dengan lancar. Sebelum bersalin nanti saya juga akan mengamalkan minum air bunga akar Fatimah. Ia bertujuan bagi memudahkan proses kelahiran nanti," ujarnya. Selain bayi yang bakal lahir, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16. Mengenai program realiti Pureen Chak Chak Che Ta & Zain, ia bakal bersiaran bermula 1 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104). Program itu memaparkan perubahan fasa hidupan Rozita dan Zain dalam persediaan menimang cahaya mata. "Tengoklah nanti gelagat kami dalam membuat persiapan menantikan kelahiran anak. "Zain yang paling teruja dan lihatlah betapa kami beria menghias katil anak, dah macam sarung baju pula," selorohnya. Pada pelancaran Pureen Chak Chak Che Ta & Zain, turut hadir Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad dan Pengurus Besar Summit Company (Malaysia) Sdn Bhd, L.H Ong.

Gosip Bakal Cerai Buat Vanidah Bengang

Pelakon Vanidah Imran terkilan apabila isu rumah tangganya dengan aktor Rashidi Ishak menjadi perhatian ramai selepas terdapat laporan mengatakah mereka bakal bercerai. Vanidah, 41, berkata, dia dan suaminya sehingga kini masih bahagia dan mana-mana pihak tidak sepatutnya menyebarkan gosip isu yang tidak benar itu. "Sampai sekarang saya tidak tahu daripada mana datangnya gosip itu dan ia membuatkan saya cukup bengang. "Tambah pula terdapat laporan di media yang membuat andaian kronologi mengenai 'keretakan' rumah tangga kami, ia sangat mengarut," katanya kepada mStar Online. Vanidah dan Rashidi sebelum ini pernah digosipkan kononnya sedang mempunyai krisis rumah tangga apabila pasangan itu dilihat hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur difahamkan bagi memfailkan cerai pada Januari 2011. Bagaimanapun Vanidah telah menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan perkahwinan mereka tidak mempunyai sebarang masalah. Terbaharu, nama pasangan itu sekali lagi menjadi bualan apabila dikatakan sudah berpisah lebih-lebih lagi mereka tidak lagi dilihat muncul bersama dalam beberapa majlis yang membabitkan pasangan suami isteri itu. Sementara itu Vanidah mengakui ada majlis-majlis tertentu dia dan suami tidak boleh hadir bersama kerana salah seorang daripada mereka perlu menjaga anak-anak. "Kalau orang nampak saya seorang di mana-mana majlis, ertinya, suami jaga anak di rumah, dan begitu juga jika ada yang melihat suami tidak berteman di majlis, bermakna saya pula menjaga anak-anak. "Rasanya perkara seperti ini tidak perlu dibuat penjelasan kerana mana-mana ibu-bapa yang tidak mempunyai pembantu rumah akan melakukan perkara sama seperti kami. "Takkanlah, setiap malam saya perlu memuat naik foto kami di Instagram untuk membuktikan kami masih sebumbung?," soalnya. Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Mikail Aimran dan Mariyam Rashika yang masing-masing berusia 11 dan 10 tahun.

Aliff Aziz Dedah Tidak Terlibat Curi Telefon Bimbit

Penyanyi Aliff Aziz menafikan dia telah mencuri dua buah telefon bimbit namun mengakui ditahan pihak berkuasa Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Aliff, 22, memberitahu, ketika kejadian dia berada di tempat yang salah dan menjadi polisi biasa pihak berkuasa di Singapura untuk menahan semua suspek yang berada di lokasi serbuan bagi menjalankan siasatan. "Saya mengaku ditahan oleh pihak berkuasa ekoran kes kecurian telefon bimbit seperti mana didakwa tetapi saya tidak melakukan kesalahan itu. "Saya berada pada waktu dan tempat yang salah ketika kejadian itu dan saya telah memberikan kerjasama kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan sepanjang kes itu," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini. Akhbar Berita Harian Singapura pada Selasa melaporkan Aliff dikenakan denda sebanyak $2,000 dolar Singapura (RM5,138) pada Jumaat lalu atas kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit dan boleh dipenjarakan selama 20 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Menurut laporan itu lagi, Aliff melakukan kesalahan itu pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya dikatakan mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza. Aliff dilaporkan telah didakwa pada 16 Ogos lalu atas kesalahan tersebut. Dalam pada itu, Aliff berkata, akibat kejadian itu pasport perjalanan antarabangsanya dirampas pihak berkuasa Singapura sejak tiga bulan lalu namun ia akan dikembalikan dalam masa seminggu lagi. "Akibat kes tersebut saya terpaksa dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik. "Orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan telah pun menerima akibatnya dan pasport saya bakal dipulangkan dalam masa seminggu lagi," katanya. Sementara itu, Aliff berkata, kejadian itu juga adalah antara sebab dia menghilangkan diri selama beberapa bulan kerana dia tidak dibenarkan meninggalkan negaranya selagi kes berkenaan tidak selesai. Jelas Aliff, dalam tempoh itu juga dia banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai perkara termasuk pergaulannya dengan rakan-rakan yang memberikan impak negatif kepadanya. "Bukan saya ingin salahkan kawan-kawan dengan apa yang terjadi tetapi sudah tiba masanya saya menjauhi mereka yang mampu memberi impak negatif kepada saya. "Kejadian tersebut banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan," jelasnya. Aliff menjelaskan dia bakal kembali ke Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha untuk menyiapkan proses rakaman album terbaharunya yang kini dalam proses akhir. "Sudah tiba masanya saya kembali fokuskan kepada kerjaya nyanyian tambahan pula album terbaharu akan keluar tidak lama lagi. "Saya kini sudah bebas dan akan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua minggu lagi," katanya.

Ras Adiba Di ICU Akibat Demam Panas

Personaliti Ras Adiba Radzi, 46, dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU), di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur akibat demam panas. Salah seorang ahli keluarganya berkata, bekas pengacara TV3 itu mengalami demam dan segera di hantar bagi mendapatkan rawatan pada Selasa. “Keadaannya sangat lemah tetapi ia stabil. Saya berharap agar kita dapat doakan kesihatannya,” ujar ahli keluarga yang enggan disiarkan namanya. Individu berkenaan juga meminta agar nama lokasi tempat rawatannya juga dirahsiakan untuk mengelak gangguan daripada orang ramai kerana wanita berkenaan perlu diberi ruang untuk berehat sepenuhnya. Ras yang terkenal sebagai pembaca berita sukan Buletin Utama telah bernikah dengan penasihat kewangan iaitu Ilias Yaakop, 46, pada 28 Julai 2013.

"Saya Tidak Pernah Cakap Nak Bersara" - Syamsul Yusof

Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof menafikan dia mahu bersara daripada terus menghasilkan filem baharu gara-gara karya arahannya iaitu KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum ia ditayangkan pada Oktober tahun lalu. Syamsul, 30, berkata, sepanjang dia berdiam diri hampir setahun, lalu dia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan untuk berbuat demikian dan ia cuma andaian sesetengah pihak. "Saya sebenarnya agak keliru apabila saya dikatakan merajuk dan enggan lagi menjadi pengarah kerana saya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
"Itu hanya presepsi orang lain dan bukannya datang daripada mulut saya sendiri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Menjelaskan lebih lanjut sikapnya yang mengambil langkah berdiam diri sebelum ini, Syamsul berkata, dia memerlukan waktu untuk memulihkan semangatnya ekoran kejadian itu kerana ia bukan isu ringan untuk terus dilupakan begitu sahaja. Bagaimanapun kata Syamsul, sokongan dan dorongan daripada isteri iaitu Puteri Sarah Liyana selain kedua ibu bapanya banyak membantu untuk dia bangkit semula memperjuangkan cintanya terhadap dunia perfileman. Dalam pada itu, Syamsul berkata, selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, dia bakal kembali ke set penggambaran sebagai pengarah filem Munafik dan Tailong yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. Tambahnya lagi, sebelum kembali mengarah dia bakal membintangi sebuah filem arahan adiknya sendiri, Syafiq Yusof dan mengakui teruja untuk bekerjasama dengan pengarah muda itu. "Alhamdulillah jadual saya kembali padat dengan pelbagai aktiviti lakonan dan pengarahan. Paling saya teruja adalah untuk berlakon dibawah arahan adik saya sendiri.
"Harapan saya semua peminat dan penyokong filem tempatan mendoakan saya dalam hasrat ingin memajukan industri perfileman pada masa akan datang," katanya. Sementara itu, Syamsul yang bakal muncul dalam Gerak Khas musim terbaharu berkata, dia mempunyai misi tersendiri dalam membawa siri popular itu ke tahap lebih tinggi agar lebih segar dan terkini. Jelasnya lagi, selain berlakon dia juga bertindak sebagai pengarah bersama drama itu dan berjanji akan meneruskan legasi siri itu yang sudah bertahan selama 13 tahun. "Sebelum ini sudah banyak kali bapa minta saya berlakon dalam Gerak Khas namun pada masa itu saya sibuk dengan perkara lain selain tidak yakin mampu membawakan watak sebagai anggota polis dengan baik. "Alhamdulillah akhirnya dapat saya bekerjasama dengan bapa saya dalam drama bersiri itu dan kebetulan pula saya menyertai keluarga Gerak Khas pada usia 30 tahun sama seperti bapa saya dahulu," ujarnya. Jelas Syamsul lagi, selepas menjalani penggambaran beberapa episod musim terbaharu siri itu, dia semakin selesa memegang watak sebagai Superitendan Jefri. Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, dia dan Puteri Sarah kini berjinak-jinak dalam dunia fesyen dengan mengeluarkan label mereka sendiri iaitu Shara yang mengkususkan kepada pakaian jenis Abaya. Jelas Syamsul, mereka berdua turut mereka sendiri pakaian berkenaan dan telah pun mengeluarkan enam rekaan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha. "Alhamdulillah kami berdua dapat bekerjasama untuk mengeluarkan jenama pakaian kami sendiri dan seronok dapat sama-sama mengeluarkan idea dan rekaan untuk Shara. "Setakat ini peminat yang ingin mendapatkan Abaya keluaran kami boleh buka Instagram dan Twitter kami untuk melihat rekaan dan membuat tempahan," katanya. Tambah Syamsul, perancangan jangka panjang dia dan isterinya akan mengeluarkan Abaya untuk lelaki dengan rekaan yang lebih dinamik dan pelbagai.

Pengarah Drama Jelas Sikap Dingin Sara Ali

Pelakon Sara Ali yang dikatakan bermasam muka ketika menjalani sebuah penggambaran drama bersiri mungkin akibat terlalu terpengaruh dengan watak yang dibawanya dalam drama berkenaan. Pengarah drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Shuhaimi Lua Abdullah berkata, dia menganggap perkara tersebut adalah perkara biasa kepada artis yang terlalu menjiwai watak yang sedang dilakonkan. "Sepanjang empat bulan penggambaran itu Sara ada juga buat hal apabila dia tiba-tiba menjadi seperti watak Mel dalam drama tersebut iaitu sombong dan tidak mahu bertegur sapa dengan semua kru termasuk saya. "Memang perkara itu sedikit menyukarkan penggambaran kerana hubungan kru dan pelakon mula tidak baik dan rasa tidak selesa mula timbul bila dia ada di lokasi dengan perangai sebegitu. "Tapi bagi saya ia hanyalah pengaruh watak kerana ada pelakon yang mudah terpengaruh dengan sesuatu watak," ujarnya ketika dihubungimStar Online, di sini, Rabu. Shuhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas apa diperkatakan tentang dakwaan kononnya pelakon wanita tersebut telah menimbulkan masalah di lokasi penggambaran drama berkenaan.
Sara dikatakan bermasam muka dan enggan memberi kerjasama serta bersikap dingin dengan kru produksi drama itu. Bagaimanapun, Shuhaimi berkata, kejadian tersebut berlaku tidak lama apabila wanita itu kembali semula bercakap dengan kru produksi. "Alhamdulillah, sekejap jer dia berperangai begitu, ketika penghujung penggambaran minggu lalu dia sudah berbaik-baik dengan semua kru. "Penggambaran dapat selesai dengan mudah apabila semua pelakon dan kru beri kerjasama yang baik," ujarnya. Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia akan bekerjasama dengan pelakon wanita tersebut untuk drama akan datang, Shuhaimi berkata dia tidak pernah menolak mana-mana artis yang diberi tanggungjawab untuk berlakon bawah arahannya kepadanya. Katanya, sebagai pengarah dia hanya menjalankan tugas untuk menjadikan sesebuah jalan cerita seperti yang dimahukannya tanpa mengira siapa artis terlibat. "Saya tidak ada masalah jika diberika mana-mana artis kerana ia adalah pilihan penerbit dan stesen televisyen," ujarnya. Drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna disiarkan di slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3. Drama tersebut turut dibarisi oleh pelakon Fahrin Ahmad, Tasha Shilla, Amy Mastura, dan Ika Nabila.

"Diana Johor Berbohong" - Freddie Fernandez

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menganggap pemilik syarikat produksi Unique Twins Sdn Bhd iaitu Diana Johor dan adiknya Lina Johor berbohong dan cuba melepaskan diri daripada untuk bertanggungjawab untuk tidak menjelaskan hutang selain kemelut lain dalam produksi terbabit. Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, sehingga kini pihak produksi milik artis tersebut belum menghubungi persatuan bagi menyelesaikan isu berkaitan wang bayaran tertunggak kepada pelakon dan kru penggambaran secara baik. "Kenyataan dia (Diana Johor) pada sebuah akhbar kononnya tidak pernah mematikan talian telefon adalah bohong sama sekali. "Pihak kami sudah beberapa kali cuba hubungi dia sebelum ini sehingga saya meninggalkan mesej agar dia hubungi saya kembali, namun sampai sekarang tiada apa-apa reaksi untuk dia selesaikan isu ini, dia memang tidak menjawab panggilan telefon darpada kami. "Mungkin dia hanya bercakap dengan wartawan yang baik dan mengenalinya sahaja," ujar Freddie ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Freddie berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status perkembangan tuntutan bayaran oleh pelakon dan organisasi yang telibat dengan penggambaran filem Rentap yang bernilai hampir RM100,000. Diana pernah membuat kenyataan dalam sebuah akhbar yang antara lain kecewa dengan Karyawan kerana mendedahkan perkara berkenaan kepada pihak media tanpa berusaha untuk menghubunginya terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah. Sementara itu, Freddie mengakui kesal dengan tuduhan pelakon itu yang menganggap Karyawan tidak profesional dan mengaibkan dirinya. Jelas Freddie, sidang media yang dilakukan minggu lalu bagi mendedahkan perkara tersebut merupakan jalan terakhir selepas usaha menghubungi mereka yang berkenaan gagal. "Kita bukan sengaja mahu mengaibkan dia, pihak kami sudah cuba selesaikan perkara ini secara baik terlebih dahulu, namun gagal. Bagi saya, dia yang tidak profesional dan tidak layak untuk menjadi penerbit dalam menghasilkan sebuah filem," ujarnya. Dalam pada itu, Freddie memberi tempoh seminggu sahaja lagi untuk pelakon tersebut menghubunginya sebelum perkara ini dibawa kepada tindakan undang-undang. Sementara itu, pengarah filem tersebut, Hashim Rejap yang dihubungi tidak dapat memberikan sebarang komen berikutan masih menunggu perkara tersebut diselesaikan oleh pihak pengurusannya iaitu Metrowealth. "Maaf sangat saya tidak boleh beri komen sehingga pihak pengurusan saya selesaikan perkara ini dengan produksi tersebut. Insya-Allah lepas dapat persetujuan daripada pengurusan nanti baru saya buka mulut," ujarnya yang turut didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengarah filem itu sehingga mengakibatkan kerugian. Terdahulu pada 25 September lalu, tiga individu yang terlibat dengan filem Rentap tampil dalam satu sidang media anjuran Karyawan mengenai soal kewangan yang perlu dijelaskan produksi terbabit. Manakala, pelakon tersebut turut membuat penjelasan di sebuah akhbar bahawa tindakan persatuan Karyawan membuat sidang media tersebut hanya mengaibkan dirinya dan tidak profesional. Usaha mStar Online untuk menghubungi Diana Johor gagal apabila panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails