Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mia Sara Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah

Pelakon kanak-kanak Mia Sara mendedahkan dia sering dibuli rakan-rakan sekolah termasuk diejek dek kerana popularitinya sebagai seorang artis. Mia, 10, berkata, terdapat juga rakan-rakan yang memukul malah pernah membaling batu ke arahnya namun dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu sensitif dengan sikap mereka itu. Ini kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kecederaan. "Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang," katanya kepada mStar Online. Mia ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Hotel Hilton di sini pada Rabu. Sementara itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, walaupun dia tahu anaknya mengalami nasib sedemikian namun dia enggan masuk campur mengenainya kerana ingin Mia melalui proses berdikari. "Bagi saya apa-apa yang berlaku di sekolah, biar cikgu yang uruskan, saya tak mahu masuk campur. "Saya nak Mia melalui proses seperti kanak-kanak lain. Lagipun dia seorang selebriti dan bukan mudah untuknya melalui pengalaman itu. Biarlah dia berdikari dan belajar selesaikan masalahnya sendiri. "Jangan sampai anak saya cedera teruk kena belasah, sudahlah. Bagaimanapun saya akan pastikan dia mendapat nasihat dan motivasi setiap hari. Saya tak mahu dia pulang ke rumah dengan emosi terganggu," ujarnya. Muhammad Ridhuan bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan nama sekolah tempat Mia belajar. Dalam perkembangan lain, Mia bakal terlibat dengan penggambaran drama Super Game Boy, untuk siaran Astro Ceria.

Sara Ali Fikir Soal Kahwin Selepas Jadi Pengarah

Pelakon Sara Ali hanya akan memikirkan soal perkahwinan selepas mencapai cita-citanya dalam lakonan iaitu bergelar seorang pengarah. Sara atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali, 25, berkata, dia kini sedang berusaha untuk melaksanakan impian tersebut sebelum penghujung tahun ini. "Saya belum fikir soal kahwin lagi setakat ini, Insya-Allah selepas cita-cita saya untuk jadi pengarah tercapai barulah saya fikir soal itu. "Buat masa ini saya sedang cari idea dan bina keyakinan untuk terjun ke bidang pengarahan. Saya sudah bersedia cuma sedang mencari masa yang sesuai sahaja untuk mulakan projek pengarahan itu, mungkin juga sebelum hujung tahun ini," ujarnya kepada mStar Online. Pada Februari lalu, Sara mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan muda bernama John Shaqeel, 22. Dalam perkembangan lain, Sara berkata dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana mengambil keputusan untuk berehat selama tiga bulan daripada sebarang penggambaran drama atau filem.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah tempoh masa tiga bulan tersebut digunakan untuk membuat sebarang persiapan majlis tertentu yang melibatkan hubungan cinta, Sara menafikan perkara itu dan menganggap ia adalah masa diluangkan bersama keluarga. "Tahun lalu jadual saya terlalu padat dan tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga, jadi saya ambil keputusan untuk bercuti tiga bulan sejak sebelum raya, namun ia tiada kena mengena dengan apa-apa persiapan bertunang atau berkahwin. "Tiga bulan itu masa saya untuk cari idea dan baca buku, lagi pun saya tidak mahu berlakon dalam keadaan yang tidak cukup rehat dan tekanan," ujarnya. Dalam pada itu, Sara berkata, sebagai pelakon dia lebih mengutamakan soal kualiti berbanding kuantiti drama yang dilakonkannya. Dia juga tidak meletakkan pendapatan sebagai subjek utama sejak memilih bidang lakonan sebagai kerjaya. "Saya seorang yang sangat mementingkan kualiti berbanding kualiti, saya tidak mengambil tawaran kerana memikirkan soal duit semata-mata. "Kalau saya fikir untuk jadi kaya lebih baik saya jadi arkitek seperti mana yang saya belajar dulu," ujar Sara yang mempunyai ijazah dalam bidang Seni Bina dari Universiti Lim Kok Wing. Sementara itu, Sara yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kami Histeria dalam Festival Filem Malaysia ke-27 berbangga apabila kali kedua dipilih dalam kategori tersebut. "Saya terkejut apabila diberitahu tercalon dalam kategori itu tapi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi sebaliknya bersyukur dapat memberi persaingan kepada empat calon lain," ujarnya.

Shukri Yahaya Pesan Tidak Kutuk Kerajaan Di Media Sosial

Pelakon Shukri Yahaya meminta orang ramai tidak terlalu ghairah meluahkan rasa tidak puas hati termasuk mengutuk kerajaan melalui medium laman sosial. Shukri, 27, berkata, memandangkan rakyat Malaysia dikenali sebagai negara yang penuh dengan adab sopan serta mengutamakan nilai-nilai murni, tindakan itu membuatkan masyarakat dipandang buruk oleh pihak luar. "Saya faham perasaan rasa tidak puas hati segelintir pihak. Tetapi janganlah terlalu obses menghentam dan mengkritik. "Jika tidak suka, tunggu sahaja masa Pilihan Raya Umum (PRU). Sebagai rakyat kita berhak memilih mana yang terbaik. Negara kita dikenali dengan sifat dan adab ketimuran. Jangan burukkan negara dan diri sendiri di laman sosial," katanya kepada mStar Online. Shukri yang ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Hotel Hilton di sini pada Rabu lalu mengulas mengenai masyarakat negara ini yang suka menggunakan laman sosial mengkritik kerajaan. Bagaimanapun Shukri berkata, dia faham dengan perasaan golongan yang dikritik memandangkan sebagai selebriti dirinya juga turut dihentam peminat. "Saya sendiri termasuklah selebriti lain sering dihentam oleh keyboard warrior yang entah datang dari mana. Cuma situasi kami dengan golongan VVIP sedikit berbeza. "Kadang kala saya tertanya-tanya, mereka tidak kenal atau jumpa saya, jadi apa membuatkan mereka membenci? Bagaimanapun, lama kelamaan saya mengambil pendekatan untuk mengabaikan kritikan tersebut," ujarnya. Dalam perkembangan lain, pelakon yang popular dengan drama Dia Isteri Luar Biasa ini akan muncul menerusi telefilem Janji Hati, siaran Astro Ria dan Surah Buat Miasara (slot Akasia, TV3). Shukri juga akan sibuk dengan kerja-kerja penggambaran sebuah drama bermula minggu depan bawah pengarah popular Azma Aizal Yusoof.

Search Terpaksa Akur Sering Kali Dituduh Abaikan Yazid

Kumpulan Search terpaksa akur dengan pandangan segelintir masyarakat yang masih menganggap mereka mengabaikan pemain dram kumpulan itu, Yazid Ahmad, 52, yang menderita akibat kegagalan buah pinggang. Pemain besnya, Nasir Daud berkata, ahli-ahli Search bersikap terbuka dan tidak kisah dengan pandangan tersebut walaupun pada hakikatnya mereka mengambil berat terhadap penyakit yang dilalui Yazid itu.
"Setiap kali Yazid sakit, kami dituduh mengabaikan dia. Tahun lepas pun isu sama juga timbul. "Sedangkan orang ramai tidak tahu, kami begitu prihatin terhadapnya. Malah wang persembahan yang kami terima, walaupun persembahan berlangsung tanpanya, kami tetap beri (diagihkan kepada lima orang) kerana dia adalah ahli kami. "Mungkin dia sedikit emosi ketika disoal wartawan. Maklumlah orang sakit mudah sensitif. Baru-baru ini saya melawat dia, kami okey," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media Konsert Search Panggung Khayalan di Menara KL di sini pada petang Khamis. Search diminta mengulas kenyataan Yazid menerusi sebuah program televisyen baru-baru ini meluahkan rasa sedih diabaikan ahli kumpulan berkenaan. Dalam pada itu, vokalisnya, Amy berkata, dia bersyukur apabila ramai pihak yang cuba membantu Yazid dengan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepadanya. Cuma dia risau sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan nama Yazid untuk mendapatkan derma daripada orang ramai. "Kami risau juga jika ada pihak mengambil kesempatan. Apa-apapun, jika ada yang mahu menderma, rasanya lebih baik wang derma tersebut dimasukkan terus ke akaun Yazid. Tidak perlu ada orang tengah," ujarnya. Sementara itu, mengenai Konsert Search Panggung Khayalan, ia bakal berlangsung pada 24 Oktober depan di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor.
Amy berkata, mereka memilih lokasi tersebut memandangkan ia boleh memuatkan lebih 10,000 penonton, berbanding lokasi konsert pada tahun lepas di Istana Budaya yang hanya memuatkan penonton pada skala kecil sahaja. "Kami menjanjikan persembahan yang mantap seperti biasa dan penataan cahaya serta bunyi juga kami pastikan ia memberi kepuasan kepada penonton yang hadir. "Buat masa ini kami merancang untuk membuat persembahan selama satu jam 45 minit dan akan mempersembahkan lagu-lagu hit bermula dari awal pembabitan Search sehinggalah sekarang. "Cuma kami tidak pasti adakah Yazid akan terlibat sama untuk konsert kali ini, terpulang pada keadaanya pada ketika itu,"ujarnya. Tiket konsert serendah RM66 hingga RM756 (tiket VIP Premium) boleh dibeli dengan melayari www.tickethotline.com.my atau boleh didapati di empat cawangan kedai muzik Rock Corner iaitu di The Curve, Subang Parade, The Gardens dan Bangsar Village. Pemegang tiket VIP Premium akan dijemput hadir ke majlis khas (post party) selepas konsert bersama.ahli-ahli Search.

"Jangan Curi-Curi Ambil Gambar Saya" - Amaran Anuar Zain

Penyanyi Anuar Zain meminta peminat atau orang awam tidak mengambil gambarnya secara sembunyi lalu menyebarkan maklumat lokasi dia berada secara terbuka di media sosial. Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, perkara tersebut dianggap sebagai menceroboh privasinya selain mendedahkan dia kepada bahaya keselamatan diri. ”Tindakan seperti ini boleh dikatakan tidak beradap kerana jika ada orang yang cuba nak buat khianati, mereka dengan mudah tahu lokasi saya berada. "Kalau nak ambil gambar saya boleh tetapi perlu beritahu dan minta kebenaran. Jangan ambil gambar saya curi-curi dan dedahkan di laman sosial maklumat terperinci seolah-olah anda duduk di sebelah saya. "Perkara ini selalu terjadi dan saya risau kerana kebiasaan saya makan di sesuatu tempat seorang diri, tanpa kawan," ujarnya kepada mStar Online.
Anuar Zain ditemui pada sidang media konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Hotel Royale Chulan, di sini, Khamis. Tambah Anuar, keterbukaan media sosial juga mengundang rasa bimbang terhadap keselamatannya ketika berada di luar secara bersendirian. Dalam pada itu, dia mengakui tidak aktif menggunakan laman sosial seperti mana-mana artis lain kerana tidak mahu menjadi mangsa kecaman segelintir pihak yang sering memandang sesuatu perkara daripada sudut negatif. "Tidak aktif di media sosial tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangan dunia semasa. Bagi saya "up to date" bukan hanya di teknologi terkini tetapi juga daripada sudut pemikiran terhadap isu semasa. "Biarlah saya tiada laman sosial dan mereka kurang sedikit dosa untuk mengutuk atau bercakap buruk tentang artis," ujarnya. Kata Anuar, dia juga tidak pernah membaca dan mengambil tahu tentang pandangan buruk segelintir pihak terhadapnya di laman-laman sosial. Tambahnya, perkara-perkara tersebut hanya mengundang pengaruh negatif yang seterusnya boleh melemahkan moral individu yang membacanya. "Mereka yang selalu beri kritikan di media sosial ini pengecut. Bagi saya mereka mempunyai masalah dalam diri sendiri dan keluarga mereka. "Jadi mereka akan cari kesalahan orang lain untuk menutup apa yang berlaku terhadap diri mereka sendiri," ujarnya. Konsert Ketuhanan Kumpul Dana Sementara itu, bercerita tentang konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta, Anuar berkata, dia bakal menyanyikan tiga buah lagu termasuk lagu popularnya berjudul Ketulusan Hati. Katanya, konsert berunsur ketuhanan ini bukan sahaja bertujuan mengutip dana amal, malah ingin menyebarkan nilai kasih sayang sesama manusia yang semakin berkurangan.
"Orang tidak perasan kebanyakan lagu saya seperti Ketulusan Hati, Teman Terulung dan Ajari Aku banyak ke arah ketuhanan dan saya bersyukur turut terlibat dalam konsert seperti ini,” ujarnya. Konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd ini bertujuan mengumpul dana bagi tabung kemanusiaan yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin, Syria, Bosnia, Bangladesh dan Sri Langka. Ia bakal dijayakan oleh beberapa artis terkenal seperti Raihan, Akim & The Majistret, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan Humood Al Khudeer. Konsert ini akan berlangsung pada 31 Oktober depan di Stadium Malawati, Shah Alam. Tiket berharga RM73 hingga RM383 boleh didapati secara dalam talian di www.ticketpro.com.my

Nieyl Hidap Ketumbuhan Di Payudara, Rahim

Penyanyi Nieyl (Mentor) memberitahu dia terpaksa mengawal pemakanan selepas dikesan menghidap ketumbuhan pada bahagian payudara dan rahim beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, Nieyl atau Nuriylia Jailani, 31, berkata, doktor sudah mengesahkan bahawa ketumbuhan tersebut bukanlah kanser, sebaliknya bonjolan biasa yang boleh dirawat. "Saya tidak boleh makanan seperti ayam, ikan sardin, soya dan beberapa makanan lain yang boleh mengalakkan pertumbuhan kanser kerana risiko untuk mendapat kanser cerah. "Setakat ini doktor beritahu ketumbuhan ini tidak bahaya dan jauh daripada kanser, ia masih boleh dirawat lagi," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Nieyl, ketumbuhan tersebut tidak menyakitkan, namun boleh membesar jika dia mengambil makanan yang dilarang oleh doktor. Sementara itu, tambah wanita ini, dia juga tidak digalakkan untuk membuang bonjolan itu menerusi pembedahan kerana risiko untuk penyakit itu tumbuh kembali lebih tinggi. "Ia tidaklah sakit dan tidak menganggu aktiviti harian saya, tetapi kalau saya makan ayam, saya akan rasa sendiri ia membengkak. "Saya ada juga bertanya doktor sama ada perlu atau tidak untuk buat pembedahan membuangnya, doktor menasihatkan lebih baik untuk buat rawatan dari luar kerana jika dibuang ia akan tumbuh semula," ujarnya. Dalam pada itu, Nieyl menasihatkan agar kaum wanita lebih perihatin dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan agar tidak terlambat mengetahui tentang tahap kesihatan masing-masing. Dalam perkembangan lain, Nieyl berkata, dia kini sibuk mempromosikan lagu terbaharunya bersama Sabhi Sadhi berjudul Kisah Kita. Lagu itu merupakan single terbaharunya selepas tiga tahun menyepikan diri dari industri seni tanah air. "Tiga tahun saya tiada single baharu, kesempatan itu juga saya ambil untuk beri perhatian kepada keluarga dan anak Damia Dazma Shah yang kini sudah berusia enam tahun. "Alhamdulillah, lagu Kisah Kita semakin diminati dan sudah mencecah sejuta penonton di YouTube. Sekarang saya sedang mencari bahan untuk single akan datang pula," katanya. Selain itu juga, Nieyl juga aktif dengan perniagaan tudung jenamanya sendiri Just Nieyl yang boleh didapati secara atas talian dan di bazar-bazar tertentu. Nieyl merupakan naib juara rancangan Mentor musim kedua terbitan TV3 pada 2006.

Pelawak Achok Tidak Ketepikan Sahabat Soal Tawaran

Pelawak Achok tidak pernah membelakangkan pasangannya dalam kumpulan Chilok iaitu Chiwan biarpun banyak mendapat tawaran sebagai artis solo. Achok atau nama sebenarnya Mohd Ilham Rusdy, 25, berkata, semua projek solo yang diterimanya akan dimaklumkan kepada Chiwan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang salah faham. "Alhamdulillah dia tidak pernah ada sebarang masalah apabila saya beritahu dapat projek solo malah menggalakkan saya untuk terima kerana itu adalah rezeki. "Pada saya sebagai sebuah kumpulan kita kena telus dan tidak membelakangkan pasangan kita bagi mengelakkan sebarang pertikaian di kemudian hari," katanya kepada mStar Online.
Achok ditemui pada sidang media program Misi Mr X: Lari yang diadakan di Quill City Mall di sini, Rabu lalu. Ia disiarkan pada setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV9. Sebelum ini duo berkenaan dikenali dengan nama 'Mmmmm' ketika menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang (BMB) musim kedua. Bagaimanapun mereka menukar kepada nama Chilok semasa menyertai Qu Puteh Bintang Bersama Bintang (QPBBB) dan berjaya menyandang gelaran juara menerusi program berkenaan. Dalam pada itu, Achok berkata, meskipun banyak mendapat tawaran secara solo namun dia tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan Chilok dan ingin terus bersama Chiwan memperkuatkan lagi jenama kumpulan itu.
Malah kata Achok, sejak menjuarai QPBBB mereka mula mendapat pelbagai peluang sebagai sebuah kumpulan berbanding sebelum ini. "Bukan semua projek solo yang saya terima kerana tumpuan kepada Chilok adalah keutamaan saya dan Alhamdulillah bakat kami sebagai pelawak semakin mendapat perhatian dan ini adalah peluang untuk memperkuatkan lagi jenama Chilok itu sendiri. "Saya dan Chiwan juga akan mengekalkan nama Chilok kerana ia lebih mudah disebut berbanding Mmmmm," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Achok berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Penggembaraan Jason Murad bersama Anas Redzuan dan Uqasha Senrose.

Mawi Terkejut Remaja Bersiar-Siar Dengan Senjata M16

Penyanyi Mawi memberitahu pada awalnya dia agak gementar untuk menjalani penggambaran dokumentari terbitan produksinya Mawi World Entertainment, di bumi Palestin dan Israel berikutan keadaan pergolakan yang sentiasa dilaporkan media masa. Namun, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 34, berkata, perasaan tersebut hilang apabila kunjungan mereka disambut dengan baik seterusnya merubah persepsi yang sering digambarkan di televisyen. "Kita biasa dengar tempat-tempat sebegitu sangat bahaya dan tidak selamat untuk dikunjungi pelancong, namun sebenarnya apa yang saya lihat ia jauh berbeza. Saya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang 12 hari di sana. "Keadaan di sana harmoni dan persekitaran di bandar Tel Aviv seperti di Singapura, mereka sangat mementingkan kebersihan," ujarnya kepada mStar Online. Mawi bersama 12 kru produksi menjalani penggambaran dokumentari berjudul Mawi Di Bumi Mikraj selama 12 hari pada Mei lalu. Bagaimanapun, hak penyiaran program dokumentari tersebut masih belum diberi kepada mana-mana stesen televisyen. Dia juga sempat mengunjungi bandar Tel Aviv, Hebron, Nazareth dan Jarussalem di Israel. "Saya masuk menerusi Jordan bersama 12 kru dan selebihnya mereka bercuti kerana rombongan ini ditaja oleh agensi pelancongan Intifada Travel. "Alhamdulillah tiada sebarang masalah, hanya ketika di sempadan Tel Aviv pemeriksaan pasport agak ketat hingga kami terpaksa menunggu selama tiga jam untuk melepasinya," ujar Mawi. Dalam pada itu, Mawi turut berkesempatan mengunjungi masjid Al-Aqsa, Marwan dan Buraq, makam nabi Ibrahim dan isteri iaitu Siti Sarah, makam Nabi Isa serta beberapa tempat ibadah penganut Kristian dan Yahudi. Biarpun kelihatan tenang, Mawi mengakui agak terkejut apabila kebanyakan ramaja di Tel Aviv membawa senjata ketika keluar berjalan-jalan di pasar malam. "Antara pengalaman menarik juga ketika saya ke pasar malam di satu kawasan di Tel Aviv. Ketika sedang berjalan-jalan saya ternampak dua remaja yang hanya memakai seluar pendek dan baju T dengan memengang senjata jenis M16 sedang berlegar-legar di situ. "Rupa-rupanya perkara itu sudah biasa bagi masyarakat di sana. Agak terkejut juga saya melihatnya. Mulanya saya ingat senjata permainan tetapi memang senjata sebenar. Namun, mereka tidak menganggu atau mengendahkan pelancong yang datang," ujarnya. Sementara itu, dalam lain Mawi kini sibuk dengan promosi single terbaharunya bersama Dali (Ahli Fiqir) berjudul Sahabat Dalam Tubuh.

Anis Al Idrus Anggap Putus Dengan Sharnaaz Jalan Terbaik

Pelakon dan pengacara Anis Al-Idrus memberitahu keputusannya berpisah dengan pelakon Sharnaaz Ahmad adalah jalan terbaik untuk masa depan masing-masing. Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 27, berkata, dia menerima perkara tersebut sebagai ketentuan Allah yang tidak dapat ditentang oleh manusia. "Seperti yang diberitahu bahawa kami sudah berpisah sejak lima bulan lalu dan saya anggap ia sebagai tiada jodoh antara kami. "Bukan senang juga untuk buat keputusan dan kami rasa ini adalah jalan terbaik setelah memikirkannya secara mendalam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat. Anis mengulas tentang kenyataan pelakon Sharnaaz Ahmad yang mendedahkan hubungan mereka sudah putus sejak lima bulan lalu. Pasangan ini menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun.
Bagaimanapun, Anis berkata, kedua-dua mereka sudah bersetuju untuk tidak mendedahkan punca sebenar perpisahan tersebut. "Saya tidak akan beritahu kenapa dan punca kami berpisah kerana sebarang kenyataan kami nanti akan mengaitkan keluarga kedua-dua belah pihak. Biarlah kami sahaja yang tahu dan menjadi rahsia kami," ujarnya. Sementara itu, Anis berkata sudah tidak berhubung dengan Sharnaaz sejak lima bulan lalu. Dia juga percaya, apa yang berlaku merupakan ujian Allah dan mempunyai hikmah tersendiri. Pekara ini sudah lima bulan berlaku, saya sudah baik-baik sahaja, kami ambil keputusan itu secara matang dan saya percaya Allah sudah merancang yang terbaik buat kami," ujarnya. Dalam pada itu, Anis berkata, dia hanya menumpukan perhatian terhadap kerjaya lakonan, pengacaraan dan perniagaan yang diusahakan.

Didi Astillah Enggan Dengar Cerita Buruk Aliff Aziz

Penyanyi remaja Didi Astilah memberitahu dia tidak mengambil peduli cerita-cerita buruk dan kontroversi yang pernah menghimpit Aliff Aziz sejak penyanyi itu bercinta dengan kakaknya Bella Astillah. Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 19, berkata, setakat ini Aliff tidak menunjukkan sebarang masalah dalam hubungan percintaan bersama kakaknya itu. "Saya tidak pernah cari di Google atau mencari cerita tentang Aliff Aziz kerana kalau cari sudah tentu banyak cerita yang tidak sedap didengar dan dibaca. "Kalau ada orang bercerita pun saya akan dengar masuk telinga kiri keluar telinga kanan sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Didi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungan cinta kakaknya dengan penyanyi Aliff Aziz yang kini merancang untuk mengikat tali pertunangan. Selain itu, Didi berkata, sebagai adik, dia sentiasa bersikap positif dan menerima pilihan yang terbaik buat kakaknya itu. "Saya tidak kisah dengan siapa pun kakak saya bercinta asalkan dia gembira dengan pilihannya itu. Setakat ini saya rasa mereka sangat bahagia dan Aliff pun dah banyak berubah dan tidak seperti gosip-gosip yang didengar sebelum ini. "Akak saya sudah bertemu keluarga Aliff di Singapura dan Aliff juga sudah berjumpa keluarga saya di Sabah pada Aidilfitri lalu," katanya. Dalam perkembangan lain, Didi berkata, dia akan bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Pujaan Hatiku ciptaan komposer Indonesia Posa Tobing.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails