Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts
Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts
"Jangan Curi-Curi Ambil Gambar Saya" - Amaran Anuar Zain
Penyanyi Anuar Zain meminta peminat atau orang awam tidak mengambil gambarnya secara sembunyi lalu menyebarkan maklumat lokasi dia berada secara terbuka di media sosial.
Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, perkara tersebut dianggap sebagai menceroboh privasinya selain mendedahkan dia kepada bahaya keselamatan diri.
”Tindakan seperti ini boleh dikatakan tidak beradap kerana jika ada orang yang cuba nak buat khianati, mereka dengan mudah tahu lokasi saya berada.
"Kalau nak ambil gambar saya boleh tetapi perlu beritahu dan minta kebenaran. Jangan ambil gambar saya curi-curi dan dedahkan di laman sosial maklumat terperinci seolah-olah anda duduk di sebelah saya.
"Perkara ini selalu terjadi dan saya risau kerana kebiasaan saya makan di sesuatu tempat seorang diri, tanpa kawan," ujarnya kepada mStar Online.
Anuar Zain ditemui pada sidang media konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Hotel Royale Chulan, di sini, Khamis.
Tambah Anuar, keterbukaan media sosial juga mengundang rasa bimbang terhadap keselamatannya ketika berada di luar secara bersendirian.
Dalam pada itu, dia mengakui tidak aktif menggunakan laman sosial seperti mana-mana artis lain kerana tidak mahu menjadi mangsa kecaman segelintir pihak yang sering memandang sesuatu perkara daripada sudut negatif.
"Tidak aktif di media sosial tidak bermakna saya tidak mengikuti perkembangan dunia semasa. Bagi saya "up to date" bukan hanya di teknologi terkini tetapi juga daripada sudut pemikiran terhadap isu semasa.
"Biarlah saya tiada laman sosial dan mereka kurang sedikit dosa untuk mengutuk atau bercakap buruk tentang artis," ujarnya.
Kata Anuar, dia juga tidak pernah membaca dan mengambil tahu tentang pandangan buruk segelintir pihak terhadapnya di laman-laman sosial.
Tambahnya, perkara-perkara tersebut hanya mengundang pengaruh negatif yang seterusnya boleh melemahkan moral individu yang membacanya.
"Mereka yang selalu beri kritikan di media sosial ini pengecut. Bagi saya mereka mempunyai masalah dalam diri sendiri dan keluarga mereka.
"Jadi mereka akan cari kesalahan orang lain untuk menutup apa yang berlaku terhadap diri mereka sendiri," ujarnya.
Konsert Ketuhanan Kumpul Dana
Sementara itu, bercerita tentang konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta, Anuar berkata, dia bakal menyanyikan tiga buah lagu termasuk lagu popularnya berjudul Ketulusan Hati.
Katanya, konsert berunsur ketuhanan ini bukan sahaja bertujuan mengutip dana amal, malah ingin menyebarkan nilai kasih sayang sesama manusia yang semakin berkurangan.
"Orang tidak perasan kebanyakan lagu saya seperti Ketulusan Hati, Teman Terulung dan Ajari Aku banyak ke arah ketuhanan dan saya bersyukur turut terlibat dalam konsert seperti ini,” ujarnya.
Konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd ini bertujuan mengumpul dana bagi tabung kemanusiaan yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin, Syria, Bosnia, Bangladesh dan Sri Langka.
Ia bakal dijayakan oleh beberapa artis terkenal seperti Raihan, Akim & The Majistret, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan Humood Al Khudeer.
Konsert ini akan berlangsung pada 31 Oktober depan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Tiket berharga RM73 hingga RM383 boleh didapati secara dalam talian di www.ticketpro.com.my
RAGAM ANUAR ZAIN HANDSOME 'BERMISAI '
Gambar menarik Anuar Zain handsome 'bermisai' ketika melawat Jerash, Petra dan banyak lagi tempat menarik di Jordan. Lebih menarik, peminat juga berpeluang melawat Jordan bersama Anuar pada November ini dalam pakej 'Magical Jordan With Anuar Zain'.
Anuar tolak media sosial
TIDAK sepertimana kebanyakan artis sekarang yang rata-ratanya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram untuk berinteraksi dengan peminat, Anuar Zain beranggapan medium itu sebenarnya boleh menjatuhkan karier dan peribadi seseorang.
Bukan sahaja artis tetapi kata Anuar, dia pernah berdepan pengalaman rakan- rakan baiknya bercerai-berai gara-gara laman sosial.
“Saya suka keupayaan medium sosial terutama dalam aspek berinteraksi dengan peminat tapi saya fikir hidup saya sudah sempurna dan saya tidak berani untuk berkongsi lebih lanjut.
“Orang sudah tahu hidup peribadi saya, keluarga saya dan di mana saya selalu melepak,” tegasnya yang hanya memiliki akaun Facebook Anuar Zain Network yang diuruskan oleh pasukannya.
Bukan gusar hilang nilai eksklusif tetapi pelantun lagu Sedetik Lebih itu khuatir dari segi keselamatan diri sendiri seandainya terlalu terbuka di laman sosial.
“Sudah terlalu banyak orang tahu mengenai dunia saya dan interaksi itu kadang-kadang bertimpa-timpa. Saya bimbangkan keselamatan saya sebab pernah ada pengalaman peminat fanatik yang tahu kedudukan saya, datang serbu.
“Perkara begini adakalanya merimaskan saya. Itu tidak termasuk kes kutuk- mengutuk di Twitter dan menyebarkan perkara yang negatif.
“Secara tidak langsung perkara begini mengganggu emosi saya. Kalau mahu menggunakan medium ini, jangan menjatuhkan maruah orang dan fikir perasaan orang lain,” katanya yang pernah gambarnya dirakam secara candid sebelum disebarkan secara negatif.
Rumah orang tua
Lali diasak pertanyaan mengenai kisah peribadi dan soal jodoh, Anuar menegaskan yang dia tidak risau sekiranya membujang sampai ke tua.
“Jodoh itu kerja Allah dan saya tiada hak untuk bertanyakan bilakah saya akan berkahwin? Saya tidak bimbang kerana itu urusan Tuhan,” ujarnya.
Anuar memberitahu, dia bersedia memasuki pusat penjagaan orang tua suatu masa nanti seandainya tidak berdaya.
“Kenapa perlu sedih untuk tinggal di pusat penjagaan orang tua? Saya tidak bimbang dan saya sanggup kerana kita akan dijaga rapi di sana.
“Kalau saya ada anak pun kenapa saya perlu mengharapkan mereka menjaga saya sampai tua melainkan saya sendiri perlu menabung untuk diri sendiri buat bekalan masa akan datang,” ujarnya.
Ditanya mengenai kesanggupan Anuar mengambil anak angkat, dia masih belum terfikir ke arah itu. Kata Anuar, dia sendiri sudah memiliki kehidupan bahagia bersama keluarganya.
“Alhamdulillah, saya ada keluarga yang sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang diri saya setiap hari. Malah, saya seronok melayan kerenah 12 orang anak buah saya yang sudah seperti anak sendiri,” tegas adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.
Jalinan kasih
Sementara itu, Anuar berkongsi keterujaan untuk menjayakan Malam Jalinan Mesra Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Telekom, Kuala Lumpur pada 19 Oktober depan.
“Ramai yang telah mempelawa saya untuk mengadakan persembahan tetapi memandangkan saya pun usai mengadakan konsert besar awal tahun ini, lebih elok saya memberikan ruang sedikit kepada diri sendiri,” katanya yang dipelawa bulan lalu.
Anuar bakal mempersembahkan lima buah lagu popular dan akan meluangkan waktu untuk berinteraksi serta beramah mesra dengan peminat sempena majlis itu.
Harga meja yang bermula RM3,000 hingga RM30,000 telah dibuka untuk tempahan. Maklumat lanjut boleh hubu- ngi 03-6206 4756 atau 017-3577 537.
Anuar disaran pinang Dayang
Anuar Zain Minta Maaf Peluk Pemain Bowling Negara
Konsert Anuar Zain meriah
Anuar tak mencari cinta
Anuar redha lokasi konsert bertukar
ANUAR ZAIN, satu nama yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia. Walaupun sudah tiga dekad berada dalam industri, pada tahun ini dia bakal muncul dalam konsert pertamanya sepanjang penglibatan sebagai seorang penyanyi.
Konsert sulungnya yang diberikan judul sebagai Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu, sebelum ini dijadualkan bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam, 16 Februari ini di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun pada saat-saat akhir, Anuar Zain dan kru produksi menghadapi masalah teknikal.
Bertemu jejaka berlesung pipit ini pada sidang akhbar yang diadakan bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Anuar telah mengumumkan masalah yang dihadapinya iaitu penukaran lokasi konsert tersebut.
Penukaran lokasi yang dilakukan tiga minggu sebelum konsert mega itu berlangsung, bagaimanapun belum mampu memusnahkan ketenangan pada diri Anuar yang sebaliknya bersyukur dengan apa yang dilaluinya itu.
Bagi dirinya, segala kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai rintangan yang perlu diharungi dan juga tersirat hikmah di sebalik setiap yang berlaku.
“Tiga minggu sebelum tarikh konsert, kami dapat tahu ada sedikit masalah logistik yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.
Tambahnya: “Ini kerana ada majlis lain yang berlangsung di situ pada 17 Februari. Ini bermakna stadium itu perlu dikosongkan secepat mungkin selepas konsert tamat.
“Konsert ini berskala besar, namun agak mustahil untuk kami berkemas dalam masa beberapa jam sahaja bagi memberi laluan kepada majlis lain di situ pada keesokan harinya itu.
“Daripada menunda tarikh konsert, lebih baik kami menukar lokasi agar tidak menghampakan peminat yang telah lama menanti-nantikan konsert ini.
“Alhamdulillah, kami mendapat lokasi baharu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam pada tarikh dan waktu yang sama.
Tidak berasa kecewa dan panik dengan penukaran lokasi konsertnya itu, bicara Anuar, dia bersyukur kerana mempunyai kru produksi yang sangat cekap menangani masalah.
Tambahnya, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan mengubah apa yang telah dirancangkan pada asalnya untuk konsertnya itu.
“Saya tidak mahu kurangkan apa-apa pun kerana saya mahu peminat berpuas hati dengan apa yang saya tampilkan kelak.
“Bagi saya, walaupun tidak balik modal, konsert ini bukan kerana wang. Ini konsert saya yang pertama, jadi kepuasan peminat menjadi agenda utama saya mengadakan konsert ini.
“Walaupun tiada penajaan, saya tidak kisah. Memang ada rintangan dan mungkin tidak sempurna.
“Namun, saya perlu harunginya dan biarlah apapun yang mahu dikritik, tetapi memang semuanya untuk peminat saya,” tutur Anuar yang mahukan peminat mengenang konsert sulungnya ini atas dasar kualiti yang ditampilkan nanti.
Setakat ini, jelas Anuar, 80 peratus tiket konsert sudah terjual dan kepada yang sudah membeli tiket, pihak Tiket Charge sudahpun menghubungi mereka bermula semalam, 6 Februari ini untuk menjelaskan tentang penukaran lokasi konsert tersebut.
Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan masih boleh membeli tiket bermula 6 Februari menerusi laman web www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network menerusi talian 012-464 2030.
Kesempurnaan - Anuar Zain
BANYAK suka duka tersimpan di dalam lubuk jiwa lelaki ini. Seiring dengan usianya yang kini sudah menjangkau 40-an, Anuar Zain sudah mampu tersenyum dengan kualiti yang dicipta melengkapi perjalanannya sebagai seorang penyanyi lelaki yang sehingga kini belum mampu digugat.
Walaupun silih ganti penyanyi lelaki yang muncul dalam dunia hiburan, percayalah, belum ada yang berani dan mampu merampas kedudukan yang ada dimilikinya sekarang.
Malah, untungnya Anuar Zain, dia merupakan kesayangan jutaan peminat yang mengangkat dan memujanya.
Bukan semata kerana lagu, tetapi kerana dirinya sendiri. Personaliti, imej dan auranya, semua terangkum menjadi satu.
Berpeluang bertemu dengan anak kelahiran Merlimau, Melaka ini tempoh hari membolehkan Pancaindera mencungkil cerita dan sisi "seorang Anuar Zain".
Ringan mulut dan tidak lokek memberi kerjasama baik kepada Pancaindera, Anuar yang murah dengan senyuman rancak berkongsi kisahnya walau ketika temu bual ini diadakan, jadualnya sepanjang hari tersebut cukup padat.
Tuah Kain PelikatSegala-galanya bermula dengan Kain Pelikat. Lagu itu adalah lagu pertama yang dinyanyikan oleh Anuar Zain bersama Elena yang kemudiannya memberi ruang buat Anuar mengenal apa itu populariti ketika pada zaman remajanya.
Di sana sini semua orang memperkatakan tentang remaja lelaki ini yang ternyata berjaya mencuri perhatian melalui nyanyian bersahajanya.
Ketika itu, dia berdiri di atas kaki sendiri tanpa dibayangi aura kakaknya, Ziana Zain yang semasa itu belum melibatkan diri dalam dunia hiburan.
Selepas 11 tahun meninggalkan dunia nyanyian kerana bertugas sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS), Anuar kembali bergelar penyanyi.
Umpama satu kemunculan yang ditunggu-tunggu, Anuar kembali menggegar dunia hiburan seterusnya mencipta populariti menerusi lagu Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi, Kita dan Musim Berlalu.
Anuar kemudiannya semakin digilai ramai apabila dia kemudiannya berjaya membuai jutaan jiwa peminatnya menerusi seleksi lagu-lagu cinta menusuk kalbu seperti Mungkin, Keabadian Cinta dan Sesucinya Cintamu.
Label eksklusifMengenali jejaka berbintang Aquarius ini, dia adalah seorang individu yang begitu mementingkan kesempurnaan dalam setiap karya yang ingin dipersembahkan kepada semua.
Tidak suka melakukan kerja sambil lewa, Anuar mengaku itu adalah sifat yang sukar dikikis olehnya sepanjang bergelar artis.
Malah kesempurnaan juga dapat dilihat dari segi tingkah lakunya sehingga kadangkala dia dilabel sebagai artis eksklusif lantaran enggan terlalu terbuka dengan dunia luar.
Maklumlah seorang bintang harus ada ego dan menjaga tona eksklusif dalam diri agar imej tidak tercalar dengan sebarang cerita dan kontroversi kurang enak.
"Saya tak kata diri saya seorang bintang. Tapi bohong jugalah kalau saya cakap saya tak tahu orang menganggap dan meletak gred saya begitu.
"Ini semua rezeki kerana hubungan saya dengan kerjaya dibina atas dasar ikhlas. Kalau ditanya, saya tak rasa diri saya eksklusif sehingga saya bersikap sombong pada orang.
"Walau cuma dengan senyuman, saya akan melayan peminat atau sesiapa sahaja dengan positif.
"Dari segi kerja, saya cuma akan lakukan apa yang saya suka dan selesa. Saya memang begitu. Bukan apa, bila kita buat apa yang kita selesa, suka dan minat, kita akan buat dengan sepenuh hati.
"Saya tahu mungkin ada sesetengah pihak yang berkecil hati jika saya pernah menolak tawaran persembahan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya saya jujur dari awal daripada bersetuju tetapi melakukan perkara itu dengan separuh hati.
"Kemudian ia mendatangkan kesulitan pada orang lain, saya tidak suka begitu," katanya.
Privasi AnuarRamai yang sedia maklum, Anuar tidak seperti kebanyakan artis lain yang sudi mendedahkan privasi dirinya secara keterlaluan dengan peminat.
Maka, jangan dipersoalkan kenapa dia sehingga sekarang tidak memiliki akaun peribadi laman sosial Twitter seperti lazimnya seseorang artis menganggap ia adalah satu keperluan untuk mendekati peminat.
Anuar ada penjelasan tersendiri. Baginya, dia lebih suka menyimpan sesetengah perkara peribadi untuk dirinya sendiri dan bukan untuk dikongsi dengan orang lain.
"Satu-satunya laman sosial yang saya ada adalah Facebook dan ia adalah untuk kegunaan rasmi iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork.
"Saya lebih senang menggunakan instagram untuk berkongsi dengan peminat. Pun begitu, saya masih keluar dengan kawan-kawan seperti biasa cuma saya akui agak tidak selesa berkongsi barang-barang peribadi saya dengan peminat.
"Kenapa saya tak ada Twitter? Ya saya akui ia bagus dari satu sudut. Tapi harus diingat, ia juga boleh menjadi satu senjata yang kejam dalam sesetengah situasi yang boleh mencetuskan isu negatif," katanya.
Jejaka idaman MalayaMasih bergelar lelaki bujang saat usia sudah 40-an, Anuar sedari dulu tidak pernah mampu mengelak dari pertanyaan-pertanyaan klise mengenai bilakah dia mahu menamatkan zaman solonya itu.
Lalu, ke mana sahaja dia pergi, tidak pernah gagal dia meraih perhatian wanita-wanita di luar sana yang begitu mengilai dirinya.
Dihurung dan dikerumuni wanita itu satu perkara yang biasa dilalui oleh Anuar sepanjang dia bergelar penyanyi.
Aura jejaka sempurna itu seumpama lengkap pada dirinya. Maka jangan memandang pelik jika ramai yang mengaku jatuh cinta pada lelaki ini.
Sungguhpun tahu dirinya digilai ramai wanita dan dia mampu memilih sesiapa sahaja untuk menjadi suri hatinya, Anuar tetap teguh dengan jawapannya sebagaimana yang sudah-sudah.
Menganggap dirinya sudah berkahwin lama, Anuar mahu peminat jangan tersalah anggap.
"Saya sudah lama berkahwin dengan karier saya. Selama 30 tahun ini, saya hadapinya dengan rasa suka dan duka.
"Ia sudah cukup untuk saya sekurang-kurangnya buat masa ini. Tetapi terima kasihlah kepada yang prihatin bertanya selama ini.
"Saya lebih senang untuk menjawab yang cinta itu tidak perlu dicari. Jodoh biarlah ditemukan. Itulah kata-kata yang saya pegang sehingga hari ini. Jika belum sampai maka belum lagilah tu," katanya.
3 Dekad Muzik, Cinta & SanubariSejak dari kecil kata Anuar, sejak sudah mula mengenal dunia nyanyian, dia tidak pernah membayangkan kedudukan selesa yang dicapainya kini.
Daripada menjadi seorang penyanyi lelaki paling mahal dibayar setakat ini dalam dunia seni, sehinggalah berupaya merancang agenda konsert pertama dalam kariernya, Anuar melakar sejarahnya sendiri.
Mengaku tidak mampu membendung rasa debarnya saat membilang hari, Anuar mahu segalanya sempurna untuk konsert sulungnya yang diberi nama 3 Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang akan berlangsung 14 hari lagi.
"Saya bukan sahaja menyanyi, tetapi membuat persembahan. Apa yang saya janjikan adalah keseronokan buat semua yang hadir.
"Saya akui akan ada sedikit kejutan tapi biarlah mereka rasainya sendiri bila berada di stadium itu nanti dan tak perlu diceritakan di sini," katanya.
Dalam pada itu, dia yang meletakkan segala keutamaan kepada peminat sungguhpun mengaku sepanjang perancangan konsert itu dibuat dalam suasana yang tidak mudah.
"Kesulitan itu tentunya ada, namun ia dapat diatasi dari semasa ke semasa. Apa yang penting, saya akan memberikan yang terbaik buat peminat yang selama ini berkongsi kembara seni saya.
"Ini bukan sahaja sejarah buat saya, malah satu ukiran sejarah buat peminat saya," katanya.
Konsert 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari akan diadakan pada 16 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Enam kali cinta ditolak - Anuar Zain
SUKAR sebenarnya untuk menyelongkar kehidupan penuh rahsia lelaki pilihan ramai wanita ini, masakan tidak dia sebenarnya lebih suka untuk hanya memberi ruang buat kerjayanya berada di hadapan sebelum dirinya. Itu merupakan prinsip yang sering dipegang Anuar Zain, namun di sebalik ketegasannya itu ada sisi dirinya yang sentiasa dihargai peminat.
Menjadikan peminat sebagai elemen penting buat kerjayanya, Anuar memberitahu siapa dia, dan di mana dia berada kini tidak akan pernah lengkap perjalanannya tanpa sokongan peminat. Malah didalam setiap tutur bicaranya, tidak akan lekang untuk sentiasa memuji keupayaan peminatnya yang tidak putus-putus membantunya.
Itu merupakan keistimewaan seorang penyanyi yang boleh dikategorikan sebagai penyanyi yang mempunyai kelas tersendiri. Tidak menolak untuk mengatakan dia menjalani kehidupan yang sedikit eksklusif, bagi Anuar jika ia berbaloi untuk kerjayanya, nilai eksklusif itu memang perlu wujud.
"Saya tidak membuat kerja sebarangan, sebelum menerima apa-apa tawaran saya akan kaji dahulu, bukan sahaja nilai bayaran yang akan menjadi penentu sebenarnya.
"Jika ia mempunyai impak yang buruk untuk kerjaya saya, saya tidak akan lakukan, saya tidak berada di tahap yang akan melakukan apa sahaja, sebagai penyanyi saya mesti tahu akibat jangka panjang dari setiap perbuatan," katanya.
Setelah 30 tahun berada di dalam dunia seni ada sesuatu yang menarik tentang lelaki tampan ini. Bukan sahaja menjadi dambaan setiap wanita namun setiap lagu-lagunya juga berjaya meletakkan dia di tahap lebih tinggi walaupun umurnya kini menjangkau 42 tahun. Cuba berkongsi rahsia "Star Value" yang dimilikinya, jawapan Anuar cukup ringkas.
"Semakin dewasa kita cuba belajar membetulkan diri.
"Bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi adab yang membentuk diri kita, seperti cara percakapan, penampilan dan pergaulan kita dengan peminat," katanya merendah diri.
Sedang dunia dilanda fenomena laman sosial yang semakin mendapat tempat di kalangan selebriti kini, Anuar masih kekal dengan prinsipnya. Menurut Anuar dia tidak menyangkal kekuatan laman sosial kepada kerjaya seseorang artis itu, namun dia lebih senang untuk berhubung secara langsung dengan peminatnya.
"Saya tidak mempunyai Twitter, cuma Facebook rasmi sahaja. Melihat kekalutan yang mungkin diwujudkan laman seperti Twitter rasanya saya lebih selesa untuk berhubung terus dengan peminat.
"Maksud saya berhubung terus dengan peminat adalah melalui persembahan saya, di mana waktu itu mereka lebih dekat dengan saya," katanya.
Wanita pilihan
Memberi pendapat mengenai tanggapan wanita di luar sana mengenai dirinya yang dilihat cukup sempurna di mata mereka, Anuar menjelaskan dia hanya manusia biasa. Memberitahu tiada apa yang sempurna mengenai dirinya, dia percaya kebanyakan mereka hanya mengenalinya secara luaran sahaja.
"Saya juga manusia biasa, tiada apa yang terlalu sempurna mengenai diri saya.
"Saya percaya tiada seorang manusia di dunia ini yang sempurna, saya hanya menjadi diri sendiri, saya juga pasti mungkin ada yang menyukai saya dan saya juga tidak terkejut jika ada yang tidak menyukai saya, itu lumrah," katanya.
Kalau diikutkan lelaki seperti Anuar sentiasa mendapat tempat di hati wanita, namun adalah sesuatu yang mengejutkan untuk mengetahui bahawa lelaki ini pernah dikecewakan sebanyak enam kali.
"Saya masih solo, setelah enam kali cinta saya ditolak wanita.
"Prinsip saya kini biar ditemukan jangan mencari," katanya tersenyum.
Mencari kepastian mengenai wanita pilihan Anuar, cirinya-ciri yang diberikannya cukup mudah. Bukan kecantikan yang dicari lelaki ini tetapi hanya seorang wanita yang mampu menyenangkan kehidupannya.
"Kalau boleh saya nak mencari seorang yang lemah lembut dan boleh menyesuaikan diri di dalam semua situasi.
"Ramah, berbudi bahasa dan yang paling penting mampu membuat orang di sekelilingnya senang bila bersama dia, katanya.
Tidak dinafikan ketampanan Anuar merupakan antara sebab dirinya menjadi igauan ramai peminat wanita, jika diikutkan di kala umurnya kini bukan mudah untuk seseorang lelaki mengekalkan keterampilan sebegitu. Bagi Anuar tiada rahsia besar yang mahu dikongsikan dirinya, cukup untuk mengatakan kebahagiaan banyak membantu dirinya.
"Selalu senyum dengan orang dan ketawa untuk hilangkan runsing, selain itu juga ia mampu membentuk keyakinan diri seseorang.
"Melalui jati diri kita sebenarnya mampu memberikan penampilan diri yang segak dan menjadikan sesiapa sahaja nampak tampan," katanya mudah.
Wanita Seperti Nora Danish Jadi Pilihan Anuar Zain
PETALING JAYA: Penyanyi Anuar Zain (gambar) mengakui wajah seperti pelakon Nora Danish merupakan antara ciri-ciri wanita idamannya untuk dijadikan isteri.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain,42, berkata, dia mula tertarik dengan Nora sejak kemunculan awal pelakon itu menerusi drama Puteri.
"Nora memiliki wajah dalam kriteria wanita idaman saya yang feminin dan lembut.
"Saya tidak menolak takdir sekiranya dijodohkan dengan Nora," kata Anuar.
Penyanyi itu ditemui pada pelancaran klip video lagu Ajari Aku di White Box, Publika dekat sini, petang Isnin.
Bagaimanapun, tambah Anuar, perhubungannya dengan Nora tidak lebih daripada seorang rakan kerja kerana wanita itu menjadi pasangannya dalam klip video Ajari Aku yang turut menampilkan pelakon Datuk Rahim Razali.
Ditanya, pernah atau tidak dia terfikir untuk mengenali Nora dengan lebih dekat, Anuar memberitahu tidak memikirkan untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan ibu beranak satu itu.
"Walaupun Nora mempunyai ciri-ciri wanita idaman seperti yang di inginkan, tetapi ia belum sampai ke tahap untuk saya mengenalinya dengan lebih lanjut. Masing-masing dengan hal peribadi sendiri," tuturnya.
Sementara itu, pada majlis pelancaran klip video itu, Anuar turut mengumumkan bakal mengadakan konsert solonya pada 16 Februari 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, dekat sini pukul 8.30 malam.
Konsertnya yang diberi nama 'Anuar Zain-Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari' itu dianjurkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan syarikat rakaman Universal Music.
Ia merupakan konsert sulung Anuar selepas 30 tahun berada dalam industri seni muzik tempatan.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat konsert buat peminat-peminat setia yang sentiasa menyokong saya dari dulu lagi.
"Dah lama saya nak buat konsert, cuma masalah tiada penganjur membuatkan hasrat itu terbantut.
"Sekarang ini, saya dan pihak Universal akan menggerakkan konsert ini dan mengalu-alukan mana-mana penaja untuk bekerjasama dengan kami," katanya.
Menariknya tentang konsert itu, Anuar akan membuat persembahan selama dua jam tanpa penyanyi undangan dan akan beraksi sebaik mungkin buat para peminatnya itu.
Tiket konsert boleh ditempah bermula 12 Disember depan menerusi ejen tiket www.ticketcharge.com.my.
Ziana, Anuar balik Merlimau
SUDAH berpuluh-puluh tahun tidak meraikan 1 Syawal di kampung halaman yang terletak di Merlimau, Melaka, itulah pengakuan daripada mulut penyanyi terkenal, Ziana dan adiknya, Anuar Zain.
Mereka berdua yang ditemui pada sesi fotografi khas sempena Aidilfitri di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada pertengahan bulan Ramadan lalu, mengatakan kali terakhir mereka sekeluarga meraikan 1 Syawal di kampung adalah sekitar tahun 1980-an.
“Saya sendiri sudah tidak ingat tahun terakhir kami dapat pulang beraya di kampung. Sebenarnya bukan kami tidak mahu balik kampung, hari-hari biasa kami kerap juga balik, cuma pengalaman beraya di kampung pada 1 Syawal itu sudah lama tertinggal.
“Tradisi balik raya terhenti sejak kami berdua menjadi penyanyi. Jadual kami sentiasa sibuk terutamanya pada bulan Ramadan dan juga bulan Syawal.
“Rumah keluarga kami di Shah Alam, Selangor pula sentiasa penuh dengan tetamu, mahu tidak mahu kami harus melayan tetamu yang hadir. Jadi, saudara-mara tidak ada pilihan yang lain, mereka yang akan turun ke Shah Alam beraya dengan kami,” kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain panjang lebar.
Celah Anuar, 42, yang segak dalam persalinan busana Salikin Sidek mengakui situasi tersebut. Ujarnya, rumah mereka akan dihadiri tetamu dan juga peminat sehingga larut malam.
“Macam mana nak balik kampung, waktu itu ibu bapa kami masih sihat dan rajin layan tetamu yang hadir tidak kira waktu. Selalunya sampai pukul 1 pagi pun masih ada yang memberi salam untuk beraya di rumah kami.
“Sebagai tuan rumah, kami akan melayan sebaik mungkin. Cuma tahun ini, ibu bapa kami sudah tidak sihat seperti dahulu, kakak saya juga sudah ada anak-anak yang perlu diberi perhatian, oleh itu tahun ini kami semua sepakat untuk raya di kampung selama tiga hari,” cerita Anuar penuh semangat.
Walaupun dapat pulang beraya di kampung, kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu, sudah ramai ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia di kampung, disebabkan itu suasananya tidak sama seperti waktu mereka kecil.
“Ahli keluarga kami terutama pak cik-mak cik ramai yang telah meninggal dunia, hanya beberapa orang sahaja yang tinggal.
“Apa pun, kami tetap melawat semua saudara-mara yang ada dan raya kami pasti disambut semeriah mungkin. Bukan senang untuk kami dapat cuti dan berkumpul ramai-ramai seperti hari raya,” tutur Anuar yang cukup popular dengan lagu Suasana Hari Raya nyanyiannya bersama Elina.
Malam raya
Ziana, 44, yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik memberitahu setiap kali raya saat paling digemarinya adalah pada malam raya.
“Memang saya paling suka pada malam raya. Kesibukan dan keriuhan pada malam raya membuatkan raya kita lebih meriah.
“Tambahan kalau sambut raya di kampung, memang sangat seronok apabila semua saudara-mara berkumpul dalam sebuah rumah, memang sangat kecoh, tetapi saya suka,” kata Ziana.
Jika Ziana sibuk di dapur menyiapkan hidangan untuk pagi raya, Anuar pula kata kakaknya, suka menyibukkan dirinya dalam setiap situasi.
“Anuar, dia akan cuba menyibukkan dirinya di dapur atau di mana-mana sahaja (ketawa). Sungguhpun begitu, dia tolong juga mana yang patut, anak-anak saudara memang suka kalau Pak Ngah (panggilan untuk Anuar) mereka balik kampung sebab dapat banyak duit raya,” luah Ziana.
Sambung Anuar, apabila tibanya raya, mereka adik-beradik sudah tahu tugas masing-masing.
Contohnya Anuar bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembelian kuih raya, malah sempat berbincang dengan kakaknya kuih apa yang harus dibeli ketika sesi fotografi ini dijalankan.
“Kami sekeluarga memang tidak ada masa buat kuih, semuanya kuih tunjuk sahaja, tetapi sebelum beli, saya akan pastikan kuih itu benar-benar sedap untuk dimakan bukan setakat cantik sahaja.
“Selalunya kuih yang menjadi pilihan adalah kuih tart nenas yang merupakan kuih wajib, selain itu kuih batang buruk, sarang semut, kuih bangkit dan kuih dahlia akan dibeli,” ucap Anuar sambil berkira-kira berapa balang kuih yang harus dibeli.
Belanja raya
Penyanyi lagu Madah Berhelah dan ibu kepada Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 3 tahun, berkata perbelanjaan raya tahun ini agak terlebih disebabkan puteri sulungnya.
“Tahun ini kami sekeluarga memakai baju warna biru cair, saya beli kain sepapan dan tempah. Kalau dikira-kira baju yang paling banyak sudah pasti satu-satunya anak perempuan saya.
“Setiap kali saya terlihat baju kanak-kanak perempuan yang comel pasti saya akan beli untuk Kaseh, itu belum dikira hadiah baju daripada rakan-rakan dan juga saudara. Setakat ini, baju Kaseh sudah ada sepuluh pasang.
“Bukan apa, sebab saya sudah lama menunggu untuk dapat anak perempuan, bila lihat baju kanak-kanak perempuan yang saya tidak boleh beli sebelum ini, saya akan beli untuk Kaseh. Anak-anak lelaki ada juga baju baharu, cuma jumlahnya tidak sebanyak anak perempuan,” kata Ziana sambil tersenyum.
Pakaian raya Ziana pula sudah ditempah awal-awal lagi, begitu juga dengan Anuar yang menempah baju Melayu. Bagaimanapun, kata Anuar dia tidak berhabis banyak semata-mata untuk meraikan Aidilfitri.
“Mungkin kakak saya akan belanja lebih sebab dia ada anak-anak, kalau saya hanya biasa-biasa sahaja, beli apa yang patut.
“Selebihnya saya akan simpan duit untuk beri duit raya pada anak buah seramai 12 orang. Selepas cuti lebih kurang seminggu, saya akan bekerja seperti biasa,” katanya yang akan muncul dengan album duet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah.
ALBUM BARU: Vokal Anuar Zain Semakin Hebat
ARTIS: Anuar Zain
ALBUM: Anuar Zain
EDARAN: Universal Music Malaysia
EMPAT tahun sepi tanpa album, kemunculan album terbaru Anuar Zain iaitu yang keenam (termasuk album kompilasi) pasti mengubat rindu para peminat.
Dan yang pasti, sejak dipasarkan pada November tahun lalu, lebih daripada 11,000 salinan telah pun dijual tanpa sebarang promosi. Ternyata, ramai yang benar-benar menantikan produk terbaru penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini.
Tidak banyak lagu yang ditampilkan, album ini memuatkan sebanyak lapan buah lagu. Mungkin ia adalah pemilihan yang terbaik antara lagu-lagu yang disediakan.
Lagu-lagunya ialah Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Ajari Aku, Pernahkah, Simpati Cintamu, Sempurnakan Aku, Terindah dan Cinta Harus Memiliki.
Seperti yang diketahui semua, vokal Anuar tidak perlu diulas lagi kerana kehebatan vokalnya sukar ditandingi dan mempunyai gaya ekspresi yang tersendiri ketika menyampaikan lagu-lagunya itu.
Walaupun kelapan-lapan lagu Anuar berkonsepkan balada, Anuar mewarnakannya dengan gaya nyanyian yang sedikit berbeza serta memasukkan elemen Jazz dalam beberapa lagunya.
Antara lagu yang menarik perhatian adalah Ajari Aku. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Adrian Martadinata cukup menarik, lebih-lebih lagi daripada segi komposisi muziknya.
Begitu juga dengan Simpati Cintamu, sentuhan komposer tempatan Hazami, harus didengar. Melodinya yang berunsurkan Jazz menonjolkan sisi lain vokal Anuar.
Secara keseluruhannya, album ini cukup sempurna, sesuai dengan konsep balada yang sudah sebati dengan jiwa Anuar.
Pada pendapat saya, tidak ada masalah rasanya apabila Anuar menggunakan khidmat komposer luar, asalkan, kualiti dan piawai hasil lagu seperti yang diinginkan.
Dalam pada itu, warna hitam putih pada kulit album terbaru Anuar Zain iaitu yang keenam (termasuk album kompilasi) cukup menunjukkan kesederhanaan penyanyi ini.
LAGU PILIHAN: Ku Berjanji Karna Cinta, Simpati Cintamu dan Ajari Aku
Stesen Radio Terkilan Tuduhan Tidak Berasas Anuar Zain
Anuar Zain Tidak Dengar Radio Sejak 4 Tahun Kerana Terkilan
Duet Anuar, Dayang
DAYANG Nurfaizah dan Anuar Zain boleh dianggap antara pasangan duet yang serasi dalam bidang seni suara tanah air sejak lebih sedekad lalu.
Keserasian mereka itu dapat dilihat menerusi paduan suara, kombinasi gaya persembahan dan konsep muzik pop dan R&B yang diketengah sejak dulu.
Malah Anuar dan Dayang juga pernah berkongsi pentas persembahan dan berduet lagu-lagu yang serasi dengan mereka di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 2002.
Bagaimanapun, itu cerita 10 tahun lalu di mana selepas sedekad dua penyanyi itu tampil semula berduet pada suatu persembahan berjudul One Night Charity Concert baru-baru ini.
Pada konsert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur itu Dayang berkata, atas faktor itu menyebabkan dia dan Anuar berbincang lama sebelum menjayakan konsert tersebut.
"Tetapi masalahnya masa kami agak terhad. Kami kena membahagikan persembahan kepada dua segmen. Kami berbincang lagu apa yang sesuai untuk berduet pada konsert itu.
"Saya tanya Anuar dia suka lagu saya yang mana satu dan begitu jugalah sebaliknya. Kami mahukan persembahan yang santai. Sebelum ini, kami tidak mendapat peluang ini kerana kami sibuk.
"Selepas 10 tahun barulah kami dapat berduet dalam satu persembahan bersama-sama. Kami memang sudah lama mahukan persembahan seperti ini," katanya selepas konsert itu.
Persembahan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas yang mengenakan tiket berharga RM500, RM350, RM250 dan RM150 itu bagi mengutip derma untuk badan-badan amal.
Semua hasil jualan tiket itu akan disalurkan kepada Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan Rumah Kasih Harmoni yang terletak di sekitar Lembah Klang.
Menurut Anuar yang pertama kali mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, dia muncul pada konsert itu bukan setakat teruja untuk berduet dengan Dayang.
Sebaliknya, adik penyanyi Ziana Zain itu terbabit dalam persembahan amal tersebut kerana mahu mahu membantu badan-badan amal serta golongan yang kurang bernasib baik.
"Bagi saya perkongsian atau mudarabah itu penting di mana dalam konteks ini saya mahu berkongsi dengan golongan tersebut. Saya tidak boleh sepanjang masa mahu untung sahaja.
"Melalui konsert inilah saya boleh memberi bantuan kepada masyarakat terhadap apa yang telah saya perolehi selama ini. Sebab itu, konsert ini bukannya bertujuan mahu buat duit," ujarnya.
Album duet
Ekoran keserasian antara Dayang dan Anuar itu, ada pihak yang menyuarakan pendapat agar mereka merakamkan album duet pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan tersebut.
Anuar akur dengan saranan itu tetapi pada masa sama dia menyatakan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusinya sebelum permintaan itu dapat direalisasi pada masa depan.
"Kami pernah bercakap tentang mahu merakamkan album duet itu. Tetapi masalahnya agak susah mahu mencari lagu duet yang sesuai dengan kami kerana tonasi suara kami berbeza.
"Malah untuk mencari lirik lagu yang sesuai juga susah apatah lagi yang mempunyai elemen yang positif. Saya pula tidak suka dengan lirik yang terlalu berbunga-bunga, takut tiada impak nanti.
"Saya pula sukakan kelainan di mana kalau boleh lagu-lagu yang kami duetkan nanti berbeza daripada apa yang pernah saya nyanyikan. Kalau tidak nanti saya takut peminat bosan," jelasnya.
Pada konsert itu, Dayang dan Anuar menyanyikan 14 buah lagu termasuklah secara duet antaranya berjudul Bila Resah, Mana Mungkin, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.
Turut dinyanyikan oleh dua penyanyi itu ialah lagu-lagu seperti Perlukan Cinta, Perpisahan, Aku Rindu Aku Jemu, Kau Bunga Cintaku, Perlukan Cinta dan Cinta Harus Memiliki.
Sementara itu, Penolong Pengarah One Night Charity Concert, Sarawahida Salleh berkata, pemilihan Anuar dan Dayang bertepatan bukan sahaja kerana keserasian dua penyanyi terbabit.
Malah jelasnya Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas juga mempunyai komitinya sendiri dalam menentukan kesesuaian penyanyi yang ditampilkan dalam konsert seperti itu.
"Apatah lagi, dua penyanyi ini memang popular dan kami di komiti kelab ini bersetuju memilih mereka untuk menjayakan konsert tersebut. Ternyata perancangan kami memang membuahkan hasil.
"Buktinya, sejak tiket konsert ini dijual dua bulan lalu ia telah pun habis sebulan sebelum ia berlangsung. Hampir 800 tempat duduk di dewan ini juga penuh pada persembahan itu," katanya.
Anuar Zain ada alasan
ADA riak kurang selesa pada lelaki ini tatkala diajukan soalan tentang perubahan wajahnya rawatan pembentukan wajah dilakukan penghujung tahun lalu.
Ini kerana ada dakwaan mengatakan ada segelintir peminatnya kebanyakan terdiri daripada wanita kurang gemar dengan tindakannya melakukan perubahan wajah. Mereka lebih suka wajahnya asal.
"Saya tak ada apa yang nak komen. Kalau orang tak suka, nak buat macam mana," ringkas saja jawabnya kepada Pancaindera.
Kata Anuar, perubahan itu berjaya mengendurkan wajah seriusnya pada waktu itu untuk kembali tersenyum.
"Saya selesa sebab saya kena jaga muka saya dan pastikan ia selalu nampak elok. Jadi saya kena buat sesuatu. Lagi pun tak salah buat sesuatu untuk penjagaan kulit.
"Saya cuma kurangkan lebihan kulit di bahagian bawah muka, itu saja," katanya yang ditemui selepas membuat persembahan Sepetang Bersama Anuar Zain anjuran Permaisuri Hotels & Resort di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu lalu.
Pada penghujung tahun lalu Anuar mendedahkan dia menjalani rawatan pembentukan wajah. Proses itu dibuat bagi mengurangkan lebihan kulit di bahagian bawah mukanya.
Bagaimanapun, kaedah rawatan yang digunakan itu sama sekali tidak menggunakan suntikan botox.
Bercerita tentang persembahan yang dibuat di negeri kelahirannya membuatkan Anuar teruja kerana berjaya menghiburkan hadirin dengan rangkaian lagu permintaan peminat seperti Someone Like You dendangan asal penyanyi Adele.
Sentuhan pengarah muzik Jenny Chin bersama Anuar malam itu mencoret kenangan manis apabila rata-rata hadirin terhibur tatkala lagu itu berkumandang.
Dalam pada itu, sebagai penyanyi yang memiliki nilai eksklusif yang sangat tinggi, Anuar mengakui punya cara tersendiri untuk menambat hati hadirin untuk sama-sama berhibur.
"Aura penyanyi dengan penonton harus bersatu. Itu cara untuk menjayakan persembahan. Saya pentingkan keseronokan penonton.
"Pemilihan lagu juga penting. Saya sukakan sesuatu kelainan dalam setiap kemunculan. Tak nak terlalu rigid pada satu cara. Saya juga suka campur aduk lagu lama dan lagu baru supaya lebih bermakna," katanya lagi.
Persembahan Sepetang Bersama Anuar Zain itu turut disaksikan sekumpulan 90 orang kanak-kanak dari Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun, Melaka.
Sepanjang persembahan selama sejam itu, Anuar menyampaikan himpunan lagu popularnya termasuk Kau Bunga Cintaku, Cinta Harus Memiliki, Terindah, Ketulusan Hati, Bila Resah, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini.
Majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 1,00 tetamu itu turut menampilkan Nabil Raja Lawak dan Sharifah Shahirah selaku pengacara majlis.
“Kami Adalah Mangsa Keadaan Dan Ini Bukan Trofi Second Hand” – Anuar Zain
“Saya akui perkara ini sesuatu yang pelik dan memalukan saya. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana lagi. Saya sendiri berfikir, bagaimana mahu berdepan dengan Yuna, diri sendiri dan orang ramai bila diberi tahu dengan berita ini. Sejujurnya dalam hal ini, kami berdua telah menjadi mangsa keadaan,” ujar Anuar Zain mengulas tentang isu penarikan semula trofi kemenangan Yuna menerusi kategori Lagu terbaik yang sepatutnya adalah milik lagu nyanyiannya, ‘Sedetik Lebih’ ciptaan Edry Abdul Halim.
Anuar yang ditemui ketika majlis sidang media bagi membetulkan keputusan Lagu Terbaik AIM18 petang semalam, secara peribadi juga berpendapat sekiranya perkara ini didiamkan saja tidak mengapa apatah lagi jikalau anugerah ini tidak diberikan semula kepadanya dan Edry, memandangkan berat untuk dirinya menerima perkara ini lebih-lebih lagi memikirkan perasaan dan mengormati Yuna.
“Namun kerana menghormati pihak penganjur yang mengakui kesilapan mereka, lalu saya dengan hati terbuka hadir dan menerimanya,
“Ini merupakan kesilapan paling besar dalam sejarah industri hiburan tanah air, dan agak malang bila saya terpalit sama dalam sejarah ini. Tapi saya menerima penghargaan ini dengan fikiran positif agar industri seni tanah air dapat berkembang baik pada masa hadapan,”
Tambah Anuar lagi, dia tidak mahu dengan pembetulan ini, orang luar menganggap saya dan Edry mempertikaikan kemenangan Yuna walhal dia sendiri redha dan menerima kemenangan Yuna dengan hati terbuka ketika lagu ciptaan ‘Penakut’ diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik pada malam AIM 18, 12 November lalu.
“Saya tahu insiden ini telah mencetus pertikaian ramai pihak, bahkan orang di luar sana yang tidak tahu cerita sebenar akan terus-terus menghakimi, membuat spekulasi, tidak kurang juga ada kalangan peminat kami yang saling bertelingkah atas isu ini.Walaupun sukar bagi kedua-dua pihak, namun anugerah ini kembali kepada yang berhak dan sebagai pemuzik, kami tampil demi mempertahankan maruah.”
Menjawab soalan mengenai segelintir komen-komen negatif orang luar di laman twitter yang memperkatakan pemulangan trofi daripada tangan Yuna kepada Anuar tidak ubah seperti trofi ‘second hand’, Anuar merasakan isu tersebut tidak sepatutnya wujud.
“Trofi second hand? Saya merasakan istilah tersebut tidak seharusnya wujud langsung dalam kes ini. Pada saya ia kenyataan yang menggelikan hati saya kerana anugerah ini cuma pulang kepada yang berhak.
“Apa yang terjadi ini adalah iktibar kepada semua dan berharap tidak berlaku lagi kejadian seumpama ini yang boleh menjejaskan kredibiliti AIM dan RIM sehingga dipertikaikan, apatah lagi insiden seperti ini boleh jadi mengocak kepercayaan pemuzik kita kepada AIM dan RIM,” katanya.
“Saya puji keberanian yuna, kerana berani hadir pada hari ini meskipun saya tahu ini adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi. Dia datang dengan penuh bermaruah dan rasa rendah diri dan saya lebih menghormati Yuna,
“Bagi saya Yuna adalah seorang pemuzik yang penyanyi yang berbakat besar bahkan seorang pemuzik yang educated, saya mendokan agar dia tidak berputus asa dan terus menghasilkan karya yang terbaik,” ujar Anuar akhiri perbualan.
Anuar Zain Akui Buat Rawatan Bentuk Wajah
Mungkin ramai di antara anda yang tertanya-tanya bagaimanakah Abang Anuar Zain ini mengekalkan kekacakan wajahnya. Rasanya daripada 10 tahun dulu sehinggalah hari ini, tetap maintain handsome gitu. Rupa-rupanya ada rahsia di sebalik kekacakan wajah Anuar Zain.
Di dalam Utusan Malaysia hari ini, Anuar Zain mengakui yang dia ada membuat rawatan bentuk wajah. Namun begitu, rawatan yang dibuat tidak melibatkan suntikan botox. Sebaliknya teknik yang digunakan sekadar teknik urutan.
Jangan salah sangka, apa yang saya lakukan ini bukannya botox. Kaedah rawatan yang baru saya jalani tahun ini berbentuk urutan di bahagian wajah saya. Bagaimanapun proses ini akan menyebabkan muka saya membengkak untuk beberapa hari sebelum membuat urutan susulan bagi membentuk semula wajah saya
Menurut Anuar Zain, rawatan ini dilakukan setiap kali kulit wajahnya menggeleber. Selain daripada rawatan ini, Anuar Zain yang kini berusia 41 tahun turut mengamalkan pemilihan makanan seperti Omega 3 untuk mengekalkan kecantikan wajahnya.
“Isu Tak Kena Interview, Saya Tak Ambil Kisah Pun” – Anuar Zain.
Ditanya samada kejayaan merangkul 2 trofi di Anugerah Industri Muzik IAIM 18) yang berlangsung baru-baru ini adalah pencapaian terbaik buat dirinya, Anuar Zain dengan pantas menjawab,”Kali terakhir saya dapat anugerah di AIM ialah pada tahun 2003. Alhamdulillah syukur selepas 8 tahun, saya sekali lagi diberi penghargaan di AIM 18.”
Sebagai artis senior, Anuar Zain tetap menghormati artis-artis baru yang sedang meningkat naik dan menyatakan dirinya masih mahu belajar dengan tenaga-tenaga baru yang sentiasa tumbuh bak cendawan. Dia juga turut menyatakan betapa dia meminati suara Shila Amzah ketika ditemubual.
“Ada banyak benda boleh belajar dari orang baru. Jadi bila berkawan, boleh lihat lebih mendalam dan melihat penyanyi baru, saya boleh belajar banyak benda.”
Tambah Anuar lagi,”Usaha orang baru sangat hebat, saya tak puas untuk belajar. Penyanyi seperti Yuna, Azlan, Black dan Najwa Mahiyadin benar-benar membuat saya teruja. Tapi yang lebih penting, saya meminati suara Shila Amzah. I’m into Shila’s voice. Dia hebat.”
Heboh diperkatakan mengenai isu Anuar Zain tidak dilayan dengan baik oleh pihak penganjur sebuah anugerah sebelum ini. OHBULAN! mendapatkan penjelasan dan respon dari Anuar Zain.
“Ia tak menjadi isu kalau saya tak kena interview, lagipun, AIM dah buat yang terbaik. Jadi, saya memang tak kisah dan saya sudah banyak kali di-interview sebelum ini. Saya memang tak kisah,” ujar Anuar Zain tersenyum mengakhiri perbualan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]











