Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya Tiada Nombor Telefon Jejai - Tiz


SELEPAS mencetuskan fenomena dalam drama siri Nur Kasih, pelakon utamanya Tiz Zakiah tidak henti-henti dihimpit pelbagai kontroversi.

Terbaru dia didakwa sebagai cuba merampas kekasih rakan baiknya pelakon Fasha Sanda.

Ketika ditemui di majlis doa selamat filem Nur Kasih kelmarin, Tiz memberitahu bahawa perkara tersebut tidak benar sama sekali dan menafikan mengenali teman lelaki Fasha iaitu Jejai atau nama sebenarnya, Rizal Ashram Ramli secara rapat.

“Saya terkejut apabila menerima berita ini daripada kawan-kawan dan keluarga dan tidak tahu menahu tentang perkara itu. Secara jujur saya tidak kenal teman lelaki Fasha secara dekat malah saya tidak mempunyai nombor telefon Jejai.

“Memang kami pernah keluar beramai-ramai beberapa kali tapi ketika itu mereka berpasangan. Lagipun tiada sebab kenapa saya telefon dia pada pukul 3 hingga 4 pagi seperti yang dikatakan.

“Bagi saya perkara tersebut tiada kena mengena dengan saya dan masyarakat tidak salah anggap tentang hal ini. Saya tidak tahu siapa yang cuba dimaksudkan Fasha dalam hal ini.” jelasnya.

Fasha yang meluahkan perasaannya di laman web Twitter miliknya bagaimanapun tidak memberitahu nama perempuan yang cuba menganggu kekasihnya.

Namun ciri-ciri yang dinyatakan oleh Fasha lebih menjurus kepada pelakon yang sedang meningkat naik ini.

Selain itu Tiz yang mahu perkara ini tidak dibesar-besarkan lagi, lebih senang mengambil jalan mudah dengan berdiam diri.

“Saya tidak menghubungi Fasha lagi setakat ini kerana malas untuk membesarkan hal remeh temeh ini. Saya malas nak ambil kisah perkara ini.

“Lebih baik saya move on dan terus fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu,” jelasnya yang turut mengakui tertekan pada awalnya ketika menerima berita ini.

Menurutnya salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak.

“Mungkin cara saya untuk berkawan dengan semua orang disalah erti oleh pihak lain dan apabila timbul cerita-cerita seperti ini saya akan jadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati memilih kawan,” katanya.

Ketika ditanya tentang kenyataan Fasha yang turut mengaitkan seorang lagi pelakon drama Nur Kasih, Fizz Fairuz, Tiz turut menafikannya.

“Bukan saya sahaja terkejut dengan cerita ini malah Fizz turut terkejut, mengapa dia mengaitkan perkara tersebut dengan orang lain.

“Saya memang rapat dengan Fizz sebab kami berlakon dalam cerita itu bersama malah kami juga ada lepak minum sekali namun tidak sampai mengganggu hubungan dia dengan Almy,” jelasnya sambil tersenyum.

Dalam pada itu Tizz turut mengingatkan Fasha agar tidak terus melemparkan sebarang tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti orang lain.

“Saya tidak ambil apa-apa tindakan kerana saya rasa perkara ini kecil dan tidak merosakan kerjaya saya tetapi jika ia berterusan selepas ini sehingga menganggu perjalanan lakonan saya saya akan fikirkannya,” kata Tiz.

Selain itu, pelakon yang memegang watak Nur Amina dalam drama tersebut turut mengakui penat melayan gosip sejak mula popular dengan drama tersebut.

“ Saya tak tahu kenapa sejak dikenali banyak gosip buruk tentang saya muncul, memang penat melayannya tapi saya kena terima hakikatnya sebagai artis.

“Pada saya gosip ini membuat orang berfikir tentang karakter seseorang iaitu bagaimana dia di dalam drama dan ketika di luar,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Nur Kasih bermula 20 Jun ini.

Filem yang bakal menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Jordan dan Kuala Selangor ini masih diarahkan oleh pengarah terkenal Khabir Bahtiar dan dijangka akan ditayangkan pada akhir tahun hadapan.

Hati belum terbuka untuk kahwin lagi-Airis Yasmin


BUKAN semua wanita tabah dengan status janda dan ibu tunggal. Bagi Yasmin Md Isa atau Airis Yasmin, 31, semua itu alah bisa tegal biasa. Apa yang penting baginya, diri tidak terpalit dengan gosip panas atau liar.

Justeru, sepanjang sembilan tahun hidup bersendirian, Airis tetap selesa dan gembira. Bahkan, dia akui masih lagi berhubungan baik dengan bekas suami sekalipun sudah berpisah. Tidak pernah timbul soal permusuhan sesama mereka.

Airis berkata kepada Rap, baru-baru ini, pada usia sekarang, pemikirannya semakin matang. Justeru, apa yang menjadi keutamaannya juga berkait rapat dengan kegembiraan anak tersayang, Salma Nurdina, 10.

"Disebabkan anak, saya masih lagi bersahabat baik dengan bekas suami dan keluarga barunya. Bagi saya, antara kami mungkin sudah tiada jodoh tetapi kasih sayang dan tanggungjawab kepada anak tidak harus kami abaikan.

"Malah, sebagai wanita yang hidup bersendirian saya juga sangat menjaga imej. Sebolehnya, saya mengelak daripada terjebak dengan gosip panas. Saya tidak mahu hati keluarga dan anak saya terluka. Oleh itu, saya amat berhati-hati dalam memilih sahabat.

"Bukan semuanya tak boleh dipercayai tapi saya harus berhati-hati bergaul dan perlu ada batasnya. Jujurnya, saya tidak mahu menjadi mangsa gosip atau artis yang terpalit dengan cerita kontroversi. Saya mahu orang kenal diri ini menerusi bakat lakonan.

"Setakat ini saya bersyukur kerana belum pernah berhadapan gosip panas," katanya yang sudah selesai menjayakan penggambaran drama bersiri Aalia.
Ditanya sampai bila dia selesa hidup bersendiri, Airis berkata setiap wanita menyimpan impian untuk hidup berkeluarga dan bersuami lagi. Cuma, kegagalan rumah tangga lalu membuatkan dia belum lagi bersedia.

"Apabila pernah mengalami kegagalan, sudah pasti saya tidak mahu dikecewakan lagi. Justeru, saya harus memilih lelaki yang boleh memahami diri saya seadanya. Malah, yang paling penting lelaki itu boleh menerima dan menyayangi anak saya juga.

"Saya tidak memandang kejayaan, kerana apa yang penting keikhlasan dan kejujuran hati. Sehubungan itu, soal jodoh ini biarlah ditentukan Tuhan saja. Saya tidak mahu terlalu memikir sangat kerana jodoh itu sememangnya diaturkan Tuhan buat hamba-Nya.

"Setakat ini, keluarga saya pun cukup memahami dan tidak pernah mendesak supaya saya berkahwin lagi. Saya juga perlu memperbaiki kekurangan diri. Kalau dulu, faktor berkahwin pada usia muda mungkin menyebabkan saya kurang matang," katanya.

Menyentuh soal calon suaminya yang dikatakan orang berada dan berstatus kenamaan, Airis menolak dakwaan itu dengan tegas. Katanya dia memang ada menjalin hubungan dengan seseorang dan mereka masih dalam proses mengenali hati budi.

"Saya mengaku ada berkawan dengan seseorang tapi, sejauh mana seriusnya hubungan kami masih terlalu awal untuk diperkatakan. Apatah lagi, hingga sekarang kami pun tak pernah berbincang atau membuat perancangan untuk berumah tangga.

"Hati saya belum terbuka untuk berkahwin lagi. Insya-Allah, seandainya saat bahagia itu tiba saya tidak akan menyembunyikannya. Saya sedia berkongsi dengan media tetapi memang sekarang saya tiada sebarang perancangan ke arah itu," katanya.

Berbicara mengenai karier lakonannya, Airis dilihat manis bertudung dalam drama bersiri Aku Terima Nikahnya yang ke udara di Astro Oasis, setiap Ahad, jam 5 petang. Justeru, apakah dia mungkin akan bertudung sepenuhnya tidak lama lagi?

Kata Airis, buat masa ini dia mampu bertudung hanya dalam lakonan. Ujarnya, bagaimanapun, dia memang menyimpan hasrat untuk bertudung suatu hari nanti, apabila tiba masanya.

"Saya berharap, pintu hati ini akan terbuka untuk berubah imej kepada bertudung suatu hari nanti. Bagaimanapun, bilakah masanya, saya tidak pasti. Bagi saya, apabila sudah bertudung biarlah selama-lamanya dan memakai dengan seikhlas hati.

"Bukan apa, saya tidak mahu hari ini memakai tudung dan esok buka semula. Bagi saya, biarlah memakai tudung itu sebagai hijrah abadi. Kalau saya bertudung, ia akan dipakai sampai bila-bila dan saya yakin masanya akan tiba jua," katanya.


PROFIL

NAMA: Yasmin Md Isa
PANGGILAN KOMERSIAL: Airis Yasmin
ASAL: Alor Gajah, Melaka
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1979
USIA: 31 tahun
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Salma Nurdina, 10 tahun
Kerjaya: Pelakon, model iklan dan ahli perniagaan
FILEM: Janin, Eee... Hantu, Syy...Dia Datang dan Seremm
DRAMA: Antaranya, Ghost (8TV) Saka (TV3), Dan Ombak Pun Beralun, Curahan Kasih, Nasi Lemak Dina, Biarlah Rahsia, Camar Hitam, Seteguh Hidayah, Ranjang Penuh Luka (Astro), Memintas Seribu Bulan, Andai Semalam Kumiliki (RTM) Kasih Iftitah, dan Aku Bukan Buaya (ntv7), Juanna, Aku Terima Nikahnya dan Aalia.
IKLAN PRODUK: Antaranya, Colgate, Fair & Lovely, Time Broadband, Pantene, Astro, Celcom, Good Year Tyre, Nestle Cereal Cornflakes

Diddy SemakinTerurus


LEBIH empat bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi Diddy Hirdi (gambar) menyatakan hidupnya kini lebih bermakna disamping isteri tersayang.

Diddy yang diijab kabul pada 6 Februari lalu dengan pasangaannya Allen Nor Azah Musa setelah empat tahun bertunang mengakui kehidupannya lebih terurus berbanding dahulu.

"Biarpun kami sudah kawan lebih 10 tahun tapi ikatan yang sah ini benar-benar membuatkan hidup saya kini lebih terisi. Kami sedang menjalani kehidupan rumah tangga yang lama kami rancangkan.

"Rutin harian saya juga berbeza berbanding ketika bujang dahulu. Selepas berkahwin saya banyak menghabiskan masa di rumah berbanding berada di luar.

"Dari segi urusan pakaian, makan, perbelanjaan kini lebih terurus dan teratur," jelas anak jati Johor ini.

Menurutnya tembok kepercayaan yang dibina selama ini memudahkan hubungan yang mereka jalinkan.

"Dari dulu kami sudah tanamkan sifat saling mempercayai di antara satu sama lain. Tidak ada rasa syak dan wasangka. Saya memahaminya dan tidak menganggu waktu dia sedang bekerja begitu juga sebaliknya.

"Bagaimanapun saya juga harus jaga kepercayaan yang dia berikan selama ini dengan menghindari gosip-gosip liar yang boleh merosakkan kepercayaan kami," katanya ketika ditemui di Menara Star baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang cahaya mata, Diddy memberitahu setakat ini dia masih belum diberi rezeki oleh Allah dan menyerahkan urusan tersebut kepada Yang Maha Esa.

"Bohonglah kalau tidak merancang tentang anak namun buat masa ini saya rasa masih awal dan biar Allah yang menantukan semuanya. Jika ada rezeki itu saya terima," ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem Ustazah Dari UK.

Hamil Lima Bulan : Diana Rafar Baca Al-Quran


SELEPAS 11 bulan mendirikan rumah tangga dengan Zamarul Hisham, pelakon Diana Rafar antara insan yang amat bertuah kerana dia sekarang sudah hamil lima bulan.

Diana menyedarinya berita gembira itu selepas berat badannya meningkat secara mendadak pada bulan kedua kehamilan.

Diana berkata, dia sangat gembira dan bersyukur kerana hasratnya menimang anak bersama suami tercinta akhirnya tercapai.

"Alhamdulillah, saya amat gembira dengan perkembangan ini," katanya.

Menurut Diana, Zamarul yang begitu teruja untuk mendapat anak itu sanggup menggalas tugasnya sebagai isteri bagi memastikan Diana mendapat rehat secukupnya," katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra pelancaran drama bersiri Akasia, Ilusi di Pentas TV3, semalam.

Walaupun hamil, Diana masih terlibat dengan sesi penggambaran drama tersebut.

Bagaimanapun katanya, penerbit drama telah mengubah jalan cerita untuk membolehkan dia berlakon sebagai ibu mengandung.

Mengenai petua-petua menjaga kandungannya, Diana berkata, dia membaca Al-Quran serta makan makanan berkhasiat seperti vitamin C.

Sementara itu, Zamarul berkata, dia akan menguruskan kerja-kerja di rumah kerana mahu isterinya banyak berehat.

"Bila tiada penggambaran, saya akan jadi 'isteri', pembasuh pakaian dan macam-macam lagi tetapi saya berpuas hati," katanya.

Pada 16 Mei tahun lalu, aktor Zamarul Hisham, 38, bernikah dengan pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, 27, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

"Saya bukan perempuan simpanan!"-Zahida


SUATU hal yang dikagumi oleh sebilangan besar wartawan hiburan mengenai aktres Zahida Rafik ialah dia tidak pernah melenting apabila orang bercakap yang bukan-bukan mengenai peribadinya.

Selama lebih lima tahun aktif sebagai anak wayang, pelakon itu dikaitkan dengan pelbagai dakwaan nakal dan liar. Semua tuduhan itu mampu mengguris perasaan sesiapa saja khususnya kaum wanita sepertinya.

Apa perkara negatif yang tidak dikaitkan dengan Zahida?

Namanya sering dikaitkan dengan orang kenamaan atau VIP. Ada yang mengatakan kemewahan yang dinikmati itu kerana dia 'dibela' oleh orang kenamaan, kaya dan berpengaruh.

Malah lebih ekstrem lagi, ada mendakwa kononnya dia menjual tubuh untuk hidup mewah.

Namun, entah dari mana Zahida memperoleh kekuatan dan tahap kesabaran sehingga segala umpat keji masyarakat padanya tidak langsung meninggalkan kudis buatnya.

Semua dakwaan itu bersifat menghina dan mengkeji kerana hidup sebagai perempuan simpanan bukanlah perkara yang wajar dibanggakan. Ia menyalahi hukum agama dan melanggar batas susila orang Melayu.

Mujur Zahida seperti yang disebut di atas, tidak mudah melenting. Jauh sekali untuk menuding jari kepada pihak lain. Hakikatnya, dakwaan liar itu sangat mengguris hati ibu bapanya - insan yang sangat dihormati dan disayangi.

Kepada Mega, aktres berdarah Pakistan ini memberi penjelasan yang wajar disifatkan sebagai berani dan jujur yang lahir dari lubuk jiwanya yang sudah lama memendam rasa.

"Saya sendiri tiada jawapan kenapa sejak menjadi artis tidak habis-habis saya dikaitkan dengan VVIP. VVIP tidak pernah hadir dalam hidup saya," luahnya dalam nada tenang namun penuh makna.

Yang terus menjadi tanda tanya dalam dirinya, kenapa orang ramai sibuk mendakwa dia 'dibela' oleh VVIP sedangkan dia masih tinggal sebumbung dengan orang tua. Segala pergerakannya sentiasa dimaklumkan kepada mereka.

"Kenapa saya harus tinggal dengan ibu dan ayah andai saya 'dibela' oleh VVIP? Sebagai wanita yang dikaitkan dengan dakwaan itu, saya terlalu kecewa. Ia sekali gus menjatuhkan maruah saya.

"Bagi saya apabila gosip mengatakan saya dibela oleh VVIP ia satu penghinaan. Saya bukan perempuan simpanan. Sebagai anak bongsu dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada adat dan agama, ayah tidak membenarkan saya tinggal sendirian selagi belum berkahwin.

"Itulah syarat yang ayah berikan pada anak-anaknya dan juga saya apabila menceburi bidang seni," kata anak seni berusia 35 tahun mengenai syarat yang dikenakan oleh ibu dan ayahnya.

Spekulasi yang tidak masuk akal yang disebarkan itu menyebabkan ada ketika Zahida bimbang dan trauma untuk menghadiri acara-acara sosial khususnya yang dihadiri oleh golongan sosialit terutama golongan mak datin kerana bimbang dirinya dipandang hina dan dianggap mahu memusnahkan rumah tangga mereka.

"Ikhlas daripada saya untuk datin-datin semua janganlah takut dengan saya. Saya tidak 'makan orang' dan tidak suka merampas suami orang.

"Bahkan saya rasa lebih selesa menghadiri sesuatu majlis dan bercakap dengan seseorang VVIP yang saya sedia maklum sudah beristeri atau yang saya kenal isteri mereka," kata Zahida meninggalkan pesanan yang dianggap wajar dilakukannya bagi mengelak salah faham.

Ramlah Ram Sahkan Mahu Bercerai


KUALA LUMPUR: Desas desus keretakan rumah tangga penyanyi Ramlah Ram,45, yang dibina dengan Penerbit Sukan RTM, Kamal Roslim akhirnya terjawab apabila penyanyi itu hari ini mengesahkan untuk berpisah.

Ramlah yang ditemui pada sidang media Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram berkata, kemelut rumah tangganya dengan Kamal tidak dapat diselamatkan lagi sehingga membuatkan mereka terpaksa mengambil keputusan tersebut.

“Kami sudah tiada persefahaman dan jalan terbaik ialah berpisah,” katanya.

Tanpa mahu menyalahkan sesiapa terhadap apa yang berlaku, keputusan berkenaan telah dipersetujui oleh kedua belah pihak serta mendapat restu keluarga masing-masing.

Menurut Ramlah, selama ini dia telah mendapatkan khidmat kaunseling untuk menyelamatkan rumah tangganya itu tetapi sayang sekali hasrat berkenaan tidak menjadi kenyataan.

“Saya sayangkan rumah tangga saya dan cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkannya tetapi tidak berdaya. Pada saya, soal jodoh, ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan,” katanya.

Ujar Ramlah lagi, walaupun telah berusaha sebanyak mungkin tetapi jika telah ditakdirkan sudah tiada jodoh, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

Walau perpisahan bakal terjadi dia tidak menyesal kerana perkahwinan tersebut dilakukan adalah atas dasar suka sama-suka.

Ramlah yang juga pemenang Juara Lagu 1988 menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkahwin dengan Kamal Roslim pada tahun 2000 tanpa dikurniakan cahaya mata.

Krisis keretakan rumah tangga Ramlah dan Kamal telah kedengaran sejak sekian lama tetapi Ramlah cuba menafikan khabar angin tersebut.

Bekas juara Bintang RTM tahun 1985 ini bagaimanapun berjanji akan memaklumkan statusnya dengan Kamal apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah syariah nanti.

Nurul kembali single?


TENGAH seronok-seronok bersembang angan-angan cinta, maklumlah seorang teman baik Diva sedang asyik mengelamun melayan warkah cinta sang jejaka bertaraf CEO. Emosi Diva terganggu apabila disapa angin tentang tragedi lara penyanyi popular, Nurul Wahab.

Diva dengar sepintas lalu, itupun bukan daripada sumber yang rapat dengan Nurul sendiri, kira kawan kepada kawan. Jadi ambil masa sikit masuk ke gegendang telinga Diva.

Terasa macam baru sahaja Diva tengok kebahagiaan yang terpancar daripada raut wajah ala-ala Latin si Nurul itu.

Tiba-tiba dah keluar macam-macam cerita tentang hubungan cinta Nurul yang kononnya sudah berkerat rotan. Apa yang tinggal hanyalah secangkir memori bahagia termasuk kesan lebam di sana-sini. Itu sahaja yang Diva dengar. Selebihnya tidak dapatlah hendak dipastikan. Nurul sendiri sudah mengisytiharkan statusnya sebagai 'single' bermaksud solo di laman sosial Facebook miliknya.

Hai, Diva fikir ni dah kes berat. Tak mengapalah, kumbang bukan seekor bunga bukan sekuntum. Lagipun jika tidak serasi dari mula lebih baik kita bawa haluan sendiri daripada nanti memakan hati.

Nasihat Diva untuk semua wanita, jagalah diri kita dahulu dan kasihanilah diri kita sebelum kita menyayangi diri orang lain.

Radhi mahu jaga anak!


PENGISYTIHARAN perang mahkamah yang tercetus antara Radhi OAG, 33, dengan bekas isterinya, Shazlin Sharif, 32, bermula sejak 25 November 2008, berikutan permohonan pengesahan lafaz cerai difailkan oleh Shazlin.

Sejak hujung tahun 2008 dan berlanjutan ke sepanjang tahun 2009 hanya sebaik melepasi pertengahan tahun 2010 sahaja, Radhi akhirnya dibenarkan melafazkan talak seperti yang dituntut oleh bekas isterinya. Pasangan yang bernikah pada 1 Januari 2005 itu sah bercerai talak satu berkuat kuasa, 8 Jun 2010.

Banyak kali naik turun mahkamah namun drama sebabak yang berlaku antara Radhi dan Shazlin selepas keluar dari kamar mahkamah pada 28 Julai 2009 mungkin antara kes perkelahian selebriti yang paling diingati dalam kalendar hiburan tanah air. Radhi diselar Shalin kerana enggan membebaskan dirinya manakala Radhi menuduh Shalin sebagai penipu dan mempermainkan nama Allah semata-mata mahu diceraikan.

Kini, putus sudah kasih sayang. Dokumen penceraian pun sudah ditandatangani. Radhi dan Shazlin pula bebas membawa jalan kehidupan masing-masing. Tinggal lagi, satu-satunya anak mereka, Muhammad Rifdhi Muslim,5, masih mengharapkan kasih dan pembelaan daripada Radhi dan Shazlin sebagai bapa dan ibu kandungnya.

Sensasi Bintang: Kenapa ambil masa yang lama sehingga dua tahun baru kes cerai kalian bertemu titik penyelesaian?

RADHI: Sebab itu datang daripada saya, sebab saya masih sayangkan perkahwinan saya. Saya juga tak boleh terima hakikat isteri saya yang beria-ria sangat minta diceraikan padahal saya sedang cuba untuk memperbetulkan keadaan, tapi mungkin cara saya itu tidak kena.

Rasanya apa kesalahan paling besar Radhi yang tidak boleh dimaafkan oleh Shazlin dan menjadi masalah dalam hubungan kalian?

Saya terlibat dengan dadah. Agaknya itu sahaja punca yang paling tidak boleh diterima Shazlin, yang lain saya kurang pasti sebab Shazlin tak pernah beritahu saya.

Jadi sekarang adakah Radhi sudah benar-benar bebas daripada dadah?

Sumpah. Masuk hari ini sudah empat bulan 13 hari saya betul-betul bebas dadah.

Bagaimana dengan anak?

Memang ikut terma yang ditetapkan di mahkamah baru-baru ini, anak di bawah jagaan Shazlin dan saya harus memberi nafkah yang sepatutnya. Ikutkan, saya dan Shazlin sudah setuju untuk saya yang menjaga Rifdhi tahun ini, tapi dia masih bawah jagaan ibunya. Saya harapkan tahun depan, Rifdhi boleh tinggal bersama saya. Sudah lima tahun dia dijaga oleh bekas isteri saya, berilah peluang untuk saya menjaga Rifdhi sebelum dia bersekolah. Bagi saya anak adalah motivasi untuk saya terus bekerja kuat, berkarya dan mengelak daripada melakukan perkara tidak betul.

Apa janji Radhi untuk anak?

Kalau boleh saya nak dia membesar depan mata saya. Memandangkan sekarang saya mula berjinak-jinak untuk belajar agama, saya mahu bawa Rifdhi belajar bersama-sama dengan saya. Ibu saya juga sudah pindah tinggal di Kuala Lumpur, jadi dia boleh tolong tengok-tengokkan Rifdhi sebab untuk saya berkahwin dalam masa terdekat sangat mustahil.

Selama proses perceraian berjalan, hubungan Radhi dengan Shazlin kelihatan tegang, bagaimana pula selepas sah bercerai, masih seperti dulu atau sudah berbaik-baik?

Saya pun sudah tunaikan apa kehendak dia, jadi saya harap sangat kami boleh berkawan selepas ini. Walau apa pun terjadi saya dan Shazlin ada anak yang perlukan perhatian. Sejak 8 Jun sehingga hari ini, dia (Shazlin) belum menjawab panggilan telefon atau SMS daripada saya, dia masih tegang agaknya.

Sekarang anda bertukar status baru sebagai duda, bagaimana rasanya?

Sebenarnya saya masih bingung, bangun pagi dan rasa sedih bila memikirkan soal anak. Itulah yang sangat menyedihkan. Tapi saya reda sudah melepaskan apa yang dimahukan oleh Shazlin dan saya harap dia gembira. Semua ini berlaku disebabkan salah saya sendiri dan saya juga sudah ampunkan segala dosa Shazlin. Tak guna berdendam sebab boleh buat kita rasa sakit. Saya harapkan dia juga boleh maafkan segala kesalahan saya.

Apa yang menguatkan semangat Radhi?

Syukurlah, Allah SWT pinjamkan bakat kepada saya, jadi saya meluahkan segala perasaan, sedih dan kecewa menerusi lagu-lagu untuk album terbaru saya. Single terbaru berjudul Limbo juga dalam proses terakhir dan akan diluncurkan tidak lama lagi. Itulah luahan perasaan saya.

Ditakluk Cinta Z-Marsha


"TIDAK-TIDAK, tidak boleh cerita lebih-lebih, nanti itu yang menjadi isu utama," pintas si jelitawan Sabah itu penuh canda kala perkhabaran bahagianya mahu dirisik.

Dia sudah arif. Selain sisi profesion seninya yang mahu dibingkiskan, ada sesuatu yang peribadi boleh diintai dari dalam hatinya.

Kami saling berpandangan. Kulit pipinya sudah kemerah-merahan menahan rasa. Itulah Marsha Milan Londoh, 25. Dia mengetap manja bibir mongelnya sebelum lidah menggulungkan patah bicara.

Dalam tawa ceria, mekar yang menguntum di jiwanya sudah pun menerbitkan haruman kasturi. Molek benar, jika momen manis yang sudah berlabuh di pangkalan jiwa itu dikongsi bersama. Sekadar secubit rasa dari segunung cerita, Marsha pun mula berkata-kata. Kisah putus kasih bersama Kefli, bintang AF3 terus lenyap. Kini ruang hati yang setahun lebih tidak berpenghuni sudah bertuankan sebuah nama.

Jauh sekali daripada menafikan cerita, desis Marsha, dia enggan menjadi hipokrit atau mengelak pertanyaan dengan jawapan sekadar, no comment!

"Biar saya jelaskan, cukuplah dia hanya digelar dengan panggilan Mr. Z, seorang jejaka Melayu yang berasal dari Klang, Selangor dan memiliki sebuah perniagaan sendiri," katanya sambil ralit memetik Blackberry.

"Paling penting, dia lelaki muda, berusia 27 tahun dan bukannya orang kenamaan atau 'datuk'. Saya tidak minat lelaki tua," galak tuntasnya melengkapkan informasi.

Nah, semua sudah terjawab, tinggal lagi gerangan wajah sang kekasihnya sahaja yang belum ditayangkan. Untuk bab itu, Marsha menyerahkan kepada yang jauhari untuk mengenali pemilik nama.

Benar bagai dijangka, si lincah yang kini hadir dengan single terbaru, Ruang Kedua itu sedang diiring bahagia. Sebelum arus deras mengalirkan banyak cerita tidak manis, dia mengakui penuh santai mulai terjebak dalam sebuah hubungan serius. Namun, ada ketegasan yang mahu diumumkan, ikatan yang baru melepasi tempoh singkat itu belum tiba ke rancangan hari depan.

"Saya selesa dengan hubungan kali ini tapi belum terfikir soal jodoh. Cukuplah saya sudah ada seseorang istimewa di sisi yang sangat menyokong kerja seni saya," tuturnya.

Tunggu impak Ruang Kedua

Dia menutup kisah manis itu kerana besar hajat, perkembangan karier yang mahu dititipkan. Lima tahun berjudi bakat di persada muzik, jujurnya bidikan Marsha sedikit tersasar daripada impian. Kelibatnya disedari, namun mendepani karier sebagai penyanyi, dia kelihatan belum cukup untuk memutikkan sebuah nama, masih terolang-aling mencari haluan.

Belum masa mengakui tewas, Marsha terus mahu berdendang seolah-olah tiada halangan menepis dirinya jauh dari kecintaan sejak kecil itu. Lapang sasar terbarunya, Ruang Kedua diharapkan impak yang lebih besar.
"Ya, sudah lama dan sudah banyak percubaan yang saya lakukan. Tapi semuanya seperti tidak kesampaian, saya tidak tahu apa puncanya. Masih tidak ada satu karya solo yang boleh mengangkat nama saya," getusnya sedikit tersedar tentang hakikat.

Menamakan Alibi Music yang disertai sejak Disember 2009 sebagai pasak meneguhkan harapan, Marsha yakin, usahanya sedang menampakkan hasil. Biarpun sebelum ini ada artis lain mengadu berdepan masalah dengan pengurusan Alibi, Marsha masih bebas daripada sebarang onar.

"Saya akui, semasa mula menyertai Alibi, ada sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru. Syukurlah, sampai ke hari ini, tidak timbul sebarang masalah.

"Single terbaru sudahpun diedarkan dan saya sangat teruja dapat berkongsi suara dengan Julian Cely, penyanyi popular dari Perancis sebagai buah tangan terbaru untuk penyokong saya," katanya yang baru sahaja selesai merakam single keduanya, Tak Perlu Selamanya.

Begitupun, tidak semudah itu Marsha berada di zon selesa. Akuinya, walaupun peluang besar sedia menanti sesekali ada kerisauan mencelah ke minda.

"Saya risau, adakah impian saya akan tercapai kali ini? Memang kalau boleh saya mahu menerbitkan album penuh tapi saya tahu itu bukan satu perkara yang mudah. Saya barus berdepan dengan kualiti," katanya optimis.

Kembang sayap lakon

Pernah membintangi beberapa drama termasuklah Begitulah Raya, Kerana Karina 1 dan 2, 5 Saat, Korban 44, filem Saus Kacang dan Senario The Beach Boy serta terbaru drama Dottie yang sedang berada di lokasi. Penglibatan dalam bisnes lakonan ternyata mencuri banyak waktu. Itu perhitungan yang harus diambil kira oleh Marsha. Dia bimbang, kalau-kalau lakonan mengikis aura nyanyiannya.

Dalam akur, wanita kelahiran Tamparuli, Sabah ini sedikit bersetuju. Hujahnya, lewat kebelakangan ini, kerap benar wajahnya beraksi di kaca televisyen. Dari situ judul-judul seperti Hotel Mania dan K.I.T.A. yang rancak ditayangkan tidak mustahil dia diandaikan beralih kecenderungan.

"Nyanyian akan selalu menjadi darah daging saya tetapi lakonan pula dunia baru yang sedang saya dalami. Berlakon memberikan kepuasan baru buat saya dan terlalu banyak ilmu lakonan yang mahu saya terokai.

"Setakat ini, saya tidak nampak sebarang risiko. Selagi saya masih menjadikan nyanyian sebagai sebahagian daripada profesion saya, rasanya saya boleh atasi situasi itu," ungkapnya.

Seperti membelah diri terbahagi dua, satu terhadap nyanyian dan sebahagian lagi untuk lakonan, Marsha menguntai jurai angan mahu memetik pencapaian primadona Erra Fazira dan Ogy Ahmad Daud sebagai hambatan. Dia mahu dilihat serius sebagai pelakon seperti mana dia serius berdikari berdiri sebagai penyanyi.

Apa motif tersembunyi dia?-Noh Hujan


MOHAMMAD Noh Salleh atau Noh mengakui bahawa hatinya sangat sakit dengan pendedahan seorang siswa yang mengaitkan sikap biadap dengan isu “Awak busuk” di sebuah majlis baru-baru ini. Getus hatinya, mengapalah wanita berkenaan tidak tampil bersemuka secara empat mata kepadanya. Memuntahkan rasa tidak puas hati yang selama ini terbuku di hati terhadap tindakan vokalis kumpulan Hujan itu.

Dia menganggap siswa sebuah kolej universiti tempatan itu mencari publisiti murahan dengan menjaja isu tidak “seberapa besar” itu kepada media. Natijahnya, ia menjadi satu letupan gunung berapi yang menyemburkan larva apabila menjadi perbualan hangat dalam industri hiburan.

Noh merasakan dia tidak diberi ruang keadilan sewajarnya untuk memperkatakan duduk perkara sebenar. Mentang-mentanglah perwatakan gila-gila yang dibawanya selama ini menampakkan seolah-olah tidak serius menjalani kehidupan harian. Baginya, itu bukan alasan kukuh dijadikan modal untuk orang lain mempermainkan maruah dirinya.

“Nawaitu saya hanya satu ketika itu iaitu bergurau. Tidak lebih dari itu kerana secara lahiriah saya memang suka bersenda. ‘Awak busuk’ adalah antara ayat-ayat kelakar saya selain ratusan jenaka lain yang diketahui. Saya tidak berniat untuk merendahkan dia di depan rakan-rakannya yang lain.

“Mungkin dia tidak boleh menerima lawak kasar saya itu tetapi kenapa menghebahkan kepada media. Biar semua orang tahu, saya yang sebenarnya busuk dan dia wangi? Sudahlah, saya malas nak layan isu ini,” kata Noh dalam satu temubual dengan Pancaindera baru-baru ini.

Noh tidak menyangka lawak jenakanya itu diambil serius oleh siswa berkenaan. Sebagai artis yang baru meningkat, dia hanya mahu orang sekelilingnya berasa selesa dengan kehadirannya.

Rakan terdekat termasuk kelab peminat Hujan iaitu Raingers sendiri tahu tentang caranya itu. Saling menghormati dan tidak sesekali menyakiti perasaan insan lain. Jauh sekali bersikap biadap di hadapan orang yang baru dikenalinya.

Rentetan dari peristiwa itu juga, Noh tertanya-tanya motif sebenar siswa yang mewakili warga kampusnya mahu dia meminta maaf secara terbuka.

Baginya, itu bukan satu tindakan yang adil dan dia tidak sewenang-wenang mengungkap perkataan ‘maaf’ kepada individu yang mula mencari pasal. Baginya, untuk apa dia memohon maaf setelah apa yang dilakukan siswa berkenaan juga memalukan dirinya.

Baginya, siswa yang berpelajaran itu perlu memikirkan terlebih dahulu kesan dari tindakannya mendedahkan perkara itu kepada media. Apa kesan yang bakal didapati dan reputasi yang diperoleh bagi pihaknya.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak akan minta maaf atas apa yang dia telah lakukan kepada saya. Dia tidak kenal siapa saya dan sewenang-wenang menghukum saya. Tindakan memalukan sebegitu sebenarnya satu penganiayaan terhadap saya,” luah Noh lagi.

Tindakan berani siswa itu yang mengheret perkara sekecil kuman itu kepada media mencambah kebencian Noh untuk berbicara perkara yang sama kepada media.

Sekiranya diajak berbincang secara baik, perkara yang berlaku disebabkan salah faham tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Penyanyi lagu Bila Aku Sudah Tiada itu juga tidak kisah sekiranya orang memandang serong dan salah tanggapan kepadanya atas perkara yang berlaku.

Ditanya adakah dia mengenali siswa berkenaan, Noh dengan pantas berkata, tidak. Dia tidak mampu mengecam fizikal individu dalam keadaan tergesa-gesa dan sekiranya masih dalam ingatan pun, Noh tidak ingin mengingatinya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails